Search This Blog

Tuesday, January 18, 2011

Guru didakwa rogol anak muridnya berumur 12 tahun



18/01/2011 3:53pm


KOTA BHARU 18 Jan. – Seorang guru berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan selepas dia dituduh merogol anak muridnya di sebuah sekolah jenis kebangsaan di Pasir Puteh, dua tahun lalu.
Yek Hock Soon, 28, dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zainal L Saleh di sini hari ini, atas dua pertuduhan termasuk cubaan merogol mangsa di sekolah yang sama.
Mengikut pertuduhan pertama, Hock Soon yang berasal dari Sitiawan, Perak dituduh merogol mangsa yang ketika itu berumur 12 tahun tiga bulan antara pukul 8 pagi hingga 3 petang di makmal sains sekolah itu pada awal Ogos 2009.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat hendak mencabul kehormatannya di tempat yang sama kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada 17 Ogos 2009.
Dakwaan terhadapnya yang ditangkap pada 1 Oktober 2009, dibuat mengikut Seksyen 376(2) dan 354 Kanun Keseksaan. - UtusanUtusan Malaysia Online - Terkini

Sindiket jual bayi ada rangkaian antarabangsa - polis



18/01/2011 6:30pm

KUALA LUMPUR, 18 Jan. - Sindiket menjual bayi yang aktiviti mereka dibongkar di sekitar kawasan Lembah Klang minggu lepas dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa terutama dari beberapa negara jiran.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, terdapat beberapa orang bayi yang dibawa keluar dari negara ini melalui selatan tanah air.
"Apa yang menarik tentang sindiket ini ialah ia mempunyai kaitan dengan sindiket negara jiran yang beroperasi di selatan Semenanjung dan terdapat juga unsur-unsur bayi ini telah dibawa keluar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohd. Bakri berkata, dalam kes terbaru, polis berjaya menyelamatkan tiga orang bayi, dua wanita yang sarat mengandung yang berumur antara 20 hingga 30 tahun dan seorang wanita yang merupakan ibu kepada salah seorang bayi tersebut.
Polis pula menahan lapan wanita termasuk empat rakyat asing dan seorang lelaki yang merupakan anak kepada seorang suspek warga asing yang disyaki menjadi dalang sindiket tersebut, katanya. - BernamaUtusan Malaysia Online - Terkini

Batalkan cadangan lepas nyamuk GM




S.M. MOHAMED menunjukkan risalah mengenai risiko pelepasan nyamuk GM di George Town semalam.


GEORGE TOWN - Kerajaan digesa membatalkan kelulusan yang diberikan kepada Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK) untuk melepaskan berjuta-juta nyamuk aedes Kejuruteraan Genetik (GM) ke tempat awam bagi tujuan kajian perubatan.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris berkata, kesan pelepasan nyamuk itu terhadap kesihatan dan keselamatan manusia belum diketahui.
"Walaupun uji kaji itu pernah dibuat di Kepulauan Cayman pada tahun 2009 namun tiada sebarang laporan mengenai kejayaan uji kaji tersebut dan ia telah menimbulkan kontroversi," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Penyelidikan yang dimulakan pada September tahun lalu melibatkan pelepasan nyamuk GM jantan yang membawa gen 'pembunuh' yang dibiarkan mengawan dengan nyamuk betina liar sehingga menyebabkan kematian keturunan bagi kedua-dua jenis nyamuk itu.Kosmo! Online - Negara

Dua beranak dituduh rasuah pegawai pejabat tanah



18/01/2011 5:15pm

IPOH - Seorang bapa dan anak lelakinya hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat tuduhan merasuah sejumlah RM29,000 kepada seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) pada bulan lepas dan minggu lepas.
Ong Eng Lin, 47, dari 137A Mambang Diawan, Kampar, dan anaknya, Kien Choong, 25, didakwa secara bersama memberi suapan RM12,000 kepada Penolong Pegawai Tanah PTG Ipoh, Megat Saiful Nizam Megat Wahab, di Restoran Sabar Menanti di sini, pada pukul 10.35 malam, 11 Disember lepas.
Suapan itu sebagai dorongan supaya Megat Saiful Nizam untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka kerana menggunakan doket pengeluaran pasir yang tidak sah, satu kesalahan mengikut Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56/1965). - BernamaKosmo! Online - Terkini

Tauke ketagih sabung ayam




SEBAHAGIAN daripada 29 kaki judi yang ditahan selepas gelanggang sabung ayam di Bandar Country Home, Rawang diserbu polis kelmarin.


