Search This Blog

Sunday, January 30, 2011

Mayat Yagneswaran dibawa pulang malam ini



30/01/2011 8:58pm

JAKARTA — Mayat S. Yagneswaran, pelajar Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di Padang, Sumatera Barat, Jumaat lepas dibawa pulang ke Malaysia dari sini petang tadi dengan pesawat Garuda.
Mengiringi mayat itu ialah bapanya, agen pelajar dan pegawai Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Ludinata Misnum.
Mayat dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 8.20 malam ini.
Pengarah MSD Indonesia, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar dan Pegawai Imigresen Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Cengkareng sebelum itu telah menguruskan pemindahan mayat mendiang dari sebuah pesawat lain sejurus tiba dari Padang petang tadi ke pesawat untuk penerbangan ke Kuala Lumpur.
Dr. Junaidy berkata, di KLIA, selain para anggota keluarga, pegawai Kementerian Pengajian Tinggi dan Wisma Putra akan turut menunggu ketibaan mayat Yagneswaran sebelum dibawa ke rumah keluarganya di Klang, Selangor. — Bernama

Mangsa Banjir Di Tenang Mula Dipindahkan Secara Berperingkat


Proses pengundian pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri, DUN, Tenang, Labis, Johor tetap berjalan walaupun beberapa kawasan rendah dilanda banjir dan bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan terus meningkat.
Jurucakap polis bagi pilihan raya itu, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata sehingga pukul 2 petang ini, 846 mangsa sudah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.
Walaupun hujan lebat masih berterusan, proses pengundian di beberapa pusat pengundian yang tidak terjejas dengan banjir berjalan lancar.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata bot penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terpaksa digunakan untuk mengangkut pengundi dari Labis ke pusat pengundian di SMK Kamarul Ariffin, kerana sebahagian laluan menuju ke pusat itu ditenggelami air.
Pusat pengundian itu bagaimanapun tidak terjejas kerana terletak di atas bukit.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan SPR, sehingga pukul 1 tengah hari seramai 55.36 peratus atau 8,167 orang daripada 14,753 pengundi telah keluar mengundi dalam pilihan raya itu.

TPM, KPN terperangkap akibat banjir di Tenang



JABATAN Pertahanan Awam Segamat bersama lima anggota sambil dibantu anggota tentera Kem Gemas membawa pengundi serta keluarga berpindah selepas rumah mereka ditenggelami air dekat Kampung Ladang Verra, hari ini, ketika Pilihanraya Kecil DUN Tenang. Foto Rosdan Wahid
JENTERA Barisan Nasional (BN) di Kampung Lembah Bakti membawa pengundi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk keluar mengundi selepas rumah mereka dinaiki air pada pilihan raya kecil DUN Tenang, pagi ini. - Foto Rosdan Wahid

30/01/2011 3:07pm

LABIS 30 Jan. - Pusat peti undi di Sekolah Menengah Kamarul Arrifin terputus hubungan apabila jalan dari kedua-dua hala menuju ke pusat pengundian tersebut ditengelami air separas dagu lelaki dewasa.
Turut terperangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berserta puluhan wartawan yang membuat liputan lawatan beliau ke sekolah tersebut. - Utusan

Punca nahas bas Bintulu diketahui minggu depan



30/01/2011 3:29pm

KUCHING, 30 Jan. — Punca kemalangan melibatkan sebuah bas ekspress dan sebuah lori di Km 4 Jalan Bintulu-Tatau pada Jumaat lepas yang mengakibatkan dua maut akan diketahui minggu depan.
Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Wan Samsulri Wan Hasbi berkata, LPKP dan Puspakom Sdn. Bhd. telah memulakan siasatan semalam untuk menentukan sama ada kemalangan itu disebabkan kesilapan manusia atau masalah teknikal.
"Puspakom akan menyerahkan laporan kepada kami dan tindakan sewajarnya akan diambil berasaskan laporan itu,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Wan Samsulri berkata pengusaha syarikat bas ekspress itu, Biarasmas Express Sdn Bhd juga dibenar beroperasi seperti biasa memandangkan LPKP belum menerima laporan Puspakom. — Bernama

Hujan lebat tanpa henti: Labis dilanda banjir besar


BANDAR Labis dinaiki air susulan hujan sejak dua hari lalu. Ketika ini, proses mengundi pada pilihan raya kecil DUN Tenang sedang berjalan. - Foto Mohd Fadli Hamzah

30/01/2011 5:37pm

LABIS 30 Jan. – Banjir besar melanda pekan Labis ketika berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akibat hujan lebat yang turun tanpa berhenti sejak awal pagi ini.
Hujan lebat yang sekali sekala renyai turun secara berterusan sejak enam hari lepas menyebabkan Labis dan beberapa kawasan lain di Johor turut dilanda banjir termasuk Segamat, Ayer Hitam dan Yong Peng.
Banjir besar yang melanda pekan Labis kali ini disifatkan oleh beberapa penduduknya sebagai antara yang terburuk sejak beberapa tahun ini dan lebih buruk daripada kejadian serupa pada 2006.
Hampir seluruh pekan Labis Lama yang terletak berhampiran sungai ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter.
Jurucakap polis di sini, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata, semua jalan utama Labis-Segamat ditenggelami air dan ditutup kepada lalu lintas. – Bernama

286 mangsa banjir, tanah runtuh di pusat pemindahan



30/01/2011 7:53pm

SANDAKAN 30 Jan. – Seramai 286 penduduk di sini dipindahkan ke pusat pemindahan secara berperingkat-peringkat sejak semalam selepas perkampungan mereka diancam tanah runtuh dan banjir.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Bencana Alam Sandakan berkata, 220 daripada mereka terdiri daripada penduduk sekitar kawasan lereng bukit, Jalan Sim-Sim di sini yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Sim-Sim Melayu di sini.
Beliau berkata, ia membabitkan 50 keluarga yang mendiami 41 rumah di kawasan itu.
Katanya 66 orang lagi adalah dari 13 keluarga di Kampung Gum-Gum di Batu 16 Jalan Labuk, yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Gum-Gum selepas rumah mereka dinaiki air banjir.
Menurutnya, pemantauan terus dilakukan terhadap kawasan-kawasan berpotensi terlibat dengan kejadian tanah runtuh dan banjir di sekitar daerah ini. – Bernama

1,317 mangsa, 8 pusat pemindahan banjir dibuka di Labis


JALAN utama di Labis-Segamat berdekatan simpang Felda Redong dinaiki air akibat daripada limpahan air dari Sungai Tenang meyebabkan kesesakan luar biasa pada pilihan raya kecil DUN Tenang. - Foto Rosdan Wahid

30/01/2011 7:56pm

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Sebanyak lapan pusat pemindahan banjir dibuka di Labis, yang sehingga kini menempatkan 1,317 mangsa bencana itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu kenyataan di sini, berkata, mereka termasuk pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
Seluruh jentera Jabatan Kebajikan Masyarakat di Johor telah diarahkan berada di daerah itu bagi memberi bantuan kepada mereka yang terlibat, katanya. – Bernama

Peneroka menang saman



SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak permohonan injunksi kontraktor yang dilantik Felda dalam kes penebangan pokok getah Felda Raja Alias 2, Serting, Jempol.

