Search This Blog

Thursday, January 27, 2011

Protes di Mesir kian merebak, enam maut





2011/01/27

KAHERAH: Dua lagi dilaporkan terbunuh manakala beratus penunjuk perasaan ditahan selepas gerakan memprotes bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur semakin merebak sejak kelmarin.

Malah, penunjuk perasaan dikatakan tidak berganjak dengan jumlah mereka semakin besar meskipun ratusan daripada mereka sudah ditahan pihak berkuasa Mesir serta jumlah kematian meningkat kepada enam orang dalam masa dua hari.
Semalam, seorang anggota polis dan seorang penunjuk perasaan maut di Kaherah selepas penunjuk perasaan bertindak liar dengan membaling batu ke arah polis.
Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan perhimpunan besar-besar di jalan raya di sekitar ibu negara berkenaan.

Malah, keadaan tidak berkawal apabila penunjuk perasaan berasak-asak untuk memasuki pekarangan Kementerian Luar selepas disembur gas pemedih mata oleh polis.

Demonstrasi di utara bandar pelabuhan Suez pula menyaksikan mereka bertindak membaling bom minyak tanah ke arah bangunan kerajaan menyebabkan kebakaran berlaku.

Turut dibaling bom minyak tanah ialah bangunan Ibu Pejabat Parti Demokratik Kebangsaan.
Berpuluh penunjuk perasaan ditahan di bandar kedua terbesar, Alexandria apabila mereka cuba menguasai dataran pinggir laut.

Demonstrasi antikerajaan itu dikatakan mendapat inspirasi daripada Gerakan Revolusi Jasmine yang berjaya menggulingkan Presiden Tunisia, awal bulan ini. - AFP 

Sebutan semula kes bunuh Sosilawati 24 Februari





2011/01/27

BANTING: Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pagi ini menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan kes bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga lagi pekerja ladang yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain. 

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusof memohon tarikh sebutan lain sebelum memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, sementara menunggu keputusan semakan dan rayuan difailkan salah seorang pekerja ladang bekas peguam itu juga di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Semakan dan rayuan itu akan didengar di mahkamah berkenaan 31 Januari ini.

40 lori ‘dirosak’ elak saman JPJ



Oleh Safeek Affendy Razali

2011/01/27

Majikan arah pemandu tinggal kenderaan bawa pasir di lorong kecemasan

KUALA LUMPUR: Kehadiran deretan lori pasir rosak di lorong kecemasan sepanjang Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Ladang Bikam (arah selatan) di Bidor, Perak, awal pagi semalam, mencetuskan tanda tanya pengguna lebuh raya berkenaan. 

Wakil Berita Harian yang turut dalam operasi Pasukan Trafik Bukit Aman, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PLUS Expressways menemui 40 lori dipercayai sengaja dirosakkan di tepi lebuh raya untuk mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Pemandu dan kelindan lori dikatakan bertindak demikian atas arahan majikan mereka yang terbabit dalam projek mengangkut pasir dari kawasan perlombongan di Temoh, Perak ke tapak pembinaan projek perumahan di Tanjung Malim.
Difahamkan, dengan mengambil tindakan sedemikian, majikan hanya perlu mengeluarkan kos RM500 untuk membaiki kerosakan, berbanding denda sehingga RM5,000 sekiranya ditahan kerana pelbagai kesalahan. 

Antara kesalahan dikesan ialah melanggar peraturan lori pasir tidak boleh memasuki lebuh raya, membawa muatan berlebihan, tiada lesen memandu, tayar botak, selain ada di kalangan pemandu masih remaja serta tidak mempunyai permit kenderaan perdagangan. 

Dalam operasi bermula jam 4 pagi itu, pemantauan dilakukan di sepanjang laluan Tapah-Behrang. 

Ketua Operasi, Asisten Superintendan Khuzir Abdul Majid, berkata pihaknya sudah menjangka taktik pemandu lori pasir terbabit dan mengepung semua lori yang berhenti sebelum mengambil tindakan sita dan saman. 
“Sebahagian pemandu lori bagaimanapun tidak sempat merosakkan kenderaan mereka berikutan kehadiran kami. Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan lori atau kenderaan ini berhenti kerana rosak. 

“Bagaimanapun, siasatan mendapati kenderaan itu sengaja dirosakkan bagi tujuan mengelak dari diperiksa dan disaman pihak berkuasa. Adalah menjadi satu kesalahan lori membawa muatan pasir memasuki lebuh raya,” katanya. 

Ketika operasi terbabit dijalankan, beberapa kenderaan mewah dipercayai milik tuan punya lori tiba di kawasan berkenaan, namun melarikan diri selepas menyedari kehadiran media di kawasan itu. 

4 maut letupan bom kereta di Russia





2011/01/27

MOSCOW: Empat maut manakala enam lagi parah selepas bom berisi kereta meletup di depan sebuah kafe di wilayah utara Dagestan, semalam. 

