Search This Blog

Monday, January 17, 2011

Kanak-kanak antara 9 mangsa letupan bom di Afghanistan


17/01/2011 2:32am

MAZAR-I-SHARIF, Afghanistan 17 Jan. - Sembilan orang termasuk seorang kanak-kanak yang dalam perjalanan ke majlis perkahwinan mati dalam letupan bom tepi jalan di selatan negara itu semalam, kata polis dan pegawai tempatan.
Mangsa yang terdiri daripada enam wanita, dua lelaki dan seorang kanak-kanak itu mati di tempat kejadian apabila letupan menghentam mini bas yang mereka naiki.
Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Pul-e-Khumri, ibu negeri wilayah Baghlan melalui jalan perkampungan yang sering diguna oleh tentera asing.
Polis tempatan mengesahkan kejadian itu, namun tidak diketahui siapa yang bertanggungjawab melakukannya.
“Kesemua mangsa adalah orang awam,” kata gabenor wilayah, Abdul Majeed. - AFP

Rakyat Sudan diperintah bela diri tuduhan bunuh anak


17/01/2011 11:57am

SHAH ALAM 17 Jan. - Warganegara Sudan, Mohannad Taha Ismail diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak teman wanitanya, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah dua tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah memerintahkan demikian sebaik sahaja selesai mendengar hujahan di akhir kes pendakwaan oleh kedua-dua pihak.
Beliau menetapkan esok untuk tertuduh mula membela diri secara bersumpah dari kandang saksi.-Utusan.

Saman terhadap SPRM dan kerajaan ditetap pada 28 Februari


17/01/2011 1:19pm

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 28 Februari untuk mendengar kes saman seorang peguam Rosli Dahlan terhadap 17 defendan termasuk pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan ekoran penahanannya dan seterusnya didakwa kerana gagal menyatakan maklumat mengenai asetnya.
Timbalan Pendaftar, Anisah Normah Muhammad Noor menetapkan tarikh itu di dalam kamar di sini.
Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad mewakili defendan yang terdiri daripada pegawai SPRM, Timbalan Pendakwa Raya dan kerajaan memberitahu pemberita, bahawa pada tarikh itu hakim akan mendengar permohonan defendan ke-16 iaitu Pengurus di Unit Perisikan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) Abdul Rahman Abu Bakar untuk membatalkan saman itu kerana mendakwa ia menyalahi proses mahkamah. - Bernama

Saman fitnah bapa terhadap bekas kekasih anak ditolak


17/01/2011 3:12pm

TEMERLOH 17 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak saman fitnah seorang bapa dan seorang bomoh terhadap bekas kekasih anak perempuannya berhubung beberapa artikel di akhbar berbahasa Mandarin, tiga tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menolak permohonan itu dengan kos RM8,000 selepas memutuskan artikel-artikel termasuk yang bertajuk “Bapa yang mencari rezeki haram menyerahkan anak perempuannya kepada bomoh selama tiga tahun atas kepercayaan karut. Gadis membunuh diri kerana enggan menjadi hamba seks bomoh” bukan dari sumber defendan pertama, Chow Yan Wai, 33.
"Saya mempercayai defendan hanya menceritakan kisah cintanya, perkara-perkara lain (dalam akhbar) bukan dari defendan tetapi datang dari sumber lain,” katanya.
Bapa wanita berkenaan, Ngew Sin Chon, 52, yang juga seorang ahli perniagaan serta bomoh, Liew Fatt Meng, 47, memfailkan saman itu pada 7 Januari 2009 dengan menamakan Yang Wai, The China Press Bhd dan Ketua Editor The China Press (pada ketika itu), Teoh Yang Koon sebagai defendan.
Mereka mendakwa kenyataan Yan Wai yang telah dicetak, diterbitkan serta disiarkan oleh akhbar berkenaan bermaksud bahawa mereka adalah syaitan, orang yang tidak jujur, keji dan tidak berperikemanusiaan. - Bernama

Kereta, motosikal terbakar: Polis siasat kaitan dua remaja melecur


17/01/2011 4:56pm

KANGAR 17 Jan. – Kebakaran membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Raja Syed Alwi, di sini, awal pagi ini, menimbulkan misteri apabila ia mungkin mempunyai kaitan dengan kes dua remaja yang melecur dan kini dirawat di dua buah hospital di Alor Setar, Kedah.
Lebih menjadi tanda tanya, kira-kira satu kilometer dari lokasi kereta jenis Toyota LE itu, polis menemui beberapa kesan terbakar, antaranya cebisan kulit manusia dipercayai tapak kaki, cebisan kain, telefon bimbit, topi keledar dan sepasang selipar berlainan warna.
Berikutan kejadian itu, polis sedang menyiasat kaitan dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 19 tahun yang dirawat di hospital setelah mengalami kecederaan melecur. – Utusan

Bas bawa pelajar UiTM terbalik, 6 cedera


17/01/2011 5:25pm

IPOH 17 Jan. – Sebuah bas yang membawa seramai 35 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, Perlis terbalik dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 334, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Tapah, dekat sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 4.15 pagi itu, seramai enam pelajar mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan. - Utusan

Lembu dijangkiti sakit kuku dan mulut


17/01/2011 4:12pm

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengesan 62 ekor lembu diserang penyakit kuku dan mulut sejak November lepas hingga kini.
Timbalan Pengarah JPV negeri, Dr. Ahmad Shafri Hassan berkata, wabak itu dikesan di Padang Kemunting di sini melibatkan 50 ekor lembu sementara 12 ekor lagi dikesan di Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.
"Kita percaya penyakit berlaku sejak November lalu. Bagaimanapun tidak ada ternakan yang mati setakat ini,” katanya kepada Bernama

3 wanita ditahan sabung ayam


17/01/2011 4:49pm

KUALA LUMPUR - Tiga wanita — dua warga Indonesia dan seorang warga tempatan — adalah antara 29 individu yang ditahan polis semalam, kerana dipercayai terlibat dalam perjudian sabung ayam di sebuah bangsal kolam ternakan ikan air tawar di Taman Saujana Utama, Bandar Country Home, Rawang.
Suspek berumur 20 hingga 31 tahun berada di premis berkenaan ketika polis menyerbu bangsal itu kira-kira 5.30 petang dan mereka ketika itu dikatakan asyik melihat pertarungan ayam sabung.
Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, kata Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan polis, bangsal yang terletak di pedalaman itu telah hampir seminggu dijadikan pusat kegiatan judi sabung ayam. - Bernama

