Search This Blog

Thursday, January 20, 2011

Empat tentera maut, enam cedera di selatan Thailand





2011/01/20

BANGKOK: Empat anggota tentera terbunuh manakala enam yang lain cedera apabila sekumpulan militan bersenjata menyerang dan melarikan sejumlah senjata api di Kem Pasukan Petugas Tentera di daerah Rangae di Narathiwat, malam tadi. 

Ketua Angkatan Tentera Wilayah Keempat, Leftenan Jeneral Udomchai Thammasarorath, berkata mereka yang terbunuh dikenali sebagai Kapten Krit Kampheerayan, Sarjan Tewalak Tema, Koperal Abdulloh Kayee dan Prebet Pravit Chuklin.
Katanya, kesemua enam yang cedera dirawat di Hospital Ratchanakarin Narathiwat dengan tiga daripadanya parah.

Beliau berkata, serangan militan di kem tentera itu berlaku pada kira-kira 
jam 8 malam ketika pasukan itu sedang menikmati makan malam. 

"Kami masih memeriksa jumlah sebenar senjata api yang hilang dalam kejadian 
itu," katanya. 
Beliau berkata, gerakan ketenteraan dijalankan untuk memburu suspek serta 
mendapatkan semula senjata api yang dilarikan itu. 

Sementara itu, media tempatan melaporkan penempatan semula pasukan itu perlu 
dibuat melalui udara kerana kumpulan militan menyekat jalan ke kem 
berkenaan dengan menumbangkan pokok dan menabur paku semasa serangan berlaku. 

Kira-kira 4,000 orang terbunuh sejak kumpulan yang disyaki pemisah 
menjalankan semula gerakan bersenjata bagi menuntut kemerdekaan untuk tiga 
wilayah iaitu Narathiwat, Patani dan Yala -- tujuh tahun lalu. 

Kem Pasukan Petugas Tentera itu terletak kira-kira satu kilometer dari 
batalion tentera yang diserang pada 4 Januari 2004 oleh kira-kira 30 pengganas yang menyebabkan empat anggota tentera terbunuh dan melarikan kira-kira 400 senjata api termasuk M-16, dan pistol. 

Menurut pangkalan data polis, berikutan berlakunya pemberontakan semula di 
selatan pada 2005, kini terdapat 2,000 militan, 5,000 penyokong tempatan, 300 
pemimpin strategik dan 300 pemimpin psikologi. 

Pada Selasa, kerajaan melanjutkan perintah darurat di tiga wilayah itu untuk 
tempoh tiga bulan lagi. - BERNAMA 

Dua cedera dek pistol dalam beg sekolah pelajar tertembak




LOS ANGELES: Sepucuk pistol dalam beg sandang seorang pelajar tertembak tiba-tiba apabila beg itu terjatuh, hingga mencederakan dua pelajar lain di sebuah sekolah tinggi di sini, kata polis dan pihak berkuasa sekolah.
Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera di kepala dan kini kritikal, sementara seorang pelajar lelaki, juga 15 tahun, cedera di tengkuk, kata Pemangku Ketua Polis, Encik Patrick Gannon.Pelajar yang membawa pistol itu hanya meminta maaf sebelum berlari masuk ke bilik darjahnya, kata Encik Gannon.'Dia berkata 'Saya meminta maaf,', seolah-olah kejadian itu hanya satu kemalangan,' kata beliau.Kejadian itu berlaku di sebuah bilik darjah di Sekolah Tinggi Gardena pada waktu rehat.Para pegawai membawa belia itu ke balai polis. Sekolah yang terletak 25 kilometer ke selatan pusat bandar itu pula dikawal ketat.Seorang ibu yang berada di luar sekolah itu, Cik Nelda Robledo, berkata anak perempuannya berusia 16 tahun menyampaikan pesanan ringkas kepadanya, mengatakan pelajar-pelajar diarah bersembunyi atau membaringkan diri, sejurus selepas kejadian itu.Polis pada awalnya melaporkan tiga orang ditembak dan si penembak masih berleluasa.Seperti kebanyakan sekolah daerah, Sekolah Tinggi Gardena memeriksa pelajar di pintu masuk menggunakan tongkat keselamatan. Bagaimana pelajar terlibat dapat masuk dengan pistol di dalam begnya belum dapat dipastikan, kata jurucakap sekolah, Cik Gayle Pollard-Terry.'Kami sedang menyiasat apakah pemeriksaan keselamatan dilakukan secara rambang saja atau atas setiap pelajar,' tambahnya.Ibu bapa yang ditemui di luar tempat kejadian itu berkata anak anak mereka banyak menceritakan tentang ketegangan kaum di sekolah itu.'Setiap hari ada pergaduhan, yang kulit hitam menentang yang kulit putih dan sebaliknya,' kata Cik Christy Westbrooks, ibu seorang pelajar perempuan.Ibu bapa yang ketakutan menyerbu sekolah itu sejurus mendengar tentang kejadian tersebut. Mereka berjalan mundar-mandir menantikan berita tentang anak mereka. -- AP.

