Search This Blog

Saturday, January 29, 2011

Makanan RMT pengalas perut sebelum belajar




DARI kiri Tengku Siti Nor Asy'adah, Tengku Khatijah, Tengku Siti Noras'syakirren dan Tengku Mohd. Al-Moqarobin.


SETIU - Tiga pelajar daripada empat beradik yang lari dari rumahnya di Kampung Beris Tok Ku dekat sini pada Rabu lalu didakwa hanya bergantung kepada makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebagai sarapan pagi untuk mengalas perut sebelum memulakan persekolahan.
Tiga pelajar berusia tujuh hingga 10 tahun yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana di sini terpaksa berbuat demikian kerana mereka hanya dibekalkan duit belanja 50 sen setiap hari ke sekolah ekoran kemiskinan hidup.
Mereka ialah Tengku Siti Noras'syakirren, 10, Tengku Mohd. Al-Moqarobin, 7 dan Tengku Siti Nor Asy'adah, 8.
Menurut kakak kepada pelajar itu, Tengku Khatijah Tengku Mamat (gambar), 14, adik-adiknya tidak mampu membeli makanan lain seperti kuih-muih yang dijual di kantin sekolah dengan jumlah wang yang dibekalkan itu.
"Mereka tidak mampu membeli makanan apatah lagi nasi dengan jumlah wang yang dibekalkan itu sebaliknya kanak-kanak malang itu hanya dapat membeli air minuman sahaja.
"Nasib baik ada makanan RMT yang dibekalkan di sekolah itu maka adik saya dapat bersarapan sebelum masuk kelas," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Empat beradik itu termasuk Tengku Khatijah yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, mengambil langkah melarikan diri dari rumah kerana mendakwa tidak tahan dengan perangai sikap panas baran baran bapa mereka.

Warga asing bermaharajalela




KELIHATAN warga asing berkumpul dan merimaskan penduduk tempatan di Taman Alam Jaya, Puncak Alam, Kuala Selangor semalam.


KUALA SELANGOR - Penduduk tempatan di Taman Alam Jaya, Puncak Alam di sini mempunyai sebab untuk 'hidup dalam ketakutan' meskipun berada di negara sendiri.
Rata-rata mereka yang ditemui Kosmo! mendakwa, segelintir warga asing yang memonopoli kawasan perumahan tersebut sering bertindak keterlaluan sehingga mengganggu ketenteraman penduduk di situ.
Selain disyaki terlibat dengan kegiatan pecah rumah, segelintir warga asing terbabit juga sering membuat bising dan berkumpul sesama sendiri sehingga lewat malam.
Lebih teruk, koloni asing terbabit juga didakwa sering mabuk dan bergaduh sesama sendiri, selain turut mengusik gadis tempatan di tepi kaki lima.
Difahamkan, warga asing terbabit bermastautin di situ ekoran lokasinya yang terletak berhampiran kawasan perindustrian.

Ibu tunggal dihalau suami tinggal dalam stor




FATIMAH tinggal sementara di sebuah stor di Pusat Rekreasi, Jalan Kenangan, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang menimpa seorang ibu tunggal Fatimah Abdullah, 42, apabila dihalau daripada rumah selepas diceraikan suaminya kira-kira sebulan lalu.
Malah disebabkan tidak mampu membayar rumah sewa baru, dia kini menumpang sementara di sebuah stor di Pusat Rekreasi, Jalan Kenangan di sini sehingga menanti permohonan mendapatkan rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diluluskan.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, dia tidak dapat membayar sewa rumah kerana pendapatannya sebagai pembuat roti di sebuah pasar raya tidak mencukupi.
"Walaupun saya telah dihalau keluar daripada rumah tanpa anak-anak bersama tetapi saya tetap menyara kehidupan mereka yang kesemuanya masih bersekolah.
"Saya terpaksa membantu bekas suami yang kini tidak dapat berkerja lagi selepas dia ditimpa kemalangan sebaik sahaja mereka bercerai," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Kesemua anak Fatimah kini tinggal bersama bekas suami di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Peel di sini.
Fatimah yang memeluk Islam sejak 24 tahun yang lalu, berkata, desakan keluarga di Sarawak supaya pulang juga menyebabkan dia semakin susah hati kerana mereka mahu dia kembali ke agama asal.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya Cheras, Hamiddah Sidek berkata, beliau simpati dengan keadaan yang menimpa Fatimah dan mahu membantunya bangun semula membina hidup baru.