6 warga asing ditangkap seludup dadah


17/01/2011 5:55pm

SHAH ALAM - Lima warga Iran, tiga daripadanya wanita dan seorang lelaki warga India adalah enam warga asing yang ditangkap polis pada Khamis dan Sabtu lepas kerana cuba menyeludup masuk 56.84 kg dadah bernilai RM8.69 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata, kesemua mereka ditangkap dalam tiga cubaan membawa masuk dadah jenis syabu dan ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di Sepang.
Tangkapan pertama membabitkan tiga wanita dan seorang lelaki warga Iran yang baru tiba dari Tehran di LCCT pada pukul 1.30 petang, Khamis lepas, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati setiap mereka memakai empat bengkung berisi dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan 28.34 kg.
"Setiap bengkung berisi syabu seberat kira-kira empat kilogram dan kesemuanya bernilai kira-kira RM7.09 juta. Turut dirampas daripada kesemua suspek ialah wang tunai RM3,030 dan Iran Riyal 38,000,” katanya. - Bernama

Pelajar dibunuh kejam sebelum ditanam belakang rumah


17/01/2011 8:06pm

KOTA SAMARAHAN - Seorang pelajar yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui mati dibunuh secara kejam dan mayatnya ditanam dalam lubang sedalam setengah meter di belakang sebuah rumah di Kampung Sadong Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Abdul Rahman Ahmad berkata, Taufik Abdul Rahim, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semera mati akibat kecederaan parah di kepala dipercayai dibunuh sekumpulan lelaki yang terbabit dalam sindiket curi motosikal serta pecah rumah.
Beliau berkata, penemuan mayat mangsa yang berasal dari Kampung Iboi, Sadong Jaya pada jam 10 pagi ini susulan penahanan seorang remaja berusia 19 tahun di Kampung Sadong Jaya awal hari ini yang dipercayai turut terbabit dalam pembunuhan tersebut.
"Menerusi siasatan awal polis, suspek mengaku terbabit dalam kejadian tersebut dan turut mendedahkan lokasi mangsa ditanam kira-kira 10 pagi ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian. - Bernama

Kanak-Kanak 9 Tahun Yang Hilang Ditemui



Setelah hilang lebih 12 jam dan mundar-mandir seorang diri, seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun berjaya ditemukan semula dengan ibu bapanya.
Difahamkan, ibu bapanya tidak menyedari kehilangan anak mereka kerana sibuk berniaga.
Kanak-kanak yang dikenali sebagai Siti Aisyah itu ditemui 9 malam tadi dalam keadaan letih dan trauma di kawasan kedai Alam Perdana setelah seharian berjalan tanpa makan.
Dia yang dipercayai tersesat ditemukan semula dengan ibu bapanya di Balai Polis Damai Perdana, Cheras pagi tadi.
Doktor yang membuat pemeriksaan tidak menemui sebarang kecederaan pada kanak-kanak ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata polis yang menghubungi guru besar sekolah kanak-kanak kemudian mengesan kedua-dua ibu bapanya.
Dia dipercayai keluar sejak tengah hari semalam, tanpa pengetahuan ibu bapanya yang berniaga minuman di Bukit Belimbing.
Kanak-kanak itu ditinggalkan bersama adiknya, berusia 7 tahun, tanpa ada yang menjaga mereka.

Gempa sederhana landa Tonga





2011/01/17

WELLINGTON: Gempa berukuran 5.4 magnitud melanda perairan Tonga, awal pagi tadi tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan. 

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bawah laut di kedalaman 23 kilometer itu berpusat di 118 kilometer dari ibu negara, Nuku’Alofa dan berlaku kira-kira jam 8.42 pagi waktu tempatan.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik Hawaii juga mengesahkan tiada amaran tsunami dikeluarkan berikutan gempa itu. - AFP

Ejen hartanah ambil kesempatan dengan menipu

MAKKAH: Permintaan yang tinggi terhadap hartanah di Makkah mendorong sesetengah ejen jualan - digelar al-Shiraitis - menggunakan pelbagai kaedah untuk mengaut keuntungan, termasuk menipu.
Biasanya, seseorang ejen mendapat 2.5 peratus komisyen daripada harga jualan setiap bangunan atau tanah yang diuruskan.

Al-Shiraitis itu sering merayau di sekitar Makkah bagi mencari mana-mana hartanah terbiar untuk ditawarkan kepada yang berminat.

Bagaimanapun, kadang-kadang mereka turut menawarkan hartanah terbiar milik orang lain.

Seorang lelaki tempatan, Fahd al-Sharif, berkata dia memiliki tanah di daerah al-Nuwariyyah dan memasang tembok konkrit di sekelilingnya bagi menandakan ia adalah miliknya, “Sebulan lalu saya terkejut melihat ada papan tanda dinaikkan di situ bagi menawarkan tanah berkenaan untuk jualan,” katanya, semalam.

Kata Fahd, dia menghubung ejen berkenaan dan ‘berunding’ bagi mengetahui harga tanah itu.

“Selepas 20 minit berunding, saya menunjukkan geran tanah dan dia terkejut,” katanya.

Ejen itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sumber polis berkata, ejen itu berkawan dengan seseorang yang memiliki tanah berhampiran hartanah Fahd.

“Nampaknya ejen itu cuba menjual tanah rakannya secara diam-diam,” katanya.

Pengalaman sama turut dilalui Ahmad Alaya yang memiliki tanah seluas 1,000 meter persegi di al-Shouqiyyah.

“Tiba-tiba saya terkejut ada papan tanda dinaikkan di situ menyatakan tanah berkenaan ingin dijual,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad menghubungi ejen terbabit dan menjelaskan keadaan sebenar. - AN

2 tentera AS maut ditembak dalam latihan

BAGHDAD: Dua tentera Amerika Syarikat maut dalam latihan selepas seorang anggota keselamatan Iraq menyeludup masuk peluru hidup dan menyerang mereka, kata pegawai keselamatan semalam.
Sumber berkata, dalam kejadian kelmarin itu, seorang tentera Iraq dipercayai menyeludup masuk peluru hidup ke kem tentera AS ketika latihan berkenaan akan dilangsungkan.

Tentera Iraq itu kemudian ditembak mati sejurus selepas dia melepaskan tembakan ke arah tentera AS terbabit.

Kata sumber, latihan itu diadakan pada waktu pagi di kem tentera AS di utara Mosul.