Hakim Datuk Rosnaini Saub berkata, permohonan injunksi kontraktor dilantik Felda itu tidak sah berikutan kesemua peneroka terlibat adalah pemilik berkepentingan tanah Felda.

Keputusan hakim itu diputuskan melalui perbicaraan di dalam kamar hakim yang dijalankan secara tertutup.

Kesemua 23 peneroka itu diwakili peguam, T.Kumar dan Surina Suhaimi.

16 Disember lalu, kontraktor Huat Hing Rubberwood Sdn Bhd yang dilantik Felda menfailkan permohonan injunksi untuk menghalang peneroka dan kontraktor dilantik mengurus tanah Felda Raja Alias 2.

Permohonan injunksi itu bertujuan menghalang peneroka menguruskan tanah Felda mereka atau melantik mana-mana kontraktor mewakili mereka dalam urusan penebangan pokok getah.

Tindakan kontraktor memohon injuksi mahkamah itu sekali gus menghalang peneroka menguruskan kebun dan juga tidak membenarkan peneroka menghampiri kawasan masuk kebun sejauh 200 meter.

Sementara itu, di luar mahkamah, Surina berkata, keputusan hakim itu adalah tepat dalam melindungi hak peneroka.

Menurutnya, peneroka menolak kontraktor dilantik Felda berikutan harga jualan hasil dan pokok getah ditawarkan tidak mengikut harga pasaran.

“Bagi setiap tujuh ekar tanah milik seorang peneroka, harga hasil jualan pokok getah hanya RM28,000 sahaja yang ditawarkan kontraktor dilantik Felda, berbanding kontraktor dilantik peneroka sendiri menawarkan RM35,000.

Mubarak tak gentar bantahan





2011/01/30

PENUNJUK perasaan, seorang daripadanya memegang gambar Mubarak yang dipangkah melaungkan slogan ketika berarak 
ke tengah Kota Kaherah, semalam.
PENUNJUK perasaan, seorang daripadanya memegang gambar Mubarak yang dipangkah melaungkan slogan ketika berarak ke tengah Kota Kaherah, semalam.
Presiden Mesir arah bubar kerajaan ketika protes masuk hari kelima 

KAHERAH: Presiden Mesir Hosni Mubarak menolak tuntutan penunjuk perasaan menuntutnya menyerah kuasa sebaliknya mengarahkan kerajaan meletak jawatan.
Ketika tunjuk perasaan yang memasuki hari keempat mengorbankan sekurang-kurangnya 35 orang, Mubarak yang kelihatan sugul ketika muncul di televisyen, berkata beliau sudah memecat kerajaan dan akan melakukan pembaharuan politik dan ekonomi. “Saya sudah minta kerajaan letak jawatan dan esok (hari ini) sebuah kerajaan baru akan dibentuk,” kata Mubarak, 82, ketika bercakap melalui stesen televisyen kebangsaan.

Beliau berkata, pembaharuan akan dilaksanakan, manakala langkah baru juga akan diambil bagi memastikan sistem kehakiman dan pentadbirannya kekal sebagai institusi bebas, manakala lebih banyak kebebasan akan diberi kepada rakyat. 

Bagaimanapun, bagi penunjuk perasaan yang tidak mempedulikan perintah berkurung, kenyataan dan ikrar Mubarak dianggap sudah terlambat, manakala desakan agar beliau meletak jawatan semakin memuncak. 

“Kami tidak peduli jika kerajaan sudah letak jawatan. Kami mahu beliau yang letak jawatan,” kata penunjuk perasaan, Khaled, 22, di Iskandariah. 
Seorang pelajar yang dikenali sebagai Abdo berkata, harga barang masih mahal, masalah juga belum diselesaikan dan pembubaran kerajaan tidak membawa apa-apa makna. 

Beribu-ribu orang kembali semula ke jalan raya di Kaherah semalam untuk menunjuk perasaan mendesak Mubarak meletak jawatan. 

Penduduk yang marah, membanjiri Medan Tahrir, kawasan utama tunjuk perasaan, manakala pertempuran dengan pihak berkuasa berlaku hampir di seluruh Mesir. 

Polis yang sebelum ini melepaskan gas pemedih mata, peluru getah dan bom air, tidak kelihatan, manakala kereta kebal hanya ditempatkan di beberapa kawasan strategik di sekitar bandar raya itu. 

“Tentera dan rakyat bersama kita,” laung seorang penunjuk perasaan di luar sebuah bangunan stesen televisyen. 

Askar dilihat membuat isyarat V berhampiran pusat opera di Kaherah, dua jam selepas perintah berkurung bermula, ketika sekumpulan orang awam memanjat kenderaan mereka. 

Sementara itu, penganalisis berkata tindakan kerajaan Mesir menyekat akses kepada internet dan telefon bimbit adalah yang paling besar pernah dilakukan dalam sejarah negara itu. 

“Ia adalah yang pertama dan terbesar dalam sejarah internet,: kata pakar firma keselamatan ketiga terbesar, Rik Ferguson. 

Pengasas bersama Cedexis, sebuah syarkat pemantau dan sistem pengurusan internet Julien Coulon berkata: “Kami kehilangan 97 peratus akses internet ke Mesir dalam tempoh 24 jam.” – AFP 

Dua korban tanah runtuh





2011/01/30

BEBERAPA  rumah musnah  dalam kejadian tanah runtuh  di kawasan perumahan lereng bukit di Bandar Ramai-Ramai, Sandakan, semalam.
BEBERAPA rumah musnah dalam kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan lereng bukit di Bandar Ramai-Ramai, Sandakan, semalam.


Wanita tua, gadis sunti maut tragedi di Sandakan 

SANDAKAN: Seorang wanita tua dan seorang remaja perempuan maut dalam kejadian tanah runtuh di dua kawasan berlainan di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner (ACP) Rowell Marung, berkata kejadian pertama berlaku kira-kira 2 pagi di kawasan perumahan lereng bukit Bandar Ramai-Ramai yang mengorbankan Santi Muktar, 16, selepas rumahnya dihempap tanah runtuh.
Mangsa kedua pula seorang wanita tua berusia 59 tahun dikenali sebagai Low Phang, yang maut apabila kedainya ditimpa pokok besar yang tumbang selepas bukit berhampiran kedai mangsa di Kampung Gelam, runtuh pada jam 4 pagi. 

Kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat. 

Ibu remaja itu, Fitasari Yusman, 28, ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Duchess of Kent, berkata ketika kejadian Santi tidur bersama neneknya di bilik berlainan. 

Katanya, kejadian tanah runtuh itu berlaku terlalu pantas menyebabkan mereka sekeluarga gagal keluar menyelamatkan diri. 
“Saya berusaha menyelamatkan anak saya tetapi gagal disebabkan dia dihimpit dengan sebatang kayu yang besar,” katanya sambil menambah sebelum kejadian, Santi baru pulang daripada bekerja pada jam 12 tengah malam. 

Empat lagi rumah di kawasan itu turut mengalami kerosakan akibat kejadian tanah runtuh itu. 

Penduduk di Kampung Gelam, Rudiah Dangangi, 33, berkata kejadian tanah runtuh mula berlaku kira-kira 1 pagi dan pihak keselamatan kemudian mengarahkan penduduk berpindah dari kawasan itu. 

Kejadian tanah runtuh itu disebabkan hujan berterusan yang melanda daerah ini sejak kelmarin dan turut mengakibatkan banjir kilat di beberapa taman perumahan di sini. – BERNAMA 

Palin nafi suami langgan pelacur





2011/01/30

 PALIN bersama suaminya Todd.
PALIN bersama suaminya Todd.


ALASKA: Buat kali pertama, bekas gabenor Alaska, Sarah Palin, menafikan laporan majalah sensasi, National Enquirer yang menuduh suaminya, Todd terbabit dengan aktiviti pelacuran di Alaska. 

Tampil dalam siaran radio Bob and Mark Morning Show di Alaska baru-baru ini, bekas gabenor itu berkata: “Apa yang menyakitkan hati ialah orang Alaska membuat penipuan.”
Beliau menghubungi Jabatan Polis Anchorage (APD) bagi menafikan laporan mengenai suaminya.
“Todd sepatutnya ditahan di kawasan pelacuran di Anchorage. APD terpaksa masuk campur dan menafikan tuduhan tanpa bukti ini,” katanya. 

Pegawai APD, Leftenan Dave Parker memberitahu akhbar New York Daily News: “Ini adalah sindiran. Tiada bukti Todd Palin ada kaitan dengan tuduhan ini,” katanya. 

Dalam siaran radio pagi, Palin menambah, “Apa yang diperlukan adalah menyoal saya atau Todd sendiri, bukan membuat andaian. 

“Todd, adakah anda melanggan pelacur di Anchorage? Beliau bercakap benar dan ternyata ia penipuan besar,” katanya – Agensi 

Bruno Mars mengaku kes dadah





2011/01/30

LOS ANGELES: Penyanyi pop, Bruno Mars akan mengaku salah atas dakwaan memiliki kokain di Las Vegas, September lalu dan dibenarkan bebas dengan ikat jamin. 

Pendakwa raya Clark County, David Roger memberitahu Las Vegas Review Journal bahawa Mars akan dibebaskan dengan ikat jamin, membayar denda AS$2,000 (RM6,000), memberi khidmat masyarakat selama 200 jam dan menghadiri kaunseling dadah.
Mars, 25, mendapat tempat pertama carta pop pada 2010 dengan lagu Nothin’ on You menerusi koloborasi dengan penyanyi rap, B.o.B.
Beliau menjadi penulis lirik bersama Travie McCoy untuk lagu Billionaire dan dengan Cee-Lo Green untuk lagu yang memenangi Grammy F?ck You sebelum meraih tumpuan menerusi lagu balada, Just the Way You Are. 

Terbaru, lagunya Grenade di tempat teratas carta muzik. – Reuters 

Siling lobi Hospital Serdang runtuh





2011/01/30

SERDANG: Siling berukuran di kawasan lobi utama Hospital Serdang dilaporkan runtuh tengah malam tadi, dipercayai insiden pertama seumpamanya yang berlaku di hospital itu sejak ia mula beroperasi pada Disember 2005. 

Insiden yang berlaku kira-kira 12.30 malam itu telah mengakibatkan bahagian-bahagian dan serpihan siling bertaburan di kawasan lantai lobi.
Jurucakap hospital itu ketika dihubungi berkata tiada kecederaan yang berlaku kerana ketika kejadian tiada orang awam atau pelawat berada di sekitar lokasi.
"Kami juga telah kerahkan pengawal untuk menutup kawasan itu sebaik sahaja kejadian sampai kepada pengetahuan kami. Satu lencongan juga telah dibuat bagi tujuan keselamatan," katanya. 

Jurucakap itu berkata satu siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

Kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan kejadian telah dilakukan, katanya. 

Setiap hari dibelasah


BUKTI... surat mahkamah, laporan polis dan surat pengesahan perkahwinan di Thailand.
BUKTI... surat mahkamah, laporan polis dan surat pengesahan perkahwinan di Thailand.

SAKIT... Alina menunjukkan bahagian badan yang lebam angkara suami.
SAKIT... Alina menunjukkan bahagian badan yang lebam angkara suami.

KUNJUNGAN seorang wanita ke sebuah negeri di utara tanah air Julai tahun lalu untuk bertemu bakal suami sepatutnya menjadi detik indah, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya apabila lelaki itu yang selama perkenalan mereka baik hati, lemah lembut, malah percintaan direstui keluarga, berubah menjadi buas umpama ‘binatang’.
Hampir dua bulan wanita itu diperlakukan umpama hamba abdi dengan setiap hari dibelasah bukan saja menggunakan kaki dan tangan, tetapi turut digigit di beberapa bahagian badan.
Paling dikesalkan, perkahwinan yang dijadualkan pada Disember tahun lalu, ‘dipercepatkan’ bakal suaminya apabila dibawa ke Thailand untuk berkahwin.

Alasan lelaki itu berbuat demikian adalah untuk mengaburi mata pihak berkuasa, kononnya lebam ‘dihasilkannya’ hanya masalah dalaman rumah tangga.

Lelaki itu turut mengugut akan membelasah wanita terbabit dengan lebih teruk jika membocorkan rahsia perkahwinan mereka kerana bimbang tidak disahkan dalam jawatan sebagai kakitangan kerajaan.

Ikuti apa disifatkan sebagai ‘diari neraka’ oleh seorang wanita berusia 23 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Alina sepanjang bersama lelaki dikenali sebagai ‘Mr L’, 27.


  • 14 Julai 2010

    “Saya menaiki bas untuk bertemu bakal suami di sebuah negeri di utara tanah air. Saya tiba jam 4 pagi, tetapi dia tidak dapat dihubungi. Saya menunggu sehingga jam 8 pagi di stesen bas.

