Search This Blog

Friday, January 14, 2011

Rasuah: Penjara 7 tahun, denda RM275,000


14/01/2011 5:40pm

KUALA LUMPUR – Seorang pengedar dadah dipenjara tujuh tahun dan denda RM275,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah menawarkan rasuah berjumlah lebih RM50,000 kepada seorang pegawai polis ketika dia ditahan di dalam satu serbuan, tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh memerintahkan Yap Tee Ooi, dari Jenjarum, Selangor menjalani hukuman dari tarikh ditangkap pada 21 Julai, 2010.
Rozilah juga memerintahkan Yap untuk menjalani hukuman penjara tiga tahun lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tee Ooi, 46, didakwa telah menawarkan wang sebanyak RM54,950 kepada pegawai Jabatan Narkotik Kuala Lumpur, Cif/Insp M. Suresh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya setelah polis menjumpai sejumlah dadah jenis syabu dan heroin di dalam kereta tertuduh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta, Tingkat 4, Vista Mutiara off Jalan, Kepong pada kira-kira pukul 8.15 malam 15 Julai, tahun lalu. – Bernama

Bunga api, mercun hampir RM10,000 dirampas


14/01/2011 3:44pm

KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah berjaya merampas bunga api dan mercun dengan nilai kasar RM9,939 melibatkan cukai bernilai RM6,446.40 di Kolombong, dekat sini, semalam.
Pengarah Kastam Negeri, Mohd Kassim Ismail berkata, Bahagian Penguatkuasaan Kastam menahan sebuah lori seberat tiga tan kira-kira pukul 8.50 malam, yang didapati sedang mengangkut 960 biji bunga api jenis ”display shell” dan 2,000 paket mercun.
Beliau berkata, sebanyak 1,440 bunga api ”display shell” turut dirampas dari sebuah premis pengangkutan awam pada masa dan tempat yang sama. - Bernam

Warga Iran mati cuba seludup dadah dalam badan


14/01/2011 3:50pm

PUTRAJAYA - Seorang lelaki warga Iran yang cuba menyeludup masuk 137 kapsul syabu ke negara ini dengan menggunakan badannya, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya pada 9.14 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid yang mengesahkan kematian itu berkata, mangsa gagal diselamatkan akibat pendarahan yang teruk apabila kapsul syabu itu pecah dalam perut beliau. - Bernama

20 wanita China jadi GRO ditahan


14/01/2011 6:22pm

IPOH – Polis menahan 20 orang wanita warga China kerana didapati bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Taman Ipoh di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, polis turut menahan seorang lelaki berumur 29 tahun yang dipercayai penjaga pusat hiburan itu dalam serbuan pada kira-kira pukul 9.40 malam itu.
Beliau berkata, siasatan mendapati semua warga China itu menyalah guna permit sebagai pelancong dan pelajar untuk bekerja di pusat-pusat hiburan sekitar bandar raya.
"Polis turut merampas 10 keping paspot lawatan, satu paspot pekerja, serta sembilan paspot pelajar, dan semua wanita warga China berusia antara 20 dan 20 tahun itu ditahan reman 14 hari untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Dzuraidi berkata, wanita itu akan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit, sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali. – Bernama

Pemuda Siam ditemui mati lemas


14/01/2011 6:38pm

PASIR PUTEH – Misteri kehilangan seorang lelaki keturunan Siam di sebatang sungai di sini Selasa lepas terungkai hari ini selepas mayatnya dijumpai tersangkut di pintu air Empangan Sungai Bukit Yong, hari ini.
Penghulu Tanpa Mukim Bukit Yong, Ah Non a/l Ah Ding berkata, mayat Kuar Keit Yong, 34, dijumpai oleh penduduk kampung tiga hari selepas seorang kanak-kanak mendakwa melihat pemuda Siam itu mandi-manda di kawasan berkenaan sebelum dia dilaporkan hilang.
"Kami bersama penduduk kampung melancar gerakan mencarinya di merata-rata tempat termasuk di kawasan hutan berdekatan tetapi gagal menemuinya sehingga hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Juhan Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 12.15 tengah hari Selasa lepas daripada anggota polis Balai Polis Bukit Yong yang memaklumkan kejadian itu.
Beliau berkata, pihaknya yang disertai lima anggota mengambil masa selama setengah jam bagi mengeluarkan mayat lelaki itu yang tersangkut di pintu air empangan. – Bernama