“Latihan itu sepatutnya tidak menggunakan peluru hidup dan serangan tentera Iraq terbabit dipercayai memang dirancang,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang tentera AS turut maut dalam operasi di tengah Iraq, semalam.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diberikan. - AP

4 wanita penagih dadah kecoh di balai polis

DUBAI: Empat wanita tempatan ditahan kerana mengambil dadah baru-baru ini menimbulkan kekecohan di penjara wanita, kata sumber semalam.
Katanya, semua wanita terbabit ditahan minggu lalu dan ditempatkan berasingan di Balai Polis al-Muraqqabat.

“Seorang daripada mereka gagal mengawal diri dengan menjerit pada setiap masa, manakala yang lain asyik menghentak-hentak kepalanya ke dinding,” katanya.

Apabila ditanya, katanya, seorang daripada tahanan itu ada memberitahu namanya.

“Saya menegurnya ketika makan,” katanya.

Sumber itu berkata, keempat-empat tahanan itu kelihatan masih muda dan memakai pakaian tradisional.

Sementara itu, jurucakap polis Dubai berkata, wanita terbabit diberkas kerana didapati mengambil dadah dan alkohol.

Bagaimanapun, tiada sebarang identiti atau maklumat lain diberikan pihak berkuasa kepada media.

Polis juga tidak menyatakan bagaimana keempat-empat wanita terbabit ditahan. - GN

Kes pelajar dihempap pokok tak jejas kehadiran pelawat

LEDANG: Kawasan perkelahan Gunung Ledang, terus menjadi tarikan pengunjung biarpun dikejutkan dengan kejadian dua pelajar Universiti Teknikal Melaka (UTeM) dihempap pokok ketika mandi-manda di kawasan itu, baru-baru ini.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Mohd Syazwan Zainal Abidin, 21, berkata dia tidak risau untuk menjadikan Gunung Ledang sebagai destinasi pilihan bersantai pada cuti hujung minggu.

Malah, dia sanggup mengharungi perjalanan sejauh 100 kilometer semata-mata untuk bersantai di kawasan perkelahan itu.

“Saya membaca laporan akhbar Harian Metro baru-baru ini mengenai pelajar ditimpa pokok, namun semua itu tidak langsung merisaukan saya dan rakan-rakan kerana ia membabitkan kes terpencil dan jarang sekali berlaku.

“Kejadian itu juga membabitkan faktor alam semula jadi yang sukar dijangka, jadi kami perlu sentiasa beringat dan berhati-hati selepas ini, bukannya langsung tidak ke mari,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Kakitangan swasta, Salmah Hamid, 36, berpendapat pihak pengurusan perlu sentiasa memantau keadaan sekitar terutama pokok besar yang sudah reput serta membahayakan keadaan pengunjung.

“Saya cadangkan pokok seperti itu ditebang atau dicantas dahannya bagi memastikan peristiwa dihempap pokok tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua pelajar Universiti Teknikal Melaka (UTeM) cedera apabila mereka dihempap pokok ketika mandi-manda di kawasan perkelahan berkenaan.

Dua mangsa terbabit ialah Salman Al Farisi Ahmad Sabri dan Muhamad Hafizudin Abdullah masing-masing berusia 21 tahun, cedera di badan termasuk seorang patah tulang rusuk.

Tiupan angin kencang dikatakan menjadi punca sebenar pokok berusia ratusan tahun itu tumbang. Kedua-dua mereka diberikan rawatan di hospital berhampiran dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Pengarah Urusan Gunung Ledang Resort (GLR), Tey Chee Yan (gambar) ketika ditemui berkata, pihaknya sentiasa memastikan keselamatan orang ramai yang berkunjung di sekitar pusat peranginan berkenaan.

“Orang ramai tidak perlu takut untuk berkunjung ke sini kerana GLR menugaskan renjer terlatih untuk memantau keadaan sekitar.

“Selain itu juga, papan tanda amaran juga disediakan di tempat yang merbahaya untuk memberi amaran kepada orang ramai,” katanya di sini.

Menurutnya, selain menugaskan renjer bagi langkah keselamatan, orang ramai juga perlu memberi kerjasama yang baik jika berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Selain itu juga, Tey berharap pengunjung lebih berhati-hati ketika berkunjung ke pusat peranginan itu lebih-lebih lagi pada cuaca buruk atau musim hujan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku selepas ini.

Cedera mata kiri berebut biskut

SUBANG JAYA: Hanya kerana sekeping biskut, seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia awal 20-an cedera pada mata kiri apabila dibelasah dengan penyapu oleh rakan sekerja, seorang warga tempatan di rumah majikan mereka di SS14, di sini, kelmarin.
Difahamkan, ketika kejadian, majikan mereka yang bertugas sebagai doktor tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kedua-dua pembantu rumah terbabit bertengkar bagi mendapatkan sekeping biskut untuk bersarapan.

Menurut sumber, mereka tidak pernah bergaduh selama bekerja lebih setahun di rumah berkenaan dan sering berkongsi masalah.

“Namun, rakan sekerja mangsa berusia awal 30-an itu mula hilang pertimbangan apabila gagal berebut mendapatkan biskut daripada mangsa.

“Dia (suspek) memaki hamun mangsa menyebabkan mereka berdua bertengkar lebih 10 minit di dapur rumah berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, sebaik melihat rakan sekerjanya itu masih tidak berpuas hati, mangsa memohon maaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan sama.

“Namun, permohonan maaf mangsa bagi memenangi semula hati rakan sekerjanya itu sudah terlambat. Ini kerana suspek sebaliknya menjadi lebih agresif apabila memukul mangsa dengan penyapu,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang bagaikan dirasuk membelasah mangsa lebih 20 minit dan ketika itu, mangsa hanya menutup muka menggunakan tangan.

“Mangsa juga menangis sambil merayu dikasihani sebelum suspek berhenti memukul seluruh tubuhnya. Ketika itu mangsa menyangka rakannya itu sudah berpuas hati membelasahnya, namun sangkaannya meleset kerana sebaik mendongakkan kepala satu hayunan penyapu mengenai mata kirinya,” katanya.

Sumber berkata, pukulan itu menyebabkan mata mangsa mengalami pendarahan serius.

“Panik dengan keadaan mangsa, suspek berlari masuk ke biliknya sebelum mengurungkan diri,” katanya.

Sumber berkata, mangsa menghubungi majikannya melaporkan kejadian terbabit.

“Majikannya yang bergegas pulang tiba di rumah kira-kira 20 minit kemudian membawa mangsa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di kawasan berkenaan,” katanya.

Bimbang keselamatan diri serta keluarga, doktor berkenaan membuat laporan di Balai Polis Subang, di sini, semalam.

