KOTA TINGGI – Polis menahan sembilan pengawal keselamatan dan merampas dadah jenis morfin seberat 0.19 gram di Jalan Kota Tinggi, di sini, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari cawangan narkotik IPD Kota Tinggi telah menahan sebuah van yang membawa 14 pengawal keselamatan.
”Van berkenaan membawa 14 pengawal keselamatan yang selesai bertugas di kawasan perindustrian Tebrau. Hasil pemeriksaan, seorang daripada pengawal keselamatan terbabit memiliki dadah jenis morfin seberat 0.19 gram,” katanya.
Menurutnya, polis turut menahan lapan lagi pengawal keselamatan terbabit kerana positif dadah jenis morfin dan seorang darinya dikehendaki bagi kes Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
“Kesemua suspek berasal dari Felda Air Tawar 5 dan Sungai Mas. Hasil siasatan, kami turut mendapati kesemua suspek ini memiliki pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes curi kenderaan dan dadah,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muhammad berkata, syarikat keselamatan perlu membuat tapisan keselamatan dan semakan latar belakang sebelum menggaji pengawal keselamatan .
Dalam kejadian berlainan, polis menahan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Batu 12 dan menahan lima lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan yang tidak mempunyai sebarang dokumen di sini, semalam.
“Kira-kira jam 3.15 pagi, polis menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan, hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu di dalam kenderaan terbabit.
“Pemandu terbabit turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kenderaan,” katanya.
Menurutnya, polis juga percaya kesemua suspek terlibat dengan kes samun minggu lalu yang melibatkan kerugian hampir RM10,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(C) dan 55(e) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya.