Search This Blog

Wednesday, January 26, 2011

Lelaki maut nahas selepas serangan jantung



26/01/2011 3:34pm

IPOH — Seorang warga emas terbunuh selepas kereta yang dipandunya terbabas dan tercampak ke dalam longkang di Jalan Maxwell di sini hari ini setelah beliau mengalami serangan jantung.
Yahya Yusof, 64, dari Taman Seri Desa, Jalan Kuala Kangsar di sini, meninggal dunia di tempat kejadian, kata Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd Rodzi Rejab.
Kejadian berlaku pada 8.20 pagi tadi ketika Yahya dalam perjalanan dari rumahnya menghala ke bandar ini, katanya.
Mohd Rodzi berkata siasatan awal polis mendapati Yahya diserang sakit jantung menyebabkan keretanya gagal dikawal lalu terbabas dan tercampak ke dalam longkang sedalam tiga meter.
"Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahkan mangsa mengalami serangan sakit jantung, katanya. - Bernama

Bekas pengarah syarikat didakwa


KUALA LUMPUR – Bekas pengarah syarikat Ho Hup Construction Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal memaklumkan perubahan kepentingan selepas menjadi pemegang saham berjumlah besar kepada syarikat itu seperti yang dikehendaki di bawah Akta Syarikat 1965.
Datuk Low Tuck Choy, 52, didakwa mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam Syarikat Low Chee & Sons Sdn. Bhd., didakwa gagal memaklumkan perubahan kepentingan kepada Syarikat Ho Hup melalui borang 29B bertarikh 15 Jan. 2010, melebihi tempoh tujuh hari seperti yang termaktub di bawah Seksyen 69F(2) akta itu.
Low didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Ho Hup yang beralamat di No.18 Jalan 17/155C, Bandar Bukit Jalil di sini, pada 15 Jan. 2010.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 69M Akta Syarikat 1965 dan dibaca bersama Seksyen 6A Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mohamad Azies Han Mohd Fadzil dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia manakala Low diwakili peguam Datuk V. Sithambaram.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan kes. - Bernama

Terima rasuah: Penyelia pasar DBKL didakwa



26/01/2011 4:29pm

KUALA LUMPUR – Penyelia pasar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menerima suapan RM2,000 daripada seorang penjaja untuk mendapatkan petak niaga pasar malam pada Mac 2010.
Azmi Che Hat, 55, didakwa menerima suapan itu daripada Mohd Razip Ali sebagai balasan untuk mendapatkan lima lot petak pasar malam di pekan Sungai Besi dan empat lot petak pasar malam di Desa Tasik Sungai Besi.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat DBKL Pasar Besar pekan Sungai Besi pada 4.05 petang, 23 Mac 2010.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama. – Bernama

Tuduhan palsu: Waran tangkap anggota polis



26/01/2011 7:17pm

PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini memerintahkan waran tangkap disempurnakan terhadap seorang anggota polis yang dipercayai melarikan diri bagi mengelak untuk dihadapkan ke mahkamah hari ini.
Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid mengeluarkan arahan itu terhadap Lans Koperal Norzali Rosle, 25, dari Balai Polis Kota Damansara selepas dia tidak hadir ke mahkamah bagi menghadapi satu pertuduhan baru.
Norzali sepatutnya didakwa semalam terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 211 Kanun Keseksaan iaitu membuat tuduhan palsu sehingga mendatangkan bencana yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Amirah Mohamed Yusoff membuat permohonan itu selepas pelbagai usaha untuk mengesannya gagal termasuk pergi ke rumahnya sejak semalam.
"Kami percayai Norzali telah melarikan diri ke Kedah sejak semalam dan kami percaya dia mempunyai pengetahuan mengenai pertuduhan ini,” katanya. – Bernama

Mayat mangsa lemas ditemui terapung



26/01/2011 4:30pm

KUALA TERENGGANU – Mayat Khairul Hakim Dagang, 20, yang lemas setelah dikatakan terjun ke Sungai Terengganu di Kampung Pulau Bahagia di sini malam Isnin lepas, ditemui terapung tidak jauh daripada tempat dia dilaporkan hilang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Abdul Halim Mohd Ishak berkata, mayat tersebut dijumpai terapung-apung kira-kira 7.20 pagi tadi oleh orang awam.
Mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah sebelum dituntut oleh keluarganya bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Bahagia.
Abdul Halim berkata, dalam kejadian pada kira-kira 11.30 malam itu, mangsa yang sedang berada di tepi sungai berkenaan bersama dua rakannya dikatakan bertindak terjun ke dalam sungai setelah terkejut melihat kehadiran polis di situ.
Katanya, rakan-rakan mangsa dapat menyelamatkan diri, manakala Khairul Hakim yang tidak tahu berenang, hilang dibawa arus. – Bernama

Geng curi motosikal ‘Geng Piramid’ tumpas



26/01/2011 4:56pm

MARAN – Geng mencuri motosikal, dikenali sebagai “Geng Piramid” yang aktif sejak tahun lepas, tumpas apabila mereka tersilap langkah bertindak mencuri motosikal di kawasan perumahan polis di Temerloh.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Ahmad Johari Shahabuddin berkata, penahanan sembilan anggota kumpulan itu dipercayai dapat menyelesaikan 18 kes mencuri motosikal yang dilaporkan di Pahang dan Selangor sejak setahun lepas.
Penangkapan suspek bermula apabila empat anggota kumpulan itu ditahan pada 8 Januari lepas selepas mencuri motosikal di kawasan perumahan polis di Temerloh.
"Penangkapan empat anggota kumpulan terbabit yang masing-masing berumur 18 tahun termasuk ketua mereka membawa kepada penangkapan lima lagi ahli kumpulan berumur 17 hingga 26 tahun di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Ahmad Johari berkata, semua suspek ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut. – Bernama

Suami Suspek Tikam Bayi Ditahan



26/01/2011 13:55:39
Bukan setakat 5 tikaman, tetapi lebih.

Siasatan awal polis, punca kematian bayi malang yang dikatakan ditikam ibunya semalam akibat pendarahan dalaman yang teruk.

Suspek direman bermula hari ini dan awal pagi tadi, suaminya pula ditahan.

Semalam seorang bayi perempuan ditemui berlumuran darah di dalam tandas di sebuah rumah panjang Batu 4.5, Kampung Jawa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika dihubungi berkata suami suspek meninggalkannya sejak 8 bulan lalu.

Setakat ini suspek, seorang wanita warga Myanamr ditahan sementara di Hospital Tengku Ampuan Rahmah, HTAR.

Suspek, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi orang pelarian, UNHCR.

Penunggang maut nahas


SHAH ALAM: Seorang kakitangan kerajaan maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 63.2 Jalan Klang-Teluk Intan, Tanjung Karang, pagi semalam.
Dalam kemalangan jam 7.30 pagi, mangsa, Mohd Sharol Anuar Mohd Yin, 25, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian sebuah kereta dari arah Kuala Selangor menghala ke Sekinchan gagal dikawal ketika melepasi selekoh sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan gagal mengelak sebelum melanggar kenderaan itu menyebabkan mangsa melambung manakala motosikalnya berpusing beberapa kali.

