Search This Blog

Tuesday, January 25, 2011

Bas terbabit kemalangan dibakar



Oleh Mohamad Danial Mohammad Saad

2011/01/25

PEGAWAI Penyiasat Trafik IPD Seberang Prai Selatan,  Inspektor Radzy Rasul (kanan) melihat bahagian bas yang dibakar sekumpulan lelaki selepas terbabit dalam kemalangan di  Sungai Bakap, Seberang Prai, malam kelmarin.
PEGAWAI Penyiasat Trafik IPD Seberang Prai Selatan, Inspektor Radzy Rasul (kanan) melihat bahagian bas yang dibakar sekumpulan lelaki selepas terbabit dalam kemalangan di Sungai Bakap, Seberang Prai, malam kelmarin.
Orang ramai lepas geram, pejalan kaki lintas jalan mati kena rempuh

NIBONG TEBAL: Sebuah bas ekspres bersama empat penumpang yang dalam perjalanan dari Bukit Mertajam ke Singapura, dibakar selepas terbabit dalam kemalangan hingga mengakibatkan kematian seorang pejalan kaki di Kilometer 27, Jalan Besar Valdor, Sungai Bakap di sini, malam kelmarin. 

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota polis yang tiba di tempat kejadian yang dikerumuni orang ramai, berjaya memadam kebakaran di kanan dinding bas menggunakan pemadam api yang diambil dari dalam bas itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, orang ramai dipercayai bertindak membakar bas berkenaan kerana marah selepas mendapati pejalan kaki, V Munusamy, mati akibat kecederaan parah selepas dilanggar bas terbabit.
Pemandu bas, Ahmad Salleh, 64, yang bimbang dengan keselamatannya, melarikan diri selepas mendapati orang ramai mengerumuni bas sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Seberang Prai Selatan (SPS). 

Empat penumpang bas turut lari menyelamatkan diri apabila orang ramai bertindak membakar kenderaan itu. 

Ahmad berkata, bas ekspres itu bertolak dari Bukit Mertajam kira-kira jam 7.30 malam bersama tiga penumpang sebelum singgah di Simpang Ampang untuk mengambil seorang lagi penumpang. 

Katanya, ketika meneruskan perjalanan, seorang lelaki dipercayai mabuk melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan dia gagal mengelak, lalu merempuh mangsa. 
“Saya turun mendapatkan mangsa tetapi dia tidak lagi bergerak. Ketika itu, orang ramai mula mengerumuni saya. Saya bimbang dengan keselamatan diri, terus lari sebelum menahan sebuah bas kilang dan membuat laporan polis. 

“Saya bersyukur kerana sempat melarikan diri dan melaporkan kejadian itu kepada polis, jika tidak, mesti berlaku kejadian buruk ke atas diri saya.” katanya yang mendakwa kemalangan itu kali pertama menimpa dirinya sejak memandu bas ekspres lebih 20 tahun. 

Dia hanya mengetahui bas ekspres itu dibakar selepas dimaklumkan oleh polis selain tidak mengetahui status empat penumpang. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Shafien Mamat berkata, polis menyiasat kes kemalangan berkenaan serta perbuatan membakar bas mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. 

Heret bekas majikan




IPOH – Sekumpulan pekerja kuari memfailkan kes di Mahkamah Sesyen Ipoh bagi mengheret bekas majikan mereka supaya membayar baki pampasan yang dijanjikan.

Jurucakap kumpulan itu, P Ponusamy, 60, berkata, sebelum itu, Mahkamah Perusahaan telah membuat keputusan mengarahkan bekas majikannya supaya membayar pampasan berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah yang dibayar kepada mereka yang diberhentikan pada 2003 tidak penuh seperti yang diarahkan mahkamah.

“Kami cukup kecewa dan marah kerana janji untuk membayar gaji itu tidak ditunaikan seperti yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, kami nekad memfailkan kes ke Mahkamah Sesyen bagi mendapatkan keadilan kami sebagai pekerja bawahan,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, semalam.

Menurut beliau, seramai 42 pekerja yang terlibat dan empat daripadanya telah pun meninggal dunia.

Beliau berkata, kebanyakan pekerja yang diberhentikan itu telah berkhidmat selama tiga hingga 30 tahun.

“Kami tidak mahu dipermainkan dan ditindas oleh pihak yang tidak berperikemanusiaan kerana apa yang berlaku cukup menyeksa.

“Kebanyakan pekerja bukanlah orang senang dan sudah pun berkeluarga,” katanya yang turut hadir bersama-sama rakan-rakan yang lain.

Beliau berkata, 1 Mac nanti telah ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan dan usaha yang dilakukan oleh pekerja untuk menuntut hak mereka diharap berbaloi.

Bagaiamanapun katanya, buat masa sekarang pihaknya belum lagi melantik mana-mana peguam bagi mewakili kumpulan itu dalam menghadapi kes berkenaan.

Pengantin baru dicekup




ALOR SETAR - Helah menyembunyikan dadah dalam bungkusan plastik biskut dan kotak minuman ternyata gagal mengaburi pihak berkuasa apabila tiga suspek berjaya diberkas dalam tiga operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah tiga hari lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, dalam operasi sekitar jam 3 petang di Plaza Tol Gurun, 22 Januari lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang duduk atas motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu bungkusan plastik biskut dalam bakul motosikalnya, yang mengandungi dua plastik lut sinar serbuk dan ketulan yang disyaki dadah jenis heroin seberat 9.10 gram dengan nilai pasaran dianggarkan RM30,000.

“Suspek tidak bekerja dan mempunyai rekod jenayah lampau iaitu pernah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 2002, Seksyen 6 dan Seksyen 39A(2) akta sama, tahun lalu.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan isteri suspek berusia 26 tahun di rumah di Kepala Bukit, Gurun, kira-kira jam 4 petang hari yang sama. Turut ditemui sembilan ketulan kecil mampat mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 24.2 gram (nilai pasaran RM1,100),” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Abdul Ghafar berkata, polis percaya dadah yang dibungkus seperti gula-gula itu bertujuan memudahkan pembelinya menelan bungkusan itu bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

Difahamkan, wanita terbabit sebelum ini pernah ditahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 pada 2007. Pasangan itu yang baru seminggu mendirikan rumah tangga itu berstatus Orang Kena Pengawasan (OKP).

Polis turut merampas tiga telefon bimbit dan sebuah motosikal. Kedua-duanya direman sehingga 29 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Sementara itu, dalam satu operasi kira-kira jam 5 pagi semalam, seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kedah.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu kotak minuman di dalam beg yang digalasnya, mengandungi satu ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 350 gram dengan nilai pasaran RM900.

“Suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Turut hadir pada sidang media Ketua JSJN Kedah, Superintendan Baharom Othman, Pegawai Penyiasat Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, Cif Inspektor Abdul Razak Osman dan Pegawai Penyiasat Narkotik , Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar, Inspektor Ab Halim Mohd Sajudi.

Badrul saman Speaker DUN, SPR



SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah memfailkan saman terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Teng Chang Khim dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Mahkamah Tinggi Sivil di sini, semalam.

Beliau memfailkan saman itu untuk memohon mahkamah membuat deklarasi dirinya masih ADUN dan berhak menghadiri Sidang DUN serta boleh menjalankan tugas yang berkaitan.

Beliau memohon mahkamamah mengisytiharkan tiada kekosongan bagi kerusi DUN Pelabuhan Klang sekali gus mengesahkan keputusan pengosongan kerusi DUN tersebut seperti seperti Chang Khim, Rabu lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Badrul Hisham menuntut ganti rugi teladan dan punitif, kos sampingan serta lain-lain kos daripada defendan pertama tersebut yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Selain itu, beliau yang menamakan SPR sebagai defendan kedua, meneliti fakta kes sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan status kerusi DUN tersebut.

Dalam alasan permohonannya, Badrul Hisham menyatakan bahawa hanya SPR mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan sama ada terdapat kekosongan kerusi di bawah Seksyen 12 Akta Pilihanraya 1958 dan bukannya Chang Khim.

Badrul Hisham memohon pengisytiharan bahawa keputusan Chang Khim yang mengisytiharkana kerusi berkenaan kosong adalah ultra vires artikel LXIX Undang-undang Tubuh Negeri Kerajaan Selangor 1959 dan/atau adalah salah dan/atau batal dan tak sah.

Badrul Hisham pada sidang media di lobi mah- kamah mendakwa, tind akan Chang Kim mengumumkan kekosongan kerusi itu sebagai niat jahat.

“Speaker tahu saya mengalami masalah kesihatan yang berlanjutan dan tidak dapat menghadiri persidangan DUN. (Beliau) enggan menerima alasan saya dan memutuskan ketidakhadiran saya adalah tanpa kebenaran.