3 maut, kereta terjunam tali air




INILAH tempat tiga sekeluarga mati lemas selepas kereta yang mereka naiki terjunam ke dalam tali air di Kilometer 31, Jalan Pekan-Batu Balik, Pekan semalam.


PEKAN – Tiga sekeluarga termasuk sepasang suami isteri terbunuh selepas kereta Datsun 120Y dinaiki mereka terbabas ke dalam sebuah tali air ketika mengelak daripada melanggar sebuah motosikal di Kilometer 31, Jalan Pekan-Batu Balik dekat Kampung Pulau Rumput, Pekan semalam.
Tiga mangsa yang terkorban ialah Maarof Mat Sham, 73, bersama isterinya, warga Indonesia mempunyai taraf penduduk tetap dikenali sebagai Karinah, 55, dan anak saudara pasangan itu hanya dikenali sebagai Mahmud, 36.
Hasil bedah siasat mendapati ketiga-tiga mangsa itu terkorban di tempat kejadian akibat lemas di dalam tali air sedalam lima meter.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 8 pagi ketika tiga mangsa itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Pulau Rumput menuju ke bandar Pekan manakala motosikal jenis Yamaha RXZ dari arah Pekan menuju ke Sekolah Teknik Muadzam Shah.
“Sampai di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi seorang remaja gagal memotong sebuah traktor diekori menyebabkan ia bergesel dengan traktor itu sebelum motosikal itu terjatuh ke laluan bertentangan.
“Kereta dipandu Mahmud cuba membrek daripada melanggar motosikal terbabit menyebabkan kereta itu terbabas ke kanan jalan lalu terjunam ke dalam tali air dengan keadaan keempat-empat tayar kereta terbabit berada di atas,” kata beliau ketika ditemui di sini semalam.

Dua wanita jual bayi didakwa



ALING (kiri) dan Thim Thai dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang semalam atas pertuduhan memperdagangkan bayi.


AMPANG - Dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia seminggu bagi tujuan eksploitasi di Ampang Jaya di sini dua minggu lalu.
Tertuduh Yoong Thim Thai, 53, warga tempatan dan Aling Athu, 36, seorang pendatang tanpa izin dari Indonesia didakwa dengan niat bersama telah memperdagangkan bayi perempuan itu di tempat letak kereta pasar raya Tesco Ampang, Ampang Jaya pada pukul 2.30 petang 14 Januari lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pitam pada sesi soal balas




JAGJIT terpaksa duduk atas kerusi roda sebelum dihantar ke hospital di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini semalam gempar apabila seorang peguam tiba-tiba terjatuh dan pitam semasa perbicaraan kes saman bekas suami pengacara dan model Daphne Eleanor Iking terhadap Pengarah Urusan Adidas, Darren Cyoy Khin Ming.
Datuk Jagjit Singh yang mewakili Darren hanya sempat menyoal balas pengadu, Ryan Chong Yiing Yih, 32, selama 20 minit apabila dia terjatuh dan terduduk di kerusinya sambil mengerang kesakitan.
Peguam Akbardin Abdul Kader selaku peguam bersama Jagjit dan mereka yang berada di galeri mahkamah bergegas memberi bantuan kecemasan kepada Jagjit.
Sehubungan itu, Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah membenarkan prosiding ditangguh selama 15 minit bagi memberi ruang kepada Jagjit untuk berehat.
Selang beberapa minit kemudian, Jagjit terpaksa dipapah keluar oleh Akbardin dan kemudian diusung dengan kerusi roda untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Terdahulu, sebelum perbicaraan bermula, Jagjit beberapa kali memohon penangguhan kerana beliau menghidap bronkitis selain turut mengemukakan sijil cuti sakit dari hospital kerajaan dan swasta.
Bagaimanapun, Engku Ahmad Rashdi bertegas supaya prosiding tetap diteruskan kerana sebelum ini ia telah dua kali tertangguh disebabkan ketidakhadiran Darren ke mahkamah.
Menurut Engku Ahmad Rashdi, sekiranya Jagjit tidak boleh menyoal saksi, tugas tersebut boleh diserahkan kepada Akbardin sebaliknya Akhbardin mendakwa tidak boleh berbuat demikian kerana mereka telah membahagikan kerja masing-masing.