“Sebuah lori yang datang dari arah mangsa juga gagal membrek dan melanggar bahagian belakang kereta terbabit,” katanya di sini, semalam.

Putus jari kelengkeng dibelasah 4 lelaki


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki putus jari kelengkeng kanan dan cedera pada badan serta kepala selepas ditetak dengan parang oleh empat lelaki tidak dikenali di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Ipoh, di sini, awal pagi kelmarin.
Difahamkan, kejadian dilakukan semua lelaki terbabit yang berusia 30-an dipercayai bagi membalas dendam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang sedang melepak di tempat kejadian tiba-tiba didatangi empat lelaki itu.

Sumber berkata, sebaik menghampiri mangsa, seorang daripada suspek terus melepaskan tumbukan ke arah mangsa sebelum tiga lagi rakannya mengeluarkan parang dan menetak mangsa.

“Ketika itu, mangsa hanya mampu merayu tidak dicederakan sambil menutup kepalanya dengan kedua-dua belah tangannya. Bagaimanapun, lelaki itu tidak memperdulikan rayuan itu sebaliknya terus memukul dan menetak mangsa sebelum meninggalkannya dalam keadaan berlumuran darah.

“Semua suspek dipercayai menunggang dua motosikal yang diletakkan berhampiran kawasan berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, jeritan mangsa didengari beberapa orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum mereka menghubungi polis.

“Sekumpulan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan sebuah ambulans,” katanya.

Terima menantu sulung


KUANTAN: “Kami sedih dengan tragedi menimpa arwah kerana dia baru menerima menantu sulung Sabtu lalu dan tidak menyangka dalam kegembiraan menyambut ‘orang baru’ itu, dia pula pergi meninggalkan kami buat selamanya,” kata Zainudin Ishak, 46, abang ipar kepada Ramlan Mohamad, 42, mangsa kemalangan maut dalam kejadian di Kilometer 129.2, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Felda Keratong, kelmarin.
Turut terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan kira-kira jam 3.30 petang itu ialah dua anaknya, Mohamad Aniq Mauqri serta Maria Adiliah masing-masing berusia lima dan empat tahun.

Isteri mangsa, Zainon Abd Kadir, 43, yang dilaporkan cedera parah kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), manakala datuknya, Ngah Deris, 74, cedera ringan.

Difahamkan, ketika kejadian, Ramlan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tok Jembal, Terengganu selepas selesai urusan kenduri perkahwinan anak ketiganya, Nurul Wahida, 18, yang diadakan di rumah keluarga isterinya di Kampung Tanjung Gadang, Gelang Patah, Johor, Sabtu lalu.

Dipercayai, kejadian berpunca apabila Toyota Camry dipandu Ramlan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung Proton Saga dan pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang datang dari arah Kuantan.

Sindiket dadah Iran tumpas


KUALA LUMPUR: Satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu membabitkan warga Iran di negara ini lumpuh selepas 32 ahli sindiket itu ditahan dalam beberapa siri operasi berasingan sepanjang tiga minggu lalu.
Mereka yang berusia 20 dan 40 tahun dan memasuki negara ini sebagai pelancong dipercayai bergiat aktif menyeludup dan memproses dadah selepas penemuan makmal serta dadah jenis syabu seberat 115.9 kilogram bernilai lebih RM23 juta di beberapa lokasi di ibu kota.

Semua mereka dikesan menjadikan negara ini sebagai transit sebelum mengedar semula syabu yang sudah diproses itu ke negara lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, semua mereka dipercayai sudah lebih enam bulan beroperasi di negara ini.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, seramai 17 warga sama ditahan dan sejumlah 13 kilogram syabu dirampas.

Katanya, dalam operasi terbaru pada 18 Januari lalu, seorang lelaki warga Iran ditangkap di Ampang sebelum merampas 13 kilogram syabu daripadanya.

“Hasil penahanan itu, polis menahan tiga lagi lelaki dan seorang wanita di sekitar ibu kota,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam satu lagi operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat lalu, polis mencekup dua lelaki yang masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Pengantin baru pilu


JOHOR BAHRU: Pengantin baru, Nurul Wahida Ramlan, 18, tidak menduga kerenah adik kesayangan yang tiba-tiba kuat merajuk menjadi kenangan terakhir sebelum kehilangan tiga ahli keluarganya sekali gus, akibat kemalangan di Kilometer 129.2 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Felda Kratong di sini, petang kelmarin.
Nurul yang melangsungkan perkahwinan Sabtu lalu, kehilangan bapanya, Ramlan Mohamad, 42, dua adik iaitu Mohamad Aniq Mauqri, 5, dan Maria Adiliah, 4, yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 petang itu.

Ibunya, Zainon Abd Kadir, 43, yang parah kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan manakala datuknya, Ngah Deris, 74, hanya cedera ringan.

Lebih menyedihkan, kemalangan berlaku ketika lima beranak itu dalam perjalanan pulang ke kampung datuknya di Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu, Terengganu selepas selesai kenduri kahwin di Kampung Tanjung Gadang, Gelang Patah, Sabtu lalu.

“Malam sebelum kejadian, Aniq tiba-tiba kuat merengek dan ingin bermanja dengan ayah setiap kali merajuk malah dia seolah-olah tidak mahu berenggang dengan ayah walau pun sesaat.

“Bagaimanapun, kerana sibuk menguruskan kenduri dan melayan tetamu, saya langsung tidak terlintas akan berlaku kejadian buruk terhadap mereka.

“Saya tidak menyangka itu tanda ketiga-tiga insan tersayang bakal pergi buat selamanya,” katanya.

Menurut Nurul, ibu dan bapa juga gembira dan teruja terutama setiap kali menerima ucapan tahniah daripada saudara serta rakan yang hadir pada majlis berkenaan.
Nurul berkata, sebelum kejadian, bapanya menolak pelawaannya dan suami berkonvoi bersama-sama pulang ke Kampung Tok Jembal.

“Ayah menolak pelawaan itu dengan alasan mahu membantu saudara mengemas dewan yang digunakan untuk mengadakan majlis berkenaan serta urusan lain yang masih belum selesai.

“Tanpa fikir panjang, saya dan suami bertolak lebih awal kira-kira jam 10 pagi manakala kereta dinaiki mereka memulakan perjalanan sejam kemudian,” katanya.

Menurut Nurul, kerana menyangka keluarganya masih dalam perjalanan, dia dan suami terus memandu kerana ingin cepat sampai ke rumah.

Kelahiran bayi tidak sah taraf pada tahap kronik


KUALA TERENGGANU: Menggerunkan apabila seramai 623 anak tidak sah taraf dilahirkan di negeri ini tahun lalu sekali gus menunjukkan gejala kelahiran anak luar nikah berada pada tahap kronik.
Lebih mengejutkan, daripada jumlah itu, kadar tertinggi dicatatkan pada Mei dengan 72 kelahiran dan September 60 kelahiran yang dikaitkan dengan kemunculan ‘produk’ yang dibuat sembilan bulan sebelum itu iaitu pada Ogos dan Disember.

