Search This Blog

Wednesday, January 19, 2011

Ibu dan anak ditahan, 3,800 pil kuda dirampas




2011/01/19

KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya ditahan polis dalam satu serbuan di Wakaf Baharu, Tumpat, semalam yang turut menyaksikan rampasan pil khayal dipercayai pil kuda bernilai RM76,000. 

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Mazlan Lazim, berkata wanita berusia 59 tahun dan anak lelakinya berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah pada jam 4.30 petang."Ketika serbuan itu, hanya kedua-dua suspek berada di dalam rumah itu dan hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemui dadah dalam bentuk pil iaitu sebanyak 3,800 biji pil dipercayai pil kuda," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.Beliau berkata, dua beranak itu dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar pil khayal sejak enam bulan lalu dan mendapatkan bekalan secara terus dari negara jiran. 

"Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing yang dijalankan juga didapati negatif," katanya. 

Mazlan berkata, kedua-dua mereka ditahan reman sehingga 25 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Pegawai wanita imigresen bebas tuduhan rasuah





2011/01/19

KUALA LUMPUR: Seorang penolong penguasa Jabatan Imigresen Putrajaya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada dua pertuduhan rasuah, lima tahun lalu. 

Majistret Nor Azah Kasran membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Norhayati Omar, 40.Pada 31 Disember 2009, Norhayati mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersetuju menerima tiga tiket kapal terbang pergi balik ke Singapura untuk dirinya, ibu dan anaknya daripada pengarah Quest Argotech (M) Sdn Bhd, Anil Kumar Chigurupathi, walaupun mengetahui bahawa ia ada kaitan dengan tugasnya untuk meluluskan pas penggajian pekerja asing.Dia dituduh melakukan kesalahan itu di KLIA, Sepang, pada 6 Mei 2006. 

Norhayati juga menghadapi tuduhan kedua iaitu menerima satu set "home theatre" dan televisyen LCD daripada Anil bagi sebab sama di sebuah kedai barangan elektrik di KLCC pada 26 Ogos 2006. 

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke, dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia manakala Norhayati diwakili peguam Mohd Afifuddin Hafifi. - BERNAMA 

Lans koperal didakwa cederakan peniaga


19/01/2011 4:54pm

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan seorang ahli perniagaan dan menyamun seorang penjaga setor enam tahun lepas.
Majistret Zaki Asyraf Zubir membenarkan Sabri Mat Taha diikat jamin sebanyak RM8,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Februari depan untuk sebutan kes.
Sabri, 51, didakwa memukul Noor Salina Nordin, 30, dengan tangan sehingga cedera di bilik K2, Tingkat 5, Bangunan Wisma Indah, Jalan Tun Razak, pada 1.30 pagi, 8 Februari 2005.
Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun, atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sabri, yang kini digantung tugas, juga didakwa menyamun Mustafa Rozali, 27, sebanyak RM300 di Jalan 1/91, Taman Shamelin Perkasa, Cheras di sini pada 4 pagi, 6 Februari 2006.
Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan. – Bernama

Kes lepaskan tembakan: 3 suspek ditahan


19/01/2011 7:03pm

KOTA BHARU – Polis berjaya menahan tiga suspek berhubung kes melepaskan tembakan ke arah seorang individu di kawasan Wakaf Bharu, Tumpat pada 24 Disember lepas, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Mazlan Lazim.
Beliau berkata, susulan tangkapan ke atas dua lelaki berumur 37 dan 38 tahun serta seorang remaja perempuan berumur 19 tahun itu pada Khamis minggu lepas, polis menemui sepucuk pistol dan tujuh biji peluru yang diletakkan dalam satu bungkusan plastik di satu kawasan semak di Kubang Kerian.
"Ketiga-tiga suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Cherang, di sini, petang Khamis minggu lepas. Dua di antara suspek merupakan pasangan kekasih.
"Mereka ditahan kerana dipercayai terlibat dengan satu kejadian melepaskan dua das tembakan yang berlaku di kawasan Wakaf Bharu, Tumpat pada 24 Disember lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mazlan bagaimanapun enggan memberikan butiran lanjut mengenai kes tembakan itu dan individu yang dijadikan sasaran dalam kes itu. – Bernama

Pekerja maut terkena renjatan elektrik


19/01/2011 5:05pm

ALOR SETAR – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut akibat terkena renjatan elektrik ketika cuba membaiki peralatan elektrik dipercayai set karaoke di rumahnya di Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar di sini petang semalam.
Kejadian yang menimpa Mohamad Shamir Sahid Abdullah, 26, disedari bapanya, Sahid Abdullah Ismail, 62, yang kebetulan naik untuk menjenguk mangsa di bilik anaknya di tingkat atas.
"Selepas makan tengah hari pakcik nampak dia naik bilik... pukul 3.30 petang saya naik ke biliknya dan mendapati dia terbaring atas katil dalam keadaan tidak bernyawa lagi,” kata Sahid Abdullah kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Anak kedua daripada lima beradik itu baru sahaja ditukarkan ke TNB Mergong sejak enam bulan lalu setelah berkhidmat di TNB Shah Alam selama empat tahun dan sedang cuti sakit selama dua hari pada Isnin dan semalam.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Jalan Datuk Kumbar dekat sini kira-kira 11 pagi ini. – Bernama

2 rakyat Malaysia ditahan miliki dadah


19/01/2011 5:49pm

BANGKOK - Dua rakyat Malaysia ditahan dalam dua kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, di sini, bersama sembilan kilogram dadah Methamphetamine, baru-baru ini.
Ketua Biro Narkotik Thailand, Lt Gen Atithep Panchamanond berkata, seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan dengan lima kilogram dadah sintetik yang juga dikenali sebagai Ice.
Beliau berkata, dadah itu dipercayai diseludup dari selatan Thailand untuk pasaran di bandar ini.
Dalam kes lain seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan dengan empat kilogram Ice di lapangan terbang itu ketika dia dalam perjalanan ke Jakarta, katanya. - Bernama

Post-mortem kedua ke atas pendawai


19/01/2011 7:02pm

KUALA LUMPUR - Pejabat Peguam Negara dan isteri kepada M. Krishnan mencapai penghakiman persetujuan hari ini bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan ke atas Krishnan yang mati dalam tahanan polis pada 2 Januari.
Penghakiman itu direkodkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah berikutan permohonan P. Revathi di mahkamah semalam.
Peguam Revathi, Gurmit Singh Hullon memberitahu mahkamah bahawa polis bersetuju mengeluarkan borang Pol 61 yang meminta bedah siasat kedua dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC).
Bagaimanapun katanya, autopsi itu tidak akan dilakukan oleh patologis Dr. Prashant Naresh Samberkar Prawill sebagaimana diminta oleh Revathi.
Gurmit kemudian memberitahu pemberita bahawa bedah siasat itu akan dilakukan oleh patologis bertugas di UMMC pada Jumaat ini. - Bernama

Minyak masak cuba diseludup ke Thai


19/01/2011 7:03pm

PADANG BESAR - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas 1,341 kilogram minyak masak pelbagai jenama di Wang Kelian dekat sini hari ini.
Bahan-bahan tersebut ditemui dalam dua buah kereta yang masing-masing dipandu oleh lelaki tempatan yang berumur 35 tahun dan 40 tahun yang merupakan adik-beradik.
Minyak masak tersebut bernilai RM3,360 disorokkan di dalam kereta tersebut di bawah barangan lain seperti udang kering, beg lampin bayi pakai buang dan kotak mee segera.
Komander UPP Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman berkata, berdasarkan maklumat orang ramai, sepasukan anggota UPP Padang Besar telah membuat intipan dan akhirnya mengesan dua buah kereta sedang menghala ke kawasan pintu sempadan kira-kira 6 pagi.
"Menyedari diekori, kedua-dua kenderaan itu telah membuat pusingan U untuk berpatah balik tanpa pemandunya membuat pengesahan dokumen lawatan ke negara jiran,” katanya. - Bernama

Sayu kehilangan suami tersayang

Add caption

-- Foto JOHARI RAHMAT
Mudah cetak
E-mel

19 Jan 2011

SINGAPURA

CIK Lenny Syafawatie Abdul Rahman (depan kiri), 26 tahun, memeluk erat ibu mentuanya, Cik Hamidah Yusof, pada saat beliau berasa terlalu sedih setelah kehilangan suami tersayang.Suaminya, Allahyarham Mohd Faizal Mohd Ajis, 29 tahun, terkorban dalam nahas jalan raya di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) kelmarin.