“Tiga maut dan tujuh lagi dibawa ke hospital. Bagaimanapun salah seorang meninggal dunia ketika menjalani pembedahan," kata sumber hospital kepada agensi berita Ria-Novosti berikutan serangan bom bertempat di Khassaviourt itu.
Russia kini berdepan dengan pemberontak Islam di Wilayah Utara Caucasus dan beberapa sini serangan terhadap pegawai kerajaan dan polis hampir setiap hari dilaporkan berlaku di Dagestan dan jirannya di Chechnya dan Ingushetia.
Serangan bom kereta itu berlaku sehari selepas serangan pengembom berani mati di lapangan terbang terbesar Russia, di Moscow dnegan 35 terkorban setakat ini. - AFP 

Tragedi bom: Moscow pecat pegawai cuai





2011/01/27

MOSCOW: Kerajaan Russia semalam memecat pegawai kanan pengangkutan atas kelemahan aspek keselamatan di Lapangan Terbang Moscow yang menyebabkan pengebom berani mati lolos sehingga mengorbankan 35 orang. 

Presiden Dmitry Medvedev ketika menghadiri forum perniagaan Davos, Switzerland, berkata pihak penyerang cuba menyekat dirinya daripada menghadiri mesyuarat itu yang dihadiri ahli politik dan perniagaan elit dan menyifatkan mereka "tersilap perkiraan".
"Mereka jangka tindakan yang dilakukan akan memyebabkan Russia melutut. Mereka sangka tindakan itu akan melemahkan pertahanan kita dan mereka sangka serta berharap Presiden Russia tidak akan datang ke sini (Switzerland)," katanya pada majlis pembukaan mesyuarat berkenaan.
Medvedev yang berusaha meyakinkan pelabur Russia bahawa kerajaan boleh menumpaskan pengganas, terdahulu mengumumkan beliau memecat pegawai kanan pengangkutan dan mengancam untuk memecat lebih ramai pegawai selepas ini. 

"Semua pegawai yang bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan mesti menerima akibat daripada perbuatan mereka," katanya. - AFP 

Rejimen Sempadan rampas 120 kotak mercun





2011/01/27

PADANG BESAR: Rejimen Sempadan (RS) pagi tadi, merampas 120 kotak mercun pelbagai jenis bernilai lebih suku juta ringgit, dipercayai cuba diseludup masuk khusus untuk stok Tahun Baru Cina. 

Ia dibawa menerusi pagar keselamatan berhampiran Bukit Kwan Chu, di sini.

5 nelayan selamat bot terbalik di Kuala Tok Bali





2011/01/27

PASIR PUTEH: Berpantang maut sebelum ajal, lima nelayan terpaksa berhempas pulas untuk menyelamatkan diri apabila bot laut dalam mereka terbalik dipukul ombak besar ketika cuba memasuki muka muara Kuala Tok Bali di sini, pagi ini. 

Kelima-lima mereka terpaksa berpaut pada perut bot yang beberapa kali terbalik dipukul ombak setinggi lima meter ketika botnya cuba memasuki kuala muara terusan Semerak itu jam 8.30 pagi.
"Ketika bot hanyut dibawa ombak menghampiri pantai saya memberanikan diri terjun berenang ke pantai," kata salah seorang nelayan So Hon Yu, 51, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis di sini, hari ini.
Semua mereka yang terdiri daripada warga Thailand yang bekerja dengan pengusaha bot laut dalam tempatan terselamat dan dikejar ke hospital berkenaan untuk mendapat rawatan luar dan dibenar keluar pagi ini. 

Empat lagi rakan mereka yang berasal dari wilayah Songkla, Selatan Thailand itu ialah Wee Chiau Co Eyat, 53, Pee Chai Yau Hong, 32, Man Chai, 33, dan Naita Kou Ching Thang, 17. 

Seorang lagi rakannya Man Chai pula berkata bot mereka tidak dapat dikawal sebaik sahaja dipukul ombak besar beberapa kali sebelum terbalik dan ini merupakan kali pertama kejadian itu berlaku sepanjang lima tahun beliau bekerja sebagai nelayan asing di Tok Bali. 

Sementara itu, Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia D10 Tok Bali, Left. Komander Romli Mustafa berkata kejadian itu disedari pihaknya yang secara kebetulan berada kira-kira 300 meter dari tempat kejadian. 
Katanya sebaik sahaja melihat bot berkenaan terumbang ambing dan terus terbalik pihaknya pantas mengarahkan anggotanya melancarkan gerakan menyelamat beserta dengan sebuah kapal dan dua buah bot kilat. 

Bagaimanapun pihaknya tidak dapat menghampiri bot berkenaan kerana keadaan laut bergelora selain ombak besar dan keadaan angin yang bertiup kencang sehingga melebihi kelajuan 30 knot sejam iaitu merbahaya kepada semua kapal dan bot. 

Beliau berkata pihaknya hanya dapat memantau berpuluh-puluh meter dari tempat kejadian sehingga pukul 9 pagi apabila mereka berjaya menyelamatkan diri selepas bot itu menghampiri pantai. 