Dijumpai mati dengan kesan tikaman


14/01/2011 6:24pm

PASIR PUTEH – Seorang pemuda dijumpai mati berlumuran darah dipercayai selepas terbabit dalam satu pergaduhan, di dalam semak di Kampung Haji Wan Omar, Tok Bali, di sini, malam tadi.
Mayat Mohd Roslan Mat Ail, 31, ditemui dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan oleh penduduk kampung di kawasan itu pada kira-kira pukul 11 malam.
Ibu Mohd Roslan, Jizah Said, 66, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis di sini, hari ini berkata, dia diberitahu mengenai penemuan mayat anaknya itu oleh penduduk kampung ketika sedang menonton televisyen.
Katanya, sebelum itu ketika berada di rumah, anaknya menerima panggilan telefon yang dipercayai daripada rakannya yang ingin berjumpa dengannya di luar rumah.
"Sebaik sahaja diberitahu jumpa mayat, mak cik terus ke tempat kejadian kira-kira satu kilometer dari rumah, dan tidak menyangka kejadian ngeri seperti itu boleh berlaku ke atas anak mak cik,” katanya.
Jizah berkata, Mohd Roslan merupakan anaknya yang ketujuh daripada lapan orang beradik yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. – Bernama

Mayat lelaki Bangladesh ditemui


14/01/2011 6:38pm

KUANTAN – Mayat seorang lelaki, dipercayai warga Bangladesh, ditemui terbaring dengan wajah membengkak di kawasan semak di Kampung Pahang, Sungai Soi di sini pagi tadi.
Mayat lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditemui seorang pekebun cili pada 10.30 pagi yang memaklumkannya kepada Ketua Kampung, Taib Awang Kassim.
Taib berkata, seorang penduduk di kawasan berkenaan memaklumkan bahawa mangsa tinggal di Kampung Seri Melati, KM 17 Jalan Pekan dekat sini sejak tiga tahun lepas, dan kali terakhir dia dilihat ialah kira-kira tiga hari lalu.
"Mereka beritahu saya mangsa dilihat berjalan seorang diri ke kawasan belukar berkenaan membawa payung, sebotol air dan bekalan makanan, tapi tujuannya tidak diketahui kerana dia bukan pekerja di kebun itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah DSP Kamaruzzaman Jaafar berkata, hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat serangan sakit jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama

Tiga lelaki didakwa bunuh penganggur


14/01/2011 6:45pm


KLANG – Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penganggur menggunakan sebilah parang dan besi di sebuah restoran di sini, bulan lepas.
S. Baskaran, 32; S. Ashuk Thewar, 28; dan K. Uthaya Kumar, 27, didakwa membunuh Wan Zakaria Wan Hamad, 27, di Restoran Lotus, Jalan Dato’ Dollah, Off Persiaran Raja Muda Musa di sini, pada kira-kira 12.30 malam, 27 Disember lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Majistret Liew Horng Bin menetapkan 14 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Baskaran ialah seorang penyelenggara bangunan, Ashuk Tewar pemandu lori, manakala Uthaya Kumar penjual kereta. – Bernama

