Search This Blog

Saturday, January 1, 2011

Ops Samseng di Kedah: Lima remaja ditahan


01/01/2011 6:35pm

ALOR SETAR — Polis menahan lima remaja dalam Ops Samseng Jalanan di Ambang Tahun Baru kerana disyaki terlibat dalam kegiatan merempit di sekitar bandar malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd. Jan berkata, operasi itu dilakukan dari Tandop menghala ke Jalan Lencongan Barat dekat sini kira-kira 4 pagi.
"Hasil siasatan mendapati empat motosikal yang digunakan adalah motosikal curi dan mereka telah mengubah suai bentuk motosikal tersebut. Walau bagaimanapun, ujian air kencing menunjukkan mereka bebas dari pengaruh dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, polis mengejar remaja berkenaan selepas melakukan pemerhatian ke atas kumpulan yang sedang berlumba itu dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menahan mereka.
Adzaman berkata semua suspek yang sudah tidak bersekolah itu telah ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengankutan Jalan.
Dalam operasi itu, sebanyak 109 motosikal dan empat kereta disita manakala 208 saman dikeluarkan. — Bernama

Gempa bumi 5.2 gegarkan wilayah Xinjiang, China



2011/01/01

BEIJING: Gempa bumi sederhana pada magnitud 5.2 melanda barat jauh China di wilayah Xinjiang, hari ini, kata ahli seismologi. 

Jabatan Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa yang melanda jam 10 pagi tadi (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer dengan catatan pusat gempa 68 kilometer barat Kashi.Menurut agensi berita China, Xinhua, tiada laporan kecederaan atau kematian diterima sehingga kini. - AFP

Bayi KL Sentral dapat kasih sayang baru


01/01/2011 4:15pm

SEREMBAN — Pelajar sebuah kolej kejururawatan di Kota Damansara, Selangor, Qurratnaini Amni Jamaludin, 20, yang mendapat anak “segera” nekad untuk membela bayi yang diserahkan kepadanya secara tiba-tiba di Stesen KL Sentral semalam selepas mendapat persetujuan ibu bapanya.
Bapa gadis itu yang merupakan anggota bomba dari balai Teluk Kemang, Jamaludin Latif, 50, sudah memikirkan perkara itu semasak-masaknya walaupun beliau sudah mempunyai enam orang anak dan yang paling kecil berusia lima tahun.
"Saya, isteri dan anak-anak yang lain telah jatuh kasih dengan bayi tersebut. Hati mana yang tidak tersentuh apabila melihat senyuman anak yang tidak berdosa ini.
“Dia serasi dengan kami, menangis hanya apabila lapar sahaja,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Hospital Seremban hari ini.
Bayi berusia seminggu itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil walaupun mengalami kelaparan dan kekurangan glukos semalam.
Jamaludin akan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat minggu depan bagi mendapatkan hak penjagaan ke atas bayi itu.
Qurratnaini Amni mendapat bayi itu di KL Sentral selepas seorang wanita Melayu tiba-tiba menyerahkan bayi malang tersebut untuk dijaga sebentar dengan alasan mahu ke tandas.
Wanita tersebut bagaimanapun terus menghilangkan diri menyebabkan Qurratnaini Amni menghubungi keluarganya dan membawa bayi itu pulang ke rumahnya di pekan Rantau. — Bernama

Mangsa banjir di Rantau Panjang meningkat kepada 280


SEBAHAGIAN penduduk Kampung Kedai Lama, Rantau Panjang memunggah barang mereka ke Pusat pemindahan di Stesen Keretapi Rantau Panjang selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam 0.5 meter akibat limpahan Sungai Golok sejak kelmarin. - Foto Fathil Asri.


2011/01/01

RANTAU PANJANG: Jumlah mangsa pemindahan banjir di Rantau Panjang di sini petang ini meningkat kepada 280 berbanding 67 mangsa pada sebelah pagi. 

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, berkata peningkatan mangsa itu berikutan limpahan air Sungai Golok yang mulai menenggelami beberapa kawasan di daerah itu terutama di kawasan Rantau Panjang Lama.Kesemua mangsa ditempatkan di satu-satunya pusat pemindahan sementara yang dibuka di negeri ini iaitu di Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Rantau Panjang, katanya.
Jurucakap itu berkata, dua jalan alternatif iaitu Jalan Pohon Tanjung ke Jeram Perdah iaitu Jalan lama Rantau Panjang ditutup kepada semua kenderaan manakala Jalan Rantau Panjang ke Lalang Pepuyu hanya ditutup kepada kenderaan ringan dan hanya dibuka kepada kenderaan berat. 

Katanya, paras air Sungai Golok sudah meningkat kepada 10.14 meter melebihi paras bahaya sembilan meter. 

Keadaan cuaca di seluruh Kelantan kini mendung dengan sesekali hujan renyai-renyai terutama di kawasan pedalaman. - BERNAMA 

Pelakon Faizal Yusof meninggal dunia akibat serangan jantung







2011/01/01

KUALA LUMPUR: Pelakon Faizal Yusof meninggal dunia kira-kira jam 1.45 tengah hari ini di Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI), Jalan Tun Razak, di sini akibat serangan jantung. 

Faizal, 32, dikatakan pengsan di rumahnya di Anjung Villa Bandar Baru Sentul di sini kira-kira jam 9 pagi, akibat serangan jantung sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Faizal dikenali kerana lakonannya dalam beberapa drama bersiri di televisyen seperti Tiramisu dan Manjalara.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rosmunira Rashid, 27, yang sedang mengandung lima bulan. 

