Search This Blog

Thursday, January 6, 2011

Rais nafi rogol, anggap tuduhan sebagai fitnah

Berita Harian Online | Rais nafi rogol, anggap tuduhan sebagai fitnah 




2011/01/06

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (atas) semalam menafikan tuduhan beliau terbabit dalam kes jenayah perkosaan pada 2007 serta semua dakwaan lain yang dilemparkan penulis blog di internet dan parti pembangkang.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah fitnah dan wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara.

Katanya, beliau dan ahli keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dan akan menerima serta mematuhi sebarang keputusan hasil siasatan rasmi itu.
“Sementara siasatan dijalankan pihak berkuasa, demi keadilan dan kemanusiaan, mereka yang mengamalkan politik kotor melalui internet atau media lain wajar menghentikan sebarang spekulasi, cemuhan atau berbuat sesuatu yang mencabul budaya berpekerti baik.

“Semua tulisan, laporan, picisan, spekulasi termasuk ilustrasi foto atau gambar berhubung dakwaan salah laku atau jenayah memperkosa itu adalah bertujuan jelek, berniat jahat dan memfitnah secara fabrikasi atau rekaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata: “Dakwaan perkosaan seperti dikarang penulis blog tiada kaitan langsung dengan dedahan yang kononnya dipanggil Wikileaks.”

Katanya, tindakan mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai tidak melayani aduan pada 2007 berkaitan kes itu adalah perbuatan “politik licik murahan yang semata-mata bertujuan mengelirukan fakta”.
Rais berkata, dengan adanya gara-gara dan perkembangan pilihan raya kecil dan umum di musim kini, isu seperti ini diolah oleh mereka itu sebagai ‘lembing rejaman’ yang diharap akan membunuh politik dan perjuangan murni kerajaan.

“Mereka menganggap pendedahan bersifat spekulasi dan tohmahan ini dapat mengalih perhatian umum terhadap kes jenayah besar seperti liwat yang membabitkan pimpinan pembangkang,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, beberapa laman blog menyiarkan cerita yang mengaitkan Rais merogol seorang pembantu rumah pada 2007.

Sementara itu di SEREMBAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan polis berhubung dakwaan Rais terbabit dalam kejadian merogol pembantu rumah warga Indonesia, kira-kira tiga tahun lalu.

Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, berkata pihaknya mahu polis menyiasat dakwaan itu yang tersebar luas di internet dengan telus demi menegakkan kebenaran.

"Seseorang tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah. Dalam perkara ini, mangsa pertama ialah Rais kerana beliau belum dibuktikan bersalah, namun boleh dikatakan hampir semua blog dan cakap mulut sudah menyebut namanya terbabit dalam kes rogol," katanya pada sidang media di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, semalam.

'Saya ingat dia dah tidur'

myMetro | 'Saya ingat dia dah tidur'

TUTUP...polis membawa mayat Yin Sheng ke HSB, kelmarin.
TUTUP...polis membawa mayat Yin Sheng ke HSB, kelmarin.





PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan.
PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan.

ALOR SETAR: “Saya ingatkan cucu sudah tidur kerana tak dengar suara dia bermain di ruang tamu, tapi saya sangat terkejut apabila melihat dia dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,” kata Chia Sew Heng, 71, nenek Tan Yin Sheng, 5, yang mati dipercayai akibat terjerut pada kain penyangkut langsir rumahnya di Taman Timah Mergong, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, budak lelaki itu dipercayai bermain seorang diri di ruang tamu rumahnya, manakala nenek dan ibunya berada di dapur, sementara bapanya keluar bekerja.

Chia berkata, ketika kejadian, dia bersama ibu mangsa berada di dapur sambil melayan cucu keduanya iaitu adik perempuan mangsa yang berusia tujuh bulan.

“Ketika di dapur, saya dengar suara cucu bermain sambil melompat-lompat di atas sofa. Beberapa minit kemudian saya tak dengar suara dia lagi dan menganggap Yin Sheng sudah tidur di sofa berkenaan.


“Saya rasa tak sedap hati dan cuba jenguknya di ruang tamu sama ada dia tidur atau bermain.


“Alangkah terkejutnya saya melihat dia terkapai-kapai dalam kain penyangkut langsir dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

“Saya menjerit sambil memanggil anak perempuan di dapur sebelum kami membuka ikatan kain penyangkut itu di lehernya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, malam kelmarin.

Menurutnya, dia dan anak perempuannya membawa Yin Sheng ke sebuah hospital swasta di sini, bagaimanapun doktor mengesahkan cucunya itu sudah meninggal dunia.

“Yin Sheng seorang yang hiperaktif dan selalu bermain seorang diri di ruang tamu,” katanya sedih.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata polis menerima maklumat kejadian terbabit pada jam 10.40 malam dan insiden itu dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 malam.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai duduk di atas sofa berdekatan kain penyangkut langsir itu sebelum bermain dengan kain berkenaan sebelum terbelit pada lehernya.

“Polis percaya mangsa mati akibat terjerut,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa tinggal bersama ibu, nenek dan adiknya berusia tujuh bulan, manakala bapa mangsa yang bekerja sebagai penjual sayur tiada di rumah kerana keluar bekerja sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu.



“Nenek mangsa yang tidak sedap hati selepas tidak mendengar suara mangsa menjenguk cucunya di ruang tamu rumah dan terkejut apabila mendapati mangsa terkulai di atas sofa dengan lehernya terjerut.

“Keluarga mangsa membawanya ke Pusat Perubatan Putra (PMC) untuk rawatan, bagaimanapun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa pulang ke rumahnya,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.





“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini. Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati tergantung dan tiada unsur jenayah,” katanya.

Adik tak puas hati

myMetro | Adik tak puas hati

SEDIH...Lee (kanan) bersama Teng menahan kepiluan sambil mengepit gambar mendiang Teoh.
SEDIH...Lee (kanan) bersama Teng menahan kepiluan sambil mengepit gambar mendiang Teoh.


SHAH ALAM: “Selepas terlalu lama menunggu, ini saja keputusannya? Saya tidak berpuas hati,” kata Teoh Lee Lian, 31, adik mendiang Teoh Beng Hock, di luar Mahkamah Koroner, semalam.
Dia yang bertindak sebagai jurucakap keluarga, dilihat sungguh emosional sehingga menangis teresak-esak dan kadangkala seperti meraung apabila ditanya media mengenai reaksinya terhadap keputusan itu.

Malah, wanita itu yang hadir bersama ahli keluarganya dilihat mula mengalirkan air mata sebaik memasuki galeri awam di Mahkamah Koroner, jam 2.15 petang.