“Saya memohon keadilan diberi kerana tindakan Speaker jelas berniat jahat. (Beliau) Mengosongkan kerusi dan membuat keputusan mengenai kekosongan itu tanpa merujuk kepada SPR,” katanya.

Badrul Hisham memfailkan saman tersebut melalui peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun dari tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Sementara itu Mohd Hafarizam berkata, sebutan kes ditetapkan pada 17 Februari depan dan pihak terlibat perlu mengemukakan afidavit masing-masing sebelum tarikh itu.

Badrul Hisham memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2008 sebelum keluar parti pada 29 Oktober 2009 dan menjadi ADUN Bebas.

Beliau seterusnya membuat keputusan menyertai UMNO pada Mei 2010.

Dadah bernilai lebih RM6.5 juta dirampas tahun lalu





ALOR SETAR - Polis Kedah berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM6,5 juta sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, kejayaan itu turut melumpuhkan beberapa sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri ini.

Ia membabitkan 30 kilogram (kg) dadah jenis Heroin Base dianggarkan bernilai RM6 juta, 65 kg ganja (RM200,000) dan 2.42 kg syabu (RM450,000).

Menurutnya, sepanjang operasi yang diadakan tahun lalu, polis turut merampas 46,192 pil terdiri daripada pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM692,000, berbanding 10,615 pil (RM155,000) tahun sebelumnya.

“Sejumlah 1,889 liter air daun ketum bernilai RM5,600 dan 1,374 kg daun ketum bernilai RM34,300 turut dirampas sepanjang tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, nilai harta pengedar dadah yang disita sepanjang 2010 berjumlah RM1.195 juta manakala hampir 60 peratus daripadanya dilucut hak kepada kerajaan.

“Antara barangan yang disita ialah sebuah rumah, 32 kereta, 38 motosikal, wang dalam bank berjumlah lebih RM182,000 dan barang kemas bernilai lebih RM63,000.

“Dalam tempoh itu, polis berjaya menahan 113 pengedar dadah di bawah undang-undang pencegahan, Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK), berbanding 102 tangkapan tahun 2009,” katanya.

Difahamkan, lapan warga asing yang terlibat dalam penyeludupan dadah turut ditangkap tahun lalu.

Kelahi punya hal




GEORGETOWN - Jangan nak bergaduh sesuka hati tanpa mengambil kira keadaan sekeliling kerana ia boleh membawa padah jika berlaku di tempat awam.

Dua lelaki masing-masing didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah bergaduh di kawasan stesen minyak Caltex, Bandar Baru Farlim sehingga menarik perhatian orang ramai dan mengganggu ketenteraman awam November lalu.

Danial Yeng Shaifullah, 25, dari Jalan Burma dan Sim Chun Pin, 20, dari Payang Terubong, Air Itam membuat pengakuan bersalah di depan Majistret Noor Aini Yusof selepas pertuduhan dibacakan.

Noor Aini berkata, kedua-duanya juga boleh dipenjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana mengganggu keamanan dengan bergaduh di tempat awam iaitu di stesen minyak Bandar Baru Air Itam, di sini, kira-kira jam 5.45 pagi 10 November lalu, yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dengan perbuatan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan itu sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahannya.

Dirogol lebih 50 kali



TAMPIN – Akibat tidak lagi mampu menahan derita dijadikan sebagai hamba seks oleh bapa tirinya, seorang wanita yang juga ibu, berumur lingkungan 30-an nekad membuat laporan di Balai Polis Gemencheh, 20 Januari lalu berhubung kes berkenaan.

Sumber yang enggan namanya dikenali berkata, wanita malang itu terpaksa menanggung derita dirogol bapa tirinya dalam kejadian kali pertama pada 2009 dan ketika itu, mangsa mengandung lima bulan hasil perkongsian hidup bersama suaminya.

Menurutnya, lebih menyedihkan kerana mangsa terus-menerus menjadi santapan nafsu buas bapa tirinya yang sudah layak bergelar warga emas, sehingga lebih 50 kali.

“Mangsa dipercayai diugut supaya tidak mendedahkan kejadian ini kepada ahli keluarga dan pihak polis.

“Bagaimanapun, mangsa tidak lagi dapat menahan tekanan perasaan diperlakukan seperti binatang dan akhirnya tampil membuat laporan polis,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Suprintendan Wooi Hooi Cheang ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, suspek berumur lingkungan 60-an ditahan polis sehari selepas menerima laporan iaitu pada 21 Januari lalu di kediaman suspek dan mangsa di Gemencheh.

“Kejadian kali pertama berlaku pada 2009, kira-kira jam 2 petang di bilik mangsa sendiri. Ketika itu, mangsa dipercayai sedang tidur dan mengandung lima bulan hasil perkongsian hidup bersama suaminya.

“Kejadian terakhir dipercayai berlaku awal tahun ini. Mangsa dan suspek tinggal serumah, sementara suami mangsa pula kerap bekerja luar dan hanya pulang sekali sekala sahaja,” katanya.

Hooi Cheang berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Derita dipanah petir



BUKIT RAMBAI - Ketika sedang mengusahakan tanaman sayur di Kampung Ayer Salak, di sini, Teo Soon Queh, 50, terkejut apabila mendapati suaminya, Lim King Swee, 55, dalam keadaan tertiarap dan muka dipenuhi lumpur dipercayai dipanah petir.

:Soon Queh berkata, pada mulanya dia menyangka suaminya itu sudah tidak bernyawa lagi memandangkan keadaannya yang sudah tidak bergerak.

:Menurutnya, dia terus berteriak memanggil adik-beradik yang lain untuk mendapatkan pertolongan dan kemudian suaminya dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Kejadian berlaku pada 12 Januari lalu kira-kira jam 4 petang di mana pada ketika itu hujan lebat dan kami berdua sedang mengusahakan tanaman sayur seperti terung dan cili.

“Kami berehat sebentar dan saya menyangka suami pergi minum di warung berhampiran tetapi rupa-rupanya dia hanya berehat di pondok kecil yang terletak tidak jauh dari kebun kami,” katanya.

Soon Queh menambah, nyata sangkaan saya meleset apabila menemuinya tertiarap dipenuhi lumpur.

“Saya cuba mengangkatnya namun mendapati tubuh badannya tidak bermaya dan lembik. 
“Saya nyata terkejut kerana menyangka suami sudah meninggal dunia,” katanya ketika menceritakan detik cemas itu ketika sesi lawatan yang dijalankan Ketua Penyelia Pembela Barisan Nasional (BN), Amir Hamzah Aziz di rumahnya di Taman Rambai Harmoni di sini, semalam.

Soon Queh turut berkata, ekoran kejadian itu, suaminya mengalami masalah saraf di bahagian leher yang menyebabkannya tidak mampu berturut dengan sempurna manakala tekaknya tidak berupaya menelan makanan dan terpaksa makan melalui tiub.

“Suami saya kini hanya boleh menerima susu khas dan itu pun melalui tiub yang diberikan sebanyak lima kali sehari.

“Cuma masalah kami ialah perbelanjaan untuk menyediakan susu ini, kerana kami terpaksa membeli sekurang-kurangnya lima tin sebulan dengan harga RM60 setiap tin,” katanya.

:Menurutnya lagi, kejadian tersebut bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga kerana kejadian berlaku selang seminggu selepas kematian bapa mertuanya.

“Sebelum ini kehidupan kami sekeluarga bergantung penuh kepada suami yang mengusahakan kebun sayur tetapi sekarang tidak lagi selepas kemalangan itu,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, pihaknya menyarankan supaya mangsa diberikan bantuan susu khas menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pada masa sama, kami akan melakukan peperiksaan laporan perubatannya kerana beliau masih kelihatan lemah dan tidak berupaya menguruskan makan serta minum dengan sendiri,” katanya.

Hadir sama, beberapa jawatankuasa Parti Gerakan Bahagian Tangga Batu yang terdiri daripada Chu Ba Chik, Chong Nyong Seng dan Tan Ching Yang.

Remaja mangsa tersalah culik




KULIM - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dilarikan sekumpulan lelaki ketika sedang bekerja di sebuah restoran di Taman Selasih kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

Mangsa yang bersekolah di sekolah menengah berhampiran dilaporkan baru bekerja secara sambilan di restoran berkenaan sejak dua bulan lalu bersama ibunya.

Pemilik restoran yang tidak mahu dikenali berkata, mangsa akan datang ke restoran untuk bekerja selepas waktu sekolah. Ketika dilarikan, mangsa memakai baju T berwarna merah jambu dan berseluar panjang berwarna hitam.

“Ketika kejadian berlaku, kira-kira jam 8 malam, dia sedang bekerja dan enam lelaki masuk ke dalam restoran lalu menarik mangsa keluar. Seorang daripada mereka memakai topi keledar.