Tentera dituduh dagang rakyat Myanmar



20/01/2011 5:17pm

KANGAR - Dua anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan memperdagangkan 16 warga Myanmar termasuk empat wanita pada 29 Disember tahun lalu.
Mohd Rashidi Abd Halim, 36, dan Mohd Johari Abu, 28, yang berkhidmat di sebuah kem tentera di Bukit Kayu Hitam, Kedah bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan meminta dibicarakan.
Kedua mereka yang menetap di Jitra, Kedah dituduh mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau keduanya sekali. - Bernama

Ganja ditemui di perairan Kuala Perlis



20/01/2011 5:04pm

KANGAR - Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menemui dua ketulan ganja mampat seberat kira-kira dua kilogram yang diikat pada kayu penanda pukat di perairan Kuala Perlis dekat sini awal hari ini.
Ketua Penguatkuasa Maritim APMM Wilayah Utara, Kpt Abdul Rahim Abdullah berkata, ganja itu ditemui selepas pasukan itu yang membuat rondaan di perairan berkenaan mengesan sebuah bot nelayan pada pukul 3.30 pagi dalam keadaan mencurigakan kira-kira tiga batu nautika dari pantai Kuala Perlis. - Bernama

Warga emas maut kemalangan



20/01/2011 1:02pm

KUANTAN - Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain di simpang tiga Jalan Durian Felda Sungai Koyan, dekat Raub, semalam.
M. Yusof Badu, 73, mati di Klinik Kesihatan Sungai Koyan akibat kecederaan parah di kepala.
Pegawai Turus Trafik Pahang, DSP Mohd Najib Jusoh berkata, kemalangan pada pukul 6.30 petang itu turut menyebabkan penunggang sebuah lagi motosikal cedera parah.
"Motosikal mangsa yang datang dari arah Klinik Sungai Koyan menghala ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Koyan bertembung dengan sebuah motosikal yang keluar dari simpang tiga jalan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Bernama

Rumah Gapena dipecah masuk



20/01/2011 5:20pm

KUALA LUMPUR - Rumah Gabungan Penulis Nasional (Gapena) di Jalan Dewan Bahasa, di sini, dipecah masuk dipercayai malam tadi, dan beberapa peralatan seperti komputer, mesin cetak dan televisyen LCD dilarikan.
Ketua Media dan Pehubungan Awam Gapena, Borhan Md. Zain berkata, kejadian itu disedari oleh beberapa krew drama yang hendak mengambil alat-alat penggambaran mereka kira-kira pukul 12 tengah hari tadi di premis itu. - Bernama

4 anggota polis antara 9 ditahan berjudi



20/01/2011 6:59pm

KUCHING - Empat anggota polis berpangkat lans koperal adalah antara sembilan yang ditahan ketika leka berjudi di sebuah rumah kedai di Jalan Setia Raja, di sini hari ini.
Kumpulan itu termasuk seorang wanita sedang bermain judi jenis `holo’ ketika mereka diserbu oleh sepasukan polis dari Unit Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak dalam Ops Limau, awal pagi tadi.
Bernama difahamkan empat anggota polis itu adalah dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang sudah habis bertugas. - Bernama

Polis berjaya tangkap 360 pembekal dadah tahun lalu




KUALA TERENG-GANU- Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu telah berjaya menangkap seramai 357 pembekal dadah di negeri ini sepanjang 2010. 

Ketuanya, Superin-tendan Roslan Abdul Wahid berkata, jumlah itu meningkat seramai 68 orang, iaitu sebanyak 24 peratus pada 2009, yang hanya berjumlah 289 orang. 

