Search This Blog

Saturday, January 22, 2011

Kenderaan petugas media jadi sasaran pencuri



22/01/2011 6:21pm

IPOH - Kenderaan petugas media di sini semakin kerap menjadi sasaran pencuri yang memecah cermin kereta bagi melarikan barangan berharga seperti kamera digital dan komputer riba.
Dalam tempoh enam bulan lepas, kenderaan enam petugas media dipecah manakala sebuah pejabat media turut menjadi sasaran perompak.
Kejadian terbaru berlaku Khamis lepas membabitkan jurufoto pejabat Menteri Besar Perak yang mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila sebuah kamera digital dan komputer riba dicuri.
Mohamad Nazrul Mazlan, 27, berkata, kejadian disedari pada kira-kira 11 malam selepas dia bersama empat rakannya selesai makan di sebuah restoran di Jalan Chamberlain di sini.
"Semasa saya mahu membuka pintu kereta jenis Proton Pesona, saya dapati cermin kanan belakang pemandu dipecahkan... Saya membuat pemeriksaan dan mendapati sebuah kamera dan beberapa lensa bernilai RM18,000 dan sebuah komputer riba bernilai RM2,000 telah hilang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Pekan Baru di sini.
Bulan lepas, jurugambar akhbar New Straits Times kehilangan kamera dan lensa apabila pencuri memecah cermin kereta yang diletak di hadapan pejabatnya di Greentown di sini.
Beberapa petugas media lain turut mengalami kejadian yang sama tetapi tidak membuat laporan polis kerana hanya cermin yang pecah dan tiada barangan berharga dilarikan.
Minggu lepas, ketua biro akhbar Kosmo Ahmad Syakir Shazili, 33, cedera apabila terjatuh selepas seorang lelaki menceroboh masuk pejabat dan cuba merentap beg kameranya.
Setiausaha Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP), Kamaruzaman Yusof meminta polis memberi perhatian serius terhadap insiden berkenaan kerana pencuri atau kumpulan yang terbabit nampaknya menjadikan kenderaan media sebagai sasaran.
"Peralatan yang digunakan agak mahal dan dipercayai pihak yang melakukan kecurian itu mungkin mengekori petugas dari pejabat mereka atau semasa membuat liputan,” katanya.
Kamaruzaman berkata, cermin keretanya turut dipecah ketika diletakkan di Medan Istana pada Oktober lepas tetapi beliau tidak membuat laporan polis kerana tiada barangan berharga yang hilang. - Bernama

Ditangkap ketika cuba masukkan kerbau curian ke dalam kereta



BUKIT MERTAJAM (Pulau Pinang): Percubaan empat pencuri kerbau memasukkan seekor kerbau ke dalam sebuah kereta Proton Saga untuk dilarikan gagal apabila mereka ditangkap di Machang Bubok, kelmarin.
Kerbau itu dipercayai disuntik dengan ubat pelali dan diikat kakinya sebelum cuba dimuatkan ke dalam kereta itu. Namun, perbuatan pencuri itu sekitar 3 pagi dikesan polis.Pencuri-pencuri tersebut dipercayai sudah melakukan persiapan rapi bagi mencuri kerbau itu kerana bahagian tempat duduk belakang kereta itu telah diubah suai.Kereta tersebut dipercayai dicuri sebelum itu bagi memudahkan rancangan mereka selain mengelak dikesan polis.Namun, saiz besar dan berat kerbau itu menyebabkan kerja memindahkannya ke dalam kereta itu memakan masa.Seorang saksi yang tidak mahu dikenali berkata beliau percaya kumpulan itu terbabit dalam kes kehilangan kerbau dan lembu lain di kawasan itu kerana taktik yang digunakan sama.'Dalam kes sebelum ini pun pencuri menggunakan ubat pelali kerana kami menemui botol ubat pelali yang dibuang di sekitar kawasan lembu dan kerbau dilepaskan,' katanya.Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Penolong Pesuruhjaya, Encik Azman Abdul Lah, mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi. -- Harian Metro.

Lahirkan bayi di hangar helikopter



KOTA KINABALU: Seorang ibu muda melalui pengalaman tidak boleh dilupakan - melahirkan anak sulung di dalam hangar helikopter.
Cik Rosnita Puyut melahirkan bayi lelaki seberat 3.3 kilogram itu pada 3.30 petang 6 Januari lalu sebaik saja helikopter yang membawa perkhidmatan doktor udara yang membawanya dari Kampung Sonsogun Paliu, di pedalaman Kota Marudu, mendarat di hangar Layang Layang Aerospace Sdn Bhd di sini.Ibu berumur 21 tahun itu dibantu seorang doktor dan seorang jururawat perkhidmatan doktor udara. Suami Cik Rosnita, Encik Cladis Masuti, 28 tahun, turut menemaninya.Bagaimanapun, bayi itu tidak memberi respons yang sepatutnya akibat komplikasi proses kelahiran sehingga tidak menangis seperti lazimnya.Pasukan yang menunggu di hangar itu lantas segera membawa Cik Rosnita dan anaknya ke Hospital Queen Elizabeth di sini bagi mendapat rawatan segera, sebelum memindahkan mereka ke Hospital Pakar Likas bagi rawatan lanjut.Setelah sekitar dua minggu, ibu dan anak yang belum diberi nama itu dibenarkan pulang ke rumah mereka di Kampung Sonsogun Paliu kelmarin.Pengarah Urusan Layang Layang Aerospace, Encik Johan Poong Abdullah, berkata apabila menerima panggilan daripada Jabatan Kesihatan negeri sekitar 12.15 petang itu, pihaknya terus berlepas ke kampung tersebut bersama dengan seorang doktor dan seorang jururawat.'Alhamdulillah cuaca pada hari itu amat baik dan penerbangan itu mengambil masa kira-kira sejam 20 minit untuk sampai ke kampung berkenaan. Bagaimanapun, masalah timbul apabila pesakit tidak menunggu di kawasan pendaratan yang biasa dilakukan.'Pihak kami terpaksa berlegar-legar di udara meninjau mereka sehingga selepas pendaratan ketiga barulah kami menemui kawasan lapang yang ditebas oleh penduduk kampung.'Doktor itu kemudian memutuskan untuk membawa Rosnita ke Kota Kinabalu, bukannya ke Hospital Kota Belud yang terdekat, kerana komplikasi yang dialaminya,' katanya.Menurut Encik Johan, ini kali pertama seorang bayi dilahirkan dalam hangar helikopter itu dan pihaknya memutuskan mengambil bayi itu sebagai anak angkat syarikat.'Amat tidak elok ayah membiarkan anaknya bersusah payah balik sendiri ke kampung, jadi hari ini (kelmarin) kami memberi penerbangan khas secara percuma kepada pasangan suami isteri itu dan anak mereka bagi mereka pulang ke rumah,' katanya. -- Utusan Malaysia.

Tiga Maut Akibat Bergaduh

Tiga maut dipercayai bergaduh dalam satu kejadian malam tadi di Kampung Solok Binjai, Pangkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka.

Ketiga-tiga mangsa ditemui dengan kesan tikaman dan tetakan.

Menurut Ketua Polis Melaka, SAC Datuk Chuah Ghee Lye, polis menerima laporan daripada penduduk kampung jam 10.45 malam memaklumkan satu kemalangan berlaku di jalan utama kampung itu.

Polis yang ke lokasi kejadian mendapati dua remaja terbaring dengan beberapa kesan tikaman dan tetakan di seluruh badan.

Seorang lagi mangsa yang cedera parah dibawa bapa mangsa ke hospital untuk rawatan tetapi dilaporkan mati dalam perjalanan.

Polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian.

Tiada sebarang senjata tajam ditemui di tempat kejadian.

Semua mangsa berasal dari Paya Mengkuang, Masjid Tanah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Saksi kejadian diminta tampil membantu polis dengan menghubungi ASP Mohd Zukifli Yusof atau bilik gerakan polis Alor Gajah di talian tertera.

Sindrom jet lag didakwa punca pramugari MAS mati



SEREMBAN - Suami mendiang Chin Swee Len, 34 , menafikan isterinya mati akibat bunuh diri, sebaliknya pramugari Malaysia Airlines (MAS) itu dipercayai mati disebabkan sindrom lesu jet (jet lag).

Cheng Yin Chet, 39, berkata, dia mengesyaki isterinya mengalami keadaan jet lag ketika mendiang sedang menikmati keindahan bandar Amsterdam dari kawasan terbuka di tingkat 9, hotel tersebut di antara 12 tengah malam hingga 6 pagi (waktu Belanda).

"Sebelum isteri saya ditemui mati, dia beritahu saya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) bahawa dia pening kepala atau jet lag," katanya kepada pemberita di rumahnya di Seremban 2.

