Search This Blog

Thursday, January 13, 2011

Kakitangan istana tunjuk senarai senjata api – Saksi


TUMPAT 12 Jan. - Seorang kakitangan Istana Mahkota dikatakan pernah menawarkan senjata api kepada kakitangan lain termasuk tiga pengawal peribadi dari Singapura yang diupah oleh bekas Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Pemandu istana berkenaan, Mat Salleh @ Abdul Ghani Ismail, 61, memberitahu, kakitangan itu yang dikenali sebagai Chef Dee membuat tawaran tersebut selepas menunjukkan senarai senjata api kepadanya dan beberapa kakitangan lain, tetapi tidak mengingati bila perkara itu berlaku.
Dia bagaimanapun memberitahu tidak begitu mengenali Chef Dee yang merupakan tukang masak istana yang kerap menyediakan makanan kepada Tengku Muhammad Fakhry Petra pada ketika itu masih bergelar Tengku Temenggong Kelantan. (Gelaran Tengku Temenggong ditarik balik pada 30 September tahun lalu)
"Saya pernah lihat Chef Dee tunjuk katalog senjata api di hadapan saya dan rakan lain termasuk tiga pengawal peribadi swasta yang diupah Tengku Temenggong iaitu Man, Bob dan Shah. Dia kata siapa yang hendak beli bolehlah tetapi saya tidak tahu jika ada yang membeli atau tidak," katanya.
Saksi ke-20 itu berkata demikian pada hari ketiga inkues yang dijalankan bagi menyiasat punca kematian pengawal Istana Negeri, Ramli Mohamad akibat ditembak penyerang yang tidak dikenali di Palekbang di sini, pada 1 Mei tahun lalu.
Ketika kejadian, Ramli berseorangan menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kok Keli selepas selesai bertugas di Istana Negeri, Kubang Kerian.
Inkues tersebut didengar di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussein.
Menurut Mat Salleh, seminggu sebelum kejadian, dia juga pernah ditanya oleh Chef Dee mengenai nombor plat motosikal Ramli tetapi memberitahu tidak ingat.
"Saya ada bertanya kepada Chef Dee kenapa tanya nombor motosikal arwah, Chef Dee menjawab dia ada mendengar Ramli mahu menjual motornya itu," katanya.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu, pernah mendengar daripada rakan-rakan sekerja mengenai perselisihan faham antara Ramli dengan pengawal-pengawal Tengku Muhammad Fakhry Petra di Singapura.
Sementara itu, saksi ke-19, isteri Chef Dee, Haliza Hashim, 45, menafikan penglibatan suaminya dalam kes tersebut dengan alasan pada malam kejadian, mereka sekeluarga berada di Apartmen Suria, Bukit Merah, Taiping, Perak.
Haliza yang juga seorang guru memberitahu, mereka pergi ke Taiping pada 30 April tahun lalu dengan menaiki kenderaan Toyota Tiger Truck yang dibeli suaminya di Thailand dan menggunakan plat pendaftaran Yala.
Rombongan mereka turut disertai oleh lapan rakannya bersama keluarga masing-masing dan pulang ke Kelantan 2 Mei tahun lalu, ujarnya.
Haliza memberitahu, dia dan suami hanya mengetahui kes berkenaan selepas dimaklumkan seorang tukang masak Istana Mahkota, Siti Hawa Taib yang turut bercuti di Bukit Merah.
Dalam pada itu, Wan Abdul Razak memberitahu mahkamah, sepina kepada Chef Dee gagal diserahkan.
Perbicaraan bersambung pada 20, 21 dan 22 Februari ini.

Khalwat: Pelantikan pendakwa dibantah


KANGAR 12 Jan. - Kes seorang isteri yang ditangkap khalwat bersama pasangan bukan Islam pada hari jadinya September 2009 akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 22 Februari ini.
Hakim Syarie, Azzeman Omar menetapkan tarikh tersebut selepas Harlina Harun, 33, hari ini mengemukakan bantahan terhadap pelantikan Ketua Pendakwa Syarie, Ahmad Fikri Ibrahim dan Pendakwa Syarie, Ahmad Zaini Shamsudin dalam kes tersebut.
Harlina yang diwakili oleh peguam syarie, Zulmi Sabri mengemukakan bantahan atas alasan pelantikan Ahmad Fikri adalah tidak sah berdasarkan Seksyen 58(2) dan 78(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006.
Mahkamah juga diberitahu bahawa pelantikan Ahmad Zaini sebagai Pendakwa Syarie adalah bertentangan dengan Seksyen 78(2) enakmen tersebut dan Seksyen 183(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perlis 2006.
Berikutan itu, dakwa Harlina, pelantikan Ahmad Zaini di bawah peruntukan 184(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perlis 2006 adalah tidak sah dan terbatal.
Azzeman kemudian mengarahkan pihak pendakwa yang turut diwakili oleh Pendakwa Syarie, Fakhrurrazi Md. Mahdzir memfailkan jawapan balas pada 7 Februari ini sebelum Zulmi mengemukakan hujahan semula pada 22 Februari ini.
Harlina yang merupakan pegawai Imigresen yang bertugas di Sungai Petani, Kedah mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 30 September 2009.
Pegawai kerajaan itu didakwa berkurung dengan lelaki bukan muhrim, Yeoh Wei Meng, 36, antara pukul 1 pagi dan 5.30 pagi, 24 September 2009 di sebuah bilik bernombor 811 di Hotel Putra Palace.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 9(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan kekecewaan suami tertuduh, Mohd. Shazeli Ghazali, 32, apabila isterinya itu diberkas pegawai pencegah maksiat, sedangkan pada hari yang sama dia telah pun membeli kek untuk meraikan hari jadi Harlina yang ke-31.

