Search This Blog

Friday, January 28, 2011

VIP nikah tanpa rekod


PALSU...kad nikah yang dikeluarkan sindiket.
PALSU...kad nikah yang dikeluarkan sindiket.

KUALA LUMPUR: Bagi menutup pernikahan kedua mereka daripada diketahui isteri pertama, segelintir VIP dikesan menggunakan sindiket nikah tidak bertauliah yang menyediakan pakej lengkap dengan sijil nikah kononnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Sindiket berkenaan yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun lalu cuma mengenakan bayaran RM3,000 dan ia dikatakan mendapat sambutan hangat di kalangan orang kenamaan yang ingin berpoligami secara diam-diam berikutan sijil nikah palsu yang dikeluarkan itu. Menurut sumber, sindiket itu bijak memancing pasangan supaya menggunakan khidmat mereka dengan meyakinkan pernikahan diuruskan bukan saja sah dari segi Islam, malah turut diperakui Jawi dengan sijil perkahwinan dan kad nikah dikeluarkan sebaik proses ijab kabul selesai.

Sumber itu berkata, majlis ringkas ijab kabul kebiasaannya dilakukan di hotel sekitar ibu negara dan pengantin perempuan selalunya membawa saudara lelaki terdekat mereka sebagai wali.

“Khidmat disediakan sindiket itu mendapat sambutan sebab pengantin lelaki tidak perlu bersusah payah melalui prosedur berpoligami yang agak ketat di pejabat agama atau membelanjakan kos yang tinggi untuk bernikah di negara jiran.

“Bagaimanapun, penipuan sindiket itu terbongkar apabila perkahwinan pasangan yang menggunakan khidmat sindiket itu tidak kekal lama dan terpaksa bercerai,” katanya. Menurutnya, selepas bercerai, isteri kedua yang dijatuhkan talak pergi ke pejabat Jawi untuk mengesahkan perceraian dan ketika itulah masalah mula timbul apabila dimaklumkan perkahwinannya tiada dalam rekod atau tidak pernah didaftarkan di Jawi.

“Bila tiada dalam rekod pendaftaran perkahwinan, macam mana nak diuruskan atau didaftarkan perkahwinan? Pada masa inilah bekas isteri terbabit berdepan masalah masalah besar kerana dia tidak berhak membuat tuntutan nafkah dan sebagainya,” kata sumber itu.

Beliau yang menguruskan pusat aduan rumah tangga dan menyediakan khidmat kaunseling berkata, setakat ini pihaknya menerima aduan daripada lapan wanita yang menjadi mangsa sindiket berkenaan.

“Sekali imbas, memang sijil dan kad nikah dikeluarkan sindiket itu seperti tulen, tapi selepas kami menyelidikinya betul-betul didapati tandatangan yang tertera di atas dokumen berkenaan bukan tandatangan individu yang mempunyai kuasa, sebaliknya tidak diketahui ia tandatangan siapa,” katanya.
Berikutan itu, beliau meminta pihak berkuasa kuasa khususnya Jawi melakukan siasatan kerana ada kemungkinan wujud pembabitan ‘orang dalam’ yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan hingga mereka mampu mengeluarkan sijil dan kad akuan nikah yang nampak seperti tulen.

“Tambahan pula, mengikut aduan lapan wanita yang menjadi mangsa sindiket itu mereka berurusan dengan individu yang sama dan lelaki itu turut mendakwa dia bekerja di Jawi,” kata sumber berkenaan. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, orang ramai seharusnya sedar tiada jalan pintas untuk melakukan proses pernikahan, apatah lagi berpoligami, sebaliknya ia perlu melalui prosedur ditetapkan. “Tak ada ‘pintu belakang’ kepada sesiapapun termasuk golongan VIP untuk mempercepatkan proses poligami dan mahu mendapatkan kad serta sijil nikah. “Jika ada pihak mendakwa mampu menyediakan cara mudah tanpa mengikuti prosedur, bermakna ia satu penipuan kerana kad akuan nikah tulen hanya boleh dikeluarkan Jawi dan kad itu mempunyai ciri-ciri keselamatan tertentu,” katanya.

Tuan Asmawi berkata, pihaknya memandang serius masalah itu dan akan menyiasat kes seumpamanya sebelum tindakan diambil.

“Kita tahu dan kenal semua pendaftar nikah yang ada. Malah, ada pendaftar nikah yang kita terpaksa tamatkan perkhidmatan disebabkan faktor disiplin.

“Sebagai contoh, ada pendaftar nikah dibuang disebabkan terlalu lama memerap pernikahan dilangsungkan mereka sehingga mempelai menanggung kelewatan pengeluaran sijil dan kad nikah terlalu lama,” katanya.

Justeru, katanya, pihak yang mahu melangsungkan poligami dinasihatkan mengikut prosedur.

Tiga ditahan, dadah RM100,000 dirampas



28/01/2011 7:50pm

IPOH – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Perak menahan tiga lelaki dan berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah dan merampas dadah bernilai lebih RM100,000 di daerah Kerian, awal hari ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, ketiga-tiga suspek berumur antara 39 hingga 42 tahun itu ditahan pada 12.15 tengah malam tadi di sebuah rumah di Jalan Bagan Selatan, Tanjung Piandang, Kerian, 120km dari sini.
Katanya, mereka ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian diketuai ASP Frediel Anak Nyambong hasil maklumat risikan.
Zakaria berkata, polis menemui satu bungkusan kertas yang di dalamnya mengandungi bahan dipercayai dadah heroin base seberat 485gm, empat botol kaca berisi cecair yang dipercayai mengandungi bahan kimia untuk memproses dadah jenis heroin dan satu bungkusan plastik mengandungi serbuk putih dipercayai ”kafein” seberat 26kg.
Turut dirampas lain-lain perkakas seperti alat pengisar, penimbang, besin aluminium, besin plastik, sudip kayu, penapis plastik, tong gas dan dapur gas, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Zakaria berkata, kesemua suspek berasal dari Tanjung Piandang dan hasil siasatan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah pada 1997 dan 2005.
Mereka direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.
Beliau berkata nilai anggaran dadah yang dirampas lebih kurang RM36,000 yang boleh menampung 600 penagih dan berdasarkan rampasan berkenaan, dipercayai ia boleh menghasilkan 3kg dadah jenis heroin no 3 setelah diproses dan bernilai melebihi RM100,000.
Dipercayai sindiket berkenaan memasarkan dadah itu di kawasan Perak, Pulau Pinang dan Kedah. - Bernama