Hasil kelahiran dicatatkan dua bulan itu juga dikaitkan sebagai ‘musim mengawan’ pasangan muda-mudi yang berpesta seks tanpa ikatan sah pada malam sambutan hari kemerdekaan dan tahun baru.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Ghazali @ Suhaimi Muhammad berkata, jumlah kelahiran anak tidak sah taraf itu dicatatkan di sembilan pejabat JPN membabitkan bayi pelbagai agama daripada pasangan warganegara dan bukan warganegara.

“Angka ini begitu menggerunkan dan menunjukkan penyakit masyarakat yang membimbangkan semua pihak. Lebih menyedihkan, majoriti bayi dilahirkan daripada ibu beragama Islam.

“Jadi kita minta kerjasama agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi lain bersama membanteras pergaulan bebas muda-mudi bagi mengelak mereka terjerumus ke lembah maksiat dan menghasilkan anak luar nikah,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di pejabat JPN Terengganu, di sini, semalam.

Pada majlis itu, lima orang menerima sijil warganegara mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan lapan lagi mengikut Perkara 19(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan lapan berasal dari Kemboja serta masing-masing satu dari Indonesia dan India.

Ibu kaget anak balik tadika ‘ditawan’


KUALA LUMPUR: Pengalaman ngeri terpaksa ditempuh seorang ibu apabila anaknya yang berusia enam tahun menjadi ‘tawanan’ seorang daripada dua lelaki bersenjatakan parang ketika dia baru menjejakkan kaki di depan rumahnya di Taman Melawati, dekat sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, wanita berusia 40-an itu baru menjemput anaknya pulang dari tadika dan sejurus tiba di depan rumah, dua lelaki menunggang motosikal terus meluru ke arah keretanya.

Menurut sumber polis, seorang daripada penjenayah terbabit menerpa ke arah mangsa selepas dia keluar daripada kereta dan memintanya mendiamkan diri manakala seorang lagi yang membawa parang pergi ke arah anaknya.

“Penjenayah terbabit mengarahkan mangsa menyerahkan semua barang berharga miliknya. Mangsa yang ketakutan hanya mengikut arahan itu.

“Tidak puas hati dengan hasil diperoleh, penjenayah turut menggeledah keretanya dan mangsa bersama anaknya hanya mampu memerhati kerana begitu takut,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian menjerit sekuat hati untuk menarik perhatian jirannya.

“Mendengar jeritan itu dua lelaki terbabit mula panik sebelum kelam-kabut meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, mangsa dan anaknya bernasib baik kerana tidak dicederakan. Bagaimanapun, mereka mengalami trauma kerana terlalu takut dengan kejadian itu.
“Mangsa tidak dapat mengecam penjenayah itu kerana mereka memakai kaca mata hitam dan juga topi keledar berpenutup penuh.

“Mangsa juga gagal mencatatkan nombor pendaftaran motosikal yang ditunggangi suspek kerana kejadian berlaku dengan pantas selain panik,” katanya.

Sumber berkata, setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan agak sukar untuk mengecam suspek kerana kawasan berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Kebas wang, kad prabayar


AMPANG: Pekerja tak mengenang budi. Itu dilakukan seorang lelaki apabila dia yang bekerja sejak setahun lalu sanggup mencuri wang dalam laci kaunter dan juga kad tambah nilai prabayar di stesen minyak milik majikannya di Taman Melawati, di sini, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, perbuatannya itu membawa padah apabila dia ditahan sehari selepas itu apabila majikannya membuat laporan polis sejurus melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen minyak berkenaan.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam apabila pekerja terbabit yang berusia 30-an mengambil wang dalam kaunter dan juga dua kad tambah nilai.

“Lelaki itu memberikan satu kad tambah nilai berkenaan yang berharga RM20 kepada seorang rakannya yang juga pekerja di situ sebagai upah untuk menutup mulut.

“Dia turut menghasut rakan sekerjanya itu supaya berhenti kerja namun rakannya enggan,” katanya.

4 kesalahan 1 perjalanan


captioNASIHAT...Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan (tiga dari kiri) memberi nasihat kepada pemandu bas ekspres  sambil diperhatikan Kong  (dua dari kiri).
captioNASIHAT...Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan (tiga dari kiri) memberi nasihat kepada pemandu bas ekspres sambil diperhatikan Kong (dua dari kiri).

GOMBAK: Tindakan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyamar sebagai penumpang dalam sebuah bas ekspres dari Bukit Jalil ke Kuantan mengesan empat kesalahan dilakukan pemandu bas itu dalam Operasi Bersepadu Musim Perayaan Tahun Baru Cina, semalam.
Pemandu terbabit yang tidak menyedari setiap tindak tanduknya diperhatikan leka berbual menggunakan telefon bimbit ketika memandu tanpa menggunakan alat bebas tangan.

Pemandu itu turut dikesan memandu laju malah menggunakan lorong sebelah kanan sepanjang perjalanan.
Lebih membahayakan, dia menukar lorong secara tergesa-gesa tanpa memberi isyarat sehingga membahayakan nyawa penumpang dan pemandu kenderaan lain.

Pemandu terbabit turut melakukan kesalahan mengambil empat penumpang secara tidak sah dipercayai rakannya yang tidak mempunyai tiket perjalanan. Akhirnya pemandu itu ditahan JPJ sebaik tiba di Stesen Penguat Kuasa JPJ, Gombak.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, tindakan dilakukan JPJ itu bagi memastikan bas yang dinaiki penumpang selamat dari segi teknikal seperti sistem brek dan tayar serta dipandu mereka yang berkelayakan.
Menurutnya, setakat ini, 240 anggota JPJ ditempatkan di 32 terminal bas utama di seluruh negara.

“Tugas mereka memeriksa keselamatan brek, tayar, buku log dan pemandu sebelum bas berkenaan dibenarkan berlepas ke destinasi.
“Penyamaran anggota JPJ sebagai penumpang turut diadakan bagi memerhati dan mencatatkan kesalahan lalu lintas dilakukan mereka,” katanya ketika hadir melancarkan operasi berkenaan.

Chon Ha berkata, awal tahun ini saja, sebanyak 463 bas dinaiki anggota JPJ yang menyamar. Hasilnya sebanyak 149 bas disaman kerana melakukan 196 kesalahan.

“Selain itu, berdasarkan rekod kemalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 92 lokasi maut dikenal pasti,” katanya.

Minuman 'tenaga batin' beracun


RAMPAS...Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguat Kuasa Farmasi KKM, Mazlan Ismail, memeriksa dua jenis produk minuman yang dirampas, semalam.
RAMPAS...Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguat Kuasa Farmasi KKM, Mazlan Ismail, memeriksa dua jenis produk minuman yang dirampas, semalam.

KUALA LUMPUR: Tidak ubah seperti menjual racun apabila Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membongkar sejenis produk minuman ‘tenaga batin’ edaran sebuah syarikat kosmetik terkenal yang dikesan dicampurkan dua jenis kimia berbahaya sekali gus.
Racun kimia analog berkenaan yang dipercayai diseludup dari Taiwan dianggap berbahaya berikutan boleh merosakkan sel saraf tubuh selain meragut nyawa pengguna dalam tempoh singkat. 
Tindakan sebuah syarikat memasarkan produk minuman kesihatan berbahaya itu terbongkar selepas pihak penguat kuasa farmasi merampas kira-kira 2,000 botol produk itu bernilai lebih RM100,000.