Sekumpulan anak-anak yatim dakwa dirogol, liwat dan cabul


Penghuni rumah anak yatim dakwa diliwat, dirogol
PULAU PINANG 12 Jan. - Sekumpulan kanak-kanak di sebuah rumah anak yatim di sini hari ini mendakwa mereka menjadi mangsa pemuas nafsu penghuni, pekerja dan guru sukarelawan di rumah tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Kebanyakan mangsa merupakan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang kematian ibu bapa serta menetap di rumah yang berusia lebih 100 tahun itu bukan sahaja dirogol, malah mendakwa turut diliwat dan dicabul individu terlibat.
Kejadian itu bagaimanapun terbongkar apabila mangsa mengadu kepada ahli keluarganya.
Salah seorang daripada ahli keluarga mangsa, seorang wanita berusia 41 tahun kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Patani, di sini, petang ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Supritendan Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut dan berkata, polis akan menjalankan siasatan penuh berdasarkan maklumat yang diterima.
"Beri peluang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Setakat ini, kita menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol dan Seksyen 377E kanun yang sama iaitu kelucahan melampau," katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di rumah anak yatim yang berusia 136 tahun itu mendapati, ia beroperasi seperti biasa dengan beberapa penghuni dan pekerja dilihat keluar masuk dari premis itu.
Difahamkan, rumah berkenaan dihuni kira-kira 35 kanak-kanak dan remaja berusia enam hingga 17 tahun.
Sementara itu, penasihat undang-undang kepada rumah berkenaan, John Hia berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan yang dibuat.
Katanya, beliau akan memberikan khidmat nasihat kepada rumah berkenaan dalam menghadapi situasi itu.
"Kita memang tidak tahu apa-apa tentang perkara ini, ia benar-benar mengejutkan.
"Setakat ini, kita sedang menunggu perkembangannya sebelum sebarang tindakan susulan dibuat," katanya ketika ditemui di rumah berkenaan hari ini.
Sementara itu, seorang pekerja rumah berkenaan yang enggan dikenali berkata, pihak terlibat perlu mengemukakan masalah itu kepada pengetahuan pihak pengurusan rumah anak yatim itu terlebih dahulu supaya siasatan dalaman dapat dilakukan.
Katanya, tindakan membuat laporan polis itu hanya akan memberi gambaran negatif tentang rumah anak-anak yatim berkenaan.
"Tindakan ini tidak adil. Buat laporan terhadap kami sedangkan kami tidak dimaklumkan langsung tentang tuduhan berkenaan.
"Tidak patut mereka buat begitu. Apa-apa pun, kami akan menunggu siasatan dilakukan pihak polis," katanya.

Mayat terbakar: Polis tahan 3 lelaki


SEREMBAN 12 Jan. - Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan kes bunuh dan bakar seorang perempuan yang mayatnya ditemui di Kampung Kuala Lukut, Port Dickson, dekat sini, pada 3 Januari lalu.
Kesemua suspek yang berusia lingkungan 20-an ditahan di sekitar daerah berkenaan minggu lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, hasil bedah siasat dan ujian cap jari, pihaknya mengesahkan mayat itu adalah wanita dan menemui subang milik mangsa.
"Pada masa yang sama siasatan mengenai kes berkenaan masih lagi berjalan dan tempoh tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek ini akan berakhir pada Sabtu ini," katanya.
Osman berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku pukul 4.30 petang itu, seorang nelayan menemui mayat seorang wanita dalam keadaan mengerikan dipercayai dibunuh sebelum dibakar berhampiran tempat pembuangan sampah di Kampung Kuala Lukut.
Osman memberitahu, pihaknya akan menyiasat secara terperinci mengenai motif pembunuhan kejam itu sebelum kes itu dibawa ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan.
Kata beliau, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Misteri mayat lelaki pakai coli jatuh kondo terungkai