Peguam dijel 10 tahun



SEREMBAN – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, M. Kuppusamy (gambar) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas dia didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM66,647.44 enam tahun lalu.
Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman yang berkuatkuasa semalam itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Kuppusamy yang juga seorang peguam didakwa menggelapkan wang berjumlah RM66,647.44 milik seorang anak guamnya di bank CIMB di sini antara 29 Oktober 2005 hingga 6 Disember 2005.

Murid dirotan hingga terkencing




KESAN dirotan pada belakang badan Wan Mohd. Faris.


KUALA TERENGGANU - Seorang murid tahun empat trauma untuk pergi ke sekolah selepas mendakwa dia dirotan oleh seorang guru selepas menghantar kertas ujian di sebuah sekolah di Kuala Besut di sini pada Rabu lalu.
Semasa kejadian, Wan Mohd. Faris Wan Zukri, 10, mendakwa dia baru menghantar kertas ujian kertas pendidikan Islam sebelum dikejutkan dengan tindakan guru lelaki itu yang tanpa sebab telah merotan badannya secara tiba-tiba.
Tindakan guru itu menyebabkan dia terkencing di dalam kelas kerana menahan kesakitan.
"Waktu kejadian, cikgu itu bagi kertas ujian dan selepas saya hantar kertas ujian pada cikgu, saya jenguk kawan saya untuk tengok apa yang dia buat.
"Tiba-tiba cikgu datang terus rotan belakang badan saya. Selepas itu cikgu tanya sakit tak. Belum sempat saya jawab dia rotan saya sekali lagi," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kisah derita empat beradik



KAMPUNG BERIS TOK KU - Nasib empat beradik yang bertindak melarikan diri kelmarin dipercayai kerana tidak tahan dengan perangai bapa mereka yang disifatkan panas baran telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk sesi kaunseling dan rawatan lanjut.

Empat beradik itu dijumpai orang awam setelah mendapati mreka dalam keadaan tidak bermaya akibat keletihan.

Setelah membuat laporan polis, kanak-kanak itu mendakwa telah lama menjadi mangsa penderaan bapanya namun terpaksa bersabar walaupun hidup tertekan.

Sebaik laporan dibuat, pihak polis bertindak menahan bapa kepada kanak-kanak tersebut yang lebih dikenal sebagai Pak Nik.

Bertindak atas kisah itu, Sinar Harian mendapatkan pandangan penduduk serta pihak berkenaan bagi mengulas lanjut mengenai kes tersebut.

“Memang sebelum ini sikap panas baran Pak Nik oleh penduduk setempat terhadap anak sudah diketahui tetapi memandangkan sikapnya yang tidak suka bergaul dan marah apabila mencampuri urusan keluarga menyebabkan semua penduduk tidak ambil kisah,” demikian menurut penduduk yang mahu dikenal sebagai Kak Mah, 40-an.

Menurut Kak Mah, jika melihat keadaan anak Pak Nik yang lebam di beberapa bahagian badan dan mempunyai kesan parut memang timbul perasaan kasihan dan bersimpati untuk membantu.

“Namun disebabkan memikirkan sikap bapa mereka yang terlalu garang dan marah apabila mengetahui orang kampung mencampuri urusan mereka menyebabkan masing-masing berdiam diri.

