Search This Blog

Monday, January 24, 2011

Bisikan misteri arah guru amuk



Oleh Hassan Omar

2011/01/24

KOTA KINABALU: Suara bisikan yang menusuk telinga guru lelaki dikatakan menjadi punca dia mengamuk menggunakan pedang samurai menyebabkan 14 guru termasuk dua wanita terpaksa menyembunyikan diri dalam hutan paya bakau di Kampung Sabur, Pulau Banggi dekat Kudat, kira-kira 300 kilometer dari sini, tengah malam Selasa lalu. 

Suara itu dikatakan mengarahkan suspek berusia 30 tahun itu mencederakan orang di sekelilingnya termasuk rakan setugasnya selain memarahi suspek kerana terus berkhidmat di kampung terpencil itu sedangkan dia sepatutnya sudah dibenar berpindah ke bandar.
Selepas berkhidmat lapan tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabur yang hanya mampu dikunjungi menggunakan perahu atau bot serta tiada kemudahan bekalan air dan tenaga elektrik, suara berkenaan dikatakan menghasut suspek berpindah kerana sekolah itu kononnya tidak sesuai lagi untuk suspek.Sumber berkata, hanya selepas tiga hari ditahan reman, suspek menjelaskan punca dia mengamuk mengggunakan pedang samurai hingga rakan setugasnya bertempiaran lari dalam kegelapan malam dan meredah hutan paya bakau. 

“Suspek mendakwa suara perempuan itu mengganggunya sejak beberapa minggu lalu menyebabkan dia tidak tahan lalu mengamuk,” katanya ketika dihubungi, di Kudat semalam. 

Banggi dengan keluasan 432 kilometer persegi adalah pulau terbesar di Malaysia yang boleh dikunjungi dengan menaiki feri dari Kudat dengan tempoh perjalanan satu setengah jam. 

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam 18 Januari lalu, 14 guru bertarung dengan nyamuk dan pacat kira-kira 11 jam dalam hutan paya bakau ketika bersembunyi daripada suspek. 
Seramai 12 guru lelaki yang mengajar di sekolah itu antara dua hingga 10 tahun, serta dua guru wanita yang baru berpindah sebulan lalu, sedang tidur sebelum dikejutkan dengan hentakan kuat pada dinding dan pintu, selain pekikan suspek. 
Mereka melompat keluar dari rumah papan setinggi kira-kira dua meter untuk melarikan diri ke hutan paya bakau dan keluar apabila polis tiba jam 12 tengah hari. 

Sumber berkata, reman suspek berakhir esok dan Mahkamah Majistret Kudat bakal menentukan sama ada suspek diarah menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Mesra Bukit Padang. 

Aktres Telugu, Tamil dituduh jadi pelacur





2011/01/24

HYDERABAD: Polis cawangan jenayah Bangalore dilaporkan menahan aktres Tamil dan Telegu, Yamuna serta Suraksha selain orang lain yang bersubahat di sebuah hotel lima bintang di bandar raya berkenaan kerana dituduh terbabit dalam pelacuran, Khamis lalu. 

Serbuan dilakukan di Hotel Royal Gardenia ITC selepas menerima beberapa maklumat, kata pihak berkuasa keselamatan.
Polis kemudian menahan sembilan orang termasuk Yamuna, Suraksha dan rakan mereka, Venu Gopal kerana didakwa menjalankan kegiatan pelacuran.
Suraksha dan Yamuna berlakon dalam beberapa filem Tamil dan Telegu selain siri drama dalam bahasa terbabit. Seorang pemilik sebuah syarikat perisian terkemuka juga adalah antara mereka ditahan. 

Sumber polis memberitahu, ketika serbuan dibuat terhadap bilik hotel berkenaan, sejumlah 2 juta rupee (RM134,122) juga dirampas dari Yamuna manakala 46,000 rupee (RM3,084) dirampas daripada Suraksha. 

Polis juga merampas kereta Toyota Forturner dan Hyundai Electra. Bilik hotel terbabit disewa dengan kadar 28,000 rupee (RM1,877) sejam manakala sejumlah 2 juta rupee terbabit adalah bayaran untuk perkhidmatan Yamuna selama sejam. 

Filem terbaru lakonan Yamuna, Duniya Vijay mula disiarkan sejak Jumaat, sehari selepas beliau ditahan kerana pembabitannya dalam aktiviti tidak bermoral itu. – Agensi 

Gempa kuat 6.1 magnitud landa timur Tajikistan





2011/01/24

DUSHANBE: Gempa kuat berukuran 6.1 magnitud melanda kawasan pergunungan di timur Tajikistan awal hari ini, tetapi belum ada laporan terkini mengenai kerosakan dan mangsa yang cedera. 

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gegaran berlaku jam 7.45 pagi waktu tempatan di 106 kilometer di barat daya bandar Karakul, di sempadan China. - AFP

Bekas Pengarah Imigresen Pulau Pinang didakwa


BEKAS Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen oleh anggota polis setelah beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan berhubung dakwaan memiliki harta yang melebihi pendapatannya. - Foto Ramdzan Masiam



GEORGETOWN: Bekas Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun, 52, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki harta wang dan hartanah lebihan sebanyak RM152,081 yang melampau daripada pemilikan yang sepatutnya. 


Oleh Petah Wazzan Iskandar

2011/01/24


Abdul Rahman yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Kementerian Dalam Negeri (KDN) didakwa selepas gagal memberi penjelasan yang memuaskan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika disoal siasat di sini pada 11 Oktober tahun lalu.

Gempa bumi sederhana landa Mindanao





2011/01/24

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter melanda Mindanao di Kepulauan Filipina jam 2.28 petang ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini. 

Kenyataan jabatan itu menyebut gempa bumi sederhana itu berpusat di 269km barat daya Davao di Filipina dan 591km timur laut Lahad Datu di Sabah.
Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami. - BERNAMA

Polis Tunisia sertai penunjuk perasaan





2011/01/24

Tuntut tidak dipersalah ikut arahan bekas presiden

TUNIS: Polis Tunisia yang sebelum ini paling ditakuti, melancarkan satu perhimpunan, menuntut gaji lebih baik dan meminta mereka tidak dipersalahkan kerana melepaskan tembakan yang membunuh penunjuk perasaan hingga memaksa Presiden Zine El Abidine Ben Ali, pemerintah paling lama negara Afrika Utara itu melarikan diri. 

Sekurang-kurangnya 2,000 anggota polis berhimpun di Tunis, pusat bantahan dan pertempuran antara golongan muda dan polis memaksa Ben Ali untuk meninggalkan negara yang diperintahnya selama 23 tahun.
Ia adalah perkembangan penting bagi Tunisia, di mana polis di bawah pemerintahan Ben Ali adalah paling ditakuti. Perhimpunan berlaku berhampiran Kementerian Dalam Negeri, satu simbol ketakutan di mana regim beliau menjadi inspirasi kebanyakan rakyat Tunisia.
Perhimpunan di Avenue Bourguiba, di mana tunjuk perasaan harian pernah diadakan, menarik ramai polis berpakaian biasa dan berseragam yang mengikat lengan mereka dengan penanda merah. Mereka ingin menuntut penubuhan seperti sebuah kesatuan sekerja, gaji lebih baik dan seperti bantahan lain baru-baru ini, penyingkiran ahli lain dari parti Ben Ali daripada kerajaan. 

Pegawai memanjat dari kenderaan rasmi mereka, meniup wisel dan mengibarkan bendera serta tanda. Ada di antara mereka saling berpelukan mengucapkan tahniah sesama sendiri mengenai peluang membuat bantahan. Kebanyakan mereka bersama ahli keluarga. 