Dalam operasi kira-kira jam 11 pagi semalam, sepasukan 30 pegawai penguat kuasa farmasi diketuai Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguat Kuasa Farmasi KKM, Dali Ismail bertindak menyerbu lima premis yang menjual produk itu di Chow Kit, di sini.

Operasi itu dilakukan bertujuan merampas dua jenis produk kesihatan berbahaya yang diedarkan sebuah syarikat kosmetik terkenal beribu pejabat di kawasan berkenaan.

Jurucakap Bahagian Farmasi berkata, pihaknya sebelum ini melakukan siasatan terhadap produk minuman kesihatan lelaki milik syarikat itu yang didakwa boleh meningkatkan daya rangsangan seksual.

Menurutnya, pengedar produk minuman berharga RM50 sebotol itu bagaimanapun cuba mengaburi pengguna dengan mendakwa cecair berkenaan dihasilkan 100 peratus herba dan rempah terpilih.

“Namun rahsia ramuan istimewa berkenaan adalah palsu selepas produk itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Hasil ujian makmal, pihak KKM mendapati minuman itu mengandungi kimia Hydroxythiohomosildenafil dan Thiosildenafil.

“Kimia sintetik itu jauh berbahaya berbanding kimia sildenafil di dalam produk Viagra berikutan ia mampu merosakkan sistem tubuh dengan lebih cepat termasuk mengakibatkan kematian mengejut,” katanya.

Katanya, syarikat sama turut dikesan mengedarkan sejenis minuman kesihatan yang didakwa mampu membakar lemak serta menguruskan tubuh dalam tempoh pantas.

“Pemeriksaan Jabatan Kimia dilakukan di Pulau Pinang mendapati produk minuman kesihatan itu dicampurkan kimia berbahaya analog Sibutramine yang dikategorikan sebagai racun berjadual,” katanya.

Tikam bayi baru lahir


TAHAN...suspek (kanan) dibawa anggota polis ke HTAR. Gambar kecil, Jamilah.
TAHAN...suspek (kanan) dibawa anggota polis ke HTAR. Gambar kecil, Jamilah.

SHAH ALAM: Kejam apabila seorang ibu muda tergamak menikam bertubi-tubi bayi perempuan yang baru dilahirkannya sebelum mayat bayi malang itu ditemui dalam tandas di rumah panjang, Batu 4 1/2, Kampung Jawa di sini, semalam.
Mayat bayi cukup sifat itu ditemui kira-kira jam 12.45 tengah hari oleh sepasukan polis sejurus menerima panggilan kecemasan daripada jiran yang curiga dengan tindakan wanita itu berkurung seorang diri dalam rumah. 
Hasil siasatan polis mendapati, suspek berusia 23 tahun yang juga pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) dari Myanmar melahirkan bayi itu kira-kira jam 9 pagi sebelum membunuhnya dipercayai dengan menikam berulang kali menggunakan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, ketika polis tiba di rumah itu, bayi berkenaan sudah meninggal dunia, ditemui terbaring atas plastik dengan kesan tikaman di badan, manakala kawasan itu dipenuhi kesan darah.

Menurutnya, siasatan mendapati, ketika kejadian wanita itu berseorangan di rumah dan rumah sewa berkenaan dihuni tiga orang.

“Turut ditemui di tempat kejadian satu senjata tajam dan ia dirampas untuk siasatan lanjut.

“Wanita itu juga sihat dan dia bersama mayat bayi itu dibawa ke HTAR (Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sepasukan polis dari Unit Forensik turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengumpul bukti berhubung pembunuhan itu.

Difahamkan, suami wanita itu meringkuk dalam penjara sejak tiga tahun lalu dan ketika kejadian, ibu wanita terbabit berada di Thailand atas urusan peribadi. Wanita itu turut mempunyai seorang anak berusia tiga setengah tahun.

Sementara itu, adik wanita terbabit, Jumilah Salim, 17, yang tinggal berdekatan mendakwa, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen dan tidak sedar apa yang berlaku di rumah kakaknya.

“Rumah saya dan kakak selang satu pintu saja dan saya hanya tahu kejadian itu selepas polis tiba dan orang mula datang serta ketuk pintu rumah kakak.

“Ketika kejadian anaknya bermain di rumah saya,” katanya yang menyewa di situ sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, jiran wanita terbabit, Mohamad Salim Nur Syuri, 35, mendakwa, sempat melihat wanita terbabit dan ketika itu kain dipakainya dipenuhi darah.

“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, kawan saya menghubungi polis,” katanya yang bekerja sebagai pencari besi buruk.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Penagih, pencuri motosikal dicekup


KUALA LUMPUR: Seramai 36 individu membabitkan pelbagai kesalahan termasuk penagih dadah dan curi motosikal ditahan dalam Operasi Pembersihan di dua lokasi berasingan di sini, petang kelmarin.
Operasi dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di Jalan San Peng dan Jalan Petaling itu turut mengeluarkan 72 saman trafik terhadap pengguna jalan raya.

Nyaris dihempap pokok


JOHOR BAHRU: Hanya beberapa saat memisahkan seorang wanita daripada maut apabila pokok rhu setinggi kira-kira 25 meter di Jalan Ngee Heng di sini, tumbang dipukul ribut, petang semalam, tidak lama selepas wanita itu berjalan melepasinya.
Dalam kejadian jam 4.15 petang, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Teo, berusia 50-an berkata, pokok itu tumbang di tempat meletak kenderaan.

“Saya menjual peralatan ibadat di kawasan berkenaan dan ketika kejadian, saya sedang berjalan berhampiran pokok berkenaan untuk ke tandas.

“Bagaimanapun, saya berpatah balik ke gereja berhampiran selepas terdengar panggilan seorang rakan yang menyuruhnya masuk ke rumah ibadat berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Teo, panggilan rakannya itu menyelamatkannya daripada ditimpa pokok berkenaan dan dia hanya menyedari kejadian apabila terdengar bunyi bising.

Katanya, sebuah kereta Proton Persona rosak ditimpa pokok berusia 50 tahun itu.

Selamat terjun 23 tingkat





2011/01/26

Cubaan wanita bunuh diri gagal selepas jatuh atas teksi

BUENOS AIRES: Seorang wanita yang dilaporkan cuba membunuh diri dengan terjun dari sebuah restoran di tingkat 23 sebuah hotel di Buenos Aires, terselamat apabila terjatuh di atas sebuah teksi di tempat letak kereta. 

Gambar menunjukkan wanita berusia 30 tahun berkenaan merengkok di atas teksi hitam kuning sebelum dia dikejarkan ke hospital dan disahkan mengalami kecederaan teruk pada paru-paru, buah pinggang dan limpa, kata pihak berkuasa.
Saksi di restoran di hotel Panamericano menceritakan mangsa pada awalnya kelihatan tenang memesan kopi dan meninggalkan beg duitnya sebelum menanggalkan kasut dan memanjat penghadang keselamatan dan terjun dari bangunan terbabit.
“Saya keluar dari teksi satu saat sebelum kejadian. Jika saya tidak keluar, dia mungkin menyebabkan saya mati,” kata pemandu teksi yang masih terkejut itu, dikenali sebagai Miguel, 39, ketika menceritakan kejadian itu kepada media tempatan. 