TLDM tahan 41 awak-awak, tekong



LUMUT – Sebuah bot nelayan bersama 41 awak-awak termasuk tekong warga Indonesia ditahan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Kinabalu atas kesalahan menceroboh serta menangkap ikan di perairan negara, Selasa lalu.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tiga, Kapten (M) Ang Cheng Hwa berkata, penahanan itu dilakukan kira-kira jam 8.40 malam iaitu 25 batu nautika Barat laut Pulau Jarak.

Menurutnya, bot nelayan ditahan itu menggunakan pukat jerut untuk menangkap ikan dan mereka diserahkan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

"Selepas pemeriksaan dilakukan, bot berkenaan didapati berasal dari Tanjung Balai, Indonesia dan memiliki nombor pendaftaran 2610 PPB/KM Mulia Jaya serta mempunyai muatan 0.5 tan ikan kerisi dan tongkol," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Cheng Hwa berkata, semua awak-awak dan tekong itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan.

Menurutnya, bot itu juga tidak mempunyai kebenaran menangkap ikan yang sah di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

“Bot bersama 41 awak-awak dan tekong berumur lingkungan 20 hingga 58 tahun ditahan dan dibawa ke perairan Pulau Pangkor untuk diserahkan kepada APMM Pengkalan Maritim di Lumut.

“Seterusnya Bot Petir 80 bersama Kilat 51 ditugaskan menerima bot nelayan dan semua awak-awak berkenaan pada jam 4 pagi kelmarin, untuk dibawa masuk ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kampung Acheh, Sitiawan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Cheng Hwa berkata, insiden itu akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan perikanan Malaysia.

“Jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 bagi setiap awak-awak.

"APMM juga akan membuat permohonan reman ke atas mereka di bawah Seksyen 47D Akta Perikanan 1985,” katanya.

Ummi Hafilda sedia dedah 'kes dahsyat'



KUALA LUMPUR – Ummi Hafilda Ali mendakwa akan mendedahkan satu kes ‘dahsyat’ melibatkan abang kandungnya, Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun beliau mendakwa akan berbincang terlebih dahulu perkara itu dengan polis sebelum mendedahkannya.

“Saya ada satu kes yang amat ngeri melibatkan Azmin dan Anwar untuk didedahkan tetapi saya perlu merujuk terlebih dahulu dengan polis sebelum mendedahkannya.

“Jadi tidak perlu saya sebutkan di sini kerana saya akan berbuat demikian sekiranya mendapat keizinan polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, untuk bertemu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.
Ummi Hafilda datang untuk membuat laporan polis serta memberi keterangan melibatkan Azmin dan Anwar, semalam.

Bagaimanapun, laporan polis tidak dapat dibuat kerana Mohd Bakri mem-punyai urusan yang tidak dapat dielakkan dan berkemungkinan pertemuan mereka akan diadakan dalam masa terdekat.

Ummi Hafilda berkata, laporan polis dibuat untuk membersihkan namanya yang didakwa tercemar akibat difitnah.

Beliau mendakwa difitnah mempunyai skandal seks dengan individu tertentu sehingga menyebabkan maruahnya tercemar.

Menurutnya, fitnah itu dipercayai adalah konspirasi terhadapnya setelah dia tidak mahu bersekongkol untuk menarik balik surat salah laku Anwar yang ditulisnya kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sudah sampai masanya saya membersihkan nama yang tercemar dan saya mahu keadilan ditegakkan,” katanya.

Ummi Hafilda berkata, dia ada dokumen berupa bukti untuk diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan.

Suami isteri dihukum gantung



TEMERLOH – Mahkamah Tinggi, di sini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pasangan suami isteri bersama seorang rakan mereka selepas didapati bersalah mengedar ganja seberat 4.521 kilogram pada 9 Mac tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu, semalam, setelah berpuas hati dengan keterangan pihak pendakwaan dan membandingkan hujah pembelaan.

Mereka dituduh pada 12 April tahun lalu di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Di akhir kes, selepas meneliti dan membandingkan hujah, mahkamah mendapati kesemua tertuduh bersalah atas pertuduhan dikemukakan.

“Saya percaya keseluruhan dakwaan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Maka, ada satu hukuman sahaja yang ditetapkan bagi kesalahan di bawah seksyen ini dan saya menjatuhkan hukuman mati,” katanya.

Sebaik hukuman dibacakan, Ahmad Mukamal Abdul Wahab 37; Suhana Kamarudin 28 dan Shawal Hashim, 37, kelihatan menggeleng-gelengkan.

“Saya tak salah, saya ada anak, saya janji dengan anak nak balik,” rayu Suhana.

Terdahulu, Ahtar berkata, pihak pembelaan dalam hujahnya hanya mengemukakan cerita mengenai daun ketum dan bateri kereta rosak pada perbicaraan semalam dan tidak pada perbicaraan terdahulu.

Menurutnya, keterangan semua tertuduh tidak berjaya mewujudkan keraguan munasabah terhadap pihak pendakwaan.

Akhtar juga tidak dapat menerima alasan yang dikemukakn tertuduh bahawa transaksi yang dilakukan di parkir kereta berhampiran McDonald's Genting Sempah adalah jual beli sayur.

Beliau juga tidak percaya keterangan yang diberikan tertuduh berbanding bukti kukuh yang dikemukakan sebelas saksi pendakwaan.

Sinar Harian difahamkan Suhana telah berkahwin dengan Shawal selepas mereka ditangkap.

Berdasarkan fakta kes, mereka dituduh mengedar ganja seberat 4.521 kilogram pada 9 Mac 2010, kira-kira jam 12.30 malam.