KUALA LUMPUR 12 Jan. - Misteri penemuan mayat seorang lelaki yang memakai coli dan seluar jean biru di sebuah kondominium di Taman Dato Senu, Sentul, di sini hari ini, terungkai apabila dia sebelum itu didapati memecah masuk rumah penduduk.
Mayat mangsa berusia 26 tahun yang dipercayai terjatuh dari tingkat 12 bangunan itu ditemui pengawal keselamatan pada pukul 6.30 pagi.
Menurut penduduk yang enggan dikenali, mangsa telah memecah masuk sebuah rumah di tingkat itu melalui beranda bersama seorang rakannya.
Katanya, bagaimanapun kejadian itu disedari pemilik rumah yang terjaga menyebabkan kedua-duanya bertindak melarikan diri, namun mangsa terjatuh.
Difahamkan, polis tidak menemui sebarang pengenalan diri pada badan mangsa kecuali tiga buah telefon bimbit, tasbih dan serangkai kunci pendua rumah-rumah di situ.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi hari ini memberitahu, pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
"Pada awalnya si mati sukar dikenal pasti kerana tidak menjumpai sebarang pengenalan diri di badannya.
"Kami bagaimanapun menghubungi abang ipar si mati menerusi telefon bimbit dan dia datang ke kondominium itu untuk membuat pengecaman," katanya.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati si mati pernah mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.
"Si mati bukan penduduk kondominium terbabit dan siasatan sedang dijalankan tujuan dia berada di situ. Kita juga masih belum pasti dia terjatuh dari tingkat berapa," katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dijalankan pemeriksaan lanjut.

Kejayaan besar polis banteras dadah


KUALA LUMPUR 12 Jan. - Polis mencatatkan kejayaan besar dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah apabila berjaya membongkar 21 makmal memproses dadah dan merampas dadah bernilai kira-kira RM270.78 juta sepanjang tahun lalu.
Kejayaan membongkar 21 makmal memproses dadah terbabit boleh dibanggakan kerana ia meningkat 91 peratus berbanding hanya 11 makmal pada 2009.
Sembilan makmal dikesan di Pulau Pinang, empat makmal masing-masing di Selangor dan Kuala Lumpur, dua makmal di Negeri Sembilan manakala selebihnya masing-masing satu di Johor dan Melaka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, lapan daripada makmal dibongkar didapati digunakan untuk memproses dadah jenis ekstasi, memproses syabu (tujuh), memproses heroin (lima) dan satu memproses pil Eramin 5.
Beliau berkata, siasatan mendapati makmal dibongkarkan ini adalah berskala kecil atau dikenali sebagai 'kitchen lab' dan diusahakan oleh mereka yang tidak mempunyai kemahiran tinggi memproses dadah.
"Bagi 2010, JSJN telah merampas dadah bernilai kira-kira RM270.78 juta iaitu berkurangan berbanding RM389.25 juta pada 2009 tetapi ia masih lagi dianggap kejayaan besar bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Ini kerana pada 2010, kita berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha menghapuskan kegiatan jenayah berkaitan dadah terutama penyeludupan dadah oleh sindiket pengedaran dadah warga asing," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurut Noor Rashid, pihaknya menghadapi cabaran-cabaran baru dalam usaha menyekat bekalan dadah dari luar negara memasuki negara ini.
Katanya, ini kerana kumpulan sindiket warga asing bijak menyembunyikan kegiatan haram mereka dengan membawa masuk bahan terlarang itu melalui jalan laut dan lapangan terbang antarabangsa di beberapa negeri.
Bagaimanapun, katanya, hasil kecekapan anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dan dibantu alat teknologi khas, seramai 1,432 warga asing berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik berbanding 48 peratus atau 969 orang pada 2009.
Tambahnya, 499 orang yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
Tambah Noor Rashid lagi, JSJN juga telah memperkukuhkan penguatkuasaan di lapangan terbang antarabangsa memandangkan sindiket pengedaran dadah warga asing mengambil kesempatan menyalah gunakan lapangan terbang untuk menyeludup dadah menggunakan pelbagai modus operandi.
"Sepanjang 2010, seramai 183 warga asing ditahan di beberapa lapangan terbang antarabangsa di negara ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berbanding 21 tangkapan pada 2009.
"Jumlah tangkapan itu menunjukkan peningkatan 771 peratus dengan 122 orang yang ditangkap merupakan warga Iran iaitu 121 orang kerana kesalahan menyeludup syabu dan satu tangkapan kokain," katanya.
Dalam tempoh sama, kata Noor Rashid, 1,548 orang telah diambil tindakan pencegahan khas di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 berbanding 1,324 orang pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan 16.9 peratus.
Beliau berkata, selain tindakan pencegahan, JSJN juga menyita harta mereka yang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.
Jelasnya, dalam tempoh setahun itu, kira-kira 67.79 juta harta telah disita berbanding RM71.65 juta pada 2009.
"Sepanjang tahun lalu, JSJN telah menahan 157,756 orang yang terlibat dalam pelbagai kesalahan narkotik berbanding 125,650 orang atau peningkatan 25.6 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Bagi tahun ini, Noor Rashid memberitahu, pihaknya sudah merancang beberapa strategi untuk memantapkan lagi penguatkuasaan undang-undang untuk membanteras kegiatan jenayah berkaitan dadah.
Selain meningkatkan keupayaan pegawai dan anggota, beliau berkata, JSJN akan menubuhkan satu bahagian di Ibu Pejabat Bukit Aman untuk menjalankan tugas khas mengumpul maklumat daripada orang awam dan bertindak segera di atas maklumat tersebut.
Menurutnya, bahagian khas terbabit dijangka mula beroperasi dalam tempoh seminggu hingga dua minggu lagi dan pegawai ditugaskan mengendalikan bahagian itu turut diumumkan nanti.
"Dalam masa sama, JSJN juga akan bekerjasama dengan polis dari negara-negara jiran dan negara penyeludup seperti Singapura, Indonesia, Thailand serta Iran untuk bertukar-tukar maklumat," katanya sambil memberitahu orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi beliau di talian 019-4477640.

