Search This Blog

Wednesday, December 14, 2011

Polis selamatkan enam wanita Filipina


KUALA LUMPUR 13 Dis. - Seramai enam wanita warga Filipina bukan sahaja ditipu agensi pekerjaan malah mereka turut dipaksa bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) yang menawarkan khidmat seks.

Bukan setakat itu, kesemua mangsa yang berusia antara 22 hingga 37 tahun tidak dibayar gaji hampir tiga bulan selain dikurung di dalam sebuah bilik.
Kesemua mereka dipercayai memulakan sisi gelap pekerjaan itu bermula pukul 9.45 malam hingga seawal subuh di sebuah kelab malam di Miri, Sarawak.
'Gadis Mabuhay' itu tidak dapat meloloskan diri atau membantah segala arahan yang diberikan kerana bimbang dicederakan oleh pekerja-pekerja sindiket.
Walaupun ada di antara mereka cuba meloloskan diri dan keluar bersiar-siar tanpa pengetahuan majikan, namun sebaik sahaja diketahui, mereka pasti akan dipukul.
Bagaimanapun, mimpi ngeri yang mereka alami itu berakhir apabila salah seorang daripada mangsa berjaya meloloskan diri dan membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri baru-baru ini.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, sebaik menerima laporan, pihaknya membuat serbuan di sebuah kelab malam di Miri dan berjaya menyelamatkan enam wanita warga Filipina yang dipercayai bekerja di kelab berkenaan pada Sabtu lalu.
Katanya, siasatan mendapati, rata-rata mereka dipercayai ditipu agensi pekerjaan yang menawarkan pekerjaan di negara ini.
Beliau berkata, kesemua 'gadis Mahubay' itu dikurung dan tidak dibenarkan bergerak bebas mahupun bersiar-siar.
Tambahnya, kesemua dokumen perjalanan mereka juga berada dalam simpanan majikan dan siasatan mengenai dokumen perjalanan kesemua mangsa masih dilakukan.
"Kita percaya kesemua merekadiarahkan menjadi pelayan seks atau GRO kepada pelanggan-pelanggan yang mengunjungi kelab tersebut.
"Makanan turut diberikan ala kadar dan apabila mereka bertanyakan berkenaan gaji kepada penjaga dipercayai ibu ayam, mangsa pasti akan ditengking serta dipukul," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini, hari ini.
Jelas Abdul Jalil, kesemua mereka kini ditempatkan di Pusat Kebajikan Jabatan Kebajikan Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam pada itu, Abdul Jalil memberitahu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 33 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ibu ayam kesemua gadis terbabit.
Tambahnya, berdasarkan penangkapan seorang wanita tempatan itu, pihaknya yakin dapat mengesan dalang utama sindiket itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13, Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

No comments:

Post a Comment