Cheng yang tidak berpuas hati dengan pelbagai spekulasi media yang menyelubungi kematian isterinya turut berkata, mendiang juga ada menghubunginya dari Belanda meminta Cheng menunggu kepulangannya untuk membeli belah sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina kelak.

"Isteri saya tidak bunuh diri dan tiada rancangan untuk bunuh diri. Malah hubungan kami sangat baik.

"Mendiang sempat menghantar sms kepada abangnya di Malaysia untuk menjemput makan malam di rumah kami sempena sambutan Tahun Baru Cina," katanya.

Pengusaha restoran kecewa premis diroboh




GEORGETOWN - Seorang pengusaha restoran kecewa dengan tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang didakwa merobohkan premis restorannya di pantai Batu Feringgi dekat sini tanpa memberikan notis awal.

Pengusaha, Hamid Sultan, 49, mendakwa, restorannya dirobohkan kira-kira 20 penguat kuasa MPPP yang datang pada 11 pagi tadi.

"Kalau mahu roboh, ikutlah prosedur. Beri notis dan berbincang dulu," dakwanya kepada pemberita.

Dia mendakwa, mengalami kerugian ratusan ribu ringgit, manakala 30 pekerjanya hilang mata pencarian.

Sementara itu, jurucakap MPPP berkata, tindakan meroboh premis itu terpaksa diambil kerana pengusahanya ingkar terhadap notis arahan daripada Pejabat Tanah dan Daerah Timur Laut supaya menghentikan perniagaan dan tidak melakukan sebarang pembaikan atas premisnya. - Bernama

Lelaki cedera disamun samseng



GEORGETOWN - Seorang lelaki cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di tempat letak kereta perumahan flat Jalan Sungai Pinang di sini, awal pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.45 pagi dikatakan berpunca dari salah faham antara mangsa dengan seorang ahli kumpulan yang menyerangnya itu. Akibatnya, mangsa cedera teruk di bahagian kepala, muka dan badan.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, selepas mangsa diserang dan dibelasah oleh kumpulan itu, mereka melarikan wang tunai RM3,000, seutas rantai leher emas dan sebuah kereta jenis Proton Waja milik mangsa.

Namun atas tindakan pantas pasukan ronda jenayah selepas menerima maklumat daripada mangsa dan orang ramai, polis berjaya mengesan salah seorang suspek berusia 23 tahun yang dipercayai terlibat dengan kumpulan itu di kawasan perumahan Taman Sarina, Jelutong.

“Tidak sampai 30 minit selepas kes ini dilaporkan, kita berjaya menahan sorang suspek dan menemui semula beberapa dokumen milik mangsa. Turut ditemui keretanya. Bagaimanapun wang tunai dan rantai tidak ditemui.

“Siasatan polis mendapati kejadian ini bermotifkan pergaduhan pada mulanya sehingga mendatangkan kejadian samun. Siasatan polis mendapati kumpulan yang bersenjatakan parang ini aktif dengan kegiatan samun di sekitar kawasan perumahan di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Abdul Rahim percaya dengan tertangkapnya suspek itu akan memudahkan siasatan polis seterusnya mengesan beberapa lagi anggota kumpulan berkenaan yang semakin aktif terlibat dengan pelbagai kes jenayah.

Pasar raya terbakar




SUNGAI PETANI - Stor barangan di Pasaraya Econsave di Taman Petani Jaya di sini terbakar kira-kira jam 4.50 petang semalam semasa ia sedang beroperasi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Mohd Rejab Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.56 petang dan sampai di lokasi pada jam 4.59 petang.

Menurutnya, semasa sampai di tempat kejadian, api marak berpunca dari stor terbabit yang berada di tingkat atas bangunan dua tingkat pasar raya berkenaan.

Katanya, anggotanya terpaksa memecahkan dinding stor untuk memudahkan operasi memadam kebakaran.

“Bagaimanapun kami dapat mengawal api daripada merebak ke bahagian lain pasar raya itu dalam masa setengah jam selepas tiba di lokasi, namun kami mengambil sedikit masa untuk memadam kebakaran terbabit.

“Operasi memadam kebakaran ini membabitkan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dan 17 jentera dari bomba sukarela antaranya dari Bedong, Merbok, Semeling, Gurun, Pendang, Padang Lembu, Guar Chempedak dan Jeniang,” katanya.

Mohd Rejab berkata, bagaimanapun api tidak merebak hingga tingkat satu dan tingkat dua bangunan itu, namun pihaknya akan memeriksa keseluruhan bangunan itu selepas dapat memadam kebakaran.

Dalam pada itu Sinar Harian difahamkan jumlah kerugian kira-kira RM460,000 dan bomba masih menyiasat punca kebakaran terbabit.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati beratus penduduk sekitar dan orang ramai menyaksikan usaha anggota bomba memadamkan kebakaran itu.

Sehingga jam 7 petang semalam, anggota bomba masih berusaha memadamkan kebakaran di bahagian stor berkenaan dan asap tebal menyelubungi kawasan sekitar Taman Petani Jaya.

Dalam perkembangan sama, pekerja pasar raya berkenaan yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian terdapat 100 pekerja di tingkat satu dan dua bangunan itu.

Menurutnya, kira-kira 200 pelanggan sedang membeli barangan di pasar raya itu, namun semuanya berjaya keluar dari bangunan ketika kebakaran.

“Ini adalah kali pertama kebakaran berlaku di pasar raya ini dan saya bersyukur kerana semuanya selamat. Stor berkenaan menempatkan barangan seperti lampin pakai buang, minuman, tisu dan lain-lain,” katanya.

Asap kecil yang terlihat di bahagian stor bangunan dua tingkat Pasaraya Econsave tidak disangka adalah punca kebakaran yang memusnahkan keseluruhan bahagian stor berkenaan hingga mengejutkan ramai penduduk sekitar.

Seorang pekerja pusat jahitan yang dikenali sebagai Lee, 65, berkata, dia sedang berehat di tempat kerjanya iaitu bangunan berhadapan dengan pasar raya berkenaan sambil meninjau melalui tingkap tingkat atas bangunan itu melihat pekerja pasar raya mengangkut barang.

Menurutnya, sebanyak tiga lori memuatkan barangan dapur dilihatnya baru tiba dan pekerja pasar raya berkenaan sibuk mengangkut barang-barang terbabit keluar dari lori.

“Kemudian saya terpandang bahagian atas bangunan dan melihat asap kecil keluar dari bahagian stor berkenaan. Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa dan terus melihat pekerja itu mengangkat barang.

“Beberapa minit kemudian saya lihat asap kecil itu kemudiannya menjadi semakin tebal dan berkepul-kepul keluar dari stor,” katanya.

Lee berkata, dia memanggil rakan sekerja untuk melihat asap berkenaan dan mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku kerana asap semakin tebal memenuhi ruangan udara bangunan itu.

Menurutnya, dia kemudiannya menjerit memanggil pekerja pasar raya yang sedang mengangkut barang itu dan memaklumkan kepada mereka.

“Selepas itu saya lihat ramai pelanggan dan pekerja pasar raya berkenaan bertempiaran lari meninggalkan pasar raya itu dan bomba tiba lima minit selepas itu.

“Tidak sampai beberapa minit, api marak berserta asap tebal kelihatan di bahagian stor itu dan turut menyelubungi kawasan sekitar Taman Petani Jaya,” katanya.

Remaja diberkas curi telefon bimbit dalam surau




SEREMBAN - Seorang remaja lelaki diberkas polis kerana disyaki mencuri dua telefon bimbit milik ahli-ahli kumpulan tabligh yang bermalam di sebuah surau dekat Seremban 2, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek berumur 16 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan semasa ahli-ahli kumpulan tabligh sedang tidur.

“Suspek dan dua remaja lelaki lain dikatakan berada dalam surau berkenaan semasa ahli kumpulan tabligh melakukan ibadat qiamullail bermula kira-kira jam 12 tengah malam.

“Ahli-ahli kumpulan tabligh kemudian tidur selepas melakukan qiamullail. Namun, mereka terkejut apabila menyedari dua telefon bimbit dianggarkan bernilai RM800 hilang sebaik sahaja bangun dari tidur,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, pada ketika itu, ahli-ahli kumpulan tabligh berkenaan juga mendapati tiga remaja lelaki terbabit masih berada di dalam surau berkenaan.

Kata Saiful Azly, mereka kemudian bertanya kepada remaja-remaja berkenaan tentang kehilangan dua telefon bimbit itu.

“Setelah disoal berulang-ulang kali, suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu mendakwa dia telah menjual dua telefon bimbit berkenaan kepada rakannya selepas mengambilnya.

“Salah seorang ahli kumpulan tabligh seterusnya menghubungi pihak polis. Suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan awal mendapati dua lagi rakan suspek dipercayai tidak terlibat dalam kecurian dua telefon bimbit berkenaan.