Romli menasihatkan nelayan tidak turun ke laut pada masa ini kerana keadaannya amat merbahaya kepada kesemua aktiviti perkapalan kerana beliau mendapati masih ada nelayan yang tidak menghiraukan ancaman itu. 

Katanya di samping itu masih terdapat nelayan yang tidak memakai pakaian jaket keselamatan seperti nelayan terbabit. - BERNAMA 

Penduduk terima surat palsu buat laporan polis


LABIS: Sekumpulan penduduk Kampung Chemplak Barat dekat sini hari ini membuat laporan polis selepas menerima sepucuk surat palsu yang menghendaki mereka hadir ke Dewan Serbaguna Labis, esok.

Menurut kandungan surat itu, mereka dikehendaki hadir bagi menerima
sumbangan sebanyak RM300 seorang daripada pihak pejabat Setiausaha Negeri Johor sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
Mereka yang menerima surat itu terdiri daripada lima peneroka dan 20 anggota
Majlis Belia FELDA Malaysia yang diketuai Ketua Kampung tersebut Ahmed Ali,
mewakili 198 buah rumah.

Ahmed, 62, berkata, surat itu yang bertarikh 24 Januari, menggunakan kepala
surat Majlis Daerah Labis dan tandatangan Setiausaha kepada Yang Dipertuanya
Mohd Farid Kassim diterima penduduk kampung pada kira-kira jam 1 petang.
"Ada dua, tiga penduduk yang dapat surat itu datang jumpa saya bertanya
tentang surat itu dan apabila saya teliti, memang surat itu palsu. Saya kemudian
menghubungi Majlis Daerah Labis dan mereka menafikan mengeluarkan surat
tersebut," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis
Labis, di sini hari ini.

Kandungan surat itu juga meminta penduduk membawa surat berkenaan dan kad pengenalan sebagai pengesahan dan perlu diserahkan kepada pegawai pendaftaran di pintu masuk dewan esok semasa hadir untuk menerima sumbangan terbabit.

Bernama juga difahamkan Majlis Daerah Labis membuat laporan polis berhubung perkara yang sama pada jam 11 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan pengedaran surat-surat itu adalah usaha terdesak pihak tidak bertanggungjawab yang cuba membuatkan rakyat benci kepada kerajaan.

"Apabila mereka datang esok ke Dewan Serbaguna Labis dan dapati tiada orang
bagi mereka dan mereka akan anggap kerajaan tipu mereka dan mereka akan undi
calon yang bukan Barisan Nasional. Jadi inilah saya rasa tujuan mereka.

"Saya ingin meminta jentera di Chemplak Barat untuk memaklumkan bahawa ini
adalah satu penipunan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan oleh kerana
itu jangan datang ke Dewan Serbaguna Labis esok sebab tidak ada siapa yang akan
bagi duit RM300," katanya. - BERNAMA 

Bekas banduan didakwa edar heroin





2011/01/27

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas banduan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas dua pertuduhan mengedar heroin. 

Abdul Jalal Daud, 56, dari Kampung Alor Peroi, Kuala Besut didakwa mengedar kira-kira 46.32 gram heroin di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, di sini pada JAM 6 petang 13 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Abdul Jalal didakwa mengedar heroin seberat 50.63 gram kira-kira jam 6.30 petang di hadapan pejabat narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu pada hari yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Sekyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang 
membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan. 
Tiada pengakuan dibuat tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan. 

Majistret Nor Azizah Yusof menetapkan 28 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Tertuduh yang merupakan seorang penagih tegar pernah menjalani hukuman 
penjara 34 tahun dan pernah dikenakan 16 kali sebatan berkaitan dadah. - BERNAMA 

Bekas juruwang diperintah berada di rumah sebelum jam 8 malam





2011/01/27

KUALA LUMPUR: Seorang bekas juruwang sebuah kafe siber diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini supaya berada di rumahnya sebelum jam 8 malam setiap hari untuk tempoh setahun sebagai syarat bon berkelakuan baik selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah wang tunai RM1,354 milik majikannya. 

Hakim S M Komathy Suppiah mengingatkan Chang Yee Soon, 21, dari Slim
River, sekiranya dia melanggari bon tanpa cagaran RM10,000 selama tempoh tiga tahun dan jika ditangkap oleh polis untuk sebarang kesalahan jenayah, dia akan dipenjarakan.

"Kamu nampak emak kamu menangis bukan? Saya hendak awak balik rumah sebelum 
jam 8 malam setiap hari untuk satu tahun dan pegawai penyiasat akan periksa. 
Kamu tak boleh balik selepas pukul 10 malam selepas ini," katanya. 

Sebelum itu, Komathy bertanyakan kepada ibu Chang, jam berapa anaknya pulang ke 
rumah setiap hari, dan Lim Bee Choo menjawab anaknya itu balik ke rumah jam 10 malam. 

Sebelum itu, ibu Chang dengan penuh rasa hiba memberitahu mahkamah bahawa 
tertuduh anak kedua daripada lima orang anak, kini bekerja sebagai pembantu 
sebuah restoran dan sudah berpisah dengan suaminya. 