Pendakwaan semalam dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Najmi Daud manakala Ahmad Mukamal dan Shawal diwakili peguam Zulkafli Abd Hamid. serta Ahmad Nizam Hamid mewakili Suhana.

Suspek Kes Bunuh Remaja Didakwa

Suspek kes bunuh dan tanam di Sadong Jaya, Sarawak, 17 Januari lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sanarahan pagi tadi.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwaraya, Poh Yih Tinn di hadapan Majistret Mohd Annie Wahab.

Bagaimanapun tiada pengakuan dicatatkan.

Tarikh sebutan semula kes bagi meminda kes ke Mahkamah Tinggi masih belum ditetapkan.

Tertuduh, Abang Ibrahim Abang Ahmad, 19 tahun didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa membunuh dan menanam Taufik Abdul Rahim, 15 tahun di bawah stor belakang rumah tertuduh.

Mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala akibat dipukul objek keras.

Kes Kugan - Navindran Lepas Tuduhan



28/01/2011 15:22:07

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan dan membebaskan Konstabel V. Navindran daripada 2 tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang tahanan polis, A. Kugan, 2 tahun yang lalu.

Hakim Aslam Zainuddin berkata setelah meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, beliau mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie dalam pertuduhan terhadap Navindran.

Beliau tidak memberikan sebarang alasan penghakiman.

Navindran, 28, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik soal siasat Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya antara 7 pagi dan 4 petang pada 16 Januari 2009.

Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.

Kedua-dua pertuduhan terhadap Navindran itu adalah mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan
.

Rusuhan tuntut hosni mubarak undur


API marak memusnahkan balai bomba yang dibakar penunjuk perasaan yang menuntut pengunduran Presiden Hosni Mubarak manakala polis anti rusuhan berkawal di utara Mesir. - Foto AFP

Dua remaja didakwa bunuh datuk




JEMPOL (Negeri Sembilan): Dua remaja lelaki kelmarin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau atas tuduhan membunuh seorang warga emas dan mencederakan isteri mangsa di Felda Palong Dua, di sini, pada pertengahan bulan ini.
Bagi tuduhan pertama, kedua- dua tertuduh berusia 17 tahun itu didakwa membunuh Encik Mohtar Yusoh, 71 tahun, pada 8 malam, 13 Januari lalu.Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.Salah seorang tertuduh merupakan cucu mangsa.Kedua-dua tertuduh yang tinggal di Melaka hanya mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Majistret Ellyana Razali.Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.Kedua-dua remaja itu turut menghadapi tuduhan kedua iaitu mencederakan isteri mangsa, Cik Halimah Yasin, 57 tahun, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.Bagi tuduhan kedua ini, mereka berdua mengaku tidak bersalah.Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mahmud Abdullah, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.Hakim Ellyana menetapkan 28 Februari ini bagi sebutan semula kes itu dan tiada jaminan dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh.Memetik laporan akhbar, pada hari kejadian, suami isteri itu disamun empat remaja ketika pulang ke rumah mereka di Felda Palong Dua selepas satu majlis tahlil. Encik Mohtar mati ditikam salah seorang remaja terbabit, yang memecah masuk rumah mereka.Isteri mangsa pula dicederakan dengan sebuah objek keras sehingga menerima 30 jahitan di bahu, dada dan lengan.Kedua-dua tertuduh kemudian melarikan beg milik Cik Halimah yang berisi wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM10,000 ($4,200). -- Utusan Malaysia.

Premis niaga yang disyaki guna tenaga kanak-kanak diserbu



Penyelia dan tiga tenaga pengajar pusat tahfiz turut ditahan dalam serbuan


PORT DICKSON: Sebuah premis perniagaan yang dipercayai menggunakan tenaga kanak-kanak untuk menjual pelbagai barangan di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu membabitkan pelbagai jabatan di Lukut, pagi kelmarin, lapor sebuah akhbar tempatan, semalam.
Ketika serbuan, terdapat kira- kira 80 kanak-kanak berusia di antara 10 dengan 15 tahun berada di premis lot kedai yang turut menempatkan pejabat operasi perniagaan.Akhbar Harian Metro difahamkan, kanak-kanak berkenaan adalah pelajar sebuah pusat tahfiz di Kedah dan berada di situ untuk beberapa hari bagi menjalankan perniagaan.Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata pihaknya ada menerima aduan daripada orang ramai mengenai kanak-kanak itu, yang mengutip derma dan menjual barangan.'Kanak-kanak terbabit mengutip derma dan menjual barangan sekitar bandar ini, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban dan Nilai di Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus).'Berikutan itu, pihak kami memeriksa premis terbabit dan tiga kakitangan di situ ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Lukut untuk membantu siasatan,' katanya.Akhbar Utusan Malaysia pula semalam melaporkan bahawa seorang penyelia dan tiga tenaga pengajar pusat tahfiz itu ditahan.Mereka yang dikatakan dalam lingkungan usia 40-an tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di premis berkenaan di Chuah, dekat sini, oleh JHEAINS dan tiga lagi agensi kerajaan Malaysia.Jurucakap JHEAINS dipetik oleh Harian Metro sebagai berkata serbuan tersebut turut disertai polis, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.MPPD, dalam satu kenyataannya, berkata lima saman dikeluarkan terhadap pengurusan premis itu, iaitu kesalahan melakukan binaan tanpa kelulusan, berniaga tanpa lesen dan menggunakan premis perniagaan sebagai stor.Sementara itu, Pengurus Pemasaran Pusat Rawatan Cinta Negeri Sembilan/Melaka, Encik Badrin Mispami, memberitahu Harian Metro bahawa penjualan barangan oleh pelajar pusat tahfiz itu sebahagian daripada aktiviti kokurikulum yang bertujuan menjadikan mereka ahli perniagaan berjaya pada masa depan.'Pusat itu hanya dijadikan transit apabila pelajar menjual barangan sekitar negeri ini antara dua hingga tiga hari,' katanya.Bagaimanapun, melalui pemeriksaan yang dilakukan, rata-rata kanak-kanak itu menetap di sana buat tempoh lebih lama dan menjalankan aktiviti jualan amal dan kebajikan pada sebelah petang hingga malam, lapor Utusan Malaysia, sambil memetik jurucakap JHEAINS itu.'Ada di antara mereka tidak rela melakukan tugas itu dan mahu meneruskan pelajaran secara normal. Rata-rata kanak-kanak ini adalah anak yatim dan daripada keluarga susah,' ujar jurucakap tersebut.