Lee Lian yang terlampau kecewa dengan keputusan itu berkata, dia akan mengadakan program jelajah ke seluruh negara sehingga Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian abangnya.
“Keputusan ini tidak membawa apa-apa makna,” katanya.
Ibu Teoh, Teng Shuw Hor, 57, yang cuba mengelak daripada dikerumuni media hanya berkata: “Siapa menyebabkan kematian anak saya, dia patut beri jawapan kenapa anak saya mati.”
Seperti prosiding terdahulu, Teng membawa bersama bingkai gambar dengan foto Teoh, 30.
Terdahulu, keputusan inkues yang sudah berlangsung lebih setahun setengah itu menarik perhatian ratusan wakil media tempatan dan antarabangsa, yang membanjiri pekarangan kompleks mahkamah sejak 11 pagi.
Sementara itu, peguam mewakili keluarga mangsa, Gobind Singh Deo berkata, keluarga mendiang Teoh akan memfailkan permohonan bagi menyemak semula keputusan inkues yang mendapati kematian mangsa bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.


“Kami berpendapat keputusan ini tidak dapat diterima. Walaupun tiada elemen jenayah, tetapi mahkamah bersetuju bahawa wujudnya kecederaan di bahagian leher mangsa sebelum mendiang jatuh dari bangunan itu.

“Persoalan tentang bagaimana Teoh mendapat kecederaan itu dan menemui ajalnya, masih menjadi tanda tanya dan mengganggu fikiran keluarganya. Kami perlu mendapat jawapan daripada SPRM,” katanya.

Ditikam gagal lunas sewa rumah

myMetro | Ditikam gagal lunas sewa rumah
KUALA LUMPUR: Hanya kerana gagal melunaskan tunggakan sewa rumah selama sebulan, seorang lelaki berusia 35 tahun cedera parah akibat ditikam tiga kali di bahagian belakang badan, leher dan pipi oleh pemilik rumah terbabit di rumahnya di Jalan Ipoh di sini, pagi semalam.
Difahamkan, mangsa yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, masih tidak sedarkan diri namun keadaannya dilaporkan stabil.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek berusia 41 tahun ketika pemilik rumah terbabit datang memungut duit sewa.

Menurut sumber, mangsa sudah menyewa rumah milik suspek berusia 41 tahun itu sejak setahun lalu.

“Disebabkan dia kini menganggur, mangsa tidak dapat melunaskan bayaran sewa terkini lebih RM400 menyebabkan tuan rumahnya berang sebelum berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mereka,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, berkata kejadian itu disedari rakan mangsa berusia awal 30-an yang menumpang bermalam di rumah seorang lagi rakan mereka di bawah rumah mangsa sebaik terdengar bunyi bising.

“Disebabkan bimbang sesuatu berlaku, rakan mangsa (pengadu) segera naik ke rumah rakannya untuk melakukan pemeriksaan.

“Dia terkejut apabila mendapati mangsa terbaring di kawasan ruang tamu rumah berkenaan dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Zainuddin berkata, rakan mangsa segera menghubungi pihak berkuasa melaporkan kejadian berkenaan sebelum sekumpulan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah ambulans.

“Mangsa dikejarkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan susulan. Mangsa cedera akibat ditikam di belakang badan, leher dan pipi namun keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya.

Menurutnya, gerakan memburu suspek akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya ditahan kira-kira sejam kemudian berhampiran kawasan berkenaan namun senjata yang digunakannya masih belum ditemui.

“Pemeriksaan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah. Kita percaya ketika bergelut dengan mangsa, suspek berada di bawah pengaruh dadah.

“Dia (suspek) akan di bawa ke mahkamah esok (hari ini) untuk mendapatkan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pekerja maut, tauke cedera tong gas meletup

myMetro | Pekerja maut, tauke cedera tong gas meletup: "

BANDUNG: Seorang pekerja kedai mengedar gas maut selepas puluhan tong gas meletup hingga menyebabkan kedai itu terbakar di Jalan Raya Terusan Buahbatu, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Nasrudin mati serta-merta di tempat kejadian. Pemilik kedai, Zaenal pula melecur dalam insiden itu.


Kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.45 pagi dan disusuli beberapa letupan yang mengejutkan penduduk di kawasan penempatan berhampiran.

Saksi berkata, banyak tong gas tercampak ketika insiden letupan itu dan sesetengahnya terpelanting ke kediaman penduduk. “Saya mendengar bunyi letupan tidak berhenti seolah-olah berada di medan perang. Tong gas pula tercampak di mana-mana, malah sehingga ke jalan raya,” kata penduduk, Dede, 55. Seorang saksi dan jiran mangsa, Sukandar berkata, api mula terbakar dari bawah tong gas. Anggota bomba daerah Bojongsoang tiba sejurus kemudian dan berjaya memadamkan kebakaran itu. - Agensi"

Polis temui kereta curi

myMetro | Polis temui kereta curi: "


KUALA LUMPUR: Tindakan pantas polis memburu suspek yang melarikan sebuah kereta di Taman Petaling membuahkan hasil apabila kenderaan berkenaan ditemui semula kurang tiga jam selepas kejadian, pagi semalam.

Difahamkan, ketika Toyota Camry ditemui di sebuah gudang di Bandar Saujana, Sungai Buloh jam 9 pagi, suspek berusia lingkungan 30-an sedang meleraikan komponen kereta berkenaan bersendirian dipercayai untuk dijual sebagai alat ganti.
Bagaimanapun, suspek yang menyedari kehadiran polis sempat meloloskan diri."

Rogol anak tiri umur 9 tahun

Kosmo! Online - Negara


TERTUDUH (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka semalam.





MELAKA – Seorang bekas anggota tentera tergamak mengkhianati amanah keluarganya dengan merogol dan mencabul anak tirinya yang berusia sembilan tahun dua tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 53 tahun itu menerima balasan atas perbuatannya apabila Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun serta enam sebatan ke atasnya.
Hakim Abu Bakar Katar memutuskan demikian setelah mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.
Abu Bakar menjatuhkan hukuman 18 tahun serta enam sebatan bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam tahun.
Hakim tersebut turut memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.
Tertuduh didakwa merogol anak tirinya berusia 9 tahun 11 bulan di sebuah rumah nombor 9A Jalan BKP3, Taman Bukit Katil Permai di sini pukul 2 pagi pada penghujung November 2008.

Maut terjerut kain pengikat langsir


SEORANG anggota keluarga Yin Sheng menunjukkan tali pengikat langsir yang menyebabkan kematian kanak-kanak itu di Taman Timah, Mergong, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – “Saya ingatkan cucu saya tertidur ketika bermain di ruang tamu, rupa-rupanya leher dia sudah terkulai pada kain pengikat langsir.”
Demikian cerita Cheah Siew Eng, 71, nenek kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Tan Yin Sheng yang maut selepas lehernya terjerut pada kain pengikat langsir di rumahnya di Taman Timah, Mergong di sini kelmarin.
Sebelum kejadian pada pukul 9.30 malam itu, kanak-kanak malang itu dikatakan sedang bermain seorang diri di ruang tamu rumahnya manakala nenek, ibu serta adik perempuan mangsa yang berusia tujuh bulan pula berada di dapur.
Pada mulanya, menurut Siew Eng, dia terdengar bunyi Yin Sheng bermain di ruang tamu.

