Search This Blog

Monday, January 3, 2011

MISTERI PENUTUP LONGKANG HILANG

SH: "

TAMAN KLUANG BARAT - Penduduk di kawasan ini turut diselubungi ketakutan akan bahaya yang bakal dihadapi mereka kerana longkang sedalam 0.9 meter itu dikhuatiri bukan sahaja membahayakan penduduk dewasa malah kepada kanak-kanak yang sering bermain dihadapan rumah.

Mohammad Yassin Mohamad berkata, selain mendatangkan bahaya, kes kecurian terbabit dibimbangi akan menimbulkan kes jenayah berat lain seperti pecah rumah, rompakan dan pembunuhan.

“Kami juga sudah membuat laporan polis berhubung kejadian ini dan berharap ia dapat diselesaikan segera supaya penduduk di taman ini tidak rasa ketakutan terutama untuk meninggalkan rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil penduduk, Sugumaran Kandasamy berkata, kawasan berkenaan seringkali berlaku kes kecurian melibatkan besi yang mana sasaran utama pencuri adalah besi yang boleh dijual.

“Malam sebelum berlakunya kecurian ini sedang saya sedang beristirehat bersama keluarga, saya terlihat dua orang lelaki menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan meronda-ronda dikawasan ini dan saya syak merekalah yang melakukan kecurian ­berkenaan.

“Dengan berlakunya kes seperti ini, kita berharap ­kawalan keselamatan diperketatkan dan berharap agar pihak ­bertanggungjawab dapat bertindak pantas ­menanganinya dan kita berharap supaya kejadian ­seperti ini tidak ­berulang lagi,” katanya."

Khalwat tahun baru

SH


BANDARAYA MELAKA - Perayaan sambutan tahun baru di negeri ini turut tercemar dengan tindak-tanduk 37 umat Islam yang meraikannya dengan maksiat dan arak.

Dalam Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan yang disertai Polis Trafik Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Rela, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) serta tentera yang dilakukan sekitar negeri ini, nyata masih ada kegiatan tidak bermoral dilakukan sempena malam ambang tahun baru, 31 Disember lalu.

Ketua Bahagian Penguat kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, seramai 14 orang atau tujuh pasangan dicekup berkhalwat di sekitar rumah tumpangan di Melaka Raya, Malim dan Bachang.

“Sepasang warga asing Bangladesh turut ditahan kerana berkhalwat dengan pasangan. Mereka yang ditahan berumur antara 20 hingga 35 tahun,

“Sementara 15 orang lagi ditahan kerana berpakaian menjolok mata atau terlalu seksi termasuk seorang gadis berumur 17 tahun,” katanya.

Sementara itu katanya, lebih menyedihkan masih ada umat Islam yang menjamu arak sebagai simbolik sambutan tahun baru apabila tujuh orang berjaya ditahan ketika minum arak secara terbuka di tiga kedai minuman sekitar Taman Merdeka.

Menurutnya, mereka yang ditahan berumur antara 30 hingga 40 tahun, sementara seorang lelaki yang berpakaian wanita berumur 20 tahun turut ditahan.

Operasi bermula jam 11 malam hingga 5 pagi itu turut menyita 11 motosikal dengan pelbagai kesalahan dalam sekatan jalan raya yang dibuat di Jalan Mufti Khalil dan Jalan Parameswara.

Turut dikeluarkan 247 saman ke atas kenderaan yang melakukan kesalahan.

Penternak ikan rugi RM10,000

SH


BUKIT LADA- Seorang pengusaha ikan sangkar di kampung ini kerugian hampir RM10,000 apabila kebanyakan ikan yang diternak dicuri beberapa kali sepanjang tahun lalu.

Pengusaha ikan sangkar itu, Setafar Hitam, 60, berkata, projek ternakan ikan itu diusahakan bersama anak lelakinya, Razali, 33, mempunyai 21 sangkar ikan yang diusahakannya sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, mereka menternak ikan seperti patin, talapia, kerai dan lampam jawa yang mempunyai pasaran tinggi serta menjadi pilihan utama penggemar ikan air tawar itu.

“Sudah setahun masalah kecurian ikan ini berlaku dan setiap kali dicuri jumlah ikan itu terlalu banyak. Hampir 1000 ekor dicuri dalam satu-satu masa dan kami mengalami kerugian yang sangat besar.

“Pencuri itu datang ketika kami pulang ke rumah dan yakin mereka sudah mengintai dari jarak jauh. Mereka menggunakan bot enjin dan mencuri menggunakan sauk,” katanya.

Manakala menurut Razali, mereka percaya ikan itu dijual pada pemborong lain ketika pasar minggu dengan harga yang lebih murah.

Menurutnya, dia kesal dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab itu yang mengambil hak orang lain yang diusahakan dengan titik peluh sendiri.

“Bukan senang mengusahakan ikan sangkar ini kerana memerlukan kos yang sangat tinggi. Tambahan pula harga makanan ikan kini sangat mahal dan kes kecurian ini mendatangkan bebanan kepada kami.

“Kecurian terbaru berlaku pada malam 1 Januari lalu dengan jumlah ikan dianggarkan sebanyak 500 ekor. Kami sangat sedih kerana punca rezeki kami dicuri oleh mereka yang hanya mementingkan keuntungan segera tanpa berusaha sendiri,” katanya.

Menurutnya, jika ikan itu dicuri sekali mereka boleh menerima perkara itu tetapi jika dalam setahun lebih dari tiga kali dan merugikan pasti mereka berasa marah dan tidak tahan dengan perkara itu.

“Siapa yang boleh tahan jika mengalami kerugian besar dan projek ini merupakan punca pendapatan kami,” katanya.

Menurutnya, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Kerdau, pagi semalam dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes ini.

KICAP BERTABURAN

SH


FELDA NERAM DUA – Kira-kira 8,640 botol kicap jenama terkenal bernilai RM40,000 pecah bertaburan di atas jalan sejauh tujuh meter setelah sebuah lori yang dalam perjalanan menghantar muatan kicap itu ke Kota Bharu, Kelantan dari Johor Bahru, Johor terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di laluan berbukit, Jalan Ladang Neram-Bandar Cheneh Baru, dekat Ladang Sawit Felda Neram Dua, pagi semalam.

Akibat nahas yang berlaku kira-kira jam 7.55 pagi itu, pemandu lori terbabit yang hanya dikenali sebagai Mohd Khairul, 27, patah bahu dan terpaksa dikejarkan untuk mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Bandar Cheneh Baru sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman.

Saksi kejadian, Abdul Razak Ismail, 31, berkata, kejadian berlaku gara-gara rakannya itu cuba mengelak sebuah kenderaan dari arah bertentangan yang memotong di garisan berkembar.

Dia yang turut memandu sebuah lagi lori muatan kicap berkata, ketika kejadian dia memandu hanya beberapa meter dari belakang lori Mohd Khairul.

“Saya terkejut apabila tiba-tiba lihat lori rakan saya mengelak dari sebuah kenderaan yang berada di hadapan sebelum dalam masa singkat kenderaan itu berpusing lalu terbalik di kanan jalan dengan muatan kicap tertumpah ke permukaan jalan serta pecah.

“Berikutan terbabas, tayar kiri lori itu turut pecah dan dalam keadaan panik, saya segera memberhentikan lori serta membantu Mohd Khairul menyelamatkan diri dengan keluar dari pintu sebelah pemandu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian.