Allahyarham pernah berkahwin sebelum bercerai dengan penyanyi Siti Nordiana dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Rayyan Nakhaie, 2 tahun sembilan bulan. 

Abang pelakon itu Shaiful Yusof, 34, yang ditemui di Tingkat 3, Unit Rawatan Rapi (ICU) PUSRAWI, berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda, Batu Caves jam 10 pagi esok. 

Antara artis yang dilihat menziarah jenazah Allahyarham di hospital ialah pelakon Abby Abadi, Sharifah Amani, Liyana Jasmay, Amyza Adnan dan Pierre Andre. 
Sementara itu Abby Abadi yang ditemui, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan Faizal adalah bulan lepas ketika mereka bermain futsal di Bukit Jalil. 

"Dia seorang yang amat kelakar dan terkenal dengan sikap gila-gila dia. Ramai-ramai kawan yang pergi, dialah yang paling saya terasa kehilangannya," katanya yang pernah berlakon bersama Allahyarham dalam drama Manjalara di TV3. - BERNAMA 
-bharian

Remaja mabuk pecahkan kereta penduduk

01/01/2011 6:14pm


SEREMBAN 1 Jan — Angkara sambutan Tahun Baru 2011, penduduk di Fasa 3 Taman Tuanku Jaafar mengalami kerugian apabila sekumpulan remaja dipercayai mabuk memecahkan cermin kereta milik mereka yang diletakkan di tepi jalan dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi tadi.
Seorang peguam berusia 45 tahun, Zulhaimi Zakaria, berkata ini merupakan kali pertama kejadian seumpamanya berlaku di taman itu.
"Saya sedang tidur apabila terdengar kekecohan. Apabila keluar saya melihat beberapa orang penduduk sudah pun berkumpul untuk memeriksa kenderaan masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama.
Empat buah kereta yang diletakkan di Jalan 3/8 turut rosak dipercayai akibat perbuatan remaja terbabit dan kerosakan serupa berlaku ke atas beberapa buah kenderaan yang diletakkan di luar rumah di Jalan 3/9. — Bernama

200,000 terjejas banjir di Australia





2011/01/01

GAMBAR dari udara menunjukkan keadaan banjir yang melanda bandar Emerald, Queensland.
GAMBAR dari udara menunjukkan keadaan banjir yang melanda bandar Emerald, Queensland.
Kawasan lebih luas daripada Perancis, Jerman 

BRISBANE: Lebih 200,000 penduduk terjejas akibat banjir di timur laut Australia semalam selain dilaporkan meliputi kawasan lebih besar daripada negara Perancis dan Jerman.
Beribu-ribu rumah dan tempat perniagaan di seluruh negeri Queensland ditenggelami air selepas hujan berterusan beberapa hari menyebabkan sungai melimpah.
Seluruh penduduk dua bandar utama terpaksa meninggalkan kampung halaman berikutan kenaikan paras air, yang memutuskan hubungan jalan raya dan memusnahkan tanaman. 

Banjir sering berlaku di timur laut Australia berikutan hujan lebat ketika musim panas di Hemisfera Selatan, tetapi kerosakan yang berlaku akibat hujan akhir-akhir ini agak luar biasa, kata pemimpin Queensland, Anna Bligh. 

“Ia tragedi besar. Kini 22 bandar dan bandar raya ditenggelami air atau terputus hubungan kerana jalan raya tenggelam. 

“Ia mewakili kira-kira 200,000 orang di sebuah kawasan lebih besar daripada gabungan negara Perancis dan Jerman,” kata Bligh kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC). 
Beribu-ribu orang dipindahkan dari rumah mereka minggu ini. Di bandar Emerald, Queensland, kira-kira 1,000 orang dipindahkan dalam tempoh 24 jam lalu. 

Bandar berkenaan kemungkinan menghadapi kekurangan makanan, gangguan tenaga elektrik dan air banjir yang dicemari najis, kata Datuk Bandar, Peter Maguire. Tiga pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan penduduk terbabit. 

Cuaca di kebanyakan tempat di negeri berkenaan adalah kering semalam, tetapi paras sungai masih meningkat di sesetengah kawasan. 

Bligh turut memberi amaran bahawa kawasan yang ditenggelami mungkin berada dalam keadaan sedemikian selama lebih seminggu, dan usaha pembersihan dijangka menelan belanja berbilion dolar. 

Rockhampton yang terletak di kawasan pantai, dijangka ditenggelami hari ini. Jalan raya dan landasan kereta api dijangka terputus hari ini, dan lapangan terbang bandar raya akan ditutup hujung minggu ini. 

Penduduk di kawasan terbabit mula dipindahkan semalam, bermula dengan orang lanjut usia dan mereka yang tinggal di kawasan rendah. 

Wujud kebimbangan mengenai bekalan makanan di bandar raya berkenaan, dan kebanyakan kedai sudah pun kehabisan roti, susu dan daging segar, kata Datuk Bandar Rockhampton, Brad Carter. 

Gary Boyer, pengurus serantau rangkaian pasar raya Woolworths, berkata syarikat berkenaan akan menghantar 43 trak dipenuhi perbekalan ke Rockhampton. 

Queensland melancarkan tabung mangsa banjir dengan peruntukan AS$1 juta (RM3 juta) daripada kerajaan. Perdana Menteri, Julia Gillard berikrar akan menambahkan sumbangan dengan jumlah sama, daripada dana persekutuan. – AP

Bom meletup di kawasan berek tentera Nigeria





2011/01/01

ABUJA: Bom meletup di sebuah pasar, terletak di dalam berek tentera di ibu kota Nigeria, Abuja menjelang sambutan tahun baru, kata ketua tentera dan awam, Jumaat (waktu tempatan). 