Ulama anti AS kembali ke Iraq


06/01/2011 3:00am

BAGHDAD 6 Jan. – Ulama anti-Amerika Syarikat (AS), Muqtada al-Sadr telah kembali ke Iraq selepas hampir tiga tahun menghilang.
Seorang pegawai Sadrist di Baghdad, Mohammed al-Kaabi berkata, Muqtada berada di bandar Najwa di kediaman keluarganya. Namun tidak diketahui berapa lama beliau akan berada di negara ini.
Muqtada meninggalkan Iraq sejak 2007 dan tinggal di Iran. Pengaruhnya yang kuat di Iraq menyebabkan beliau menjadi tentangan kuat kepada AS sejak pencerobohan 2003. – Reuters

Lelaki menyamar polis sejak dua tahun diberkas


KUALA LUMPUR 4 Jan. - Setelah hampir dua tahun diburu kerana menyamar sebagai polis untuk menyamun, suspek akhirnya berjaya diberkas sejurus selepas melakukan kegiatan jenayah tersebut.
Suspek dipercayai penagih dadah berusia 31 tahun ditangkap selepas menyamun seorang pelajar lelaki yang memandu kereta bersendirian di sebuah kawasan di Pandan Perdana, Ampang Jaya, dekat sini pada pukul 3.30 pagi, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam kejadian tersebut, suspek bersama seorang lagi rakan yang menaiki motosikal berasingan telah menahan mangsa kononnya mahu melakukan pemeriksaan.
Beliau berkata, mangsa yang percaya kedua-dua suspek itu anggota polis telah ditunjukkan kad mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) lalu memberhentikan keretanya untuk pemeriksaan.
"Mangsa berusia 21 tahun tidak mengesyaki apa-apa kerana melihat seorang suspek memakai jaket berwarna kuning seperti anggota polis, manakala rakannya memakai jaket biasa dan mereka turut menunjukkan kad mempunyai logo PDRM.
"Sebaik sahaja mangsa membuka cermin tingkap kereta, suspek berpura-pura membuat pemeriksaan sebelum bertindak melarikan dua telefon bimbit dan wang RM20 miliknya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun tidak bernasib baik kerana semasa melakukan jenayah tersebut kebetulan sebuah kereta peronda polis melalui tempat kejadian dan melihat perbuatan mereka.
Amiruddin berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak memecut motosikal untuk melarikan diri tetapi seorang daripada mereka berjaya ditangkap.
Katanya, pemeriksaan terhadap suspek menemui semula barang-barang mangsa yang disamun, sejumlah dadah, alat renjatan elektrik dan pisau lipat.
"Siasatan mendapati motosikal digunakan suspek pernah dilaporkan hilang di Salak Selatan, Cheras dan dia turut dikehendaki oleh polis daerah Cheras kerana mempunyai 10 rekod kesalahan lampau iaitu menyamar sebagai polis untuk menyamun," ujarnya.
Menurut Amiruddin, tangkapan suspek membolehkan polis menyelesaikan tujuh kes yang sama di daerah Ampang.
Beliau berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan rakannya yang masih bebas giat dilakukan.

Mayat dua nelayan hilang ditemui


KUANTAN 4 Jan. - Mayat dua nelayan yang dipercayai mangsa bot pukat tunda karam di perairan ini, kira-kira 15 batu nautika (27 kilometer) dari Tanjung Gelang di sini, Khamis lalu ditemui oleh nelayan tempatan hari ini.
Mayat pertama ditemui kira-kira pukul 1 pagi ketika nelayan terbabit sedang menangkap ikan kira-kira 23 batu nautika (41.4 kilometer) dari Kuantan.
Sebuah bot nelayan kemudian menemui mayat seorang lagi mangsa kira-kira 32 batu nautika (57.6 kilometer) di tenggara Kuantan.
Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Timur, Komander Maritim Syd Mohd. Fuzi Syd Hasan berkata, mayat pertama gagal dibawa ke darat kerana tenggelam semula sebelum pihaknya sampai.
"Nelayan itu menghubungi pihak berkuasa, namun sebelum kapal tiba di kawasan berkenaan, mayat tersebut tenggelam," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Khamis lalu, seorang tekong dan empat nelayan hilang dikhuatiri mati lemas apabila bot yang mereka naiki karam dipercayai dipukul ombak.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi, ketika bot membawa empat nelayan warga Thailand dan seorang tekong tempatan menangkap ikan di perairan tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat itu turut disertai oleh Pasukan Gerakan Marin dan Kapal KD Perak dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Tambah Syd Mohd. Fuzi, mayat kedua berjaya diambil pihak TLDM dari nelayan yang kemudian membawanya ke pangkalan TLDM Tanjung Gelang.
Katanya, mayat tersebut kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan mengenal pasti identitinya.
"Kita akan memperluaskan kawasan mencari ke arah selatan dari kawasan bot karam berdasarkan penemuan mayat itu," katanya.
Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua nelayan terbabit tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian, sementara punca kejadian masih disiasat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan nelayan menggunakan jaket keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini khususnya ketika musim tengkujuh.

6 bekas penagih ditahan, pukul rakan hingga mati


KUALA LUMPUR 4 Jan. - Gara-gara berselisih faham, enam bekas penagih yang mendiami asrama Persatuan Kebajikan Bekas Penghuni Institusi Pemulihan Malaysia (PROKIM) tergamak memukul rakan mereka sehingga mati.
Kejadian berlaku di asrama Persatuan Kebajikan Bekas Penghuni Institusi Pemulihan Malaysia (PROKIM) di Jalan Pandan 6/1, Ampang dekat sini, Sabtu lalu.
Dalam insiden pukul 10.38 pagi itu, mangsa, Mafta Rizal Marzuki, 37, ditemui mati dalam bilik asramanya.
Laporan bedah siasat dikeluarkan oleh hospital pada keesokan harinya mengesahkan bekas penagih dadah yang bekerja sebagai pencuci itu mati akibat dipukul dengan benda keras di kepala.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, polis yang mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai kes bunuh kemudian menjalankan siasatan untuk mengesan suspek terlibat.
Beliau berkata, hasil siasatan, sepasukan anggota polis diketuai Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Jaswent Singh berjaya mengesan dan memberkas suspek utama di sebuah kawasan di Chow Kit.
"Suspek berusia 33 tahun ditahan pada pukul 3.15 petang di Chow Kit dan penahanannya berjaya membawa polis menjejaki lima lagi rakannya yang turut terlibat dalam kejadian tersebut.
"Keenam-enam mereka berusia 22 hingga 45 tahun merupakan bekas penagih dadah dan sama-sama bekerja sebagai pencuci serta mendiami asrama yang sama dengan mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati punca mangsa dibunuh akibat perselisihan faham dan penahanan keenam-enam suspek berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Amiruddin berkata, suspek utama yang ditangkap didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan empat kes berkaitan dengan dadah.
Katanya, kesemua mereka kini direman selama seminggu sehingga 10 Januari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah hadir menyampaikan sijil penghargaan kepada Jaswent dan dua anggotanya iaitu Lans Koperal Mohd. Johari Zainal Abidin dan Lans Koperal Goh Hock Kee kerana berjaya menyelesaikan kes pembunuhan itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Menurut Tun Hisan, sijil penghargaan yang diberikan itu memberi markah kepada pegawai dan anggota terbabit untuk dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat selepas ini.
"Kepantasan dan ketelitian mereka menjalankan siasatan telah berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam dan saya yakin suspek terlibat dalam kes ini boleh didakwa mahkamah," katanya sambil memberitahu kejayaan itu sekali gus meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis.

