TAMPIN - Bukan saja rumah mereka diceroboh, malah tiga sekeluarga di sebuah rumah dekat Taman Indah, di sini berdepan detik mencemaskan apabila dikurung dalam bilik air oleh sekumpulan penjenayah bertopeng.

Kejadian berlaku kira-kira 7.30 malam, Rabu lalu, apabila empat penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam rumah keluarga berkenaan menerusi pintu hadapan rumah.

Difahamkan, ketika itu, pintu rumah berkenaan tidak berkunci dan ketika kejadian kesemua keluarga berkenaan sedang berehat dalam rumah.

Menurut sumber, ketiga-tiga mereka bersama seorang pembantu rumahnya warga Indonesia diarahkan naik ke tingkat atas rumah sebelum mereka dikurung dalam bilik air rumah berkenaan.

Bagaimanapun, sumber terbabit tidak mendedahkan identiti serta usia mangsa.

“Empat lelaki penjenayah yang tidak dikenali itu menggeledah rumah berkenaan dan sempat melarikan barangan berharga termasuk wang tunai termasuk not kertas mata
wang asing berjumlah kira-kira RM40,000,” katanya.

Lebih malang, katanya, sijil-sjil termasuk ijazah milik anak mangsa yang baru saja tamat pengajian di sebuah pusat pengajian tinggi luar negara turut dibawa lari bersama.

“Selain itu wang tunai, komputer riba, jam tangan dan barangan kemas yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000 turut dibawa lari,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa kemudian berjaya keluar dari ‘kurungan’ kira-kira 20 minit selepas itu dengan membuka sendiri tombol pintu bilik air apabila menyedari penjenayah berkenaan sudah pun melarikan diri.

Katanya, keluarga berkenaan bukan saja kesal kerana kehilangan banyak barang berharga, malah menyebabkan anak mangsa berusia lingkungan 20-an itu mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan memandangkan sijil milik anaknya sudah dibawa lari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian.

Menurutnya, berdasarkan siasa-tan awal, suspek dipercayai berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan boleh menghubungi pihak polis di talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Kooi Cheang turut meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ternampak kenderaan asing atau mencurigakan berlegar-legar di kawasan kediaman mereka supaya insiden seperti ini tidak berulang.