Ketika ditanya oleh Komathy, bolehkah dia menjaga anaknya dengan baik, 
ibu Chang yang tidak dapat menahan airmatanya hanya menganggukkan kepala. 

Pada 6 Oktober tahun lalu, Chang mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan 
pecah amanah sejumlah RM1,354 iaitu wang kutipan harian Atomic Network, No.12 
Plaza Sinar, Jalan 8/38D, Taman Sri Sinar, Segambut, antara jam 6.23 petang 
pada 1 Sept, 2010 hingga 9.36 pagi keesokan harinya. 

Chang, yang dijamin oleh bapanya pada 11 November lalu, berada dalam tahanan 
reman selama lebih sebulan sebelum dia menukar pengakuannya pada hari ini. 

Chang yang tidak diwakili peguam, sebelum itu melalui jurubahasa meminta 
dibebaskan dengan bon berkelakuan baik dan dia membayar semula wang itu 
kepada majikannya serta laporan polis telahpun ditarik balik. 

Timbalan Pendakwa Raya P. Viknesvaran membantah permohonan bon itu dengan 
menjelaskan kesalahan pecah amanah adalah suatu kesalahan serius dan berhujah 
bahawa penarikan balik laporan polis oleh majikan Chang tidak semestinya 
menjadikan pertuduhan digugurkan. - BERNAMA 

1,000 ditahan sertai protes di Mesir





2011/01/27

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 1,000 ditahan di Mesir kerana terbabit dalam tunjuk perasaan besar-besar bagi mendedak Presiden Hosni Mubarak berundur daripada pemerintahannya selama 30 tahun. 

“Sekurang-kurangnya 1,000 orang sudah ditahan di seluruh negara sejak demontrasi tercetus dua hari lalu," kata pegawai keselamatan Mesir hari ini.
Pihak berkuasa keselamatan kini bertungkus-lumus mengawal demonstrasi yang mencetuskan huru-hara, termasuk di ibu negara Kaherah sejak dua hari lalu dengan enam orang dilaporkan maut manakala beberapa lagi cedera. - AFP

10 maut besi perancah bangunan runtuh di Manila





2011/01/27

MANILA: Sepuluh pekerja binaan terbunuh selepas terjatuh dari besi perancah bangunan di tingkat 28 yang sedang dalam pembinaan di ibu negara Filipina, hari ini. 

Ketika kejadian, pekerja terbabit bekerja di bahagian luar bangunan apartmen mewah dan bangunan pejabat di Daerah Makati apabila besi perancah runtuh.
“Kabel yang mengikat perancah besi itu dipercayai terputus," kata pegawai bomba kanan, Juan Jesse Robles di tempat kejadian.
Pekerja terbabit terjatuh sehingga tingkat tujuh bangunan berkenaan dan setakat ini hanya seorang dilaporkan selamat tetapi keadaannya masih belum dipastikan. - AFP 

Guru dipenjara lapan tahun, disebat miliki dadah





2011/01/27

MELAKA: Seorang guru sekolah rendah di Bandar Melaka dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan memiliki dadah tahun lalu.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Sallehin Abu Samah, 28, didakwa memiliki 270.86
gram cannabis pada 11 Mac 2010 di tempat letak kereta, Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir, di sini.
Dia yang mengaku salah atas tuduhan pilihan didakwa mengikut Seksyen 6 Akta
Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau minimum
penjara lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan.

Bagi tuduhan kedua, guru itu yang sudah berkahwin didakwa memiliki 6.53 gram
midazolam pada waktu, tarikh dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen
30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi empat tahun atau denda sehingga RM10,000 atau atau kedua-duanya.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10
sebatan rotan bagi tuduhan pilihan dan penjara tiga tahun untuk tuduhan kedua.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak
selepas mendengar rayuan oleh peguam Andrew Lourdes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Mohd Asrar yang
terdahulu meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kerana perbuatan guru itu
merosakkan anak bangsa dan tidak harus diberi toleransi. - BERNAMA 

20 kampung di Beluran dilanda banjir





2011/01/27

BELURAN: Pusat Kawalan Operasi Banjir Beluran dibuka hari ini berikutan kira-kira 20 kampung di kawasan Sugut mula dilanda banjir. 

Pegawai Daerah Beluran, Yusop Osman, berkata pusat kawalan operasi banjir itu yang beroperasi di pejabat daerah Beluran, dibuka pada jam 10 pagi selepas menerima laporan mengenai kampung yang dinaiki air sejak semalam.
Antara kampung itu termasuk Basai-Basai, Lingkabau, Sungai-Sungai, Botition, Binsulong, Tali Dusun, Tampat, Jambatan Besi dan Simpangan.

"Sehingga petang ini, belum ada mangsa banjir dipindahkan ke pusat 
pemindahan dan pemantuan dilakukan bagi memastikan operasi memindahkan mangsa 
banjir dan penyaluran bantuan dilakukan dengan segera," katanya yang ditemui 
pemberita ketika melakukan pemantauan keadaan banjir di Kampung Nangoh di sini. 