10 warga Bangladesh maut kemalangan di Mauritius


13/01/2011 3:06am

PORT LOUIS, Mauritius 13 Jan. - Seramai 10 orang pekerja warga Bangladesh dan seorang rakyat tempatan Mauritius terbunuh dalam kemalangan jalan raya di sini, kata polis negara itu semalam.
Kemalangan itu berlaku apabila bas mini yang membawa para pekerja merempuh sebuah trak sebelum tercampak ke ladang tebu di kampung Saint Julien d’Hotman, ke timur negara kepulauan itu.
Manakala empat orang lagi mengalami cedera parah dan punca kemalangan masih dalam siasatan polis.
Warga Bangladesh yang dikatakan tiba di Mauritius bulan lalu bekerja di sebuah kilang tekstil di sini. - AFP

Hajat main futsal tak sampai




MUAR – Malam cuti umum sempena Hari Hol Almarhum Sultan Islandar memberi peluang kepada enam remaja beriringan menaiki empat motosikal untuk bermain futsal. 

Bagaimanapun hajat tersebut tidak kesampaian apabila empat daripada mereka terbabit kemalangan dan salah seorang daripada mereka, Mohd Nor Izlan Zamri, 14, mati serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam di Simpang Empat Kampung Tengah, Parit Ulu, Bakri di sini, kesemua remaja terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Bukit Pasir menuju ke gelanggang futsal di Bakri. 

Ketika berada di persimpangan jalan, dua daripada empat motosikal yang dinaiki remaja berkenaan dipercayai dirempuh kereta jenis Proton Saga. 

Kereta tersebut dipercayai datang dari arah Parit Ulu menuju ke Bakri sebelum merempuh motosikal yang dinaiki remaja terbabit. 

Rempuhan itu menyebabkan keempat-empat remaja berkenaan tercampak ke atas jalan raya. 

Tiga remaja lain yang cedera mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar. 

Pemandu kereta berkenaan yang berusia dalam lingkungan 40-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Difahamkan, selepas kemalangan, pemandu kereta tersebut bergegas ke balai polis berhampiran membuat laporan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden tersebut. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Lelaki mati terlentang




KULIM- Seorang tukang rumah, Pau Saw Yu 52, yang tinggal bersama anak dan menantunya ditemui mati dalam keadaan terlentang di atas katil di bilik hadapan rumahnya di Taman Tungku Putra kira-kira jam 9 malam kelmarin. 

Menantu mangsa, Ng Gaik Siang 31, yang bekerja di Prai berkata, dia selalunya akan keluar bekerja bersama suaminya Pua Kean Hwa 31, kira-kira jam 9 pagi. Ketika kejadian mangsa tidak bekerja dan mengadu tidak sihat. 

“Kami tinggal hanya tiga beranak di rumah ini kerana emak mertua dan adik ipar saya bekerja di Kuala Lumpur. Sebelum saya keluar untuk bekerja pada pagi itu saya dimaklumkan bapa saya bahawa dia tidak sihat dan tidak mahu bekerja. Ketika kejadian bapanya tinggal berseorangan di rumah. 