“Saya tidak takut untuk datang ke jalanan ini,” kata Rida Barreh, 30 yang menjadi seorang pegawai keselamatan selama lima tahun. Saya bekerja 12 jam sehari dan hanya dibayar gaji 500 dinar (RM1,081) sebulan.” 

Barreh berkata, beliau mahukan sebuah kesatuan sekerja untuk membantu membela kepentingan pegawai polis dan mahukan penerimaan penduduk Tunisia secara umum bahawa “kami di sini untuk rakyat dan kami mahu berkhidmat kepada rakyat.” – AP 

Model akui hubungan seks dengan Berlusconi





2011/01/24

ROME: Skandal yang menyelubungi Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi semakin mendalam apabila buat pertama kali, seorang daripada wanita yang dinamakan dalam siasatan pelacuran mengakui mengadakan hubungan seks dengan pemimpin itu.

Maria Ester Garcia Polanco, 25, menafikan bahawa beliau melakukannya kerana wang. Tetapi, pengakuan beliau yang pertama daripada 14 gadis ‘bunga bunga’ dituduh pendakwa Milan mempunyai hubungan seks dengan Perdana Menteri terbabit.
Polanco, model dan penghibur TV itu berasal dari Republik Dominica berkata, beliau mempunyai hubungan seksual dengan jutawan berusia 74 tahun itu kerana perlu membayar rawatan perubatan bagi anak perempuannya berusia lima tahun. Sementara itu, seorang bintang filem dewasa terkemuka Itali memuji Berlusconi.

“Rakyat Itali sebenarnya bangga dengan seseorang seperti Berlusconi yang berusia 74, sukakan seks dan mempunyai kehidupan seks baik,” kata Rocco Siffredi.

Siffredi, 46, dinamakan sebagai seorang daripada 50 bintang filem lucah terkemuka dalam industri filem dewasa terbabit dan kini menjadi seorang selebriti. – Agensi 

47 bas ekspres, kenderaan perdagangan disaman



KUALA LUMPUR - Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen Trafik Bukit Aman mengeluarkan 47 saman ke atas pemandu bas ekspress dan kenderaan perdagangan kerana melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam satu operasi di Lebuhraya Sungai Buloh, arah Selatan awal pagi semalam.

Ketua Penguatkuasa kontinjen itu, Deputi Superintendan Azmi Mansor berkata, operasi hampir lima jam bermula dari jam 11 malam semalam itu membabitkan empat pegawai dan 25 anggota.

Beliau berkata, antara kesalahan yang direkodkan ialah kesalahan melebihi had laju 13 kes, tiada lesen memandu (12), tiada pemandu kedua bagi bas (enam), tiada isyarat kecemasan segi tiga (tiga), cukai jalan tamat tempoh (satu) dan kesalahan lain. - Bernama.

Dua lelaki digantung kerana edar dadah



24/01/2011 12:36pm

KUALA LUMPUR - Dua lelaki hari ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine.
Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu terhadap Tong Kam Yew, 39, dan Wang Wee Cheng 29, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah seberat 143.8 gram di kawasan Restoran Hwa Keng, Jalan Kenari 6, di sini pada 3 Feb 2008, pukul 6.30 petang.
Sepanjang perbicaraan yang bermula 21 September 2010, pihak pendakwaan telah memanggil tujuh orang saksi manakala pihak pembelaan memanggil enam orang saksi.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum Abdul Ghani manakala Kam Yew, pemilik syarikat pengiklanan, diwakili peguam K.L. Chee dan Wee Cheng yang bekerja sebagai mekanik diwakili peguam Datuk Hanif Hashim. - Bernama

Isteri maut selepas jip terbabas masuk longkang



24/01/2011 12:32pm

KUANTAN - Seorang wanita maut selepas kenderaan yang dinaikinya terbabas di Km 46.6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada 3.50 pagi semalam.
Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Mohd. Najid Jusoh berkata, Allya Abu Bakar, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.
"Mangsa bersama suami dan tiga anaknya dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Suami dan anak mangsa hanya cedera ringan.
"Sampai di tempat kejadian kenderaan yang dipandu suami mangsa telah terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam longkang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila kenderaan yang dinaiki keluarga itu cuba mengelak kenderaan lain yang memasuki laluannya. - Bernama

Peniaga rugi RM9,300 disamun 4 lelaki



24/01/2011 12:36pm

KUANTAN, 24 Jan. - Seorang peniaga kerugian wang tunai RM9,300 selepas disamun empat lelaki di Jalan Jerangau-Jabor, dekat sini pagi semalam.
Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian 10.50 pagi itu peniaga berusia 29 tahun tersebut memandu seorang diri dari Kemaman ke Kuantan.
"Sampai di tempat kejadian mangsa telah berhenti untuk berehat sebelum dihampiri sebuah kereta Waja yang dinaiki empat lelaki,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata, tiga daripada lelaki terbabit telah keluar dari kenderaan tersebut dan menyamun peniaga berkenaan.
Noor Asyikin berkata, berlaku pergelutan antara tiga lelaki itu dan peniaga terbabit sebelum mereka berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM9,300 dan sebentuk cincin emas miliknya. - Bernama

40,000 VCD, DVD cetak rompak dirampas



24/01/2011 8:09pm

KUALA LUMPUR – Polis merampas ribuan cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) permainan video serta komputer, dan menahan dua lelaki serta seorang wanita dan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan SS25/2, Taman Megah di sini, hari ini.
Ketua Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, ACP Fakruzi Ismail berkata, serbuan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi semasa ketiga-tiga mereka yang berumur antara 32 dan 40 tahun itu sedang sibuk membungkus VCD dan DVD berkenaan.
"Kami merampas lebih 40,000 VCD dan DVD cetak rompak permainan video khas untuk aplikasi seperti Play Station 3, Xbox dan Wii dengan jumlah keseluruhannya kira-kira RM400,000 dalam serbuan itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati rumah yang dipercayai disewa dengan kadar RM2,000 sebulan itu dijadikan stor simpanan VCD dan DVD cetak rompak sejak dua bulan yang lepas.
Katanya, mereka dipercayai memproses VCD dan DVD itu di tempat lain sebelum dihantar ke stor berkenaan untuk proses pembungkusan, dan ia kemudiannya diedar di sekitar ibu kota. – Bernama

Lokomotif Ekspres Senandung Wau terbakar



24/01/2011 4:19pm

PASIR MAS - Lokomotif Ekspres Senandung Wau, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa 10 gerabak dengan 600 penumpang, terbakar sejurus berlepas dari Stesen Wakaf Bharu, Tumpat, menuju ke Kuala Lumpur kira-kira 7.20 malam semalam.
Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismail berkata, perkhidmatan kereta api itu terpaksa dihentikan selama 2 jam 30 minit bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman dan penukaran lokomotif.
Tiada penumpang dilaporkan cedera dan tren terbabit tiba di ibu negara pada pukul 10.30 pagi ini manakala perjalanan lain ke semua destinasi membabitkan stesen di Wakaf Bharu dan Pasir Mas beroperasi seperti biasa, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, KTMB akan meneliti punca sebenar kebakaran itu dan laporan lengkap kejadian tersebut dijangka diketahui selewat-lewatnya dua minggu lagi. - Bernama

Dokumen palsu: Bekas penolong pengarah dipenjara, didenda


KUALA LUMPUR - Bekas Penolong Pengarah Jabatan Tanah dan Galian di Putrajaya, Mohd. Nadzri Mohd. Radzi dipenjara 14 hari dan didenda RM230,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini bagi kesalahan memperdayakan jabatan dengan memalsukan butiran dalam beberapa dokumen.
Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas Mohd. Nadzri, 28, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap empat pertuduhan berkenaan pada prosiding hari ini.
Sebelum ini mahkamah menetapkan kes itu dibicarakan selama seminggu bermula hari ini.
Rozilah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan Mohd. Nadzri menjalani hukuman itu secara serentak bermula hari ini. Bagaimanapun mahkamah memberi peluang kepadanya untuk membayar denda itu secara ansuran sebanyak RM46,000 setiap bulan, dalam tempoh lima bulan pada setiap 28 haribulan. - Bernama

Saman fitnah Dr Khir didengar 19 September



SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tiga hari mulai 19 September untuk mendengar perbicaraan kes saman fitnah bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Penolong Kanan Pendaftar, Syajaratudur Abd Rahman menetapkan tarikh itu dalam kamar dan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Dr Badariah Sahamid.

Dr Mohamad Khir, dalam samannya yang difailkan pada Januari tahun lalu, mendakwa Ng cuba mencemarkan imejnya menerusi satu kenyataan, termasuk dalam media, berhubung pemilikan sebuah banglo.

Ng, dalam kenyataan pembelaannya, mendakwa beliau mempunyai justifikasi bersyarat untuk mendedahkan sebarang penyalahgunaan kuasa oleh bekas Menteri Besar itu.

Beliau menafikan bahawa kenyataan itu adalah fitnah, sama ada daripada segi fakta atau undang-undang.

Ng juga berkata, kenyataan itu adalah ulasan adil yang dibuat demi kepentingan awam dan benar daripada segi fakta serta kandungan.

Pada 6 Julai 2009, ADUN daripada DAP itu mendakwa, Dr Mohamad Khir membelanjakan kira-kira RM24 juta untuk membeli sebuah banglo di Seksyen 7 di sini, sedangkan pendapatan beliau dianggarkan hanya RM576,000 setahun, atau sejumlah RM4.6 juta dalam tempoh lapan tahun beliau menyandang jawatan.

Dr Mohamad Khir menafikan dakwaan itu dan berkata, banglo itu berharga hanya RM3.5 juta dan dibeli menggunakan pinjaman bank selama 30 tahun. - Bernama

Konsultan ditipu RM1j


SUNGAI PETANI - Seorang konsultan mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan taktik seorang lelaki menawarkan perniagaan hingga menyebabkannya tertipu dan kerugian lebih sejuta ringgit.

Mohd Rizal Othman, 40, berkata, dia membuat laporan polis mengenai kes penipuan terancang lelaki yang dikenali sebagai Roy yang kononnya menjalankan urusan perniagaan berkaitan perdagangan jaminan bank.

Menurutnya, pada Julai 2008 dia melalui orang perantaraan diperkenalkan kepada Roy di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan Roy meyakinkannya untuk turut serta dalam perniagaan terbabit.

“Segala dokumen sokongan urus niaga dan penerangan yang diberikan amat baik sehingga meyakinkan saya dan tidak langsung menampakkan kepalsuan, akhirnya saya bersetuju menyertai mereka dalam urus niaga mata wang yang sedang dijalankan.

“Atas keyakinan diberikan, saya dan beberapa rakan yang diwakili saya sendiri bersetuju menyertainya dengan janji pulangan selepas setahun sehari bermula pada hari serahan wang dan saya menandatangani perjanjian itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Taman Kempas, di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Mohd Rizal berkata, dia kemudiannya memberikan wang berjumlah RM149,580 pada 31 Disember 2008 dengan memasukkan ke dalam akaun bank milik Roy dan pada masa sama, rakan lain turut memasukkan wang RM200,000 ke dalam akaun sama.

Menurutnya, selepas itu dia pernah menemui Roy di Kuala Lumpur dan kembali memasukkan wang secara berperingkat melalui akaun bank dari 23 Oktober 2009 hingga 19 April 2010 dengan jumlah keseluruhan RM737,700.

“Selepas 19 April 2010, Roy sepatutnya menjalankan urus niaga seperti yang dijanjikan dan akan menghubungi saya semula selepas empat hari. Namun sehingga hari ini (Sabtu lalu) Roy menghilangkan diri dan semua hubungan komunikasi seperti telefon bimbit, laman Facebook dan emel diputuskan.

“Secara jelas dia melakukan penipuan terhadap wang saya dengan jumlah RM887,280 (dalam rekod) dan RM200,000 (tiada rekod) dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM1,087,280,” katanya.

Mohd Rizal berharap polis dapat menyiasat perkara ini dan memberkas Roy untuk dia mendapatkan kembali wangnya dan pada masa sama dapat mengelak Roy terus memperdayakan mangsa lain kerana difahamkan lelaki itu yang berasal dari Yong Peng, Johor masih aktif menipu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan laporan dan siasatan sedang dijalankan.

Polis Terengganu tumpas dua sindiket curi motosikal




KUALA TERENGGANU - Polis berjaya menumpaskan kegiatan kumpulan curi motosikal yang dipercayai bergerak aktif di Terengganu dan Pahang sejak beberapa bulan lalu, selepas lapan lelaki terutama remaja, ditahan di Kemaman, tiga hari lalu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, semua suspek berumur antara 17 dan 26 tahun itu ditahan di kawasan Geliga, Kemaman kira-kira jam 3 petang hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata, polis turut menemui semula sebuah motosikal yang dipercayai dicuri, serta pelbagai komponen motosikal ekoran penahanan itu.

"Dengan penahanan mereka, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes kecurian motosikal di Kemaman serta Beserah, Pahang, dan polis masih berusaha mengesan beberapa lagi anggota kumpulan itu," katanya pada sidang media hari ini. - Bernama

Peniaga didakwa cuba sogok polis RM50



24/01/2011 5:57pm



KOTA BHARU 24 Jan. – Usaha seorang peniaga cuba menyogok seorang anggota polis trafik sebanyak RM50 bagi mengelak disaman akibat memandu tanpa lesen bukan sahaja tidak berjaya, malah dia kini berhadapan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000.
Peniaga terbabit, Mohd. Sabri Maarof, 38, dari Pasir Mas, didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Irwan Suainbon di sini hari ini, kerana memberi suapan itu kepada Inspektor Mohamad Azmihrul yang bertugas di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada 1 Ogos tahun lalu.
Menurut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11.30 pagi di hadapan pejabat penggawa di Jalan Sultan Yahya Petra dekat sini. - Utusan

Pelajar histeria cuba terjun bangunan



TEMERLOH - Pelajar dan guru sebuah sekolah di sini, cemas seketika apabila seorang pelajar perempuan yang mengalami histeria cuba terjun dari tingkat dua bangunan sekolah itu hari ini.

Detik cemas itu berlarutan lebih sejam sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam berjaya menyelamatkan pelajar tingkatan tiga berkenaan.

Suasana kecoh dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu turut menarik perhatian petugas Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh.

Pegawai Pelajaran Daerah Temerloh, Mohd Nadzri Ab Wahab berkata, beliau difahamkan pelajar terbabit tiba-tiba menjerit ketika berada dalam kelas, sebelum bertindak keluar ke koridor menerusi tingkap.

Pelajar itu juga bertindak membaling tingkap kaca ke bawah sebelum membuka tudungnya dan berlari-lari di sepanjang koridor yang mempunyai kelebaran satu meter dan tidak berpenghadang, katanya.

Keluarga pelajar tersebut yang datang selepas dihubungi pihak sekolah juga gagal memujuk pelajar itu, katanya.

Mohd Nazri berkata, kejadian histeria telah beberapa kali berlaku di sekolah terbabit namun kejadian pagi tadi disifatkan paling mencemaskan.