Nenek rancang pembunuhan tiga beranak


CHENNAI 4 Jan. - Seorang nenek berumur 67 tahun dipercayai bertanggungjawab merancang pembunuhan kejam seorang wanita warga Malaysia dan dua anak kecilnya di Madurai pada November lepas, menurut polis.
Nenek itu yang kini berada dalam tahanan polis di Madurai, merupakan nenek kepada suspek utama kes bunuh tiga beranak itu yang dipercayai telah melarikan diri ke Malaysia dengan empat suspek lain.
"Kami mendapati nenek itu merupakan perancang pembunuhan itu, dia yang sebenarnya menyuruh mereka (semua suspek) membalas dendam terhadap si mati.
Semua tujuh tertuduh dalam tahanan kami sekarang juga mendedahkan yang nenek itu terbabit dalam jenayah itu.
"Mayat tiga beranak itu awalnya ditanam di ladang kelapa wanita (nenek) itu tetapi kemudiannya dipindahkan ke tempat lain," kata pegawai polis di Vadipatti, Inspektor P.R Lakshmanan kepada Bernama hari ini.
Warga Malaysia Adhila, 24, dua anaknya Ajira Banu, 5, dan Mohd. Aslan, 7, didapati hilang dari rumah mereka di daerah Ramananthapura pada 8 November lalu.
Tiga hari kemudian polis menemui mayat tiga beranak itu dalam keadaan sudah reput di sebuah saliran di Vadipatti di Madurai, Tamil Nadu, kira-kira 150 kilometer daripada tempat mereka diculik.
Siasatan mendapati pembunuhan itu ada kaitan dengan permusuhan lama antara geng tempatan dan tiga beranak itu dibunuh bagi membalas dendam terhadap suami Adhila, yang dikatakan bekerja di Malaysia.
Kesemua suspek ialah warganegara India yang berasal dari Tamil Nadu.
Kes itu yang mendapat liputan meluas media di selatan India, dipindahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Cawangan Jenayah Tamil Nadu (CB-CID) minggu lepas, atas arahan Mahkamah Tinggi Madras.
"Kanak-kanak yang tidak bersalah telah dibunuh akibat permusuhan antara dua keluarga.
"Oleh yang demikian, mahkamah ini yakin CB-CID adalah agensi yang kompeten untuk meneruskan dan menyiapkan siasatan dengan bantuan polis Malaysia untuk membawa pulang pesalah ini ke India," kata Hakim V. Periyakaruppan yang memerintahkan pemindahan kes itu, menurut laporan Outlook India.com. - BERNAMA

Bicara kes saman bekas suami Daphne 26 Januari ini


KUALA LUMPUR 5 Jan. - Mahkamah Majistret di sini menetapkan perbicaraan kes saman peribadi oleh bekas suami model dan pengacara, Daphne Iking iaitu Ryan Chong Yiing Yih (gambar) terhadap pengarah urusan sebuah syarikat, Darren Choy Khin Min bersambung pada 26 Januari ini.
Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah menetapkan demikian hari ini selepas peguam Jagjit Singh memaklumkan bahawa anak guamnya, Darren tidak dapat hadir kerana kurang sihat dan kini berada di London.
Terdahulu, cadangan majistret tersebut supaya perbicaraan diteruskan tanpa kehadiran Darren turut dibantah oleh Jagjit dan peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Ryan.
Pada prosiding lalu, kes itu ditetapkan untuk sambung bicara pada 4 Mac ini.
Bagaimanapun, berikutan arahan untuk mempercepatkan kes itu yang diklasifikasikan sebagai berprofil tinggi, mahkamah pada 24 Disember lalu telah menukar tarikh perbicaraan kepada hari ini.
Kes dijadualkan dibicara selama lima hari.
Menurut Jagjit, penukaran itu akan menyusahkan pihak-pihak yang terlibat kerana mereka juga mempunyai komitmen dengan kes-kes di mahkamah lain.
Saman peribadi terhadap Darren, 45, dikemukakan oleh Ryan, 32, kerana mendakwa pengarah syarikat itu memikat Daphne, 31, yang ketika itu masih isterinya.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat untuk membolehkannya melakukan persetubuhan yang ditegah di sebuah rumah beralamat di B-13-2 The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr. Ismail di sini antara Julai 2007 dan September 2008.
Darren dipercayai individu pertama didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Oleh kerana kes itu merupakan saman peribadi, ia tidak melibatkan pihak pendakwaan dari Jabatan Peguam Negara.

800 tentera Bangladesh dibicara


Dua daripada tentera pemberontak dikawal ketat oleh polis setibanya di Mahkamah Khas di Dhaka, semalam. – AFP


DHAKA 5 Jan. – Seramai 800 anggota tentera Bangladesh yang bergari memenuhi sebuah mahkamah yang dibina khas di Dhaka hari ini atas pelbagai tuduhan termasuk membunuh serta melakukan pelbagai kesalahan lain ketika pemberontakan.
Dalam pemberontakan 26 Februari 2009 itu, seramai 74 orang termasuk 57 pegawai tentera terbunuh di sebuah pangkalan tentera di bandar.
Dalam insiden itu, anggota BDR memberontak bagi menuntut gaji yang lebih tinggi dan beberapa kemudahan lain, mereka kemudiannya menyerah diri selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina Wajed memberi amaran mereka berada di jalan yang salah kerana mencetuskan pertempuran yang mungkin berakhir dengan pertumpahan darah.
Defenden-defenden tersebut yang bergari bersama sedozen pesalah orang awam, memasuki ruang mahkamah secara senyap selepas dibawa dari penjara dengan menaiki van.
Bangunan sementara itu yang didirikan di atas tanah yang biasanya digunakan sebagai tempat permainan, yang mana ketika ini bangku-bangku panjang telah diletakkan bagi menempatkan seramai 800 orang tertuduh itu.
Hakim Jahirul Haq mendengar pertuduhan mengenai pemberontakan selama 30 jam oleh anggota tentera pasukan keselamatan sempadan Bangladesh (BDR) yang telah membunuh komander mereka, menyeksa dan membakar mereka hidup-hidup sebelum mayat mereka disembunyikan di dalam longkang. – AFP