Pemalsuan pasport: 3 warga asing ditahan


14/01/2011 7:21pm

KUALA LUMPUR – Tiga bersaudara warga asing yang dipercayai dalang sindiket pemalsuan dokumen pasport dan visa dengan pendapatan mencecah RM100,000 sebulan, ditahan dalam satu operasi di sekitar bandar raya ini malam semalam.
Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Mohamed Yusof Khan Mohd Hassan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun.
"Hasil risikan selama sebulan, kami berjaya menahan mereka dan kini mencari saki-baki sindiket itu.
"Ketika ditahan, mereka cuba melawan dan melarikan diri sehingga pihak kami terpaksa menggunakan serbuk lada,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Imigresen di sini hari ini.
Antara barangan yang dirampas ialah pasport palsu, surat permohonan visa palsu, kad ketibaan dan cop. – Bernama

Seleweng minyak subsidi


JOHOR BAHRU – Sindiket penyelewengan minyak masak berjaya ditumpaskan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor dalam satu operasi ke atas sebuah kilang, di sini, semalam. 

Dalam operasi itu, sebanyak 25 tan metrik minyak masak bernilai lebih RM100,000 dirampas dalam seatu kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, operasi itu berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak masak subsidi terbesar di bandar raya ini. 

Menurutnya, seorang pemandu dan seorang pekerja ditahan manakala sebuah lori dirampas dalam operasi kira-kira jam 8.30 pagi itu di Taman Perindustrian Cemerlang, Ulu Tiram, dekat sini, 

“Minyak masak subsidi itu sepatutnya dibekalkan untuk kedai runcit dan pasar raya sekitar Johor Bahru tetapi diselewengkan dengan menjualnya kepada industri kecil dan sederhana (IKS). 

“Kilang ini mendapat dua keuntungan iaitu pertamanya, mendapat harga minyak masak pada harga subsidi dan kedua, menjualnya semula kepada IKS mengikut harga yang ditetapkan untuk industri. 

“Harga minyak masak subsidi untuk rakyat ialah RM1,700 untuk satu tan metrik, manakala untuk industri RM3,800 untuk satu tan metrik,” katanya pada sidang akhbar di kilang itu, di sini semalam. 

Katanya, melalui operasi itu juga, sebanyak 5,000 botol minyak masak seberat lima kilogram ditemui, selain satu tangki, penapis dan mesin pengepam yang digunakan untuk menyalurkan minyak itu ke lori.

“Kilang itu berselindung di sebalik kegiatan membungkus minyak masak tetapi sebenarnya menyeleweng minyak masak subsidi bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya masih menyiasat mereka yang menerima bekalan minyak itu kerana ia jelas menyalah guna subsidi yang diberikan kerajaan untuk rakyat. 

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan Seksyen 1961.

Rumah pengasas ghazal hangus



PARIT BUNTAR – Rumah seorang pengasas kumpulan pemuzik Ghazal Pati yang terkenal di daerah ini musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Jalan Kedah Road pada jam 12.20 tengah hari, semalam.

Mangsa, Jimah Chin atau lebih dikenali Che Putih Hashim, 70, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar untuk membeli barang masakan tengah hari.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu apabila diberitahu oleh jirannya.

“Ketika kejadian, saya baru sahaja keluar untuk ke kedai , tak sampai lima 5 minit rumah saya terbakar.

“Saya hanya tinggal seorang diri di rumah ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumahnya.

Hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Titi Serong, Abu Bakar Mat Ali; Penyelaras Parlimen Abdullah Salleh; Penghulu Mukim Parit Buntar, Ahmad Shah Hamid; Ketua Kampung Dennistown, Ishak Mohammad; penghulu mukim; wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

Che Putih berkata, semua barang berharga dalam rumahnya hangus termasuk alat muziknya.

“Dengan alat muzik inilah saya mencari rezeki tapi, semuanya hangus,” katanya.

Dia berkata, antara alat muzik itu adalah double bass, tiga akuadian, tiga biola, satu bongo, satu set lengkap drum dan percuscion serta alat simbol termasuk kelengkapan peralatan audio.

“Selain itu, wang syiling kira-kira RM200 dan barang berharga lain bernilai RM20,000 turut hangus.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Manakala, Abu Bakar berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Besar (MB), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, MB memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 termasuk RM500 kepada jirannya yang turut terlibat sama.

“Pihak Baitulmal juga memberikan RM200 kepada Che Putih sebelum bantuan susulan kelak,” katanya.

Abu Bakar berkata, diharap JKM atau Baitulmal dapat memberikan bantuan susulan bagi mengurangkan beban Che Putih.

Sementara itu, kejadian sama turut berlaku di pekan Changkat Lobak pada minggu lalu melibatkan sederet rumah kedai lima pintu.

Mangsa, Hanafi Darus, 62, berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 4 pagi.

Menurutnya, kebakaran itu melibatkan dua pintu kedai runcit, stor, sebuah kedai komputer dan rumah.

“Kerugian dianggarkan berjumlah RM100,000 namun, kami bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

'Cair' dek kasanova

KUALA LUMPUR: Berbekalkan wajah tampan dan kepetahan berkata-kata, seorang lelaki yang mempunyai dua isteri dan lima anak licik memperdaya lapan wanita untuk melabur dalam syarikatnya dengan menjanjikan keuntungan berlipat ganda dalam tempoh singkat.
Selepas mengikis wang wanita yang dipikatnya, kasanova berusia 45 tahun terbabit menghilangkan diri menyebabkan mangsa kerugian besar apabila tidak mendapat pulangan lumayan yang dijanjikan.
Bagaimanapun, kelicikannya berakhir apabila ditahan di rumahnya di Kampung Melayu Subang, dekat sini, pada 7 Januari lalu, berikutan laporan polis mangsa terbarunya, seorang doktor wanita yang menyerahkan kepadanya wang pelaburan RM300,000.

Menurut sumber, dalam serbuan ke rumah kasanova kira-kira jam 10 malam itu, polis turut menyita tiga kereta termasuk sebuah kereta mewah, tetapi tidak menemui wang tunai di rumah atau dalam akaun banknya.


Katanya, doktor wanita berusia 27 tahun, mangsa terbaru lelaki terbabit dipercayai ditipu selepas berkenalan November tahun lalu sebelum jatuh cinta.

“Doktor itu bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak dua tahun lalu dan mereka dipercayai berkenalan ketika kasanova terbabit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selama dua minggu.

“Dalam perkenalan singkat itu, kasanova terbabit menawarkan skim pelaburan menarik kepada doktor berkenaan dengan jaminan pulangan wang tunai berlipat kali ganda. Atas dasar cinta dan percaya, mangsa menyerahkan RM300,000 kepada lelaki itu,” katanya.

Sumber itu berkata, tembelang kasanova terbabit terbongkar selepas dia gagal membayar wang pelaburan yang dijanjikan menyebabkan mangsa mengesyaki dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.

Menurutnya, bertindak atas laporan itu, polis menahan kasanova terbabit di rumahnya di Kampung Melayu Subang dan siasatan lanjut mendapati dia disyaki turut terbabit tujuh lagi kes penipuan serta dikehendaki polis Kuala Lumpur dan Selangor.

“Lelaki itu mempunyai dua isteri dan lima anak. Bagaimanapun, dia kini tinggal bersendirian sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Sumber berkata, kasanova itu dipercayai memperdaya ramai wanita lain sebelum ini, tetapi mangsa tidak membuat laporan hingga menyukarkan polis membuat siasatan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKKL), Asisten Superintendan, Suffian Sulaiman mengesahkan penahanan kasanova terbabit hasil kerjasama polis Kuala Lumpur dengan polis Selangor.

“Suspek direman enam hari hingga bermula 8 Januari lalu bagi membantu siasatan. Dia dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit beberapa kes jenayah komersial di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Ini termasuk memperdaya seorang doktor wanita yang bertugas di HKL membabitkan kerugian RM300, 000,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bayi pengsan ditumbuk ibu

KAJANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lebam di seluruh muka dan berkemungkinan buta mata kanan akibat ditumbuk ibu kandungnya yang di Bandar Sungai Long, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan selepas tidak sedarkan diri.
Pemangku Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, mangsa, Yong Kar Sheng turut cedera di kepala serta patah tulang pelipis sebelah kanan akibat dibelasah ibunya.