UPP rampas 691 karton rokok seludup bernilai RM66,000


19/01/2011 3:21pm

KOTA BHARU 19 Jan. - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas 691 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM66,000 di sebuah rumah kosong di Kampung Kulim Wakaf Bharu, Tumpat di sini, petang semalam.
Komandernya, Mazlan Che Hamid berkata, bertindak hasil maklumat orang ramai, sepasukan anggota UUP Pengkalan Kubor telah melakukan serbuan pada pukul 5.15 petang ke atas rumah kosong terbabit.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pihaknya telah menjumpai beberapa kotak besar mengandungi pelbagai jenama rokok seludup.
"Kita percaya rokok tersebut diletakkan lebih awal di rumah tersebut sebelum dibawa keluar dari kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat UPP negeri di sini, hari ini. - Utusan

2 dalang rampasan lapangan terbang 2008 diberkas


19/01/2011 4:24am

BANGKOK 18 Jan – Dua dalang rampasan lapangan terbang di negara ini dua tahun lalu berjaya diberkas pihak berkuasa, semalam.
Pembantu Ketua Polis, Jeneral Somyot Pumpanmuang berkata Chaiwat Sinsuwong ketika ini ketua kumpulan Thai Patriots Network dan seorang lagi, Somboon Thongburan, seorang anggota kumpulan tersebut ditahan di sebuah restoran di sini pada 1.30 tengah hari.
Mereka akan didakwa kerana merampas dua lapangan terbang tersebut.
Thai Patriots Network merupakan kumpulan serpihan parti People”s Alliance for Democracy (PAD) yang merampas lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi dan Lapangan Terbang Don Muang, di sini pada November, 2008. - Bernama

Jurugambar mati bukan petugas Finas


19/01/2011 1:13pm

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini menafikan wanita yang ditemui mati dalam bilik air di sebuah unit kondominium di Kota Damansara semalam adalah jurugambarnya.
Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas, Mohd Fazli Abdul Aziz berkata, berdasarkan rekod petugas, organisasi itu tidak mempunyai kakitangan bernama Nor Haslinda Jaafar.
"Kami menafikan mangsa kakitangan Finas berikutan kami tiada pekerja dengan nama tersebut seperti yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan mayat Nor Haslinda, 34, ditemui dalam keadaan berulat dalam bilik air oleh rakan serumahnya yang baru pulang dari tugasan di luar daerah.
Laporan itu juga menyebut Nor Haslinda adalah jurugambar Finas dan dipercayai meninggal dunia lebih daripada tempoh tiga hari akibat serangan jantung.
Difahamkan Allahyarham adalah jurugambar bebas dan berasal dari Batu Pahat, Johor. – Bernama

Tangisan gagal ringankan hukuman


19/01/2011 3:09pm

Bekas juruteknik dipenjara enam tahun
SHAH ALAM - Tangisan seorang bekas juruteknik ketika merayu hukuman ringan setelah dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan merompak seorang wanita Indonesia pada tahun lepas gagal melembutkan hati Hakim Mahkamah Sesyen Latifah Mohd. Tahar.
Azharin Ripin, 34, yang tidak diwakili peguam tiba-tiba menangis teresak-esak semasa memohon hukuman ringan itu sambil menyatakan dia telah insaf dengan perbuatannya itu.
"Saya mempunyai empat anak yang masih kecil berumur lapan, enam, empat dan dua tahun... ketika itu saya terdesak, saya baru berhenti kerja dan ada masalah kewangan, jadi saya terlintas nak buat macam itu (merompak). Tetapi itulah yang terakhir puan,” katanya.
"Tidak ada cara lain ke kamu nak cari duit? Ini bukan caranya. Masa kamu buat tidak terfikir pula tentang anak-anak dan isteri”, kata Hakim Latifah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap pada 14 Januari lepas. - Bernama

Kanak-kanak perempuan hilang semalam ditemui selamat


19/01/2011 11:33am

SLIM RIVER 19 Jan. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dilaporkan hilang tengah hari semalam dari rumahnya di Kampung Lintah, Slim Village, di sini ditemui semula dalam keadaan selamat hari ini.
Nor Aishah Umairah Zamzuri yang dilaporkan hilang pada pukul 12.30 tengah hari ditemui pada pukul 9.18 pagi ini oleh orang awam dan anggota Jabatan Bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Slim River, Penolong Penguasa Meor Mohd Ali Meor Husin yang mengetuai operasi tersebut berkata, kanak-kanak itu ditemui di kawasan kebun kelapa sawit kira kira 3km dari rumahnya.
Kanak-kanak itu cuma mengalami gigitan nyamuk dan telah dihantar ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan, katanya ketika dihubungi.
Meor Mohd Ali berkata, pihaknya melancarkan operasi yang melibatkan 25 anggota selepas menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu daripada polis kira-kira pukul 4 petang semalam. – Bernama