"Terdapat sebutir bom meletup di dalam pasar Mammy. Bom terbabit meletup ketika orang ramai sedang makan," kata Ketua pertahanan sivil bagi ibu kota Rabi Saidu.
Ketua tentera Nigeria, Marsyal Udara Oluseyi Petirin, berkata ia adalah satu kejadian yang menyedihkan apabila ada pihak yang meletakkan bom di kawasan orang ramai berehat.
Beliau berkata, serangan terbaru itu sama seperti kejadian di Jos di mana serangan berangkai dilaukan di Jos sehingga mengakibatkan ramai yang terbunuh. - AFP

5 maut, 14 cedera serangan bom gereja di Mesir


PEGAWAI polis Mesir berdiri di sebelah sisa kereta yang terbabit dalam letupan gereja 230 kilometer utara Kaherah, negara itu, hari ini. Kejadian itu meragut 21 nyawa penganut agama kristian. - Foto REUTERS



2011/01/01

KAHERAH: Sekurang-kurangnya lima terbunuh manakala 14 yang lain cedera susulan serangan gereja Kristian di utara bandar Mesir, awal pagi tadi.

Petugas penyelamat berkata, kadar kematian dijangka bertambah berdasarkan jumlah kenderaan yang digunakan untuk membawa mangsa ke hospital.

4 rancang serangan ala Mumbai direman



COPENHAGEN 31 Dis. - Mahkamah di Denmark dan Sweden semalam memerintahkan empat lelaki dikenakan tahanan reman berhubung komplot untuk melakukan pembunuhan ala Mumbai di pejabat sebuah akhbar Denmark, Jyllands-Posten yang menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad.
Lima lelaki ditahan pada Rabu lalu di kedua-dua negara kerana komplot yang disifatkan oleh pihak berkuasa Denmark sebagai satu rancangan untuk membunuh seramai mungkin dalam satu serangan ke atas pejabat akhbar itu di Copenhagen.
Akhbar itu menerbitkan 12 kartun menghina Nabi Muhammad pada September 2005 yang kemudiannya mencetuskan keganasan di seluruh dunia.
Sebuah mahkamah di Glostrup dekat Copenhagen memerintahkan tiga lelaki ditahan reman selama empat minggu selepas satu perbicaraan tertutup.
Satu lagi perbicaraan tertutup di Stockholm, Sweden pula memutuskan tahanan reman selama dua minggu kenakan ke atas suspek keempat yang mempunyai kaitan dengan kes ini.
Perkhidmatan Perisikan Denmark, PET mengenal pasti lelaki yang ditahan reman sebagai warga Tunisia berumur 44 tahun, warga Sweden kelahiran Lebanon berusia 29 tahun dan warga Sweden berusia 30 tahun.
Sementara itu, Denmark juga menimbang untuk membubarkan cawangan kumpulan Hizbut Tahrir di negara ini selepas pertubuhan Islam itu didakwa memalukan negara itu menerusi satu undangan ke sebuah majlis perdebatan berhubung perang di Afghanistan.
Menteri Kehakiman Denmark, Lars Barfoed berkata, beliau telah meminta peguam negara meneliti sama ada parti Islam Hizbut Tahrir di negara ini boleh dibubarkan secara sah atau tidak.
"Saya telah meminta peguam negara menimbangkan sama ada kes ini boleh dikemukakan ke mahkamah bagi membubarkan parti itu," katanya kepada agensi berita Ritzau semalam.
Semasa majlis debat itu yang diadakan di Perpustakaan Diraja di sini, Hizbut Tahrir memuji pertempuran terhadap tentera Denmark di Afghanistan selain memaparkan gambar tiga keranda berbalut bendera Denmark, Sweden dan Norway di peta Afghanistan. - AFP

Tauke loteri haram didakwa rasuah



MELAKA 30 Dis. - Seorang tauke loteri haram mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM5,000 kepada seorang anggota polis pada pertengahan tahun ini.
Lim Hoak Chee, 60, didakwa memberi wang suapan itu kepada Sarjan Wong Soon Meng dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Kelantan sebagai dorongan supaya tidak menahannya yang disyaki menjalankan kegiatan loteri haram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ban Hin & Co., 3228 Masjid Tanah, Alor Gajah di sini pada pukul 7.15 malam, 19 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Zaharah Husain membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 27 Januari ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Sa'ad Shukor.

Operator kilang rogol pelajar dipenjara lima tahun



SHAH ALAM 30 Dis. - Seorang operator kilang dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang pelajar tingkatan satu di sebuah kawasan rekreasi, dua tahun lalu.
Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob memerintahkan hukuman terhadap Wan Shahrin Wan Mohd Salim, 25, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian.
Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim tersebut turut menasihatkan tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu serta berharap ia merupakan kesalahan terakhir lelaki berkenaan.
Wan Shahrin mengaku merogol mangsa yang berusia 13 tahun enam bulan di Air Terjun Sakai, Kuang, Gombak dekat sini pada pukul 5.30 petang, 1 Disember 2008.
Tertuduh yang telah berkahwin ketika kejadian didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Esther Tan memohon agar Wan Shahrin dikenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanya berusia 23 tahun dan boleh dianggap sebagai pesalah muda ketika kejadian.
Beliau turut memaklumkan tertuduh telah ditinggalkan oleh isterinya selepas ditangkap polis dan ditahan di penjara sejak dua tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abd. Rahim pula memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh berdasarkan kejadian rogol yang semakin kerap dilaporkan berlaku di Selangor.
Katanya, mangsa yang hanya berusia 13 tahun enam bulan juga harus diambil kira dalam menjaga kepentingan awam selain laporan perubatan mengesahkan koyakan baru pada kemaluan mangsa serta kawad cam yang positif.
Sementara itu, penghantar barang ganti kenderaan, Muhammad Zulkifli Ab. Wahid, 22, pula mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa yang sama di kawasan rekreasi itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Muhammad Zulkifli yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan diwakili oleh peguam Abu Dzarr Ab. Karim dan Mohd. Ashadi Saiman.
Mahkamah menetapkan 22 Februari ini untuk perbicaraan terhadap Muhammad Zulkifli.