Menurutnya, pengedar yang tidak dapat dituduh, di bawah langkah-langkah pencegahan khas (LLPK) 1985 berjumlah 88 orang berbanding 81 orang pada 2009, meningkat sebanyak sembilan peratus. 

“Jumlah pengguna dadah bagi tahun 2010 pula adalah seramai 11,094 orang, berbanding 9,190 orang pada 2009. Ia menunjukkan peningkatan seramai 1,904 orang atau bersamaan 21 peratus. 

“Jumlah keseluruhan bagi pengedar dan pengguna dadah dan mereka yang di bawah LLPK adalah 11,539 orang, berbanding 9,560 pada 2009, iaitu peningkatan seramai 1,979 orang atau 21 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya. 

Menurut beliau, jumlah individu yang dituduh di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori sekiranya didapati bersalah juga meningkat, iaitu seramai 81 orang pada 2010. 

Katanya, semua pesalah telahpun dituduh di mahkamah. Berbanding pada 2009, jumlahnya hanya 47 orang iaitu meningkat 34 orang atau bersamaan 72 peratus. 

Menurutnya, peningkatan jumlah pe-ngedar dan pengguna dadah sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan dan beliau mengharapkan satu langkah terbaik dilaksanakan bagi mengekang masalah ini, termasuk memulihkan penagih sedia ada daripada kembali menagih. 

Katanya, jumlah keanggotaan kira-kira 200 orang di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu kini sebenarnya terlalu kecil bagi mengekang masalah dadah secara keseluruhannya. 

“Pihak polis mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam membanteras aktviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah ini yang banyak merosakkan generasi belia dalam masyarakat hari ini,” katanya.

Misi dua beradik seludup minyak gagal



PADANG BESAR – Taktik dua beradik yang cuba menyeludup minyak masak ke Thailand gagal apabila mereka ditahan Unit Pencegah dan Penyeludupan (UPP), di dua lokasi berlainan di sini, semalam. 

Kenderaan pertama jenis Kia Fortage ditahan di tempat pemunggahan barang di Wang Kelian manakala kenderaan kedua jenis Mazda 626 di kawasan Arked Niaga Wang Kelian yang masing-masing dipandu seorang lelaki. 

Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan, Zakaria Abdul Rahman berkata, hasil maklumat awam, sepasukan anggota UPP Padang Besar membuat intipan di kawasan pos pemeriksaan Wang Kelian dan mengesan dua kereta dalam keadaan mencurigakan kira- kira jam 6 pagi. 

“Selepas beberapa anggota UPP cuba bergerak ke kenderaan itu, dua kenderaan dipandu dua beradik yang ketika itu melepasi KIK Wang Kelian untuk memasuki negara jiran, bertindak berpatah balik memasuki Malaysia melalui laluan bersebelahan. 

“Disebabkan tindakan yang mencurigakan itu, anggota UPP mengejar kedua-dua kenderaan itu sehingga kereta pertama iaitu Kia Sportage ditahan di kawasan pemunggahan barang dan sebuah kereta jenis Mazda 626 ditahan di kawasan Arkib Niaga Wang Kelian,”katanya kepada pemberita di Pejabat UPP Padang Besar, semalam. 

Zakaria berkata, hasil penahanan itu, pihaknya berjaya merampas sebanyak 1,341 kilogram minyak masak pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM3,360 yang disorok di bawah barangan lain seperti udang kering, beg lampin pakai buang dan mi segera. 

Turut dijumpai di hadapan enjin kereta Mazda 626 yang sudah diubahsuai itu ialah dua kotak minyak masak yang disembunyikan bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Nilai keseluruhan rampasan ialah RM59,890. 

Dua lelaki Cina warga tempatan yang masing-masing berusia 35 dan 40 tahun bersama- sama dua kereta milik mereka ditahan untuk membantu siasatan. 

Kes itu akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 jika disabitkan kesalahan akan dikenakan denda RM100,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya.

Suami orang, janda kena cekup




KULIM - Seorang suami dan bapa kepada empat anak ditangkap khalwat bersama janda anak tiga ketika sedang berdua-duaan di dalam kereta Proton Iswara di satu lorong gelap di Taman Senangin kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin. 

Ketua Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), Azmi Rejab berkata, ketika tangkapan dibuat kedua-dua pasangan berada dalam kereta. Semua tingkap ditutup dan enjin kereta dimatikan. 