Yusof berkata, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat memantau aspek keselamatan serta operasi memindahkan mangsa banjir manakala penyaluran bantuan 
makanan dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am. 

Katanya, paras air yang melanda kampung terbabit dijangka naik disebabkan 
peningkatan paras air sungai Sugut dan hujan yang tidak berhenti sejak semalam. 

Beliau meminta penduduk kampung yang rumah mereka dinaiki air supaya segera 
berpindah ke pusat pemindahan terdekat dan mematuhi arahan agensi keselamatan 
jika diminta berpindah. - BERNAMA 

Wanita Thailand dipenjara tiga tahun bersalah culik kanak-kanak





2011/01/27

KUANTAN: Seorang wanita warga Thailand dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas menukar pengakuan kepada bersalah menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun dua bulan pada Disember tahun lalu. 

Majistret Adibah Abdul Kadir mengarahkan tertuduh yang hanya dikenali sebagai Peesa, 38, menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Pada 10 Januari lalu, tertuduh didakwa menculik kanak-kanak itu daripada penjagaan sah ibunya di depan sebuah kedai di Kampung Seri Fajar, Gambang, dekat
sini pada jam 5 petang 27 Disember tahun lalu. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara 
sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 

Mengikut fakta kes, Peesa dan seorang lagi rakan warga Indonesia, Rabiah 
Andy, 24, menemui ibu kanak-kanak itu, Nordina Jusoh, 27, bersama anaknya di kedai berkenaan dan memberitahu mahu bermain dan membawa kanak-kanak tersebut 
bersiar-siar. 

Ibu kanak-kanak itu kemudian membenarkan tertuduh dan rakannya berbuat 
demikian kerana mengenalinya tetapi mula bimbang setelah anaknya itu tidak 
pulang sehingga tengah malam sebelum membuat laporan di Balai Polis Gambang. 

Polis kemudian mengesan lokasi tertuduh sebelum menahannya kira-kira jam 
10.30 pagi, 28 Dis lepas manakala Rabiah pula ditahan kira-kira jam 9 malam 
keesokan harinya. 

Sementara itu, Adibah menetapkan 9 Februari depan untuk sebutan semula kes Rabiah yang tidak mengaku bersalah selepas didakwa bersubahat dalam kes berkenaan. 

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Mohd Azman Ariffin manakala kedua-dua 
tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA 

10 perompak pelbagai negara ditangkap


JEDDAH: Sekumpulan 10 lelaki rakyat pelbagai negara ditangkap di daerah Kilometer 7 di sini semalam kerana didakwa merompak beberapa kedai.
Semua mereka menetap secara haram di Arab Saudi.

“Mereka ditangkap selepas polis mengumpulkan maklumat mengenai mereka. Polis mulanya menangkap seorang daripada ahli kumpulan itu yang mengaku merompak kedai bersama beberapa yang lain.

“Yang lain ditangkap di rumah di Kilometer 7,” kata jurucakap polis Jeddah, Kolonel Miser Al-Juaid. Menurutnya, ketika ditangkap, semua lelaki itu sedang khayal kerana menghisap dadah.

Polis turut menemui pemotong mangga dan peralatan untuk memecah masuk kedai serta iqama atau permit kerja dan lesen memandu palsu.

“Cap jari yang diambil daripada beberapa kedai yang dirompak sama dengan beberapa lelaki yang ditahan. Bukti mengaitkan lelaki berkenaan juga sudah diperoleh,” kata Miser. - AN

Letupan lombong di Columbia


SEORANG pelombong La Preciosa di Sardinata, timur laut Colombia, meninggalkan kawasan itu susulan kejadian letupan awal pagi tadi, yang dikhuatiri meragut 20 nyawa. Letupan lombong terbabit dipercayai berpunca daripada ledakan gas metana sehingga menggegarkan bahagian bawah tanah lombong arang batu berkenaan. - Foto AP


11 maut, 10 hilang letupan lombong di Colombia


2011/01/27

SARDINATA: Sebelas pelombong terbunuh manakala 10 lagi dilaporkan hilang selepas sebuah lombong arang batu meletup di timur laut Colombia, awal hari ini. 

Enam mayat yang dibungkus plastik putih dikeluarkan dari lombong berkenaan jam 6 petang waktu tempatan oleh pasukan penyelamat.
Terdahulu, pegawai syarikat lombong berkenaan berkata, empat mayat pelombong berjaya dijumpai dan seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Pegawai Institut Geologi dan Perlombongan Colombia (INGEOMINAS) yang dikejarkan ke tempat kejadian memberitahu peluang untuk menemui pelombong yang hilang dalam keadaan masih bernyawa adalah tipis. 

"Dengan keadaan bencana seperti ini, peluang menemui mereka masih bernyawa cukup tipis," katanya pegawai terbabit. 