“Saya mendengar bunyi dan melihat badan wanita terbabit jatuh ke atas bumbung teksi saya. Perkara pertama yang saya lakukan ialah menghubungi keluarga dan kemudian saya menangis kerana saya sangat bertuah dapat melihat kejadian ini. 

“Ia satu keajaiban kerana wanita itu terselamat biarpun jatuh dari bangunan tinggi,” katanya. – Agensi 

Lingkaran misteri disiasat






2011/01/26

PENIAGA tempatan menjual gambar lingkaran misteri yang wujud di kawasan sawah di  Yogyakarta, semalam.
PENIAGA tempatan menjual gambar lingkaran misteri yang wujud di kawasan sawah di Yogyakarta, semalam.
Penduduk gempar fenomena dikait dengan makhluk asing

JAKARTA: Fenomena penemuan crop circle atau lingkaran misteri di kawasan sawah padi di wilayah Berbah, Sleman menarik perhatian penyelidik pelbagai agensi di Indonesia. Dua institusi berkenaan adalah masing-masing Badan Tenaga Atom Nasional (Batan) dan Lembaga Penerbangan dan Antariksa Nasional (Lapan) yang menghantar pasukan masing-masing ke lokasi. 

Selain Lapan dan Batan, pasukan Bapeten (Badan Pengawasan Tenaga Nuklear) turut berada di lokasi. Mereka menyiasat jika berlaku radiasi di sekitar lokasi lingkaran terbabit.
Lokasi yang menempatkan penemuan fenomena misteri berkenaan semakin mendapat perhatian dengan kehadiran orang ramai yang turut menjadikan jalan menuju ke lokasi terbabit sesak.
Penduduk juga cuba menaiki Gunung Suru untuk mendapatkan pandangan lebih jelas lingkaran terbabit dari bahagian atas. Malah bukit setinggi 25-30 meter di utara lokasi dipasang tali untuk memudahkan pengguna. 

Bagaimanapun Moedji Raharto, penyelidik Kelompok Kajian Astronomi ITB berpendapat lingkaran terbabit mungkin akibat fenomena alam daripada angin kencang atau hujan yang membentuk perkara terbabit. 

“Secara logik, kehadiran makhluk asing tidak semudah difikirkan. Kita di bumi pernah melakukan satu kajian CETI (Communication Extra-Terrestrial Intelligence) selama puluhan tahun tetapi tidak menemui apa-apa. 

“Jika memang ada makhluk asing yang melakukan penerbangan, ia sepatutnya melakukan komunikasi, membangun komunikasi yang hebat,” katanya dalam temubual dengan akhbar Republika, semalam. 
Katanya di Indonesia sendiri banyak berlaku apa yang didakwa sebagai fenomena UFO tetapi tidak ada sesuatu yang dapat diyakinkan secara ilmiah. – Agensi 

Tiga suspek pengebom diburu





2011/01/26

Pemisah Islam Caucasus Utara disyaki serang lapangan terbang Moscow

MOSCOW: Penyiasat Russia kini memburu tiga suspek yang dipercayai dapat membantu mereka menangkap dalang di sebalik serangan bom di lapangan terbang Moscow yang mengorbankan 35 orang dan mencederakan lebih 150 yang lain. 

Sumber keselamatan berkata, ketiga-tiga suspek dikatakan menyaksikan letupan itu sebelum meninggalkan lapangan terbang ber-kenaan.
Belum ada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu tetapi media Barat kebanyakannya menuding jari kepada kumpulan pemisah Islam dari wilayah Caucasus Utara.
Sementara itu, sumber keselamatan di sini memberitahu stesen televisyen tempatan RIA Novosti pengebom bunuh diri yang meletupkan dirinya dalam lapangan terbang itu kelmarin adalah seorang wanita. Laporan awal menyebut penyerang itu adalah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an. 

Berpuluh-puluh mesej dikirim dalam bahasa Russia kepada laman web kavkazcenter.dom memuji penyerang bunuh diri itu. 

Kepala seorang yang ‘berwajah Arab’ dipercayai dari wilayah Caucasus Utara dan dipercayai kepunyaan penyerang terbabit ditemui di lokasi kejadian. 
Presiden Russia Dmitry Medvedev, berikrar akan menjejak dan menghukum mereka yang terbabit dengan pengeboman itu. 
“Kami melahirkan rasa dukacita yang amat sangat dengan serangan pengganas di lapangan terbang Domodedovo. Dalang kejadian ini akan diburu dan dihukum,” katanya. 

Pejabat pendakwa berkata letupan bom itu diklasifikasikan sebagai serangan pengganas dan yang terbesar sejak serangan bom berkembar di metro Moscow menggegar Russia Mac lalu. 

Satu laporan yang disiarkan LifeNews.ru menyatakan bom terbabit juga mengandungi serpihan logam termasuk, skru, paku dan bebola besi 
Masalah ketegangan antara etnik semakin ketara di Moscow sejak beberapa minggu kebelakangan ini, apabila penunjuk perasaan nasionalis menyerang orang ramai yang bukan berketurunan Russia, kebanyakannya dari Caucasus Utara. 

Russia sudah terbabit dalam dua peperangan di Chechnya dari 1994 hingga 1996 dan pada 1999 dan walaupun peperangan sudah berakhir, pemberontakan semakin meningkat. 

Beberapa kumpulan militan muncul daripada konflik di Chechnya dan Caucasus Utara, termasuk di republik Dagestan dan Ingushetia. – Agensi 

15,000 penduduk Mesir sertai protes ala Tunisia





2011/01/26

PENUNJUK perasaan mula protes anti Mubarak di Kaherah.
PENUNJUK perasaan mula protes anti Mubarak di Kaherah.
KAHERAH: Sekurang-kurangnya 15,000 penunjuk perasaan Mesir menyertai protes digelar ‘Hari Kebangkitan’ ala Tunisia, sebahagiannya membaling batu dan memanjat trak polis selain bertempur dengan anggota keselamatan di tengah ibu negara bagi menuntut Presiden Hosni Mubarak menamatkan pemerintahan sejak 30 tahun lalu. 

Anggota polis bertindak balas dengan melepaskan meriam air selain menggunakan cotar dan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan melaungkan ‘Jatuhkan Mubarak’ selain menuntut pembasmian kemiskinan, rasuah, pengangguran dan salah laku polis.
Bantahan itu awalnya bermula dengan aman, protes terbesar di Mesir sejak bertahun-tahun lalu selepas anggota polis berhati-hati sejajar dengan strategi kerajaan mengelak imej agensi keselamatan terus tercemar kerana dibayangi tuduhan bertindak seperti samseng.
Ketika penunjuk perasaan membawa bendera Mesir dan Tunisia memenuhi dataran Tahrir, anggota keselamatan mengubah taktik dan bantahan bertukar menjadi ganas. 
Perkembangan itu dianggap sesuai dengan sambutan ‘Hari Polis’ yang berlangsung semalam, kata pemerhati. Ada penunjuk perasaan menyerbu trak meriam air, membuka pintu pemandu dan mengarahkannya keluar. 

Orang lain membaling batu dan mengheret penghadang besi manakala anggota keselamatan memukul pembantah dengan cotar kerana cuba merempuh hadangan. 
Ada penunjuk perasaan terhuyung hayang terhidu gas pemedih mata, ada yang batuk dan menutup mata dengan skaf.

Ada juga yang berlumuran darah. Seorang lelaki pula pengsan. Anggota polis mengheret beberapa daripada pembantah ke luar kawasan itu selain memecahkan kaca mata seorang wartawan dan merampas kameranya. 
Pada ketika tertentu, pembantah mendapat kelebihan apabila memaksa sebaris anggota polis pencegah rusuhan lari selepas dihujani batu. 

Seorang penunjuk perasaan juga menaiki sebuah kereta bomba dan memandunya dari situ. 

“Saya mahu anak saya yang berusia tiga tahun membesar secara bermaruah dan mencari kerja seperti juga presiden,” kata Eid Attallah, 50, yang bekerja sebagai pemandu. – AP 

Bayi baru lahir maut ditikam ibu



SHAH ALAM – Seorang bayi perempuan dibunuh kejam, dipercayai ditikam bertubi-tubi oleh ibunya sendiri di sebuah rumah panjang di Batu 4, Kampung Jawa, dekat sini, semalam.

Mayat bayi malang yang dipercayai baru lahir kira-kira jam 9 pagi itu, ditemui terbaring di atas plastik di bilik air rumah panjang berkenaan.

Difahamkan, bayi itu ditikam menggunakan objek tajam, lebih lima kali di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, suspek yang berusia 23 tahun adalah seorang warga Myanmar, ditahan di rumahnya selepas polis menerima panggilan telefon berhubung insiden itu, kira-kira jam 12.45 tengah hari.

“Bayi itu dipercayai dibunuh selepas dilahirkan dan terdapat kesan tikaman serta masih berdarah.

“Satu objek tajam dipercayai senjata pembunuhan diambil dari tempat kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Zahedi berkata, punca sebenar kecederaan mangsa (bayi) masih tidak diketahui kerana polis sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

"Suspek memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dan tinggal bersama tiga ahli keluarga, termasuk ibunya.

"Difahamkan, suspek ada seorang anak perempuan berumur tiga tahun, manakala suaminya sedang menjalani hukuman penjara sejak tiga tahun lalu atas kesalahan memiliki senjata," katanya.

Menurutnya, sewaktu kejadian, suspek sendirian di rumah kerana saudaranya keluar bekerja manakala ibunya dikatakan berada di Thailand.

“Motif kejadian itu masih dalam siasatan dan kami juga sedang menunggu laporan perubatan untuk mengetahui keadaan mental suspek semasa insiden ini berlaku,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, seorang jiran yang juga warga Myanmar, Mohamad Salim Nur Syuri, 35, berkata, sebelum ini suspek menafikan sedang mengandung dengan alasan perutnya membesar kerana kuat makan.

“Pagi ini (semalam) saya nampak dia jalan dalam keadaan mencurigakan seperti baru melahirkan anak tetapi saya tidak sangka anaknya mati,” katanya.

Lelaki hilang 12 jam dikhuatiri lemas





KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki, Khairul Hakim Dagang, 20, yang menghilangkan diri lebih 12 jam dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu berdekatan Kampung Pulau Bahagia, Manir, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa bersama tiga lagi rakannya terkejut dengan kehadiran polis yang meronda di kawasan itu dan secara bertindak nekad terjun ke dalam sungai.

Menurut Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Ismail Mat Hassan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.15 petang semalam.
“Hasil laporan yang dibuat, seramai 15 anggota membabitkan Unit Skuba bergegas ke tempat kejadian dan kerja-kerja menyelamat dimulakan membabitkan kawasan dasar sungai dan kawasan sekitar.
“Bagaimanapun kerja-kerja mencari di dasar sungai terpaksa dihentikan kira-kira jam 7 petang kerana keadaan gelap tidak sesuai untuk menyelam dan usaha mencari di permukaan sungai,” katanya.
Menurutnya, berikutan mangsa masih belum ditemui, pihaknya menempatkan bilik operasi berdekatan lokasi mangsa dipercayai lemas dan usaha mencari diteruskan pada jam 7 pagi ini.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Zahari Harun, 50, berkata, laporan polis dibuat kira-kira jam 3 petang semalam, disebabkan mangsa yang bekerja menjaga ladang kambing milik bapanya tidak pulang ke rumah setelah keluar kira-kira jam 11 malam kelmarin.
“Setelah dimaklumkan mangsa dikhuatiri lemas, saya dan ahli keluarga lain bertindak mencari ke dalam sungai, namun gagal menemuinya,” katanya yang berniaga kedai runcit di Pasar Payang.

Sindiket curi motosikal tumpas




KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya menumpaskan sindiket mencuri motosikal di daerah ini selepas menahan empat suspek dan merampas komponen motosikal yang berjumlah RM42,000 di Kampung Permatang Pusu, Melor dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Azham Othman berkata, dengan tertumpasnya sindiket tersebut melalui ‘Ops Bersepadu’ yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu itu, polis berjaya menyelesaikan 14 kes kecurian motosikal di daerah ini.

“Keempat-empat suspek berusia antara 19 hingga 47 tahun itu berjaya ditahan di hadapan Pasaraya Econjaya, Kok Lanas di sini.

“Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas salah seorang suspek berusia 19 tahun, telah membawa penemuan pelbagai komponen motosikal yang dileraikan di rumah berkenaan,” katanya kepada media di sini, semalam.

Azham berkata, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan rumah itu membawa kepada penemuan dua motosikal jenis EX5, sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z, dan sebuah lagi dari jenis C70.

“Selain turut menemui komponen-komponen dileraikan, yang dipercayai dijual kepada individu tertentu atau pembeli yang sedia membeli di bawah harga pasaran bagi memudahkan kerja melupuskan bahan-bahan yang dicuri ini,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan sejenis alat dikenali sebagai ‘bedil’ bagi memecahkan kunci pada leher motosikal sebelum berjaya melarikannya.

“Kes disiasat di bawah Sesyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan suspek kini ditahan reman sehingga 28 Januari ini bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan serta menyelesaikan kes-kes kecurian motosikal yang berlaku di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, pihak polis kini sedang menjalankan operasi bersepadu bagi mencegah penjenayah khususnya yang melibatkan kecurian motosikal dengan memberi kesedaran kepada orang ramai agar menjaga harta benda sendiri dan tidak hanya bergantung pada kunci leher semata-mata.

“Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan lebih daripada satu alat mengunci kenderaan mereka dan tidak hanya bergantung kepada kunci leher sahaja,” katanya.

Azham berkata, jenayah kecurian motosikal adalah jenayah paling tinggi di Kota Bharu berbanding jenayah lain apabila tidak kurang daripada lima atau enam laporan berhubung kecurian motosikal dilaporkan setiap hari.

Rumah kongsi Pati digempur




SERDANG – Tidak sempat dibuai mimpi indah hingga ke pagi, puluhan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang tidur lena di penempatan kongsi di Bandar Kinrara 6 dekat sini, terkejut apabila mereka tiba-tiba menerima ‘tetamu’ awal pagi semalam.