Trauma rumah disimbah cat



DANAU KOTA – Sepasang suami isteri hidup dalam ketakutan apabila rumah mereka diami disimbah cat hitam dipercayai oleh ceti haram.

Mangsa, Lee Hui Min dan Ng Chin Weng berkata, dia tidak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana ceti haram ataupun ah long. Bagaimanapun, pada 20 Disember lalu, mereka menerima satu nota yang tertulis ‘Payment not paid, I would buy black paint for you’ di depan rumahnya di Taman Setapak.

Menurutnya, beberapa hari kemudian, selepas pulang dari kerja dia melihat lantai rumahnya disimbah cat hitam dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak.

Katanya, insiden itu tidak berakhir di situ, malah mereka kemudiannya diganggu lagi dengan kumpulan terbabit yang kemudiannya membaling bangkai ikan di perkarangan rumah mereka sehingga mereka tidak selamat untuk mendiami rumah itu.

“Memang kami tak pernah buat pinjaman dengan mana-mana ah long dan mungkin ah long ini tersilap orang.

“Sejak dari itu saya dan isteri sentiasa berada dalam ketakutan dan isteri saya trauma sama ada di dalam rumah mahupun di luar rumah,” katanya ketika membuat aduan di Pusat Khidmat Masyarakat MCA Bahagian Wangsa Maju.

Menurutnya, dia memanjangkan permasalahan itu agar individu terbabit tidak lagi mengganggu mereka berdua agar boleh hidup aman seperti sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi MCA bahagian Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata, kemungkinan besar ada individu yang membuat pinjaman melalui ah long dengan menggunakan alamat rumah mangsa.

Menurutnya, dengan mengeluarkan berita di dalam media sekurang-kurangnya ah long terbabit sedar bahawa mereka tersilap orang dan tidak terus mengganggu kehidupan pasangan suami isteri terbabit.

“Mereka mengaku tidak membuat pinjaman ah long kerana itu mereka tampil ke depan untuk mendapatkan pembelaan agar ah long yang menyerang mereka tidak lagi berbuat demikian.

“Kita juga akan menghubungi dan mendapatkan kerjasama polis supaya mangsa tidak terus diganggu dan berada dalam ketakutan,” katanya.

Mayat mangsa lemas ditemui terdampar



KUANTAN - Seorang pengunjung Pantai Peranginan Teluk Cempedak di sini yang lemas ketika mandi-manda petang kelmarin di temui mati lemas dan terdampar di tepi pantai itu, awal pagi semalam.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Hoh Kun Fatt, 22 dari Kampung Baru Ampang, Selangor ditemui orang ramai kira-kira jam 5 pagi sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

Menurutnya, mangsa yang datang ke sini mengikuti satu rombongan sebuah persatuan dilaporkan lemas kira-kira jam 6 petang Khamis lalu ketika sedang mandi manda di satu kawasan berbatu bersama enam rakan yang lain.

“Mangsa yang dipercayai bermain di atas sebuah batu besar di situ tergelincir lalu terjatuh ke dalam air dan lemas.

“Kejadian yang menimpa mangsa ketika itu disedari dua rakannya dan mereka cuba membantu bagaimanapun usaha menyelamatkan lelaki itu gagal apabila dia tenggelam dipercayai dibawa arus,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Jasmani berkata, dua rakan mangsa juga nyaris lemas bagaimanapun mereka berjaya diselamatkan rakan-rakan lain sebelum dihantar ke HTAA menerima rawatan akibat tertelan air laut.

“Berikut laporan berhubung kejadian, usaha mencari dan menyelamat segera digerakkan membabitkan beberapa agensi termasuk Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga, Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa gagal dan dihentikan lewat petang kelmarin bagaimanapun operasi yang sepatutnya diteruskan pagi ini (semalam) ditamatkan setelah mayat mangsa ditemui,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika mandi atau melakukan sebarang aktiviti sukan air memandangkan keadaan ombak agak besar kebelakangan ini.

“Sebaik-baiknya jangan mandi sekiranya keadaan ombak agak besar dan patuhi amaran dan arahan papan tanda yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya.

Hilang harta bernilai RM20, 000




SIMPANG KALANG – Sepasang suami isteri yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran rumah akhir tahun lalu, mendapat perhatian masyarakat setempat yang menyalurkan pelbagai sumbangan bantuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Kalang, Baharudin Zakaria berkata, kejadian pada 30 Disember tahun lalu mengakibatkan mangsa kerugian harta bernilai RM20,000.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas dan mangsa sekeluarga tidak ada di rumah ketika kebakaran berlaku.

“JKKK Simpang Kalang dan Jawatankuasa Pengurusan Dewan Simpang Kalang menyampaikan sumbangan tunai dan peralatan dapur kepada mangsa, Rohana Mahasan, 40.

“Difahamkan rumah didiami mangsa dan suami, Che Mohamad Fauzi, 47, disewa daripada penduduk tempatan,” katanya.

Baharudin berkata, kejadian bermula jam 5 petang ketika waktu puncak penduduk setempat pulang dari kerja.

Katanya, keseluruhan rumah hangus termasuk sebuah kereta, perabot, mesin basuh dan mesin tebu.

“Mangsa juga menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab Moin dan menerima sumbangan tunai RM1,000.

“Beberapa anggota dan pegawai polis termasuk Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Mohd Samsudin Wan Osman turut hadir melihat keadaan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan mangsa dipantau dan sebarang sumbangan bantuan daripada orang ramai digalakkan bagi meringankan beban mangsa.

Mangsa seorang periang, peramah

 

KUALA BERANG -“Makcik tidak sangka dia akan pergi dengan cara begini, malah sukar untuk membayangkan keadaannya ketika lemas tadi. Makcik baru berjumpanya kira-kira seminggu lalu dalam keadaan sihat,” luah Maimun Talib, 63, penuh kesayuan.

Maimun adalah nenek kepada seorang juru x-ray di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Mohd Alif Mahade, 23, dari Pulau Kerengga, yang ditemui lemas dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam di Air Terjun Belukar Bukit sewaktu sedang manda-manda bersama 10 rakan sekerjanya yang lain.

Menurut Maimun, walaupun berat menerima berita pemergiannya cucu keduanya itu, namun dia sekeluarga tetap akur dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Malah, dia menyifatkan ia satu kehilangan besar baginya kerana mangsa begitu akrab dengannya selain sering menjenguknya di rumah di Rusila.

“Cucu makcik ini (mangsa), anak kedua daripada empat beradik dan seorang yang periang serta peramah. Malah, dia sering datang ke rumah dan seingat makcik, kali terakhir berjumpa dengannya kira-kira seminggu lalu.

“Sebagai nenek, pastinya berita kematiannya mengejutkan, apatah lagi disebabkan lemas. Namun, kami sekeluarga tabah dan menganggap ini ketentuan-Nya,” katanya kepada Sinar Harian, di Hospital Hulu Terengganu (HHT), di sini, semalam.

Sementara itu, sepupu mangsa, Ahmad Azmi Ngah, 38, berkata, bapa mangsa, Mahade Ismail, 49, menerima panggilan kira-kira jam 11 pagi daripada salah seorang rakan mangsa yang turut sama berada di tempat kejadian dan terus bergegas ke lokasi.

“Mangsa bekerja sebagai juru x-ray sejak enam bulan lalu sebaik menamatkan pengajian di Kolej Universiti Mahsa dan sebagai sepupu, saya turut berasa kehilangannya,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Bilik Forensik HHT apabila bukan sahaja ibu mangsa, Rosmani Embong, 47, mengalirkan air mata kesedihan dan cuba ditenangkan ahli keluarga lain, tetapi beberapa kanak-kanak yang juga sanak-saudara mangsa turut diselubungi kepiluan.


Pengunjung diminta patuhi amaran



BELUKAR BUKIT - Orang ramai yang berkunjung ke Air Terjun Belukar Bukit, di sini, diharap dapat mematuhi segala peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk mematuhi papan tanda amaran sebagai langkah awal mengelakkan berlakunya kejadian lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK 1 Mohd Zazuli Badru berkata, kegagalan pengunjung mematuhi papan tanda amaran dipasang pihak berkuasa boleh mengundang perkara tidak diingini.

Menurutnya, papan tanda amaran memainkan peranan penting sebagai notis pemberitahuan khususnya kepada pengunjung yang baru pertama kali berkunjung ke sesuatu lokasi dan seharusnya dipatuhi.

“Mengulas lanjut kejadian lemas di Air Terjun Belukar Bukit ini, kebiasaannya ia berlaku di lokasi yang sama kerana terdapat kawasan air berpusar di situ.