Suasana mahkamah kecoh dengan jeritan


SHAH ALAM 5 Jan. – Suasana Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini bertukar kecoh apabila penyokong dan ahli keluarga Teoh Beng Hock tidak dapat menerima keputusan inkues siasatan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu.
Sebaik sahaja prosiding tersebut berakhir kira-kira pukul 4 petang ini, keadaan bertukar huru-hara diselangi dengan jeritan dari pelbagai sudut di bangunan tersebut.
Di sayap kanan bangunan itu pula, berlaku tolak-menolak di kalangan media sehingga ada yang terjatuh gara-gara ingin mencari sudut terbaik dalam merakamkan gambar atau cuba mendapatkan komen daripada ahli keluarga Beng Hock.
Selain itu, seorang lelaki berbaju kemeja T merah dengan lilitan kain warna kelabu di kepala, yang merupakan penyokong tegar mendiang turut menjerit-jerit kerana tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Situasi tersebut berlaku sejurus selepas Mahkamah Koroner di sini menolak kemungkinan bahawa setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu mati akibat dibunuh.
Koroner Azmil Muntapha Abas (gambar) turut menolak kemungkinan lelaki tersebut membunuh diri pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan Plaza Masalam.
Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock bermula pada 29 Julai 2009 ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.
Terdahulu, kira-kira pukul 2.15 petang, beberapa penyokong keluarga mendiang sempat memaki hamun Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM tersebut, Datuk Abdul Razak Musa ketika beliau menaiki tangga utama mahkamah.
Pada prosiding hari ini, kompleks mahkamah dibanjiri kira-kira 50 penyokong yang masih-masing dilihat memakai sekuntum bunga kekwa putih yang disemat di dada.
Turut kelihatan di mahkamah ialah beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang seperti Nurul Izzah Anwar, Teresa Kok, Teoh Nie Ching, A. Xavier Jayakumar, Elizabeth Wong dan Lim Kit Siang.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut hadir mengikuti prosiding tersebut.
Kompleks mahkamah itu juga dikawal oleh hampir 30 anggota polis beruniform dan berpakaian preman.
Bapa Beng Hock, Teoh Leong Hwee; ibunya, Teng Shuw Hor; adik perempuan; Teoh Lee Lan; dan abang, Teoh Meng Kee tiba di mahkamah tiba-tiba pukul 2 petang dengan menaiki kereta Toyota Avanza warna hijau milik mendiang.
Sementara itu, peguam Karpal Singh yang mewakili keluarga Beng Hock dalam inkues itu menyatakan, pihaknya akan mengemukakan usul di Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula keputusan koroner tersebut secepat mungkin.
Ini bagi membolehkan mahkamah tersebut meneliti dengan lebih mendalam semua bukti berkaitan termasuk kecederaan di leher mendiang yang disahkan wujud oleh Azmil Muntapha.
Karpal berkata demikian sewaktu ditemui sejurus selepas menjelaskan keputusan mahkamah kepada keluarga Beng Hock.
Menjawab pertanyaan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, Karpal menyatakan, ia boleh dijalankan secara serentak ketika semakan dibuat.
Suasana serius itu kemudian bertukar hiba terutamanya apabila Lee Lan sambil menangis teresak-esak memohon penjelasan mengenai keputusan terbuka yang dibuat oleh mahkamah.
Jelas tidak dapat menerima keputusan yang dibuat oleh mahkamah, wanita tersebut menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menentukan kematian abangnya.
Sekiranya suruhanjaya itu tidak ditubuhkan, kata Lee Lan, dia dan keluarganya akan mengadakan ‘road show’ mengenai kematian Beng Hock.

Keputusan kes ibu bunuh bayi dalam tandas 25 Januari


PULAU PINANG 5 Jan. - Nasib seorang ibu muda yang didakwa di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya di dalam tandas kilang tempatnya bekerja, dua tahun lalu akan diketahui pada 25 Januari ini.
Pada tarikh itu, Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim akan membuat keputusan sama ada memerintahkan Nurul Syuhada Shamsudin, 21, membela diri atau membebaskannya daripada tuduhan tersebut.
Beliau menetapkan tarikh tersebut hari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar selesai mengemukakan penggulungan hujah di akhir kes pendakwaan.
Nurul Syuhada yang memakai baju kurung ungu dan tudung warna sama dilihat tenang sepanjang prosiding dengan sesekali menoleh ke arah ahli keluarganya yang duduk di galeri awam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh bayi yang baru dilahirkannya di antara pukul 3 pagi dan 7 pagi, 31 Disember 2009 di dalam tandas perempuan di kilang Jabil Circuit di Zon Perindustrian Bebas, Bayan Lepas di sini.
Mayat bayi tersebut dijumpai tersangkut di dalam lubang tandas kira-kira pukul 2.15 petang keesokkan harinya oleh seorang tukang cuci selepas menerima aduan tandas tersumbat.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya L. Umma Devi manakala tertuduh diwakili peguam, E. Gnasegaran.
Terdahulu Azhar berhujah bahawa wujud elemen niat daripada tindakan yang dilakukan tertuduh untuk cuba menyembunyikan perbuatannya terhadap bayi yang baru dilahirkan itu.
Menurutnya, ia dibuktikan melalui tindakannya yang enggan pulang awal meskipun dinasihati berbuat demikian kerana tidak sihat dan berada di dalam tandas terlalu lama.
Kata beliau, bukti juga menunjukkan tertuduh memberitahu keadaannya 'ok' dari dalam tandas kira-kira pukul 5 pagi pada hari kejadian semasa rakan sekerjanya bertanyakan keadaannya ketika itu.
''Sejam sebelum itu, rakan sekerjanya yang berada di tandas sebelah turut terdengar bunyi tangisan bayi yang disusuli bunyi air dipam dari tandas tempat di mana tertuduh berada.
''Walaupun tidak dapat dipastikan sebab sebenar yang membawa kematian bayi itu namun pakar patologi memberitahu peluang untuk bayi itu hidup amat minimum kerana keadaannya yang berada di dalam lubang tandas.
''Justeru, saya memohon tertuduh dipanggil membela diri kerana hanya dia yang boleh memberitahu kita apa sebenarnya yang berlaku di dalam tandas itu,'' kata Azhar.
Gnasegaran pula menghujahkan bahawa bayi itu mati ketika dilahirkan dan anak guamnya tidak mempunyai pengetahuan bahawa dia telah melahirkan 'anak'.
''Kesakitan yang dialaminya dirasai sama dengan rasa ketika mahu membuang air besar. Dia tidak tahu dia melahirkan anaknya. Lagipun, daripada keterangan saksi, jelas menunjukkan punca sebenar kematian bayi itu tidak dapat dipastikan lagi.
''Justeru, dia tidak wajar dipanggil untuk membela diri atas tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dia bukan pembunuh bayi itu,'' katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan tukang cuci tersebut memaklumkan penemuan mayat bayi itu kepada pengurusan kilang yang kemudian membuat laporan polis.
Mayat bayi berkenaan kemudian telah dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