    Saya kemudian nekad ke pejabat tempat dia bekerja dan menemuinya. Dia bawa saya ke dalam kereta dan dalam perjalanan di dalam kereta, tanpa disangka-sangka dia mengamuk dan membelasah saya. Saya dipukul dan ditumbuk, malah kepala dihentak ke papan pemuka kereta sehingga papan itu pecah.

    Dia mengamuk kerana tidak suka kedatangan saya. Dia menganggap saya cemburu dan menyangka saya datang bertemunya untuk memastikan dia tiada perempuan lain. Sebelum itu memang saya tahu dia ada perempuan lain.

    Selepas puas membelasah saya sehingga lebam, dia meninggalkan saya di sebuah stesen bas dan menyuruh saya tidur di surau. Saya tidak tidur kerana takut dan hanya duduk di sebelah seorang pengawal keselamatan wanita di stesen bas berkenaan sementara menunggu hari siang.”




  • 15 Julai 2010

    “Saya sekali lagi ke pejabat bakal suami dan disambut dengan kata makian dan sekali lagi saya dipukul. Saya kemudian ‘disimpan’ di rumah mak cik angkatnya.”




  • 16 Julai 2010

    “Pada sebelah pagi, tiba-tiba bakal suami membawa saya ke Songkhla, Thailand untuk berkahwin. Dia bimbang saya membuat laporan polis berhubung perlakuannya. Dia yakin pihak berkuasa akan menganggap saya berdepan masalah rumah tangga jika membuat laporan polis.

    Pada masa sama, dia mengugut akan memukul saya dengan lebih teruk jika saya tidak merahsiakan perkahwinan kami. Kerana terlampau takut dipukul dan sayangkannya, saya ikuti kehendaknya dengan harapan dia akan berubah selepas kami bergelar suami isteri.

    Tanpa dokumen perjalanan sah, saya masuk ke Thailand bersama bakal suami dan apabila tiba di lokasi tempat berkahwin semuanya sudah disediakan. Kami dinikahkan.”




  • 17 Julai sehingga 23 Julai 2010

    “Saya dan suami masih menetap di rumah mak cik angkat suami. Sangkaan saya dia berubah, tetapi saya tetap dipukul. Jika ada yang tidak kena, saya dipukul. Bertambah-tambah lebam di badan saya.”




  • 24 Julai sehingga 29 Julai 2010

    “Saya dibawa ke rumah sewa suami. Lagilah teruk perangainya. Saya dipukulnya sesuka hati. Bukan saja menggunakan kaki dan tangan, dia turut menggigit saya. Sebelum pergi kerja jika ada yang tidak kena, saya dipukul. Selepas pulang daripada kerja, saya sekali lagi dipukul. Saya dapat tahu dia masih ada hubungan dengan teman wanitanya dan jika dia bergaduh dengan teman wanitanya, saya menjadi mangsa lepas geramnya.

    Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana takut. Jika saya menjerit ketika dipukul, saya dibelasah dengan lebih teruk. Satu ketika, entah apa anginnya dia bersetuju dengan permintaan saya untuk pulang ke Kuala Lumpur menziarahi keluarga saya dan memberitahu perkara sebenar.

    Dia bersetuju untuk ke Kuala Lumpur sambil kakinya memijak kepala saya.”




  • 30 Julai sehingga 1 Ogos 2010

    “Di rumah ibu bapa saya, dia memberitahu hal sebenar dan mengakui memukul saya atas alasan saya terlalu cemburu. Pandai dia berlakon, sampai menangis-menangis dan berguling-guling seperti orang kena sawan.

    Ibu bapa saya mempercayainya dan menasihati saya. Suami saya turut dinasihati supaya tidak lagi memukul saya dan dia berjanji akan berubah.”




  • 2 Ogos sehingga 27 Ogos 2010

    “Kami kembali ke utara di rumah sewanya. Pada awalnya, dalam satu dua hari saya tidak dipukul, tetapi dibuat bagaikan tawanan di rumah. Selepas itu setiap hari saya dipukul. Selepas saya dipukul, dia pujuk, selepas itu keesokannya dia pukul lagi.

    Hampir tiga minggu saya dilayan umpama hamba abdi. Paling menyedihkan, dia menyedari saya sudah lama tidak datang bulan dan dia menjadi bertambah ganas.

    Dia belum mahukan cahaya mata dan kerana bimbang saya mengandung dia suruh saya buat pelbagai perkara, antaranya makan nanas muda. Apabila datang anginnya dia belasah saya dengan menendang perut saya.

    Mujur saya tidak mengandung, jika mengandung entah apa berlaku kepada kandungan saya. Kerana tidak tahan menjadi hamba abdi, saya hubungi keluarga supaya mengambil saya. Pada 27 Ogos, saya kembali ke Kuala Lumpur dan dia memberitahu akan berkunjung ke Kuala Lumpur selepas Aidilfitri untuk menyelesaikan masalah kami.

    Saya sudah membencinya dan tidak mahu lagi bersamanya. Saya dapat tahu, dia sanggup memukul saya kerana dihasut teman wanitanya.”

  • 5 pemandu mabuk ditahan di Ipoh


    IPOH — Lima lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dan seorang penunggang motosikal ditahan dalam “Ops Samseng Jalanan” di beberapa jalan utama di bandar raya ini mulai malam tadi hingga awal hari ini.
    Ketua Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd. Rodzi Rejab berkata, kesemua yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 30-an.
    Mereka dikenakan tindakan mengikut Seksyen 54A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dibebaskan dengan ikat jamin polis, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    Beliau berkata, dalam operasi selama enam jam mulai pukul 11 malam itu, polis mengeluarkan 52 saman iaitu 30 saman untuk motosikal dan 22 untuk kereta.
    Antara kesalahan yang dikesan ialah melanggar lampu isyarat, tiada lesen memandu, memandu mengunakan telefon bimbit, tiada cukai jalan, lesen memandu tamat tempoh, mengubahsuai ekzos, tiada cermin sisi dan meletak kereta di tempat yang tidak dibenarkan, katanya.
    Operasi di Jalan Raja Dihilir, Jalan Kuala Kangsar, Jalan Pasir Puteh dan Jalan Jelapang itu membabitkan 57 anggota terdiri daripada polis trafik, MPV dan anggota Rela. — Bernama

    Terkejut terima saman menunggang laju

    KANGAR – Seorang warga emas, Bakar Ismail, 85, tidak pernah memiliki motosikal berkuasa 500cc tetapi beliau menerima saman kerana menunggang motosikal berkuasa besar itu melebihi had laju di lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban pada 30 Julai lepas.
    Petani yang hanya memiliki motosikal jenama Honda berkuasa 70cc itu dan telah lama tidak ke Kuala Lumpur bimbang namanya akan disenarai hitam oleh pihak berkuasa jika tidak membayar saman itu.
    Bakar yang menetap di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, dekat sini, berkata, beliau dikehendaki membayar saman itu secepat mungkin atau sebelum 28 Februari ini sebelum dikenakan tindakan senarai hitam.
    Beliau berkata, selepas menerima saman itu, anaknya, Mohd Noor, 47 telah mengemukakan masalah itu kepada cawangan Trafik Perlis yang kemudian memintanya merayu kepada Ibu Pejabat Trafik Bukit Aman dengan bukti kukuh bagi membatalkan saman itu. – Bernama