“Mangsa kemudiannya dibawa lari dalam van jenis Ford Econovan berwarna putih. Orang ramai yang berada dalam restoran ketika itu terpinga-pinga kerana kejadian berlaku terlalu cepat,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa yang sedang membasuh pinggan tidak sempat membantu anaknya dan kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 8.30 malam.

Sinar Harian kemudiannya pergi ke rumah mangsa untuk mendapatkan maklumat tetapi ibunya tiada di rumah ketika itu.

Kakak mangsa yang ditemui berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa adiknya apabila dimaklumkan oleh ibu yang balik kerja lebih awal pada hari kejadian.

Menurutnya, mangsa tidak mempunyai musuh dan ibunya mengenali seorang daripada enam lelaki yang melarikan adiknya itu.

Walau bagaimanapun mangsa balik semula ke rumah dengan menaiki teksi kira-kira jam 2.30 pagi, tujuh jam selepas dilarikan enam penjenayah terlibat.

Remaja 15 tahun yang dilarikan enam lelaki malam kelmarin masih kelihatan trauma dengan kejadian menimpanya.

Ketika Sinar Harian menemui mangsa di rumahnya, dia mendakwa dipukul enam lelaki bersenjatakan besi dan kayu dalam sebuah ladang kelapa sawit.

Menurutnya, selepas diseret masuk ke dalam van, dua lelaki menutup matanya menggunakan kain dan hanya sedar van itu berhenti di dalam sebuah ladang kelapa sawit setelah hampir tiga jam berada dalam kenderaan itu.

:“Apabila van berhenti, saya dapati diri saya berada dalam ladang kelapa sawit dan keadaannya sangat gelap. Saya kemudiannya dipukul oleh beberapa lelaki menggunakan senjata besi dan kayu hampir dua jam. Saya juga dapat melihat ada di antara mereka bersenjatakan parang dan pisau.

“Saya terus dibelasah sehinggalah seorang lelaki datang bersama seorang rakannya dan bertanya kepada rakannya itu, apakah saya orang yang mencederakannya dan dia menjawab tidak. Lelaki itu kemudiannya memaklumkan kepada rakan yang lain bahawa saya bukanlah orang yang dicari,” katanya.

Mangsa berkata, mereka kemudian menutup matanya semula dan dia dibawa ke satu tempat sebelum seorang daripada penjenayah terbabit memberinya RM100 untuk balik ke rumah.

Mangsa kemudiannya ditinggalkan bersendirian dan apabila membuka kain penutup mata dia mendapati dirinya berada di Hentian Bas Sungai Petani. Dia kemudiannya menahan teksi dan pulang ke rumah.

Kira-kira jam 2.45 pagi, ibu dan mangsa sekali lagi pergi ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan kepulangan mangsa.

:Ibu mangsa turut mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Prihatin Kemanusiaan Masyarakat Kulim (PPKM) dan polis yang bekerjasama mencari anaknya yang diculik.

Pengerusi PPKM, Khor Eng Kim ketika melawat mangsa di rumahnya menasihatkannya supaya jangan terlibat dalam mana-mana kumpulan kongsi gelap atau berpelesiran.

“Selepas mangsa dilarikan saya memaklumkan kepada semua ahli PPKM termasuk di Sungai Petani untuk mengawasi atau memantau kenderaan suspek. PPKM lega apabila dimaklumkan pada awal pagi ini mangsa sudah balik ke rumah,” katanya.

Disamun ketika buang air



KUANTAN - Gara-gara membuang air kecil di tepi jalan Jerangau-Jabor, seorang peniaga kerugian RM9,300 akibat disamun tiga lelaki yang tidak dikenali, kelmarin.

Mangsa yang berusia 29 tahun itu juga terpaksa bergelut dengan tiga lelaki sebelum mereka berjaya menyamun sebentuk cincin emas miliknya dan beg pinggang berisi wang tunai.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.50 ketika mangsa dalam perjalanan dari Kemaman ke Kuantan.

“Mangsa yang memandu sendirian terpaksa memberhentikan kenderaan di tepi jalan berkenan kerana mahu membuang air kecil.

“Bagaimanapun, pada masa sama sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki empat lelaki berhenti di belakang keretanya sebelum tiga daripada mereka keluar dan merampas beg pinggangnya,” katanya.

Menurutnya, mangsa bergelut beberapa minit sebelum penyamun terbabit berjaya melarikan barang kemas dan wang tunai miliknya.

Noor Asyikin berkata, mangsa tidak pasti senjata tajam yang digunakan penyamun terbabit tetapi dia menerima tiga jahitan di lengan kanan selepas di rawat di sebuah klinik di Jalan Beserah.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 4 petang dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Lelaki ubah pengakuan


RAUB – Seorang lelaki mengubah pengakuan kepada tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhammad dalam kamar Mahkamah Majistret Raub, semalam.

Sham Mustaffa, 39, pada awalnya mengaku bersalah terhadap tindakan menyamar sebagai Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekali gus memperdaya tiga warga emas sehingga mengakibatkan kerugian keseluruhannya RM2,750.

Sebaik sahaja pertuduhan dan sabitan hukuman dibacakan, tertuduh mengambil keputusan untuk tidak mengaku bersalah dan :minta dibicarakan.

:Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Fariz Abdul Hamid memohon mahkamah mengenakan jaminan RM4,000 bagi setiap kes membawa kepada jumlah keseluruhan RM12,000.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh membayar jaminan RM4,000 untuk semua kes dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Sham didakwa memperdaya T Ratiah T Hamid, 69, pada jam 12 tengah hari 3 Julai tahun lalu di Kampung Jenud dalam Mukim Sega.

Mangsa menyerahkan wang RM800 kepada tertuduh selepas diberitahu akan menerima bahan binaan untuk membaiki dapur rumahnya.

Tertuduh juga menggunakan modus operandi yang sama kepada Basariah@Saadah Mat Dilu, 72, dari Kampung Ajai pada jam 9.30 pagi 10 Julai tahun lalu.

Mangsa turut kerugian RM800 selepas menyedari ditipu setelah bahan binaan yang dijanjikan tidak sampai ke rumahnya.

Sham juga berhadapan tuduhan memperdaya Hasiah Enoh, 62, dari Kampung Sungai Pasu kira-kira jam 1 petang 27 Disember tahun lalu sehingga mengakibatkan mangsa kehilangan wang tunai RM1,150.

Ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman sehingga 10 tahun penjara dengan sebatan serta turut berhadapan hukuman denda.

Mahkamah menetapkan 9 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula sekali gus memberi ruang kepada tertuduh untuk mendapatkan khidmat guaman.

Sindiket wang palsu berleluasa




SUNGAI LONG – Golongan peniaga sekitar Sungai Long, Kajang digesa sentiasa berwaspada dalam menjalankan urusan perniagaan dengan pelanggan supaya tidak menjadi mangsa wang palsu hingga memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Penggunaan wang palsu ini dikesan berlaku minggu lalu yang membabitkan perniagaan kopitiam dan pasar pagi dengan menggunakan wang palsu RM100 dan RM50.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 5, Lee Ah Seng berkata, aduan diterima daripada mangsa yang memaklumkan ia berlaku pada minggu lalu. Kes ini didapati semakin ketara berlaku terutamanya menjelang Tahun Baru Cina.

“Dalam kejadian terbaru, pengadu yang merupakan peniaga pasar menerima dua keping wang palsu bernilai RM100 daripada pelanggan dan tidak menyedarinya kerana sibuk melayan pelanggan yang lain.

“Wang palsu berkenaan hanya disedari pengadu semasa dia sedang mengira jumlah pendapatan apabila selesai perniagaan dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati ada dua keping wang palsu RM100,” katanya kepada media.

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang turut hadir dalam sidang media berkenaan berkata, peniaga perlulah sentiasa berwaspada terhadap kegiatan ini terutamanya semasa musim perayaan dan hujung minggu.

“Mereka ini akan mengambil kesempatan di atas kesibukan peniaga melayan pelanggan tanpa menyedari wang yang digunakan adalah wang palsu.

“Kegiatan ini perlulah dibendung segera dan kita akan meminta kerjasama polis untuk menjalankan siasatan berhubung laporan yang telah dibuat pengadu kerana penggunaan wang palsu ini akan menjejaskan pendapatan peniaga”, katanya.

Menurutnya, peniaga boleh mengetahui dan mengenal pasti wang palsu berkenaan berdasarkan kertas yang agak nipis dan warnanya yang sedikit pudar berbanding wang asli.

“Perbezaan yang ketara ialah daripada segi kualiti kertas yang digunakan serta warnanya yang seakan pudar. Namun, ada ketikanya peniaga tidak sempat untuk menelitinya disebabkan sibuk melayan pelanggan.

“Saya difahamkan sebelum ini pun ada berlaku kejadian yang sama di Balakong, namun ia senyap seketika hasil laporan polis yang dibuat pengadu serta langkah pencegahan yang dilakukan polis.

