Search This Blog

Wednesday, December 14, 2011

Syarikat setuju beli semula motosikal rosak

SEORANG pemilik kedai menjual motosikal di Kota Tinggi, Johor bersama seorang pesara kerajaan mengejutkan orang ramai di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Johor Bahru apabila mereka sepakat mencapai persetujuan mengenai tuntutan yang dikemukakan oleh wanita tersebut.

Keputusan itu dicapai apabila pemilik Soon Brothers Motor Co. Sdn. Bhd., Soon Kuy Teck, 55, bersetuju membeli semula motosikal yang dijual kepada Habibah Yahya, 57, dengan harga RM1,500 dan melupuskan baki bayaran ansuran selama tiga bulan sebanyak RM375.

Pada prosiding tuntutan berkenaan baru-baru ini, Habibah memohon agar kos membaik pulih motosikal berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut kerana motosikal berkenaan sering rosak sejak April 2009, kira-kira sebulan selepas dia membeli motosikal terpakai itu.

Menurutnya, motosikal terpakai berkenaan dibeli pada 31 Mac 2009 dengan harga RM3,500 dan ia mula bermasalah kira-kira sebulan kemudian apabila enjinnya mati secara tiba-tiba.

''Saya kemudiannya menghantar motosikal itu untuk dibaiki dan saya amat terkejut apabila mekanik yang membaiki motosikal itu memberitahu terdapat masalah yang teruk pada enjin. Kos untuk menukar komponen di dalam enjin berkenaan secara keseluruhan menelan belanja kira-kira RM1,000.

''Akibat sering mendatangkan masalah, kini motosikal itu tidak lagi digunakan kerana ia langsung tidak boleh dihidupkan lagi,'' katanya.

Ketika Presiden TTPM, Faridah Abrahim hendak mengeluarkan award terhadap kes itu, Habibah secara sinis menyatakan kepada Kuy Teck bahawa dia ingin memulangkan motosikal tersebut kerana sudah tawar hati dengan kenderaan itu.

Tanpa disangkanya, permintaan itu disambut baik oleh Kuy Teck yang menawarkan RM1,500 untuk motosikal berkenaan dengan syarat kenderaan itu dihantar semula ke kedainya.

''Saya boleh ambil balik motosikal itu, saya bagi awak RM1,500. Tetapi motosikal itu kena hantar balik ke kedai saya,'' katanya.

Selepas kedua-dua pihak sepakat dengan keputusan berkenaan, Faridah kemudiannya memerintahkan agar motosikal berkenaan dihantar semula kepada Kuy Teck dalam tempoh 14 hari dan kos pengangkutan ditanggung sepenuhnya oleh Habibah.

Selain itu, Faridah turut memerintahkan agar baki ansuran tiga bulan motosikal berkenaan dimansuhkan sepenuhnya.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment