Rumah dirempuh belum dibaiki

TASIK BAKONG – Sudah jatuh ditimpa tangga, begitula kehidupan yang dilalui Roslinani Fauzi, 33, apabila rumah yang dirempuh anaknya, Mohd Azwan Yahya, 15, ketika hendak mengalihkan kereta bapa saudaranya 4 September lalu masih tidak dapat dibaiki kerana kesempitan­ hidup.

Dia yang tidak bekerja hanya bergantung kepada suaminya, Yahya Ishak, 48, yang bekerja sebagai pemandu bas dengan pendapatan tidak menentu bergantung kepada perjalanan pada setiap bulan.

Kebiasaannya suaminya memperoleh pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,000.

Berikutan itu, dia terpaksa menumpang di rumah ibunya yang terletak bersebelahan dengan rumahnya.

Roslinani berkata, kejadian 6 petang itu menyebabkan dinding dapur rumahnya roboh sementara pinggan dan mangkuk banyak yang rosak.

Menurutnya, selepas dirempuh kereta yang dipandu anaknya, dia berusaha untuk mengumpul wang untuk membaiki dapur yang rosak malangnya duit yang diperoleh hanya cukup untuk perbelanjaan harian kerana tujuh anaknya berusia tiga hingga 17 tahun masih dalam tanggungan.

“Selain itu, bahagian rumah yang diperbuat daripada kayu teruk dimakan anai-anai dan menyebabkan kami bimbang untuk mendiaminya kerana khuatir rumah akan roboh.

“Berikutan itu, kami mengambil keputusan tinggal di rumah emak yang terletak bersebelahan rumah saya,” katanya.

Roslinani berkata, selepas kejadian itu, tidak ada mana-mana pihak datang ke rumahnya bertanyakan masalah yang dihadapinya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Penyelaras Dun Gual Periok, Ghazali Ismail dan dia diminta supaya mengisi borang e-Kasih.

“Saya berharap kami sekeluarga akan mendapat bantuan kerana tidak mampu membaiki kediaman yang rosak tambahan tiga anak masih bersekolah,” katanya.

September lalu Sinar Harian menyiarkan kediaman Roslinanni roboh apabila anak keduanya cuba mengalihkan kereta yang terletak di halaman rumah ke garaj terletak hanya­ beberapa meter dari rumahnya.

Bagaimanapun dia gagal mengawal kereta itu menyebabkan dia merempuh dapur rumah dan menyebabkannya kerugian lebih RM5,000.