    Pelakon drama mangsa minyak dagu mayat

    KUALA LUMPUR: Akibat disihir dengan minyak dagu mayat, seorang pelakon wanita drama bersiri popular membuat pengakuan pernah meninggalkan suami dan tiga anaknya semata-mata untuk bersekedudukan dengan seorang lelaki warga Kemboja yang baru dikenalinya, walaupun ketika itu beliau hamil tiga bulan.
    Mangsa mendakwa ilmu hitam itu menyebabkan beliau seolah-olah menjadi hamba seks lelaki terbabit selama lebih dua tahun sekitar 2007 hingga 2009.Sepanjang tempoh itu juga, semua pendapatan bulanannya turut diserahkan kepada lelaki berkenaan.Pelakon yang berusia 27 tahun dan hanya mahu dikenali sebagai 'D' berkata, beliau malah telah terlantar selama sebulan di wad psikiatrik, Hospital Selayang dekat sini, selepas doktor mengesahkan beliau mengalami gangguan mental.'Segala-galanya bermula selepas saya berkenalan dengan seorang penghantar surat yang kerap datang ke pejabat saya di Damansara atas urusan kerja.'Entah mengapa saya tiba-tiba seperti hilang pertimbangan diri kerana sentiasa dihantui wajah lelaki berusia 24 tahun itu seolah-olah ada satu daya tarikan istimewa pada dirinya.'Saya gagal mengawal diri sehingga tidak mampu menolak setiap arahan yang diberikan, malah tidak teragak-agak meninggalkan suami dan anak untuk tinggal serumah dengan lelaki itu di Gombak,' katanya.'D' berkata, sepanjang tinggal dengan lelaki itu, beliau dilayan seperti pembantu rumah apabila diarah melakukan semua kerja rumah selain terpaksa menyerahkan semua wang pendapatannya.'Biarpun dimaki-hamun dan dipukul saban hari, saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkannya. Malah, hati saya tetap menyayanginya. Setiap kali saya berhasrat pulang ke pangkuan anak-anak, seolah-olah ada satu kuasa mematikan niat saya itu,' katanya.Menurut 'D', hampir tiga tahun bersama lelaki itu, beliau langsung tidak pernah menjenguk orang tuanya di kampung dan suaminya juga gagal menjejaki tempat tinggalnya.Kemuncaknya, keadaan diri 'D' menjadi tidak keruan apabila lelaki itu menghilangkan diri.'D' mula meracau siang dan malam memanggil nama lelaki itu hingga akhirnya terpaksa dimasukkan ke hospital.Selepas terlantar di hospital, barulah keluarganya dapat bertemu dengan 'D' selepas dihubungi pihak hospital dan sokongan mereka membuka laluan untuk 'D' kembali pulih seperti sedia kala.Menurutnya, selepas berubat dengan dua pakar perubatan tradisional, beliau diberitahu lelaki itu menggunakan ilmu hitam dengan mencalitkan minyak dagu pada badannya.'Saya turut diberitahu bahawa lelaki terbabit menggunakan sihir itu untuk mengikis harta ramai gadis sebelum menghilangkan diri,' katanya.'D' telah bercerai dengan suaminya pada penghujung tahun lalu. -- Harian Metro.

    Mubarak pecat Kabinet

    KAHIRAH: Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, semalam memecat anggota Kabinetnya dan menjanjikan pembaharuan selepas para penunjuk perasaan mencetuskan huru-hara apabila bertempur dengan polis menggunakan bom botol dan batu.
    Encik Mubarak, 82 tahun, bagaimanapun menolak gesaan agar beliau meletak jawatan dan sebaliknya mengusulkan agar diadakan dialog nasional.Sumber perubatan berkata, sekurang-kurangnya 45 orang telah terkorban dan beribu-ribu yang lain cedera dalam pertempuran ganas yang dilaporkan di Kahirah, Suez dan Iskandariah serta di sekurang-kurangnya 11 daripada 28 wilayah negara itu.Dengan wajah yang muram, Encik Mubarak, yang muncul buat pertama kali di kaca televisyen sejak tunjuk perasaan tercetus empat hari lalu, berkata protes antipemerintah itu adalah 'sebahagian daripada perancangan untuk mengkucar-kacirkan kemantapan dan keamanan' dalam sistem politik negara itu.'Langkah baru untuk mencapai demokrasi dan kebebasan akan diambil, di samping usaha menangani masalah pengangguran dan meningkatkan taraf hidup serta perkhidmatan,' kata Encik Mubarak.Penunjuk perasaan mahu pentadbiran selama lebih 30 tahun Encik Mubarak berakhir selepas pemerintah gagal menyelesaikan masalah kemiskinan di negara yang mempunyai 80 juta penduduk itu.Mereka menuntut sistem demokrasi yang tulen dan mahu pemerintah memerangi masalah pengangguran, kemiskinan dan rasuah.Penampilan Encik Mubarak semalam dibuat selepas beliau menerima kritikan hebat dari pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, yang mengancam akan mengurangkan dana bantuan antarabangsa bernilai AS$1.5 bilion ($1.9 bilion) kepada Mesir sekiranya beliau menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan.Kelmarin, Encik Obama berkata beliau telah berbual dengan Encik Mubarak dan menggesanya agar mengambil 'langkah konkrit untuk memberikan hak yang lebih kepada rakyat Mesir.'Tunjuk perasaan di Mesir tercetus selepas penggulingan Presiden Tunisia, Encik Zine al-Abidine Ben Ali, dua minggu lalu.Tunjuk perasaan serupa turut tercetus di Yaman.Tindakan Encik Mubarak memecat Perdana Menteri, Encik Ahmed Nazif, dan semua anggota Kabinetnya yang lain gagal meredakan keadaan.Para penunjuk perasaan telah menuntut agar Encik Mubarak meletak jawatan dan tidak menyerahkan kuasa kepada anak lelakinya, Encik Gamal.'Kami mahu Mubarak berundur tetapi sebaliknya beliau mengeruhkan lagi keadaan. Beliau sangka beliau sedang meredakan keadaan tetapi beliau hanya menyebabkan rakyat lebih marah,' kata seorang penunjuk perasaan, Encik Kamal Mohammad. -- AFP, AP, Reuters.

    sahkan Zamri




    KUALA KEDAH - Hajat seorang pekerja swasta mengeluarkan duit melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk membayar pinjaman perumahannya tidak kesampaian apabila simpanan di dalam akaun bank berkurangan walaupun tidak membuat transaksi.

