Search This Blog

Sunday, December 18, 2011

Remaja lemas mandi laut


Laporan dan foto TOGI MARZUKI
metrojb@yahoo.com
         
PONTIAN: Luluh hati sepasang suami isteri berasal dari Jalan Jaafar, Benut, di sini, apabila menerima panggilan telefon memaklumkan anak kedua mereka ditemui lemas di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 6.40 petang, Muhammad Shahril Abdulah, 18, yang juga anak kedua daripada tiga beradik, dikatakan hilang di laut ketika mandi bersama empat rakan sebaya di pantai berkenaan.


Mayat mangsa yang juga pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut, ditemui jam 9.30 malam, Khamis lalu oleh anggota unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Bapanya, Abdullah Yusof, 42, berkata, pada hari kejadian, Shahril meminta dia menjaga pelbagai pakaian seragam miliknya sebaik mungkin.


“Shahril bercita-cita menjadi anggota polis dan sejak kecil dia gemar meminta dibelikan pakaian seragam, sama ada polis atau tentera.


“Pada pagi kejadian, dia meminta saya menjaga semua pakaian seragamnya sebelum bertolak ke Kota Tinggi. Tak sangka ia petanda Shahril akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.


Abdullah yang bekerja di kilang perabot di pekan Benut berkata, walaupun sedih, keluarganya reda dengan kejadian itu.


Jenazah Shahril dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Abd Rahman, Benut, jam 11.30 pagi kelmarin.


Pada masa sama, berdasarkan rekod keterangan diberikan rakan mangsa dikenali sebagai Diniejafni Syahmi Jamaludin, 18, di Balai Polis Tanjung Penawar, Kota Tinggi, dua rakannya termasuk Shahril dihanyutkan ke arah batu berhampiran.


Katanya, seorang daripadanya berjaya berpaut manakala Shahril hilang daripada pandangan.


Mereka semua tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kerana ketika itu air pasang manakala laut pula bergelora diikuti angin kencang.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi, mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes terbabit.
-HMETRO

No comments:

Post a Comment