Gara-gara kejadian berkenaan, muatan kicap sebanyak enam palet yang mengandungi 60 paket kicap dengan jumlah keseluruhan 8,640 botol, kebanyakannya pecah.

Kata Abdul Razak, dia dan rakannya sengaja melalui jalan berkenaan kerana cuba mengelak daripada melalui jalan banjir berhampiran Pelabuhan Kuantan, Pahang.

“Namun, saya tidak sangka pertaruhan pertama kali saya dan rakan melalui jalan ini bertukar menjadi tragedi. Tetapi saya bersyu­kur kerana Mohd Khairul tidak mengalami kecederaan parah,” katanya.

Sementara itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat Bandar Cheneh Baru yang diketuai Ketua Operasinya, Azhar Jaafar dengan kekuatan lima anggota tiba di tempat kejadian kira-kira jam 8.06 pagi setelah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.59 pagi.

Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dikejarkan ke pusat kesihatan sebelum anggota bomba melakukan semburan air untuk membersihkan serpihan botol kaca yang yang bertaburan di permukaan jalan sejauh tujuh meter.

Operasi semburan dan pembersihan berkenaan tamat kira-kira jam 8.45 pagi. Pekerja Bengkel Heong Mudguard turut membantu mengawal keadaan lalu lintas sepanjang operasi berkenaan dijalankan.

Lelaki ditahan di KKIA, KASTAM Sabah rampas 2.7 kg dadah

SH: "

KOTA KINABALU - Seorang lelaki rakyat asing yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Khamis lepas.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 12.30 tengah hari semasa tiba dari Singapura apabila pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menemui 2.7 kilogram dadah dipercayai jenis ketamin dalam beg yang dibawa lelaki terbabit.

'Lelaki itu membawa 45 helai kain ela dalam beg. Kesemua dadah itu ditemui disembunyikan dalam 10 helai kain ela yang dibawanya,' kata Pengarah Kastam Negeri Sabah Mohd Kassim Ismail pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Sementara itu, Mohd Kassim berkata KDRM Sabah memungut hasil sebanyak RM355.5 juta tahun lepas, melebihi sasaran yang ditetapkan bagi tahun 2010 iaitu RM347.2 juta.

JKDM Sabah menetapkan unjuran hasil bagi tahun 2011 pada RM363 juta, katanya."

JAIS tahan 140 pasangan

Berita Harian Online | JAIS tahan 140 pasangan


Oleh Badrul Kamal Zakaria
bhnews@bharian.com.my
2011/01/03

SEORANG  pelajar IPT sugul selepas dicekup JAIS.
SEORANG pelajar IPT sugul selepas dicekup JAIS.
263 orang dikenakan tindakan berkhalwat dalam operasi Ambang Tahun Baru 2011

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan 140 pasangan dalam operasi mencegah kemungkaran secara besar-besaran di seluruh Selangor sempena malam 'Ambang Tahun Baru 2011' malam kelmarin.
Daripada jumlah itu, 263 orang dikenakan tindakan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah 1995 Negeri Selangor kerana kesalahan berkhalwat, manakala pasangan mereka yang bukan beragama Islam dilepaskan.
Selain itu, 43 kes membabitkan tindakan kaunseling dan 98 kes lain hanya menerima arahan beredar.

Pegawai Perhubungan Awam (JAIS), Nurhamizah othman, berkata operasi itu dilakukan di beberapa lokasi tumpuan pengunjung dengan fokus utama membabitkan kelakuan kurang sopan di tempat awam, minum arak dan berkhalwat.

Katanya, operasi membabitkan dua fasa itu dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan pegawai masjid di semua daerah terbabit.

"Fasa pertama dimulakan dengan memberi perhatian di kawasan panas iaitu tempat tumpuan pengunjung setiap kali sambutan tahun baru, seperti taman rekreasi, dataran dan sekitar pusat beli-belah terkemuka.
"Kawasan seperti ini sangat popular di kalangan pengunjung terutama remaja setiap kali menjelang awal tahun baru berikutan kawasan terbabit turut menganjurkan majlis sambutan dengan menyediakan pertunjukan bunga api dan konsert yang disertai artis," katanya yang ditemui di Bangunan Sultan Idris Shah di sini, sejurus operasi berakhir, kelmarin.

Nurhamizah berkata, pada fasa kedua, operasi ditumpukan di hotel bajet yang di sekitar negeri ini yang sering digunakan kebanyakan remaja dan dewasa untuk melakukan kegiatan maksiat selepas berakhirnya sambutan tahun baru.

Katanya, mereka yang ditahan berkelakuan kurang sopan di tempat awam ialah remaja berusia 13 hingga 21 tahun, manakala mereka yang terbabit khalwat pula terdiri daripada mereka yang berusia 19 tahun hingga 30-an.

"Bahagian Penguatkuasaan JAIS turut menahan beberapa pasang pelajar institusi pengajian tinggi (IPTA) yang didapati bersekedudukan di hotel bajet sekitar Selangor.

"Malah, terdapat beberapa orang yang ditahan turut didapati positif mengambil dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)," katanya.

Polis saman ibu bapa

Berita Harian Online | Polis saman ibu bapa


Oleh Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my
2011/01/03

GAMBAR atas dan bawah anggota Sukarelawan Polis memeriksa lesen penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi sempena sambutan Tahun Baru 2011 oleh Polis Trafik Pontian, malam tadi.
GAMBAR atas dan bawah anggota Sukarelawan Polis memeriksa lesen penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi sempena sambutan Tahun Baru 2011 oleh Polis Trafik Pontian, malam tadi.
Benar guna motosikal kepada penunggang bawah umur, tanpa lesen

PONTIAN: Lebih 30 ibu bapa dan pemilik motosikal menerima padah apabila turut disaman kerana membenarkan penunggang tanpa lesen dan bawah umur mengguna motosikal masing-masing untuk keluar bersiar-siar meraikan sambutan Tahun Baru 2011 di sekitar bandar ini.
Dalam operasi yang dilancarkan Polis Trafik Pontian mulai jam 10 malam hingga 2 pagi itu, seramai 34 remaja penunggang tanpa lesen dan cukai jalan disaman dengan motosikal masing-masing disita sehingga dituntut kembali oleh pemilik asalnya yang kebanyakannya ibu bapa dan sanak saudara.
Ketika operasi terbabit, anggota Sukarelawan Polis dan Polis Trafik Pontian diketuai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Superitendan Abdul Kadir Mansor, turut menyita sebuah kereta dan mengeluarkan 80 saman terhadap pelbagai kesalahan.

Ujian kencing yang dijalankan secara rambang oleh anggota Jabatan Narkotik Polis Pontian terhadap mereka yang ditahan juga berhasil mengesan seorang pemuda yang tiada lesen dan cukai jalan, didapati positif ganja. Dia ditahan untuk siasatan lanjut oleh jabatan terbabit.

Mereka yang ditahan kerana menunggang tiada lesen dan cukai jalan juga mendapat pengajaran paling berguna terhadap kesalahan itu apabila terpaksa menolak motosikal masing-masing sejauh kira-kira tiga kilometer daripada lokasi operasi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Pontian.