“Malah, papan tanda amaran juga telah dipasang di sini. Pengunjung dinasihatkan agar mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian sewaktu mengetuai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas, Mohd Alif Mahade, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian berkenaan jam 11.01 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama enam anggota.

Namun, setibanya di tempat kejadian mangsa telah ditemui oleh orang awam.


Mohd Nazri bawa keluar mangsa



BELUKAR BUKIT - “Sebelum menerima panggilan memaklumkan ada kejadian lemas oleh salah seorang rakan, saya berada di rumah jiran kerana ada kenduri. Kemudian, saya terus bergegas ke tempat kejadian dan terjun ke kawasan air berpusar kerana kebiasaannya mangsa lemas akan terperangkap di situ,” kata Mohd Nazri Mat Sharif, 30.

Mat Sharif adalah salah seorang penduduk tempatan yang berjaya membawa keluar Mohd Alif dalam kejadian di Air Terjun Belukar Bukit, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, kira-kira lima minit menyelam di sekitar kawasan air berpusar itu, dia ternampak kaki mangsa dan kemudian menariknya keluar sebelum dibantu beberapa orang awam serta penduduk tempatan di situ.

“Kejadian lemas di sini sering berlaku kerana adanya kawasan air berpusar, namun kejadian hari ini (semalam) adalah kes pertama tahun ini.

“Kebiasaannya suhu air lebih sejuk selepas musim tengkujuh dan bagi penduduk setempat ia dipanggil ‘air sejuk’. Keadaan ini juga menyebabkan orang ramai lebih mudah kekejangan otot. Jadi, pengunjung dinasihatkan agar lebih berhati-hati,” katanya. 

Waris ragui punca kematian



JERTIH - Punca sebenar kematian seorang lelaki dari di Lorong Kubur dekat Masjid Hadhari Jertih di sini kelmarin menimbulkan persoalan dalam kalangan warisnya, memandangkan dalam sijil kematiannya dinyatakan sebab kematian adalah kerana kegagalan organ berfungsi, sedangkan doktor yang merawatnya memaklumkan si mati disyaki diserang virus kencing tikus (Leptospirosis).

Sepupu lelaki berkenaan, Rosli Othman, 50, berkata, Allahyarham Ahmad Rosni Awang, 37, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan malam Rabu selepas sehari koma.

Menurutnya, pada awalnya, pegawai perubatan di HUSM mengesyaki sepupunya diserang demam denggi, namun kemudian dia disahkan bukan sakit akibat bawaan nyamuk Aedes, sebaliknya disyaki pula diserang virus kencing tikus.

“Andaian itu dibuat kerana simptom dihadapinya menyamai mangsa yang diserang virus air kencing tikus iaitu demam tinggi, sakit anggota badan dan masalah lain,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis pengebumian Ahmad Rosni di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tandak kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

Rosli yang lebih dikenali sebagai Pak Awang berkata, bagaimanapun laporan pada sijil kematian yang dikeluarkan HUSM menyatakan kematian sepupunya hanya disebabkan organ gagal berfungsi dan ia benar-benar meresahkan ahli keluarga.

Menurutnya, sekarang ahli keluarga tidak berani memasuki rumah Allahyarham kerana bimbang dijangkiti virus memandangkan doktor di HUSM pernah mengatakan sakitnya berkemungkinan besar disyaki berpunca daripada virus itu.

Ahmad Rosni yang masih bujang bekerja sendiri dan tinggal sendirian di rumah peninggalan arwah keluarganya selepas ibu bapanya meninggal dunia lebih 10 tahun lalu, pada mulanya mengadu demam pada Sabtu lalu.

Keadaannya bertambah parah dan koma pada Selasa lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada malam esoknya.

Pemergiannya mengejutkan ramai ahli keluarga dan rakannya kerana selama ini beliau sihat dan aktif dalam sukan pingpong, malah sering mewakili kelab pingpong daerah ini dalam perlawanan sukan itu di merata tempat.

Alat renjatan elektrik ditemui dalam perlumbaan unta





DUBAI - Polis Dubai menemui sejenis alat renjatan elektrik berkuasa rendah yang digunakan semasa perlumbaan unta di negara itu, kelmarin.

Alat kecil yang dikenali sebagai robot joki itu digunakan untuk memberi renjatan elektrik berkuasa rendah kepada unta supaya mempercepatkan pergerakannya dalam sebuah perlumbaan diadakan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Penguat kuasa UAE telah mengharamkan penggunaan alat tersebut, beberapa tahun lalu, selepas mendapat aduan oleh sekumpulan aktivis hak asasi haiwan negara itu.

Alat tersebut dipercayai dijual kepada penunggang dengan harga tinggi sehingga 30,000 dirhams (RM2,500) sebiji.

Perlumbaan unta adalah sukan tradisional yang terkenal di UAE dan antarabangsa.

Wanita diculik kembali kepada keluarga asal


 



NEW YORK - Seorang wanita yang diculik semasa berumur 19 hari, bertemu keluarga kandungnya, semalam, selepas dua dekad dilarikan seorang wanita tidak dikenali di sebuah hospital di New York.

Carlina White, diculik seorang wanita tidak dikenali pada Ogos 1987, semasa ibunya, Joy White membawa anak perempuannya itu ke hospital Harlem di New York, selepas mendapati mangsa mengalami demam panas.

"Carlina terpaksa dimasukkan ke hospital dan saya pulang ke rumah untuk berehat. Keesokan hari saya kembali ke hospital, anak saya sudah tiada lagi di tempatnya," kata Joy.

Pegawai Pusat Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi berpangkalan di New York, Ernie Allen berkata, satu ujian DNA telah dilakukan di antara Carlina dan ibunya dan mendapati mereka memiliki genetik yang sama.

"Laporan polis telah dibuat dan wanita tidak dikenali yang membesarkan Carlina sudah ditangkap untuk siasatan selanjutnya," kata Allen.

Mayat lelaki terbakar dipercayai dibunuh



KULAIJAYA – Misteri seorang remaja lelaki hilang yang dilarikan lima penculik Sabtu lalu terjawab apabila mayatnya ditemui terbakar di kawasan ladang Felda Techno Plant Taib Andak, Seelong, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya mengesahkan Tan Kiang, 21, dipercayai dibunuh sebelum dibakar dan ditemui seorang pekerja ladang yang terus menghubungi talian kecemasan 999 selepas menemui objek seperti badan manusia. Menurutnya, mayat itu ditemui kira-kira jam 9.30 pagi dan kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

“Bapa mangsa, Teh Kha Poh, 45, dipanggil untuk pengecaman dan mengesahkan mayat itu adalah anaknya, Tan Kiang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Zulkefly berkata, hasil bedah siasat melaporkan mangsa ditikam tiga kali dengan objek tajam di dada dan kesan kelar serta kaki kanannya dikerat sebelum di bakar.

“Suspek dan motif pembunuhan masih disiasat,” katanya.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, pekerja Ladang Felda Techno Plant Taib Andak, di Seelong, gempar apabila seorang daripada mereka menjumpai mayat dalam keadaan rentung di dalam ladang tempat mereka bekerja, awal pagi semalam.

Pengurus ladang, Subari Aton berkata, dia menerima panggilan penyelia pekerja mengenai penemuan ‘objek’ di dalam kawasan ladang kira-kira jam 8.30 pagi, semalam.

“Ketika itu saya berada di Pejabat Felda dan dimaklumkan penyelia pekerja seorang pekerja warga Indonesia menemui satu objek dalam ladang itu," katanya.

Simbah mi segera sebelum larikan diri



 









KUALA LUMPUR – Tindakan nekad seorang lelaki yang cuba melarikan diri dengan menyimbah mi segera ke arah polis bukan saja gagal tetapi membawa kepada penemuan tiga pucuk pistol yang disorok dalam beg sandangnya, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, dua anggota polis bermotosikal daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sedang meronda di hadapan kedai serbaneka di Pusat Perniagaan Cheras, di sini, ketika melihat suspek dalam keadaan mencurigakan kerana keluar masuk kedai terbabit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, ketika polis membuat pemeriksaan identitinya, suspek tiba-tiba cuba melarikan diri dengan menyimbah cawan mi segera tetapi gagal.

“Polis kemudian periksa beg yang sandangnya dan menemui tiga pucuk pistol berlainan jenis antaranya Arno, Revolver dan Fratelli 10 Foglio,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan kes rompakan pada 2004 dan pernah dikenakan Ordinan Darurat.

Katanya, sehubungan itu polis kini menyiasat sama ada senjata terbabit pernah digunakan untuk kegiatan jenayah, selain turut menyiasat kemungkinan ia disewakan kepada individu tertentu.

Menurutnya, suspek direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan dan mungkin melanjutkan tempoh reman itu sekiranya perlu. 

RM399 lesap dalam seminit


KOTA BHARU – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini, mendakwa diperdaya ejen insurans menyebabkan sejumlah RM399 wangnya lesap dalam tempoh seminit.