Penduduk Jeddah mengeluh dilanda banjir lagi



Kota diselubungi bau busuk lepas air kumbahan melimpah


JEDDAH: Hujan yang tidak henti-henti telah menenggelamkan jalan-jalan raya dan memutuskan bekalan elektrik di banyak bahagian bandar kedua terbesar Arab Saudi ini kelmarin hingga menyebabkan kebimbangan akan berulangnya banjir pada 2009 yang mengorbankan lebih 120 orang.
Banjir terbaru ini telah mencetuskan satu perbahasan awam yang jarang berlaku, mengenai kelemahan-kelemahan dalam prasarana negara pengeluar minyak terbesar itu, yang juga merupakan antara negara terkaya di dunia.Arab Saudi merupakan kerajaan tanpa parlimen terpilih dan tidak toleran terhadap sebarang bantahan awam.Banjir kelmarin telah menyebabkan kereta-kereta terapung di jalan-jalan raya yang berubah menjadi sungai, sedang najis daripada tangki-tangki bawah tanah melimpah keluar dan bercampur dengan air bah hingga mengeluarkan bau busuk yang menyelubungi pelabuhan Laut Merah dengan empat juta penduduk, tetapi tiada sistem kumbahan itu.Bot-bot dan helikopter digunakan bagi operasi mencari di kawasan yang dipenuhi air sedang ramai tidak dapat pulang dari sekolah atau tempat kerja mereka.Ramai penduduk telah lama mengadu tentang pengabaian di negara Teluk Arab yang mempunyai lebihan rizab luar negara AS$400 bilion ($512 bilion) hasil harga minyak yang tinggi itu.Raja Abdullah, yang sedang berehat di New York selepas satu pembedahan, telah mengarahkan operasi menyelamat ditingkatkan dan memberi amaran kepada 'sesiapa yang melambatkan perintah ini,' kata media negara itu.'Perintah ini harus dilaksanakan tanpa berlengah-lengah, untuk membantu mengurangkan kerosakan ini, memandangkan hujan dijangka akan terus turun dalam beberapa hari lagi,' kata Raja Abdullah.Pihak berkuasa telah meminta penduduk supaya jangan keluar rumah, tetapi tidak memberikan taksiran segera kematian atau kerosakan.'Kami dibanjiri. Sungguh teruk. Seluruh tingkat pertama rumah saya dipenuhi air dan sebuah sofa saya sedang terapung di ruang tamu. Mengapa kami tidak diberi amaran awal lagi?' kata seorang wanita di Jeddah.Sebelum ini, segala air kotoran dari Jeddah disalurkan ke satu kawasan di tengah padang pasir yang diberi julukan 'Tasik Kasturi' oleh penduduk kerana baunya.Hanya apabila tasik itu mencapai keluasan 340 padang bola dan airnya naik 12 meter, barulah Raja Abdullah memerintahkan pihak berkuasa supaya menghapuskan tasik itu.Kini pegawai bandaran berkata tasik itu sudah kosong dan air kumbahan sudah ditapis dan digunakan buat menyiram pokok di bandar itu. -- Reuters.

SINGAPURA Penunggang, pembonceng motosikal kekal paling banyak maut di jalan raya

SINGAPURA



Oleh
Nuradilah Mahbob

PENUNGGANG dan pembonceng motosikal kekal sebagai pengguna jalan raya paling terdedah kepada bahaya di sini.
Daripada 195 jiwa yang hilang dalam nahas jalan raya tahun lalu, 89, iaitu 45.6 peratus, ialah penunggang dan pembonceng motosikal.Satu lagi golongan yang terdedah ialah pejalan kaki tua, yang membentuk lebih separuh daripada pejalan kaki yang maut tahun lalu.Namun, kadar kematian dan kecederaan akibat nahas jalan raya berkurangan sedikit tahun lalu kepada 91.93 daripada setiap 10,000 kenderaan, daripada 93.41 pada 2009.Ini antara perangkaan yang didedah polis dalam laporan keadaan trafik jalan raya tahun lalu, semalam.Kadar kematian meningkat daripada 1.90 bagi setiap 10,000 kenderaan pada 2009 kepada 2.03 tahun lalu.Namun, kadar kedua paling rendah dalam tempoh lima tahun lalu. Kadar paling tinggi dalam tempoh itu ialah 2.54 bagi setiap 10,000 kenderaan pada 2007.Jumlah 195 kematian jalan raya tahun lalu lebih tinggi daripada 183 pada 2009.Jumlah 89 penunggang dan pembonceng motosikal yang terkorban berkurangan sedikit daripada 92 yang maut pada 2009.Ini walaupun jumlah motosikal yang didaftar di sini tahun lalu bertambah 1 peratus.Seramai 78 penunggang motosikal meninggal di jalan raya tahun lalu, berbanding 83 pada 2009.'Trafik Polis akan terus mengambil pendekatan menyeluruh menerusi tindakan penguatkuasaan, kurikulum latihan yang dipertingkat, taraf latihan lebih ketat dan usaha mendidik orang awam yang lebih menyeluruh bagi mengatasi keprihatinan ini,' ujar polis dalam kenyataannya.Seramai 55 pejalan kaki pula meninggal dunia tahun lalu. Seramai 29 daripada mereka, iaitu 52.7 peratus, berumur 60 tahun ke atas.Daripada jumlah 29 itu, 24 warga tua meninggal kerana tidak menyeberang di lintasan pejalan kaki.Polis turut mendedahkan semalam usaha meningkatkan lagi kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan warga tua.Ia akan bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA), Penduduk Meronda (Citizens on Patrol) dan Pasukan Tindakan Kecemasan Masyarakat bagi menyebarkan mesej keselamatan jalan raya, selain menganjurkan permainan-permainan keselamatan jalan raya dengan kerjasama Kumpulan Bertindak Warga Tua (Sage) dan beberapa pelajar.Polis Trafik juga mungkin menggunakan rancangan televisyen yang popular di kalangan golongan warg tua bagi memberi panduan keselamatan jalan raya.