“Kita percaya kegiatan ini dilakukan oleh sindiket yang menunggu masa sesuai terutamanya musim perayaan dan saya mengharapkan peniaga yang menjadi mangsa segera melaporkan kepada polis bagi membendung kegiatan mereka daripada terus berleluasa,” katanya.

:Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung penemuan wang palsu berkenaan.

Ceroboh hutan simpan



BUKIT GASING – Gara-gara mahu mengejar wang dan keuntungan segera ketika harga pasaran getah melambung, sepasang suami isteri masing-masing berusia 30 dan 40 tahun ditahan setelah didapati menoreh getah secara haram di Hutan Simpan Bukit Gasing.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi semalam, sepasukan Penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mengadakan rondaan di kawasan itu terserempak dengan suspek yang sedang asyik menoreh getah.

Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria berkata, siasatan awal mendapati pasa- ngan suami isteri yang tinggal di Taman Medan itu mula menoreh getah di kawasan tersebut sejak lebih seminggu yang lalu.

“Pasangan itu menggunakan pisau toreh dan menadah getah yang ditoreh menggunakan beg plastik yang digantung pada pangkal pokok sebelum men- jualnya,” katanya.

Zainun berkata, lokasi Hutan Simpan Bukit Gasing yang diwartakan sebagai kawasan hijau adalah di bawah seliaan MPBJ dan sebarang aktiviti di lokasi tersebut perlulah mendapat kebenaran majlis terlebih dahulu.

“Tindakan menceroboh apatah lagi memusnahkan kawasan itu adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan tegas.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan aktiviti menoreh getah di kawasan itu.

“Pemantauan akan terus dibuat di situ bagi memastikan kegiatan seperti itu tidak berulang,” katanya

Pasangan tersebut diserah kan kepada polis untuk tindakan selanjutnya atas kesalahan mencuri harta awam.

3 beranak maut nahas





ROMPIN – Seorang guru bersama dua anaknya terbunuh selepas kereta Toyota Camry dipandu bertembung dengan dua kenderaan lain dari arah bertentangan di Kilometer 129.2 Jalan Kuantan-Segamat, di sini, petang semalam.

Menerusi kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa terbunuh adalah pemandu kereta terbabit, Ramlan Mohamad, 42, Mohamad Aniq Mauqri, 5 dan adiknya, Maria Adiliah Ramlan, berusia dua tahun.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga serta sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton.

“Kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum bertembung dengan Proton Saga dan Mitsubishi Triton,” katanya.

Johari berkata, akibat pelanggaran itu sebuah lori yang ketika itu berada di belakang cuba mengelak daripada kenderaan dipandu mangsa, namun pemandu lori terbabit gagal mengawal kenderaannya.

Menurutnya, polis percaya kejadian itu berlaku kerana pemandu Toyota Camry dipercayai mengantuk dan keadaan permukaan jalan licin akibat hujan di tempat kejadian.

“Hasil siasatan polis mendapati pemandu berkenaan dipercayai mengantuk hingga menyebabkan kenderaan dipandu mangsa gagal dikawal sebelum bertembung dengan kenderaan lain,” katanya.

Menurutnya, semua mayat dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk tujuan bedah siasat.

Gadis lumpuh akibat ragut



BALING – Tragedi diragut empat tahun lalu meninggalkan kesan mendalam kepada Norhaslinda Lahmin, 20, dari Kampung Sera Bawah apabila cita-citanya untuk menjadi pendidik terpaksa dilupakan, kerana kaki kanannya lumpuh akibat kejadian itu.

Norhaslinda berkata, dia teringin untuk mengikuti kursus jahitan dan sulaman, bagi membolehkan dia berdikari walaupun terpaksa bertongkat demi masa depan.

“Saya teringin merebut peluang kursus yang sesuai dengan keupayaan diri agar membolehkan saya berdikari dan tidak bergantung sepenuhnya kepada keluarga.

“Hasrat menjadi pendidik terpaksa dilupakan, namun apabila mengikuti sebarang kursus bersesuaian, saya dapat mengisi masa lapang dengan kerja yang berfaedah walaupun saya masih menjalani rawatan susulan,” katanya.

Norhaslinda berkata, ketika kemalangan itu, dia baru mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Baling dan terpaksa meneruskan peperiksaan itu dalam keadaan yang sakit, bagi membolehkan dia memperoleh sijil,

Menurutnya, bagaimanapun keputusan peperiksaan yang diperoleh tidak mampu membantunya mengejar cita-cita sebagai pendidik.

Sementara itu, bapanya, Lahmin Che Din berkata, sejak kejadian itu, anaknya tidak lagi mampu bergerak aktif seperti dulu dan hanya mampu duduk sepanjang masa sambil ditemani ahli keluarga sahaja.

Norhaslinda menjadi mangsa ragut empat tahun lalu ketika menunggang motosikal bersama adiknya untuk menghadiri kenduri saudara di Bongor, kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka.

Lahmin berkata, dia dimaklumkan ketika sampai di Jalan Weng, motosikal yang ditunggang dua anaknya itu dihimpit motosikal lain danterus meragut beg dalam raga motosikal anaknya.

“Anak saya ini tidak dapat mengawal motosikal, lalu terbabas ke seberang jalan, sebelum dilanggar kereta dari arah sama hingga menyebabkan kaki kanannya patah.

“Selain itu, anak saya ini juga mengalami kecederaan di leher menyebabkan selama 18 bulan dia terpaksa bergantung pada saluran tiub untuk bernafas,” katanya kepada Sinar Harian.

Manakala adiknya, Nurul Faizah, 17, yang membonceng di belakang hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Lahmin berkata, anaknya juga sedang menjalani rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), bagi merawat kaki dan kerongkongnya selain menjalani rawatan susulan setiap bulan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Menurutnya, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima anaknya selama empat bulan juga sudah diberhentikan pembayaran.

“Anak saya masih memerlukan rawatan susulan yang memerlukan kos yang tinggi dan apabila pembayaran tidak diterima, ia menyusahkan lagi kami sekeluarga.

“Saya berharap JKM dapat memberi bantuan ini semula, bagi membolehkan Norhaslinda menggunakan wang bantuan berkenaan untuk kos rawatan susulan setiap bulan,” katanya.

Tidak mengaku salah cabul



KUALA TERENGGANU - Anak lelaki kepada seorang tauke restoran masakan panas di Seberang Takir tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini semalam atas tuduhan mencabul seorang gadis bawah umur pada 22 Mac 2009.

Tertuduh, Md Syihabudin Md Kamil, 22, dari kampung Sungai Ikan, Tepoh dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul gadis bawah umur juga pelayan kedai milik bapa tertuduh.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu kelihatan tenang sepanjang pertuduhan yang dijalankan oleh Inspektor Miky Anak Dustan Muda di hadapan hakim, Siti Faraziana Zainuddin.

Mengikut pertudu-han, Md Syihabudin dituduh menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang gadis berusia 16 tahun dengan niat untuk mencabul kehorma-tannya di kawasan belakang Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kampung Tanjung Jaafar Seberang Takir pada jam 6.30 petang, 22 Mac 2009.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana yang setimpal.

Dalam mahkamah sama, tertuduh turut dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, pindaan 2002 kerana memasukkan dadah dalam badan jenis methamphitamine serta dituduh di bawah peraturan 25 (1) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 tidak membawa kad pengenalan diri di Pejabat Jenayah D4, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) pada 17 Januari lalu.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 bagi pertuduhan melibatkan cabul dan menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh melantik peguam serta menyerahkan dokumen.

Manakala bagi dua pertuduhan lagi iaitu memasukkan dadah dalam tubuh dan tidak membawa kad pengenalan dikenakan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Suami pengsan beberapa kali di tempat kejadian



PASIR MAS – Perasaan sayu menyelubungi keluarga Hasnah Mat Yatim, 35, apabila dilanggar beberapa kali oleh kenderaan berat di Kampung Jias, jam 6.30 pagi semalam.

Bapa sepupu mangsa, Mat Yusof Ismail, 57, berkata, dia terpaksa menenteramkan suami mangsa, Zaki Mustafa, 44, apabila pengsan beberapa kali ketika berada di tempat kejadian.

“Kejadian ini sememangnya kejutan besar buatnya kerana dia (Zaki) terpaksa menyara lima anaknya yang masih kecil berusia 13 tahun hingga 6 bulan,” katanya di Kampung Kubang Sepat, semalam.

Mat Yusof berkata, mereka mencari rezeki dengan membuat kuih-muih bagi menyara keluarga, lebih-lebih lagi bagi mendapatkan perbelanjaan buat tiga dari lima anaknya yang masih bersekolah.

Menurutnya, bapa mangsa, Mat Yatim Awang Hamad, 65, yang juga pesakit angin ahmar, tidak dapat menyembunyikan kesedihan setelah kehilangan anak perempuannya.