Pelajar itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk rawatan lanjut. - Bernama

Lima hari getir


Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

2011/01/24

SEORANG pelajar Malaysia  mengharungi banjir di kediaman mereka di daerah Brisbane, Australia baru-baru ini.
SEORANG pelajar Malaysia mengharungi banjir di kediaman mereka di daerah Brisbane, Australia baru-baru ini.
Pelajar Malaysia jadi mangsa bah di Brisbane dakwa disisih

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia yang menjadi mangsa banjir di daerah Brisbane, Australia dua minggu lalu kecewa kerana pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di negara itu dan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) gagal menyalurkan bantuan, termasuk bekalan makanan dengan segera kepada mereka.

Gempa 5.8 magnitud landa Fiji


WELLINGTON: Gempa berukuran 5.8 magnitud melanda Kepulauan Fiji awal hari ini tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa bawan laut itu berlaku di 138 kilometer di utara Nuku Alofa, di kedalaman 202 kilometer jam 7.15 pagi waktu tempatan.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii juga tidak mengeluarkan amaran tsunami. - AFP

Lima rumah kedai hangus dalam kebakaran di Lebuh Rantau Pulau Pinang




GEORGE TOWN - Lima rumah kedai yang terletak kira-kira 100 meter dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai di sini hangus dalam satu kebakaran awal pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, bomba pada mulanya menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran pada kira-kira jam 1 pagi itu disebabkan struktur binaan bangunan yang terlalu rapat dan kebanyakkan unitnya terkunci semasa kejadian.

Beliau berkata, cuaca panas, keadaan yang berangin dan struktur binaan bangunan yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dan merebak dengan pantas.

Bagaimanapun menurutnya tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak ke bangunan lain di sekitar kawasan berhampiran yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu.

"Kami terpaksa menggunakan hos yang panjang kerana jentera bomba sukar dibawa berhampiran dengan kedai yang terbakar itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Razam berkata, 163 anggota dengan 15 jentera bomba termasuk sukarelawan bomba dari Lebuh Pantai, Bayan Baru, Jalan Perak, Paya Terubong, Bagan Jermal, Perai dan Bandar Perda bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 1.11 pagi, dan api berjaya dikawal kira-kira 45 minit kemudian.

Katanya, api padam sepenuhnya pada kira-kira pukul 5 pagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan. - BERNAMA

Rakyat Yaman pula tuntut presiden disingkir


MENGAWAL KEADAAN: Polis antirusuhan menghalang pemberontak dalam satu demonstrasi besar-besaran di pekarangan kampus Universiti Sanaa, di Sanaa, Yaman, semalam. -- Foto REUTERS


Pemberontakan inspirasi dari bantahan di Tunisia

ADEN (Yaman): Setelah mendapatkan inspirasi daripada pemberontakan di Tunisia, ribuan rakyat Yaman, yang kurang senang dengan pemerintahan presiden mereka selama 32 tahun, memberontak dan meminta agar pemimpin negara mereka itu disingkir. Itulah bantahan besar-besaran yang pertama kali berlaku di Yaman yang mempunyai 23 juta penduduk. Rakyat Yaman mempunyai pelbagai sungutan, antaranya:
  • mereka merupakan rakyat paling miskin di dunia Arab;


  • pemerintahnya secara meluas dilihat mengamalkan rasuah dan dicerca kerana menjadi sekutu Amerika Syarikat dalam memerangi Al-Qaeda;


  • mereka juga tiada kebebasan berpolitik; dan


  • negara tersebut semakin kekurangan air.

  • Namun, usaha menggesa Presiden Ali Abdullah Saleh supaya meletakkan jawatannya masih sukar dilakukan. Sebagai satu cerminan kawalan ketat pentadbiran Presiden Saleh dan tenteranya di ibu kota negara itu, pemberontakan kelmarin tidak diadakan di jalan-jalan raya tetapi terbatas di pekarangan Universiti Sanaa. Kira-kira 2,500 pelajar, aktivis dan kumpulan-kumpulan pembangkang berhimpun di sana dan melaung-laungkan slogan-slogan terhadap Presiden Saleh, sambil membandingkan beliau dengan pemimpin Tunisia yang digulingkan, Presiden Zine El Abidine Ben Ali, yang turut mengundang kemarahan rakyatnya kerana amalan rasuah dan kelembapan ekonomi di negara itu. 'Keluarlah, keluarlah Ali! Ikut kawan mu Ben Ali,' laung para pemberontak itu. Salah seorang penganjurnya, Encik Fouad Dahaba, berkata tunjuk perasaan itu hanya satu permulaan dan penunjuk-penunjuk perasaan itu tidak akan berhenti selagi permintaan mereka belum dipenuhi. 'Kami akan berarak di jalan-jalan raya Sanaa, ke pusat utama Sanaa dan ke Istana Presiden. Beberapa hari mendatang akan menyaksikan satu keadaan yang lebih buruk,' kata Encik Dahaba, seorang ahli parlimen satu kumpulan politik Islam dan ketua kesatuan sekerja guru-guru. Dalam perkembangan berkaitan, polis Yaman menahan seorang aktivis kebebasan akhbar yang didakwa terlibat dalam pemberontakan pro-Tunisia itu, menurut golongan aktivis hak asasi, keluarganya dan seorang pegawai keselamatan, semalam. Cik Tawakel Karman, yang mengetuai kumpulan hak asasi Women Journalists Without Chains (WJWC), ditahan sekumpulan polis berpakaian preman di sebatang jalan raya utama sedang beliau dalam perjalanan ke rumahnya bersama suaminya, menurut para aktivis hak asasi yang enggan mendedahkan nama mereka. Sebab beliau ditahan masih belum jelas tetapi keluarganya berkata Cik Karman ditahan di penjara utama Sanaa. Seorang pegawai keselamatan berkata penahanan itu berpunca daripada waran tangkapan yang dikeluarkan pihak pendakwa, tanpa memberikan penjelasan. Cik Karman, yang juga anggota jawatankuasa pusat parti Islam, Al-Islah (Pembaharuan), terbabit dalam pemberontakan di Sanaa itu. Sementara itu, satu pergelutan juga berlaku pada hari yang sama di Algeria sedang para aktivis pembangkang cuba meniru taktik rakan-rakan mereka di negara jiran, Tunisia, yang menggulingkan bekas pemimpin mereka lebih seminggu lalu. -- AP, AFP.

    Jiran cuba sabotaj kita: Kuan Yew


    SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri Singapura menuduh negara jiran, Malaysia dan Indonesia berusaha cuba menjatuhkan republik itu.
    Menurut Lee Kuan Yew, kedua-dua negara jiran itu tidak senang dengan kemajuan pelabuhan Singapura dan berusaha untuk menggagalkannya.

    Beliau turut menggesa masyarakat Islam tempatan bersikap ‘lebih longgar dalam mengamalkan suruhan agama mereka,’ bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.

    Majoriti penduduk Singapura keturunan China dengan golongan Melayu yang beragama Islam dan kaum India menjadi penduduk minoriti.

    “Saya boleh berkata hari ini, kita boleh integrasi semua agama dan kaum kecuali Islam,” katanya dalam buku barunya: ‘Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.’

    “Saya berpendapat kami mencapai kemajuan dengan baik sehingga muncul kebangkitan Islam dan jika anda bertanya pendapat saya, masyarakat lain dapat berintegrasi dengan mudah - persahabatan, kahwin campur dan sebagainya,” katanya yang kini menjadi penasihat anaknya yang juga Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong.

    “Saya berpendapat, masyarakat Islam secara sosialnya tidak mencetuskan masalah.

    “Tetapi mereka berbeza dan terpisah,” kata Kuan Yew sambil menggesa penganut agama itu bersikap lebih longgar dalam melaksanakan ajaran Islam.

    Ketika melancarkan buku berkenaan Jumaat lalu Lee memberi amaran kepada rakyat Singapura agar tidak bersikap ambil mudah kerana republik itu masih menjalani proses pembangunan.

    Dengan menyifatkan Singapura dalam buku itu sebagai ‘bangunan 80 tingkat di atas tanah paya,’ Lee berkata, negara itu mesti berjuang untuk mengatasi sikap bermusuhan dengan negara jiran yang majoriti penduduknya beragama Islam.

    “Kita mempunyai jiran yang baik? Sedarlah. Terdapat usaha untuk menjatuhkan kita kerana kita adalah pengacau.” katanya dengan mendakwa Malaysia dan Indonesia berusaha untuk menggagalkan bisnes pelabuhan yang amat penting bagi republik itu. - AFP

    Syor pesalah seks pakai GPS


    TOKYO: Seorang gabenor tempatan mengkaji rancangan untuk mewajibkan pesalah seks membawa kelengkapan GPS untuk membolehkan polis mengawasi mereka.
    Jika dikuatkuasakan, undang-undang itu adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan di Jepun. “Lebih baik jika langkah itu dikuatkuasakan di seluruh negara tetapi kerajaan lambat bertindak,” kata Yoshihiro Murai, gabenor wilayah Miyagi di utara Jepun.

    “Kerana itu, saya akan mengorak langkah untuk melaksanakannya terlebihi dulu di Miyagi,” katanya.
    Pegawai wilayah itu mula menjalankan kajian untuk menghalang wanita menjadi mangsa keganasan selepas seorang lelaki membunuh dua orang tahun lalu setelah teman wanitanya cuba melarikan diri daripadanya. - AP

    Anak dibunuh dengan elektrik


    ISLAMABAD: Gara-gara bercinta dengan lelaki yang tidak direstui keluarga, seorang gadis dibunuh dengan menggunakan arus elektrik.
    Polis berkata semalam, anggota keluarga Saima Bibi, 17, memutuskan untuk membunuhnya dalam satu mesyuarat majlis desa kerana memalukan keluarga.

    “Terdapat tanda-tanda penderaan dan melecur pada leher, belakang dan tangan yang mungkin disebabkan penggunaan arus elektrik,” kata Zahoor Rabbani, jurucakap polis di Bahawalpur, timur Pakistan, tempat kejadian itu berlaku.
    Perdana Menteri, Yusuf Raza Gilani memandang serius kejadian itu dan mengarahkan polis mengemukakan laporan segera, menurut kenyataan pejabatnya.

    Kematian Saima dipercayai akibat pembunuhan kerana menjaga maruah.

    Ia sering berlaku di kawasan luar bandar di mana berkahwin tanpa kebenaran anggota keluarga lelaki atau melakukan persetubuhan sebelum berkahwin dilihat sebagai pencemaran serius terhadap maruah keluarga atau suku kaum.

    Doktor di sebuah hospital tempatan berkata, punca kematian Saima masih belum dapat dipastikan.

    Saima dikatakan jatuh cinta dengan jirannya, Dilawar dan melarikan diri ke Karachi, bandar terbesar di Pakistan baru-baru ini.
    Anggota keluarganya memujuk dia pulang dan berjanji untuk membenarkan dia berkahwin dengan lelaki itu.

    “Bapa dan ibu saudara serta anggota keluarga lain kemudian enggan memenuhi hajatnya kerana mendakwa lelaki itu daripada kasta rendah.

    “Beberapa bapa saudaranya dan beberapa orang yang berpengaruh lain membunuhnya apabila dia enggan menuruti kehendak mereka,” kata Zahoor.

    Polis menyerbu kampung Saima selepas menerima maklumat daripada seorang penduduk kampung yang berkata, anggota keluarga Saima memberitahu orang ramai gadis itu membunuh diri.

    Menurut Zahoor, pihaknya menangkap bapa Saima, Abdul Majeed dan seorang bapa saudaranya. - Reuters

    Sorok dadah dalam botol minuman


    KUALA TERENGGANU: Kreativiti seorang juruelektrik swasta membelah dan mencantumkan semula botol plastik minuman ringan bersaiz 150 mililiter untuk menyembunyikan dadah terbongkar ketika dia mencampakkan botol berkenaan ketika ditahan polis kira-kira jam 9.30 malam, Khamis lalu.
    Tindakan lelaki berusia 29 tahun yang cuba melarikan diri dan bergelut ketika ditahan sepasukan anggota polis yang menyerbu di depan rumahnya di Kampung Pengadang Baru, Jalan Gelugor, di sini, gagal apabila pihak berkuasa dapat memberkasnya dan pemeriksaan lanjut menemui bahan terlarang yang disembunyikan di sebalik label di bahagian dalam botol.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, pemeriksaan terhadap botol itu mendapati mengandungi 2,000 pil WY dianggarkan bernilai RM70,000.
    “Ini taktik terbaru digunakan suspek dan jika tidak melakukan pemeriksaan dengan teliti, botol itu seolah-olah mengandungi air.

    “Suspek direman seminggu hingga 26 Januari ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

    Beliau berkata, kira-kira jam 4.30 petang sebelum itu, polis menahan dua lelaki berusia 19 dan 28 tahun di depan rumah mereka di Kampung Durian Kasim, Ajil, Hulu Terengganu dan menemui 1,940 pil WY dianggarkan bernilai RM67,900 yang dibuang dalam bungkusan hitam ke lantai.

    Menurutnya, polis turut menyita sebuah Proton Perdana bernilai RM26,000, barang kemas bernilai RM600 dan wang di bank bernilai RM41,364 milik kedua-dua lelaki terbabit yang berasal dari Kampung Durian Guling, Marang.

    Katanya, suspek kini direman seminggu hingga 26 Januari ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B, ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
    Roslan berkata, polis turut menahan lapan lelaki berusia antara 28 hingga 57 tahun dalam tiga serbuan berasingan pada Jumaat dan awal pagi kelmarin di sekitar bandar raya ini dengan semua kesalahan dilakukan disiasat mengikut Seksyen 39(A)(2) ADB 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan jika sabit kesalahan.

    “Jumaat lalu kira-kira jam 11 malam, seorang kontraktor berusia 57 tahun ditahan dalam sebuah kereta Kia di tepi Jalan Kampung Banggol Air Lilih, Batu Enam di sini, dan polis menemui tiga botol berisi heroin bernilai RM4,500,” katanya.

    Keajaiban 'Muiz Stuntman'


    TERSELAMAT...Muiz bersama bapanya dan ahli keluarga yang lain bersyukur terselamat daripada kejadian yang lebih buruk.
    TERSELAMAT...Muiz bersama bapanya dan ahli keluarga yang lain bersyukur terselamat daripada kejadian yang lebih buruk.
    TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak bukan saja terselamat, malah tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun tergolek beberapa kali di atas jalan raya selepas terjatuh daripada van dipandu bapanya, malam kelmarin.
    Nasib turut menyebelahi Muhammad Muiz Zaid, 7, yang tidak digilis kenderaan lain walaupun lalu lintas agak sibuk ketika kejadian kira-kira jam 10.30 malam di persimpangan Jalan Padang Tembak-Jalan Maharajalela, dekat sini.
    Menurut Muiz, dia sedang bersandar di pintu belakang van apabila ia tiba-tiba terbuka.

    “Saya terjatuh dan tergolek beberapa kali atas jalan serta hampir digilis kenderaan lain.