Banjir dijangka jejas GDP Australia




SYDNEY: Banjir yang melanda banyak kawasan di timur Australia akan mengurangkan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sebanyak 0.5 peratus bagi tahun kewangan 2010, kata Perdana Menterinya, Cik Julia Gillard, semalam.
Beliau turut menjangkakan kos pembangunan semula mencapai A$5.6 bilion ($7.16 bilion).Banjir yang mencapai tahap tertinggi itu telah menjejas wilayah perlombongan dan perladangan Queensland bulan ini dan merosakkan prasarana dan puluhan ribu rumah.Banyak ladang dan rumah masih dilanda bah di tenggara Victoria.'Menurut anggaran awal Perbendaharaan, pertumbuhan GDP tahun kewangan ini akan mencapai kurang setengah peratusan mata,' kata Cik Gillard kepada National Press Club.'Anggaran awal terbaik belanja yang perlu dikeluarkan dalam belanjawan federal berikutan bencana musim panas ini ialah A$5.6 bilion,' tambahnya.Sambil memberi amaran bahawa banjir itu lama-kelamaan akan menajadi 'bencana alam paling merugikan yang pernah disaksikan negara kita', Cik Gillard mengumumkan beberapa potongan perbelanjaan dan berkata beliau akan memperkenalkan levi sekali ke atas gaji individu.Cukai 0.5 peratus itu, yang dijangka dapat mengumpulkan AS $1.8 bilion ($2.3 bilion), hanya dikenakan ke atas mereka yang bergaji lebih daripada AS$50,000 bagi tahun kewangan 2011/12. Mereka yang terjejas oleh banjir secara langsung dikecualikan.Perdana Menteri itu berkata Canberra akan mempercepatkan kelulusan bagi pendatang mahir untuk bekerja di kawasan yang dilanda banjir.Langkah itu bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja ekoran perlombongan pesat yang disebabkan oleh permintaan dari Asia. -- AFP.

21 pelombong dikhuatiri maut di Colombia




SARDINATA (Colombia): Sekurang-kurangnya 21 pelombong dikhuatiri terbunuh selepas sebuah lombong arang batu meletup di timur laut Colombia, kelmarin. Sejauh ini, 14 mayat telah ditemui sementara tujuh masih hilang.
Seorang pegawai Institut Geologi dan Perlombongan Colombia yang dikejarkan ke tempat kejadian berkata peluang menemui pelombong hilang dalam keadaan masih hidup tipis.'Dengan keadaan bencana seperti ini, peluang menemui mereka masih bernyawa cukup tipis,' kata beliau.Letupan dipercayai disebabkan minyak tanah yang digunakan pelombong, kata Datuk Bandar Sardinata, Encik Yamil Rangel.Menteri Perlombongan, Encik Carlos Rodado, berkata lombong di pinggir Sardinata, di Wilayah Norte de Santander yang bersempadan dengan Venezuela, itu akan ditutup sehingga siasatan selesai dijalankan.Pegawai pertahanan awam, pegawai bomba dan askar telah dikerahkan ke tapak kejadian bagi membantu usaha menyelamat.Ketika ditemui, seorang pelombong, Encik Fabio Veloso, 63 tahun, berkata beliau terselamat daripada letupan itu kerana sedang dalam waktu rehat. Dua saudara lelaki dan sepupunya turut bekerja di lombong itu dan beliau tidak tahu nasib mereka.'Saya pernah melalui bencana serupa dan orang yang saya kenali mati,' katanya, merujuk kepada dua letupan serupa di lombong itu.Dalam letupan pada Oktober tahun lalu, enam pelombong terkorban dan dua cedera.Pada 2007 pula, sekitar 30 pelombong terkorban dalam satu letupan di lombong sama. -- AFP.

Tiga ditahan, dadah RM100,000 dirampas



28/01/2011 7:50pm

IPOH – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Perak menahan tiga lelaki dan berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah dan merampas dadah bernilai lebih RM100,000 di daerah Kerian, awal hari ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, ketiga-tiga suspek berumur antara 39 hingga 42 tahun itu ditahan pada 12.15 tengah malam tadi di sebuah rumah di Jalan Bagan Selatan, Tanjung Piandang, Kerian, 120km dari sini.
Katanya, mereka ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian diketuai ASP Frediel Anak Nyambong hasil maklumat risikan.
Zakaria berkata, polis menemui satu bungkusan kertas yang di dalamnya mengandungi bahan dipercayai dadah heroin base seberat 485gm, empat botol kaca berisi cecair yang dipercayai mengandungi bahan kimia untuk memproses dadah jenis heroin dan satu bungkusan plastik mengandungi serbuk putih dipercayai ”kafein” seberat 26kg.
Turut dirampas lain-lain perkakas seperti alat pengisar, penimbang, besin aluminium, besin plastik, sudip kayu, penapis plastik, tong gas dan dapur gas, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Zakaria berkata, kesemua suspek berasal dari Tanjung Piandang dan hasil siasatan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah pada 1997 dan 2005.
Mereka direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.
Beliau berkata nilai anggaran dadah yang dirampas lebih kurang RM36,000 yang boleh menampung 600 penagih dan berdasarkan rampasan berkenaan, dipercayai ia boleh menghasilkan 3kg dadah jenis heroin no 3 setelah diproses dan bernilai melebihi RM100,000.
Dipercayai sindiket berkenaan memasarkan dadah itu di kawasan Perak, Pulau Pinang dan Kedah. - 