Sumber berkata, mangsa dilaporkan menjalani pembedahan bagi memulihkan mata kirinya itu, namun difahamkan kemungkinan penglihatan mangsa pulih sepenuhnya tipis.

Difahamkan, polis sudah merakamkan percakapan kedua-dua pembantu rumah terbabit dan siasatan lanjut dilakukan.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Suami dijel, isteri minta dibicara

KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur, Mohd Faizul Azri Zulkefli, 28, dipenjara setahun selepas mengaku bersalah menyamar polis dan memiliki pasport orang lain tanpa kebenaran di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Isterinya, Fatimah Nur Hidayah A Ghafor, 25, pula tidak mengaku salah dan minta dibicarakan atas pertuduhan menyamar polis dalam pertuduhan yang dikemukakan berasingan di mahkamah sama.

Majistret Siti Faraziana Zainuddin menetapkan 27 Februari ini sebagai tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 13 Disember lalu kira-kira jam 6 petang di simpang lampu isyarat berhampiran pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini.

Mereka ditahan selepas mengaku penjawat awam dengan mengetahui mereka tidak memegang jawatan itu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan atau mencuba melakukan perbuatan atas kuasa jawatan itu yang disamarnya itu dan oleh itu mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Akhbar pada 14 Disember tahun lalu melaporkan pasangan terbabit yang mendakwa sebagai anggota polis dari Bukit Aman ditahan anggota polis ketika mereka melakukan ‘operasi khas’ memeras wang orang ramai.

Mereka ditahan selepas sepasukan anggota yang melihat gelagat pasangan terbabit mencurigakan kerana mereka memakai selipar ketika mengadakan ‘operasi’ menahan kenderaan di beberapa jalan di bandar raya ini.

Bagi kesalahan memiliki pasport pula, Mohd Faizul Azri didapati melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6.30 petang pada hari dan tempat sama.

Kitab hangus maahad terbakar

PELAJAR sekolah agama Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zalifah di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar, semalam, menyusun sebahagian kitab yang masih boleh digunakan dan gambar kanan pula pelajar membantu mengangkat zink yang rosak selepas maahad itu terbakar. - Foto Shahrizal Md Noor

ALOR SETAR: “Kebakaran ini terlalu pantas dan tidak sampai 10 minit api marak sehingga memusnahkan keseluruhan bilik,” kata Ahmad Firdaus Lokman, 25, pelajar Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zalifah di Lorong Pak Mat Kastam, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, kebanyakan pelajar bercuti, manakala sebahagian kecil tinggal di beberapa bilik di tingkat atas bangunan dua tingkat itu.

Ahmad Firdaus berkata, ketika kejadian, dia berehat dalam sebuah bilik di tingkat atas bangunan terbabit apabila ternampak api marak membakar bahagian atas pusat pengajian itu.

Katanya, dia memanggil rakannya, Abdul Rufie Ismail, 19, yang berada di bilik bersebelahan supaya menyelamatkan diri dan memberitahu pengetua mereka, Mohd Rodhi Abdul Rahman, 41, mengenai kejadian itu.

Kebakaran itu menyebabkan lima pelajar yang tinggal di situ tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka termasuk pelbagai kitab pengajian.

“Kami cuba memadamkan api, tetapi ia marak terlalu cepat dan menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Kebakaran ini merosakkan banyak barang milik saya termasuk komputer bimbit, telefon, buku, kitab, pakaian, dompet dan wang tunai dianggarkan bernilai lebih RM5,000.

“Saya sedih dengan kejadian ini kerana pada Ogos nanti saya akan menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir, namun dengan kejadian ini, ia menyukarkan saya ke sana,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rodhi berkata, maahad itu yang dibina sejak 1998 mempunyai 65 pelajar, termasuk 11 perempuan yang berusia antara 13 dan 25 tahun.

Mohd Rodhi berkata, kebakaran itu menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM150,000.

“Ketika kejadian saya mengadakan mesyuarat bersama lima guru di tingkat bawah sekolah dan terdengar riuh-rendah orang ramai di luar bangunan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba Jalan Raja, Mohamad Shukri Nayan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.57 pagi dan mengerahkan tiga jentera bersama 14 anggota untuk memadamkan api.

Kes bunuh warga emas disiasat



SEREMBAN 16 Jan. - Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes pembunuhan seorang warga emas yang mati dibunuh oleh sekumpulan penjenayah remaja di Felda Palong 2, Jempol malam Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, empat suspek termasuk seorang perempuan berusia 15 hingga 18 tahun masih direman bermula Jumaat lalu sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Polis kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini.
"Kita juga sedang melakukan soal siasat dan merakam keterangan suspek serta saksi kejadian bagi melengkap kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, sepasang suami isteri, Mohtar Yusoh, 71, dan Halimah Yasin, 57, tidak menyangka kepulangan mereka ke rumah di Felda Palong 2 selepas menghadiri majlis tahlil disambut tragedi.
Mohtar mati ditikam oleh salah seorang daripada empat remaja yang memecah masuk rumah mereka, manakala isterinya turut dicederakan dengan objek keras sehingga menerima 30 jahitan di bahu, dada dan lengan.
Turut terlibat dalam kes itu dipercayai cucu pasangan tersebut yang berusia 17 tahun dan kumpulan suspek terbabit sempat melarikan sebuah beg milik Halimah yang berisi barang kemas dan wang tunai bernilai lebih RM10,000.
Menurut Hamdan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

1,000 liter diesel subsidi dirampas

TAIPING 16 Jan. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini merampas 1,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM4,000 dalam satu serbuan di sini, Rabu lalu.
Dalam serbuan pukul 1 pagi itu, sepasukan pegawai diketuai Ahmad Zakhiri Mohamad telah membuat intipan ke atas sebuah van yang membawa muatan minyak tersebut.
Ketuanya, Basaruddin Mohiyuddin berkata, pasukan itu membuat pengintipan lebih 15 minit dan mengekori van tersebut selama satu jam bagi mengesan kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, tidak lama kemudian, pihaknya menahan van tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati, van itu membawa dua tong minyak diesel bersubsidi sejumlah 1,000 liter.
"Siasatan awal kami percaya diesel itu dibeli mengikut harga subsidi untuk dijual kepada pengusaha industri.
"Berikutan itu, kami menyita van dan diesel tersebut, manakala pemandunya yang berusia lingkungan 40-an ditahan untuk diambil keterangan," katanya di sini hari ini.
Basaruddin berkata, kes ini disiasat mengikut Peraturan 3(3) Peraturan Kawalan Bekalan (Penandaan Barang Berjadual) 2006, Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ketua Jurulatih PLKN maut dirempuh pacuan empat roda



MOHD. Faizal Silong Abdullah maut dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 6, Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, kelmarin.