Polis berkata, semua kenderaan terbabit disita sehingga pemilik berdaftarnya tampil menuntut dengan mengemukakan salinan geran dan membetulkan semua kesalahan yang dikesan.
"Ibu bapa atau mana-mana pemilik berdaftar motosikal yang digunakan remaja terbabit dikenakan tindakan apabila disaman ketika tampil menuntut kenderaan masing-masing, atas kesalahan membenarkan penunggang bawah umur dan tanpa lesen menggunakan kenderaan masing-masing.

"Jika ibu bapa atau pemilik motosikal mendakwa kenderaan itu digunakan tanpa izin, penunggang yang ditahan akan dikenakan saman tambahan kerana kesalahan terbabit.

"Tindakan tegas ini diharap dapat memberi pengajaran kepada ibu bapa dan pemilik untuk memastikan hanya meminjamkan kepada penunggang yang mempunyai lesen memandu sah. Gerakan ini dapat menyumbang kepada usaha mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal," katanya.

Polis berkata, antara kesalahan utama yang dikesan termasuklah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran tidak ikut peraturan.

"Mereka disaman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM300 bagi setiap kesalahan," katanya.

Bah di Australia seburuk zaman Nabi Nuh

Foto
Keluasan kawasan terbabit sama besar Jerman, Perancis



Foto
LANDASAN kapal terbang di bandar Rockhampton, 520 km dari utara Brisbane, Australia digenangi air, semalam.


BRISBANE: Sebahagian besar Queensland dan wilayah timur laut Australia terus ditenggelami banjir dengan keluasan kawasan terbabit sama besar dengan Jerman dan Perancis, menjejaskan lebih 200,000 orang, manakala kerajaan tempatan menyifatkannya seperti banjir zaman Nabi Nuh.
Banjir paling buruk dalam sejarah Australia itu juga menyebabkan sambutan sempena kedatangan tahun baru di Queensland kucar-kacir, manakala seorang ahli politik Queensland, Andrew Fraser menyifatkan bencana alam itu ‘sama seperti bencana zaman Nabi Nuh’, manakala pemulihan mungkin menelan belanja hingga A$1 bilion (RM3.15 bilion).
Seorang wanita berusia 41 tahun yang sedang memandu keretanya ketika cuba menyeberangi sebuah tambak terbunuh selepas dihanyutkan arus deras, menjadikan beliau mangsa pertama bencana alam itu. Mayatnya ditemui kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Bandar Rockhamtom terletak kira-kira 600 kilometer ke utara Brisbane dan mempunyai 77,000 penduduk terputus dengan wilayah di Australia, manakala 40 peratus kawasan berpenghuni diramal akan ditenggelami air sedalam sembilan meter hari ini.




Datuk Bandar Rockhampton Brad Carter berkata paras air banjir meningkat lebih cepat daripada yang dijangka apabila air mencapai hingga lapan meter secara mendadak di beberapa kawasan.

“Pasukan penyelamat bertungkus-lumus memindahkan penduduk bandaraya ini sejak beberapa hari lalu dan mereka mungkin terpaksa menunggu sehingga sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dibenarkan pulang,” katanya.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Queensland, Alistair Dawson, berkata kira-kira 1,000 orang masih berada di pusat pemindahan di seluruh negeri itu dan banjir mungkin mengambil masa sebulan sebelum pulih sepenuhnya.

“Sukar membayangkan keadaan yang berlaku. Kami bersyukur tiada lagi kemalangan jiwa. Sebahagian Queensland masih ditenggelami air, manakala wilayah lain beransur pulih. –AP

3 maut jet terbakar di landasan

Berita Harian Online | 3 maut jet terbakar di landasan




2011/01/03

IMEJ siaran televisyen di Russia memaparkan bahagian ekor pesawat yang terbakar atas  landasan di Siberia, kelmarin.
IMEJ siaran televisyen di Russia memaparkan bahagian ekor pesawat yang terbakar atas landasan di Siberia, kelmarin.
124 penumpang cemas pesawat Tu-154 Russia meletup sebelum berlepas

MOSCOW: Sebuah pesawat Russia membawa 124 orang terbakar ketika ia sedang menunggu untuk berlepas di atas landasan bersalji di Siberia dan kemudian meletup, mengorbankan tiga orang dan mencederakan 43 orang termasuk enam yang melecur teruk, kata pihak berkuasa.
Kebanyakan penumpang dan krew dipindahkan sebelum letupan semalam, walaupun penumpang di dalamnya menggambarkan suasana huru hara ketika pesawat terbakar itu dipenuhi asap hitam tebal dan penumpang yang panik saling menolak untuk meredah api bagi menyelamatkan diri.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Vadim Grebennikov berkata kebakaran itu yang bermula pada satu enjin ketika pesawat menunggu untuk berlepas, menyebabkan letupan kuat yang memusnahkan pesawat Tu-154.

Televisyen Russia menunjukkan video diambil dengan sebuah telefon bimbit pesawat terbakar, dengan tengahnya berbentuk bebola gergasi. Yang tinggal hanyalah bahagian ekor dan sebahagian sayap pesawat.

Grebennikov berkata 10 orang cedera parah, termasuk enam yang melecur teruk dan empat yang patah tulang serta trauma lain. Kebanyakan penumpang lain yang cedera mendapatkan rawatan kerana keracunan akibat tersedut asap toksik.

Pesawat itu, milik syarikat penerbangan serantau Kogalymavia, dijadualkan terbang dari bandar barat Siberia ke Surgut di sini.
Antara penumpang adalah anggota kumpulan pop Russia, Na-Na, yang menggambarkan suasana huru hara dalam pesawat.

“Pertama kami mendengar satu letupan dan kemudian api kelihatan di bahagian belakang pesawat dan penumpang segera berasa panik,” kata anggota kumpulan Yury Rymarev berkata dalam televisyen NTV. – AP

Banjir kilat tenggelami 60 rumah selepas hujan lima jam

Utusan Malaysia Online - Terkini: "

03/01/2011 7:30pm

NIBONG TEBAL 3 Jan. – Lebih 60 buah rumah di empat buah kampung sekitar Seberang Perai Selatan (SPS) di sini, dinaiki air setinggi hampir satu meter selepas dilanda hujan lebat selama lima jam sejak pagi tadi.

Hujan yang bermula kira-kira pukul 8.30 pagi itu mengakibatkan air naik dengan cepat menyebabkan penduduk di Kampung Sungai Kechil, Kampung Besar, Simpang Ampat Tasek dan sekitar Jawi tidak dapat menyelamatkan barangan rumah termasuk perkakas elektrik.

Ketua Polis Daerah SPS, Supt Shafien Mamat berkata, kejadian banjir kilat itu adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan tersebut.

'Sehingga kini hanya seorang orang kelainan upaya (OKU) warga emas ditempatkan di dewan orang ramai dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memberi bantuan segera berupa makanan untuk membantu mangsa,” katanya ketika ditemui semasa melawat mangsa di Kampung Nenas, Sungai Kechil, di sini.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan tentang banjir tersebut pada 10.30 pagi ketika paras air sungai berhampiran melimpah dan meningkat dengan cepat. – Bernama"

Cubaan seludup 6,000 kilogram beras dalam banjir tumpas

Utusan Malaysia Online - Terkini


03/01/2011 6:15pm

PENGKALAN KUBOR 3 Jan. - Walaupun kawasan sekitar sempadan negeri ini kini dilanda banjir, namun ia tidak menghalang penyeludup untuk meneruskan kegiatan mereka.
Buktinya, Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan mematahkan cubaan penyeludup membawa masuk hampir 6,000 kilogram beras wangi bernilai RM17,400 dalam dua serbuan berasingan di Kampung Banggol Stol, Pasir Mas.
Komander UPP negeri, Mazlan Che Hamid memberitahu, serbuan pertama dilakukan oleh tiga anggotanya di sebuah gudang lama di kampung berkenaan kira-kira pukul 11 malam Jumaat lalu iaitu hasil risikan dan maklumat daripada orang ramai.
Menurutnya, anggota UPP yang membuat serbuan menemui satu longgokkan beras dipercayai diseludup dari negara jiran dalam gudang berkenaan yang dikatakan dijadikan pusat transit dan penyimpanan beras sebelum dibawa keluar.
"Hasil pemeriksaan kita telah menemui 100 kampit beras wangi yang setiap satu seberat 50 kilogram dianggarkan bernilai RM15,000 dipercayai telah dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran Lembah Klang.
"Kita percaya, modus operandi yang digunakan adalah beras ini diangkut dari pengkalan-pengkalan haram di sepanjang sempadan dengan menggunakan kereta dan kenderaan pacuan empat roda lalu dikumpulkan di gudang berkenaan sebelum diangkut menggunakan lori keluar dari negeri ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. - Utusan

Disepak penyokong fanatik Indonesia

myMetro | Disepak penyokong fanatik Indonesia

KANGAR: Pemain tengah skuad Harimau Malaya, Amar Rozidan, 23, tergamam apabila disepak seorang penyokong fanatik Indonesia ketika memasuki pekarangan hotel di Jakarta, sejurus pasukan negara buat pertama kali menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, baru-baru ini.
Amar berkata, selain dilempar kata-kata kesat, penyokong terbabit turut melontar beberapa objek keras termasuk pemetik api terhadap skuad kebangsaan walaupun pekarangan hotel yang menjadi tempat penginapan pemain dikawal ketat anggota keselamatan negara itu.

Katanya, puluhan penyokong fanatik Indonesia bertindak demikian kerana sukar menerima kekalahan pasukan kesayangan mereka kepada Malaysia dengan agregat 4-2 dan berada di pekarangan hotel untuk menunggu kepulangan pemain Malaysia dari Stadium Gelora Bung Karno, selepas perlawanan terbabit.

“Secara tiba-tiba salah seorang penyokong berkenaan bertindak menyepak paha saya dan saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana keadaan ketika itu agak tegang manakala pasukan keselamatan mengarahkan kami segera memasuki hotel bagi mengelak perkara lebih buruk.

“Insiden terbabit menjadi pengalaman menarik bagi menutup tirai kalendar 2010 serta sepanjang empat tahun saya bersama skuad Harimau Malaya dan ia tidak akan dilupakan,” kata anak jati Perlis tunggal yang menyarung jersi kebangsaan ketika ditemui di rumahnya di Taman Emas, Bukit Keteri, dekat sini, petang kelmarin.


Terdahulu, keluarganya dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Emas mengadakan kenduri kesyukuran bagi menyambut kepulangan Amar yang dianggap wira serta mengharumkan nama Perlis.

Lebih 200 tetamu hadir pada majlis itu serta dihidangkan dengan pelbagai juadah menarik. Bapanya, Rozidan Rashid, 51, dan ibunya, Che Ah Mad Isa, 51, tidak menang tangan melayan tetamu pada majlis berkenaan.

Amar yang 15 kali beraksi di peringkat antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya, kini bersiap sedia untuk menyarung jersi Kedah bagi menghadapi kejohanan Piala Malaysia 2011 selepas beberapa tahun bersama skuad Perlis.

Anak ketiga daripada empat beradik yang semuanya lelaki itu baru mengikat pertunangan dengan gadis pilihan, Farhana Ahmad, 23, seorang jururawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini. Pasangan terbabit dijangka melangsungkan perkahwinan pada Mac depan.

“Saya akan cuba meningkatkan mutu permainan supaya lebih mantap untuk menghadapi perlawanan kelayakan Sukan Olimpik di England. Perkahwinan nanti tidak akan menjejaskan karier bola sepak saya” katanya.


Sementara itu, Rozidan yang bertugas sebagai Penyelia Teknik di TM Malaysia di sini pula bertindak membotakkan kepala sebagai menunaikan nazar selepas skuad Harimau Malaya yang disertai anaknya itu menjuarai Piala Suzuki.


“Saya tunai nazar membotakkan kepala di sebuah kedai gunting rambut di Arau pada keesokan hari perlawanan (30 Disember 2010) dan saya berbangga dengan prestasi cemerlang Amar membantu pasukan untuk menjuarai kejohanan berprestij ini.


“Kami sekeluarga turut menonton perlawanan akhir menerusi televisyen di rumah dan saling berpelukan apabila wisel penamat ditiupkan pengadil bagi mengesahkan piala terbabit menjadi milik negara,” katanya.


Menurutnya, tindakannya membenarkan Amar memilih bidang bola sepak sebagai kerjaya tetap berbaloi berdasarkan kedudukan dan prestasi persembahannya sekarang.


Katanya, Amar pernah mendapat tawaran untuk memasuki politeknik sejurus keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan tetapi dia tetap memilih mengikuti latihan di akademi bola sepak negara.


“Saya sebelum ini berbelah bagi untuk membenarkan dia mengikuti latihan bola sepak tetapi kini bertambah yakin apabila melihat prestasi cemerlang serta menjadi skuad utama dalam pasukan negara,” katanya.

'Pulanglah anakku...'

myMetro | 'Pulanglah anakku...'

MELAKA: Sesi persekolahan baru yang dibuka hari ini bukan saja menimbulkan rasa terkilan kepada sepasang suami isteri apabila anak perempuan mereka tidak hadir ke sekolah, tetapi turut bimbang berhubung keselamatan dirinya sejak keluar rumah pada pertengahan bulan lalu.
Ini berikutan pelajar tingkatan empat, Siti Nurhazan Azhari, 16, menghilangkan diri sebaik keluar dari rumah keluarganya di Taman Bukit Larang Indah, Telok Mas, sejak 19 Disember lalu tanpa sebarang khabar berita.

Ibunya, Halimah Mistam, 50, berkata, dia dan suaminya, Azahari Awang, 45, berasa risau dengan keadaan diri anak ketiga daripada enam beradik itu yang gagal dikesan sehingga kini selepas dilihat kali terakhir berbual melalui telefon di hadapan rumah mereka oleh adik lelakinya, Luqman Hakim, lapan tahun.

Menurutnya, sepanjang kehilangan anaknya, dia dan suaminya sentiasa berasa tidak tenteram dan susah hati, malah sukar melelapkan mata setiap malam apabila mengenangkan nasib anak perempuannya yang tidak diketahui berada di mana sekarang.

Menceritakan mengenai kehilangan Siti Nurhazan, Halimah berkata, anak perempuannya memakai seluar berwarna hitam dan berbaju tidur putih, selain tidak membawa sebarang pakaian serta kad pengenalan dan wang ketika itu.


Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menunaikan solat Isyak di ruang tamu, manakala suaminya baru saja keluar minum di warung berhampiran rumah dan Siti Nurhazan berada di depan rumah kira-kira jam 11.20 malam sedang berbual menggunakan telefon bimbit.

Katanya, berdasarkan cerita anak keempatnya, Shahrin Al-Hafiz, 12, dia ternampak sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna kelabu memecut laju di lorong berhampiran rumah mereka kira-kira lima minit selepas Siti Nurhazan dilihat di depan rumah.

“Anak saya juga mengatakan, dia ternampak kakaknya di dalam kereta itu dan kakaknya dilihat menoleh ke belakang. Bagaimanapun, dia tidak pasti berapa orang ada dalam kereta berkenaan.

“Sebaik diberitahu, saya terus menghubungi suami dan berusaha menghubungi melalui telefon bimbitnya beberapa kali, tetapi tidak dijawab. Kami menelefonnya sehingga jam 2 pagi (keesokan harinya) tetapi telefon itu dimatikan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, Siti Nurhazan tidak pernah keluar malam dan dia sememangnya seorang anak yang mendengar kata dan tidak dibenarkan keluar ke mana-mana khususnya pada waktu malam.


Katanya, sebelum itu, dia juga tidak menunjukkan tanda merajuk malah sebelum kehilangannya, dia sempat membeli kasut dan pakaian di Pasar Tani Pekan Telok Mas bagi digunakan untuk majlis perkahwinan ibu saudaranya pada 26 Disember lalu.


Katanya, dia dan isteri merayu bantuan serta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai anak mereka agar menghubunginya di talian 016-6605774 atau balai polis berhampiran.

Nyaris putus tangan

myMetro | Nyaris putus tangan

GEORGETOWN: Angkara dendam, seorang lelaki nyaris putus tangan apabila ditetak sekumpulan lelaki selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah hotel di Jalan Persiaran Gurney, di sini awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 3 pagi apabila mangsa berusia 29 tahun diserang dalam pergaduhan itu dan parah di anggota badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menerima maklumat terus bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sejurus tiba pihaknya mendapati mangsa parah di tangan, muka dan badan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Katanya, berdasarkan pihaknya menemui tompokan darah di atas jalan di tepi pantai berdekatan sebuah hotel.


“Siasatan mendapati, tangan mangsa hampir putus akibat serangan itu dan polis menemui empat bilah parang di lokasi kejadian,” katanya.

Gan berkata, berdasarkan siasatan polis turut menemui kesan darah pada sebuah kereta BMW di hadapan hotel dan empat bilah parang itu dipercayai dibuang dan ditinggalkan di bawah kerusi batu dan tepi pokok.

Beliau berkata, siasatan turut menemui sebuah kereta Nissan Frontier yang ada kesan darah di bawah sebuah flat di Lebuh Macallum yang dipercayai ditinggalkan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca pergaduhan.

“Sehingga kini suspek kejadian sudah dikenal pasti, namun tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 26 Kanun Keseksaan.


“Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan dan siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan.


“Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi IPDTL di talian 04-2181822 atau mana-mana polis berhampiran.

3 jambatan tenggelam

 "KUANTAN: Pekan Sungai Lembing, dekat sini, ditenggelami banjir sedalam satu meter awal pagi semalam selepas hujan lebat berterusan di sekitar daerah ini sejak Rabu minggu lalu.

Kira-kira jam 4 pagi, seluruh pekan bekas lombong itu dilanda banjir selepas air dari Sungai Kenau berhampiran pekan berkenaan melimpah akibat aliran deras air yang turun dari hulu sungai.


Turut tenggelam tiga jambatan utama menghubungkan pekan itu dengan kampung berhampiran iaitu Jambatan Sungai Lembing, Jambatan Kuala Kenau dan Jambatan Kampung Kawah.

Namun, penduduk kawasan terbabit tidak terputus hubungan kerana mereka boleh menggunakan jambatan gantung sebagai laluan alternatif menghubungkan kawasan itu.


Lumpur dan kayu sisa pembalakan mengakibatkan premis penduduk termasuk kedai, pasar dan rumah dipenuhi lumpur."
myMetro | 3 jambatan tenggelam:

10 tahun tak pulang

myMetro | 10 tahun tak pulang

KEMAMAN: Satu keluarga di Taman Permai, Bandar Ceneh Baru, di sini, merayu saudara perempuan mereka, Norhayati Said, 43, yang lebih 10 tahun menghilangkan diri kembali ke pangkuan keluarga kerana mereka merinduinya.
Anak saudara wanita itu, Khairul Anwar Ramli, 30, berkata mereka tidak putus harap mencari Norhayati demi memenuhi amanah bapanya yang gigih mencari adik kandungnya itu hingga dia meninggal dunia, dua minggu lalu.

“Saya akan meneruskan hajat bapa mencari adik perempuannya itu dan kami harap emak saudara kembali ke pangkuan keluarga selepas membaca berita mengenainya menerusi akhbar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Khairul berkata, arwah bapanya berusia 53 tahun, tidak putus-putus menyebut nama ibu saudaranya itu sehingga meninggal dunia dua minggu lalu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang kerana sakit jantung.

Katanya, arwah bapanya mencari adiknya itu hingga ke Kuantan, Pahang, tetapi usahanya menemui jalan buntu.


Khairul berkata, alamat terakhir ibu saudaranya itu di D-348 Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu dan ketika itu dia bekerja di sebuah kilang. “Kali terakhir kami bertemunya lebih 10 tahun lalu di Kuala Terengganu dan ketika itu dia bekerja di sebuah kilang. Ketika itu dia masih bersuami, tetapi sebelum menghilangkan diri keluarga dimaklumkan yang mereka sudah bercerai.

“Kami sekeluarga tidak membuat laporan polis kerana masih mengharapkan kepulangannya dan sehingga kini, ibu saudara belum pulang walaupun pelbagai usaha mencarinya dilakukan,” katanya.

Khairul berkata, keluarganya meminta sesiapa mengenali atau melihat ibu saudaranya itu menghubunginya di talian 012-6767649 dan masih berharap Nurhayati pulang ke sisi keluarga serta menziarahi kubur abangnya, Ramli.

Calit minyak pada baju sebelum curi beg tangan

myMetro | Calit minyak pada baju sebelum curi beg tangan

KUALA LUMPUR: Tidak cukup dengan kehadiran geng seluk saku dan curi didalangi warga asing, kini muncul pula ‘geng minyak hitam’ yang mencalit minyak pada pakaian bagi memperdaya mangsa sebelum beg tangan mangsa dilarikan.
Suspek dipercayai berkeliaran di pusat beli-belah terkemuka di ibu kota, dikesan sengaja mencalit minyak hitam itu bagi memaksa mangsa masuk ke dalam tandas membersihkan kesan kotoran itu.

Bagaimanapun, ketika mangsa hendak membersihkan kesan minyak itu, ahli geng terbabit melarikan beg tangan mangsa.

Sumber polis berkata, dalam kejadian terbaru kira-kira jam 4.30 petang 24 Disember lalu, seorang suri rumah berusia 41 tahun yang membeli-belah di pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang, di sini, menjadi mangsa.

Ketika kejadian, mangsa bersama tiga ahli keluarga masuk ke sebuah kedai menjual pakaian berjenama terkemuka sebelum mencuba pakaian dalam kedai itu.


“Bagaimanapun, seorang jurujual menegur mangsa dan memberitahu terdapat kesan calitan minyak pada belakang baju kedua-dua anak mangsa.