5 kes penipuan: Polis tahan dua lelaki


SIBU – Polis Sibu menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam pelbagai komplot di seluruh Sarawak, termasuk lima kes penipuan di sini, kata Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu, seorang berbangsa Cina berumur 40 tahun dari Sarikei dan seorang Iban berusia 45 tahun dari Debak, ditahan pada Rabu, manakala anggota ketiga sindiket berkenaan, seorang lelaki berusia 50 tahun, masih bebas.
"Kami percaya jumlah keseluruhan dalam lima kes penipuan di Sibu sahaja mencecah RM41,000 dan lebih ramai lagi penduduk Sibu yang menjadi mangsa sindiket yang sama namun enggan melaporkan kepada polis untuk mendapatkan bantuan kerana malu, katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat polis Sibu di sini.
Beliau berkata, sindiket itu juga bergiat aktif menjalankan operasi haram mereka di bahagian lain negeri ini seperti Kuching, Miri dan Bintulu.
Shafie berkata, modus operandi sindiket itu menggunakan taktik yang sama untuk mencari mangsa iaitu menggunakan seorang anggota yang berbangsa Iban untuk mendekati mangsa dan mendakwa dia memenangi loteri RM200,000, tetapi tidak dapat menuntut wang hadiah disebabkan dia seorang 

Pekerja bunuh suami kekasih tak waras



28/01/2011 7:52pm

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan seorang pekerja binaan daripada tuduhan membunuh suami teman wanitanya setelah didapati tertuduh tidak waras.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin memerintahkan R. Govindaraj, 35, dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan sehingga mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Mohamad Zabidin berkata, ketika kejadian, Govindaraj gagal berfikir bahawa apa yang dilakukannya adalah salah di sisi undang-undang.
Mahkamah telah mendengar keterangan daripada 20 orang saksi pendakwaan, manakala tertuduh dipanggil membela diri pada 22 April lepas.
Govindaraj didakwa membunuh K. Daruma Rajan, 44, seorang pekerja pembinaan, di rumah bernombor 1401, Kampung Sri Pakar, Salak Selatan di sini antara 9 malam 30 April 2007 dan 9 pagi keesokannya. – Bernama

Mati lemas, kereta terjatuh ke dalam sungai



28/01/2011 7:58pm

SANDAKAN – Seorang lelaki dilaporkan mati lemas selepas kereta yang dinaikinya terjatuh ke dalam anak sungai di sebuah ladang sawit di Batu 14, Jalan Taman Jalil Alip di sini hari ini.
Adami Madi, 55, mati lemas dipercayai terperangkap di dalam kereta pacuan empat roda itu.
Anaknya yang berusia 20-an dan pemandu kenderaan berkenaan terselamat dalam kemalangan 11.30 pagi itu.
Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Apandi Mahmood, ketiga-tiga mereka sedang dalam perjalanan keluar dari sebuah ladang selepas mengambil buah kelapa sawit.
"Pemandu kereta itu dilaporkan tidak dapat melihat anak sungai di tepi jalan yang telah dinaiki air banjir, menyebabkan kereta itu terjatuh ke dalam anak sungai.
"Anak mangsa dan pemandu kereta berjaya keluar menerusi tingkap kereta,” katanya. – Bernama

Ramai tertipu walau pun amaran dikeluarkan


KUALA LUMPUR – Semakin ramai rakyat Malaysia terperangkap dalam kes penipuan kewangan seperti penipuan bomoh, tilik nasib dan sebagainya meski pun amaran dari pihak penguasa kerap dikeluarkan.
Walau pun modus operandi kes-kes itu hampir serupa dan selalu dihebahkan kepada orang awam, masih ramai yang tertipu dan terperangkap dengan sindiket berkenaan.
Antara kes penipuan yang terkenal ialah melibatkan kes penipuan Peraduan Akademi Fantasia 4 (AF4) melalui sistem pesanan ringkas (SMS), kata Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Buku Panduan “AWAS: Penipuan Kewangan”.
BNM, melalui buku panduan itu, telah mendedahkan beberapa jenis modus operandi sindiket penipuan kewangan dalam usahanya membasmi jenayah berkenaan.
Usaha itu adalah penting memandangkan terdapat pelbagai jenis skim kewangan secara haram dan penipuan kewangan di mana modus operandinya sentiasa berubah-ubah untuk terus memperdayakan orang ramai. – Bernama

Waran tangkapan ke atas bekas presiden Tunisia




TUNIS: Interpol telah mengeluarkan satu waran tangkapan ke atas bekas Presiden Tunisia yang disingkirkan, Zine El Abidine Ben Ali, sedang bantahan-bantahan yang menuntut pemisahan terus daripada rejim lama semakin meningkat menjelang pembaharuan kabinet semalam.
Agensi polis rentas sempadan itu berkata negara-negara anggotanya, termasuk Arab Saudi - tempat Ben Ali melarikan diri - telah diminta 'mencari, mengenal pasti lokasi dan memberkas Ben Ali buat sementara,' bagi menanti satu permintaan ekstradisi rasmi dari Tunis.Waran itu dikeluarkan bagi Ben Ali dan enam ahli keluarganya, termasuk isterinya, Leila Trabelsi, yang tidak digemari ramai, kata satu kenyataan.Ben Ali, isteri dan keluarganya yang dulu berkuasa, dituduh memperolehi aset secara haram dan memindahkan dana ke luar negara, sepanjang 23 tahun pemerintahannya, kata Menteri Kehakiman, Encik Lazhar Karoui Chebbi, di Tunis.'Tiada siapa akan terlepas daripada undang-undang,' katanya kepada wartawan.Jabatan Negara Amerika Syarikat enggan menyatakan pendiriannya dalam hal itu.Namun kedua-dua presiden Amerika dan Russia berkata kekacauan di Tunisia itu adalah satu pengajaran bagi semua.'Tidak kira negara mana sekalipun, apabila pihak berkuasanya tidak dapat memenuhi harapan masyarakat, akibatnya nanti amat buruk,' kata Perdana Menteri Russia, Encik Dmitry Medvedev, di Davos, Switzerland.Presiden Barack Obama pula berkata dalam ucapan Kedudukan Negaranya bahawa 'kehendak rakyat akhirnya akan terbukti lebih kuat daripada perintah bertulis seorang diktator'.Ben Ali telah meletak jawatan secara mendadak dan melarikan diri pada 14 Januari setelah kes bunuh diri seorang pemuda yang menganggur mencetuskan bantahan di seluruh negara yang membantah kenaikan harga, pengangguran yang meningkat serta amalan rasuah yang menular.Seramai 33 anggota keluarga Ben Ali telah ditangkap di Tunisia. -- AFP.

Projek masjid di California dilulus walau dibantah


SYUKURI KEPUTUSAN MAJLIS BANDARAN: Imam Harmoush (kanan) berpelukan dengan seorang penyokong selepas majlis bandaran meluluskan pembinaan masjid Pusat Islam Temecula Valley. -- Foto AP


LOS ANGELES: Majlis bandaran meluluskan pembinaan sebuah masjid dua tingkat di daerah Temecula di California walaupun mendapat bantahan daripada penduduk setempat.Sebelum ini, penduduk mengadakan tunjuk perasaan dengan membawa anjing masing-masing dan mengumpulkan beratus-ratus tandatangan bagi membantah pembinaan masjid seluas 7,620 meter persegi itu.Pusat Islam Temecula Valley itu antara masjid di serata Amerika Syarikat yang menjadi tumpuan akhir-akhir ini.Ia ekoran kontroversi pembinaan pusat Islam menelan belanja AS$100 juta ($127 juta) dua blok dari tapak serangan pengganas di New York pada 11 September 2001.Sebuah lagi masjid yang dirancang dibina di daerah Nashville, Tennessee, turut mencetuskan bantahan.Menurut Imam Mahmoud Harmoush, tapak pembinaan pusat Islam di Temecula dimiliki sekitar 150 keluarga Islam setempat sejak beberapa tahun lalu dan tidak pernah mendapat bantahan sebelum ini.Namun, ia mendapat tumpuan apabila rancangan membinanya bertembung dengan perdebatan membina pusat Islam di New York.Beberapa penduduk khuatir masjid di California itu akan dijadikan pusat bagi Islam radikal dan menyebabkan kesesakan lalu lintas bertambah teruk.Imam Harmoush berkata pihak masjid telah membelanjakan lebih AS$17,000 tahun lalu, antara lain bagi menjalankan kajian ke atas tapak masjid seluas 1.74 hektar untuk menangani keprihatinan penduduk setempat.Ia telah juga menganjurkan rumah terbuka, majlis iftar dan forum masyarakat bagi mendekati penduduk bukan Islam, namun usaha itu tidak berhasil melenyapkan bantahan.Majlis bandaran kemudian mengubah permit pembinaan bagi menyertakan kewajipan menjalankan semakan keadaan lalu lintas setiap lima tahun.Ia juga melarang penggunaan speaker luar bagi melaungkan azan.Menyambut baik tindakan majlis bandaran meluluskan pembinaan masjid itu, pengerusi lembaga masjid tersebut, Encik Hadi Nael, berkata:'Ini sebuah negara hebat. Setiap orang mempunyai kebebasan bersuara dan mengamalkan agama.' - AP.
cyberita

Aktivis antipemerintah Mesir janji adakan bantahan terbesar hari ini


TIDAK HIRAU LARANGAN: Aktivis antipemerintah bertembung dengan polis antirusuhan di Kahirah buat hari yang kedua kelmarin. Pasukan polis yang telah diperkuat telah menggunakan gas pemedih mata bagi mengawal tunjuk-tunjuk perasaan tersebut. -- AP.


Kepulangan tokoh kempen pembaharuan dijangka beri pembantah perangsang
KAHIRAH: Aktivis yang sedang cuba menggulingkan Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, mempermain- mainkan polis di jalan-jalan raya hingga awal semalam dalam pemberontakan pertama terhadap pemerintahannya.Orang terkemuka yang berkempen menuntut pembaharuan, Encik Mohamed ElBaradei, yang tinggal di Vienna, dijangka pulang ke Mesir semalam.Ketibaannya mungkin merangsang bantahan-bantahan yang memasuki hari ketiga semalam tetapi belum ada pemimpinnya.Sekurang-kurangnya tiga penunjuk perasaan dan seorang anggota polis telah mati dalam pertempuran sejak Selasa lalu.Tunjuk-tunjuk perasaan itu, yang diberi semangat oleh pemberontakan popular di Tunisia baru-baru ini, tidak pernah berlaku dalam pemerintahan Encik Mubarak sejauh ini.Ia menyaksikan polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah pemberontak yang membaling batu dan bom petrol.Kelmarin pemberontak membakar tayar dan melempar batu ke arah polis. Di Suez, penunjuk perasaan membakar bangunan-bangunan pemerintah.Tunjuk-tunjuk perasaan itu berlarutan hingga ke lewat malam. Awal semalam beberapa kumpulan kecil masih berhimpun di Suez dan Kahirah sebelum dihalau polis.Pemberontak berjanji akan mengadakan tunjuk perasaan terbesar selepas solat Jumaat hari ini.'Penganut Islam dan Kristian di Kahirah akan keluar bagi membantah rasuah, pengangguran dan penindasan serta ketiadaan kebebasan,' kata seorang aktivis di laman Facebook.Kementerian Dalam Negeri berkata kelmarin 500 orang telah ditangkap. Satu kumpulan bebas peguam berkata sekurang-kurang nya 1,200 orang ditahan.Sementara itu di Sanaa, Yaman, beribu-ribu orang mengadakan tunjuk perasaan semalam menuntut Presiden Abdullah Saleh meletak jawatan setelah berkuasa sejak 1978, lapor koresponden AFP.'Cukuplah kuasanya lebih 30 tahun,' laung penunjuk perasaan yangh diadakan pembangkang Common Forum di empat lokasi di ibu negeri itu.Mereka merujuk kepada tergulingnya bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali, yang menurut mereka 'hilang dalam hanya 20 tahun'.Dalam pada itu, ketibaan Encik El-Baradei, bekas ketua pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Berstu (UN) yang juga pemenang Hadiah Nobel, akan memberi seorang pemimpin bertaraf antarabangsa kepada pembangkang.'Saya akan kembali ke Kahirah dan balik ke jalan- jalannya kerana memang tiada pilihan lain. Anda keluar bersama orang yang sangat ramai ini dan anda harap keadaan tidak akan jadi bertambah buruk, tapi sejauh ini, rejim ini nampaknya belum faham,' katanya dalam pendapatnya di laman The Daily Beast.Beliau berkata ramai penduduk Kahirah sudah muak dengan pemerintahan Encik Mubarak, walau dalam tempoh peralihan.Seperti di Tunisia, warga Mesir mengadu tentang harga barang yang semakin naik, kekurangan pekerjaan dan ketua negara autoritarian.Satu pilihan raya presiden dijangka diadakan September ini.Rakyat Mesir menganggap Encik Mubarak, 82 tahun, mahu terus berkuasa atau mungkin melantik anaknya, Encik Gamal, 47 tahun, menggantikannya.Ini dinafikan Encik Mubarak dan anaknya. -- Reuters, AFP.