Letupan dipercayai berlaku disebabkan minyak tanah yang digunakan pelombong berkenaan, kata Datuk Badar Sardinata, Yamil Rangel. 

Lombong berkenaan terletak hanya sejam perjalaman di pinggir Sardinata di Wilayah Norte de Santander yang bersempadan dengan Venezuela. - AFP 

Tertuduh kes bunuh bapa alami halusinasi ketika kejadian: Pakar psikiatri





2011/01/27

KUALA TERENGGANU: Pemuda yang didakwa membunuh bapanya dengan sebilah pisau Rambo, Februari tahun lalu didapati mengalami delusi dan halusinasi ketika kejadian.

Pakar Perunding Psikiatri (Forensik) Hospital Permai, Johor Bahru, Dr Badi''ah Yahya, berkata tertuduh, Shahrul Azmi Che Mat, 20, ada mendengar suara-suara ghaib yang mengganggunya sebelum dirawat dengan ubat anti-epilepsi.
"Penama (tertuduh) juga tidak berpura-pura mengalami masalah mental apabila pernah diserang penyakit sawan ketika berada di hospital," katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa.
Katanya, ujian dadah yang dilakukan ke atas tertuduh juga negatif dan laporan sosial juga mendapati tertuduh tidak terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa membunuh bapanya, Che Mat Nik, 51, di rumah mereka di Kampung Duyung Besar, Kuala Terengganu kira-kira jam 2 pagi pada 3 Februari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Ketika kejadian itu, tertuduh dilaporkan menikam abangnya, Irwan Affendi, 31, dengan menggunakan sebilah pisau Rambo ketika sedang tidur menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan daripada bapanya.
Che Mat yang terjaga daripada tidur dipercayai cuba merampas pisau daripada tertuduh, tetapi malangnya ditikam oleh suspek di bahagian perut dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain Dr Badi''ah, abang dan ibu tertuduh, Zainon Hassan memberi keterangan, seramai tujuh lagi saksi turut dipanggil hari ini.

Mohd Yazid menetapkan 6 Februari depan untuk hujahan kes dan keputusan setelah pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi berjaya membuktikan kes prima facie.

Tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Mohd Yusof Endut & Associates. - BERNAMA 

Polis Indonesia tangkap penyeludup manusia


JAKARTA: Polis Indonesia semalam berkata, mereka menangkap seorang lelaki yang didakwa penyeludup manusia yang ada kaitan dengan nahas sebuah kapal berhampiran Pulau Krismas, Australia, hingga menyebabkan 50 orang pencari suaka politik terbunuh.
Lelaki itu, yang hanya dikenali dengan singkatan namanya, AH, dipercayai warga Australia keturunan Asia Barat dan berusia 40-an, kata Ketua Keselamatan Bahagian Rentas Negara, Agung Sabar Santoso.

“Dia ikan besar, penyeludup yang pintar. Daripada maklumat yang kami kongsi dengan polis Australia, kami dapati dia terbabit menghantar puluhan pendatang haram Afghanistan dan Iran ke Australia dengan bot, seperti ke Pulau Krismas dan Ashmore,” katanya.

Lelaki itu ditangkap di sebuah apartmen di Jakarta Pusat semalam dan didapati memiliki enam telefon bimbit serta beberapa kad kredit.

“Kami percaya dia warga Australia apabila dia meminta untuk menemui seorang pegawai kedutaan negara itu ketika ditangkap,” katanya. - AP

Bas rempuh treler


KEADAAN bas ekspres yang merempuh belakang lori treler dalam nahas jam 5 pagi tadi di KM157.1 berdekatan Hentian Rehat Sungai Bakap Arah Utara Lebuhraya Utara-Selatan yang menyebabkan dua penumpang cedera ringan. - Foto Mohamad Danial Mohamad Saad

Along upah samseng asing


SINGAPURA: Sindiket peminjam wang haram di republik ini mengupah lebih ramai samseng asing, kebanyakannya dari Taiwan dan Vietnam, untuk menganggu peminjam yang degil supaya membayar hutang mereka.
Lintah darat itu beralih kepada menggunakan khidmat warga asing dengan harapan mereka boleh mengelak daripada dikesan dan ditangkap oleh pihak berkuasa kerana mereka masuk ke negara itu dengan mengguna pas lawatan sosial jangka pendek dan tidak mempunyai alamat tetap.

Tahun lalu, 50 warga asing, sebahagian besarnya dari Taiwan dan Vietnam,, bekerja untuk peminjam wang haram itu ditahan, lebih sekali ganda daripada jumlah 22 orang yang ditangkap tahun lalu.

“Pekerja asing lintah darat itu biasanya diambil bekerja di luar negara dan biasanya berada di Singapura untuk tempoh yang singkat dan tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap,” kata polis pada majlis taklimat tahunan mereka mengenai kadar jenayah tempatan.

Mereka biasanya mengganggu peminjam degil dengan menyimbah cat pada kediaman mereka atau memalukan mereka secara umum dengan menulis nama, alamat peminjam berkenaan dan nombor telefon mereka pada tembok rumah pangsa.