Dadah: Pemborong ikan ke tali gantung

PEMBORONG ikan, T'ng Chee Woon, 37, (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 371.3 gram tiga tahun lalu. - Foto Mohd Fadli Hamzah

19/01/2011 3:10pm



SHAH ALAM - Seorang pemborong ikan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 371.3 gram tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa tertuduh, T’ng Chee Woon, 37, jelas mempunyai kawalan dan pengetahuan mengenai dadah itu yang ditemui dalam but kereta yang dipandunya.
T’ng juga dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis 3,4 Methylenedioxy menthampetamine (MDMA) seberat 7.18 gram. - Bernama

Remaja cuba larikan gelang diberkas


19/01/2011 1:47pm

KUANTAN – Cubaan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas di Jalan Pak Sako 1, Temerloh semalam gagal apabila dia ditangkap oleh peniaga kedai emas berkenaan.
Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata, kejadian pada pukul 2.50 petang itu berlaku ketika remaja terbabit datang ke kedai itu dan berpura-pura untuk membeli emas.
"Suspek kemudiannya meminta seorang pekerja lelaki berusia 22 tahun mengeluarkan dua utas gelang emas yang bernilai RM3,200,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, selepas itu berlaku proses tawar-menawar di antara remaja terbabit dengan pekerja berkenaan sebelum suspek bertindak melarikan gelang-gelang itu.
Tindakan pantas pekerja berkenaan mengejar suspek berjaya menahannya di hadapan sebuah bank berhampiran kedai emas itu dan menyerahkannya kepada polis, katanya. – Bernama

1 maut, 15 cedera bom pedati meletup di Pakistan




2011/01/19

PESHAWAR, Pakistan: Bom yang diletakkan pada pedati yang ditarik kuda meletup berhampiran sebuah sekolah di barat laut Pakistan hari ini, membunuh pengendalinya dan mencederakan 15 yang lain, kebanyakan murid sekolah. 

Anggota skuad pemusnah bom berkata, bom itu meletup selepas pedati itu tercabut dan pengendali serta kuda pedati terbabit terbunuh.

Ribut gergasi ancam California




2011/01/19

AWAN  berpusar menandakan hujan ribut bakal melanda di California, kelmarin.
AWAN berpusar menandakan hujan ribut bakal melanda di California, kelmarin.
Senario ancaman, kemusnahan umpama dilanda gempa digariskan 100 saintis, pakar 

LOS ANGELES: California berdepan risiko serangan 'ribut gergasi' yang mungkin menyebabkan banjir hingga menenggelamkan hampir 25 peratus rumah di negeri itu dan menyebabkan kerugian antara AS$300 bilion hingga AS$400 bilion (RM917.78 bilion hingga RM1.22 trilion).Laporan 100 saintis dan pakar menyatakan, potensi kemusnahan dalam senario ribut terbabit adalah empat atau lima kali ganda kerosakan oleh gempa bumi besar.Ia seperti satu plot filem aksi malapetaka, namun saintis Jabatan Kajian Geologi Amerika (USGS) memberi amaran kepada pihak berkuasa persekutuan dan negeri bahawa sejarah geologi California menunjukkan ‘ribut gergasi’ seperti itu pernah berlaku pada masa lalu. 

Senario itu perlu ditambah dalam senarai panjang bencana alam yang patut dibimbangi boleh melanda negeri berkenaan. Ancaman ribut California dahsyat itu sudah diramalkan sejak 150 tahun lalu. 

Pengarah USGS, Marcia K. McNutt memberitahu akhbar New York Times bahawa Central Valley sepanjang 482.80 kilometer pernah ditenggelami air dari 1861 hingga 1862. 