Menurutnya, sebelum ini, bapa mertuanya itu tidak mempunyai sebarang penyakit dan tidak pernah dimasukkan ke hospital kerana tabiatnya sering mendapatkan rawatan dengan segera jika mengalami masalah kesihatan. 

“Kami akan hanya balik ke rumah kira-kira jam 9 malam. Sampai di rumah, saya membuka pintu bilik bapa dan terkejut apabila ternampak bapa dalam keadaan kaku di atas katil. Kami kemudiannya pergi membuat laporan di Balai Polis Kulim dan mereka mengesahkan bapa mertua saya meninggal dunia, ”katanya. 

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat. Memandang tidak ada sebarang kesan dan perlakuan jenayah terhadap mayat mangsa, polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Anak dilarikan ketika bersalin





SEREMBAN - Seorang guru wanita kesal dengan perbuatan bekas suami yang didakwa melarikan tiga anak di bawah jagaannya pada 19 November lalu dan tidak mengembalikan mereka ke pangkuannya sehingga kini. 

Lebih memilukan, kejadian itu dipercayai berlaku sewaktu Zaiton Siman, 40, berada di wad bersalin Hospital Tuanku Ampuan Najihah dekat Kuala Pilah untuk melahirkan anak keempat dengan pasangan hidup yang baru. 

Zaiton berkata, sebelum kejadian, anak sulungnya, Mohd Khalilullah Assidiq, 13, menghabiskan cuti sekolah bersama bapanya yang berumur sekitar 30-an sejak Aidiladha lalu. 

“Dua anak perempuan saya iaitu Quratu Aini, 12 dan adiknya, Mariatul Qibtiah, 10, dihantar ke rumah kakak saya di Kampung Sungai Buluh dekat Durian Tipus, Jelebu pada hari sama saya dimasukkan ke wad. 

“Namun, beberapa hari selepas selamat bersalin, saya terkejut apabila kakak memaklumkan bekas suami datang ke rumahnya mengambil dua anak perempuan dan dia dipercayai membawa mereka ke Seremban,” katanya ketika ditemui, semalam. 

Menurutnya yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Simpang Durian, Jelebu, dia terus menghubungi bekas suaminya tetapi panggilannya tidak dijawab. 

“Saya berjaya menghubungi Mohd Khalilullah Assidiq seminggu selepas kejadian dan anak lelaki saya memaklumkan mereka berada di Bandar Seremban Selatan, dekat sini,” katanya.

Tangkap ular sawa, biawak




KUALA SELANGOR - Ular sawa seberat 200 kilogram (kg) berjaya ditumpaskan dalam masa 30 minit oleh enam petugas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Jalan Raja Muda Musa, di sini, baru-baru ini. 

Petugas JPAM, Mohd Raamad Mohd Saleh berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang penduduk yang memaklumkan menemui ular tersebut di hadapan rumahnya di sini, kira-kira jam 5 petang. 

Menurutnya, penduduk berkenaan telah menyedari kehadiran ular tersebut kira-kira jam 10 pagi, namun laporan hanya dilakukan kepada JPAM pada jam 5 petang 

“Ketika petugas JPAM sampai, ular tersebut telah di pagar penduduk menggunakan jaring. 

“Sewaktu kita cuba menangkapnya, ular tersebut cuba bertindak balas, namun ia berjaya dikawal,” katanya. 

Dia berkata, turut dijumpai bangkai kambing dipercayai dimuntahkan kembali ular berkenaan berhampiran kawasan itu. 

“Ini adalah pengalaman pertama saya menangkap ular sebesar itu kerana sebelum ini, ular yang ditangkap adalah hanya seberat antara 20 kg hingga 30 kg sahaja,” katanya. 

Sementara itu, pada hari sama, JPAM turut menangkap biawak seberat 50 kg di Bandar Baru Kundang jam lapan malam. 

Katanya, biawak tersebut terperangkap di dalam longkang. 

“Kita menggunakan api untuk menakutkannya dan sejenis racun untuk melalikan haiwan itu sebelum ianya berjaya di tangkap,” katanya. 

Kedua-dua haiwan itu kini berada di JPAM sementara menunggu tindakan susulan sama ada menempatkannya ke dalam zoo atau melepaskan haiwan itu ke habitatnya semula.

Berjalan bogel kerana dengar arahan Tuhan




BANDAR MARANG – “Saya perlu berjalan kaki ke seluruh dunia kerana ia adalah arahan Tuhan,” kata seorang lelaki dipercayai kurang siuman ketika ditanya seorang penunggang motosikal di sebuah pondok bas di Sentol Patah di sini, semalam. 