Difahamkan, kira-kira 108 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Jabatan Imigresen dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) mengepung penempatan kongsi terbabit menyebabkan mereka tidak sempat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, dalam serbuan sebelum itu di dua lokasi di Puncak Jalil, warga asing dapat meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Menurutnya, pihaknya meneruskan operasi di lokasi berasingan di Puchong sebelum menjalankan pemeriksaan ke atas 52 warga asing dari pelbagai negara.

“Pemeriksaan mendapati 19 daripada mereka enggan pulang selepas tempoh permit perjalanan diri tamat.

“Dua wanita masing-masing warga Indonesia dan Vietnam turut didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya yang turut serta dalam Ops Rantau Bersepadu Cegah di sini awal pagi, kelmarin.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas menerima aduan masyarakat setempat yang mengadu kerap berlakunya kegiatan jenayah dipercayai membabitkan warga asing.

“Operasi yang dilaksanakan bagi membanteras kegiatan jenayah dan pihak kami akan terus menggempur rumah kongsi lain,” katanya.

Abd Razak berkata, dalam operasi itu 17 warga asing lelaki masing-masing warga Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Bangladesh dicekup kerana tinggal lebih masa dibenarkan di negara ini.

“Manakala dua lagi warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh didapati tiada dokumen perjalanan diri yang sah dan dipercayai masuk secara haram ke negara ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, empat motosikal turut dirampas bagi membantu siasatan dalam operasi berkenaan.

“Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Imigresen dan Seksyen 6 (3) akta sama.

Hotel bajet curi air




SEREMBAN – Sebuah hotel bajet di sini, semalam, diserbu pihak berkuasa gara-gara pemilik premis berkenaan disyaki menjalankan aktiviti mencuri air.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan 20 anggota Unit Penguatkuasaan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), yang diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan Span (BHEPPP SPAN), Mohd Fadzil Othman, bermula kira-kira jam 12 tengah hari.

Jurucakap SAINS berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut selepas menjalankan pemantauan dan mendapat aduan daripada orang awam berkaitan kegiatan curi air di premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, berlaku penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 20 milimeter (mm), dengan menggunakan kira-kira empat gelen tong air daripada paip utama milik SAINS.

“Selain itu terdapat juga sebuah meter haram yang dibuat sendiri pemilik premis bagi menghubungkan paip utama dengan saluran paip lain di premis mereka,” katanya.

Sehubungan itu menurutnya, pihaknya terpaksa mengorek semula tanah bagi mencari punca utama penyambungan air berkenaan, yang disyaki dilakukan secara haram oleh pemilik premis terbabit.

Peniaga rugi besar kedai roboh




KUALA PILAH – Ibarat jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib malang yang menimpa ibu tunggal, Ramnah Soan, 53, kerana bahagian depan kedainya roboh gara-gara angin kuat empat hari lalu selepas disaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada November lalu.

Ramnah berkata, tindakan menukar tiang besi daripada tiang batu sedia ada kerana menerima saman PBT.

“Saya terima saman pada 29 November lalu dan kira-kira jam 4 petang, hari yang sama, saya terus menghubungi pihak berkenaan untuk mengetahui punca sebenar disaman dan ingin memohon rayuan mengurangkan jumlah saman disebabkan tidak mampu.

“Pihak berkenaan meminta saya hadir keesokan harinya dengan surat rayuan dan alhamdulillah, saya dapat kurangkan saman daripada RM500 kepada RM100 sahaja,” katanya yang sudah berniaga sejak 2005.

Menurutnya, dia juga harus merobohkan tiang batu dalam tempoh dua bulan daripada tarikh disaman.

“Alasan diberikan adalah mana-mana peniaga tidak boleh membina bangunan kekal batu-bata dan satu tiang batu pun tidak boleh dibina di mana-mana kedai kerana premis bukan kedai kekal.

“Saya patuh dengan arahan ditetapkan tetapi kecewa kerana masih terdapat kedai yang tidak dirobohkan sedangkan ia adalah bangunan kekal dengan menggunakan batu-bata,” katanya.

Rambah berkata, masalah timbul apabila kedainya roboh kerana angin kuat dan keadaan itu menjejaskan sumber pendapatannya.

“Ia membebankan saya kerana perlu melakukan kerja baik pulih.

“Jika tidak merobohkan tiang batu, kedai saya mungkin boleh bertahan berpuluh-puluh tahun tetapi apabila memasang tiang besi, ia hanya mampu bertahan dua minggu sahaja,” katanya.

Menurutnya, bahagian tepi kedai dan kedudukan tanah agak tidak rata, selain angin kuat memburukkan keadaan.

“Saya bukan :golongan orang berada. Sekarang saya perlu menangguhkan perniagaan kerana tiada duit membina semula bahagian depan kedai.

“Dahulu, saya bina tiang batu dengan kos RM2,500 dan kini mahu membersihkan sisa runtuhan memerlukan kos RM800 pula,” katanya yang mempunyai dua anak.

Sementara itu, Ramnah berkata, kejadian angin ribut itu berlaku jam 1 tengah hari ketika beberapa pelanggan menjamu selera.

“Ketika kejadian, saya tiada di kedai kerana pulang ke rumah di Sungai Dua Kecil. Hanya ada pekerja dan seorang anak. Secara tiba-tiba sahaja, angin kuat lalu merobohkan tiang besi yang baru sahaja diganti beberapa minggu lalu.

“Keadaan tanah yang senget dan bebanan kayu yang berat menyebabkan tiang besi mudah tumbang. Mujur tiada kecederaan berlaku kerana pelanggan sempat melarikan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Ramnah turut merayu mana-mana agensi mahupun sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan membaik pulih kedainya kerana mengalami kesempitan wang.

Ibu lari tinggalkan anak



SEREMBAN – Seorang wanita di Taman Gadong Jaya sanggup meninggalkan anak perempuannya berumur 3 tahun seorang diri sebelum didapati lesap bersama sebuah beg dengan menaiki sebuah kenderaan, kira-kira jam 11.15 malam, semalam.

Lebih menyayat hati, kanak-kanak malang itu ditemui jiran dalam keadaan menangis ketakutan sambil mencari ibunya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga, Halim Kasin berkata, pihaknya dimaklumkan penduduk, ibu kanak-kanak terbabit dilihat keluar dari rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa dan mencurigakan.

Menurutnya, selepas siasatan dibuat, didapati terdapat sebuah beg berisi lampin pakai buang bayi dan susu ditinggalkan dalam rumahnya yang dibiarkan tidak berkunci.

“Kita tidak tahu kenapa ibunya tinggalkan anaknya begitu sahaja. Justeru, atas dasar prihatin jiran sebelah rumah menjaga kanak-kanak itu sebelum membuat laporan polis.

“Ayah kanak-kanak terbabit dimaklumkan oleh jiran kini berada di China atas urusan kerja,” katanya.

Halim berkata, pihaknya juga dimaklumkan Pengerusi Anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS), seorang lelaki ada datang untuk mengambil kanak-kanak berkenaan selepas beberapa jam ibunya keluar dari rumah.

Namun katanya, jiran terbabit tidak menyerahkan kanak-kanak itu kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Rosmawati Shaari ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kanak-kanak itu yang kini diletakkan sementara di bawah jagaan JKM.