    Zamri Mohd Isa, 38, berkata, selepas selesai menghadiri kuliah di sebuah universiti swasta di Alor Setar 26 Januari lalu, beliau bergegas ke ATM sebuah bank tempatan yang berdekatan untuk mengeluarkan wang menggunakan khidmat Malaysian Electronic Payment System (Meps) pada jam 3.53 petang.

    Menurutnya, selepas memasukkan kad bank ke dalam ATM, Zambri berasa hairan kerana transaksi pengeluaran wang yang dibuat lambat daripada kebiasaannya dan seolah-olah seperti tersekat sebelum mendapatinya terbatal dan wang tidak keluar.

    “Seterusnya, saya cuba mengeluarkan wang di mesin ATM bersebelahan tetapi tidak boleh kerana skrin mesin menyatakan baki akaun saya tidak mencukupi.

    “Saya cuba menyemak baki akaun saya dan mendapati wang simpanan hanya tinggal RM16.41 dan sejumlah RM911 termasuk caj Meps sebanyak RM1 yang gagal dikeluarkan sebelum ini ‘lesap’.

    “Saya terus menghubungi bank berkenaan kira-kira jam 6.45 petang hari yang sama untuk membuat aduan dan pegawai bank berkata kejadian itu disebabkan masalah teknikal yang dihadapi Meps terutama menjelang musim perayaan," katanya.

    Susulan itu, kira-kira jam 9.40 pagi kelmarin, beliau membuat aduan di sebuah bank tempatan yang terletak di Bangunan Tunku, Alor Setar dan diminta mengisi borang aduan pengguna untuk mendapatkan kembali wang.

    Menurutnya, walaupun diberi jaminan wangnya akan dikembalikan, Zamri kesal kerana masalah itu membantutkan hasratnya untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman perumahan pada tarikh yang ditetapkan serta hutang lain yang berkaitan.

    Sementara itu, Sinar Harian menghubungi pusat khidmat pelanggan Meps untuk mendapatkan penjelasan dan diberitahu masalah gangguan perkhidmatan Meps tidak dapat dielakkan kerana berlakunya ‘overload’ dalam sistem perkhidmatan akibat tahap penggunaannya meningkat menjelang musim perayaan.

    “Bagaimanapun, ia tidak menunjukkan masalah itu wajib berlaku di setiap musim perayaan. Kes yang dihadapi pengadu merupakan kes terpencil dan Meps memberi jaminan akan diselesaikan segera mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

    Kes kematian jalan raya meningkat



    TAMPIN – Jumlah kes kematian akibat nahas jalan raya meningkat 22 kes daripada 377 kes dicatatkan pada 2009 kepada kira-kira 399 kes pada 2010 di negeri ini.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri, Mohd Rusdi Ismail berkata, penunggang dan pembonceng motosikal yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 35 tahun adalah penyumbang terbanyak daripada jumlah itu.

    Bagaimanapun, menurutnya, kerjasama daripada semua pengguna jalan raya untuk mematuhi setiap peraturan jalan raya yang ditetapkan dan mengamalkan pemanduan berhemah amat dialu-alukan.

    “Malah, orang awam digalakkan menggunakan pengangkutan awam sebagai pengangkutan utama pada musim perayaan ini. Walaupun terdapat kes kemalangan membabitkan pengangkutan awam, namun ia masih rendah berbanding kes membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

    “Kita harap agar pengguna jalan raya dapat merancang perjalanan mereka pada waktu siang dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik,” katanya pada Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina anjuran Kelab Lions Tampin di Tampin Square.

    Turut hadir, Ketua Polis daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang; District Governor Lions Club, Datuk Yeow Wah Chin; dan President Lions Club Tampin, SH Chai.

    Sementara itu, Wah Chin berkata, program seumpama itu sememangnya sering dianjurkan Kelab Lions dalam membantu mengingatkan dan menyedarkan pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati.

    Malah menurutnya, beliau yakin setiap cawangan kelab berkenaan di seluruh Malaysia ada melaksanakan Kempen Keselamatan Jalan Raya baik pada sambutan Tahun Baru Cina mahupun mana-mana perayaan di negara ini.

    Pekerja Plus jumpa mayat reput



    SENAI – Tidak sampai sepuluh hari mayat rentung ditemui di Ladang Felda Techno Plant Taib Andak, kali ini mayat manusia dalam keadaan reput pula dijumpai pekerja pembersihan Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus), semalam.

    Mayat berkenaan yang sudah reput dipercayai telah lama meninggal dunia dan ditemui kira-kira 100 meter di bawah tebing laluan lintas (fly-over) susur masuk ke Lebuhraya Senai-Nusajaya yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Bangunan Telekom, Senai.

    Sinar Harian difahamkan, mayat berkenaan ditemui dua kakitangan Plus kira-kira jam 8 pagi semalam ketika mereka sedang menjalankan kerja-kerja pemotongan rumput berhampiran tebing di lokasi kejadian.

    Identiti mayat berkenaan dipercayai lelaki berdasarkan keadaannya yang memakai seluar jeans panjang berwarna biru serta sepasang kasut putih bersaiz besar ketika ditemui.

    Terdahulu, 19 Januari lalu, pekerja Ladang Felda Techno Plant Taib Andak, digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki berbangsa Cina dalam keadaan rentung oleh seorang pekerja ladang kira-kira jam 8 pagi.

    JPJ keluarkan 240 saman



    JOHOR BAHRU - Tiada kompromi. Itulah amaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada pemandu bas awam ketika menjalankan operasi penguatkuasaan bas ekspres di Terminal Larkin, di sini, malam semalam.

    Sepanjang operasi Tahun Baru Cina, kira-kira diperiksa 213 buah bas dan pelbagai kesalahan dikesan, antaranya tidak memiliki lesen memandu, tiada jadual perjalanan, tiada senarai penumpang, alamat permit berbeza, tidak ada alat pemadam api, tayar haus dan cermin retak.

    Ketua Pengarah JPJ negeri, Khairul Anwar Bachok berkata, pihaknya serius dalam operasi berkenaan, terutama daripada segi aspek keselamatan bas, berikutan banyak kes kemalangan membabitkan bas awam sejak kebelakangan ini.

    “Sepanjang operasi Tahun Baru Cina yang bermula 21 Januari lalu, pihak kami telah memeriksa sebanyak 704 buah kenderaan pengguna jalan raya.

    “Hasil pemeriksaan, pihak kami mengeluarkan sebanyak 240 saman kepada bas ekspres, motosikal, kereta dan teksi,” katanya.