“Mangsa dihantar ke PPUKM oleh bapanya yang berusia awal 40-an selepas mendapati kanak-kanakitu tidak sedarkan diri. Doktor yang memeriksa mangsa kemudian membuat laporan di pondok polis hospital berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari.


Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu dipercayai ditumbuk berdasarkan kecederaan teruk pada mata kanannya dan difahamkan doktor yang merawatnya menyatakan kemungkinan mangsa buta akibat kejadian itu.

Azman berkata, mangsa anak bongsu daripada dua beradik dan ibunya, warga China berusia 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Polis membawa ibu mangsa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sama ada mengalami masalah mental atau tidak,” katanya.

Menurutnya, wanita itu direman selama empat hari sehingga 16 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

2 kali selamat dalam kebakaran



ANGGOTA bomba menjalankan penyiasatan untuk mencari punca kebakaran rumah mesra rakyat di Cherang Ruku, Pasir Puteh kelmarin. Gambar kecil, Mohd. Shahrul Nizam.


PASIR PUTEH – Lima tahun lalu, dia terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan rumah neneknya di Kampung Cherang Ruku dekat sini.
Kelmarin, kejadian tersebut berulang dan nasib masih menyebelahi Mohd. Shahrul Nizam Azizi, 18, apabila sekali lagi dia terselamat dalam kebakaran kira-kira pukul 3.35 petang yang memusnahkan rumah keluarganya di tapak yang sama.
Dalam kejadian itu, remaja terbabit terpaksa memecahkan cermin tingkap rumah berkenaan untuk menyelamatkan diri ketika terperangkap dalam sebuah bilik.
Menurut Mohd. Shahrul, semasa kejadian, dia sedang tidur di sebuah bilik sementara abangnya, Mohd. Iqbal, 20, seorang yang kurang upaya (OKU), bermain-main di halaman rumah.
Katanya, dia terjaga selepas terasa bahang panas disebabkan api telah marak membakar rumah tersebut, lalu cuba membuka pintu biliknya tetapi tidak berjaya akibat dihalang oleh runtuhan tiang dan bumbung yang sudah hangus.

Diserang sebelum ke pejabat


KUALA LUMPUR - Hasrat seorang ahli perniagaan untuk memulakan tugas di pejabatnya terbantut apabila dia parah selepas terkena dua das tembakan di paha dan rusuk kiri oleh dua lelaki yang menyerangnya dalam satu kejadian di Jalan Siput Akek, Taman Bilion, Cheras di sini semalam.
Kejadian pukul 11.05 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 52 tahun didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi sebaik turun dari kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Rexton di hadapan pejabatnya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, salah seorang suspek kemudian terus melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.
Katanya, mangsa yang parah kemudian dihantar ke hospital berdekatan oleh orang awam sebelum menghubungi polis.

Pramugara menyamar polis dicekup


KUALA LUMPUR - Seorang pramugara dipercayai daripada sebuah syarikat tambang murah ditahan selepas menyamar sebagai pegawai polis dan memiliki pistol palsu.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu sebuah kondominium di Bangsar Heights di sini pada pukul 4 petang semalam.
Jurucakap polis berkata, sebelum ditahan, pramugara itu dikatakan telah datang ke kondominium itu pada pukul 1 petang dengan memandu kereta Toyota Vios.
"Suspek ditegur oleh pengawal keselamatan selepas dia meletakkan kenderaannya di kawasan larangan.
"Namun, suspek bukan saja enggan mengalihkan keretanya malah menunjukkan sekeping kad kuasa yang mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepucuk pistol disisip di pinggang dan sepasang gari kepada pengawal keselamatan itu," kata beliau.