RAWANG – Kebiasaannya kaki judi memilih lokasi eksklusif untuk berjudi tetapi serbuan di sebuah gelanggang sabung ayam di Taman Saujana Utama, Bandar Country Homes di sini lain pula yang berlaku.
Tauke-tauke dan ahli perniagaan yang datang berjudi di situ sanggup berpanas dan duduk di atas kerusi papan semata-mata hendak melihat ayam yang dipertaruhkan sebanyak RM22,000 bagi setiap perlawanan bertarung.
Selain itu, kaki judi juga sanggup datang ke gelanggang yang terletak di tepi sebuah kolam ikan air tawar di situ walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dari Selangor, Melaka dan Pahang.
Bagaimanapun, kegiatan yang didalangi oleh seorang lelaki dari Kundang di sini sejak enam bulan lalu tidak ke mana apabila gelanggang itu diserbu pada pukul 4 petang kelmarin.
Dalam serbuan itu, seramai 29 kaki judi termasuk tiga wanita berusia di antara 30 dan 65 tahun ditahan. Dua daripada wanita itu merupakan warga Indonesia manakala seorang lagi warga tempatan.Kosmo! Online - Negara

Curi enjin jet: Esok keputusan permohonan habeas corpus



18/01/2011 5:23pm

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan esok untuk keputusan permohonan habeas corpus oleh bekas Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia, N. Tharmendran untuk dibebaskan daripada tahanan TUDM.
Hakim Datuk Su Geok Yiam menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam bela, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Tharmendran selaku pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan Mohamad Tarmizi Ahmad dan Ashyraf Ashyri yang mewakili keempat-empat responden.
Tharmendran memfailkan permohonan habeas corpus pada 26 November tahun lepas dengan menamakan Leftenan Kolonel Mohd. Razif Ramli, Komandan Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen, Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Menteri Pertahanan sebagai responden.
Terdahulu, Amer dalam hujahnya berkata, penahanan itu adalah salah atas alasan Tharmendran tidak lagi berkhidmat dengan TUDM selepas perkhidmatannya ditamatkan, selain gaji turut diberhentikan.
Katanya, Tharmendran tidak diberitahu mengenai lanjutan perkhidmatannya iaitu selama 12 bulan selepas tamat tempoh perkhidmatan pada 28 Mei tahun lepas. - BernamaKosmo! Online - Terkini

Bekas penyelia Kemas mengaku terima wang



18/01/2011 4:42pm

SHAH ALAM – Seorang bekas penyelia Pusat Kegiatan Masyarakat (Kemas) kawasan Sabak Bernam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan menerima dua keping cek dan wang tunai berjumlah RM15,000 daripada seorang kontraktor.
Russ Soli Harun, 58, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.
Tertuduh yang semasa kejadian bertugas sebagai Penyelia Kemas di Pejabat Kemas kawasan Parlimen Sabak Bernam didakwa menerima dua keping cek tunai berjumlah RM12,700 dan RM300 serta wang tunai RM2,000 yang dimasukkan ke dalam akaun BSN miliknya daripada Mohd Zaki Basar.
Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di Bank Bumiputra Commerce Bhd cawangan Sungai Besar, Sabak Bernam, pada 27 Disember 2004 dan 4 Februari 2005.
Tertuduh yang ditangkap pada 25 Ogos 2006 didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – BernamaKosmo! Online - Terkini

Musnah dijilat api




JOHOR BAHRU – Tindakan pantas penghuni di Rumah Pangsa Taman Melor yang menyedari kepulan asap keluar dari sebuah rumah di blok berkenaan, dan bertindak memadam api kebakaran itu perlu dipuji.