Dalam sesetengah kes, mereka mencampakkan najis manusia atau haiwan, air kencing atau minyak tanah pada muka pintu rumah peminjam atau peti surat mereka.

Mereka juga mengancam peminjam secara fizikal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Penolong Pesuruhjaya Polis Hoong Wee Teck berkata, sindiket lintah darat itu silap jika menyangka mereka boleh mengelak tindakan undang-undang dengan membawa masuk warga asing untuk melakukan jenayah bagi pihak mereka.
Meminjamkan wang tanpa lesen dan mengganggu orang lain adalah kesalahan jenayah di Singapura.

Secara keseluruhan, laporan jenayah di negara itu, antara negara paling selamat di Asia, merosot 0.6 peratus tahun lalu. - AFP

Taktik terdesak


IPOH: Satu sindiket pengedaran cakera padat digital (DVD) dan video cakera padat (VCD) haram yang berpusat di Puchong, Selangor, semakin terdesak sehingga mengedarkan barangan mereka kepada pelanggannya di negeri ini menerusi perkhidmatan kurier bagi mengelak dikesan penguat kuasa.
Taktik baru dikesan sejak setahun lalu itu gagal mengaburi penguat kuasa apabila sepasukan pegawai dan anggota Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Ipoh merampas VCD dan DVD haram selepas menyerbu sebuah syarikat kurier di sini, pagi semalam.

Dalam serbuan empat jam bermula jam 6 pagi di sebuah premis di Medan Istana itu, sepasukan penguat kuasa kementerian itu menumpaskan kegiatan itu dengan merampas 10 kotak berisi 6,908 unit DVD dan VCD cetak rompak termasuk ratusan kepingan filem lucah semuanya bernilai RM69,080.

Penolong Pengarah PPDNKK negeri, Zulkifli Yaakub, berkata berdasarkan alamat tertulis pada bungkusan VCD dan DVD dirampas, sindiket itu beroperasi di Puchong, Selangor.

Cari bapa kandung wali nikah


KOTA BHARU: Seorang wanita merayu orang ramai membantu mengesan bapa kandungnya, Mohd Taib atau dikenali sebagai Razak, 59, yang berpisah sejak dia berusia tiga hari untuk mewalikan pernikahannya Jumaat ini.
Norshiela Mohd, 19, yang kini menetap di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh, berkata sejak ditinggalkan, bapanya tidak pernah pulang sebelum ibunya, Noreha Mohamed, 43, berkahwin lain ketika dia berusia empat tahun.

Menurutnya, dia bersama datuk, Mohamed Idris, 73, begitu memerlukan kehadiran bapanya memandangkan tarikh pernikahan semakin hampir dan jika bapanya tidak muncul, Pejabat Agama Islam Pasir Puteh akan melantik seorang wali hakim. Katanya, dia difahamkan, bapanya dikatakan berasal dari Ajil, Terengganu dan berkahwin dengan ibunya ketika mereka bekerja di tempat sama, kira-kira 19 tahun lalu.

“Sebaik saya dilahirkan, bapa terus menghilangkan diri tanpa khabar berita dan kini tiada seorang pun tahu tempat tinggalnya.

“Jika ada sesiapa mengenalinya diharap segera menghubungi di talian 014-5103076,” katanya.

Menurutnya, perkahwinannya tertangguh berikutan gagal mengesan bapanya menjadi wali supaya masalah itu dapat diselesaikan.

“Jabatan agama mensyaratkan supaya berita mengenai pencarian wali ini disiarkan dalam mana-mana akhbar sebelum melantik wali hakim.

“Meskipun tidak pernah bertemu dengannya, saya berharap dia muncul dan menjadi wali pernikahan saya,” katanya yang bakal berkahwin.
Katanya, dia hanya mempunyai sedikit maklumat berkaitan bapanya sebagai pengawal keselamatan ketika berkahwin dengan ibunya.

“Saya pernah meminta bantuan pemandu bas perjalanan dari Pasir Puteh ke Terengganu tetapi hingga kini masih gagal mengesan bapa saya berada.

“Saya berharap dia masih hidup dan hadir pada majlis pernikahan saya. Lagipun, saya sendiri memang teringin melihat wajah bapa kandung yang tidak pernah ditemui,” katanya ketika hadir di pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Lima dilantik


PUTRAJAYA: Lima individu yang dilantik semalam bagi menganggotai Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock diberi tempoh tiga bulan bagi menyiapkan laporan siasatan mereka.
Pengumuman pelantikan suruhanjaya yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Pelantikan dilakukan mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Najib berkata, empat anggota lain adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T Selventhiranathan; Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik/Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kassim dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya itu, manakala tiga pegawai kerajaan turut dilantik sebagai Pegawai Pengendali Suruhanjaya itu.

Mereka adalah, Timbalan Ketua Bahagian Guaman, Amarjeet Singh a/l Serjit Singh dan dua Timbalan Pendakwa Raya iaitu Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa.