“PADK mendapat maklumat dari orang ramai yang tinggal di sekitar kawasan itu kira-kira jam 1 pagi dan sampai di tempat kejadian jam 1.20 pagi. 

“Menurut pengadu, pasangan itu sering berada di situ dan berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan. Ketika tangkapan dibuat, pasangan kekasih itu mengaku tidak mempunyai hubungan muhrim. 

“Pasangan lelaki berusia 40 tahun dan bekerja sendiri. Dia telah berkahwin dengan seorang wanita warga Indonesia dan mempunyai empat anak. Kekasihnya berusia 32 tahun merupakan seorang janda anak tiga yang juga merupakan warga Indonesia dan bekerja sebagai pencuci pejabat. Dari siasatan dijalankan, pasangan perempuan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya. 

Menurutnya, pasangan lelaki sering ke tempat kejadian untuk menghantar kekasihnya yang tinggal tidak jauh dari tempat mereka ditangkap. Oleh kerana khuatir perlakuan mereka diketahui penduduk, dia mengambil keputusan untuk menghantar kekasihnya setengah jalan dan berhenti di lokasi gelap untuk bersama. 

Pasangan itu telah dibawa ke balai Polis Kulim untuk membuat laporan tangkap terhadap diri mereka dan kemudiannya ditahan dilokap. Pasangan lelaki di Balai Polis Kulim manakala kekasihnya di Balai Polis Lunas. 

Mereka akan disiasat di bawah seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

“Semua ini dilakukan adalah untuk mengaburkan pandangan penduduk. Bagaimanapun pasangan itu dihadapkan ke mahkamah untuk mendapatkan arahan menjamin diri. 

“Setelah jamin diri dibayar, mahkamah Rendah Syariah Kulim akan menetapkan tarikh perbicaraan mereka,” katanya.

Bumbung terbang sekelip mata



JITRA - Pelik, itulah yang digambarkan oleh seorang mangsa apabila puting beliung yang hanya berlaku dalam sekelip mata menerbangkan sebahagian daripada bumbung rumahnya di Taman Permata, di sini petang kelmarin walaupun cuaca pada ketika itu panas dan tenang.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang sedang menyusukan anaknya terkejut selepas terdengar satu bunyi yang kuat seolah-olah zink bumbung rumahnya itu tercabut dan bergulung-gulung.

Habsah Omar, 40, berkata, bagaimanapun sebelum itu, dia ada terdengar bunyi pusaran angin yang sangat kuat datang dari arah bilik tengah rumah sebelum terdengar dentuman kuat pada zink bumbung rumahnya yang berlaku beberapa saat selepas itu.

“Saya berasa pelik juga kerana pada masa itu cuaca panas dan tidak terasa ada angin langsung tetapi dengan tiba-tiba sahaja terdengar bunyi pusaran angin yang kuat dari arah bilik tengah, kebetulan saya bersama anak bongsu berada di dalam bilik itu.

“Bagaimanapun saya hanya duduk dalam rumah sahaja dan menganggap bunyi zink itu hanya disebabkan tiupan angin biasa sehinggalah anak lelaki saya pulang dan memberitahu apa yang telah berlaku pada bumbung rumah kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Habsah berkata, mengikut cerita jiran yang melihat kejadian itu, pusaran angin kuat datang dari arah bilik rumahnya sebelum ia membuat pusaran di bahagian bumbung dan kemudiannya ke arah masjid berhadapan rumahnya.

Menurutnya, keadaan yang berlaku sangat pelik kerana hanya rumahnya yang terlibat, walaupun pusaran angin yang berlaku itu kedengaran sangat kuat. Ia juga merupakan pengalaman kali pertama buatnya sekeluarga.

“Jiran menggambarkan keadaan itu berlaku hanya dalam sekelip mata sahaja dan ia amat menakjubkan kerana hanya rumah saya yang terjejas akibat puting beliung yang berlaku.

“Jika sebelum ini hujan lebat dan angin kuat pun, zink bumbung masih kukuh dan tidak berlaku seperti ini tetapi lain pula kali ini hanya sekelip mata sahaja sebahagian bumbung zink di sebelah kanan rumah saya diterbangkan puting beliung.

“Mujurlah tiada insiden serius yang berlaku semasa kejadian puting beliung itu dan bersyukur kerana semuanya selamat,” kata Habsah. 