Lelaki mati atas pokok kelapa



MOHD. RIDHUAN (tidak memakai baju) cuba menurunkan mayat lelaki warga Nepal dari atas pokok kelapa di Kampung Tok Musa, Machang Bubuk, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM – Seorang penduduk Kampung Tok Musa, Machang Bubuk di sini tidak menyangka kehadirannya di sebuah kebun durian yang dipajak daripada seorang penduduk kampung itu malam kelmarin menjadi penyebab kematian seorang lelaki Nepal.
Arshad Abu Seman (gambar), 30, berkata, ketika kejadian dia bersama seorang lagi rakannya pergi ke kebun tersebut pada pukul 10.30 malam untuk menjenguk buah durian.
Sebaik tiba di kebun, menurutnya, dia ternampak kelibat seseorang yang berlari dari kawasan kebunnya ke arah ladang kelapa sawit yang terletak di kawasan berhampiran.
“Ketika itu saya buat tidak tahu kerana tidak mengesyaki apa-apa dan tidak menyangka individu berkenaan cuba mencuri buah durian di kebun saya.
“Namun beberapa minit kemudian, rakan saya memberitahu dia ternampak seseorang sedang memanjat pokok kelapa yang terletak berhampiran kebun saya tanpa diketahui apa tujuannya,” kata Arshad ketika ditemui semalam.

‘Mereka bakar rumah saya’




GEORGETOWN - Seorang mangsa kebakaran di Kampung Jalan Pokok Asam di sini, antara penghuni yang menjadi perhatian kerana diarahkan berpindah oleh pemaju kawasan berkenaan, mendakwa tragedi yang menimpanya berpunca perbuatan khianat pihak tertentu. 

Mohamad Tahir Rejab, 46, ini berikutan ada jiran memberitahu melihat dua individu berdekatan rumahnya sebelum kejadian. 

“Saya jadi mangsa,” kata Mohamad Tahir. 

Ketika rumahnya terbakar, lelaki itu bersama isterinya keluar menyusun barang di rumah baru. 

“Mujur tidak ada sesiapa di rumah. Jika tidak, bertambah malanglah nasib kami selepas diarahkan keluar dari kampung ini,” katanya. 

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Tarik jaring jumpa mayat



PADANG TEMU - Seorang lelaki warga Indonesia ditemui lemas di kawasan laut berhampiran Muara Sungai Duyong, di sini, semalam.

Mayat lelaki terbabit difahamkan dijumpai nelayan tempatan ketika menarik jaring kira-kira enam kilometer dari kawasan pantai.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, penemuan mayat lelaki itu dipercayai ada kaitannya dengan aduan orang awam yang mendakwa ada orang terjatuh di sekitar Muara Sungai Duyong.

Menurutnya, pihaknya ada menerima aduan berkenaan kira-kira jam 11.45 malam kelmarin, dan sejurus kemudian operasi mencari dijalankan sebelum dihentikan berikutan keadaan gelap.

Namun katanya, polis dengan kerjasama sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat meneruskan operasi mencari kira-kira jam 8 pagi semalam, sehingga dimaklumkan salah seorang nelayan menemui mayat seorang lelaki.

“Mangsa dikenali sebagai Kunaji, berumur 27 tahun dan berasal dari Jawa Timur, Indonesia.

“Setakat ini kami masih menyiasat, sama ada mangsa memiliki dokumen perjalanan sah atau tidak, kerana kami tidak menemui sebarang dokumen ketika mayat ditemui dan kami mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir, semalam.

Maut di kolam terbiar




KOK LANAS- Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan maut selepas terjatuh ke dalam kolam terbiar berhampiran rumahnya di Kampung Atas Banggol, dekat sini, kelmarin. 

Mangsa, Ahmad Daniel Rozmi, ditemui terapung oleh ibunya di dalam kolam sedalam lima meter itu selepas hampir setengah jam disedari menghilangkan diri dari ruang tamu rumah mereka jam 12.30 tengah hari. 