PAPAR 16 Jan. - Seorang ketua jurulatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 6 Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu di sini semalam.
Kejadian berlaku pukul 6.50 pagi ketika mangsa, Mohd. Faizal Silong Abdullah, 48, dalam perjalanan dari rumahnya ke Kem PLKN Ovai di sini.
Ketua Trafik daerah, Asisten Supritendan Fauzi Sahat berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh bahagian badan.
"Semasa kejadian, mangsa yang merupakan Ketua Jurulatih PLKN Ovai dalam perjalanan ke kem berkenaan dari rumahnya.
"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, sebuah pacuan empat roda dari Kota Kinabalu ke Bongawan dikatakan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggangi mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Fauzi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Papar untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau memberitahu, polis telah menahan pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan untuk siasatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux berusia 21 tahun itu dipercayai mengambil minuman keras sebelum terbabit dalam kemalangan itu," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk dan mematuhi peraturan jalan raya.
Katanya, tindakan tegas mengikut undang-undang akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar peraturan jalan raya.

UPP rampas 13,000 kilogram beras seludup



RANTAU PANJANG 16 Jan. - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) merampas 13,000 kilogram beras seludup dianggarkan bernilai RM52,000 dalam dua serbuan di negeri ini.
Komander UPP negeri, Mazlan Che Hamid berkata, serbuan pertama dilakukan di Kampung Manek Urai, Kuala Krai kira-kira pukul 5 pagi, 12 Januari lalu yang mana pihaknya menahan sebuah lori sarat muatan beras selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.
Beliau berkata, lori terbabit yang dalam perjalanan ke Gua Musang ditahan selepas pihaknya menjalankan intipan selama kira-kira satu jam setengah, tetapi pemandunya berjaya melarikan diri ke kawasan semak berhampiran
"Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut mengangkut 160 kampit beras seludup setiap satu seberat 50 kilogram bernilai RM32,000 dipercayai untuk pasaran Lembang Klang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mazlan berkata, dua hari kemudian, pihaknya merampas 100 kampit beras seludup dianggarkan bernilai RM20,000 di kawasan semak di Kampung Belukar, Pasir Mas.
Jelasnya, longgokan beras tersebut ditemui selepas pihak UPP menyerbu kawasan semak berkenaan selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.
"Serbuan diketuai oleh Cif Inspektor Zubaidi Mat Ariffin bersama-sama empat anggota. Pemeriksaan ke atas longgokan putih yang berada dalam semak itu mendapati ia adalah beras seludup dari negara jiran.
"Pihak UPP menunggu selama 30 minit dan tidak ada mana-mana pihak tampil mengambilnya. Beras itu kemudiannya dibawa ke Pejabat UPP Rantau Panjang untuk siasatan lanjut," katanya.
Mazlan berkata, pihaknya percaya kedua-dua penyeludupan tersebut dilakukan oleh kumpulan penyeludup yang sama.
Katanya, kesemua barangan rampasan termasuk lori terbabit dianggarkan bernilai RM40,000 diserahkan kepada Unit Kawal Selia Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk tindakan lanjut.

Jurugambar EPA terbunuh di Tunisia



17/01/2011 2:32am

PARIS 17 Jan. - Seorang jurugambar Perancis yang membuat liputan pemberontakan di Tunisia terbunuh akibat terkena tembakan gas pemedih mata dari jarak dekat Jumaat lepas, kata majikannya semalam.
Lucas Mebrouk Dolega, 32, berada di Tunis untuk membuat liputan penggulingan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali oleh rakyat untuk Agensi Pressphoto Eropah (EPA) Jumaat lalu.
“Kematiannya adalah tragedi dan kehilangannya satu kerugian besar,” kata ketua eksekutif EPA, Joerg Schierenbeck dalam satu kenyataan.
Berpuluh-puluh orang mati selama empat minggu rakyat yang menganggur dan miskin memberontak menentang kerajaan korupsi Tunisia. - Reuters

30,000 amah Indonesia tunggu masa dibawa masuk ke M'sia


Isu libat soal gaji dan struktur kos yang ditanggung majikan masih belum capai kata putus

KUALA LUMPUR: Di sebalik pembekuan sementara kemasukan pembantu rumah Indonesia, kira-kira 30,000 wanita negara itu hanya menunggu masa untuk dibawa masuk ke negara ini bagi mengisi kekosongan pekerjaan tersebut.
Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Encik Alwi Bavutty, memberitahu jumlah itu meningkat setiap hari memandangkan Malaysia adalah negara pilihan utama penduduk negara tersebut untuk mencari rezeki.'Anggaran ini mungkin lebih berdasarkan sebelum arahan pembekuan sementara pengambilan pembantu rumah Indonesia dibuat, kita biasa membawa masuk kira-kira 10,000 orang setiap bulan,' katanya.Pada Jun 2009, pemerintah Indonesia mengarahkan pembekuan sementara kemasukan pembantu rumah negara itu ke Malaysia.Keputusan itu dibuat bagi menyemak kembali syarat-syarat pengambilannya bagi melindungi kepentingan pekerja dan majikan, berikutan kes-kes penderaan yang berlaku.Ekoran itu, Jawatankuasa Kerja Bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia dan Malaysia ditubuhkan.Bagaimanapun sehingga kini, setelah beberapa kali perbincangan dijalankan, ia masih gagal menemukan kata putus.Sedangkan pada masa sama, permohonan untuk memasuki negara ini oleh rakyat negara itu dan keperluan pembantu rumah semakin mendesak.Encik Alwi berkata masalah kekurangan pembantu rumah yang dihadapi oleh majikan di negara ini perlu diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan wujudnya masalah lain.'Kedua-dua negara harus segera menyelesaikan rundingan yang sehingga kini masih berjalan dan belum dimuktamadkan.'Jika perlu pandangan Papa, kami sentiasa bersedia membantu. Mungkin dengan melibatkan agensi pekerja asing kedua-dua negara, perkara yang masih menjadi perdebatan dapat diselesaikan dengan lebih baik' katanya.Dua isu utama yang belum mencapai kata putus ialah soal gaji dan struktur kos melibatkan bayaran yang perlu ditanggung oleh majikan.Perkara-perkara yang telah dipersetujui pula ialah cuti sekali seminggu dan kebenaran menyimpan pasport oleh pembantu rumah.Mengulas kelewatan rundingan tersebut, Encik Alwi berkata ia berpunca daripada pemerintah Indonesia yang tidak mahu memberikan komitmen sewajarnya.'Pihak Indonesia tidak memberi komitmen mereka disebabkan dua isu yang tertangguh itu kurang menguntungkan mereka,' kata beliau. -- Mingguan Malaysia.