Banjir itu amat buruk sehingga ibu kota itu perlu dipindahkan ke San Francisco, manakala Gabenor Leland Stanford terpaksa menaiki bot ke tempat pengisytiharan bencana itu, menurut saintis. 
Malah, ribut yang lebih besar berlaku pada dekad lalu, pada tahun 212, 440, 1029, 1418 dan 1605 Sebelum Masehi, menurut bukti geologi. 

Risiko itu semakin nyata, kata saintis berikutan peningkatan suhu atmosfera yang secara umum menjadikan aliran cuaca sering berubah-ubah. 

Saintis membina model yang menunjukkan satu ribut yang mungkin berlaku selama lebih 40 hari dan membawa 3.05 meter air ke negeri ini. 

Ribut itu mungkin dicetuskan menerusi ‘sungai atmosferik’ yang mungkin menggerakkan air pada kadar sama seperti 50 negeri Mississippi memuntahkan air ke dalam Teluk Mexico.’ – Agensi 

50 terbunuh rekrut polis kena bom




2011/01/19

TIKRIT: Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh, manakala 150 lagi cedera apabila seorang penyerang meletupkan bom di tengah-tengah sekumpulan anggota rekrut polis di bandaraya Tikrit semalam, kata pegawai kementerian dalam negeri. 

Letupan itu yang pertama sejak pembentukan kerajaan baru Iraq 21 Disember lalu dan paling buruk sejak 31 Oktober, apabila 53 orang terbunuh dalam letupan di sebuah gereja di Baghdad.“Lima puluh orang terbunuh dan 150 lagi cedera dalam kejadian letupan bunuh di sebuah pusat latihan polis di tengah Tikrit pagi ini,” kata pegawai kerajaan di Baghdad.Beliau berkata antara terkorban adalah anggota rekrut dan polis. 

Seorang wartawan agensi berita antarabangsa melaporkan, lokasi letupan yang terletak di tengah Tikrit dipenuhi darah, cebisan tubuh manusia, pakaian dan kasut yang bertaburan di merata tempat. 

Saksi berkata, rekrut sedang berbaris memasuki pusat itu sejak jam 6 pagi, manakala penyerang meletupkan bomnya kira-kira jam 10.15 pagi. – AFP 

Sentral: Mangsa ugut, pukul



Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
2011/01/19

PEMANDU teksi menunjukkan laporan polis berhubung kes rakan mereka yang dipukul kerana mengambil penumpang di KLCC.
PEMANDU teksi menunjukkan laporan polis berhubung kes rakan mereka yang dipukul kerana mengambil penumpang di KLCC.
30 lelaki lagak samseng halang pemandu teksi ambil penumpang di KLCC 

KUALA LUMPUR: Kehadiran 30 lelaki berlagak samseng yang menjaga setiap pintu masuk kawasan bangunan pusat beli belah Kuala Lumpur City Center (KLCC) setiap hari, meresahkan 300 pemandu teksi di sekitar Lembah Klang yang mendakwa keselamatan mereka kini semakin terancam.Semua ‘samseng’ terbabit yang dikatakan bertugas untuk menghalau teksi bandar daripada memasuki pekarangan KLCC untuk mengambil penumpang di situ, sanggup bertindak ganas dengan menyerang dan merosakkan mana-mana teksi yang melanggar arahan berkenaan jika pemandu memasuki kawasan berkenaan.Beberapa pemandu teksi yang ditemui mendakwa mereka dikasari dan diugut sebelum dihalau setiap kali berada di pekarangan pusat beli-belah terkemuka itu bagi mengambil penumpang yang menempah teksi mereka atau ketika menurunkan penumpang di situ. 

Kemuncaknya, pemandu teksi, Mohammed Razid Khalid, 30, menerima lebih 20 jahitan di kepala dan lebam mata kanan selepas dibelasah samseng terbabit kerana memasuki kawasan KLCC untuk mengambil penumpang lewat malam pada 4 Januari lalu. 

Seorang lagi mangsa, Phua Teoh Bin, 53, yang memandu teksi sejak 15 tahun lalu, turut mengalami kerugian RM600 gara-gara teksinya ditendang sehingga kemek oleh samseng terbabit di KLCC pada Disember tahun lalu. 

“Ketika saya menurunkan seorang penumpang di KLCC, seorang penumpang lain yang menunggu teksi di situ menaiki teksi saya. 
“Tiba-tiba seorang lelaki mengambil gambar saya dan ketika bertanya tujuan tindakannya itu, dia terus menendang pintu teksi saya sehingga kemek,” katanya. 

Berikutan itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur dan Selangor, M Manickam merayu kerajaan campur tangan bagi menyelesaikan isu pemandu teksi di KLCC yang semakin tertekan dengan keadaan demikian. 

“Selaras slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, iaitu rakyat didahulukan, kami merayu supaya beliau melihat sendiri nasib pemandu teksi di sini yang semakin hari semakin kekurangan pendapatan. 

“Kami juga ingin tahu mengapa pemandu teksi Lembah Klang tidak dibenar mengambil penumpang di sini. Jika bukan di KLCC yang menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong asing, ke mana lagi kami mahu mengambil penumpang yang menjadi punca rezeki bagi menyara keluarga. 

“Sebelum ini, kami tidak dibenarkan mengambil penumpang di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT ) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sekarang peraturan sama dilaksanakan pula di KLCC,” katanya. 

Kemelut pemandu teksi di KLCC bermula apabila syarikat pengurusan Operasi Sistem Teksi KLCC dan Awana Sutera Sdn Bhd (ASSB) mengenakan bayaran RM50 sebulan, selain wang keahlian berjumlah RM120 setahun untuk mendapatkan pelekat biru sebagai syarat mengambil penumpang tetapi tindakan itu tidak disenangi pemandu teksi. 

Syarat itu menyebabkan lebih 300 pemandu teksi di Lembah Klang memboikot sistem berkenaan yang dianggap membebankan mereka berbanding sistem kupon atau caj servis di beberapa pusat tumpuan pelancong seperti Times Square dan Kuala Lumpur Sentral. 

Sindiket jual bayi ada rangkaian besar




2011/01/19

KUALA LUMPUR: Sindiket penjualan bayi terbesar yang dilumpuhkan minggu lalu dipercayai mempunyai rangkaian di luar negara sehingga membolehkan kumpulan itu mendapat pelanggan di beberapa negara terutama Singapura. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti saiz sebenar operasi sindiket terbabit yang berpusat di Lembah Klang, Sarawak dan Johor, termasuk mengesan saki baki anggota mereka.“Berikutan itu, tempoh siasatan akan dilanjutkan sehingga tiga bulan lagi bagi membanteras kegiatan ini hingga ke akar umbi. Kita sedang berhubung dengan pihak berkuasa di beberapa negara jiran bagi mendapatkan maklumat berkaitan.“Kita percaya kegiatan dilakukan secara terancang, Usaha paling penting kini untuk mengenal pasti saiz sebenar operasi sindiket itu,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam. 

Sabtu lalu, Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) D7 JSJ Bukit Aman, menahan lapan anggota sindiket terbabit, termasuk empat warga asing berusia antara 20 hingga 50 tahun, masing-masing di sebuah klinik swasta dan rumah kediaman di Selayang serta Subang Jaya hasil maklumat risikan. 

Turut diselamatkan tiga bayi berusia antara lima hingga tujuh hari yang dalam proses untuk diperdagangkan dengan harga di antara RM15,000 hingga RM20,000 bergantung kepada kesihatan dan paras rupa. 

Beberapa dokumen berkaitan pengeluaran sijil kelahiran, buku rekod dan wang tunai RM3,000 dipercayai pendahuluan pembelian bayi turut dirampas dalam serbuan itu. 
Semua lapan suspek ditahan reman sehingga 22 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. 

Sehingga kini, 30 suspek berjaya ditahan sejak operasi membanteras kegiatan penjualan bayi dilancarkan besar-besaran sejak pertengahan tahun lalu di Sarawak dan sekitar ibu negara, dengan 22 bayi berjaya diselamatkan. 

Mohd Bakri berkata, dalam serbuan terbaru itu pihaknya juga berjaya menyelamatkan dua wanita warga negara asing yang sarat mengandung dan seorang wanita tempatan dipercayai ibu salah seorang bayi yang diselamatkan di klinik swasta terbabit. 

“Kita percaya klinik itu sudah memperdagangkan sembilan bayi tidak termasuk tiga bayi yang berjaya selamatkan. Semua mereka (bayi dan ibu) yang berjaya diselamatkan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan dan penjagaan rapi,” katanya. 

Mohd Bakri berkata, pihaknya juga masih menyiasat sama ada ibu kandung bayi yang diperdagangkan itu menyerahkan bayi mereka secara sukarela atau dipaksa.