MILAN: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, dan remaja Maghribi yang dikaitkan dengannya tampil membuat penafian berasingan semalam untuk menegaskan mereka tidak pernah mengadakan hubungan seks.
Berlusconi, 74, memberi kenyataan itu melalui rakaman video - kali kedua dalam tempoh beberapa hari - bagi mempertahankan dirinya daripada disiasat pendakwa raya Milan atas tuduhan meniduri remaja digelar Ruby Rubacuori (Ruby si Pencuri Hati).
Kata Berlusconi, pendakwa menggunakan kaedah Mafia dan dia tidak akan memberi sebarang reaksi terhadap saman dikemukakan hujung minggu ini.
Katanya, dia tidak yakin terhadap siasatan yang dianggap di luar undang-undang serta bermotifkan politik.
“Tiada apa yang perlu saya malukan. Saya sedia dibicarakan serta-merta tapi hanya di depan hakim yang tidak berpihak atau dengan pendakwa yang tidak menggunakan kes ini untuk kepentingan politik,” katanya.
Berlusconi didakwa membayar sejumlah wang kepada Ruby - ketika itu masih di bawah umur - sebagai imbuhan melayan nafsunya dan menggunakan kedudukannya bagi mengelak ia diketahui pihak berkuasa.
Setakat ini pendakwa mengemukakan 389 halaman bahan bukti, termasuk rakaman sulit, kepada Parlimen bagi mendapat kebenaran khas menggeledah sebahagian harta Berlusconi.
Media melaporkan, proses mengkaji dokumen itu memakan masa sekurang-kurangnya seminggu.
Beberapa jam sebelum penafian Berlusconi, Ruby turut tampil dalam program bual bicara disiarkan rangkaian Mediaset milik ahli politik itu.
Kelihatan tenang sepanjang temu bual selama 20 minit itu, Ruby berkata, dia tidak pernah menjadi pelacur.
“Malah Berlusconi tak menyentuh saya,” katanya.
 |
PERTAHAN BERLUSCONI...Ruby diberi peluang muncul dalam program televisyen milik Perdana Menteri Itali itu, semalam.
|
Meminta dipanggil dengan nama sebenarnya dalam program itu, Ruby berkata, dia bertemu Perdana Menteri Itali itu pada Hari Valentine tahun lalu. Katanya, dia ke villa mewah Berlusconi atas jemputan seorang rakan.
“Ketika itu saya bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di Milan,” katanya.
Walaupun baru berusia 17 tahun ketika itu, Ruby memperkenalkan diri dengan gelaran berkenaan dan mendakwa berusia 24 tahun.
Ruby turut menipu kononnya dia berasal dari Mesir.
 |
BERLUSCONI...meragui niat sebenar pendakw
|
“Saya kagum dia sedia mendengar kata-kata saya dan semua yang diberitahu kepadanya adalah benar, kecuali mengenai nama, usia dan negara asal saya,” katanya.
Pada akhir makan malam itu, kata Ruby, dia dijemput masuk ke pejabat Berlusconi dan diberi sampul berisi wang RM28,700.
“Saya berjumpa dengannya dan diberi wang ketika dia tidak pernah menyentuh saya,” katanya. - AP