Sementara itu, Zaki berkata, dia tidak mengesyaki tingkah laku isterinya pada malam sebelum kejadian merupakan tanda dia akan kehilangan isteri buat selamanya.

“Arwah kata, dia nak tidur puas-puas hari ini, sebab itulah dia tidak berasa mengantuk ketika membuat kuih bersama saya pada jam 1.30 pagi semalam.

“Saya mungkin menyara anak-anak dengan membuat kuih-muih, namun rasa dan air tangan isteri tidak akan sama lagi,” katanya selepas menerima sumbangan daripada Naib Ketua UMNO Pasir Mas, Abd Aziz Mohammad.

Zaki berkata, berbekalkan keuntungan menjual kuih sebanyak RM500 sebulan, dia mampu menyara lima anak-anaknya, namun selepas kehilangannya, dia tidak yakin mendapat keuntungan sebanyak itu kerana dia juga terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah.

Katanya, dia tidak menyangka pertemuan ketika menghantar isterinya di ruang hadapan sebelum bertolak ke pasar jam 6.15 pagi bagi memasarkan kuih-muih merupakan pertemuan kali terakhir buat mereka.

Tidak sangka ayah ‘pergi’ cepat



KUALA BERANG - Kegembiraan seorang warga emas menunggang motosikal di sekitar Kuala Telemong berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila dia terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 22 Jalan Kuala Berang-Telemong (depan Giat Mara Hulu Terengganu) kira-kira jam 9.20 pagi semalam.

Sejurus selepas kemalangan, Mangsa, Mamat Puteh, 74, yang datang dari arah Kuala Berang-Manir dihantar ke Klinik Kesihatan (KK) Kuala Telemong terlebih dahulu oleh pemandu kereta berkenaan sebelum mendapatkan rawatan lanjut ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Namun, warga emas yang juga petani itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang (hari kejadian) ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, sebelum kejadian mangsa yang beralamat di Kampung Padang Machang, Manir dan kini tinggal di Kampung Lubuk Batu itu menunggang motosikal sendirian dan membelok ke kanan jalan secara mengejut ketika tiba di tempat kejadian.

“Motosikal mangsa merempuh bahagian kiri sebuah kereta yang datang dari arah sama yang memotong motosikal ditunggang mangsa.

“Akibat rempuhan itu mangsa terjatuh dan dibawa ke KK Kuala Telemong sebelum dihantar ke HSNZ,” katanya semalam.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan kira-kira jam 2 petang akibat kecederaan kepala selain bahagian dalam badan.

“Pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi kenderaannya mengalami kerosakan pada pintu bahagian depan sebelah kiri,” katanya.

Sehubungan itu pihak polis menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati di jalan raya khususnya penunggang motosikal yang sering kali dilihat memandang remeh aspek pemakaian topi keledar.

“Pemakaian topi keledar sebenarnya sebagai langkah keselamatan penunggang atau pembonceng motosikal.

“Ia tidak seharusnya ia diketepikan sebaliknya perlu dipakai sama ada untuk perjalanan jauh ataupun dekat,” katanya.

Sementara itu, di HSNZ Kuala Terengganu, anak bongsu mangsa, Mohd@Abu Bakar Mamat, 39, tidak menyangka ayahnya pergi dengan cara begitu tetapi tetap bersyukur kerana berpeluang berada di sisi dan sempat mengajar mangsa mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Sebaik mendapat panggilan telefon abang sulung saya terus bergegas ke tempat kemalangan tetapi difahamkan ayah sudah dibawa ke HSNZ.

“Ketika melihatnya saya terfikir ayah mungkin tidak dapat bertahan dan saya rasa terharu kerana berada di sisi sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa ayahnya adalah empat hari lalu ketika ayahnya datang ke rumahnya di Kampung Beladau Kolam.

“Walaupun seharian berada di rumah saya, namun dia tidak banyak bercakap dan pendiam berbanding sebelum ini.

“Malah, dia juga datang dan balik secara mengejut kerana selalunya dia akan menelefon saya terlebih dahulu sekiranya ingin datang ke rumah,” katanya.

10 tahun rakyat tertipu


RHU RENGGEH – Rakyat Malaysia dikatakan membelanjakan hampir jutaan ringgit dalam tempoh sepuluh tahun ini semata-mata ingin memiliki kayu kokka yang sebenarnya tidak wujud dan sengaja diperkenalkan pihak tertentu bagi tujuan perniagaan.

Timbalan Presiden Pewaris Malaysia, Datuk Mohd Zakaria Nawang, berkata, jumlah itu juga dipercayai lebih besar kerana ia tidak termasuk pembelian terus dari Timur Tengah.

Menurutnya, sekitar 2003, sambutan terhadap kayu kokka sangat luar biasa sehingga muncul ramai pembekal termasuk dari Sudan menawarkan kayu berkenaan dalam kuantiti besar termasuk bentuk buah, tasbih, cincin, gelang, minyak dan tongkat.

“Difahamkan sepanjang tempoh itu, nilai kayu kokka sangat mahal.

“Tasbih yang mempunyai 33 biji kayu kokka dijual dengan harga melebihi RM1,000,” katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Perubatan Islam Rajawali di Kampung Rhu Renggeh, Marang, semalam.

Kenyataan palsu mengenai kayu kokka turut dibongkar ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong bersama Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Dr Hisham Hashim yang melakukan kajian terperinci selama setahun selain beberapa pakar tempatan lain.

“Tiada bukti mengesahkan kayu kokka mengandungi khasiat tertentu apatah lagi mengaitkannya sebagai bahan digunakan pada bahtera Nabi Nuh seperti diuar-uarkan sebelum ini.

“Kayu itu sendiri tidak mampu bertahan di atas air,” katanya.

Mohd Zakaria berkata, pokok sebenar yang digunakan bagi membina bahtera dan tongkat baginda adalah kayu daripada pokok pine cypress yang hanya boleh diperoleh di Pergunungan Ararat, Turki.

Menurutnya, penemuan itu berdasarkan kajian yang dibuat terhadap fosil bongkah kayu lama berusia kira-kira 3,500 tahun milik seorang Arab yang mendakwa dirinya keturunan ke-1,750 dalam salasilah keluarga Nabi Nuh.

“Fosil yang ditemui juga diuji oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan ia disahkan spesies pine cypress yang masih aktif kandungan kimianya.

“Dengan pendedahan itu, diharap masyarakat tidak lagi tertipu dengan cerita mengenai kayu kokka,” katanya.

Mohd Zakaria berkata, kayu kokka adalah sejenis pokok palma yang sama spesiesnya dengan nipah, nibong dan kelapa sawit manakala ciri pokok pine cypress adalah pokoknya besar serta tinggi mencecah 40 hingga 100 meter, batang berjalur selain sangat keras.

Lelaki dituduh cuba sogok polis



KOTA BHARU - Seorang bekas penjual beras dituduh di Mahkamah Sesyen dekat sini semalam kerana cuba merasuah seorang anggota polis trafik bagi mengelak disaman atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Bagaimanapun, hakim, Irwan Suaibon membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 oleh adik iparnya selepas pendakwa Suruhanjaya Pencegah Rasuah, Mohd Ahsan Abd Latif memohon sebanyak RM5,000 dari mahkamah.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula.

Pada 1 Ogos tahun lalu, tertuduh yang berasal dari Pasir Mas itu secara sengaja rasuah menawarkan satu suapan iaitu RM50 kepada Inspektor Mohamad Azmihrul Mokti yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kelantan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim, kira-kira jam 11.30 pagi tertuduh melakukan kesalahan terbabit di hadapan Pejabat Penggawa Kubang Kerian, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika bersabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Tiga remaja ditahan, miliki 50 pil kuda



SETIU – Seorang remaja lelaki yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan bersama dua lagi rakan berumur antara 16 dan 24 tahun di sebuah rumah milik salah seorang keluarga suspek di Kampung Bukit Maras, Banggol dalam Ops Tapis.

Pemangku Ketua Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Asistan Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota polis dari bahagian narkotik diketuai Cif Inspektor Mohd Fahmiy Mohd Zain dan enam anggota berjaya menemui 50 biji pil kuda dalam beg milik seorang suspek yang dianggarkan bernilai RM1,500.

“Hasil siasatan ke atas ketiga-tiga lelaki itu yang bekerja sebagai penoreh getah, mereka mengaku mendapatkan bekalan pil kuda daripada seorang kenalan dan polis kini berusaha mengesan kenalan suspek.

“Semua suspek kini ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 39 a (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hasil ujian saringan air kencing juga mendapati mereka positif pil kuda," katanya.

Menurut Abdul Hamid, ketiga mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000,” katanya.

Kes ini disiasat Pegawai Penyiasat, Inspektor Abang Zulkarnain Abang Kerni.