Tindakan lelaki yang mempunyai ketinggian kira-kira dua meter itu berjalan berkaki ayam dengan hanya mengenakan baju-T tanpa memakai seluar dari bandar Marang menuju ke Kampung Sentol Patah mengejutkan orang ramai. 

Sebelum itu, Sinar Harian difahamkan, lelaki terbabit yang berusia lingkungan 30-an juga dilihat merayau-rayau di bandar Marang sekitar jam 9 pagi, tetapi masih lengkap berpakaian sebelum menanggalkan kainnya selepas itu. 

Dia dipercayai menanggalkan kain yang dipakai semasa berjalan kaki ke Kampung Gong Nangka dan tiba di Kampung Sentol Patah sekitar jam 11 pagi. 

Dia bagaimanapun ditahan seorang penunggang motosikal terbabit di Kampung Sentol Patah dan diberikan sehelai seluar panjang sebelum dua anggota polis yang kebetulan melalui kawasan itu tiba di lokasi dan menyoal siasat pemuda berkenaan. 

Ketika disoal siasat lelaki itu juga mendakwa dia menerima bisikan Tuhan agar berjalan berkaki ayam tanpa memakai seluar, walaupun mengetahui perbuatannya itu sudah pasti menimbulkan curiga orang ramai yang melalui jalan itu. 

“Saya tahu salah, tetapi saya hanya menerima arahan (Tuhan),” katanya yang turut mendakwa sudah berjalan kaki beratus-ratus kilometer bermula di Perak, Melaka dan Pahang sebelum tiba di kampung berkenaan kerana mendapat arahan Tuhan. 

Bagaimanapun, lelaki yang dipercayai kurang siuman itu dilepaskan dua anggota polis terbabit selepas diberikan amaran dan bimbang ditahan serta dibawa ke balai polis turut berjanji akan memakai pakaian lengkap.

Brisbane dilanda banjir terburuk




2011/01/13

BEBERAPA buah kereta dihanyutkan air deras dalam kejadian banjir di Queensland, semalam.
BEBERAPA buah kereta dihanyutkan air deras dalam kejadian banjir di Queensland, semalam.
20,000 rumah dijangka dinaiki air 

BRISBANE: Siren kecemasan kedengaran di seluruh Brisbane semalam ketika air banjir melimpah masuk ke pusat bandaraya ketiga besar Australia itu yang sudah dikosongkan.Banjir terburuk dialami Brisbane dalam seabad itu menyaksikan air berlumpur yang melimpah dari Sungai Brisbane mencapai ketinggian lampu trafik di sesetengah tempat dengan jangkaan 20,000 rumah dinaiki air.
Sekurang-kurangnya 22 orang mati di negeri timur laut Australia, Queensland sejak hujan bermula November lalu yang menyebabkan kawasan seluas Perancis dan Jerman ditenggelami air. 

Penduduk Brisbane yang berjumlah dua juta orang sudah membuat persiapan sejak dua hari lalu untuk memindahkan keluarga dan barang mereka ke tempat yang lebih tinggi dengan sesetengah daripada mereka bertindak meletakkan perabot di atas bumbung. 

Sungai Brisbane diramal mencapai paras tertinggi hari ini dan jika jangkaan ini tepat paras banjir tidak akan mencapai ketinggian banjir besar yang melanda bandaraya itu pada 1974. 

“Bagaimanapun bencana kali ini tetap besar dan oleh kerana Brisbane sekarang lebih besar dan mempunyai lebih ramai penduduk, kesannya buruk,” kata Ketua Menteri Queensland, Anna Bligh. 
“Bencana ini tetap akan meranapkan sebahagian daripada bandaraya kita,” katanya. 
Bencana itu memuncak Isnin lalu apabila ribut mencetuskan ‘tsunami’ setinggi lapan meter yang melanda secara tiba-tiba bandar Toowoomba dan pekan lebih kecil di barat Brisbane. 

Seramai 12 orang terkorban dalam banjir kilat berkenaan dan jumlah yang hilang dilaporkan seramai 43 orang. 

Sungai Brisbane mula melimpah kelmarin dan terus mencatat kenaikan paras semalam selepas kunci air di empangan besar di hulu sungai terpaksa dibuka selepas mencapai paras bahaya berikutan hujan berterusan. 

Dua pusat perpindahan dibuka di Brisbane dan lebih 6,500 pendudukan dijangka menggunakan kemudahan itu dalam masa beberapa hari lagi. Pihak berkuasa menggesa penduduk di kawasan rendah supaya menyiapkan rumah mereka dan tinggal bersama rakan atau keluarga serta menjauhkan jalan raya. 