Penuntut itu yang hanya mahu dikenali, Nurul, 21, berkata, dia bersama rakannya keluar bersiar-siar di sebuah pasar raya sekitar bandar Kota Bharu pada jam 11 pagi, Sabtu lalu, sebelum didatangi kumpulan ejen insurans berkenaan.

“Mereka berlima dan seorang daripadanya perempuan datang menawarkan pelbagai bentuk insurans kepada saya tetap saya menolaknya, bagaimanapun dia belum berpuas hati dan terus memujuk.

“Ejen berkenaan kemudiannya menawarkan hadiah cabutan bertuah kepada saya dan meminta kad pengenalan serta kad mesin transaksi automatik (ATM) untuk memeriksa sama ada saya layak atau tidak menyertai cabutan bertuah itu,” katanya.

Menurutnya, akibat teruja mendengar bakal mendapat hadiah berkenaan, beliau bagaimanapun menghulurkan dua kad terbabit sebelum diarahkan memasukkan nombor pin pada mesin pembayaran kad kredit.

“Tiga kali dia arah saya supaya masukkan nombor dan kemudian diberikan resit berwarna biru yang saya anggap ia adalah resit cabutan bertuah terbabit,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, sejurus selepas itu beliau dipanggil seorang peniaga kedai pakaian berdekatan lokasi ejen terbabit berlegar dan bertanya sekiranya ada memberi kad ATM kepada ejen tadi.

“Saya mengakuinya lalu dinasihati memeriksa duit dalam akaun bank dan apabila diperiksa, saya dapati RM399 dalam akaun saya lesap.

“Saya pergi ke semula kepada ejen terbabit untuk dapatkan wang tersebut tetapi digertak seorang lelaki rakan kepada ejen yang memperdaya saya tadi,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Saadah Mohamad, 42 berkata, beliau kesal terhadap tindakan ejen yang menjejaskan duit simpanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajaran anaknya itu.

“Mereka berniaga dengan cara tidak betul dan saya menasihatkan penuntut lain serta orang ramai supaya berhati-hati apabila berdepan dengan peniaga seperti itu.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang serta melaporkan kegiatan mereka kepada pihak polis selepas rundingan secara baik antara saya dengan syarikat berkenaan gagal,” katanya.

220 cakera padat dirampas




PASIR MAS – Modus operandi menjual cakera padat (VCD) cetak rompak dengan menempatkan beberapa gerai tanpa penjual dikesan semakin berleluasa meskipun banyak rampasan dilakukan pihak berkuasa.

Terbaru, rampasan sebanyak 220 keping VCD bernilai sebanyak RM1,100 dilakukan berdasarkan risikan sepasukan anggota daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Kepenggunaan (KPDNKK) di Pasar Pagi Mundok pada jam 9.15 pagi, semalam.

Pegawainya, Hanafi Mamat berkata, pihaknya mendapati terdapat dua premis menjalankan urus niaga secara terbuka di kawasan pasar itu.

“Namun, dua peniaga wanita dalam lingkungan umur 30-an berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Hanafi berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Perintah Perihal Dagangan Label Cakera Optic 2010.

Menurutnya, jika disabit kesalahan, penjenayah didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuka kertas siasatan di bawah seksyen 41(1)(b) Akta Hak Cipta 1987 dengan denda RM2,000 sekeping atau penjara selama 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya menasihati semua penduduk agar tidak teragak-agak untuk melaporkan sebarang keraguan dalam penjualan VCD di pasaran.

“Penduduk juga dinasihati agar tidak terlibat dengan sebarang penyebaran mahupun penjualan VCD secara haram,” katanya.

Maut akibat kena belasah




RANTAU PANJANG - Seorang lelaki maut dipercayai dipukul orang awam selepas dituduh mencuri getah beku dalam kejadian di Kampung Bakat Hilir di sini, kira-kira 12 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, menerima laporan dari orang awam mengenai seorang lelaki cedera parah dan anggotanya bergegas ke tempat kejadian.

Mangsa, Mohd Saupi Mohamad, 38, ditemui orang awam dalam keadaan separuh sedar di sebuah kawasan tanah lapang dipercayai dalam percubaan melarikan diri dari Kampung Gual Meso, kira-kira 12 kilometer dari tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kampung Gual Tok Deh ini kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

“Ketika anggota sampai di tempat kejadian, mangsa dalam keadaan separuh sedar dan pada jam 2.45 mangsa disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit forensik hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat dan mendapati terdapat tiga kesan pukul belakang kepala,” katanya.

Haliludin berkata, setakat ini enam orang yang berusia 20 hingga 40–an di tahan bagi membantu siasatan .

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan atau menggunakan undang-undang sendiri, sekiranya berdepan kes jenayah kerana akhirnya akan menimbulkan masalah kepada mereka juga.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohamed Che Ngah, 64, berkata, dia menerima panggilan daripada rakannya memberitahu kejadian itu kira-kira 1.30 petang.

Menurutnya, dia diberitahu, anaknya dipukul dan dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan tidak lama kemudian diberitahu mengenai anaknya sudah meninggal dunia.

“Saya terkejut mendengar kejadian yang terjadi kerana kali terakhir saya berjumpa dengannya pada hari raya haji yang lalu kerana dia pulang ke kampung," katanya.

Gerak gempur cetak rompak



SEREMBAN – Tindakan sebuah pusat siber menggunakan perisian cetak rompak akhirnya membawa padah apabila premis mereka diserbu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan, di sini semalam.

Premis terletak di Jalan Tun Dr. Ismail itu diserbu sepasukan anggota penguat kuasa dalam operasi gerak gempur bermula 11.30 pagi.

Sebanyak 10 unit komputer termasuk perisian komputer bernilai kira-kira RM40,000 dirampas dalam operasi yang disertai tujuh pegawai penguat kuasa, termasuk wakil syarikat Microsoft Corporation.

Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Mohd Nor Musa berkata serbuan dilakukan berdasarkan pengesahan wakil pengadu berhubung pengisian salinan langganan perisian komputer.

“Hasil pemeriksaan mendapati 10 unit komputer mengandungi perisian komputer Microsoft Windows XP yang disyaki salinan langganan perisian komputer tanpa kebenaran daripada tuan punya perisian komputer, Microsoft Corporation,” katanya kepada pemberita selepas serbuan tersebut.

Mohd Nor berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987.

“Sebelum kes ini dibawa ke mahkamah, kita akan membuat siasatan terperinci termasuk mendapatkan pengesahan daripada syarikat terbabit.

“Manakala pemilik pusat perniagaan ini akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.

Rambut kena gunting



IPOH – Hasrat seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berbangsa Sikh berkenalan dengan rakan baru berkecai selepas dua minggu menetap di sebuah kem latihan di Pulau Pinang.

Rambut Basant Singh, 18, yang sepanjang hampir satu meter digunting kira-kira 60 sentimeter pihak yang tidak bertanggungjawab ketika beliau sedang tidur bersama 10 pelatih lain di bilik kem berkenaan.

Menurutnya, rambut yang menjadi lambang kesucian agama Sikh seolah-olah dicabul pihak yang kurang memahami sensitiviti agama itu.

“Saya hanya sedar rambut saya dipotong ketika bangun kira-kira jam 6.30 pagi pada 16 Januari lalu.

“Rakan-rakan lain turut bersedih dan bersimpati.Saya turut menangis mengenangkan nasib diri.

“Saya segera menghubungi ibu bapa dan mereka nasihatkan saya tidak melakukan sebarang tindakan atas perkara itu,” katanya.

Beliau ditemui bersama kedua ibu bapanya, Surinderpal Singh, 46, dan Swaran Kaur, 46, di rumah mereka di Wadda Gurdwara Sahib di sini, semalam.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Micheal itu berkata, bapanya tiba di kem berkenaan jam 1.30 petang hari yang sama dan bertemu dengan komandan kem jam 3.30 petang untuk jelaskan perkara itu.

“Komandan itu memberi kebenaran pulang ke Ipoh selama seminggu namun perlu melapor diri semula pada 23 Januari ini.

“Tapi, saya mungkin tidak akan menjejaki kem itu semula kerana fobia dan trauma,” katanya.

Mereka yang pulang ke Ipoh membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu pada jam 7 petang pada hari yang sama.

Bapanya, Surinderpal meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tahap keselamatan di kem itu.

“Bagaimana peralatan berbahaya seperti gunting boleh terlepas ke dalam kawasan kem yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk pelatih.

“Mungkin sekarang pihak terbabit hanya menggunting rambut dan tidak mustahil leher anak saya pula dikelar pada masa akan datang,” katanya yang kecewa kejadian itu.