Kejadian berlaku kira-kira 9 pagi itu mengakibatkan sebuah rumah di tingkat lima musnah akibat dijilat api.

Difahamkan, penghuni rumah itu ke Kuala Lumpur atas urusan kerja terkejut apabila dihubungi jirannya untuk memberitahu kejadian yang berlaku.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Aminah Saiman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9 pagi dan dua jentera bergegas ke tempat kejadian.

“Namun, setelah sampai ke tempat kejadian, penghuni di sekitar rumah pangsa terbabit berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dan memadamkan api kebakaran itu dengan menggunakan alat pemadam api,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berkenaan berpunca dari sebuah bilik yang kemudian merebak sehingga ke ruang tamu.

“Pegawai siasatan kami menemui lilin, namun belum dapat dipastikan punca kejadian masih disiasat. Tindakan orang ramai membantu pihak bomba dipuji,” katanya
SH

UFO lawat Menara KL?




OBJEK terbang yang tidak dikenali atau UFO (dalam bulatan) dirakam di ruang udara Menara Kuala Lumpur pada Selasa lalu.


KUALA LUMPUR - Seorang penyelia kanan sebuah projek pembinaan di sini terkejut apabila mendakwa terlihat satu objek pelik yang dirakamnya melalui telefon bimbit melintasi ruang udara Menara Kuala Lumpur Selasa lalu.
Abdul Jalil Ibrahim, 50, berkata, pada kejadian pukul 7.46 pagi Selasa lalu, dia sedang merakam pemandangan awan dari tingkat 51 sebuah bangunan yang sedang dibina di sebelah sebuah hotel di Jalan Ampang di sini menggunakan telefon bimbit milik kawannya.
"Pada mulanya saya tidak menyedari ada objek pelik seakan-akan UFO (Objek Terbang Yang Tidak Dikenali) di dalam rakaman ini tetapi selepas empat hari, rakan setugas saya beritahu ada benda pelik pada gambar yang saya rakam dengan telefon bimbitnya.
"Apabila diteliti, saya terkejut melihat sebuah objek pelik berbentuk piring dan bujur berwarna hitam di ruang udara Menara KL," ceritanya lagi ketika ditemui Kosmo! semalam.
Bagaimanapun Abdul Jalil berkata, dia tidak dapat mengesahkan apa sebenarnya objek berkenaan walaupun jarak tapak binaan dengan Menara KL hanya sejauh satu kilometer.Kosmo! Online - Negara

Sebabkan kematian: Lelaki dipenjara 3 tahun



18/01/2011 3:06pm

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian seorang warga emas berusia 73 tahun di sebuah taman permainan di Cheras, tahun lepas.
Hakim Mohamad Sekeri Mamat membuat keputusan itu terhadap K. Suppiah, 62, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah hari ini dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 Oktober tahun lepas.
Suppiah didakwa menyebabkan kematian M. Periaswamy, 73, di Taman Permainan Kanak-Kanak Jalan Seluang, Taman Tenaga, Batu 3 1/2 Jalan Cheras, di sini pada 12.46 tengah hari, 7 Oktober 2010.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya. – BernamaKosmo! Online - Terkini

Lelaki didakwa edar 311.55g heroin



18/01/2011 2:54pm

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin, manakala lima lagi rakannya didakwa memiliki metamphetamine di mahkamah berasingan.
Affandi Mohammad, 36, dari Kampung Beris Panchor, Bachok, Kelantan didakwa mengedar dadah jenis heroin dengan berat kasar 311.55 gram pada 9.45 malam di hadapan Surau Haji Awang, Kampung Losong Haji Awang, di sini, 4 Januari lalu.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama yang membawa hukuman mati mandatori.
Tertuduh hanya mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin.
Majistret menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia. – BernamaKosmo! Online - Terkini

Remaja koma terbakar

 



Remaja koma terbakar 

Rakannya terbakar 30 peratus di bahagian belakang 

ZARINA HASHIM 



KANGAR – Sebuah kereta, motosikal serta cebisan kulit kaki dan cebisan pakaian terbakar ditemui bertaburan sepanjang satu kilometer di sekitar kawasan perumahan di Jalan Raja Syed Alwi di sini, semalam. 

Difahamkan, cebisan berkenaan dipercayai milik seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan rakannya yang dipercayai terbakar akibat terkena cecair mudah terbakar di hadapan sebuah rumah di sekitar taman perumahan terbabit. 

Kedua-dua mangsa dikatakan cuba melarikan diri dalam keadaan badan terbakar dengan menunggang sebuah motosikal sebelum rebah di hadapan sebuah rumah di sini. 

Nasib tidak menyebelahi mereka apabila remaja 17 tahun itu bagaimanapun kini koma selepas melecur teruk hampir keseluruhan badan manakala rakannya terbakar 30 peratus di bahagian belakang badan. 

Ketua Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nashir Ya berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci kes kejadian bakar itu dan kaitannya dengan penemuan sebuah kereta dan motosikal serta dua remaja yang melecur teruk dibakar di lokasi kejadian. 

“Dua remaja yang melecur teruk itu ditemui penduduk di taman perumahan di sini dan dikejarkan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) sebelum masing-masing dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Nashir berkata, berhubung kes terbabit, pihaknya menerima dua laporan polis iaitu daripada bapa remaja berusia 17 tahun kira-kira jam 6 pagi semalam dan seorang pemilik rumah di taman perumahan berkenaan. 

Pemilik rumah berkenaan mendakwa kereta Toyota SE milik menantunya yang diletakkan di hadapan rumah di tepi Jalan Raja Syed Alwi di sini, terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat. 

“Selepas menerima laporan, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebelum mendapati sebuah kereta dan sebuah motosikal yang terletak pada jarak kurang daripada 500 meter antara satu sama lain hangus,” katanya. 

Beliau berkata, siasatan juga menemui pelbagai bahan bukti di sepanjang laluan kira-kira satu kilometer dari lokasi kereta dibakar termasuk telefon bimbit, topi keledar, dua selipar berlainan jenis, cebisan pakaian yang terbakar serta kulit tapak kaki manusia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan. 

“Kami tidak mahu buat sebarang spekulasi dan polis dijangka mengambil keterangan daripada kedua-dua remaja terbabit terutama seorang daripada mereka yang kini dilaporkan stabil untuk membantu siasatan,” katanya. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana membabitkan perbuatan khianat dengan api dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pusat snuker diserbu




SEREMBAN - Sebuah pusat snuker di Jalan Kapitam Tam Yeong, di sini, semalam, diserbu pihak berkuasa gara-gara pemilik premis berkenaan menjalankan aktiviti curi air sebulan yang lalu. 

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Penguatkuasaan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan Span (BHEPPP SPAN), Mohadir Hid, bermula jam 11.30 pagi. 

Jurucakap Sains berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut selepas menjalankan pemantauan dan siasatan selama sebulan berhubung kegiatan curi air di premis berkenaan. 

“Hasil pemeriksaan lanjut di pusat snuker itu mendapati, berlaku penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 12 milimeter (mm) daripada paip utama milik Sains. 

“Selain itu, ujian klorin turut dijalankan untuk memastikan sama ada bekalan air premis berkenaan adalah air terawat milik Sains atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui, semalam. 

Menurutnya, satu notis memaklumkan kesalahan dikeluarkan terhadap pemilik premis berkenaan dan paip yang digunakan turut disita sebagai bahan bukti. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA 2006) iaitu melakukan penyambungan semula paip air selepas pemotongan bekalan air dijalankan sebelum ini.

“Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis berkenaan disewa dengan kos RM1,000 sebulan dan disyaki menjalankan kegiatan mencuri air sejak sebulan lalu. 

“Ketika serbuan, pemilik premis tiada di situ dan notis diserahkan kepada seorang pekerja berumur 30-an untuk tindakan selanjutnya.

“Kami akan meningkatkan pemantauan secara berterusan bagi menangani kegiatan curi air di seluruh negeri ini tanpa mengira sama ada kes membabitkan pengguna komersial atau domestik,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerjasama orang ramai membendung aktiviti haram berkenaan sememangnya amat dihargai dan diperlukan.

“Mereka yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982. Mereka tidak perlu bimbang kerana identiti sumber dirahsiakan,” katanya.

Sarang maksiat




DAMANSARA DAMAI – Sekali pandang nampak macam sebuah pasar, tetapi hakikatnya cukup berbeza. 

Tidak tahu di mana silapnya bangunan lima tingkat yang dilengkapi parkir kenderaan dan ruang niaga yang siap enam tahun yang lalu terbiar begitu sahaja. 

Bagi penduduk setempat keadaan itu cukup ‘mengerikan’ kerana ianya dilihat berpotensi menjadi ‘port’ maksiat. 

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi tersebut menguatkan lagi dakwaan yang kawasan berkenaan menjadi tumpuan golongan yang ingin melakukan kegiatan tidak bermoral. 

Tambahan pula di kawasan sekitar bangunan terdapat banyak kesan tayar motosikal dan kereta menunjukkan bangunan itu sering dikunjungi. 

Penduduk Rumah Kedai Saujana Damansara, Aziz Taha, 67, berpendapat, jika bangunan tersebut terus terbiar ia akan menjadi hotel percuma untuk maksiat, sarang penagih dan aktiviti negatif. 

“Keadaan kawasan ini memang sunyi, kita tidak tahu apa tujuan kenderaan yang keluar masuk ke bangunan tinggal ini, jadi sebelum masalah ini menjadi lebih besar ada baiknya jalan keluar masuknya ditutup terus,” katanya.

Mayat wanita rentung ditemui belakang restoran





2011/01/18

IPOH: Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan rentung, dipercayai dibakar penjenayah di belakang sebuah restoran di Jalan Pasir Putih di sini, jam 8 pagi tadi. 

Mayat mangsa ditemui kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh di sebelah tong sampah besar.Ketua Polis Daerah Ipoh, Azisman Alias, mengesahkan penemuan mayat itu.

Lelaki menyamar polis minta wang lepaskan tahanan

IPOH: Seorang lelaki dikesan menyamar sebagai anggota polis yang memperdaya orang ramai dan menuntut bayaran sehingga RM10,000 kononnya dia dapat membantu membebaskan seseorang yang ditahan kerana kesalahan jenayah. 

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan, berkata tiga kes dilaporkan kepada polis minggu lalu oleh mangsa yang menyerahkan wang antara RM8,000 dan RM10,000 kepada lelaki itu untuk membebaskan saudara mereka yang ditahan polis.

"Tiada proses rundingan antara polis dan orang tengah, sebaliknya polis akan menjalankan siasatan berhubung sesuatu tangkapan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak di sini hari ini.
Shukri berkata, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan oleh suspek ialah menyamar sebagai anggota polis dan menelefon mangsa yang terbabit yang sanggup menyerahkan wang sebagai upah untuk melepaskan anak atau saudara mereka yang ditahan polis. 

"Mangsa merasa tertipu apabila anak atau keluarga mereka yang dijanjikan dibebaskan tidak muncul selepas wang tersebut diserahkan kepada suspek," katanya. - BERNAMA 

Suami isteri antara tiga maut nahas




2011/01/18

KUANTAN: Pasangan suami isteri adalah antara tiga yang maut dalam dua kemalangan di Pahang semalam. 

Ketua Ketenteraman Awam Dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata dalam kemalangan pertama pada 3.10 pagi, Mohd Jurid @ Hassan Awang, 40, dan isteri, Siti Nuraisyah Mohd Rashid, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.
"Dalam kejadian itu, PROTON Saga yang dipandu Siti Nuraisyah terbabas ketika memasuki bulatan Aspa Cottage di sini sebelum melanggar tebing penghadang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamed Fauzi berkata, kemalangan kedua berlaku di KM2 Jalan Ringlet-Sungai Koyan, dekat Cameron Highlands, pada 8 pagi semalam, membabitkan seorang warga Indonesia yang dikenali sebagai Ikhwan, 47. 

Katanya, ketika kejadian mangsa bersama rakannya Mukhid Toyib, 41, yang menaiki sebuah jip dalam perjalanan dari kebun sayur di Hulu Bertam Valley ke pekan Bertam. 

"Sampai di tempat kejadian satu daripada tayar belakang kenderaan yang dipandu rakan mangsa tercabut sebelum kenderaan berkenaan gagal dikawal dan berpusing tiga kali," katanya. 

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa yang berada di bahagian belakang tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu hanya mengalami kecederaan ringan. - BERNAMA 

Dua beradik, rakan ditahan disyaki pecah rumah




2011/01/18

MARANG: Tiga remaja termasuk dua beradik lelaki dan perempuan masing-masing berumur 14 dan 13 tahun yang disyaki terbabit dalam empat kes pecah rumah di sekitar Taman Perumahan Aquarius, dekat sini, berjaya ditahan polis. 

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, dua beradik itu dan rakan mereka berumur 14 tahun ditahan di rumah masing-masing pada Jumaat lalu.
"Remaja yang berusia 14 tahun dan adik perempuannnya, 13, yang tidak bersekolah itu ditahan bersama pelajar lelaki tingkatan dua yang berasal dari
Chendering, Kuala Terengganu dipercayai mula aktif dalam kegiatan pecah rumah 
sejak November lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Katanya, hasil siasatan mendapati beberapa barangan curi ditemui semula antaranya televisyen 32 inci, kamera dan kamera video, peralatan komputer dan pakaian bernilai RM20,000 yang disembunyikan dalam semak berhampiran rumah dua beradik 
itu. 

Beliau berkata, kumpulan remaja itu dipercayai memasuki rumah mangsa melalui bumbung bilik mandi atau tandas sebelum mengumpil pintu belakang dari dalam rumah untuk mengangkut keluar barang curi ketika penghuni tiada di rumah. 
Sementara itu, Ahmad Mazlan berkata, dalam 'Ops Lejang' yang diadakan 
semalam, polis menahan dua pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di sini yang 
disyaki terbabit dalam kes kecurian motosikal di daerah itu. 

"Hasil siasatan terhadap dua remaja itu, hampir semua komponen motosikal 
jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang di kawasan itu sejak Disember tahun lalu 
berjaya ditemui semula," katanya. - BERNAMA 

Mayat nelayan hilang dijumpai di Pantai Kelulut




2011/01/18

KUALA TERENGGANU: Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang di Pantai Kelulut, Marang dalam kejadian bot karam pada Ahad lalu, ditemui pagi tadi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Romaina Harun berkata, mayat Abdullah
Salleh, 51, dijumpai terdampar di tepi pantai berhampiran Sekolah Kebangsaan Cendering oleh orang awam kira-kira 7.30 pagi.
Beliau berkata, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah 
untuk bedah siasat. 

Dalam insiden itu, bot yang dinaiki mangsa dan dua nelayan lain dipercayai 
bocor sebelum karam dua batu nautika dari Pantai Pandak, Cendering. 

Mereka yang terselamat dalam kejadian itu ialah adik mangsa Yusof, 49, dan Md Ali Musa, 61. 

Kedua-duanya ditemui dalam keadaan lemah di tepi Pantai Rusila pada jam 1 tengah 
hari Ahad lalu selepas berpaut pada sebiji tong fiber hampir lapan jam. - BERNAMA