    Menurutnya, saman yang dikeluarkan kepada pemandu bas awam pula sebanyak 21 hasil pemeriksaan ke atas 213 bas sepanjang tempoh operasi dijalankan.

    “Pihak kami turut memeriksa keadaan tayar dan brek bas supaya bas ekspres terbabit berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

    “Saya ingin menasihatkan kepada pengguna jalan raya, tidak kira pemandu bas awam, motosikal dan motokar supaya berhati-hati di jalan raya dan bersama-sama mengurangkan kadar kemalangan di negara ini,” katanya.

    Polis rampas 485 gram heroin




    IPOH – Polis Perak berjaya merampas 485 gram dadah disyaki sebagai ‘heroin base’ dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Piandang Perak, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Zakaria Yusof berkata, dalam serbuan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian diketuai Asisten Superintendan Frediel Anak Nyambong itu, pihaknya merampas empat botol kaca berisi cecair yang mengandungi bahan kimia bagi memproses dadah termasuk beberapa bungkusan plastik disyaki ‘kafein’ seberat 26 kilogram.

    Menurutnya, antara bahan yang dirampas ialah alat pengisar, penimbang, besen aluminium, besen plastik, sudip kayu, penapis plastik, tong gas dan dapur gas.

    “Dalam serbuan itu, polis turut memberkas tiga lelaki yang turut berada dalam rumah berkenaan.

    “Suspek berusia antara 39 hingga 41 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

    “Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 Februari ini untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

    Sementara itu, Zakaria berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kerian dan dipercayai berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah jenis heroin di kawasan utara Perak termasuk selatan Pulau Pinang dan Kedah.

    Katanya, berdasarkan kepada nilai anggaran dadah yang dirampas iaitu RM36,000, ia boleh menampung keperluan 600 penagih, selain dapat menghasilkan enam paun dadah jenis heroin no.3 dengan nilai melebihi RM100,000.

    “Sehingga kini, soal siasat masih dijalankan bagi mengetahui sejauh mana semua suspek terlibat dalam kegiatan memproses dadah itu,” katanya.

    Pangkor dilanda banjir kilat




    PULAU PANGKOR – Hujan lebat selama satu jam Khamis lalu, menyebabkan beberapa kawasan Pulau Pangkor di landa banjir kilat.

    Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Zon Dua Kawasan Pangkor, Chen Boon Huck berkata, antara kawasan yang dinaiki air adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pangkor, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Hwa Lian, Kampung Husin serta jalan ke Pasir Bogak,

    Menurutnya, hujan antara jam 5 hingga 6 petang itu menyebabkan paras air naik dengan cepat menyebabkan air melimpah ke beberapa kawasan.

    “Paling teruk menerima kesan langsung akibat banjir ini adalah di kawasan SK Seri Pangkor dan SRJK Hwa Lian yang dinaiki air hingga paras 0.15 meter,” katanya,

    Boon Huck berkata, pihaknya telah memaklumkan keadaan banjir itu kepada MPM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum tindakan lanjut diambil.

    Menurutnya, buat masa ini, jumlah sebenar mangsa yang terlibat belum diterima namun tidak menolak kemungkinan ramai yang mengalami kesan akibat kejadian itu.

    Pihaknya tidak menolak kemungkinan, kejadian itu berpunca daripada masalah perparitan yang tidak di selenggara dengan baik.

    “Antara punca yang dikenal pasti termasuklah keadaan saluran air keluar daripada longkang utama di kawasan itu telah dipenuhi pasir, secara tidak langsung mengakibatkan longkang tersumbat,” katanya.

    Beliau turut menggesa, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi perhatian terhadap masalah salur air ke laut yang didakwa terlalu kecil menyebabkan ia tidak mampu menampung arus air deras.

    “Kerana salur itu terlalu kecil maka air yang keluar ke laut bergerak dalam keadaan perlahan sedangkan arus air dalam keadaan banjir seperti ini mengalir deras, walaupun masalah ini nampak kecil, kesannya terpaksa ditanggung rakyat yang pastinya tidak mahu perkara seumpama ini berulang,” katanya.

    Dua peragut larikan RM300, dokumen




    PENDANG – Dua peragut melarikan diri selepas berjaya meragut beg tangan di Jalan Kolam Lembaga Pertanian Muda (Mada) di Kampung Alor Parit di sini, petang Selasa lalu.

    Sinar Harian difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira 7.30 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah.

    Mangsa, Shalihah Ismail,45, berkata, dia masih dalam trauma akibat kejadian itu namun, bersyukur kerana dia dan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Saya dalam perjalanan pulang dari arah pekan Pendang bersama anak Noor Shazwani Ahmad, 23, yang duduk di belakang dan tidak menyangka akan berlaku kejadian itu memandangkan beg tangan anak berada di bahagian tengah antara pembonceng dan penunggang.

    “Ketika melalui Jalan kolam Mada itu saya mendengar bunyi motosikal dari arah belakang yang menghampiri motosikal saya. Berikutan itu saya memperlahankan kenderaan kerana menyangka ada orang yang dikenali ingin berbual,”katanya ketika di temui di rumahnya, semalam.

    Menurutnya, ketika dia memperlahankan motosikal, tiba-tiba dua orang lelaki dalam lingkungan 20-an yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss berwarna biru meragut beg tangan Noor Shazwani dengan� pantas.

    “Ketika beg tangan itu diragut saya dan anak tidak dapat berbuat apa melainkan menjerit dan membunyikan hon meminta tolong manakala dua lelaki itu terus memecut dan menuju ke arah pekan Pendang,” katanya.

    Sementara itu, Shalihah berkata, anaknya kehilangan wang hampir RM300, kad pengenalan, surat dan beberapa lagi dokumen penting yang ada dalam beg itu.

    “Saya tidak menyangka kejadian itu akan berlaku memandangkan tempat kejadian itu tidak jauh daripada rumah iaitu kurang dari 500 meter.

    “Ketika kejadian lebih 15 kanak-kanak dan golongan muda sedang bermain sepak takraw berdekatan kawasan itu menyebabkan seorang daripada mereka cuba mengejar peragut itu dengan motosikal namun, apabila menghampiri peragut itu, salah seorang daripada mereka cuba mengancam dengan menggunakan lastik menyebabkan dia gagal menangkap dua peragut itu,” katanya.

    Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah Pendang.

    Kabel telefon sering dicuri




    BALING – Penduduk Kampung Tandop Simpang Empat di sini, merungut apabila sering menghadapi masalah talian telefon dan Internet berikutan kabel telefon yang sering dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Kejadian terbaru berlaku, apabila kabel sepanjang 200 meter hilang. Penduduk mendakwa, ia dilakukan oleh individu atau sindiket yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan lori untuk mengaburi mata penduduk.