Beliau yang juga ‘granthi’ (paderi dalam agama Sikh) berkata, penganut agama Sikh perlu menyimpan rambut dan janggut sehingga meninggal dunia.

“Anak sulung saya itu amat taat pada agama namun beliau masih berkawan dengan semua kaum tanpa mengira bangsa.

“Kami sekeluarga juga sangat menghormati semua bangsa dan etnik penduduk di sini. Inilah keunikan negara ini.

“Namun kami terkilan dan kecewa kejadian seperti ini berlaku dan memohon supaya Jabatan Latihan Khidmat Negara, polis dan Kementerian Pertahanan menyiasat sehingga ke akar umbi,” katanya yang mempunyai dua anak lagi berusia 10 dan 16 tahun.

Surinderpal tidak mahu dua anaknya mengalami pengalaman serupa jika dihantar ke PLKN kelak.

Kem berkenaan yang sudah menjalankan program itu sejak tujuh tahun lalu hanya menempatkan pelajar dari Pulau Pinang dan Kedah namun bagi tahun ini pelajar dari Ipoh.

Difahamkan, Basant mempraktikkan kepercayaan agama yang dipanggil ‘kesadhari’ iaitu tidak menggunting rambut sejak lahir dan dibalut dengan turban.

3 jam tersepit



SUNGAI NIBONG – Mayat seorang pemandu treler hanya berjaya dikeluarkan selepas tiga jam tersepit dalam kemalangan melibatkan tiga treler di Kilometer 59 Jalan Teluk Intan - Klang, dekat sini awal pagi, semalam.

Mangsa, Saiful Chat, 31, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada.

Dalam kejadian tersebut, mangsa maut tersepit pada bahagian pemandu selepas treler muatan besi dipandunya merempuh sebuah treler muatan baja yang berhenti di tepi laluan tersebut.

Rempuhan kuat itu turut menyebabkan sebuah lagi treler terseret lebih 1.5 meter daripada kedudukan asal.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, mangsa yang membawa muatan besi dalam perjalanan dari Perai ke Rawang tersepit apabila treler yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah treler muatan baja yang berhenti di tepi jalan.

"Perlanggaran itu menyebabkan dua treler yang berhenti untuk proses menukar tayar terseret lebih kurang 1.5 meter daripada kedudukan asalnya", katanya.

Difahamkan, treler muatan baja berhenti di belakang treler muatan beras untuk membantu menukar tayar yang pecah.

Noor Mushar berkata, selepas hampir tiga jam, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah untuk bedah siasat.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Sentul, Serdang, Kedah, meninggalkan dua anak dan seorang isteri. Jenazahnya sudah dituntut keluarga untuk dikebumikan di kampung halaman,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa terselamat, pemandu treler muatan beras, Mohd Isa Osman, 46, berkata, sebelum kejadian, dua tayar treler yang dipandunya dari Kedah Ke Banting tiba-tiba meletup kira-kira jam 2.20 pagi dan bertindak memberhentikan trelernya itu.

Katanya, hanya ada satu tayar ganti membuatkan dia menghubungi rakannya, Hanizan Hassan, 40, yang membawa muatan baja dari Kedah ke Sungai Besar untuk mendapatkan satu lagi tayar.

“Hanizan tiba 20 minit kemudian dan ketika kami membuka tayar ganti di bahagian bawah treler Hanizan yang diletakkan di belakang treler saya, tiba-tiba berlaku hentaman dan dentuman kuat sehinggakan kami berdua terpelanting ke tengah jalan. Manakala, seorang lagi rakan dekat treler hadapan tiada apa-apa.

“Ketika itu, fikiran saya benar-benar kosong dan terkejut dengan apa yang berlaku. Namun, kami bersyukur kerana cuma mendapat cedera ringan dan terselamat. Bagaimanapun pemandu yang melanggar treler Hanizan, maut serta merta di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Hanizan berkata, dia mendapat panggilan daripada Mohd Isa ketika berada di Sabak yang meminta pertolongan mendapatkan tayar ganti.

“Saya datang membantu Mohd Isa memandangkan kejadian lebih kurang 10 kilometer sahaja dari destinasi. Sesampainya di sana, saya meletakkan segi tiga keselamatan dan memasang lampu kecemasan sebaik memberhentikan kenderaan.

“Namun tidak menyangka malang seperti ini berlaku. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana terselamat biarpun terpelanting ke tengah jalan apabila perlanggaran itu berlaku memandangkan ketika itu saya dan Mohd Isa berada di bawah lori yang dilanggar,” katanya.

Tenggelam sebaik terjun



HULU TERENGGANU - Kegembiraan 11 rakan sekerja yang juga kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkelah di Air Terjun Belukar Bukit, di sini semalam, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas sewaktu sedang mandi-manda di destinasi pelancongan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, mangsa, Mohd Alif Mahade, 23, seorang juru x-ray di HSNZ dikatakan terus tenggelam sebaik sahaja terjun dari atas batu kerana tidak pandai berenang, ditemui seorang penduduk tempatan, Mohd Nazri Mat Sharif, 30.

Malah, rakannya, Mohd Helmi Hassan, 24, yang juga juru x-ray di HSNZ berasal dari Tanah Merah, Kelantan juga hampir lemas ketika cuba menolong mangsa, tetapi berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT).

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, mangsa dan rakan-rakannya dikatakan tiba ke tempat perkelahan itu bagi menghabiskan cuti hujung minggu mereka kira-kira jam 9.30 pagi semalam sebelum mandi-manda di situ.

“Sewaktu sedang asyik mandi-manda itu, mangsa yang berasal dari Pulau Kerengga, Marang dikatakan terjun dari atas batu lalu tenggelam kerana tidak pandai berenang.

Melihat insiden itu, rakannya (Mohd Helmi) cuba menolong tetapi gagal kerana mangsa berpaut kepadanya terlalu kuat.

“Malah, rakannya juga hampir lemas akibat pautan yang terlalu kuat tetapi berjaya dibantu orang awam lalu dihantar ke HHT sebelum dirujuk ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan. Kini, dia dilaporkan stabil.

“Mangsa yang ditemui orang awam dihantar ke HHT untuk siasatan lanjut dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat mati lemas. Kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

ATM tahan tujuh lanun Somalia




Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
2011/01/22

PASUKAN  Khas Laut ATM memberkas lanun Somalia    di atas  MT Bunga Laurel, kelmarin.
PASUKAN Khas Laut ATM memberkas lanun Somalia di atas MT Bunga Laurel, kelmarin.
Kapal Malaysia hanya jadi tawanan hampir dua jam

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas Pasukan Khas Laut(PASKAL) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya membebaskan sebuah kapal tangki Malaysia bersama 23 anak kapal, tidak sampai dua jam selepas ia dirampas lanun Somalia di Teluk Aden, kira-kira 300 batu nautika ke timur Oman, kelmarin.Dalam kejadian jam 11.40 malam (waktu tempatan) itu, MT Bunga Laurel disewa Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Bhd (MISC) dikatakan dalam perjalanan menghantar muatan minyak pelincir dan bahan kimia dari Asia Barat ke Singapura, tetapi diserang tujuh lelaki bersenjatakan mesingan AK-47 dan pistol menaiki sebuah bot laju.Difahamkan, tujuh suspek itu sebahagian daripada 18 lanun yang merancang serangan itu dari sebuah kapal induk berlabuh tidak jauh dari tempat kejadian.
Jurucakap Markas ATM memaklumkan, kejadian disedari anak kapal MT Bunga Laurel yang kemudian mengaktifkan Sistem Amaran Keselamatan Kapal (SSAS) sebelum berlindung dalam bilik keselamatan berhampiran bilik jentera kapal berkenaan.

“Kejadian berlaku dua jam selepas MT Bunga Laurel berpisah daripada konvoi keselamatan kapal auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Bunga Mas 5 yang terbabit dalam Ops Fajar bagi memberi perlindungan keselamatan kepada kapal dagang negara di perairan berisiko itu.

“Bertindak atas panggilan kecemasan itu, Pasukan Khas Laut ATM diatur gerak untuk misi menyelamat menggunakan MV Bunga Mas 5 yang berada kira-kira 14 batu nautika dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di ibu negara, semalam.
Katanya, helikopter tempur, Fennec milik TLDM yang dilancarkan dari MV Bunga Mas 5 turut digunakan dalam misi berisiko tinggi itu, khusus bagi tujuan pemantauan dan serangan udara.

“Tembakan padu dari helikopter berjaya menghalang kumpulan lanun di atas kapal induk memberi bantuan kepada rakan mereka di atas kapal tangki kita yang dirampas. Ini memudahkan Pasukan Khas Laut ATM digerakkan ke atas MV Bunga Laurel. Selepas berbalas tembak, kapal tangki kita berjaya ditawan semula kira-kira jam 1.20 pagi,” katanya.