Penunggang mangsa langgar lari maut



PASIR MAS – Ibu kepada lima anak meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati selepas terlibat dalam kejadian langgar lari di Kampung Jias, dekat sini pagi semalam.

Mangsa, Hasnah Mat Yatim, 35, yang menunggang motosikal bersendirian mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala, kaki dan perut. Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan dilanggar sekurang-kurangnya dua kenderaan.

Bapa sepupunya, Mat Yusof Ismail, 57, berkata, dia mengesyaki berlaku kemalangan apabila ternampak kuih-muih bertaburan di atas jalan raya.

“Saya dapat melihat dia terbaring di jalan raya, sebuah lori berwarna merah dan kereta jenis Proton Saga tiba-tiba melanggarnya sehingga dia tergolek beberapa meter.

“Keadaan masa itu masih gelap dan saya mengambil kerusi di kedai makan berdekatan untuk diletakkan di atas jalan bagi mengelak mangsa terus dilanggar kenderaan,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pasir Mas.

Mat Yusof berkata, dia mengesyaki mangsa dilanggar oleh sekurang-kurangnya dua kenderaan sebelum ditemui dalam keadaan berlumuran darah.

Mat Yusof cuba menghubungi suami mangsa sambil mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah setelah melihat keadaannya agak nazak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Kes itu katanya, akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkatan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan berhubung kejadian itu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nor Azmir di talian 09-7908222, sambungan bahagian Trafik.

Padah potong garisan berkembar



SEREMBAN - Seorang pemandu lori kecil dan kelindannya bersyukur kerana terselamat daripada maut walaupun kenderaan dinaiki mereka terbalik selepas terbabit dalam kemalangan, melibatkan dua kenderaan lain di sekitar Jalan Gadong Jaya-LBJ dekat sini, semalam.

Pemandu lori terbabit, Saiful Azman Mohd Yusof, 39, berkata, mereka dalam perjalanan dari bandar ini untuk mengambil bekalan jus minuman di Shah Alam, Selangor.

“Kira-kira jam 9.30 pagi, sebuah kereta jenis Proton Saga daripada arah bertentangan dilihat memotong kenderaan lain secara tiba-tiba sedangkan ada garisan berkembar di lokasi kejadian.

“Dalam keadaan terkejut, saya cuba mengelak tetapi kereta terbabit melanggar bahagian tepi lori dan mengakibatkannya terbalik di tengah jalan,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, Proton Saga itu seterusnya melanggar sebuah lori besar di belakang sebelum terbabas ke bahu jalan.

Saiful Azman berkata, dia dan kelindan, Mohd Iqbal Abdullah, 21, segera keluar menyelamatkan diri daripada lori mereka yang terbalik.

Menurutnya, pemandu Proton Saga berumur sekitar 20-an dilihat cedera di kepala dan dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

“Pemandu lori besar berumur sekitar 40-an tidak mengalami kecederaan serius, sementara Mohd Iqbal cuma luka kecil di tangan dan saya pula tidak cedera,” katanya.

Polis cari Mohd Nor



KUALA TERENGGANU - Polis kini mencari seorang lelaki dikenal sebagai Zulkifli Wahab @ Mohd Nor, 28, beralamat di Pasir Gajah, Jalan Air Putih, Kemaman bagi membantu siasatan pembunuhan seorang remaja, 18, di Air Putih, Kemaman pada 14 Jun tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (ACP) II, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, lelaki itu dicari berikutan penahanan tiga suspek sebelum ini yang mana salah seorang daripada mereka sudah dituduh pada 21 Jun tahun lalu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum sampai mati.

Dalam kejadian 14 Jun tahun lalu sekitar jam 8 malam, mangsa dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam hingga mati di rusuk kanan di sebuah pondok dalam kawasan kebun di Air Putih, Kemaman.

Sementara itu, menurut Hamzah, polis menahan lapan lelaki berusia 17 dan 26 tahun kerana disyaki terbabit dalam sindiket curi motosikal membabitkan 10 kes sejak enam bulan belaka-ngan ini.

Mangsa melambung



KOTA BHARU - Seorang kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara di simpang empat Jalan Padang Garong, di sini, pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa Ab Rahman Mamat, 51, berhenti di simpang empat tersebut kerana menunggu lampu isyarat, sebelum dirempuh kenderaan terbabit yang menyebabkan dia melambung ke bahagian depan sebuah kereta.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk dibedah siasat.

Menurut saksi, Khairul Ibrahim, 33, ketika kejadian dia sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau, sebelum terdengar dentuman kuat dari arah belakang sebelah kiri keretanya.

“Saya dengar bunyi sesuatu terseret di atas laluan sebelum terkena bahagian hadapan kereta saya,” katanya.

Menurutnya, kereta Perodua Kembara terbabit hilang kawalan lalu merempuh pengadang jalan dan beberapa kenderaan lain.

Ketua Balai Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, mangsa dikatakan dari arah Jalan Tok Hakim menghala ke Pengkalan Chepa.

“Sebaik tiba di lampu isyarat, motosikal mangsa dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara.

“Kenderaan itu kemudian terbabas dan melanggar kenderaan yang diletakkan di kawasan tersebut,” katanya.

Tahan suspek samun kurang daripada 24 jam


 



KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki kurang daripada 24 jam selepas suspek dipercayai terbabit melakukan samun dalam operasi di Jalan Pantai Murni 6, Pantai Dalam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, sepasukan polis diketuai Ketua balai Polis Petaling, Inspektor Mohd Sail Hasan menahan suspek berusia lingkungan 20-an itu.

Polis melakukan operasi itu selepas mendapat maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu.

Sebelum itu, suspek dipercayai menyamun seorang lelaki yang sedang memandu kereta kira-kira jam 1 petang berhampiran hotel Pearl Point di Jalan Klang Lama.

Suspek melarikan telefon bimbit jenama LG milik mangsa.

Telefon bimbit milik mangsa ditemui semula dan polis merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik mangsa.

Motosikal itu dipercayai digunakan suspek ketika melakukan samun.

Lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan berhubung kes itu dan polis sedang menyiasat sama ada suspek terbabit dalam kes lain.

Imigresen Pulau Pinang tahan 39 warga asing termasuk dua kanak-kanak



GEORGE TOWN - Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 39 warga asing termasuk dua kanak-kanak, dalam sembilan serbuan menerusi satu operasi khas bermula jam10 pagi hingga 12.30 tengah malam tadi.

Pengarahnya, Abdul Qadir Siddiq Ahmad berkata, kesemua mereka telah dibawa ke depoh tahanan sementara di Juru, untuk diambil keterangan.

Mereka ditahan di atas kesalahan sama ada menyalahgunakan pas lawatan sosial atau tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, katanya kepada pemberita, di sini hari ini .

"Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 55 Peraturan Imigresen 1959/163 kerana melindungi dan menggajikan pekerja asing di premis mereka," katanya. - Bernama

Bayi baru lahir mati ditikam



KLANG - Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui mati ditikam, dipercayai oleh ibunya di sebuah rumah sewa di Batu 4, Kampung Jawa di sini, hari ini.

Mayat bayi yang berlumuran darah akibat ditikam beberapa kali itu ditemui di atas pelapik plastik dalam bilik air rumah itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Zahedi Ayob berkata, wanita Myanmar yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dipercayai melahirkan bayi itu kira-kira 9 pagi tadi.

"Wanita berusia 23 tahun itu dikatakan melahirkan anaknya bersendirian dan menyembunyikan diri dalam rumah sewanya. Polis mendapat panggilan pada jam 12.45 tengah hari daripada orang awam
yang mengesyaki sesuatu berlaku di rumah suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.-Bernama

Rela terima anak, menantu


HULU SELANGOR: “Sudah pasti saya akan menerima anak saya, walaupun sudah 10 tahun tak bertemu. Malah, jika betul caranya, suami dia juga saya terima dengan reda...lebih-lebih lagi mereka sudah memiliki tiga anak,” kata Abdul Latip Jamaludin, 55, penoreh getah yang kehilangan anak, Rohana, sejak sedekad lalu.
Semalam, Harian Metro melaporkan rintihan Rohana, 33, atau lebih mesra dipanggil Ana yang mendakwa hidup melarat termasuk kerap menghadapi masalah untuk makan bersama tiga anaknya sejak menyeludup masuk ke Indonesia pada tahun 2002 mengikuti seorang lelaki dinikahinya tanpa pengetahuan keluarga.

Abdul Latip ketika ditemui, berkata walaupun sedih dan marah dengan tindakan anak sulungnya itu berkahwin lari, namun dia menganggap perkara yang sudah berlaku elok diselesaikan secara baik.

“Hati ayah mana yang tidak sedih apabila diberitahu anak derita untuk meneruskan kelangsungan hidup hinggakan makan pun terpaksa meminta sedekah jiran.

