GRO

GEORGETOWN - Walaupun diserbu pihak berkuasa 10 kali sepanjang tahun ini, sebuah pusat hiburan di Jalan Seng Teik dekat sini, masih degil dan giat menjalankan kegiatan tidak bermoral mereka, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, serbuan yang dinamakan Ops Noda itu dilakukan berdasarkan risikan yang dilakukan sebelum ini.
“Sepasukan anggota dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) Pulau Pinang yang diketuai Asisten Superintendan Fauzi Mohd Yusof kira-kira jam 8.30 malam itu berjaya menahan 17 wanita yang dipercayai bekerja sebagai pelayan perhubungan pelanggan (GRO).
“Semua wanita itu warganegara China dan kita juga menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai penjaga premis terbabit,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua wanita terbabit menyalahgunakan pas lawatan dan mereka ditahan reman serta siasatan masih dijalankan.
“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 terhadap penjaga premis itu kerana menggaji dan memberi perlindungan kepada pekerja warga asing manakala kesemua 17 wanita itu disiasat di bawah Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan, yang jika disabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.