Search This Blog

Saturday, December 31, 2011

Polis tembak mati pengedar dadah, temui revolver



PULAU PINANG 30 Dis. - Seorang pengedar dadah yang dikehendaki polis mati selepas berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis di Sungai Lokan dekat Mak Mandin, Butterworth malam tadi.
Lelaki berusia 36 tahun itu yang berasal dari Blok Pangsa Widuri, Butterworth mati di tempat kejadian akibat terkena tembakan dalam kejadian pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis yang sedang membuat rondaan mengekori kereta jenis Toyota Vios setelah ia didapati dalam keadaan mencurigakan.
"Sebaik sahaja menyedari dia diekori, suspek cuba memecut untuk melarikan diri menyebabkan polis terpaksa mengejar kenderaan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Katanya, sebaik sahaja polis memintas kereta itu di sebatang jalan mati di Sungai Lokan, suspek tiba-tiba keluar dari kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
Beliau berkata, polis terpaksa membalas tembakan itu yang kemudian mengenai suspek, menyebabkan dia mati di tempat kejadian.
"Polis kemudian menemui sepucuk revolver .38 Smith & Wesson dan sekotak peluru serta dua ketul dadah jenis ganja seberat 1.2 kilogram dalam kereta dinaiki lelaki itu," katanya.
Katanya, polis turut menemui topeng muka, sarung tangan, sebatang rotan dan sebuah komputer riba, dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.
"Siasatan juga mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan senjata api dan dadah yang kedua-duanya masih dalam perbicaraan," katanya.
Dalam satu lagi kes, kata Ayub, polis menahan seorang lelaki dan merampas dua pucuk pistol bersama 80 butir peluru dalam sebuah kereta yang dipandunya di Nibong Tebal malam tadi.
Beliau berkata, lelaki yang memiliki rekod jenayah dan positif dadah itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206).
-utusan

No comments:

Post a Comment