    “Saya begitu takut dan hanya mampu menjerit meminta tolong. Saya tidak akan duduk di bahagian belakang lagi selepas ini dan berasa takut apabila melihat van,” kata Muiz yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Puchong Indah, Selangor.
    Bapanya, Zaid Nordin, 44, berkata ketika kejadian, dia sekeluarga yang tinggal di Puchong, dalam perjalanan ke rumah bapa saudaranya di Kampung Sungai Pergam, Bagan Datoh, untuk menghadiri kenduri kahwin saudaranya dan singgah di Teluk Intan.

    “Selepas bersiar-siar di Teluk Intan, kami meneruskan perjalanan dan saya memandu seperti biasa apabila tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan ahli keluarga mengatakan Muiz terjatuh dari van. Saya terus memberhentikan kenderaan dan melihat Muiz terpinga-pinga mencari van kami.

    “Sebaik melihat kami, dia terus berlari ke arah saya dan saya memeluknya sekuat hati...syukur dia terselamat. Namun saya terkejut apabila pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan calar atau luka walaupun dia tergolek atas jalan raya. Bagi saya, semua itu kuasa Allah s.w.t,” katanya ketika ditemui di rumah bapa saudaranya di Kampung Sungai Pergam.

    Bagaimanapun, sejak kejadian itu mereka sekeluarga sepakat untuk memanggil Muiz dengan gelaran ‘Muiz Stuntman’ kerana ‘aksinya’ seperti pelakon lagak ngeri yang selamat daripada kecederaan selepas terjatuh keluar daripada kenderaan yang sedang bergerak.

    Zaid berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pintu belakang van dipandunya terbuka secara tiba-tiba menyebabkan anak ketiga daripada empat beradik itu yang sedang bersandar padanya, terjatuh sebelum tergolek beberapa kali atas jalan raya.

    Meja melayang hempap kepala


    AMPANG: Niat seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik di sini, menghadiri kelas bahasa Inggeris terbantut apabila dia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas kepalanya cedera ditimpa meja yang dipercayai dibaling dari tingkat empat bangunan sekolahnya.
    Ketika kejadian Rabu lalu, Asyraf Sabiq Samad, 14, dalam perjalanan ke kelas kira-kira jam 1.15 tengah hari selepas berhimpun di padang bola tampar sebelum memulakan sesi persekolahan dan menunggu pelajar sesi pagi menamatkan pembelajaran.

    Menurutnya, pada mulanya dia ternampak satu objek dijatuhkan dari tingkat atas bangunan, namun gagal mengenal pasti objek terbabit.

    “Ketika mendongakkan kepala, 'sesuatu' bersaiz besar menimpa kepala saya dan saya tak sempat mengelak,” katanya.

    Sejurus kejadian katanya, kepala, muka dan kedua-dua belah tangannya dipenuhi darah sebelum dibawa ke bilik guru disiplin sekolah untuk dibersihkan dan kemudian dihantar ke Hospital Ampang.

    Asyraf menerima empat jahitan di dahi, manakala hidungnya turut tercedera.
    Ibunya, Mariam Kamarudin, 42, terkejut apabila dimaklumkan kejadian menimpa anak sulungnya itu dan bergegas ke hospital.

    “Kaki saya seperti tidak mencecah bumi apabila menerima berita itu dan sejurus tiba di hospital, saya lihat kepala Asyraf sudah berbalut sambil ditemani tiga guru.

    “Apabila saya meminta penjelasan daripada pengetua, dia menyatakan pihak sekolah sudah menyiasat dan mengetahui pelajar yang melakukannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

    Mariam berkata, pengetua berkenaan memberitahu perbuatan itu dilakukan seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikatakan mengganas selepas gagal mendapatkan bekalan ubatnya.

    Lebih menghairankan, katanya pelajar berkenaan turut ditempatkan dalam kelas normal kononnya kerana dia pintar seperti pelajar lain sedangkan pelajar OKU sepatutnya ditempatkan dalam kelas khas.

    “Mulanya saya rasa lega apabila mengetahui maklumat berkenaan, malah pelajar terbabit sudah dibawa pulang ke rumahnya selepas kejadian.

    “Tetapi, pihak sekolah menelefon suami (Samad Masaan, 58,) mengatakan kejadian itu mungkin dilakukan pelajar sesi pagi dan tidak membabitkan pelajar OKU berkenaan. Saya hairan apabila dimaklumkan pelajar OKU terbabit sudah digantung sekolah.

    “Dari situ, ia mula menimbulkan keraguan di pihak kami. Jika benar bukan pelajar terbabit (OKU) melakukannya, kenapa dia dikenakan tindakan? Ini menunjukkan pihak sekolah seolah-olah bermain tarik tali dengan kami,” katanya.

    Berikutan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Pandan Indah, di sini, semalam.

    Mariam berkata, mereka sekeluarga langsung tidak berniat meminta pampasan daripada mana-mana pihak dan jika benar pelajar OKU itu melakukannya, pihak sekolah dan keluarganya perlu menghubungi mereka sekali gus meminta maaf.

    Menurutnya, dia juga memahami keadaan kanak-kanak istimewa dan tidak seharusnya mereka dipersalahkan kerana mereka sentiasa perlukan perhatian.

    Katanya, dia akan menghantar surat meminta penjelasan lanjut kepada pihak sekolah hari ini bagi mendapatkan maklumat lebih tepat sebelum mengambil tindakan seterusnya.

    Sementara itu, pengetua sekolah, Zaini Mohammad Zain mengesahkan kejadian itu dan proses penyiasatan sedang berjalan.

    Mengulas mengenai pembabitan pelajar OKU, beliau menafikannya biarpun pada mulanya dia sendiri memaklumkannya kepada ibu bapa Asyraf.

    Katanya, sejurus kejadian menimpa Asyraf, pelajar OKU itu turut menimbulkan kekecohan akibat tidak menerima bekalan ubat dan pelajar terbabit juga mengikuti pelajaran pada sesi petang.

    Guru buas dijel 12 tahun

    BERSALAH...Mohd Saidi selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan, semalam.
    BERSALAH...Mohd Saidi selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan, semalam.


    KOTA BHARU: “Seharusnya seorang guru menunjukkan teladan baik kepada anak murid tetapi berbeza dengan tertuduh hari ini kerana mengambil kesempatan terhadap mangsa berusia 12 tahun yang naif dalam hal seksual,” kata Hakim Zainal L Salleh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
    Zainal berkata demikian sejurus menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap seorang guru sebuah sekolah rendah di Tanah Merah selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol anak muridnya berusia 12 tahun pada 2006.
    Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun bagi tuduhan pertama iaitu merogol anak muridnya berusia 12 tahun sebulan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas, Kampung Bukit Merah, pada tengah hari, 5 Ogos 2006.

    Bagi tuduhan kedua, dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan kerana merogol mangsa sama dalam kejadian di sebuah resort pada pagi 8 September 2006.


    Tertuduh, Mohd Saidi Che Tengah, 45, yang mempunyai lapan anak didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Tertuduh yang berpengalaman mengajar lebih 20 tahun bagaimanapun bernasib baik kerana hukuman penjara itu berjalan serentak bermula semalam.

    Selain itu dia juga bernasib baik kerana mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman dikemukakan peguamnya, Aminuddin Ahmad dan Muhammad Hasif Hassan hingga rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi.

    Dalam penghakimannya, Zainal mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pembelaan tertuduh hanya penafian semata-mata.

    Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.

    16 peniaga hilang mata pencarian


    AMPANG: Enam belas peniaga di Pangsapuri 700, Pandan Perdana, dekat sini, menghadapi kesulitan apabila kedai yang menjadi punca rezeki sejak 12 tahun lalu diroboh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hampir tiga bulan lalu.
    Keadaan itu menyebabkan mereka hilang mata pencarian dan mengalami kerugian apabila gerai yang dibina hasil titik peluh hanya tinggal sisa selain barang jalan busuk begitu saja.