Pengawal bank didakwa curi RM203,400


SEREMBAN 5 Jan. - Seorang pengawal keselamatan sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melarikan wang RM203,400 daripada peti besi premis tersebut bulan lalu.
Tertuduh, Suliman Saliban, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Suliman didakwa mencuri wang tersebut daripada peti besi milik majikannya di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Ampangan, Seremban, antara pukul 12 tengah malam dan 6.30 pagi, 22 Disember lalu.
Tertuduh yang berasal dari Sikamat di sini, di dakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan akhbar, kira-kira pukul 1 petang pada tarikh itu, polis dan bomba menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap bank berkenaan yang ketika itu musnah akibat kebakaran.
Namun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua wang berkenaan yang terdapat dalam peti besi premis itu lesap tanpa sebarang kesan umpil.
Berikutan itu, beberapa siri tangkapan dilakukan terhadap kakitangan dan pekerja kontrak yang melakukan kerja mengubah suai bank berkenaan sebelum menahan Suliman bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan, seorang suspek yang juga merupakan seorang polis bantuan dikatakan mengambil wang berkenaan secara bersendirian selepas melihat pintu peti besi tempat simpanan wang tidak berkunci.
Suspek juga dikatakan telah membelanjakan sejumlah wang berkenaan untuk memperbaiki motosikal dan basikal, membayar hutang dan bermain mesin judi mesin slot di sekitar bandar ini.
Dalam pada itu, polis juga berjaya menemui baki wang berjumlah RM196,400 setelah tangkapan dibuat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Marsilawati Mohd. Shah menetapkan 8 Februari ini bagi tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah membenarkan Suliman diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin.

Bapa rogol anak tiri dipenjara, sebat


MELAKA 5 Jan. - Akibat memperkosa dan mencabul kehormatan anak tirinya yang berusia sembilan tahun 11 bulan, hampir tiga tahun lalu, seorang bekas askar berusia 53 tahun terpaksa menghabiskan sisa-sisa usianya di sebalik tirai besi.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Sesyen di sini hari ini yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan sebatan enam kali terhadap warga emas itu yang mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anak tirinya itu di sebuah rumah di Taman Bukit Katil Permai di sini kira-kira pukul 2 pagi pada penghujung November 2008.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Dia turut didakwa mencabul kehormatan mangsa di tempat yang sama kira-kira pukul 4 petang pertengahan November 2008.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.
Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan sebatan enam kali terhadap tertuduh bagi kesalahan merogol serta penjara enam tahun bagi kesalahan mencabul kehormatan mangsa.
Beliau bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak.
Terdahulu, semasa mengemukakan rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh memohon hukuman ke atasnya diringankan dengan alasan menghidap penyakit tiroid, darah tinggi dan diabetes.
"Saya insaf dengan apa yang berlaku dan saya mengakui kesalahan yang telah saya lakukan," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan yang dilakukan oleh tertuduh adalah sesuatu yang amat keji.
Pendakwaan turut dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik.

Melacur di rumah urut


Sebahagian GRO yang ditahan dalam operasi di Jalan Thambypillay, Brickfields, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Jan. - Walaupun menyedari melacur di hotel lima bintang lebih menguntungkan namun sekumpulan pelacur warga Indonesia sanggup mencari pelanggan di rumah urut dengan bayaran serendah RM40 bagi mengelak daripada dicekup kerana memasuki negara ini secara haram.
Mereka yang memiliki MyKad palsu untuk mengaburi pihak berkuasa dikesan melacur di beberapa rumah urut yang beroperasi di Jalan Thambypillay, Brickfields, di sini.
Kegiatan pelacuran yang dikesan aktif sejak enam tahun lalu itu bagaimanapun berjaya dihidu oleh pihak berkuasa apabila sepasukan 30 anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan diketuai Timbalan Penolong Pengarahnya, G. Balamurugan menyerbu lima rumah urut di kawasan itu malam tadi.
Serbuan pada pukul 10.50 malam yang turut disertai oleh 10 kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu membawa kepada penangkapan 25 pelacur warga Indonesia.
Sumber berkata, turut ditahan, seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai bapa ayam serta masing-masing seorang lelaki warga Indonesia dan Pakistan yang menjadi pelanggan.
"Penguat kuasa Imigresen menjalankan intipan selama seminggu sebelum bertindak menyerbu secara serentak lima rumah urut terletak sederet di Jalan Thambypillay.
"Dalam serbuan itu, kita berjaya menangkap 25 pelacur Indonesia termasuk 16 orang yang memiliki MyKad palsu berusia 18 hingga 45 tahun," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata, turut diberkas ialah seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun yang menjadi bapa ayam kepada pelacur terbabit serta dua pelanggan warga asing masing-masing berusia 35 dan 40 tahun.
Menurut sumber itu lagi, siasatan mendapati pelacur warga Indonesia terbabit memasuki negara ini secara haram dan menggunakan MyKad untuk mengelak ditangkap.
Beliau berkata, wanita terbabit sanggup melacur dengan bayaran RM40 dan tidak berani mencari pelanggan di tempat lain kerana bimbang ditangkap.
"Pemeriksaan di premis dua tingkat yang mendapati setiap rumah urut mempunyai 10 bilik dan mempunyai tangga rahsia untuk memudahkan pelacur melarikan diri apabila diserbu pihak berkuasa.
"Lelaki yang ingin menempah pelacur pula perlu berurusan dengan bapa ayam yang menunggu di depan premis sebelum dibawa ke bilik yang menempatkan pelacur ditempah mereka," ujarnya.
Beliau berkata, lelaki warga emas yang ditahan akan didakwa di bawah Akta Pemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) Seksyen 15 kerana kesalahan mendapatkan keuntungan daripada eksploitasi orang yang diperdagangkan.
Katanya, dua lelaki warga asing yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 6(1)c kerana kesalahan memasuki dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.
Tambah beliau, 25 wanita Indonesia yang menjadi pelacur pula akan disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Anak bongsu Shah Iran dipercayai membunuh diri