Amerika, Israel cipta cecacing





2011/01/17

WASHINGTON: Pasukan perisikan Amerika dan Israel bekerjasama membangunkan cecacing pemusnah komputer bagi mensabotaj usaha Iran membuat bom, lapor The New York Times, kelmarin. 

Dalam edisi onlinenya akhbar itu memetik laporan pakar perisikan dan ketenteraan yang berkata, Israel sudah berjaya menguji keberkesanan cecacing komputer Stuxnet yang mampu menutup emparan nuklear kelima Iran pada November dan membantu menangguhkan keupayaannya dalam pembuatan senjata nuklear yang pertama.
Ujian diadakan di kompleks Dimona yang dikawal ketat di padang pasir Negev perumahan satu-satunya di Asia Barat, walaupun program senjata nuklear yang tidak diumumkan.
Pakar dan pegawai memberitahu Times usaha mencipta Stuxnet adalah projek Amerika-Israel dengan bantuan, secara sedar atau tidak, Britain dan Jerman. 

“Cecacing itu berkesan kerana Israel sudah pun mencubanya,” kata pakar Amerika. 

Spekulasi mengatakan Israel dalang kepada serangan cecacing Stuxnet ke atas komputer di Iran dan Tehran menyalahkan negara Yahudi itu dan Amerika Syarikat kerana membunuh dua saintis nuklearnya pada November dan Januari. 

Laporan Times disiarkan selepas Iran sebelum ini berkata, program kontroversi pengkayaan uranium negara itu berkembang ‘sangat pesat’, hanya beberapa hari menjelang pertemuan Tehran dengan enam kuasa dunia berhubung program nuklear. – AFP

Gara-gara baca SMS madu



BUKIT JALIL - Hanya kerana membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbit milik suaminya, seorang wanita 44 tahun cedera ditumbuk, dipukul suami tanpa belas kasihan di rumahnya di sini, kelmarin.

Lebih malang, suaminya yang juga nazir sebuah masjid di Sungai Buloh turut menceraikan mangsa sebelum membelasahnya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mimi berkata, kejadian berlaku selepas suaminya itu selesai menunaikan solat Isyak.

Menurutnya, sebelum kejadian dia mendapat tahu madunya (isteri pertama suaminya) ada membuat panggilan telefon kepada suaminya yang kebetulan berada di rumahnya untuk mengadukan hal mengenai dirinya.

“Saya hanya mendapat tahu dalam perbualan itu, isteri pertama mengadu saya sering membaca SMS di telefon milik suami.

“Dia yang seolah-olah hilang pertimbangan terus melafazkan cerai kepada saya di dalam bilik tidur pangsapuri milik saya,” katanya.

Mimi berkata, suaminya yang juga ahli sebuah pertubuhan politik itu hilang pertimbangan, berang tiba-tiba sebelum mengangkat dan menghumbannya ke atas serta menumbuk di bahagian mata kanan serta hidung sebanyak dua kali

“Tidak cukup dengan itu, dia turut menghentak dada saya, rasa sakit itu masih terasa hingga kini.

“Semuanya berlaku hanya kerana saya membaca SMS dihantar isteri pertama, saya tidak menyangka dia sanggup bertindak sebegini sekali memandangkan dia adalah seseorang yang warak dari segi agama,” katanya yang memaklumkan dia bernikah dengan suaminya itu di Songkhla, Thailand Jun 2009 selepas perkenalan singkat yang berlaku di Negeri Sembilan.

Katanya, selepas keadaan kembali reda, suaminya kemudian meninggalkannya dalam keadaan kesakitan selepas memintanya mengemas pakaian yang ada di rumah itu.

“Sebelum meninggalkan rumah, dia sempat mengutuk saya dan berkata macam-macam terhadap anak hasil perkahwinan dengan suami pertama yang lalu.

“Saya kesal dia tergamak melakukan sedemikian apatah lagi tidak pernah memberi nafkah kepada saya dan hanya membayar bil air dan elektrik di rumah sahaja, itu pun kadangkala dia tidak membayarnya,” katanya yang membuat satu laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil di sini, petang semalam.

Padah menyamar polis, penganggur dipenjara 12 bulan


:KUALA TERENGGANU - Gara-gara berlagak dan menyamar sebagai anggota polis, seorang penganggur akhirnya menerima hukuman apabila Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadapnya, semalam.

Dalam penghakimannya, Majistret Siti Faraziana Zainuddin juga menetapkan, bagi kesalahan tanpa kebenaran yang sah, memiliki pasport yang diperoleh hasil daripada membuat kenyataan atau mengemukakan dokumen palsu, Mohd Faizul Azri Zulkifli, 28, turut dikenakan hukuman 12 bulan penjara.

Bagaimanapun, kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap.

Mengikut fakta kes, pada 13 Disember lalu, kira-kira jam 6 petang, Mohd Faizul didapati telah menyamar sebagai penjawat awam, bertempat di simpang lampu isyarat TNB, Jalan Air jernih, Kuala Terengganu.

Walaupun bukan bergelar anggota polis, Mohd Faizul telah melakukan atau mencuba melakukan apa-apa perbuatan atas kuasa jawatan itu.

Oleh sebab itu, dia didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Dia juga didapati tanpa kebenaran yang sah memiliki pasport yang diperoleh hasil daripada membuat kenyataan atau mengemukakan dokumen palsu dan dihukum di bawah Seksyen 12 (1) (d) Akta Pasport 1966.

Ahmad Faizul yang berasal dari Taman Desa Azam, Labok di Machang, Kelantan itu juga didenda sebanyak RM3,500 setelah didapati turut memiliki kanabis seberat 3.5 gram sewaktu ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 6 ADB 1952.

Hasil pemeriksaan urin juga mendapati, dia positif dadah jenis morfin dan didakwa di bawah Seksyen 15 (1) ADB (Pindaan 2002) serta dikenakan denda sebanyak RM2,500 atas kesalahan itu.

Penjual ayam terima padah



KOTA BHARU - Seorang penjual ayam dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah merogol seorang wanita terencat akal tiga tahun lalu.