Ibunya, Zurina Ismail, 39 berkata, sebelum kejadian, beliau bersama mangsa dan seorang lagi anak lelakinya, Syarif Hidayatullah, 6, yang baru pulang dari Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) berehat dan berbual-bual di ruang tamu rumah mereka. 

“Kemudian saya meninggalkan Ahmad Daniel yang bermain-main dengan alat pembesar suara di ruang tamu seorang diri sebelum dipercayai keluar dari rumah. 

“Saya juga hairan dengan kelakuan peliknya hari itu apabila tiba-tiba mencium kedua-dua pipi saya. 

"Apabila saya bertanya adik hendak ke mana, dia menarik muka masam seolah-olah ingin bergaduh sebelum menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. 

Zurina berkata, setelah menyedari anaknya tidak ada di ruang tamu berkenaan kerana tiada lagi bunyi-bunyian, beliau bergegas keluar dan mendapati mangsa tidak ada di tempat tersebut sebelum gerakan mencari dilakukan. 

“Saya keluar dari rumah dan terus menghala ke arah jalan dan sungai di sebelah kiri, tanpa terfikir untuk memerhati ke arah kolam yang terletak di sebelah kanan rumah ini,” katanya. 

Menurutnya yang sempat mendapatkan bantuan jiran untuk mencari anaknya itu sebelum menemui mangsa dalam keadaan terapung di dalam kolam berkenaan kira-kira jam 12.50 tengah hari. 

“Mungkin Daniel cuba mengambil payung buruk yang terdapat di dalam kolam tersebut, kerana ada jiran ternampak arwah menuju ke kolam berkenaan,” katanya. 

Sementara itu, bapa mangsa, Rozmi Ismail, 47, berkata, sejak dua hari kebelakangan ini anaknya itu terlalu ceria, aktif dan suka bergurau dengan kakak-kakak dan abang- abangnya di rumah. 

“Saya langsung tidak menduga itu petanda awal Daniel akan meninggalkan kami buat selama-lamanya secepat ini,” katanya. 

Ketika kejadian, beliau yang bekerja sebagai pendawai elektrik dan pembaiki peti sejuk tidak berada di rumah kerana keluar mendapatkan barang-barang keperluan untuk kerja pendawaian di pekan Ketereh. 

Jenazah Daniel dikebumikan di Tanah Perkuburan Kok Lanas jam 12 tengah malam kelmarin.

Misteri peti besi di tepi jalan




SETIU – Misteri penemuan sebuah peti kebal di Kilometer 45 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kelantan menimbulkan tanda tanya pihak polis dan masyarakat. 

Ketua Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Asisten Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, penemuan peti kebal itu disedari seorang anggota polis dari Balai Polis Sungai Tong yang melakukan rondaan kira-kira jam 12.30 tengah hari. 

“Setelah berasa curiga dengan keadaan peti kebal yang ditinggalkan di tepi jalan anggota polis itu melakukan pemeriksaan dan didapati pintu peti itu sudah diumpil. 

"Bagaimanapun usaha mencari pintu peti itu di kawasan sekitar gagal," katanya. 

Menurutnya, hasil pemeriksaan pegawai dan anggota polis mendapati kemungkinan peti itu ingin dibuang di dalam cerun di tepi jalan utama tetapi tidak berjaya kerana berat. 

“Kami juga turut menjumpai papan pelapik yang digunakan untuk menutup peti kebal terbabit bagi mengaburi mata pihak berkuasa sekiranya melalui sekatan jalan di mana-mana lokasi sebelum ia ditinggalkan di situ,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menurutnya, hasil semakan yang dibuat pegawai penyiasat, tiada lagi laporan diterima mengenai kes rompakan dan kecurian peti kebal dilaporkan mana-mana individu setakat ini. 

“Kami percaya sekiranya tiada kes kehilangan dilaporkan di negeri ini kemungkinan ia berlaku di mana-mana negeri luar dari Terengganu sebelum dicampak ke situ. 

“Kami juga percaya peti ini diangkut dengan menggunakan lori memandangkan ia berat dan tidak mampu diangkat serta memerlukan kekuatan tenaga individu yang ramai untuk mengangkatnya," katanya. 

Justeru, mana-mana individu yang mempunyai kehilangan peti kebal disebabkan rompakan di premis atau rumah boleh mendapatkan maklumat lanjut di IPD, Setiu.

Lelaki cedera rusuk, paha kena tembak




KUALA LUMPUR – Seorang pekerja restoran terkejut mendengar bunyi dua das tembakan dan lebih mengejutkan apabila mendapati seorang lelaki cedera parah dalam kejadian di Taman Bilion, Cheras, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pekerja yang enggan dikenali itu berkata, ketika tembakan itu dilepaskan, dia berada tidak jauh daripada lokasi kejadian.

Menurutnya, dia mendengar kuat bunyi kuat dan tanpa berlengah terus ke luar untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya dengar bunyi seolah-olah tembakan dilepaskan dan apabila keluar saya dapati seorang lelaki berada berhampiran keretanya dalam keadaan cedera.

“Manakala sebuah kereta jenis Kembara dipandu seorang lelaki dilihat memecut laju beredar daripada tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, orang awam yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa baru saja meletakkan kereta di parkir depan kedai berhampiran pejabatnya.

Sebaik saja keluar daripada keretanya, dia didata­ngi seorang lelaki yang mengacukan pistol dari arah belakang dan melepaskan dua das tembakan mengenai bahagian rusuk serta paha kiri.

Melihat kejadian itu, pekerja mangsa bergegas menghantarnya ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah berkata, dalam kejadian itu, ahli perniagaan berusia 52 tahun itu dilapor ditembak seorang daripada dua lelaki yang menunggunya di kawasan parkir itu.

“Ahli perniagaan itu dihantar ke hospital berhampiran dan keadaannya dilapor stabil.

“Kami turut menemui kelongsong peluru 9mm daripada pistol jenis automatik di kawasan kejadian,” katanya di sini, semalam.

Zulkifli berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan sedang meneliti Kamera Litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan itu bagi mengesan suspek.

"Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang menunggu dalam sebuah kereta itu adalah pembunuh upahan namun siasatan masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,"katanya.

34,612 mati akibat jenayah dadah di Mexico

MEXICO CITY: Seramai 34,612 orang mati dalam pembunuhan yang ada kaitan dengan dadah di Mexico sejak Presiden Felipe Calderon mengisytiharkan perang terhadap kartel dadah empat tahun lalu.
Pegawai berkata, pembunuhan itu mencapai tahap paling tinggi pada 2010, melonjak sebanyak 60 peratus kepada 15,273 kematian daripada 9,616 pada tahun sebelumnya.

Kadar pembunuhan meningkat pada enam bulan pertama 2010 sebelum kekal dan menurun pada suku terakhir tahun itu, kata jurucakap pihak berkuasa keselamatan persekutuan, Alejandro Poire.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk 30,913 kematian akibat dibunuh, 3,153 kematian akibat kejadian tembak- menembak antara kumpulan dadah dan 546 kematian membabitkan serangan terhadap pihak berkuasa. Calderon semalam menyifatkan 2010 sebagai tahun keganasan melampau negaranya.

“Kami sedar kita berdepan dengan keadaan yang amat rumit berhubung isu keselamatan,” katanya pada mesyuarat dengan kumpulan antijenayah.

Kerajaannya membentangkan sistem data baru untuk mengesan jenayah yang ada hubungan dengan dadah pada mesyuarat itu.

Kumpulan antijenayah sejak sekian lama mendesak supaya mereka dibenar mendapatkan maklumat seperti yang terkandung dalam pangkalan data baru itu.

Ia bertujuan untuk membolehkan mereka mengetahui sama ada usaha keselamatan awam berkesan atau tidak.

Calderon melancarkan gerakan memerangi kartel dadah Mexico sejurus selepas menjadi presiden pada 1 Disember 2006. - AP