“Insiden ini bukan satu acara pelancongan, ini adalah bencana alam yang serius,” kata Bligh. – AP 

38 wanita jual seks siber ditahan




2011/01/13

MANILA: Tiga puluh lapan orang kebanyakannya wanita ditahan dalam serbuan sebuah kafe internet di tengah Luzon disyaki menjual seks siber kepada pelanggan di Amerika Syarikat dan Eropah, kata akhbar tempatan. 

“Polis merampas 62 set desktop komputer, penyambung, modem, antena satelit, pencetak, telefon dan peralatan lain digunakan Midway 635 di tingkat tiga bangunan komersial di Dinalupihan, Bataan,” kata Ketua Inspektor Rogart Campo, ketua Siasatan Jenayah dan Kumpulan Pengesanan di Bataan kepada akhbar Inquirer.Turut ditahan dua pengurus dan dua penyelia syif selain 34 ‘ejen jualan.’ Pemilik syarikat itu masih bebas, kata Campo.
Majoriti yang ditahan adalah wanita yang bergambar bogel dan melakonkan di depan kamera web. Juga ditahan lelaki menyamar wanita ketika berbual dengan pelanggan secara online, kata Datuk Bandar Joel Payumo kepada Inquirer. – Agensi 

Guru al-Quran merogol dipenjara 5 tahun, 3 sebatan




2011/01/13

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan terhadap seorang guru al-Quran warga Indonesia, selepas mengaku bersalah merogol seorang anak muridnya tahun lalu. 

Hakim, Zainal Abidin Kamaruddin menjatuhkan hukuman terhadap Darwin Sharif,48, yang berasal dari Medan, Indonesia selepas tertuduh mengaku bersalah merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada 9 Oktober tahun lalu.Zainal Abidin ketika membaca keputusannya turut menasihati tertuduh yang memakai baju-T putih dan berseluar panjang supaya bertaubat dan menginsafi perbuatan kejinya itu dan berharap hukuman itu dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat.
Darwin yang sudah menetap di negara ini sejak 20 tahun lalu dan sudah 17 tahun mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita tempatan dalam rayuannya menyatakan dia sudah insaf dan kejadian itu berlaku tanpa niat dan akibat hasutan syaitan. 

Doktor Michael Jackson didakwa bunuh tanpa niat




2011/01/13

Conrad Murray
Conrad Murray
LOS ANGELES: Mahkamah kelmarin mengarahkan doktor peribadi 
Michael Jackson untuk dibicarakan atas dakwaan membunuh tanpa niat kerana menyuntik ubat pelali kuat secara berlebihan ke dalam tubuh Raja Pop itu. Conrad Murray, yang mendakwa dia hanya merawat Jackson untuk masalah insomnia apabila penyanyi itu meninggal dunia pada Jun 2009, juga digantung lesen amalan perubatannya di California. Hakim Mahkamah Tinggi Michael Pastor berkata langkah pergantungan itu dibuat berikutan permintaan oleh Lembaga Perubatan California di atas alasan kepentingan awam.

Murray akan didakwa pada 25 Januari ini, hakim Mahkamah Tinggi di sini memutuskan selepas perbicaraan enam hari yang mendengar bukti bahawa doktor itu cuba menyembunyikan hakikat bahawa dia memberi Jackson ubat pelali kuat propofol secara berlebihan. 

Kematian Jackson mengejutkan dunia hiburan dan mencetuskan perdebatan hebat berhubung kesihatan penghibur itu sebelum konsert di London dikenali sebagai jelajah ‘This is It’. 

Murray, yang dilahirkan di Grenada dan dibesarkan di Trinidad sebelum berpindah ke Amerika Syarikat mungkin berdepan hukuman penjara empat tahun dan kehilangan lesen perubatannya jika dia disabit kesalahan. 
Pendakwa raya berkata Murray, 57, ‘mengabaikan pesakitnya’ selepas memberi propofol di antara jam 10.40 pagi dan 11 pagi untuk membantu Jackson tidur dan kemudian cuba menutupinya selepas kematian penyanyi itu. 

Keputusan mahkamah kelmarin memang dijangkakan selepas seorang pakar forensik memberi keterangan kelmarin bahawa kematian Jackson adalah satu pembunuhan, menyatakan penyanyi itu secara umum berada dalam kesihatan baik ketika meninggal dunia pada 25 Jun 2009 di rumah di sini. – AFP/Agensi 

'Mohon maaf pada Allah'

PUTRAJAYA: “Saya mohon maaf pada Allah dan mahkamah, saya betul-betul menyesal dan bertekad tidak akan melakukan kesalahan sama. Pada hari kejadian, saya ada masalah dan tidak boleh berfikir panjang,” demikian rayuan penyanyi dan pelakon era 80-an, Aman Shah selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan janda beranak dua di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.
Aman Shah atau nama sebenar Aman Shah Abu Kassim, 57, dituduh melakukan kesalahan itu bersama pasangannya, Rohana Awang, 33, di kuarters kerajaan Presint 15 pada jam 12.15 tengah malam, 26 November 2010.
Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 (a)& (b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berikutan itu, Hakim Mohd Zaky Mohammad menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM3,000 atau penjara tiga bulan terhadap pasangan itu apabila kedua-duanya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa.