Banjir kilat di Mekah, Jeddah



Seorang wanita keluar dari tingkap kereta bagi menyelamatkan diri dibantu oleh seorang lelaki setelah kereta mereka terkandas akibat banjir kilat di Jeddah, kelmarin. - AFP


MEKAH 31 Dis. - Banjir kilat melanda Mekah dan bandar raya Jeddah semalam mengakibatkan seorang lelaki dan tiga anaknya terbunuh di bandar suci ini ekoran hujan lebat dan perancangan bandar yang teruk.
Berita kematian tiga sekeluraga itu disampaikan oleh Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal.
Beliau berkata, 200 orang lagi berjaya diselamatkan, sebahagian besarnya menggunakan helikopter.
Banjir di bandar raya Jeddah pula menyebabkan keadaan lalu lintas berhampiran pelabuhan Laut Merah di Jeddah terjejas setelah beberapa jalan utama di timur dan selatan bandar raya itu dinaiki air dan berpuluh-puluh kenderaan rosak, menurut seorang wartawan AFP.
Pihak berkuasa berkata, banyak rumah penduduk turut ditenggelami air.
Paras air di sesetengah daerah di Jeddah berada di paras lutut, sementara beberapa daerah lagi airnya naik melebihi paras pinggang.
November lalu, Jeddah, bandar raya kedua terbesar selepas Riyadh dilanda banjir mengakibatkan seramai 123 orang terbunuh dan banyak rumah dan bangunan rosak teruk.
Banjir pada November lalu itu disusuli dengan satu kempen yang tidak pernah diadakan di Internet oleh para penduduk bandar raya itu sebelum ini yang merungut mengenai rasuah dan perancangan bandar yang teruk. - AGENSI

Banjir Australia semakin buruk



BUNDABERG 31 Dis. - Lebih ramai warga Australia di Rockhampton terpaksa dipindahkan berikutan keadaan banjir yang semakin buruk, yang setakat ini telah menjejaskan 200,000 penduduk di bahagian timur laut negara ini.
Polis memindahkan penduduk dari kawasan tanah rendah itu, yang meliputi kawasan seluas gabungan Perancis dan Jerman itu serta mengenal pasti 4,000 buah rumah yang berisiko dilanda banjir teruk.
"Pihak berkuasa akan mengeluarkan arahan supaya penduduk di kawasan terjejas berpindah," kata Datuk Bandar Rockhampton, Brad Carter kepada agensi berita AAP.
Sementara itu, helikopter tentera jenis Blackhawk digunakan bagi membantu memindahkan penduduk serta menggugurkan bungkusan makanan di Emerald yang mempunyai penduduk serama 11,000 orang, selepas 80 peratus daripada kawasan itu diselubungi lumpur tebal.
Banjir yang diakibatkan oleh taufan Tasha itu telah menjejaskan operasi beberapa buah ladang ternakan dan lombong di Brisbane.
Perdana Menteri Australia, Julia Gillard sempat melawat pusat perlindungan sementara bagi meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di situ.
"Kita dapat melihat pasukan bantuan kecemasan menjalankan kerja mereka dengan pantas bagi membantu mangsa banjir.
"Ia membuktikan semangat kerjasama pada setiap warga Australia yang sentiasa bantu membantu ketika orang lain dilanda kesusahan," kata Gillard. - AFP

Korban taun Haiti naik kepada 3,333



PORT-AU-PRINCE 31 Dis. - Angka korban wabak taun di negara ini meningkat kepada 3,333 orang sejak penyakit itu mula dikesan di Haiti pada pertengahan Oktober lalu, menurut data terbaru yang dikeluarkan semalam.
Data sehingga 26 Disember itu menunjukkan, sebanyak 432 lagi kematian dicatat berbanding data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sebelum ini, sekali gus memperlihatkan pertambahan mendadak jumlah kematian.
Menurut data itu, lebih 100 maut akibat taun pada 19 Disember sahaja, jauh lebih ramai berbanding jumlah korban harian tertinggi sebelum ini yang dicatat pada pertengahan November dengan 80 kematian.
Lebih memburukkan, purata angka korban harian juga kembali meningkat kepada 50 seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Bilangan individu yang dijangkiti taun juga naik mendadak melebihi 150,000 orang di Haiti dan pihak berkuasa negara jiran, Republik Domonica melaporkan, sebanyak 139 kes turut dikesan di negara itu namun ia tidak menyebabkan kematian.
Wabak tersebut yang bermula sekitar Oktober mencetuskan rusuhan antiPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila penduduk menyuarakan kemarahan mereka terhadap tentera pengaman dari Nepal yang didakwa membawa masuk taun ke negara ini.
Pakar berkata, penyebaran penyakit tersebut mungkin berpunca daripada manusia dari luar wilayah itu dan PBB telah menjanjikan satu siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca wabak tersebut tersebar. - afp
Pertubuhan Kesihatan Seluruh Amerika awal bulan ini berkata, Haiti mungkin menyaksikan pertambahan kes taun sehingga 400,000 dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan separuh daripadanya dijangka berlaku hanya dalam masa tiga bulan. - AFP

Polis, remaja dirempuh pemandu mabuk



PULAU PINANG 31 Dis. - Akibat memandu dalam keadaan dipercayai mabuk, seorang anggota polis dan seorang penunggang motosikal nyaris maut apabila dirempuh oleh sebuah kereta semasa sekatan jalan raya tengah malam tadi.
Kejadian berlaku ketika sepasukan polis mengadakan sekatan berkenaan di Jalan Paya Terubong menghala Balik Pulau di sini, pukul 12.30 tengah malam.
Bagaimanapun tiba-tiba seorang lelaki berusia 33 tahun, dipercayai di bawah pengaruh alkohol yang memandu kereta Proton Persona merempuh sekatan tersebut lalu terbabas.
Kereta itu kemudian melanggar penunggang berusia 20 tahun menyebabkannya tercampak dan motosikal diheret sejauh kira-kira 150 meter.
Pemandu yang hilang kawalan itu seterusnya melanggar dua buah kenderaan pacuan empat roda milik polis di bahu jalan menyebabkan seorang anggota cedera parah akibat tersepit di antara dua buah kenderaan berkenaan.
Namun, remaja tersebut Basiruddin Jamari, 20, bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan dengan luka-luka di bahagian tangan dan lengan.
Lans Koperal Amirrul Fitri Norrizat, 25, dari Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta, Perak mengalami kecederaan parah pada paha kanannya.
Pemandu kereta itu pula hanya mengalami cedera ringan walaupun kenderaan tersebut terbakar di bahagian enjin.
Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dipadam sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong yang tiba kira-kira lima minit kemudian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pemandu tersebut memandu dengan laju menyebabkannya gagal memberhentikan keretanya pada sekatan jalan raya itu.
"Dia dipercayai tidak sempat membrek lalu terbabas dan melanggar motosikal serta kenderaan polis.
"Dia kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang selepas melawat anggota yang cedera itu di sini awal pagi ini.
Beliau menambah, hasil pemeriksaan polis mendapati pemandu berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Semasa sekatan jalan raya tersebut, seramai enam anggota sedang bertugas, iaitu lima dari Batalion 1 PGA dan seorang dari Balai Polis Sungai Nibong.
-utusan

5 termasuk tekong hilang





KUANTAN 31 Dis. - Seorang tekong dan empat nelayan hilang dikhuatiri mati lemas apabila bot yang mereka naiki karam dipercayai akibat dipukul ombak di perairan Kuantan kira-kira 15 batu nautika (27 kilometer) dari Tanjung Gelang, di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi, ketika bot membawa empat nelayan warga Thailand dan seorang tekong tempatan menangkap ikan di perairan tersebut.
Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah, Kapten Maritim, Abdul Aziz Idrus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pukul 1 tengah hari.
Katanya, tekong bot itu menghubungi ejen bot nelayan tersebut yang kemudian memaklumkan kepada Maritim Malaysia.
"Bertindak atas maklumat yang diperoleh dari Pusat Maritim Mencari dan Menyelamat Daerah, sebuah bot peronda KM Lang bersama 24 pegawai diketuai Leftenan Maritim Dzulfikar Ali bergegas ke lokasi kejadian pukul 2.40 petang.
"Operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan agensi kerajaan lain iaitu Pasukan Gerakan Marin dan Kapal KD Perak dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Abdul Aziz, hasil operasi yang dijalankan oleh KM Lang sebaik sahaja menerima laporan itu berjaya menemui bot tersebut di sekitar lokasi kejadian.
Katanya, sehingga kini pihaknya bersama agensi lain sedang mencari mangsa yang hilang dan bot tersebut ditunda oleh bot nelayan tempatan lain untuk dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini.
Jelasnya, bot terbabit telah berlepas dari jeti nelayan di sini bagi menangkap ikan di perairan tersebut, Rabu lalu.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga pukul 7 petang ini kecuali jika keadaan laut bergelora dan angin kencang.
"Faktor cuaca perlu diambil kira memandangkan keadaan ombak mencapai ketinggian dua hingga 3.5 meter yang boleh menyukarkan operasi tersebut," katanya.
Abdul Aziz memberitahu, operasi itu dijangka diteruskan selama lima hari bermula semalam dan sekiranya tidak menemui mangsa maka ia akan dihentikan bagi mencari petunjuk baru.
Dalam pada itu, beliau meminta nelayan di negeri ini mengikuti perkembangan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi mengenai keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Katanya, ia berikutan musim hujan yang berlaku sekarang dijangka berlarutan sehingga Selasa depan dan amat berbahaya kepada bot kecil yang ingin keluar menangkap ikan di laut

Lebih 45 orang cedera insiden kereta api



01/01/2011 2:26am

BUENOS AIRES 1 Jan. - Lebih 45 orang mengalami kecederaan di kota Buenos Aires selepas sebuah kereta api merempuh sebuah lagi kereta api penumpang yang tiba-tiba berhenti di landasan, semalam.
Menurut laporan Majlis Bantuan Perbandaran (SAME), salah seorang mangsa adalah seorang wanita yang sedang mengandung tujuh bulan.
“Seramai 45 hingga 50 mangsa tercedera telah di bawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” kata ketua pengarah SAME, Alberto Crescenti. - AFP

Bekas diktator Argentina berdepan dengan perbicaraan lain





2011/01/01

BUENOS AIRES: Bekas diktator Argentina, Jorge Videla, yang sudah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah negara itu dijangka berdepan dengan dua lagi perbicaraan tahun depan atas tuduhan mencabuli hak kemanusiaan. 