“Malah, selalu terngiang-ngiang rintihannya menerusi surat dibacakan anak saya yang lain (Abdul Latip tak tahu membaca): ‘Ana amat berharap agar ayah dan emak dapat mengampunkan dosa Ana. Setiap malam Ana menangisi nasib diri kerana hidup melarat di negeri orang dan berjauhan dengan keluarga. Ana silap memilih nasib ini’.

“Hati saya memang tak dapat menahan sayu setiap kali mengenangkan nasibnya. Kini diberitakan dia ada menghadapi masalah jantung pula, lagilah saya susah hati,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Gesir Ulu, Sungai Selisik, di sini.

Menurutnya, dia ada dihubungi Rohana yang menyatakan bahawa suaminya, Hadi Karsin, 34, mempunyai bapa tiri di negara ini.

Disebat 25 kali hina pelanggan ‘binatang’


MADINAH: Mahkamah di Dammam menjatuhkan hukuman 25 sebatan terhadap seorang pembantu kedai warga Asia kerana menghina lelaki lain dengan menggelarnya ‘binatang’.
Sumber mahkamah berkata, seorang lelaki Arab Saudi membelek majalah di sebuah kedai di pusat beli-belah di sini sebelum dihampiri pembantu kedai dan memintanya membeli majalah itu atau meletakkannya kembali ke tempat asal.
Apabila lelaki terbabit meletakkan kembali majalah berkenaan ke tempat asal, pembantu kedai itu mula menyelarnya dengan panggilan ‘binatang’. Lelaki berkenaan kemudian melaporkan perkara itu kepada polis.

Cuba seludup alatan sihir


ABU DHABI: Polis Abu Dhabi dengan kerjasama pegawai kastam lapangan terbang menggagalkan percubaan menyeludup pelbagai bentuk penulisan mantera, cincin, tali dan kemenyan yang menjadi peralatan untuk amalan sihir.
Seorang lelaki dari Asia ditahan kerana cuba untuk membawa masuk barangan berkenaan ke bandar raya ini. Suspek, 47, ditahan ketika memasuki Emiriah Arab Bersatu melalui Lapangan Terbang Abu Dhabi dengan visa pekerja,” kata Ketua Bahagian Jenayah Terancang, Divisyen Siasatan Jenayah, Polis Abu Dhabi, Kolonel Rashid Bu Rasheed. Pihak berkuasa di lapangan terbang yang curiga memeriksa bagasi lelaki dari Asia dan menemui pelbagai naskhah mantera dalam bahasa asing serta peralatan untuk amalan sihir seperti pena air, dakwat berwarna, cincin, plastik, jarum besi, kepingan kertas dengan simbol aneh, kemenyan, minyak wangi, minyak herba, pinggan, tin dan plastik yang mengandungi cecair,” jelasnya. Suspek mendakwa cecair yang ditemui itu hanya safron untuk kegunaan rawatan pemulihan sihir dengan menggunakan al-Quran sambil memberitahu ini kali pertama dia datang ke Emiriah.

“Suspek mendakwa sudah bekerja dalam bidang itu selama 30 tahun dan menawarkan bantuan dengan bayaran yang kecil. Dia juga terlupa peralatan itu dimasukkan ke dalam bagasinya kerana mahu tergesa-gesa,” katanya lagi.

Suspek kemudian ditahan dan peralatan yang ditemui bersamanya turut dirampas.

91 pelarian mahu ke Malaysia terkandas


BANGKOK: Polis Thailand menahan 91 pelarian Rohingya sebaik mereka mendarat di selatan negara itu dan bercadang menghantar mereka kembali ke Myanmar.
Menganut Islam, pelarian Rohingya dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai kumpulan minoriti paling teruk dizalimi di dunia.

Jurucakap polis wilayah Trang berkata, pelarian itu ditahan selepas mereka dihanyutkan ombak ke pantai apabila enjin bot rosak.

Katanya, pelarian Rohingya itu dalam perjalanan ke Malaysia.

“Kami menyediakan kemudahan asas bersama makanan dan minuman, tetapi mereka adalah pendatang tanpa izin.

“Polis perlu bertindak mengikut undang-undang,” katanya.

Seorang pegawai kanan imigresen berkata, pelarian itu mungkin akan dihantar pulang dalam tempoh sehari dua lagi. - AFP

Hos radio maut ditembak di kepala


MANILA: Polis berkata, seorang juruhebah yang lantang menyuarakan pandangannya ditembak mati, semalam, menjadikan dia mangsa terbaru di kalangan petugas media di Filipina.
Gerardo Ortega yang terkenal mengendalikan rancangan harian di stesen radio, ditembak di kepala ketika membeli pakaian sejurus selepas mengakhiri tugasnya.

Polis berjaya menahan pembunuh Ortega tetapi motif serangan belum diketahui.

Jurucakap polis berkata, belum dapat dipastikan sama ada pembunuhan itu berkaitan dengan tugas Ortega sebagai hos radio atau sebaliknya.

Seorang rakan pembunuh itu masih diburu. Filipina dianggap sebagai negara paling berbahaya untuk petugas media kerana sering menjadi sasaran pihak berkepentingan.

Seramai 142 wartawan dibunuh di Filipina sejak 1986. - AFP

3 tentera seksa orang awam dipenjara


JAYAPURA: Sebuah mahkamah tentera Indonesia menjatuhi hukuman penjara sehingga 10 bulan ke atas tiga anggota keselamatan yang disabitkan kesalahan menyeksa orang awam di Papua.
Dianggap lebih ringan secara relatif, hukuman itu menaikkan kemarahan di kalangan aktivis hak asasi manusia yang mendakwa tentera Indonesia melakukan kekejaman ke atas penduduk asal kawasan terpencil itu.

Tribunal tentera menghukum Sarjan Irwan Rizkiyanto dipenjara 10 bulan, manakala dua tertuduh lagi, Prebet Yakson Agu dan Tamrin Mahan Giri masing-masing dipenjara sembilan dan lapan bulan.

Dalam rakaman video dimuat naik ke YouTube tahun lalu, mereka dilihat meletakkan kayu terbakar ke kemaluan seorang lelaki tanpa bersenjata dan mengancam yang lain dengan pisau untuk memaksa mereka menyatakan tempat simpanan senjata kumpulan terbabit. - AFP

650 penumpang terkandas dua kereta api terbakar


PASIR MAS: Perjalanan kira-kira 500 penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ekspres Senandung Wau dari Tumpat ke KL Sentral di ibu negara, terkandas kira-kira dua jam selepas bahagian enjin utamanya terbakar dalam kejadian di Kilometer 505.5, Slow Machang dekat sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu disedari pemandu kereta api 13 gerabak itu sebelum menghubungi bilik kawalan yang kemudian menghubungi Bomba dan Penyelamat bagi membantu memadamkan kebakaran.

Dua pemandu terbabit kemudian memisahkan bahagian enjin koc itu dengan gerabak lain untuk mengelak sebarang risiko kemalangan.

Sumber berkata, tindakan memberhentikan kereta api itu dilakukan pemandunya sejurus mengesan kebakaran ketika kereta api itu dalam perjalanan dari Wakaf Bharu ke Pasir Mas untuk mengambil penumpang.

“Berdasarkan jadual perjalanan, kereta api itu baru bertolak dari Stesen Tumpat kira-kira jam 6.30 petang dan sebaik tiba berhampiran pintu Slow Machang, pemandu menyedari kebakaran di bahagian enjin dan memberhentikannya.

Katanya, enjin gantian dari Tumpat dibawa jam 8 malam dan tiba sejam kemudian bagi memastikan perjalanan penumpang diteruskan.

Sementara itu, sebuah lagi lokomotif terbakar berhampiran Kalumpang di Hulu Selangor, petang semalam. Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.12 petang apabila sebuah lokomotif yang membekalkan tenaga elektrik terbakar pada bahagian enjin ketika sedang bergerak berhampiran Kilometer 308.50, Kalumpang.

“Bagaimanapun, semua 150 penumpang yang berada di dalam gerabak lain tidak mengalami sebarang kecederaan. Tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang kebakaran itu dari merebak ke gerabak lain,” katanya.

Terlanggar tiang elak dicekup


TAHAN...sebahagian pendatang yang ditahan.
TAHAN...sebahagian pendatang yang ditahan.

SERDANG: Beberapa pendatang tanpa izin yang leka menonton televisyen di luar rumah kongsi di sebuah tapak pembinaan perumahan di Serdang, di sini lari bertempiaran hingga ada yang terlanggar tiang rumah ketika diserbu anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang, awal pagi semalam.
Serbuan dilakukan kira-kira jam 1 pagi ketika kebanyakan buruh asing terbabit tidur nyenyak sementara sebahagiannya sedang menonton televisyen.

Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, operasi Ops Rantau Bersepadu Cegah Jenayah itu dijalankan dengan kerjasama anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Imigresen.