Pendakwaan dibuat Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Hafiz Idris.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Adikku Pandai Menari itu dalam rayuannya memohon supaya mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana masih mempunyai tanggungjawab terhadap keluarganya.

“Saya mohon kepada Yang Arif, kalau boleh jangan dipenjarakan kerana saya terpaksa menunaikan tanggungjawab yang masih berlangsung. Saya mohon maaf dan amat kesal,” katanya sambil menundukkan mukanya.

Rohana dalam rayuan pula memohon mahkamah tidak mengenakan denda yang tinggi kerana memelihara dua anak, selain menanggung perbelanjaan adiknya yang masih belajar.

Aman Shah yang memakai baju kemeja-T berwarna putih, berseluar hitam dan berjaket tiba di mahkamah kira-kira jam 10.30 pagi ditemani seorang dipercayai rakan, manakala pasangannya yang memakai kebaya berwarna jingga kecoklatan tiba ke mahkamah kira-kira 11 pagi, seorang diri.

Sementara itu, cubaan wartawan untuk menemubual Aman Shah selepas perbicaraan gagal apabila dia enggan memberi sebarang komen dan hanya berkata:
“Reporter (wartawan) tak boleh ampun dosa saya, hanya Allah saja”.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Zaky berkata, mereka hanya membuka pintu selepas 23 minit diketuk dan kejadian berlaku pada 12.15 tengah malam, sekali gus boleh menimbulkan syak berlebihan berlakunya kegiatan tidak bermoral di dalam kediaman berkenaan.

Katanya, setiap individu itu juga perlu menjaga akhlak dan moral masing-masing supaya tidak mengaibkan profesion masing-masing.

“Tertuduh pertama seorang yang amat dikenali, jadi menarik perhatian semua orang. Saya harap walau apa pun profesionnya, setiap orang yang ada dalam profesion itu perlu menjaga akhlak dan moral masing-masing dari aib supaya tidak menjadi satu profesion yang diragukan.

“Selain itu, saya bersetuju dengan pihak pendakwa syarie bahawa tertuduh sudah berada di hujung usia dan bila-bila masa boleh dijemput Allah. Jadi, muhasabah diri dan taubat nasuha.

“Tertuduh kedua pula tinggal di Pekan, Pahang, dekat dengan istana dan kawasan yang ramai orang agama. Jadi insaflah, kedua-duanya sudah berkahwin dan ada anak. Keinsafan itu perlu dizahirkan,” katanya.

Selain itu, pihak pendakwa dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat memandangkan artis berkenaan sudah berusia 57 tahun dan dianggap terlebih matang dan boleh menilai sendiri yang mana baik dan yang mana buruk.

“Malah, pada umur yang agak lanjut atau hujung usia itu saat kematian makin menghampiri. Bila-bila masa saja, kita boleh dipanggil Allah. Kalau penat pun, pada jam 12.15 malam tidurlah di rumah sendiri dengan isteri sendiri, bukannya di rumah perempuan lain yang langsung tidak ada ikatan dengan kita dan boleh menimbulkan syak wasangka jiran-jiran.

“Kedua-duanya, sudah berkahwin dan pernah berkahwin. Kalau tertuduh perempuan kata mohon denda dikurangkan kerana nak menyara anak dan adik yang belajar, saya rasa dia bukan satu contoh teladan yang baik kepada anak dan sebagai seorang kakak,” katanya.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota Penguat kuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menjalankan pemeriksaan hasil aduan awam mengenai kes khalwat di rumah yang terletak di Blok C1, tingkat 2 unit 5, Presint 15 Fasa 15-12B, Putrajaya.

Sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 11.30 malam, pasukan itu membuat pemantuan sebelum ternampak kelibat dua pasang kaki. Kemudian, ketua operasi mengarahkan anggotanya mengetuk pintu, bagaimana pun pintu dibuka selepas 23 minit diketuk.

Pintu dibuka jam 12.15 oleh seorang lelaki baju-T hitam berkolar dan berseluar biru, kemudian pihak penguatkuasa meminta kebenaran untuk masuk ke rumah untuk membuat pemeriksaan.

Ketika itu terdapat seorang wanita Islam duduk di kerusi meja makan dengan memakai baju-T dan seluar berwarna merah serta bertudung hitam dikenali sebagai Rohana Awang.