    Seorang peniaga M Govinda, 45, merayu MPAJ supaya mempertimbangkan kembali masalah itu kerana mereka mahu mencari rezeki di tapak lama berdekatan dengan rumah.

    10 ditahan bantah novel Interlok



    SEBAHAGIAN individu yang ditahan polis kerana enggan bersurai ketika membantah novel Interlok di Kampung Desa Puri, Tasek Gelugor semalam.


    TASEK GELUGOR - Polis menahan 10 orang termasuk enam wanita setelah enggan bersurai semasa mengadakan perhimpunan haram membantah novel Interlok di hadapan Rumah Pangsa Kampung Desa Puri di sini semalam.
    Mereka yang berusia 18 hingga 46 tahun ditahan kira-kira pukul 10.15 pagi kerana mengadakan perhimpunan sambil membawa beberapa poster bantahan terhadap penggunaan novel berkenaan sebagai buku teks di sekolah.
    Walaupun polis yang berkawal mengarahkan kumpulan yang diketuai Setiausaha Agung Kumpulan Pelajar-Pelajar Tamil Malaysia, A. Kalaimugilan itu bersurai, namun mereka ingkar dan terus berhimpun tanpa permit.
    Perhimpunan itu bertukar sedikit kecoh apabila Kalaimugilan dilihat bertengkar dengan seorang anggota polis yang memintanya supaya menghentikan bantahan tersebut kerana ia mula mengganggu lalu lintas di situ.
    Tindakan pantas polis berjaya mengelakkan ketegangan apabila mengarahkan kumpulan terbabit menaiki van untuk dibawa ke balai bagi memberi keterangan.

    Dua penduduk Palestin cedera ditembak


    HEBRON - Askar-askar Israel melepaskan tembakan ke arah dua orang penduduk Palestin di Tebing Barat semalam dan mencederakan kedua-dua mangsa ketika mereka menaiki kereta ke tempat kerja, kata beberapa sumber perubatan Palestin.
    Tiada komen daripada tentera Israel berkaitan insiden yang berlaku berhampiran kampung Dahriya.
    Ia menyatakan pihak tentera melepaskan tembakan selepas mangsa gagal berhenti di dua kawasan pemeriksaan yang berasingan.
    Mangsa dikenali sebagai Akram al-Samamra, 31, dari Dahriya dan Hossam al-Gamary dari Yatta.
    Akram dilaporkan mengalami luka akibat tembakan di bahagian belakang, sementara Hossam cedera di kaki. - AFP

    Guru culik anak murid kerana rugi bermain saham


    DHAKA - Seorang guru persendirian ditahan kerana menculik seorang budak perempuan sebelum menuntut tebusan bagi mengatasi kerugian yang dialaminya ekoran kejatuhan indeks Bursa Saham Dhaka di Bangladesh baru-baru ini, kata polis semalam.
    Menurut seorang pegawai polis, Sukanta Chakrabarty, anggota-anggpta perisikan polis menemui budak berusia lapan tahun itu dan menahan guru tersebut, Abdul Majid kelmarin di Pulau Kutubia, 100 kilometer ke selatan bandar pelabuhan Chittagong.
    "Abdul Majid menculik muridnya sebagai cubaan untuk mengembalikan kerugian yang dialaminya dalam bursa saham. Dia kerugian sebanyak AS$7,145 (RM21,863) dalam perniagaan saham dan menuntut jumlah yang sama daripada keluarga mangsa," tambahnya.
    Bursa Saham Dhaka mengalami kejatuhan teruk sejak awal Disember 2010.
    Ia telah kerugian sebanyak 30 peratus sejak mencatat rekod tertinggi dengan 8,918.51 mata pada 5 Disember lalu.
    Bangladesh mempunyai lebih 3.3 juta peniaga saham dengan 80 peratus daripadanya merupakan pelabur kecil dan pelabur baru. - AFP

    Polis cari Ah Hon



    RAJA SHAHROM menunjukkan gambar Ah Hon yang dicari bagi membantu siasatan kes pembunuhan tiga sahabat pada sidang akhbar di IPK Melaka semalam.


    MELAKA - Polis mencari seorang remaja lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes tiga sahabat yang mati ditikam di tepi jalan Kampung Solok Binjai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah Jumaat lalu.
    Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana Ling Jun Hon atau nama panggilannya Ah Hon, 16, bernombor kad pengenalan 950328-04-5237 dari Lubok Cina, Alor Gajah di sini supaya menghubungi polis dengan segera.
    "Polis percaya Ah Hon yang tidak bersekolah itu merupakan individu yang boleh membantu kita menyelesaikan kes bunuh ini.
    "Ah Hon dikatakan telah melarikan diri selepas kes itu berlaku," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini semalam.

    Balasan rogol murid



    MOHD. SAIDI diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dihukum penjara 12 tahun semalam.


    KOTA BHARU – Selepas lima tahun dibicara, Mahkamah Sesyen di sini semalam akhirnya menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara berserta dua sebatan ke atas seorang guru kerana didapati bersalah merogol anak muridnya yang berusia 12 tahun ketika kejadian.
    Hakim Zainal L. Saleh memutuskan hukuman itu ke atas Mohd. Saidi Che Tengah, 44, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah ke atas dua pertuduhan rogol yang dihadapkan ke atas bapa kepada lapan anak itu.
    “Ini kesalahan serius. Faktor kepentingan awam juga saya ambil kira dalam memutuskan sesuatu hukuman yang dapat memberikan pengajaran kepada kamu dan seterusnya dapat menghantar mesej kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

    Sidang Parlimen Roh Al-Arqam



    BANGUNAN pejabat Al-Arqam di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur masih dikunjungi pengikut yang taksub dengan ajaran Al-Arqam.


    KUALA LUMPUR - Ajaran Al-Arqam yang diasaskan oleh Ashaari Mohamad atau terkenal dengan panggilan Abuya yang difatwakan sesat pada tahun 1994 didakwa cuba dihidupkan semula oleh salah seorang isterinya.
    Pergerakan kumpulan itu yang masih mempunyai kira-kira 2,000 pengikutnya didakwa mula dikesan aktif semula kira-kira setahun lalu dengan pengikutnya kerap menyertai perjumpaan yang dinamakan 'Sidang Parlimen Roh' selepas kematian Ashaari pada 13 Mei 2010.
    Dalam tempoh setahun lalu, pengikut Al-Arqam didakwa telah berhimpun sebanyak 18 kali dalam perjumpaan 'Sidang Parlimen Roh' di beberapa lokasi termasuk pernah dianjurkan di luar negara seperti di Thailand, Jordan dan Mekah.
    Namun, kebanyakan 'Sidang Parlimen Roh' yang diadakan hampir setiap bulan itu banyak berlangsung di Bandar Country Homes, Rawang atau di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
    Mengikut satu sumber, ajaran Al-Arqam atau dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah itu cuba diberi nafas baru oleh salah seorang balu Ashaari yang kini diberi gelaran 'Ummu Jah' iaitu gelaran bagi menyanjungi wanita itu.
    Sumber itu memberitahu, 'Sidang Parlimen Roh' yang terbaru diadakan secara serentak di Bandar Country Homes dan di Sungai Penchala pada 25 hingga 27 Disember tahun lalu.

    Lelaki parah dipijak gajah naik minyak



    BERNARDUS NGONGO NARU menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu semalam.