Menurutnya, kes jenayah yang semakin menjadi-jadi di daerah ini yang dilakukan warga asing memaksa polis menyerbu kawasan penempatan mereka bagi membanteras kegiatan jenayah itu.

“Hasil serbuan ini, 52 warga asing diperiksa. Daripada jumlah itu, 19 orang termasuk dua wanita ditahan. Kebanyakan yang ditahan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Vietnam,” katanya.

Abd Razak berkata, mereka yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Imigresen manakala yang tiada dokumen perjalanan sah disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen.

“Kita turut menyita empat motosikal yang ditinggalkan Pati ketika melarikan diri bagi siasatan lanjut,” katanya.

Tergamam diajak bertinju


KUALA LUMPUR: Dua anggota polis trafik yang sedang bertugas mengawal kesesakan lalu lintas di ibu kota, tergamam apabila tiba-tiba dimaki hamun seorang lelaki tidak dikenali sebelum dicabar berlawan tinju di tepi jalan.
Suspek berusia 33 tahun bagaimanapun tidak ubah seperti sengaja mengundang padah apabila diberkas polis selepas didapati sengaja mengganggu tugas polis walaupun sudah dinasihatkan menghentikan tindakan kurang ajarnya itu.
Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi Sabtu lalu, kedua-dua anggota polis trafik sedang bertugas mengawal lalu lintas di persimpangan lampu isyarat antara Jalan Perak dan Jalan Lekiu, di sini.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan yang berjalan dan tidak dikenali tiba-tiba menghampiri sebelum menghamburkan kata-kata kesat.

Bulan madu dalam lokap


RAMPAS...Abdul Ghafar (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
RAMPAS...Abdul Ghafar (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.

ALOR SETAR: Baru seminggu bergelar raja sehari, sepasang suami isteri bukan sekadar meringkuk dalam tahanan, malah turut berdepan hukuman mati apabila kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.
Lelaki 35 tahun dan isterinya berusia 26 tahun, dianggap pasangan ‘sejiwa’ kerana kedua-duanya pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan mengedar dadah sejak beberapa tahun lalu sebelum membuat keputusan berkahwin minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, lelaki itu ditahan di Plaza Tol Gurun, kira-kira jam 3 petang Sabtu lalu manakala isterinya ditahan di rumah mereka di Kepala Bukit, Gurun, sejam kemudian pada hari yang sama.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan lelaki terbabit yang ketika itu menunggang motosikal bersendirian dalam keadaan mencurigakan di plaza tol.


“Hasil pemeriksaan, kami menemui dua plastik lutsinar dipercayai heroin seberat 910 gram bernilai RM30,000 yang disorok di dalam plastik biskut dan diletak dalam raga motosikal Modenas Kriss itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke rumahnya di Kepala Bukit, Gurun dan hasil pemeriksaan menemui sembilan ketulan plastik mampat mengandungi heroin seberat 24.2 gram bernilai RM1,100.

Abdul Ghafar berkata, dadah yang diproses sebegitu kebiasaannya untuk tujuan penyeludupan dan suspek menelannya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kami masih menyiasat sama ada suspek melakukan taktik penyeludupan demikian yang biasanya dilakukan untuk menyeludup dadah ke dalam penjara,” katanya.

Turut dirampas, tiga telefon bimbit dan motosikal daripada pasangan itu.

Siasatan mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran dan polis masih menyiasat sama ada suspek menjalankan urusan jual-beli dadah ketika ditahan.

Abdul Ghafar berkata, kedua-dua suspek pernah beberapa kali ditahan akibat kesalahan dadah itu dikenakan tindakan Orang Kena Pengawasan (OKP) mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

17 tipu KWSP didenda


KUALA LUMPUR: Seramai 17 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disabit kesalahan oleh mahkamah pada suku tahun keempat 2010 kerana terbabit dalam penipuan pengeluaran.
Semua mereka didapati bersalah dan didenda oleh mahkamah malah 12 daripada mereka berkemungkinan menghadapi hukuman penjara sehingga enam bulan sekiranya gagal membayar denda bernilai RM10,000.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, antara Januari dan Disember tahun lalu, 74 saman mahkamah difailkan ahli KWSP yang disyaki menipu pengeluaran rumah, hilang upaya dan pendidikan.

Pelakon rempuh pokok elak langgar kelibat objek


KUALA LUMPUR: “Saya seolah-olah terlihat kelibat objek putih seperti suluhan lampu kenderaan lain datang dari arah hadapan sebelum cuba mengelak dan merempuh pokok di bahu jalan,” kata pelakon terkenal, Siti Hani Nur Zara Harmi, 29, atau Hanny yang terbabit dalam satu kemalangan di Bukit Antarabangsa, di sini, awal pagi semalam.
Misterinya, ketika kejadian, tiada seorang individu pun melalui kawasan itu dan dipercayai mempunyai kaitan dengan gangguan makhluk halus.

Hanny sebelum kejadian dikatakan memandu bersendirian dan baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Roda-Roda Kuala Lumpur terbitan Skop Production di sekitar Bukit Bintang, di sini.

Wartawan Harian Metro yang menemuinya di Hospital Ampang mendapati pelakon itu ditemani ibunya yang juga pelakon dan produser, Julie Dahlan.

Ketika ditemui dia masih dalam keadaan lemah manakala ibunya, Julie, menceritakan kejadian menimpa anak gadisnya itu. “Perlanggaran kuat itu menyebabkan muka anak saya tersembam ke stereng kereta mengakibatkan rahang dan mulutnya berdarah. “Kesan hentaman kuat itu turut menyebabkan dada dan perutnya sakit,” katanya.

3 maut nahas 4 kenderaan


KUANTAN: Tiga beranak terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 129.2, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Felda Keratong, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Toyota Camry dinaiki tiga beranak berkenaan dalam perjalanan dari Segamat, Johor menuju ke bandar ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah Proton Saga dan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.

Katanya, pada masa sama, sebuah lori tanpa muatan seberat tiga tan di belakang Toyota Camry itu gagal mengelak lalu merempuh kenderaan malang itu.

“Pemandu kereta bersama dua anaknya meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat ketiga-tiga mereka dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk dibedah siasat,” katanya.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ramlan Mohamad, 42, seorang guru serta dua anaknya, Mohamad Aniq Mauqri, 5, dan adiknya, Maria Aqilah, 2.

Penuntut Malaysia perlu bantuan segera




BANJIR yang berlaku di Brisbane yang turut melibatkan pelajar dari Malaysia dan bantuan daripada kerajaan didakwa masih belum diterima. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Bantuan segera perlu disalurkan kepada lebih 170 penuntut Malaysia yang menjadi mangsa banjir di Brisbane, Australia sejak dua minggu lalu.
Pengerusi Biro Antarabangsa Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya terkilan kerana sehingga kini tiada bantuan disalurkan kepada para penuntut berkenaan.
"Perkara ini telah lama disuarakan oleh pelajar-pelajar itu, namun banyak pihak memandang ringan tentang isu ini. Kenapa sehingga kini tiada yang memberi bantuan segera kepada mereka," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, penuntut Malaysia terbabit kini berada dalam keadaan bimbang berikutan bencana alam yang berlaku, malahan ada di kalangan penuntut terpaksa berkongsi makanan setelah terputus bekalan makanan.
"Pihak-pihak terlibat misalnya Kedutaan Malaysia di Australia, Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) dan Wisma Putra perlu berbuat sesuatu agar perkara ini tidak berlarutan," katanya.

2 enjin gerabak terbakar




ATAS: Kakitangan KTMB cuba memadamkan api sementara menunggu ketibaan pasukan bomba dan penyelamat dalam kejadian di kilometer 308.50 menghala dari Kuala Lumpur ke Ipoh berhampiran Kalumpang, Hulu Selangor semalam.


PASIR MAS - Dua buah enjin gerabak kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terbakar dalam dua kejadian berasingan dalam tempoh kurang 24 jam melibatkan lebih 600 penumpang ke Kuala Lumpur dan Ipoh.
Kejadian pertama berlaku malam kelmarin apabila enjin gerabak Ekspres Senandung Wau yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur tiba-tiba rosak dan terbakar malam kelmarin.
Insiden itu menyebabkan perkhidmatan kereta api yang membawa 500 penumpang itu tersebut terkandas selama hampir dua jam di stesen Pasir Mas sementara menunggu KTMB menggantikan enjin lain.
Pengurus KTMB Wilayah Timur, Ibrahim Sulaiman berkata, kebakaran itu tercetus kira-kira pukul 7.20 petang kelmarin ketika kereta api tersebut berada di kilometer 505.5 berhampiran Kampung Slow Machang.
Katanya, bahagian depan enjin kereta api yang disewa dari India itu terbakar sepenuhnya namun jurupandunya berjaya mengawal keadaan dan menyelamatkan semua penumpang tanpa sebarang kecederaan.