Najib berkata, kerajaan juga sudah menetapkan terma rujukan suruhanjaya itu iaitu melakukan siasatan sama ada atau tidak wujud apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Teoh dalam perjalanan Laporan Shah Alam Nombor 0052/2009 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai jika perlu.

Terma rujukan kedua adalah menyiasat kematian Teoh dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.
Perdana Menteri berkata, suruhanjaya itu dikehendaki menyelesaikan siasatan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tauliah pelantikan dan laporan hasil siasatan akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 7 Januari lalu, Najib , mengumumkan pengwujudan sebuah Suruhanjaya Diraja dengan terma khusus bagi meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat digunakan pakai SPRM dan bagi menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi ketika proses soal siasat terhadap mendiang Teoh.

Keputusan itu susulan penghakiman Mahkamah Majistret Shah Alam pada 5 Januari lalu yang membuat keputusan terbuka dalam inkues terhadap kematian Teoh.

Koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri atau dibunuh dan menolak pembabitan orang ketiga.

Azmil membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 37 saksi, termasuk 12 pakar sejak prosiding inkues itu bermula pada 29 Julai 2009.

Justeru satu Suruhanjaya Diraja mengikut Seksyen 2, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang diberi kuasa bagi menyiasat perjalanan atau pengurusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan mana sesuai bagi menyiasat kelakuan mana-mana pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, akan diwujudkan.

'Cukuplah tindas saya'


KUALA LUMPUR: “Saya menyangkal kenyataan Nora bahawa Jejai dan saya berpisah sejak dua bulan lalu dan menghubungi saya sebagai seorang sahabat untuk bertanya khabar. Kenyataan Nora itu adalah salah.
“Saya meletakkan noktah hubungan kami pada 18 Januari lalu,” kata pelakon Fasha Sandha, 27, mengenai kenyataan Nora Danish, 29, yang juga bekas isteri Jejai atau Rizal Ashram Ramli, semalam.

Katanya, kenyataan Nora dalam akhbar ini semalam menguji kesabarannya untuk memberi kenyataan balas dengan mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku antara dia dan Jejai. Ketika dihubungi, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandh Hassan berkata, segala kenyataan yang dinyatakan Nora itu tidak benar sama sekali. Tegasnya, memang mereka sudah berpisah tetapi bukannya dua bulan lalu.

Katanya, ketika Jejai di Jepun dan Ninseko, Jejai menghubunginya lebih daripada 10 kali setiap hari dan menghantar SMS setiap waktu. “Selalunya, kami bercakap selama hampir sejam. Ini jelas, kenyataan Nora bahawa dua bulan kami berpisah dan Jejai menghubungi saya hanya untuk bertanyakan khabar adalah salah.

“Nora tidak perlu bercakap perkara yang tidak betul dan Nora juga tidak perlu masuk campur di atas kronologi hubungan saya dan bekas suaminya sekiranya benar dia bukan punca perpisahan kami. “Cukuplah Nora sekadar memberikan kenyataan dia lega kerana bekas suaminya itu cuba mempertahankan yang bukan dia punca perpisahan kami. Nora mengambil langkah tidak betul kerana memberikan kenyataan tanpa mendapat fakta yang benar. “Dengan ini, lagi sekali saya menegaskan kami berpisah pada 18 Januari. Biar saya dan Jejai saja yang tahu punca perpisahan kami. Saya harap Nora lebih berhati-hati dan mendapatkan fakta bukti yang kukuh serta tepat sebelum memberikan kenyataan pada media. Sekiranya dia di pihak benar, tidak perlu dia melatah dan meyakinkan pembaca dengan memberi informasi yang tidak benar,” katanya.

Tambah Fasha, kenyataannya dalam artikelnya sebelum ini dia memang berada di pihak yang benar.

“Sekiranya, keadaan memaksa saya tidak keberatan melampirkan bukti. Kenyataan Nora semalam memaksa saya untuk memberikan penjelasan berserta bukti yang kukuh. “Saya masih menyimpan semua SMS, BB Messenger dan semua senarai panggilan telefon. Ini saya jadikan bukti untuk menegakkan perkara yang benar. Malah ibu saya juga ada menyimpan SMS Jejai pada hari Jejai bertolak ke Jepun.

“Pengurus saya dan pembantu peribadi saya juga masih menyimpan semua SMS Jejai pada mereka. Saya harap ini jelas dan tiada lagi spekulasi selepas ini mengenai perpisahan saya dengan jejai. “Cukuplah pengakuan kami sudah berpisah pada 18 Januari lalu. Biar hanya kami berdua tahu puncanya. Saya tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak. Ingin juga saya jelaskan di sini saya tidak akan melayan sebarang tuduhan atau fitnah tanpa bukti pada masa akan datang.
“Sebelum ini diri saya sering difinah dan ditindas oleh sesetengah pihak tanpa bukti. Jadi kali ini adalah masa untuk saya menegakkan kebenaran diri saya fakta Nora adalah salah,” katanya.