Kereta terperosok bawah treler




TUNJANG - Akibat hilang kawalan, sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Lancer akhirnya terbabas lalu terperosok ke bawah sebuah treler di Kilometer 18, Jalan Jitra-Kodiang berhampiran sebuah kilang beras di sini pagi, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9.43 pagi itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam dan bergegas ke tempat kejadian bagi operasi menyelamat. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Mohamad Darus berkata, bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan mangsa dikejarkan ke hospital berhampiran. 

Menurutnya, dipercayai kereta yang dinaiki seorang pemandu dan dua lagi penumpang itu dalam perjalanan ke Kodiang menuju ke Jitra dan akhirnya terbabas masuk ke bawah treler. 

“Berkemungkinan kereta dipandu mangsa mengekori treler dengan jarak yang terlalu dekat berdasarkan pemerhatian dan kesan brek yang terdapat di jalan raya. 

“Treler yang hendak membelok ke kiri untuk memasuki kilang beras kemudiannya dirempuh kereta terbabit sebelum ia terbabas lalu terperosok ke bawah treler berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau yang juga Ketua Operasi bersama sembilan lagi anggotanya segera mengeluarkan kereta yang terperosok ke bawah treler berkenaan bagi menjalankan kerja pembersihan jalan raya. 

Menurutnya, minyak enjin tumpah di permukaan jalan dan pihaknya terpaksa membersihkannya segera bagi mengelakkan berlakunya kebakaran. 

“Anggota kita segera membersihkan permukaan jalan yang dipenuhi minyak enjin yang tumpah bagi mengelakkan berlakunya kebakaran dan semua kerja-kerja operasi berjaya disiapkan dalam masa lima minit sahaja,” katanya.

Dua penunggang motosikal maut



SABAK BERNAM – Tidak sampai tempoh masa lima jam, seorang remaja lelaki dan wanita maut dalam kemalangan di dua lokasi berasingan di sini, semalam.

Dalam kejadian pertama, seorang pelajar Tingkatan Enam Atas, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, maut apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan dekat Parit Tiga Sungai Haji Dorani, kira-kira jam 7.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian pertama, mangsa Mohd Zulhelmy Amin Mokhtar, 19 dari Parit Sembilan Ban Tiga, Sungai Leman, dipercayai dalam perjalanan ke sekolah bertembung dengan motosikal yang mengelak lubang di tempat kejadian.

Katanya, tindakan mengelak menyebabkan penunggangnya, Abd Wahab Mohd Dom, 48 dari Kampung Nelayan Sungai Besar dan pemboncengnya warganegara Indonesia, Mahyun, 30, terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggangi Mohd Zulhelmy.

“Dalam kemalangan itu, Mohd Zulhelmy meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Manakala Mahyun hanya mengalami cedera ringan di bahagian lutut kanan dan mulut.

“Sementara itu, Abd Wahab koma apabila mengalami pendarahan di bahagian kepala dan patah tangan kanan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya.

Noor Mushar berkata, dalam kejadian kedua, seorang warga emas, Saniah Md Noh, 71, maut serta merta akibat cedera parah di kepala setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kereta dekat kilometer 67 Jalan Teluk Intan – Klang, kira-kira jam 12.10 tengah hari.

“Ketika kejadian, motosikal yang ditunggang Saniah bersama guni berisi padi bertembung dengan sebuah kereta arah Sungai Besar ke Tanjong Karang yang dipandu seorang warga emas berusia 62 tahun berasal dari Tali Air Tujuh, dekat situ.

“Saniah dipercayai dalam perjalanan pulang dari sawah menuju ke rumahnya di seberang jalan dan bertembung dengan kereta itu di lorong kedua sebelah kanan jalan,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Kamaruzaman Ali, 45, berkata, ibunya yang berusia 71 tahun itu sudah biasa menunggang motosikal.

“Ibu sudah biasa menunggang motosikal dan sangat faham tentang penggunaan lampu isyarat dan peraturan jalan raya yang lain. Namun semasa melintas jalan selepas pulang melihat sawah padi miliknya, ibu terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya.

Difahamkan Saniah tinggal seorang diri di Tali Air Lapan, Sungai Leman, manakala beliau dan seorang adiknya tinggal di Klang kerana bekerja di sana dan seorang lagi berada di Gombak.

Kali terakhir Kamaruzaman menemui ibunya dua minggu lalu dan tiada apa-apa perubahan ketara kepada sikap ibunya kecuali begitu teruja hendak melawat sanak saudara di Perak.