Difahamkan, tiga lanun yang berada di atas kapal tangki berkenaan cedera parah dalam kejadian itu dan diberi rawatan oleh pasukan terbabit sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

“MT Bunga Laurel berjaya ditawan semula dengan semua anak kapalnya diselamatkan dalam tempoh tidak sampai dua jam selepas dirampas lanun. Ini jelas membuktikan keupayaan Pasukan Khas Laut ATM dalam melaksanakan pelbagai misi sukar, khususnya di Teluk Aden.

“Kejadian terbaru ini juga jelas menunjukkan ancaman lanun di Teluk Aden semakin serius dengan 32 kapal masih ditawan kumpulan lanun sehingga kini, yang kebanyakannya dalam proses rundingan untuk dibebaskan,” katanya.

Pasangan didakwa bunuh, dera anak



Oleh Azida Shaharuddin
azida@bharian.com.my 
2011/01/22

 NORAFIZAN  dan Dewi Nadia dibawa keluar daripada Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.
NORAFIZAN dan Dewi Nadia dibawa keluar daripada Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU: Sepasang sua­­mi isteri dihadapkan ke Mahkamah Ma­­jistret Johor Bahru di sini, semalam atas dua pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak berusia tiga tahun serta mendera dua lagi mangsa yang juga adik beradik antara Oktober 2010 hingga 9 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, Norafizan Ludin, 29, dan isteri keduanya, Dewi Nadia Alias, 24, didakwa membunuh Nur Dania Qistina, 3, iaitu anak kedua hasil perkahwinan pertama Norafizan, di rumah beralamat 1284-6, Jalan Tengku Mariam, Batu 17.5, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram.
Norafizan yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang dan isteri, didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat, antara kira-kira jam 9 pagi pada 8 Januari, hingga kira-kira jam 9 pagi, 9 Januari lalu.

Kes dera cemar imej tentera: Susilo


JAKARTA: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam berkata, tentera Indonesia mesti mematuhi peraturan dan disiplin pasukan itu dalam menjalankan tugasnya.
“Saya mengarahkan Panglima Tentera Indonesia mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana anggotanya yang melanggar peraturan atau disiplin ditetapkan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan tentera, semalam.

Menurut Susilo, dia bimbang terhadap kes salah laku anggota tentera, termasuk membabitkan penderaan terhadap orang awam seperti di Papua.

“Walaupun kes seperti itu kelihatan masih lagi terkawal, pendedahan mengenainya mencemar imej Indonesia di peringkat antarabangsa.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat memberi perhatian terhadap insiden sebegitu,” katanya.

Apa yang paling penting, kata Susilo, setiap kes salah laku itu itu diselesaikan secara telus dan bertanggungjawab.

“Bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang, setiap anggota tentera mesti dilatih sebelum dihantar ke mana-mana kawasan konflik,” katanya. - AP

Tetak kepala geram dapat emas tiruan


SUBANG: Seorang wanita cedera di belakang kepala selepas ditetak wanita lain yang datang bersama tiga rakan untuk menyamun rumah mangsa di Taman Pinggiran Subang USJ di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa, N Ananthi, 44, yang sedang berehat di rumahnya tiba-tiba didatangi empat orang termasuk dua wanita menaiki sebuah Perodua Kancil.

Katanya, seorang daripada wanita itu turun dari kereta sebelum memanggil mangsa dengan berpura-pura bertanyakan anak mangsa yang ketika itu tiada di rumah sebelum meminta segelas air.

“Saya masuk mengambil air yang diminta sebelum keempat-empat mereka menyerbu masuk dan mengikat tangan serta kaki saya.

“Bukan itu saja, mereka mengugut saya menggunakan parang agar menyerahkan barang kemas,” katanya.

Ananthi berkata, selepas menggeledah rumahnya, mereka menemui beberapa barangan kemas miliknya tetapi ia adalah emas tiruan.

“Menyedari barang kemas itu tiruan, seorang daripada wanita terbabit bertindak menetak belakang kepala saya menyebabkan saya menjerit kesakitan,” katanya.

Katanya, jeritannya didengari jiran sebelum dia datang untuk memeriksa apa yang berlaku. Kehadiran jirannya itu disedari suspek yang kemudian bertindak mengejar jirannya itu sehingga memaksa dia melarikan diri dan bersembunyi di dalam rumah.

Menurutnya, mereka mengambil masa hampir 20 minit menyelongkar rumahnya sebelum melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata. Katanya, anaknya yang pulang selepas itu terkejut dengan apa yang berlaku sebelum membawanya ke klinik berhampiran dan menerima sembilan jahitan.

Sementara itu, Ketua Polis Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

Peserta Big Brother maut operasi besarkan buah dada

BERLIN: Seorang daripada peserta program televisyen realiti Big Brother mati akibat kegagalan pembedahan membesarkan buah dada, lapor media semalam.
Aktres filem lucah, Sexy Cora, disahkan mati akibat kegagalan otak dan berada dalam koma selama sembilan hari di sebuah klinik di Hamburg, Jerman.

Keluarga Sexy - atau nama sebenarnya, Carolin Berger - dihubungi pihak hospital pada minggu lalu.

Sumber berkata, otak wanita itu tidak mendapat bekalan oksigen selama 15 minit sebelum keadaannya menjadi kritikal.

Dia mencipta nama dalam program berkenaan apabila mandi berbogel di depan kamera. - TS

3 orang awam maut, 2 polis cedera angkara militan


YALA: Tiga orang awam, termasuk sepasang suami isteri, ditembak mati di pasar malam di Narathiwat, kata polis semalam.
Jurucakap polis berkata, sekumpulan lelaki bersenjata dilihat menembak pasangan berusia 33 dan 23 tahun itu kelmarin.

Dalam kejadian lain - juga kelmarin - seorang pemuda berusia 23 tahun ditembak penunggang motosikal di Yala.

Katanya, dua anggota polis yang baru saja menamatkan tugas mengawal guru tempatan pula cedera dalam satu letupan di tepi jalan di Pattani.

Keganasan itu berlaku sehari selepas pemisah selatan Thailand didakwa menyerang hendap kem di Narathiwat dan sekurang-kurangnya empat tentera maut.

Selasa lalu, kerajaan melanjutkan perintah darurat di sebahagian besar selatan Thailand untuk tiga bulan lagi ketika pelbagai pihak mempertikaikannya. - AFP

Wartawan bunuh diri kerana tekanan jiwa


JEDDAH: Seorang wartawan Arab Saudi yang membunuh diri Isnin lalu dikatakan mengalami tekanan jiwa, lapor sumber yang dipercayai, semalam.
Menurut jurucakap polis Jeddah, Kolonel Misfar Al-Juaid, laporan bedah siasat terhadap wartawan berusia 62 tahun itu mengesahkan punca kematiannya disebabkan oleh bunuh diri.

“Polis menemui mangsa menggantung diri dengan tali dalam bilik air di apartmennya di utara daerah Al-Safa,” ujar Misfar.

Menurut satu sumber lain, wartawan itu ada meninggalkan nota sebelum kematiannya.

Sumber itu menambah, mangsa turut bercakap dengan adiknya sebelum menamatkan riwayat hidupnya. Laporan juga menunjukkan dia ada menerima rawatan di sebuah hospital jiwa di Jeddah dan pernah cuba untuk membunuh diri dua tahun lalu tetapi gagal.

Mangsa adalah Editor Ekonomi bagi akhbar harian berbahasa Arab dan Inggeris di Arab Saudi.

Beberapa rakan juga menyatakan mangsa dilanda kekecewaan ekoran gagal mengekalkan prestasi dalam pekerjaan.

Mangsa mendapat pendidikan di Amerika Syarikat dan kembali ke Arab Saudi pada 1995 bersama anak perempuan tunggal hasil perkahwinan dengan isteri berbangsa Amerika.

Menurut pakar psikologi di Jeddah, Yousuf Ibrahim, kecenderungan untuk membunuh diri semakin meningkat di negara itu khususnya sejak tiga bulan lalu. - AN

Perompak tembak lutut


RAWANG: Seorang peniaga bukan saja kerugian harta benda dan wang tunai tetapi turut menerima padah apabila ditembak di lutut kiri oleh seorang daripada empat lelaki yang tiba-tiba masuk ke dalam rumahnya di Jalan 2/9, Taman Garing Utama, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa, P Murugaiyah, 65, yang baru membuka kedai runcit di dalam rumahnya itu terkejut apabila tiba-tiba empat lelaki menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna perak meluru masuk dan seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arahnya. Menurut sumber, lelaki terbabit kemudian terus menembak lutut kiri mangsa bagi menakutkannya.

Sumber berkata, mereka kemudian menggeledah rumah mangsa bagi mencari barangan berharga dan wang tunai. Setakat ini, jumlah kerugian belum dapat dipastikan kerana masih dalam siasatan.