Hakim Zainal L. Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Al Waled Abd Kadir, 44, dari Kampung Pangkal Berangan, Kelaweh, Machang dan memerintahkan hukuman terbabit berkuat kuasa mulai semalam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh masuk ke rumah mangsa yang berusia 33 tahun itu di Kampung Terasil, Gual Ipoh, Tanah Merah sebelum merogolnya sekitar jam 3 hingga 4 petang pada 12 November 2008 lalu.

Seminggu selepas kejadian, mangsa kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada jirannya dan jiran terbabit memaklumkan kepada seorang ahli keluarga sebelum membuat laporan polis.

Kemudian mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk pemeriksaan dan mangsa disahkan dirogol.

Mangsa juga dirujuk kepada ahli psikologi dan dia turut disahkan mengalami terencat akal manakala tertuduh berjaya ditahan pada 21 November.

Tertuduh kemudian didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dalam prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

Sebelum keputusan dibacakan, tertuduh dalam nada sedih membuat rayuan dan menyesal dengan perkara yang dilakukan tersebut, malah dia juga memaklumkan sudah meminta maaf daripada mangsa.

Tertuduh turut meminta mahkamah dapat memberikan hukuman paling ringan terhadapnya kerana mengaku salah terhadap perbuatannya itu.

Bagaimanapun, Intan Nor Hilwani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berdasarkan hukuman yang diperuntukkan undang-undang terhadap perbuatan tersebut kerana dianggap perkara serius.

Zainal kemudian membaca keputusannya itu turut mengambil kira rayuan oleh tertuduh.

Dalam hujahnya, beliau menyatakan hukuman berkenaan adalah untuk memastikan ia dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan semua supaya tidak melakukan perbuatan tidak bermaruah itu.

”Saya harap tempoh hukuman ini akan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan sepatutnya perkara ini tidak dilakukan kerana awak sudah mempunyai keluarga,” katanya.

‘Penyangak’ dadah tidak serik 30 tahun dalam penjara



KUALA TERENGGANU - Hati batu. Mungkin itulah ungkapan paling sesuai bagi menggambarkan seorang duda yang masih tidak insaf, walaupun berkali-kali masuk penjara dan menghabiskan masa hampir 30 tahun dalam penjara dan menerima 16 kali sebatan.

Terbaru, duda berusia 55 tahun ini dicekup polis di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai pada 13 Januari lalu, dipercayai bagi menjalankan urus niaga jual beli dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, bertindak daripada maklumat dadah, sepasukan pegawai dan anggota diketuai Inspektor Shahrul Effendy telah menahan duda terbabit yang berada di dalam kenderaan jenis Honda di tempat letak kereta di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai.

Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, polis telah menjumpai sembilan botol disyaki dadah jenis Heroin di dalam poket seluar duda itu.

Gadis bawah umur nafi seks Berlusconi





2011/01/17

pix_gal0
Siasatan dakwaan PM Itali cuba tutup kes 

ROME: Remaja yang dikaitkan dengan siasatan jenayah terkini Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi berkata, hartawan empayar media itu memberikannya 7,000 euro (RM28,520) ketika beliau dijemput meraikan Hari Valentine di villa pemimpin itu dan mengulangi pendirian beliau tidak melakukan seks dengan lelaki berkenaan.
Pihak pendakwa Milan masih menyiasat sama ada Berlusconi membayar untuk melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur dari Maghribi itu dan menyalahgunakan kuasanya dalam usaha melindungi perbuatannya.
Berlusconi mengecam dakwaan itu dan menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘luar biasa dan aneh’. 

Remaja itu yang juga penari kelab malam dengan nama panggilan Ruby ketika dalam satu temuramah televisyen Sky TG24, berkata, Berlusconi tidak tahu beliau di bawah umur apabila dijemput ke villa berdekatan Milan, tahun lalu. 

“Saya memberitahu semua orang saya berusia 24 bukannya 17 tahun”, katanya. 

Ditanya mengapa Berlusconi memberi wang kepadanya pada beberapa parti sebelum ini, beliau berkata, beliau menghadiri satu parti di villa pemimpin itu di luar Milan. 
“Saya baru tiba di Milan dan beliau tahu kesusahan keluarga saya dan mahu membantu,” katanya. 

Dalam temuramah lain, Ruby berkali-kali mengulangi bahawa beliau tidak melakukan hubungan seks dengan lelaki itu. 

Ruby yang kini 18 tahun berkata, tetamu makan dan menari dalam parti itu dan Berlusconi ‘menyanyi dan berjenaka’. 

Pendakwa berkata, mereka masih menyiasat sama ada perdana menteri itu mengadakan seks dengan gadis berusia 17 tahun dan menggunakan pengaruh untuk melindungi perbuatannya. 

Pihak pendakwa turut mengemukakan saman Jumaat lalu bagi membolehkan Berlusconi dan peguamnya hadir untuk soal siasat. – AP

Budak hilang ingatan ditemui merayau





2011/01/17

Siti Aishah
Siti Aishah
CHERAS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ditemui merayau dalam keadaan lemah dan pakaiannya kotor di sekitar Damai Perdana, Cheras, di sini malam tadi. 

Kanak-kanak berkenaan hanya mengingati namanya sebagai Siti Aishah dan bersekolah dalam Tahun Tiga di Sekolah Kebangsaan Sungai Besi Indah, namun tidak dapat mengingati dari mana dia berasal atau keluarganya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata seorang wanita yang kasihan dengan keadaan kanak-kanak itu membawanya ke Balai Polis Damai Perdana kira-kira jam 9 malam tadi.
“Ketika dia (Siti Aishah) dibawa ke balai, dia berada dalam keadaan lemah, mungkin kerana keletihan berjalan kaki seharian. 

“Dia juga tidak dapat mengingat siapa ibu bapa atau keluarganya, malah tidak dapat mengingat di mana tempat tinggalnya, mungkin dia masih dalam keadaan trauma,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Damai Perdana di sini, malam tadi. 

Beliau berkata, doktor sudah membuat pemeriksaan awal ke atas Siti Aishah dan mengesahkan dia sihat, namun berada dalam keadaan keletihan. 

“Tiada sebarang tanda kecederaan pada tubuh badannya dan ketika kanak-kanak itu ditemui dia hanya memakai baju T berwarna putih, berseluar sukan warna biru dan berselipar. 
“Esok (hari ini) kita akan hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya. Buat masa ini kita masih belum menerima sebarang laporan mengenai kehilangan kanak-kanak,” kata Azman. 

Azman berkata, waris Siti Aishah atau mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keluarganya diminta untuk menghubungi balai polis berhampiran atau Balai Polis Damai Perdana di talian 03-91056222.