“Walaupun sedih dengan pemergian ibu, kami tetap reda dengan ketentuan-Nya dan berdoa roh ibu ditempatkan bersama orang beriman,” katanya.

Ibu rayu bantuan cari anak hilang




JINJANG - Seorang pelajar Sekolah Menengah Raja Ali, Hayati Aznin, 16, tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli bedak di kedai berhampiran rumahnya sejak 28 November yang lalu. 

Ibunya Suraya Badi, 49, berkata, anaknya kali terakhir keluar dengan berpakaian t-shirt putih dan berseluar jean biru. 

Menurutnya, Hayati mempunyai kulit sawo matang, rendah, berambut panjang lurus dan kurus. 

“Dia cakap hanya mahu ke kedai sekejap tetapi pada hari tersebut sampai malam dia tidak pulang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jinjang Baru dekat sini. 

Susulan daripada kejadian itu satu laporan polis di buat di Balai Polis Jinjang pada 29 November lalu setelah mangsa didapati tidak pulang malah turut gagal dihubungi. 

Menurut Suraya, anaknya bekerja sambilan di sebuah kedai kek berhampiran rumahnya dan baru sahaja memperoleh gaji pertamanya. 

“Kami sekeluarga tidak pernah bertengkar dengannya malah pada hari kejadian dia sempat belanja anak buahnya makan 

“Lazimnya dia akan keluar ke kedai membawa anak buahnya yang berusia tiga tahun namun pada hari itu keadaan cukup berbeza,” katanya. 

Menurutnya, jika Hayati hendak pergi ke mana-mana dia akan cakap dan selalu pulang awal dan ini merupakan kali pertama dia keluar dan tidak pulang,” katanya. 

Suraya merayu jika ada sesiapa yang ternampak atau mempunyai maklumat tentang Hayati boleh menghubunginya di talian 017-2658663 atau 016-3143472.

Pembantu peniaga curi kabel dijel 8 bulan




KOTA BHARU – Gara-gara tindakannya mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM4,000 lima hari lalu, seorang pembantu peniaga dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam. 

Najib Mohd Sharif, 29 bersalah mencuri lingkaran kabel di Taman Zazna Badang, Jalan PCB jam 9 pagi, 15 Januari lalu. 

Tertuduh yang membantu perniagaan ibunya berniaga pinggan mangkuk itu mengaku terhadap tuduhan terbabit sebelum hukuman dijatuhkan. 

Najib didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit bersalah. 

Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan, semalam. 

:Dalam masa sama, Najib turut dikaitkan dengan dakwaan penyalahgunaan dadah jenis metamphetamine terhadap dirinya sendiri ketika ditahan pihak berkuasa jam 9.30 malam, 15 Januari lalu. 

Majistret Norhaslinda Che Seman menetapkan 22 Februari depan untuk sebutan semula kes tertuduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tinggal sehelai sepinggang



KUALA KRAI - Seorang kakitangan Bahagian Penguat Kuasa, Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) kerugian kira-kira RM70,000 apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Keroh, dekat sini, awal pagi semalam. 

Kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu menyebabkan mangsa, Mahamed Zaidi Seman sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila semua barang dan peralatan rumah dijadikan kedai itu gagal diselamatkan. 

Selain semua peralatan rumah serta barangan kedai kopi dan runcit, dua motosikal baru bernilai kira-kira RM10,000 dan diletakkan dalam rumah bagi mengelak dicuri turut musnah terbakar. 

Mahamed Zaidi, 46, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri sedang bersiap untuk membuka kedai sementara dua anak mereka sedang tidur di atas rumah yang didiami sejak 2004. 

Katanya, kebakaran bermula sejurus dia menyalakan dapur memasak di bahagian kedai hadapan rumahnya apabila api tiba-tiba menyambar kepala penyambung pada tong gas. 

”Saya cuba nak tutup dan cabut penyambung tong gas tapi muka saya pula kena sambar api,” katanya yang mengalami kecederaan ringan pada dahi dan bibir akibat kejadian itu ketika ditemui, di sini, semalam. 

Isteri Mahamed Zaidi, Noraini Md Ghani, 37, pula berkata, ketika kejadian, dia berada tidak jauh dari suaminya manakala dua anak perempuan mereka berusia 10 tahun dan 16 tahun sedang tidur. 