    KUALA KRAI - Seorang pengawal keselamatan ladang Fokus Bonanza Sdn. Bhd., dekat Dabong di sini kini kritikal akibat dilibas dan dipijak oleh seekor gajah liar seberat lima tan dalam satu kejadian awal pagi semalam.
    Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, Bernardus Ngongo Naru, 24, cedera parah di bahagian rusuk dipercayai akibat dilibas gajah tersebut sehingga tercampak ke dalam parit berdekatan sebelum dipijak.
    Berikutan itu, mangsa yang berasal dari Sumbar, Indonesia dibawa ke sebuah klinik di Dabong sebelum dibawa ke Hospital Kuala Krai.
    Bagaimanapun, disebabkan kecederaannya yang sangat parah, dia dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pada pukul 5 petang semalam.
    Rakan mangsa, Mohd. Nor Rahim, 21, terselamat dalam serangan itu.
    Menurut Mohd. Nor, kejadian berlaku ketika mereka mengawal ladang berkenaan di satu kawasan berbukit dalam suasana gelap gelita.
    "Ketika menyuluh kawasan dengan lampu, kami tiba-tiba tersuluh gajah berkenaan menyebabkan kami terus melarikan diri.
    "Dalam keadaan terkejut itu saya berjaya menyeberangi parit berdekatan tetapi rakan saya tertinggal di belakang.

    "Tiba-tiba rasa badan terbakar"



    MUHAMAD HAIRUMAN menerima kunjungan bekas rakan
    kolejnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang semalam.


    KLANG - "Tiba-tiba saya rasa seluruh badan terbakar sebelum terpelanting jauh dalam kebun kelapa sawit."
    Itu detik-detik yang masih diingati oleh mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhamad Hairuman Miskon, 22, yang buat pertama kali ditemu ramah selepas insiden ngeri yang berlaku kepadanya pada 26 November tahun lalu.
    Menurut Muhamad Hairuman, dia sudah mengait lima hingga enam pokok kelapa sawit dan ketika mengait pokok yang seterusnya, dia tidak perasan kabel elektrik di kawasan berkenaan.
    Lagi pun, katanya, ini bukan kali pertama dia pergi ke kebun kelapa sawit rakannya yang terletak di Kampung Masjid Baruh, Tanjung Karang itu.
    Sebelum ini dia sudah empat kali mengait sawit di kebun itu.
    Dia juga mengakui sudah biasa melakukan kerja-kerja mengait dan mengutip buah kelapa sawit bagi menambah sumber pendapatan bersama abangnya, Muhamad Firdaus, 24.
    "Selama ini, itulah kerja-kerja kami bagi mencari wang kepada keluarga terutama bagi menyara seorang kakak kami yang mempunyai masalah kesihatan," ceritanya.
    Menurutnya, selepas tamat kolej dua tahun lalu, dia selalu mengambil upah melakukan kerja-kerja pendawaian dan pernah terkena kejutan elektrik tetapi kejadian di kebun kelapa sawit tahun lalu itu merupakan yang terburuk.
    "Sampai sekarang saya masih rasa panas dan kerap minum air sebab selalu rasa dahaga,'' katanya lagi.
    Muhamad Hairuman sudah mula menunjukkan perubahan positif apabila sudah boleh bercakap dan melemparkan senyuman kepada setiap pelawat termasuk bekas rakan-rakannya yang menziarahinya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam.

    1,250 karton rokok bernilai RM147,000 dirampas



    JOHOR BAHRU 23 Jan. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya merampas 1,250 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM147,000 termasuk duti selepas menahan sebuah bot di Rimba Terjun, Pontian, kelmarin.
    Dalam kejadian pukul 10.45 malam itu, dua lelaki warga Indonesia berusia 35 dan 45 tahun ditahan malah bot fiber serta enjinnya turut dirampas.
    Komander Markas PGM Wilayah 2, Asisten Komisioner Mohd. Khamsani Abd. Rahman berkata, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua (2) daerah Kukup telah memintas sebuah bot laju yang dipandu dari sempadan Malaysia-Indonesia menuju ke Pontian dalam keadaan yang mencurigakan.
    Beliau berkata, apabila menyedari mereka diekori pihak berkuasa, bot laju tersebut bertindak melarikan diri menuju ke pantai.
    "Setelah hampir 10 minit mengejar, bot ronda PGM berjaya memintas dan menahan bot laju berkenaan di kawasan Rimba Terjun dan pemeriksaan mendapati tekong dan pembantu tekong tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
    "Pemeriksaan kemudiannya dijalankan ke atas bot berkenaan dan lebih kurang 1,250 karton rokok Marlboro pelbagai jenis ditemui disembunyikan di bahagian hadapan bot itu," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, semalam.
    Jelas Mohd. Khamsani, kesemua tahanan dan barangan rampasan ditempatkan di Pangkalan Markas Taktikal Kukup, dekat sini untuk tindakan lanjut yang akan dibuat mengikut Akta Kastam.
    Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan rokok, enjin dan bot berkenaan dianggarkan bernilai RM206,887.50 termasuk duti.
    Tambahnya, sepanjang tahun lalu, PGM Wilayah 2 berjaya membuat 29 tangkapan di bawah Akta Kastam dan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1.4 juta dan sejak awal Januari lalu sebanyak tiga tangkapan dibuat dengan nilai rampasan berjumlah RM266,860.82.
    "PGM Wilayah 2 akan menggiatkan lagi usaha bagi membanteras kegiatan penyeludupan daripada berleluasa. Pihak kami juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bersekongkol dalam aktiviti ini.
    "Pihak kami amat mengalu-alukan maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang khasnya rompakan di laut, penyeludupan dan kesalahan-kesalahan maritim bagi tujuan pembanterasan,'' katanya.
    Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua (2) - Johor di talian 07-2372222 atau 07-2376122.

    Barang kawalan disorok bawah timbunan tilam



    CUBAAN sebuah bot kayu menyeludup keluar barang kawalan yang disorokkan di bawah tumbunan tilam terpakai gagal apabila kegiatan itu berjaya dikesan anggota Maritim Malaysia di muara Sungai Batu Pahat, Johor Bahru, kelmarin.


    JOHOR BAHRU 23 Jan. - Pelbagai helah digunakan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyeludup keluar barangan kawalan ke luar negara.
    Terbaru di Batu Pahat, barangan kawalan tersebut cuba diseludup keluar dari negara ini menggunakan sebuah bot tukar barang dengan menyorokkan di bawah timbunan tilam dan pakaian terpakai.
    Bagaimanapun, cubaan itu berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Batu Pahat di muara Sungai Batu Pahat, kira-kira pukul 6 petang, semalam.
    Ketua Penguat Kuasa Wilayah Maritim Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, hasil pemeriksaan menemui 153 kilogram (kg) gula pasir, minyak masak (145kg), tepung gandum (60kg) dan dua tong gas memasak.
    Katanya, bot kayu itu dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Bangkalis, Indonesia.
    "Kesemua barang kawalan itu bernilai RM676.95. Ia disembunyikan di bawah timbunan tilam dan pakaian terpakai yang diletakkan di atas geladak haluan kapal.
    "Ini adalah taktik-taktik sering dilakukan penyeludup untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
    Beliau berkata, seorang tekong dan dua anak kapal warga Indonesia berusia antara 32 dan 57 ditahan untuk membantu siasatan manakala bot tersebut ditempatkan di Jeti Kastam Batu Pahat.
    Katanya, kes tersebut diserahkan kepada pihak Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Batu Pahat dan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Barang 1961.
    Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia Wilayah Selatan yang berpangkalan di Batu Pahat akan terus mempertingkatkan lagi pemeriksaan ke atas bot-bot di perairan ini bagi memastikan tiada barang-barang kawalan diseludup keluar.