“Mangsa pergi ke tandas di tingkat dua pusat beli-belah berkenaan bagi membersihkan kesan kotoran itu.

“Mangsa meletakkan beg tangannya di singki di luar tandas berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa yang selesai membersihkan kesan kotoran itu terkejut apabila mendapati beg tangannya lesap,” katanya.

Cedera disamun 10 lelaki

myMetro | Cedera disamun 10 lelaki


KUALA LUMPUR: Dua sahabat yang ingin merakamkan kenangan manis menyambut malam tahun baru di Bukit Bintang, di sini, berakhir tragedi apabila disamun 10 lelaki selepas kepala mereka dipukul menggunakan bekas tin semburan cecair buih, awal pagi kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Vincent, 18 dan Jeff, 20, merakamkan suasana sambutan menggunakan telefon bimbit di hadapan pintu masuk sebuah pusat beli-belah, di situ.


Sejurus merakamkan gambar tembakan bunga api, mereka didatangi sekumpulan lelaki yang berdiri rapat di sebelah mereka berdua.

Jeff berkata, seorang daripada kumpulan lelaki itu menolak badannya sebelum merampas telefon bimbitnya.


“Telefon Vincent juga dirampas sebelum kami cuba melawan.


“Kami cuba menarik tangan lelaki terbabit dalam kelompok orang ramai, namun tidak mampu kerana tiba-tiba beberapa rakan lelaki itu memukul kepala kami bertubi-tubi menggunakan tin penyembur cecair buih” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Sementara itu, Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa cedera di kepala dan lebam di badan akibat dipukul."

Tangan putus masuk kereta

TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian.
TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian.


TUMPAT: Seorang penunggang motosikal mati dalam keadaan ngeri apabila tangan kanannya putus dan terpelanting ke dalam sebuah kereta akibat perlanggaran dengan kereta itu di Kilometer 11, Jalan Pengkalan Kubor-Kota Bharu, dekat sini, kelmarin.
Kejadian jam 9.45 malam itu menyebabkan mangsa, Mohd Roslan Mohd Daud, 22, dari Kampung Selising, Pasir Puteh, maut di tempat kejadian selepas tercampak daripada motosikal Honda EX 5 ditunggangnya, manakala kenderaannya itu terseret hampir lima meter.


  • FotoREMUK…kereta dan motosikal yang terbabit kemalangan, kelmarin.
  • Foto
Difahamkan sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan datang dari Pengkalan Kubor sebelum motosikalnya bertembung Proton Wira dari arah bertentangan.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan tangan kanan mangsa terputus dan tercampak ke tempat duduk hadapan kereta berkenaan sebelum kereta itu berhenti pada jarak 100 meter.


Saksi, Mohd Azahan Daud, 38, berkata ketika kejadian, dia yang berada di kedai roti canai berhampiran melihat sebuah Proton Wira dipandu laju dari Kota Bharu cuba memotong sebuah kereta lain di hadapannya.



“Tiba-tiba dentuman kuat kedengaran menyebabkan kami yang berada di kedai terkejut dan bergegas keluar. Kami terkejut melihat mayat tercampak di hadapan kedai ini dengan keadaan tangan terputus.

“Motosikalnya diseret kira-kira lima meter dan ada percikan api keluar akibat pelanggaran terbabit sebelum kereta itu berhenti kira-kira 100 meter dari tempat kejadian,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, pemandu Proton Wira yang berusia 30-an cedera di muka akibat terkena serpihan kaca dan dihantar ke Hospital Tumpat untuk rawatan.

Rakan Mohd Roslan, Shazrul Hussin, 22, ketika ditemui berkata, sejurus tiba di tempat kejadian, seluruh tubuhnya menggeletar melihat keadaan mayat rakannya.

“Sebaik tiba, saya lihat orang ramai mengerumuni satu sudut di kawasan itu dan terkejut melihat keadaan mayat rakan saya dengan tangannya terputus.

“Saya sedih kerana setengah jam sebelum itu, kami berjumpa di tempat kerja sambil minum bersama. Dia memberitahu mahu pulang ke rumah keluarganya dekat Pasir Puteh, tapi tidak pula beritahu mahu ke Tumpat,” katanya.

Katanya, sebelum berpisah, arwah memberitahu kebimbangannya berjalan jauh kerana terdedah kemalangan ketika pulang ke rumah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk urusan pengebumian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

myMetro | Tangan putus masuk kereta

Penipu anggun tipu RM15,000

TERTIPU...Muhamad Ibrahim dan Rozaimah menunjukkan laporan polis yang dibuat.
TERTIPU...Muhamad Ibrahim dan Rozaimah menunjukkan laporan polis yang dibuat.


SHAH ALAM: Akibat terpedaya lakonan seorang wanita yang berpura-pura mahu menjadi pengedar produk kecantikan dan kesihatan, dua usahawan Bumiputera mengalami kerugian hampir RM15,000 apabila menerima bayaran melalui cek tendang.
Mangsa, Muhamad Ibrahim Abdul Halim, 30, dan Rozaimah Md Yusof, 32, didatangi suspek yang berperwatakan seakan-akan ‘Mak Datin’ dalam dua kes berasingan masing-masing di Seksyen 13, di sini, dan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Oktober lalu.

Dalam kes pertama, Muhamad Ibrahim yang juga pengarah syarikat produk berasaskan kecantikan dan kesihatan, Silver Capsicum Holdings Sdn Bhd, berkata dia hanya menyedari ditipu selepas pihak bank memaklumkan cek yang diterima cek tendang ekoran akaun cek itu sudah lama ditutup.

Dia yang tidak berpuas hati cuba menghubungi suspek beberapa kali untuk memintanya menjelaskan bayaran terbabit, namun suspek melengahkan pembayaran serta memberikan pelbagai alasan sebelum mematikan telefon bimbitnya.

“Pada 20 Oktober lalu, saya terima panggilan seorang wanita yang memperkenalkan dirinya Kak Nor dan dia beritahu saya dia nak jadi stokis kami. Saya suruh dia datang ke pejabat untuk berbincang.


“Seminggu kemudian, dia datang pada jam lebih kurang 11 pagi bersama seorang perempuan yang didakwa anaknya. Selepas saya beri penerangan, dia bersetuju menjadi pengedar bagi pakej kami yang paling mahal.

“Saya minta dia isi borang dan selepas saya menyerahkan produk kami, dia pun keluarkan cek dan tulis jumlah bayaran RM8,305 sebelum menyerahkannya pada saya,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini, baru-baru ini.


Bagi kes kedua, Rozaimah menerima SMS daripada suspek pada 27 Oktober iaitu hari sama suspek memperdayakan Muhamad Ibrahim dan melarikan produknya.
Rozaimah berkata, dia menerima SMS terbabit di sebelah malam sebelum suspek datang ke pejabatnya dua hari selepas itu.

“Walaupun dia datang dalam keadaan tergesa-gesa, namun saya langsung tidak mengesyaki apa-apa, malah saya juga tidak meminta sebarang pengenalan diri daripadanya.


“Saya telefon dia setiap hari meminta bayaran seperti pengemis dan berkali-kali ke bank, tapi dia menipu,” katanya yang juga stokis Jamu Mak Dara.


Rozaimah berkata, suspek yang menyerahkan cek tendang bernilai RM5,130 itu mematikan telefon bimbitnya selepas sering dihubungi Rozaimah.


Kedua-dua mereka mengalami situasi sama dengan suspek menggunakan nama Fatahiah Che Ibrahim pada cek Ambank terbabit dan ketika kejadian, terdapat seorang wanita lain berusia awal 20-an menunggu di dalam kereta Proton Perdana warna perak yang bertindak sebagai pemandu.

myMetro | Penipu anggun tipu RM15,000

35 peserta tanaman serai ditipu penganjur

KUALA KUBU BHARU: Seramai 35 peserta di kawasan Felda Sungai Tengi yang menyertai projek tanaman serai berkelompok mendakwa kerugian antara RM5,000 hingga RM30,000 selepas syarikat yang menganjurkan tanaman itu menghilangkan diri sejak beberapa bulan lalu.

Seorang peserta, Mohamad Diah Hamidon, 31, berkata, dia kerugian RM15,000 setelah menyertai projek itu sejak awal tahun ini dan masih gagal mendapatkan semula wang dibelanjakan itu.


“Saya dan rakan lain kecewa selepas diperdayakan seorang lelaki anak tempatan di kawasan Felda ini apabila gagal menyatakan status sebenar pelaburan syarikat yang menganjurkan tanaman itu,” katanya.

“Kami mendapat tahu pemilik syarikat itu sudah melarikan diri bersama wang pelaburan peserta ke Kelantan sejak beberapa bulan lalu,” katanya, semalam.


Beliau berkata, dia bersama peserta lain turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kuala Kubu Bharu pada 16 Oktober lalu, namun masih berharap kes ini dapat disiasat segera.


Katanya, dia tertarik menyertai skim pelaburan itu apabila dijanjikan pulangan serta keuntungan melebihi RM80,000 untuk sekali pelaburan.

Seorang mangsa lain, Rizal Kasmu, 26, berkata, dia telah mengeluarkan modal RM10,000 untuk tujuan itu dan dijanjikan pulangan mencecah RM68,000 mengikut hasil tuaian."
myMetro | 35 peserta tanaman serai ditipu penganjur:

Rusia siasat pesawat meletup

Kosmo! Online - Dunia



API membakar sayap pesawat Tu-154 di sebuah lapangan terbang di Surgut, Siberia semalam.


MOSCOW - Para penyiasat penerbangan di Rusia semalam menyiasat letupan sebuah pesawat penumpang Rusia yang membawa 124 orang semasa ia ditunda di sebuah landasan terbang bersalji di Surgut, Siberia, kata beberapa pegawai.

Mereka turut menyoal saksi-saksi dan penumpang dalam kes itu yang diklasifikasikan sebagai pelanggaran peraturan operasi penerbangan.

Dalam kejadian yang berlaku kelmarin itu, seramai tiga orang terbunuh manakala 43 lagi cedera termasuk enam mangsa yang melecur teruk.

Seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan, Vadim Grebennikov berkata, kebakaran bermula di salah sebuah enjin semasa pesawat itu ditunda untuk berlepas.

Dia berkata, kebakaran tersebut menyebabkan satu letupan kuat sehingga memusnahkan pesawat Tu-154 itu.

Selepas api dipadamkan hanya ekor pesawat dan sebuah sayap yang dapat diselamatkan manakala bahagian lain hangus terbakar.

Seorang penumpang, Vladimir Politvov berkata, beberapa penumpang berlari meredah api untuk menyelamatkan diri.

"Hanya sebuah pintu kecemasan yang berfungsi. Kami tidak dapat melihat pintu di bahagian tengah," kata seorang lagi penumpang, Olga Sytnik.

Menurutnya, penumpang yang keluar dari pintu kecemasan mendapati mereka berada dekat dengan sayap pesawat.

Orang ramai turun dari pesawat itu dengan menggunakan tangga manakala beberapa lagi melompat dari sayap pesawat dan berlari, tambahnya.

Semua tiga enjin pesawat itu terletak di bahagian belakang.

Pesawat itu dalam penerbangan dari bandar Surgut, Siberia ke Moscow.

Seorang mangsa yang terselamat, Sergei Grigoryev berkata, dia yang duduk di bahagian belakang pesawat melihat beberapa orang memijak kepala penumpang lain semasa mereka bergegas untuk menyelamatkan diri. - Agensi

Bapa rayu siasat kematian anak

Kosmo! Online - Negara: "
KAJANG – Bapa kepada Liew Kuan Mang yang ditemui mati dalam keadaan tragis dengan anggota badannya terpisah antara satu sama lain di loji rawatan kumbahan Taman Pasir Mas, Sungai Chua di sini memohon supaya polis melakukan siasatan sewajarnya terhadap kematian mangsa.

Liew Swee Hen, 66, (gambar) berkata, dia mahukan keadilan terhadap kematian anak bongsunya itu yang dilaporkan hilang sejak 7 November lalu sebelum mayatnya ditemui Khamis lalu.

“Saya berharap polis dapat menjalankan siasatan sehingga kes pembunuhan anak saya selesai dengan menangkap pihak yang terlibat,” rayunya dalam tangisan ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Swee Hen berkata, dia dan anak lelaki keduanya, Kuan Hong, 39, telah pergi ke sebuah restoran di Sungai Chua tempat kali terakhir Kuan Mang dilihat sebelum hilang.

“Di restoran itu kami melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan nampak Kuan Mang masuk ke tandas bersama dua rakannya.

“Dua rakan Kuan Mang kemudian dilihat keluar dari tandas namun anak saya tidak kelihatan,” katanya dengan memberitahu jarak antara restoran tersebut dengan lokasi tempat anaknya ditemui mati kira-kira 500 meter."

Mayat atas siling rumah

Kosmo! Online - Negara: "
Oleh HAMDAN TAWADI
berita@jkosmo.com.my

KAMARUZAMAN menunjukkan siling rumah yang dibuka dan membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki kelmarin.

BATU PAHAT – Seorang juruelektrik sebuah syarikat kontraktor di sini menggigil ketakutan apabila ternampak sepasang kaki manusia dari bumbung sebuah rumah teres setingkat yang cuba dibaikinya di Bukit Pasir di sini kelmarin.

Juruelektrik itu menemui mayat Tan Seng Boon, 50-an, pada pukul 8.30 malam selepas dia menebuk lubang siling rumah Kamaruzaman Sahlan, 40, dan Santi Jumingan, 27, yang mengadu terputus bekalan elektrik.

Kamaruzaman, 40, berkata, lelaki itu mungkin telah mati kira-kira dua hari lalu dipercayai terkena renjatan elektrik di atas siling rumah disewanya.

Sebelum menemui mayat mangsaah, bekalan elektrik di rumah Kamaruzaman terputus bermula pada pukul 6 petang kelmarin.

“Saya menghubungi TNB (Tenaga Nasional Berhad) yang kemudian menghantar seorang juruelektrik ke rumah saya pada pukul 7 malam.

“Selepas melakukan pemeriksaan, juruelektrik itu memaklumkan masalah bekalan elektrik dipercayai berpunca daripada pendawaian dalam rumah menyebabkan saya perlu mencari juruelektrik lain bagi membaiki kerosakan itu,” katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah premis pakaian terpakai."