    Penduduk, Khanit a/l Din Udun, 56, berkata, sebelum menyedari kabel itu dicuri, dia telah menghubungi Telekom Malaysia Cawangan Baling bagi membuat aduan mengenai gangguan talian telefon rumahnya.

    “Dalam perjalanan untuk pergi ke Pekan Baling, saya ternampak wayar kabel di tepi jalan dipotong dan mengesyaki ia telah dilakukan sekumpulan individu yang tidak bertanggungjawab hingga menyusahkan kami.

    “Saya syak mereka yang melakukan perbuatan ini dengan menaiki lori kerana terdapat kesan tayar pada rumput di kawasan kabel ini di sepanjang jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

    Menurutnya, dia percaya kegiatan itu dilakukan pada waktu malam sehingga awal pagi ketika penduduk masih tidur.

    Menurutnya, penduduk sering merungut berikutan masalah itu yang kerap kali berlaku.

    “Kita tidak sedar kecurian ini berlaku kerana jalan itu sering dilalui kenderaan berat setiap masa yang sering keluar masuk untuk menghantar bahan binaan.

    “Kebanyakan penduduk menggunakan talian tetap untuk berhubung memandangkan liputan untuk telefon bimbit sukar diperoleh,” katanya.

    Dia berkata, aduan kepada TM Baling juga telah dibuat agar tindakan segera dapat diambil.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Taman Seri Baling, Che Basah Ahmad, 50, kecurian kabel itu bukan sahaja berlaku di kawasan kampung, malah ia turut berlaku di taman perumahan.

    Menurutnya, disebabkan masalah berkenaan, banyak pengguna telah terputus hubungan termasuk pengguna kemudahan Internet.

    Sementara itu, jurucakap Telekom Malaysia (TM) berkata, pihaknya sering menerima laporan kecurian itu dan tindakan segera sentiasa diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.

    Namun, ia juga melibatkan kos yang tinggi untuk menggantikan wayar kabel yang hilang.

    Menurutnya, TM sentiasa berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik tetapi berikutan tindakan kumpulan yang tidak bertanggungjawab menyulitkan urusan penduduk dan juga pihaknya.

    Padah tidur di lorong belakang



    SEREMBAN – Malang bagi seorang lelaki apabila dia digilis sebuah lori ais semasa sedang lena tidur di atas kotak dekat lorong belakang sebuah restoran di Taman Tuanku Ja’afar, di sini awal pagi semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 6.20 pagi itu, mangsa, G. Krisnasamy, 31, mati akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

    Jurucakap polis berkata, kemalangan berpunca apabila pemandu lori berkenaan tidak menyedari mangsa berada di kawasan berkenaan berikutan keadaan gelap.

    “Pemandu lori berusia 40-an itu mahu menghantar bekalan ais di restoran itu dengan mengundur lorinya masuk ke lorong belakang restoran terbabit.

    “Sebelum mengundurkan kenderaan, pemandu memaklumkan dia tidak nampak sebarang kelibat manusia di kawasan berkenaan cuma timbunan kotak yang tidak digunakan lagi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

    Menurutnya, pemandu lori berkenaan terus mengundurkan kenderaan sebelum berasa seolah-olah melanggar bonggol jalan.

    “Pemandu lori itu keluar dari kenderaan dan melihat seorang lelaki dalam keadaan mengerikan dan tidak bernyawa di bawah lorinya,” katanya.

    Berikutan itu, katanya, pemandu berkenaan terus menghubungi panggilan kecemasan dan membuat laporan polis di balai polis berdekatan.

    “Hasil maklumat orang awam, kita mendapati kawasan itu menjadi tumpuan melepak lelaki mabuk.

    “Mungkin mangsa tidur di atas timbunan kotak berkenaan sebelum digilis lori,” katanya.

    Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan.

    Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kemalangan berkenaan dan meminta saksi kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini untuk bedah siasat dan sehingga kini mayat mangsa masih belum dituntut waris,” katanya.

    Maut diseret lori ais, tak sempat solat Jumaat



    ALOR GAJAH - Niat seorang warga emas untuk solat Jumaat musnah apabila maut dirempuh sebuah lori ais dalam satu kemalangan ngeri di sini, semalam.

    Lebih menyayat hati apabila Lias Abu, 70, baru mendirikan rumah tangga buat kali kedua kira-kira setahun lalu dirempuh dari belakang di simpang di simpang lampu isyarat Lebuh AMJ PAM Alor Gajah.

    Kejadian yang berlaku kira-kira 1 tengah hari itu menyebabkan Lias yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dalam perjalanan menuju ke Masjid As-Syakirin maut serta merta dirempuh lori tersebut yang datang dari arah Tampin menuju ke Bandar Melaka.

    Difahamkan, mangsa yang tinggal di Rumah Awam Seri Pengkalan menunggang motosikal sendirian menuju ke masjid tanpa menyedari terdapat sebuah lori dari arah Tampin disebabkan kekeliruan lampu isyarat yang menyala ketika itu.

    Saksi kejadian, Taufik Hashim, 20, berkata, mangsa kelihatan keliru dan terus menunggang tanpa menyedari ada kenderaan lain datang dari arah Tampin.

    “Mungkin bimbang terlewat, mangsa terus melanggar lampu isyarat dan dirempuh lori ais kemudiannya terseret sejauh 15 meter ke pembahagi jalan,” katanya.

    Pemandu lori ais, Hissam Mohd Sahat, 43, yang masih terkejut dengan kejadian yang berlaku berkata, dia dari Kuala Pilah menuju ke kilang ais di Kelemak tidak menyangka muncul sebuah motosikal yang tiba-tiba melintas.

    “Lampu isyarat di laluan saya hijau dan terus memandu kemudiannya terpaksa merempuh motosikal tersebut.

    “Saya cuba memberhentikan lori dan menekan hon namun saya tidak boleh mengelak ke kiri kanan kerana ada kenderaan lain dari arah berbeza di simpat empat itu,” katanya.

    Rakan arwah, Hashim Ismail, 52, berkata, dia sempat menemui Lias dua kali pada pagi sebelum kejadian dan tidak menyangka arwah akan meninggalkan dia serta ahli keluarga lain sebelum sempat menunaikan solat Jumaat.

    “Kami sempat bertegur sapa sebelum arwah bersiap ke masjid sedangkan waktu masih awal.

    “Arwah seorang yang baik hati dan sepanjang memegang jawatan sebagai jawatankuasa surau Taman Awam Pengkalan, arwah disenangi dan dihormati penduduk.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, mangsa maut di tempat kejadian selepas dirempuh kuat lori ais menyebabkan cedera parah.

    “Saya minta agar saksi kejadian dapat tampi membuat laporan berkenaan lampu isyarat berkenaan.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.