Yahudi tembak remaja Palestin di ladang



28/01/2011 2:49am

NABLUS, Wilayah Palestin 28 Jan. - Penduduk Israel menembak mati seorang remaja Palestin yang sedang bekerja di ladang dekat rumahnya di tenggara Nablus, selatan bandaraya Tebing Barat semalam, kata pegawai keselamatan Palestin dan para saksi.
Pegawai keselamatan dan hospital memberitahu AFP, Uday Maher Qadous, 18, mati ditembak di dada oleh seorang penduduk Yahudi ketika dia sedang bekerja di ladang kampungnya di Iraq Burin, tenggara Nablus.
Saksi-saksi berkata, salah seorang dari sekumpulan penduduk Yahudi yang berada di atas bukit telah melepaskan tembakan yang tepat mengenai dada Uday.
Tentera rejim pengganas Israel yang menerima laporan penduduk Yahudi menembak seorang rakyat Palestin di Iraq Burin itu menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan.
Pertelingkahan penduduk Yahudi dan Palestin di selatan Nablus dikatakan sering tercetus berikutan Yahudi sering menjarah kawasan ladang perkampungan rakyat Palestin. - AFP

Gempa bumi 5.3 melanda New Zealand



28/01/2011 2:49am

WELLINGTON 28 Jan. - Satu gempa bumi berukuran 5.3 pada skala Richter berlaku dekat Rotorua, di selatan New Zealand malam tadi tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS)
Menurut USGS, gempa pada kedalaman 153 kilometer di jarak sekitar 42 kilometer ke tenggara bandar Rotorua itu berlaku pada pukul 3.02 pagi waktu tempatan (11.02 minit malam waktu Malaysia).
Pada September lalu, gempa bumi besar berukuran 7.0 pada skala Richter melanda negara itu telah memusnahkan hampir seluruh Christchurch di selatan pulau tersebut. - AFP

Lelaki hilang, lima terselamat selepas bot dinaiki karam


KUDAT 28 Jan. – Seorang lelaki hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan pulau Kalutan di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu lima lagi mangsa berjaya diselamatkan oleh bot awam yang kebetulan lalu di situ.
Mangsa yang terselamat ialah Jali Asali, Sabulan Asali, Asali Potot, Basri Potot dan Ismail Harun. - Utusan

Tujuh sekolah di Beluran ditutup akibat banjir



28/01/2011 2:48pm

BELURAN 28 Jan. – Tujuh buah sekolah rendah di daerah Beluran ditutup hari ini berikutan kenaikan paras air di kawasan Sugut dan Paitan yang menyebabkan banjir.
Pegawai Daerah Beluran, Yusop Osman berkata, sekolah terlibat adalah sekolah Kebangsaan (SK) Perancangan, SK Botition, SK Sungai-Sungai, SK Tagas-Tagas, SK Sabapalm, SK Binsulong dan SK Simpangan.
“Sesi persekolahan di sekolah terbabit tidak dapat dijalankan disebabkan kawasan sekolah dinaiki air dan sebagai faktor keselamatan pelajar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdapat jalan raya menuju ke sekolah tidak dapat dilalui kenderaan akibat dinaiki air dan paras air sungai Pamol serta Sugut yang naik mendadak membahayakan keselamatan murid yang pergi ke sekolah dengan menaiki perahu.
Yusop berkata, sehingga pagi ini, beberapa kampung di daerah kecil Paitan dinaiki air setinggi satu meter tetapi belum ada mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan.
Katanya, antara kampung terbabit adalah Bantangon Laut, Tanjung Nipis, Sulit, Sungai-Sungai, Basai-Basai, Lingkabau, Botition, Binsulong, Tali Dusun, Tampat, Jambatan Besi dan Simpangan.
Beliau berkata, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam melakukan pemantauan keadaan banjir itu dan operasi memindahkan mangsa akan dilakukan sebaik sahaja menerima laporan ada rumah ditenggelami air.
Katanya paras air sungai Sugut dan Sungai Pamol dijangka meningkat ekoran hujan berterusan sejak semalam dan langkah berjaga-jaga dilakukan bagi memastikan penduduk kampung yang terjejas berada dalam keadaan selamat. - Bernama

Suspek kes dera seksual rumah perlindungan diburu



28/01/2011 4:31pm

GEORGE TOWN 28 Jan. – Pihak polis sedang mengesan seorang lagi suspek, budak lelaki berusia 13 tahun dipercayai terbabit kes penderaan seksual terhadap beberapa kanak-kanak di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di sini.
Ketua Polis Georgetown, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, polis mencari suspek, bekas penghuni rumah kanak-kanak itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kong Meng berkata, pada masa ini pihak polis masih belum mengumpulkan bukti yang cukup untuk mendakwa individu terbabit di bawah Seksyen 377(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 kanun yang sama.
"(Walaubagaimanapun) kami berharap orang ramai tidak membuat spekulasi tentang kes ini kerana siasatan masih diteruskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, polis telah menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dari Sungai Petani pada 15 Jan lepas untuk membantu siasatan kes itu tetapi telah dilepaskan. - Bernama