Katanya, ketika hendak melarikan diri, lelaki terbabit turut sempat merentap tali perkahwinan dipakai isteri mangsa menyebabkan wanita itu berang dan membaling batu ke arah kereta suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ketika kejadian, dua daripada lelaki terbabit memakai topeng dan bersenjatakan pistol.

Menurutnya, suspek berjaya membawa lari dua utas rantai emas, satu gelang tangan, sepasang anting-anting, telefon bimbit dan wang tunai.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian membuat laporan polis dan satu kereta peronda dari Balai Polis Rawang bergegas ke tempat kejadian.

“Saksi mengingati nombor pendaftaran kenderaan itu, namun apabila disemak didapati palsu,” katanya.

Abd Rahim berkata, kesan cap jari turut dikesan di tempat kejadian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 Penalti Penggunaan Senjata Api (FIPA). Orang ramai yang ada melihat kereta atau suspek diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Angkara 3 setan


MARAN: “Mereka begitu kejam dan seperti setan apabila tergamak menoreh muka anak saya hingga berlumuran darah,” kata wanita warga emas, Habesah Maamor, 61, ketika menceritakan detik cemas selepas rumahnya di Kampung Bukit Lada, dekat sini, diceroboh tiga penyamun, kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, tiga penyamun bersenjatakan parang melarikan wang tunai RM600 dan barangan kemas dianggarkan bernilai RM3,000 dari rumah mangsa.

Habesah berkata, sebelum kejadian, dia dan anaknya Roshadi Rosli, 39, sedang tidur dalam bilik masing-masing sebelum dia terjaga apabila terdengar bunyi seperti pergaduhan diikuti jeritan anaknya.

Menurutnya, dia mulanya menyangkakan Roshadi mengigau lalu memanggil nama anaknya itu, namun panggilan itu dijawab dengan nada kurang difahami kecuali jeritan sekuat hati anaknya yang meminta dia melarikan diri.

Katanya, dia tidak mengendahkan permintaan itu kerana masih kabur dengan kejadian yang berlaku, apatah lagi suasana kembali sunyi sebelum dia baring semula.

“Tidak sampai setengah jam melelapkan mata, tiba-tiba pintu bilik diketuk kuat diikuti diterajang hingga tercabut sebelum saya melihat tiga penyamun dengan dua daripada mereka bertopeng tercegat di depan pintu.

“Mereka terus menghunus parang di leher dan mengugut membunuh anak jika saya bersuara. Tangan saya diikat dengan kain sebelum mereka menyelongkar bilik dan ruang tamu,” katanya.

Menurutnya, dia yang berjaya membuka ikatan tangan kemudian bergegas meminta bantuan penduduk kampung sebaik tiga penyamun terbabit melarikan diri bersama barang kemas dan wang tunai.

Katanya, selepas meminta bantuan, dia pulang semula ke rumah untuk melihat keadaan anaknya sebelum menemuinya dalam keadaan separuh sedar dan berlumuran darah di muka.

Katanya, dia mendapati anaknya tidak mampu bercakap kecuali mengerang menahan kesakitan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

“Saya begitu sebak selepas melihat anak dalam keadaan separuh sedar dan berharap dia cepat sembuh. Saya juga membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera tampil bagi membantu siasatan.

Bayi ditemui dalam beg


TANJUNG MALIM: “Saya tidak dapat bayangkan nasib bayi lelaki ini jika dia lewat ditemui kerana banyak anjing liar berkeliaran di sini,” kata R Retinadevi, 25, yang menemui bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan di hadapan sebuah klinik swasta di Nombor 11, Jalan Chong Ah Peng, malam kelmarin.
Retinadevi yang juga pekerja klinik itu berkata, dia bersama seorang rakan sekerjanya menemui bayi itu dalam sebuah beg pakaian bayi kira-kira jam 9 malam.

“Saya sedang mengemas kini data pesakit apabila dimaklumkan anak pesakit, dia mengesyaki ada bayi ditinggalkan dalam beg di kaki lima depan klinik.

“Saya bersama rakan kemudian keluar dan melihat beg itu. Sebaik membuka beg itu, saya dan rakan sebak melihat seorang bayi lelaki dibungkus sehelai kain sedang nyenyak tidur.

“Saya percaya ia baru dilahirkan beberapa jam sebelum itu kerana tali pusatnya masih ada di perutnya. Saya gembira kerana bayi itu ditemui selamat kerana banyak anjing liar berkeliaran sekitar kawasan ini,” katanya.

“Saya bersetuju dengan iklan ditayangkan di sebuah stesen tempatan mengenai kes pembuangan bayi yang mengatakan dalam dunia haiwan tiada manusia tapi dalam dunia manusia terdapat haiwan.

“Kejadian malam tadi (kelmarin) membuktikannya, malah saya menangis ketika mendukung bayi itu kerana ia begitu comel dan langsung tidak berdosa. “Dia tidur dengan nyenyak dan hanya menangis setengah jam kemudian kerana lapar,” katanya sambil menambah, selepas doktor di klinik melakukan pemeriksaan, bayi itu kemudian dihantar ke Balai Polis Tanjung Malim.

Sementara itu, Ketua Polis Tanjung Malim, Superintendan Mohd Ali Mat Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan bayi lelaki terbabit.

Norhanani dibenar keluar hospital


KUALA LUMPUR: Mangsa tragedi dihempap batu ketika mendaki Bukit Broga, Norhanani Shaimi, 23, dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar dari Hospital Pakar Kajang, semalam.
Bapanya, Shahimi Abdan, 50, ketika dihubungi berkata, tiada kecederaan serius menimpa anaknya, namun insiden itu memberi sedikit kesan kerana sebelum ini Norhanani pernah terjatuh di bilik air pada 2008 menyebabkan tulang belakangnya retak.

Menurutnya, ketika ini, anaknya berehat di rumah dan diberi cuti sakit sehingga minggu depan.

“Anak saya boleh berjalan sedikit tetapi tidak boleh berdiri lama akibat kecederaan dialaminya.

“Norhanani perlu semula ke hospital pada 28 Januari ini bagi mengetahui perkembangan lanjut mengenai kecederaannya itu,” katanya.

Shahimi berkata, buat masa ini anaknya tidak ke kuliah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan berehat di rumah sehingga sembuh.

Semalam Harian Metro melaporkan keseronokan seorang pelajar perempuan UiTM menawan puncak Bukit Broga berakhir tragedi apabila dia ditemui terbaring selepas dihempap batu besar. Difahamkan, mangsa mendaki bukit itu bersama 15 rakan lain kira-kira jam 5 pagi sebelum ditimpa kemalangan itu ketika mahu turun dari bukit berkenaan.

Rakan penumpang maut


KUANTAN: Kerancakan dua sahabat berbual sambil menaiki motosikal tidak bertahan lama apabila seorang daripada mereka maut selepas kenderaan ditunggangi mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 15, Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Kampung Semangat, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga pembonceng dikenali sebagai Muhamed Nazri Mat Yusof, 53, dari Kampung Pulau Jawa, Pekan, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat cedera parah di kepala.

Rakannya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah, Rosdan Bidin, 46, hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Menceritakan detik kemalangan itu, Rosdan berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Pekan selepas menziarahi rakan yang sakit di HTAA sebelum motosikalnya ditahan mangsa yang mahu menumpang di Jalan Gambang.

“Arwah juga mahu pulang ke rumahnya di Pekan dan disebabkan arah sama, saya tidak keberatan menumpangkan dia. Tambahan pula kami sudah lama berkenalan kira-kira empat tahun lalu ketika sama-sama bekerja di pasar.

“Dalam perjalanan, kami berbual-bual mengenai banyak perkara kerana sudah lama tidak berjumpa. Ketika bercerita saya banyak kali menoleh ke belakang untuk memandang mukanya dan sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal saya hilang kawalan sebelum terbabas ke tengah jalan,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat HTAA.

Menurutnya, sejurus motosikal itu melanggar pembahagi jalan itu, arwah terpelanting dan kepalanya terhentak atas jalan menyebabkannya mengalami cedera parah dan meninggal dunia.

“Saya mengalami luka di tangan, badan dan kaki akibat terjatuh sebelum orang awam yang melalui tempat kejadian membantu menarik saya ke tepi jalan selain menghubungi polis.

“Saya masih terkejut dengan kejadian itu kerana rakan baik tiba-tiba meninggal dunia di depan mata sedangkan kami baru bertemu dan berbual-bual,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya atau melulu hingga menyebabkan kematian. “Mayat mangsa yang bekerja sendiri dihantar ke HTAA untuk dibedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga manakala polis mengambil keterangan penunggang motosikal itu bagi membantu siasatan,” katanya.
hmetro