“Selain itu, kehadirannya di kampung ini juga seolah-olah pendatang kerana sebelum ini dia pernah tinggal di Kampung Saujana sebelum menetap di sebuah pondok projek tanaman herba Jabatan Pertanian untuk mengusahakan tanaman mas cotek,” katanya.

Kak Mah berkata, apa yang menyedihkan jika diperhatikan, mereka semuanya dilayan seperti hamba ayah sendiri kerana pada waktu pagi telah disuruh bekerja menanam pokok dan mencangkul tanah di kawasan sekitar sedangkan pada waktu itu kanak-kanak lain pergi ke sekolah.

“Kadang-kadang daripada apa yang diberitahu remaja lelaki yang bermain bola di belakang rumahnya, mereka pernah melihat Pak Nik mengayun golok ke arah anaknya sehingga mereka lari bertempiaran menyelamatkan diri.

“Saya pernah bertanya kepada empat beradik mengenai :keselamatan semasa berada di bawah jagaan bapanya dan mereka memberitahu sentiasa menjadi mangsa penderaan setiap kali ayahnya tidak berpuas hati,” katanya.

Menurut Kak Mah, empat beradik itu juga pernah tidak mengaku Pak Nik sebagai ayah kandung kerana sikapnya yang terlalu garang dan sentiasa memukul tanpa sebab munasabah.

Kak Mah memberitahu, sebelum isteri Pak Nik meninggalkan pondok itu, semua anak dibawa bersama ke Johor Bahru kerana tidak tahan dengan sikap Pak Nik.

“Bagaimanapun, ia tidak lama kerana Pak Nik berjaya menjejaki anaknya semula dan membawa pulang ke sini,” katanya.

Tempoh reman dilanjut


TUMPAT - Mahkamah Majistret di sini, menyambung reman seorang warga emas wanita dan anak lelakinya selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan polis berhubung rampasan sebanyak 3,800 pil khayal dipercayai pil kuda bernilai RM76,000 pada 18 Januari lalu.

Majistret, Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat membenarkan kedua-dua beranak yang diberkas polis dalam satu serbuan di Wakaf Baharu, Tumpat itu ditahan sehingga 1 Februari hadapan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintenden Sharifuddin Yusof, ketika dihubungi mengesahkan mengenai reman tersebut bagi menyambung tempoh reman yang dikeluarkan mahkamah sama pada tarikh kejadian dan berakhir semalam.

“Saya mengesahkan lanjutan reman selama tujuh hari, bermula semalam sehingga 1 Februari hadapan bagi melengkapkan siasatan terhadap kes berkaitan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 59 tahun dan anak lelakinya berusia 30 tahun ditahan di sebuah rumah pada jam 4.30 petang di Wakaf Bharu, Tumpat.

Hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah tersebut, polis menemui dadah dalam bentuk pil sebanyak 3,800 dipercayai pil kuda.

Kedua beranak itu dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar pil khayal sejak enam bulan lalu dan mendapatkan bekalan secara terus dari negara jiran.

Kedua-dua mereka ditahan reman sehingga 25 Januari lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kabel dipotong jejas elektrik




LUNAS - Beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik setelah kabel utamanya dipotong oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab petang kelmarin.

Ia membabitkan kawasan Lunas, Padang Serai, Kulim, Taman Mahsuri, Kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), Taman Seladang, Taman Sentosa, Taman Sutera Indah dan seluruh Taman Makmur termasuk kawasan perindustriannya.

Jurutera Senggaraan Kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah, Abd Razak Taib berkata, bekalan elektrik terputus pada jam 1.03 petang kelmarin dan ia direkodkan melalui alat sistem pengesan kerosakan. Ia pulih beberapa jam kemudian.

Beliau berkata kabel dipotong di ‘cable bridge’ yang melintasi Sungai Selarong kira-kira 1.4 kilometer dari pencawang masuk utama (PMU) Guthrie ke pencawang pembahagian utama Taman Makmur.

“Siasatan yang dijalankan terhadap kabel yang dipotong mendapati ada pihak menceroboh ke lokasi kabel TNB untuk mencuri tembaga yang berada di dalamnya.

“Individu yang melakukan perbuatan itu kemungkinan terpotong pendawaian di bahagian dalam kabel menyebabkannya meletup dan mengakibatkan bekalan elektrik terputus. Mangsa dipercayai mengalami kejutan elektrik berdasarkan kesan letupan pada pendawaian itu,” katanya.

Menurutnya, letupan yang berlaku mengakibatkan 101 pencawang elektrik terputus bekalan.

Selain itu, kira-kira 15,000 pengguna pelbagai kategori termasuk domestik, komersil dan industri terlibat dengan gangguan itu.

Sehingga kini TNB masih menyiasat jumlah kerosakan dan kerugian yang dialami.

Menurutnya, laporan polis mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Kulim.

“Bekalan dapat dipulihkan secara berperingkat menerusi sumber punca bekalan lain. Keseluruhan pengguna terlibat dengan gangguan ini mendapat semula bekalan pada jam 4.41 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan mengesahkan laporan yang dibuat TNB dan belum mendapat apa-apa maklumat mengenai mangsa yang dimasukkan ke hospital akibat terkena renjatan elektrik.

Jangan terpedaya


PASIR GUDANG – Seorang wanita terkejut apabila menerima sistem pesanan ringkas (SMS) yang kononnya daripada suaminya yang meminta menambah nilai kad prabayar telefon bimbit melalui kad sim yang baru dibeli.

Khamisah Md Tahir, 40, berkata, lebih memeranjatkan apabila SMS tersebut memaklumkan kepadanya bahawa suaminya sedang berurusan penting di balai polis.

Menurutnya, tindakannya yang segera menghubungi suami merungkai penipuan SMS tersebut apabila suaminya tidak berada di balai polis, malah tidak menghantar SMS meminta isteri menambah nilai kad prabayar telefon bimbitnya.

“Pada mulanya, saya terkejut jugalah apabila SMS tersebut mengatakan daripada suami saya yang sedang berurusan penting di balai polis, tetapi nasib baik tidak segera menuruti kehendak pengirim SMS tersebut.

“Suami menyuruh saya memadam SMS tersebut dan tidak membenarkan saya membalas SMS atau menghubungi nombor tersebut kerana mengesyaki sindiket penipuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Khamisah berkata, nombor telefon bimbitnya yang diedarkan ke merata tempat kerana urusan tempahan menjahit baju tidak mustahil diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, isu penipuan melalui SMS ini kerap didengari daripada rakan dan jiran, tetapi sehingga kini masih berleluasa seolah-olah tiada penyelesaian oleh pihak bertanggungjawab.

“Saya menyeru orang ramai terutama kaum wanita supaya tidak mudah terpedaya dengan SMS sedemikian, sebaliknya mengambil tindakan bijak atau menghubungi suami terlebih dahulu untuk mengesahkan kejadian.

“Pihak bertanggungjawab juga diminta lebih peka dengan isu ini dan boleh mencari jalan penyelesaian terbaik kerana saya percaya sudah ramai yang menjadi mangsa penipuan sebegini,” katanya.

Budak melecur akhirnya meninggal dunia



KANGAR – Selepas melecur teruk akibat tersimbah air panas 24 Januari lalu, seorang kanak-kanak, Noraini Syazwani Abdullah yang berusia dua tahun 11 bulan meninggal dunia, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintendan Nashir Ya berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang sedang bermain di rumahnya di Simpang Empat dekat sini tiba-tiba menerpa ke arah ibunya yang ketika itu menuang air panas ke dalam balang.

Beliau berkata, akibatnya kejadian itu, air panas tersebut tertumpah mengenai mangsa sehingga menyebabkan mangsa melecur teruk pada bahagian perut hingga lutut.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HFT) di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal kira-kira jam 1.20 awal pagi semalam,” katanya.

Nashir berkata, hasil siasatan menunjukkan tiada unsur jenayah boleh disabitkan dan kes disifatkan sebagai mati mengejut.