“Kita akan membuat siasatan siapa ibu bapa kanak-kanak ini dan untuk sementara waktu, dia diletakkan di bawah jagaan JKM,” katanya.

Tragedi Tahun Arnab



SUNGAI PETANI - Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini tidak bermakna bagi tiga keluarga di Kampung Air Mendidih, Jalan Badlishah di sini, apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran, jam 10.50 malam, kelmarin.

Mangsa, Teh Teow Kuang, 61, berkata, ketika kejadian, dia sekeluarga berehat di rumah dan tiba-tiba terdengar jeritan daripada jiran memaklumkan melihat api marak.

Menurutnya, dia dan keluarga kemudiannya berlari keluar rumah sambil menjerit meminta tolong daripada jiran tetangga untuk menyelamatkan barangan dalam rumah.

“Namun, mungkin jiran tidak berani mendekati rumah saya kerana api begitu marak jadi saya mengambil inisiatif sendiri untuk masuk dalam rumah dan menyelamatkan barangan berharga.

“Kejadian itu mungkin disebabkan litar pintas dari salah sebuah rumah jiran. Saya lihat kepulan asap dan api menyambar bumbung sebelum marak ke dinding rumah sebelah,’’ katanya ketika ditemui media di tempat kejadian.

Teow Kuang berkata, dia sempat mencapai beberapa pakaian dan dokumen penting yang berada berhampiran pintu kerana pada masa itu api begitu marak dan merebak ke bahagian bumbung rumahnya.

Menurutnya, belum sempat anggota bomba sampai di lokasi kejadian, rumah yang didiaminya lebih 50 tahun lalu hangus terbakar sekelip mata.

Seorang lagi mangsa, Lim Peng Siang, 57, berkata, semua persiapan menjelangnya Tahun Baru Cina pada minggu depan hangus dalam kejadian itu.

“Bagi saya, sambutan Tahun Baru Cina tahun ini sudah tidak bermakna kerana semua persiapan seperti baju raya habis terbakar dan saya juga sedih memikirkan duit yang hangus kerana kami tidak ada duit untuk menggantikan semula duit yang terbakar itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Nazaruddin Indah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai sejurus selepas kejadian dan tiba bersama sebuah jentera bomba serta enam anggota.

“Semasa pasukan bomba sampai, salah sebuah rumah musnah terbakar. Kami dengan bantuan daripada pasukan bomba sukarela dapat mengawal api setengah jam selepas itu.

“Namun kita menghadapi sedikit kesukaran kerana jalan memasuki tempat kejadian agak sempit selain struktur rumah yang diperbuat daripada kayu,” katanya.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda, Mohamad Md. Nor berkata, kejadian itu melibatkan empat rumah, satu daripadanya tidak didiami dan hanya dijadikan stor dan seramai lapan mangsa daripada tiga keluarga terlibat yang semuanya berketurunan Cina.

Menurutnya, kesemua mangsa diberikan bantuan awal berupa makanan dan keperluan asas untuk tiga hari dan anggaran kerugian adalah sebanyak RM50,000.

“Semua mereka kini menumpang di rumah waris berdekatan. Kita akan berusaha mendapatkan bantuan tambahan dalam tempoh terdekat bagi membantu meringankan beban keluarga terlibat,” katanya.Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini tidak bermakna bagi tiga keluarga di Kampung Air Mendidih, Sungai Petani. Rumah mereka hangus malam kelmarin

Api yang merebak ke seluruh rumah mangsa menyebabkan semua barang termasuk untuk menyambut Tahun Baru Cina musnah.

Nyaris maut dilanggar kereta api



PENDANG – Disebabkan pagar landasan kereta api di Kampung Bukit Pinang tidak ditutup, seorang pemandu nyaris maut dilanggar kereta api yang datang dari arah Padang Besar ketika melintasi landasan itu, di sini.

Mangsa, Hafiz Iswan Hasyim, 30, berkata, kejadian itu berlaku pada 19 Januari lalu, kira-kira jam 8.45 malam ketika melintasi landasan itu untuk pulang ke rumahnya di Koobah Pendang.

Menurutnya, dia yang datang dari arah Bukit Jambul terus melintasi landasan itu kerana menyangka tiada kereta api yang melaluinya memandangkan pagar landasan ketika itu tidak ditutup.

“Saya memandu dari arah Bukit Jambul seorang diri terus melintas landasan itu. Tiba-tiba saya terkejut melihat cahaya lampu dari arah kanan yang begitu dekat dengan saya.

“Ketika sedang melintasi saya terkejut melihat cahaya dan bunyi hon kereta api itu yang begitu dekat dengan kereta saya, namun bersyukur kerana saya sempat melintasi landasan itu dan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Hafiz berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu memandangkan keadaan gelap dan hanya mampu menekan pedal minyak sahaja setelah melihat cahaya lampu kereta api begitu hampir dengan keretanya.

“Kurang seminit saya melintasi landasan itu, kereta api itu terus melintas. Saya bersyukur kepada Allah SWT yang menyelamatkan saya kerana jika saya lambat beberapa saat pasti saya akan dilanggar kereta api itu.

“Selepas berjaya melintasi landasan itu, saya memberhentikan kenderaan dan terus menemui pengawal yang bertugas di pondok landasan itu yang terkejut dengan ketibaan kereta api pada waktu itu,” katanya.

Hafiz berkata, pengawal yang bertugas di pondok landasan kereta api Bukit Pinang itu mendakwa kejadian itu berlaku disebabkan pengawal tidak menerima maklumat daripada pihak berkenaan mengenai ketibaan kereta api pada waktu itu.

“Pengawal itu turut terkejut dengan ketibaan kereta api dan menjelaskan bahawa pihak atasan tidak memaklumkan ketibaan kereta api ketika itu menyebabkan pagar landasan itu tidak ditutup kepada lalu lintas.

“Saya tidak menyalahkan pihak pengawal yang bertugas itu kerana dia (pengawal) tidak menerima arahan dan maklumat dari pihak mereka,” katanya.

Bagi memastikan perkara itu, Hafiz menemui seorang lagi pengawal landasan kereta api di Koobah bagi memastikan penjelasan yang diberikan itu.

“Pihak pengawal landasan di Koobah turut memaklumkan perkara yang sama namun, bersyukur kerana pengawal di landasan Koobah sempat menutup pagar landasan di situ atas maklumat orang ramai yang terlihat cahaya lampu kereta api semakin menghampiri kawasan itu.

“Saya kesal kerana pihak berkenaan enggan memberikan nombor aduan untuk dihubungi bagi melaporkan kejadian ini dengan alasan mereka tidak mempunyai nombor aduan,” katanya.

Hafiz berkata, dia ke Ibu Pejabat Polis daerah Pendang bagi membuat laporan mengenai kejadian itu yang hampir meragut nyawanya dan berharap masalah itu tidak akan berulang lagi.

Sinar Harian difahamkan sudah beberapa kali kemalangan maut berlaku di landasan kereta api Bukit Pinang itu.

Kawasan itu dahulunya dikatakan merupakan lintasan ‘haram’ tetapi kini dipasang pagar lalu lintas.