Sebelum itu, hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan selepas Videla didapati bersalah mengenakan hukuman mati ke atas ahli parti pembangkang.
Videla yang meneraju junta tentera antara 1976 hingga 1981 berdepan dengan dakwaan kes membabitkan 33 bayi yang diambil daripada tahanan politik diserahkan kepada keluarga yang rapat dengan rejim terbabit, menurut pusat maklumat kehakiman. - AFP

20 hilang kapal barang karam di luar kepulauan Marshall





2011/01/01

MAJURO (Kepulauan Marshall): 20 hilang selepas kapal barang yang dinaiki mereka karam kira-kira 130 kilometer dari kepulauan Marshall, ibu kota Majuro, awal pagi tadi. 

Kapal sepanjang 90 kaki yang dikenali Jeljelet Ae itu membawa jentera berat dan bahan binaan, sebelum karam kira-kira 4 pagi tadi (waktu tempatan). - AFP

Teguk arak depan penguat kuasa

SOAL...pegawai Jais menyoal siasat seorang pengunjung Islam dalam serbuan, semalam.

SOAL...pegawai Jais menyoal siasat seorang pengunjung Islam dalam serbuan, semalam.

SUBANG JAYA: Puluhan pengunjung beragama Islam yang leka berpesta ‘ladies night’ sambil meneguk arak di sebuah pusat hiburan terkemuka, di sini, tergamam dan tidak sempat menyembunyikan botol arak apabila diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), awal pagi semalam.
Ketika serbuan, terdapat pengunjung yang seolah-olah tidak peduli kehadiran pihak berkuasa, malah menghabiskan sisa minuman keras di hadapan mereka.

Operasi bersepadu yang bermula kira-kira jam 12 tengah malam itu diketuai Pengarah Penguat Kuasa MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali dan disertai 77 anggota dan pegawai MPSJ, 14 pegawai Jais dan 18 penguat kuasa AADK.

Seramai sembilan lelaki dan dua wanita Islam ditahan kerana minum arak di khalayak ramai manakala 61 pengunjung diberi surat arahan untuk hadir di pejabat Jais bagi sesi kaunseling.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan, berkata operasi bagi membanteras kegiatan pusat hiburan yang melanggar syarat lesen serta menjadi tumpuan pengunjung Islam meneguk arak.

“Dalam operasi ini sebuah pusat hiburan yang diperiksa membenarkan gadis bawah umur untuk memasukinya dan kami akan ambil tindakan kerana melanggar syarat lesen,” katanya ketika ditemui, kelmarin.


Menurutnya, pusat hiburan terbabit diberi amaran supaya tidak membenarkan pengunjung bawah umur berada di situ.

‘Tak sabar nak sekolah’

SEBAK...Norlida yang cedera di kaki hiba terkenang arwah anaknya.
SEBAK...Norlida yang cedera di kaki hiba terkenang arwah anaknya.


JEMPOL: “Dia begitu bersemangat dan beritahu tidak sabar untuk mula bersekolah dan berulang kali mencuba pakaian sekolah baru yang dibeli, selain mengemas beg sekolahnya,” kata Norlida Khalid, 39, mengenai anaknya, Siti Nurzulaihah Mohd Zaidi, 6, yang maut apabila dirempuh dua motosikal dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Bahau-Juasseh di sini, malam kelmarin.
Insiden menyayat hati berkenaan sekali gus memusnahkan impian dan harapan kanak-kanak itu yang sepatutnya dijadualkan mendaftar di sebuah sekolah rendah di daerah ini, semalam.

Menceritakan detik tragis kira-kira jam 11.15 malam itu, Norlida berkata, dia yang menunggang Honda EX5 bersama anaknya itu mahu pulang ke rumah mereka di Kampung Kuala Jempol di sini.

“Kami berdua dan seorang rakan saya yang menunggang motosikal berasingan ketika itu baru selesai menjamu selera di restoran berdekatan untuk memenuhi keinginan Nurzulaihah yang beria-ia mengajak keluar makan bihun sup.

“Sewaktu perjalanan pulang, saya tersentak apabila sebuah motosikal tidak berlampu ditunggang laju dari arah belakang tiba-tiba mencelah di antara motosikal kami hingga berlaku pergeseran dengan motosikal saya.

“Pergeseran itu menyebabkan kami terjatuh di atas jalan dan penglihatan saya turut menjadi kabur. Tidak lama kemudian, rakan memberitahu Nurzulaihah yang ketika itu berdiri untuk mencari saya sambil menangis turut dirempuh sebuah motosikal lain hingga tercampak agak jauh,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Felda Pasoh 1, di sini, semalam. Menurut ibu kepada lima anak itu, dia yang patah kaki kiri menggagahkan diri pergi ke arah anaknya yang terbaring di tengah jalan lalu memangku kepala sambil memanggil namanya, namun tiada sahutan dan tidak menunjukkan sebarang reaksi.

“Pada waktu itu terdetik kuat mengatakan Nurzulaihah sudah meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” katanya yang gagal menahan sebak.