Amah mati ketika cuba lari

Kosmo! Online - Negara: "

Polis memeriksa mayat seorang pembantu rumah yang mati setelah terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Presint 9, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai cuba melarikan diri dari rumah majikannya maut akibat terjatuh dari tingkat 12 Pangsapuri Blok E2, Fasa 12, Presint 9 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai memanjat keluar dari tingkat 12 menggunakan kain selimut malam kelmarin semasa majikannya tiada di rumah.

“Mayat mangsa ditemui pada pukul 7.30 pagi oleh penduduk dalam keadaan tertiarap di lorong belakang sebuah tadika di kawasan pangsapuri itu.

“Turut dijumpai berhampiran mayat ialah beg pakaian,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat.

Abdul Razak berkata, polis juga masih menyiasat sama ada majikan amah itu mengambil pendatang tanpa izin sebagai amah berikutan tiada dokumen pengenalan diri mangsa ditemui."

Cyberita Online Luar Negara

BERPINDAH: Seorang lelaki meredah air untuk melintas sebatang jambatan di Sungai Perry, berdekatan bandar Gin Gin, Queensland, semalam. -- Foto AFP
3 Jan 2011

LUAR NEGARA

200,000 penduduk terjejas banjir buruk di Queensland

BUNDABERG (Australia): Polis Australia semalam menemui mayat seorang wanita yang keretanya dihanyutkan air dalam banjir buruk di timur laut negara itu, iaitu mangsa pertama bencana tersebut.

Hujan lebat minggu lalu telah menyebabkan kira-kira 200,000 penduduk di wilayah itu terjejas.

Keluasan kawasan yang terjejas banjir dilaporkan lebih besar daripada keseluruhan kawasan Perancis dan Jerman yang digabungkan.

Pada malam kelmarin, dua kereta yang cuba menyeberangi sebatang lebuh raya dihanyutkan sehingga ke sebatang sungai di bandar Burketown, di barat Queensland.

Seorang wanita berusia 41 tahun yang menaiki kereta kedua hilang apabila keretanya dihanyutkan air deras.

Bagaimanapun, tiga kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa dalam kereta itu dapat diselamatkan.

Mayat wanita itu hanya ditemui semalam kira-kira dua kilometer dari tapak kejadian, kata polis Queensland.

'Kami bersyukur tiada lagi korban jiwa. Kami kini memberi tumpuan untuk mengelakkan sebarang kematian,' kata Pemangku Penolong Pesuruhjaya Polis Queensland, Encik Alistair Dawson.

Kira-kira 1,000 penduduk kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara di serata Queensland.

Banjir hanya dijangka surut dalam tempoh sebulan, kata Encik Dawson.

'Memang sukar menyatakan bahawa keadaan paling buruk telah berlalu. Ini satu kejadian unik. Sebahagian kawasan masih lagi menjalankan kerja-kerja menyelamat sementara ada kawasan yang dalam proses pemulihan,' kata beliau.

Para pegawai berkata separuh daripada wilayah Queensland yang seluas 1.8 juta kilometer persegi terjejas banjir itu.

Perdana Menteri Queensland, Cik Anna Bligh, sebelum ini telah memberi amaran usaha membersihkan kawasan yang terjejas akan menelan kos berbilion dolar.

Bandar Rockhampton, yang terletak di kawasan persisiran, merupakan kawasan yang dijangka terjejas dengan banjir minggu depan.

Sejak beberapa hari lalu, para pegawai kerajaan telah mula memindahkan penduduk bandar itu.

Datuk Bandar, Encik Brad Carter, memberi amaran bahawa kira-kira 40 peratus daripada kawasan bandar itu akan ditenggelami air apabila banjir memuncak Rabu ini.

Para penduduk mungkin hanya dapat pulang ke rumah masing-masing dua minggu kemudian.

Kira-kira 1,000 rumah sudah pun dinaiki air semalam, dengan 30 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan sementara, kata Encik Dawson.

Penduduk lain telah berpindah ke rumah kawasan atau sanak-saudara masing-masing. -- AP, AFP.Cyberita Online Luar Negara

17 suspek ditahan, Mubarak gesa Muslim dan Kristian bersatu

ANGKARA PENGEBOM NEKAD: Anggota bomba cuba memadamkan kebakaran kereta ekoran letupan bom di luar sebuah gereja di Iskandariah, Mesir, kelmarin. -- Foto AP.
SERANGAN BOM DI LUAR GEREJA DI MESIR
Ratusan penganut Kristian berkumpul di jalan raya lancarkan bantahan

ISKANDARIAH: Polis Mesir telah menahan sehingga 17 orang selepas satu letupan bom membunuh 21 orang di luar sebuah gereja di sini dan menyebabkan sehingga 97 orang cedera, kelmarin.Bom itu dipercayai diletupkan seorang pengebom nekad.Presiden Hosni Mubarak berkata 'anasir luar' yang bertangunggjawab atas letupan itu dan menggesa agar penganut Islam dan Kristian negara itu bersatu.Letupan yang berlaku ketika penganut Kristian sedang berkumpul bagi menyambut Tahun Baru kelmarin, telah menyebabkan ratusan penganut agama itu berkumpul di jalan-jalan raya bagi mengadakan bantahan.Beberapa penganut Kristian dan penduduk Islam dilihat membaling batu ke arah satu sama lain, kata seorang saksi.Kereta-kereta turut dibakar.Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan itu.Ambulans juga dikejarkan ke tempat kejadian dan petugas perubatan mengumpulkan anggota badan mangsa letupan yang bertaburan di kawasan tersebut.Di Mesir, 10 peratus daripada 79 juta penduduknya ialah penganut Kristian.Antara pemimpin dunia yang mengutuk serang kelmarin ialah Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama.'Dalang serangan ini dengan jelas menyasarkan penganut Kristian dan tidak menghormati maruah dan nyawa manusia. Mereka harus dibawa ke muka pengadilan ekoran tindakan keji dan kejam mereka itu,' kata Encik Obama.Parti pembangkang terbesar di Mesir, Saudara Islam, turut mengecam serangan itu.'Ada orang yang mahu negara ini tidak stabil dan semua jari menuding ke arah anasir luar yang bertanggungjawab atas serangan ini,' kata seorang anggota kanan parti itu, Encik Mohamed el-Katatni.Mesir telah meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar gereja-gereja dan melarang kenderaan diletakkan berhampiran kawasan gereja selepas sebuah kumpulan rangkaian Al-Qaeda di Iraq mengeluarkan ugutan pada November lalu.Kumpulan rangkaian Al-Qaeda di Iraq mengaku bertanggungjawab menyerang sebuah gereja di Baghdad pada November lalu, mengugut gereja Mesir berhubung layanannya ke atas wanita Kristian yang memeluk Islam.Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Iraq, Encik Hussein Kamal, menggesa negara-negara Arab agar bekerjasama dalam usaha memerangi pengganasan.Negara-negara Arab juga diminta membantu menghalang anggota militan Arab daripada menjalani latihan di Iraq dan kemudian pulang ke tanah air.Pada November lalu, ratusan penganut Kristian Mesir bertempur dengan polis dan beberapa penganut Islam di Kahirah, semasa tunjuk perasaan bagi membantah pembatalan pembinaan sebuah gereja.Para pegawai berkata penganut Kristian itu tidak mempunyai lesen untuk membina gereja berkenaan.Dua penganut Kristian terbunuh, berdozen lagi cedera dan lebih 150 lain ditahan. -- Bloomberg, Reuters, AFP.