BOSTON 5 Jan. - Anak lelaki bongsu Shah Iran ditemui mati di kediamannya di sini malam tadi, dipercayai kerana membunuh diri.
Menurut keluarganya semalam, Ali Reza Pahlavi, 44, sudah lama mengalami kemurungan disebabkan kehilangan bapanya dan pergolakan di tanah airnya.
"Dengan perasaan amat sedih, kami ingin memaklumkan kepada rakan-rakan senegara mengenai kematian Putera Ali Reza Pahlavi," kata anak sulung Shah Iran, Reza Pahlavi di laman webnya.
Katanya, Ali Reza yang belajar di Universiti Harvard menghadapi kesukaran untuk menerima pergolakan politik yang melanda Iran.
Satu sumber polis mengesahkan seorang lelaki dewasa ditemui mati di kediamannya di Boston dengan kesan tembakan.
Ali Reza, anak bongsu daripada lima beradik, berhijrah ke AS ketika masih remaja semasa Revolusi Islam 1979.
Berlainan dengan abangnya, Ali Reza mengelakkan publisiti semasa protes besar-besaran yang meletus selepas kemenangan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihan raya 2009 dipertikaikan.
Kematian putera itu menandakan satu lagi tragedi yang menimpa bekas keluarga diraja Iran itu.
Bapanya, bekas Shah Iran, Mohammad Reza Pahlavi digulingkan dalam Revolusi Islam 1979, dan keluarganya berpindah untuk hidup dalam buangan di AS.
Shah yang digulingkan itu meninggal dunia pada Julai 1980 dan dikebumikan di Kaherah.
Anak perempuan bongsu Shah, Puteri Leila Pahlavi ditemui mati di sebuah hotel di London pada 2001 ketika berusia 31 tahun, akibat pengambilan ubat dan kokain. - AFP

China dilanda hujan ais


Penduduk menjalankan aktiviti harian mereka ketika salji lebat turun di Yantai, wilayah Shandong, China, semalam. – REUTERS


BEIJING 5 Jan. – Hujan ais yang turun mencurah-curah di lima buah wilayah di selatan China memaksa 58,000 orang untuk berpindah dari rumah mereka yang rosak.
Bencana itu turut menyebabkan kerugian berjumlah 1.35 billion yuan (RM625.768 juta), ujar Kementerian Hal Ehwal Awam pada Rabu lalu.
Tambahnya, hujan ais itu menghentam wilayah Jiangxi, Hunan, Sichuan, Chongqing dan Guizhou beberapa hari lalu menyebabkan satu kematian dan lebih 1,200 buah rumah runtuh.
Cuaca buruk di selatan China itu turut memusnahkan 142,400 hektar tanaman di wilayah yang menghasilkan beras, kayu balak dan batu arang.
Di barat daya wilayah Guizhou, 22,800 orang terpaksa berpindah dari kediaman mereka.
Cuaca sejuk dan hujan ais itu telah melumpuhkan trafik dan menganggu bekalan elektrik di sesetengah kawasan.
Menurut Jabatan Pengangkutan Wilayah Guizho, lebuh raya di sana turut tersekat sejak beberapa hari lalu menyebabkan beribu orang terkandas.
Trafik di Guizho kembali lancar secara perlahan-lahan Selasa lalu apabila lebuh raya yang diliputi ais yang ditutup selama 30 jam dibuka kembali.
Kaji cuaca memberi amaran cuaca buruk itu akan berlarutan lima hari lagi. – REUTERS

Kes cubaan membunuh diri buka tirai 2011 di Jakarta


JAKARTA 5 Jan. - Tahun 2011 di sini dibuka dengan kejadian bunuh diri yang disifatkan sebagai trend baru di kalangan rakyat negara ini untuk melarikan diri daripada masalah.
Dalam tempoh empat hari pertama 2011 sahaja, polis merekodkan sekurang-kurangnya lima kes cubaan membunuh diri di daerah Jabodetabek.
Motif cubaan bunuh diri bagaimanapun, masih belum dipastikan, namun menurut pakar psikitari, ia berkaitan dengan tekanan hidup yang dihadapi oleh masyarakat.
Kelmarin sahaja, dua kes dicatatkan masing-masing di Jakarta Pusat dan Jakarta Barat.
Seorang lelaki berusia 40 tahun, Ayung didapati mati di perkarangan pusat membeli-belah Gajah Mada Plaza, Jakarta Pusat.
Hasil siasatan polis mendapati, Ayung terjun dari tingkat tiga tempat meletak kereta bangunan itu.
Sementara itu, di Jakarta Barat, seorang lelaki, Iwan berusia 37 tahun melompat dari tingkat 9, Hotel Boutique pada hari yang sama.
Iwan difahamkan berbuat demikian kerana masalah tekanan hidup.
Dia bernasib baik kerana terselamat biarpun mengalami kecederaan termasuk patah kaki serta luka di tangan, muka dan perut.
Menurut polis, Iwan tertekan kerana masalah rumah tangga.
Isnin lepas, di Kota Depok, Suparno yang berusa 42 tahun pula didapati mati selepas menggantung diri di dapur rumahnya.
Suparno menggantung dirinya dengan melilitkan lehernya kabel antena televisyen.
"Kami belum mengetahui motif mangsa membunuh diri. Agak sukar untuk kami melakukan siasatan kerana keluarga mangsa menolak untuk dilakukan bedah siasat ke atas mayat mangsa," kata Ketua Unit Rahsia dan Jenayah Polis Daerah Cimanggis, Inspektor Narta.
Narta, bagaimanpun menafikan Suparno membunuh diri kerana faktor ekonomi kerana latar belakang mangsa menunjukkan dia tidak miskin.
Pada hari yang sama, dua lagi kes bunuh diri dicatat iaitu Agus, 45, yang melompat dari tingkat enam pusat membeli-belah Blok M.
Seorang lagi mangsa, David Booth, 47, bangsa Inggeris yang mengajar di sebuah sekolah antarabangsa di Kota Bogor mati selepas mengambil ubat dan minuman keras yang berlebihan. - Utusan

Banjir jejas operasi lombong


SATU krew berita merakam visual kawasan banjir di bandar Rockhampton, Queensland di Australia, semalam. – AFP