Harian Metro difahamkan kanak-kanak malang itu tercampak hampir 10 meter akibat rempuhan kedua berkenaan dan maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala, badan dan kaki.
Katanya, dia dan lima anaknya menetap sementara di Felda Pasoh 1 untuk menemani serta menjaga ibunya yang kurang sihat selepas kematian bapanya, Khalid Ujang, 70-an, kira-kira tiga minggu lalu.

“Namun semalam (kelmarin), anak saya itu bersungguh-sungguh mengajak saya pulang ke rumah kami kerana tidak mahu terlewat untuk mendaftarkan diri di sekolah pada hari ini (semalam),” katanya.

Menurutnya, pada hari kejadian, anak keempat daripada lima beradik yang lebih banyak tersenyum dilihat turut amat berselera untuk makan berbanding biasa.

“Dia yang agak sukar menghabiskan makanan, makan tiga pinggan nasi sebelum disusuli beberapa keping roti potong. Sebelum kejadian, dia turut memakan bihun sup dan minuman sehingga habis,” katanya.

Katanya, lebih menyedihkan Nurzulaihah sempat memberitahu mahu pergi mengikut arwah datuknya, namun tiada siapa mengambil perhatian apa yang dicakapkannya itu.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Zaidi Mohamad, 39, berkata dia ketika itu tiada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu kren di Kuala lumpur.

“Kejadian ini sememangnya mengejutkan kami sekeluarga, namun saya tetap reda dengan ketentuan Allah swt yang ternyata lebih menyayanginya,” katanya.

Selain Nurzulaihah, pasangan berkenaan mempunyai empat anak lain iaitu Mohd Rafzanani, 16; Mohd Hafizuddin, 14; Nurhidayatul Husna, 11, dan Siti Nurabihah, 2.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasoh 1, petang semalam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan itu membabitkan tiga motosikal lain.

Beckham saman pelacur RM77j

BECKHAM...nafi tiduri.
BECKHAM...nafi tiduri.
IRMA...disaman.
IRMA...disaman.
LOS ANGELES: David Beckham mengambil tindakan memfailkan saman terhadap pelacur, Irma Nici yang mendakwa melakukan hubungan seks bersamanya.
Beckham memfailkan saman AS$25 juta (RM77 juta) terhadap Irma dan penerbit majalah In Touch Weekly yang menerbitkan kisah Irma itu dalam edisi September lalu.

“Saya tidak pernah bertemu Irma, apalagi meniduri atau membayarnya untuk khidmat seks,” ujar Beckham dalam dokumen yang difailkan di Mahkamah Los Angeles, semalam.

Dalam pengakuannya, bintang bola sepak itu mendakwa Irma hanya mereka cerita mengenai pendedahan yang dibuat kepada majalah itu.

Beckham menafikan dia membayar untuk meniduri Irma bersama pelacur lain pada Ogos 2007 dan meniduri Irma sekali lagi di Hotel Claridges di London sebulan selepas itu.

Dia juga menegaskan dakwaan Irma bahawa Beckham melakukan hubungan seks bersamanya sebanyak lima kali sama sekali palsu.


“Kenyataan Irma menyebabkan saya dan keluarga menghadapi tekanan emosi serta menjejaskan kehidupan peribadi dan kerjaya saya,” lapor Beckham dalam dokumen mahkamah.

Beckham bekas pemain bola sepak Manchester United dan Real Madrid kini bermain untuk LA Galaxy, mempunyai tiga anak hasil perkahwinan dengan Victoria, bekas anggota kumpulan Spice Girls. - Agensi
hmetro

Wanita campak anak lepas lahir

KINGSTON: Polis di ibu negara Jamaica berkata, seorang wanita dengan sengaja mencampakkan anak yang baru dilahirkannya menerusi tingkap tingkat dua di hospital tempat dia dirawat.
Jurucakap polis, Yanique Matthews berkata, bayi itu meninggal dunia serta-merta.

Menurut Matthews, pihak hospital masih berusaha mententeramkan wanita berkenaan yang dipercayai meroyan.

Polis bagaimanapun turut menyiasat kemungkinan ada orang ketiga terbabit dalam kejadian berkenaan. — AP

Maizawati patah tangan

IPOH: “Sejurus kemalangan, Maizawati tidak sedarkan diri dan saya bimbangkan keselamatan kandungannya serta anak-anak tiri.
“Pada masa itu, saya berdoa semoga zuriat kami tidak mengalami masalah. Namun, sebaik doktor memaklumkan kandungan itu selamat, saya orang paling gembira,” kata Mohd Yassin Ben@Abdul Rahim, 23, suami Maizawati Zainal, 35, selepas kereta yang dipandu isterinya itu bertembung sebuah kereta lain, Selasa lalu.

Menurutnya, ketiga-tiga anak tirinya ketika itu tidur di tempat duduk belakang dan dia sempat menahan mereka daripada terhentak pada kerusi depan sejurus rempuhan.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi di Jalan Sultan Azlan Shah di sini berdekatan Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah itu, Proton Gen.2 dipandu Maizawati merempuh sebuah kereta lain yang tiba-tiba membuat pusingan U.

Berikutan itu, Maizawati patah tangan kiri dan cedera ringan kedua-dua kaki serta bengkak di kepala manakala suaminya serta tiga anak cedera ringan.