Sekolah agama Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zalifah terbakar


PELAJAR sekolah agama Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zalifah di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar, semalam, menyusun sebahagian kitab yang masih boleh digunakan dan gambar kanan pula pelajar membantu mengangkat zink yang rosak selepas maahad itu terbakar. - Foto Shahrizal Md Noor



ALOR SETAR: “Kebakaran ini terlalu pantas dan tidak sampai 10 minit api marak sehingga memusnahkan keseluruhan bilik,” kata Ahmad Firdaus Lokman, 25, pelajar Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zalifah di Lorong Pak Mat Kastam, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, kebanyakan pelajar bercuti, manakala sebahagian kecil tinggal di beberapa bilik di tingkat atas bangunan dua tingkat itu.

Ahmad Firdaus berkata, ketika kejadian, dia berehat dalam sebuah bilik di tingkat atas bangunan terbabit apabila ternampak api marak membakar bahagian atas pusat pengajian itu.

Katanya, dia memanggil rakannya, Abdul Rufie Ismail, 19, yang berada di bilik bersebelahan supaya menyelamatkan diri dan memberitahu pengetua mereka, Mohd Rodhi Abdul Rahman, 41, mengenai kejadian itu.

Kebakaran itu menyebabkan lima pelajar yang tinggal di situ tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka termasuk pelbagai kitab pengajian.

“Kami cuba memadamkan api, tetapi ia marak terlalu cepat dan menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Kebakaran ini merosakkan banyak barang milik saya termasuk komputer bimbit, telefon, buku, kitab, pakaian, dompet dan wang tunai dianggarkan bernilai lebih RM5,000.

“Saya sedih dengan kejadian ini kerana pada Ogos nanti saya akan menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir, namun dengan kejadian ini, ia menyukarkan saya ke sana,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rodhi berkata, maahad itu yang dibina sejak 1998 mempunyai 65 pelajar, termasuk 11 perempuan yang berusia antara 13 dan 25 tahun.

Mohd Rodhi berkata, kebakaran itu menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM150,000.

“Ketika kejadian saya mengadakan mesyuarat bersama lima guru di tingkat bawah sekolah dan terdengar riuh-rendah orang ramai di luar bangunan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba Jalan Raja, Mohamad Shukri Nayan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.57 pagi dan mengerahkan tiga jentera bersama 14 anggota untuk memadamkan api.


Kanak-kanak antara 9 mangsa letupan bom di Afghanistan



17/01/2011 2:32am

MAZAR-I-SHARIF, Afghanistan 17 Jan. - Sembilan orang termasuk seorang kanak-kanak yang dalam perjalanan ke majlis perkahwinan mati dalam letupan bom tepi jalan di selatan negara itu semalam, kata polis dan pegawai tempatan.
Mangsa yang terdiri daripada enam wanita, dua lelaki dan seorang kanak-kanak itu mati di tempat kejadian apabila letupan menghentam mini bas yang mereka naiki.
Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Pul-e-Khumri, ibu negeri wilayah Baghlan melalui jalan perkampungan yang sering diguna oleh tentera asing.
Polis tempatan mengesahkan kejadian itu, namun tidak diketahui siapa yang bertanggungjawab melakukannya.
“Kesemua mangsa adalah orang awam,” kata gabenor wilayah, Abdul Majeed. - AFP

Ketua kumpulan potong anggota badan kanak-kanak dan paksa mereka mengemis diberkas



DHAKA: Pihak berkuasa Bangladesh telah menangkap ketua kumpulan yang dipercayai bertanggungjawab memotong anggota badan kanak-kanak dan memaksa mereka meminta sedekah.
Pegawai Batalion Gerak Pantas Polis, Kolonel Zia Ahsan, berkata Omar Faruq, 30 tahun, ditangkap di sebuah kawasan pinggir bandar raya Dhaka kelmarin.'Dia mengaku bahawa kumpulannya memotong anggota badan sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak dan memaksa mereka meminta sedekah di Dhaka serta beberapa bandar lain.'Mereka juga merogol gadis dan memaksa mereka melacurkan diri,' katanya.Menurut beliau lagi, kanak-kanak cacat tersebut disewakan sehingga 400 taka ($7.20) sehari kepada wanita yang akan membawa mereka meminta sedekah di persimpangan jalan yang sibuk.'Wanita-wanita berkenaan bertugas sebagai pengawal dan menyamar sebagai ibu kanak-kanak terlibat,' ujarnya.Pasukan keselamatan elit tersebut dimaklumkan mengenai aktiviti kumpulan itu selepas anggota Faruq dipercayai memotong kemaluan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun, Neyamul.Kes itu dilaporkan oleh ayah kanak-kanak itu kepada kepada kumpulan hak asasi tempatan.Tahun lalu, Bangladesh meluluskan undang-undang baru untuk menangkap 'dalang pengemis'.Mereka yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sekurang-kurangnya tiga tahun penjara.Menurut satu kajian pada 2005, Bangladesh mempunyai 700,000 pengemis, dengan mereka yang mengemis di kawasan bandar boleh mendapat 100 taka sehari. -- AFP.

Dipercayai diserang, bilik digeledah



Shah Alam - Chin Swee Len, pramugari Malaysia Airline System (MAS) yang ditemui mati di tempat letak kereta sebuah hotel di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, Belanda, awal pagi Jumaat lalu, terbang ke Amsterdam Selasa lalu.

Dia sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur pada hari mayatnya ditemui kakitangan hotel terbabit.

Laporan yang diperoleh daripada sumber MAS mendapati Swee Len dipercayai diserang dan biliknya digeledah.

Swee Len dikatakan tidak menghadiri sesi taklimat untuk penerbangan pulang ke Malaysia.

Punca kematian mangsa masih belum diketahui dan siasatan oleh pihak berkuasa negara itu masih sedang dijalankan.

Pengarah Operasi MAS, Kapten Azharuddin Osman berkata, pihak MAS sangat bersedih dengan kematian Swee Len dan mereka memaklumkan mengenai perkara itu kepada keluarga mangsa.

Azharuddin berkata, keluarga mangsa sudah berlepas ke Amsterdam dengan penerbangan MAS, kelmarin.

"Jika kerajaan Belanda memberikan sebarang maklumat terbaru mengenai perkara itu, pasti kami dapat memberikan butiran lanjut mengenainya kerana ia menjadi kes polis," katanya.

Swee Len berkhidmat dengan MAS sejak 1997 dan dia disifatkan teman sejawatnya sebagai seorang kakitangan yang berdisiplin, dedikasi dan peramah.