ROCKHAMPTON 5 Jan. – Banjir buruk di pantai timur Australia menyebabkan berlaku kerosakan meluas ke atas infrastruktur di negeri Queensland dan memaksa 75 peratus lombong arang batu di negeri itu, yang menggerakkan kilang keluli di Asia, menghentikan operasi.
Bencana tersebut telah merebak ke 40 bandar, berbanding 22 sebelum ini, dan pakar memberi amaran lumpur yang dihanyutkan ke laut mengancam Terumbu Great Barrier.
Banjir terburuk dalam beberapa dekad itu telah menjejaskan kawasan sebesar Jerman dan Perancis, menjadikan bandar-bandar bertukar menjadi pulau di tengah lautan berlumpur, memusnahkan tanaman, memutuskan hubungan kereta api dan perhubungan jalan darat dengan pelabuhan arang batu, menjejaskan eksport dan menyebabkan harga arang batu di pasaran dunia melonjak.
“Sebanyak 75 peratus daripada lombong kami tidak beroperasi disebabkan banjir, sekali gus mendatangkan kesan besar terhadap pasaran antarabangsa dan pengeluaran keluli antarabangsa,” kata Ketua Menteri Queensland, Anna Bligh di televisyen tempatan, hari ini.
Banjir tersebut yang mengakibatkan 22 bandar terputus hubungan berpunca daripada fenomena cuaca La Nina yang membawa hujan monsun di kawasan Pasifik barat dan Asia Tenggara.
La Nina yang dijangka berlarutan selama tiga bulan lagi menyebabkan Australia mengalami musim hujan ketiga paling buruk dalam sejarahnya pada tahun lepas.
Queensland ialah pengeksport terbesar arang batu di dunia.
“Queensland sebuah negeri yang sangat besar. Ia bergantung kepada sistem pengangkutan sebagai nadinya, dan sistem tersebut dalam sesetengah kes mengalami kerosakan meluas,” kata Bligh.
Sementara itu penduduk di bandar-bandar yang terjejas bertungkus-lumus membina tambak daripada beg pasir dengan harapan untuk menyekat air yang semakin naik.
Di pekan Rockhampton, kenaikan paras air hanya 20 sentimeter boleh menyebabkan 400 buah rumah lagi tenggelam dan air sampai ke pintu depan 4,000 lagi kediaman.
“Kami berharap dijauhi mala petaka terburuk. Setiap sentimeter diambil kira,” kata penyelaras bencana negeri, Ian Stewart. – Reuters

Kes demam malaria paling banyak di Jempol


JEMPOL 5 Jan. - Daerah ini mencatatkan kes malaria tertinggi di negeri ini melalui 56 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.
Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol, Datuk Mohd. Yusuf Yunus berkata, separuh daripada jumlah berkenaan membabitkan warga asing terutama Indonesia.
''Kebanyakan kes berkenaan melibatkan pendatang asing tanpa izin dari Indonesia, yang diambil bekerja oleh peneroka Felda di ladang getah Felda Lui Selatan Satu dan Felda Lui Selatan Dua.
''Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut tiada kes kematian direkodkan, namun langkah berjaga-jaga harus diamalkan bagi mencegah penyakit ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan penghalau serangan (insect repellent) semasa berada di ladang getah serta mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami simptom demam.
Mohd. Yusuf juga memberitahu, sepanjang tempoh sama, daerah ini turut melaporkan sebanyak 57 kes demam denggi termasuk tiga kes denggi berdarah.
''Antara lokasi yang mencatatkan kes denggi tertinggi adalah Taman Seri Serting (lima kes), Felda Raja Alias Dua (empat kes) dan Felda Raja Alias Empat (empat kes).
''Sepanjang tahun lalu, sebanyak 22,452 premis diperiksa di daerah ini dan daripada jumlah tersebut 646 premis menunjukkan tanda kewujudan pembiakan jentik-jentik," katanya.
Jelasnya lagi, Pejabat Kesihatan daerah juga telah mengeluarkan 168 kompaun, 142 amaran dan 197 notis atas kesalahan tersebut.
''Sementara itu, 10 kes dibawa ke mahkamah atas kesalahan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (pindaan 2000)," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Yusuf memberitahu, dari aspek kebersihan pengendali makanan, sebanyak 594 premis diperiksa di daerah ini sepanjang 2010.
''Daripada jumlah tersebut, 447 restoran, gerai dan premis penjaja diperiksa,hasilnya sebanyak 28 premis di arah untuk tutup akibat pengendalian makanan tidak selamat.
''Antara kesalahan utama yang dikenal pasti ialah tidak mengamalkan pengendalian makanan secara bersih serta tidak mendapatkan suntikan vaksin untuk demam tifoid," katanya.

Wanita hamil, suami ditahan curi sawit

Utusan Malaysia Online - Utara: "

TELUK INTAN 5 Jan. - Seorang lelaki bersama isterinya yang sedang mengandung enam bulan ditahan kerana disyaki mencuri buah kelapa sawit di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Changkat Jong-Bidor dekat sini awal pagi semalam.

Pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit milik seorang peladang pada pukul 8.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Supritendan Mohd. Zaki Harun ketika dihubungi berkata, pasangan yang berasal dari Changkat Jong itu ditahan setelah pihaknya menerima aduan dari pemilik ladang mengenai tindak tanduk satu pasangan berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika ditahan, pasangan itu memiliki dua bilah pisau pemotong buah kelapa sawit yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.

'Salah seorang pekerja ladang curiga dengan kedatangan pasangan itu lalu menghubungi majikannya yang kemudian melaporkan kepada polis,' katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zaki, pihaknya kini menahan reman pasangan berkenaan bermula semalam untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan."

Kaki pancing jumpa mayat


KUALA LUMPUR 5 Jan. - Seorang pemancing terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki dengan kesan cedera di perut, di tebing Sungai Klang berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam di sini hari ini.
Ketika ditemui kira-kira pukul 1.30 petang, mayat yang memakai seluar jean dan tidak berbaju itu dalam keadaan terlentang.
Berdasarkan keadaan mayat yang berbau busuk dan berulat itu, mangsa dipercayai mati kira-kira empat hari lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supritendan Azri Abdul Rahman berkata, polis menemui empat keping buku akaun bank atas nama dua bersaudara iaitu Zulkefrey Bulat dan Azmi Bulat dalam poket seluar jean mangsa.
"Identiti mayat belum dikenal pasti dan polis sedang menyiasat kaitan empat buku akaun bank terbabit dengan satu kes orang hilang yang dilaporkan pada Ogos tahun lalu.
"Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. Siasatan lanjut berhubung penemuan mayat itu akan dibuat selepas laporan bedah siasat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Satu laporan dalam sebuah akhbar kira-kira lima bulan lalu menyebut Zulkefrey Bulat, 28, yang berasal dari Kota Marudu, Sabah dilaporkan tidak pulang ke kampungnya sejak 2007 dengan alasan mahu mencari pekerjaan di Semenanjung bagi menyara kehidupannya.
Bagaimanapun, selepas tiga tahun berlalu tiada langsung khabar berita mengenai anak ketiga daripada empat beradik itu menyebabkan abang sulungnya, Azmi, 30, membuat aduan di salah sebuah akhbar tempatan selepas laporan polis dibuat.