Ketika kejadian, Maizawati, bekas isteri penceramah bebas, Akhil Hayy memandu kereta yang dinaiki bersama Mohd Yassin serta tiga anak, Siti Nur Maisarah, 13, Muhamad Shakir Hidayahtullah, 9 dan Muhamad Syafrin Hidayahtullah, 3.
metro

'Elak hubungan dengan lelaki Arab'





2011/01/01

BAITULMAQDIS: Sekumpulan isteri pendeta Israel menggesa gadis Yahudi tidak menjalin hubungan dengan lelaki Arab, lapor akhbar, kelmarin. 

Kenyataan mereka berikutan peningkatan pengaruh golongan agama mencetuskan kebimbangan akan menyemarakkan perkauman di negara itu.
Sepucuk surat ditandatangani 27 isteri pendeta itu meminta gadis Yahudi tidak keluar dengan orang Arab, atau bekerja di tempat penduduk Arab bekerja.
Surat berkenaan menyatakan: “Ada pekerja Arab menukar nama mereka kepada nama Yahudi, daripada Yussef kepada Yossi dan Abed kepada Ami. Mereka cuba mengambil hati anda dan memberi perhatian yang diingini semua gadis. 

“Mereka tahu melayan wanita, seolah-olah mereka mengambil berat terhadap anda. 

“Namun sikap itu hanya sementara saja. Sebaik saja anda berada ‘di tangan’ mereka, anda tidak akan terima layanan baik dan perhatian yang anda ingini akan berubah menjadi sumpahan, siksaan dan penghinaan.” 

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Ketua Cawangan Pembaharuan Agama Yahudi Israel, Rabbai Gilad Kariv bagaimanapun mengecam surat berkenaan. – Agensi

Puting beliung ragut enam nyawa di AS





2011/01/01

CHICAGO: Puting beliung memusnahkan wilayah Arkansas, Missouri dan Illinois, Amerika Syarikat (AS), dan mengakibatkan sekurang-kurangnua enam terbunuh serta merosakkan sumber tenaga elektrik di kawasan sekitarnya, Jumaat (waktu tempatan). 

Pejabat pengurusan kecemasan wilayah Arkansas dalam satu kenyataan berkata, tiga yang maut dilaporkan dari daerah Washington.
Polis berkata, ia yang memecah Arkansas berlaku kira-kira jam 6 pagi, dan memusnahkan empat daerah lain sehingga menyebabkan lapan tercedera. - AFP

Rumah pelacuran dirompak dua penjenayah



SYDNEY - Dua orang penjenayah merompak sebuah rumah pelacuran yang terletak di Jalan Cosgrove, Strathfield Selatan kira-kira pukul 1.45 pagi waktu tempatan, lapor sebuah akhbar semalam.
Polis memberitahu bahawa perompak itu merampas wang daripada pelayan wanita tetapi salah seorang daripada mereka terlebih dahulu memukul pengurus rumah pelacur yang berusia 51 tahun dengan menggunakan sebatang besi.
Pengurus itu kini berada dalam keadaan stabil.
Penjenayah terbabit yang dikatakan seperti berasal daripada Kepulauan Pasifik dan memakai topeng berwarna biru sempat melarikan diri.
- Agensi

Lori tangki minyak meletup



SEBUAH lori tangki meletup di sebuah lebuh raya di Tintenbar, Australia semalam.


SYDNEY - Lebuh Raya Pasifik di utara negeri New South Wales (NSW), Australia masih ditutup selama beberapa jam semalam selepas sebuah lori tangki minyak terbalik dan meletup, lapor akhbar Daily Telegraph semalam.
Anggota-anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran lori itu yang berisi 40,000 liter petrol di Tintenbar, 10 kilometer dari Ballina pada waktu tengah hari.
"Lebuh raya ini ditutup sehingga semua tumpahan minyak habis terbakar," kata jurucakap bomba NSW, Superintenden Ian Krimmer.
Pemandu lori tangki itu terbunuh dalam kejadian tersebut.
Seorang ahli perniagaan tempatan, Tony Gilding yang memandu sebuah kereta dari arah bertentangan melihat lori minyak itu melanggar bahu jalan dan terbalik.
"Apabila saya memberhentikan kereta dan cuba untuk membantu, ia sudah terlambat kerana lori itu sudah terbakar," katanya.
Sementara itu, pihak berkuasa memberitahu, dua orang yang terperangkap di dalam sebuah kenderaan di tempat kejadian berjaya dikeluarkan.
- Agensi
kosmo

Lelaki mati dalam loji kumbahan




PASUKAN polis forensik memeriksa serpihan tulang dipercayai milik Kuan Mang yang ditemui di dalam loji kumbahan di Taman Pasir Mas, Kajang semalam.


KAJANG – Misteri kehilangan seorang lelaki sejak dua bulan lalu terjawab apabila dia ditemui mati dalam keadaan tragis dengan anggota badannya terpisah antara satu sama lain di loji rawatan kumbahan Taman Pasir Mas, Sungai Chua di sini kelmarin.
Mayat Liew Kuan Mang, 29, dari Taman Berjaya Sungai Chua, Kajang di sini ditemui pada pukul 2.30 petang oleh seorang pekerja syarikat Indah Water Konsortium Sdn. Bhd.
Pekerja tersebut dikatakan menemui anggota badan mangsa dari paras pinggang ke lutut ketika sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di situ. Dia kemudian melaporkannya kepada polis.
Jurucakap polis berkata, ketika ditemui, bahagian tersebut dilengkapi dengan seluar jeans yang mengandungi kad pengenalan mangsa.
“Usaha mencari bahagian anggota badan yang lain sedang dijalankan di loji kumbahan tersebut. Kita sedang menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini masih belum dipastikan sama ada mangsa dibunuh atau sebaliknya,” katanya di sini semalam.