Menurutnya, apabila melihat api tidak dapat dipadamkan dan mula menyambar dinding rumah, dia segera berlari ke atas rumah untuk mengejutkan dua anaknya itu. 

”Saya suruh mereka keluar sebab saya kata, “rumah kita terbakar” dan saya pun tak sempat ambil apa-apa barang kerana dalam rumah gelap bila (bekalan) elektrik automatik terputus. 

”Lagi pun waktu itu saya tidak ingat benda lain, hanya cuma fikir nak kejutkan anak dan suruh mereka selamatkan diri,” katanya yang mempunyai empat anak berusia 10 hingga 19 tahun. 

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Mohd Nasir Hassan berkata, seramai 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.49 pagi. 

Menurutnya, apabila sampai di lokasi kejadian pada jam 6.05 pagi, kira-kira 90 peratus rumah itu sudah musnah dijilat api dan pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran. 

”Kalau mengikut maklumat diberikan mangsa, kebakaran berpunca daripada kepala tong gas longgar manakala kerugian dianggarkan antara RM60,000 hingga RM70,000,” katanya.

Polis buru suspek curi kereta BMW di hotel




KOTA BHARU – Polis meminta orang ramai yang mengenali suspek mencuri kereta atau mempunyai maklumat tentang kejadian orang awam kehilangan kereta di sebuah hotel pada 11 Januari lalu tampil membantu siasatan. 

Timbalan ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, pada hari kejadian tersebut, pengadu menyerahkan kereta jenis BMW X6 kepada penjaga parkir di sebuah hotel jam 10.30 pagi. 

Menurutnya, pengadu mahu mengambil keretanya pada jam 1 petang daripada penjaga parkir berkenaan, namun pengadu diberitahu orang lain sudah mengambilnya. 

“Apabila pengadu bertanya tentang keretanya, penjaga parkir memberitahunya bahawa seorang lelaki sudah pun mengambil kereta tersebut. 

“Kami memerlukan maklumat daripada orang ramai bagi menyelesaikan kes yang disiasat di bawah Sekeyen 379A Kanun Keseksaan itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis, di sini semalam.

Dua wanita dituduh menagih dadah




KOTA BHARU – Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana dituduh menagih dadah jenis metamphetamin, 16 Januari lalu. 

Norbiany Jusoh, 40 dan Siti Hasra Shuib, 32 dituduh dalam pertuduhan berasingan di hadapan Majistret Norhaslinda Che Seman di mahkamah tersebut semalam. 

Mereka ditahan dalam serbuan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Daerah Kota Bharu di sebuah rumah di Jalan Atas Paloh, di sini. 

Kedua-duanya bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan ke atas diri masing-masing dan mohon perbicaraan menggunakan khidmat peguam bela yang akan diupah sendiri. 

Mereka didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Norbiany dan Siti Hasra kemudian dibenarkan diikat jamin masing-masing sejumlah RM3,500 dan RM4,000. 

Mereka diarah hadir ke mahkamah 22 Februari depan untuk sebutan semula kes terbabit. 

Pendakwaan dijalankan, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman dan Nabilah Nizam.

Musnah dijilat api




JOHOR BAHRU – Tindakan pantas penghuni di Rumah Pangsa Taman Melor yang menyedari kepulan asap keluar dari sebuah rumah di blok berkenaan, dan bertindak memadam api kebakaran itu perlu dipuji. 

Kejadian berlaku kira-kira 9 pagi itu mengakibatkan sebuah rumah di tingkat lima musnah akibat dijilat api. 

Difahamkan, penghuni rumah itu ke Kuala Lumpur atas urusan kerja terkejut apabila dihubungi jirannya untuk memberitahu kejadian yang berlaku. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Aminah Saiman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9 pagi dan dua jentera bergegas ke tempat kejadian. 

“Namun, setelah sampai ke tempat kejadian, penghuni di sekitar rumah pangsa terbabit berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dan memadamkan api kebakaran itu dengan menggunakan alat pemadam api,” katanya. 

Menurutnya, kebakaran berkenaan berpunca dari sebuah bilik yang kemudian merebak sehingga ke ruang tamu. 

“Pegawai siasatan kami menemui lilin, namun belum dapat dipastikan punca kejadian masih disiasat. Tindakan orang ramai membantu pihak bomba dipuji,” katanya.