Search This Blog

Wednesday, December 28, 2011

Polis kesan lelaki dipercayai teman lelaki Rozana

SHAH ALAM - Polis sedang menjejaki seorang individu dipercayai teman lelaki kepada kerani bank, Rozana Mohd Yusak, 35, yang mati ditikam 15 kali di sebuah rumah kedai, di Jalan Puncak Desa, Kepong, Gombak pada 22 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya memperoleh petunjuk baru dan sudah mengenal pasti seorang lelaki dipercayai ada kaitan dengan kes tersebut.

“Kita sedang mengesan lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Selain itu, kita juga sudah mengambil keterangan beberapa rakan mangsa termasuk ahli keluarganya bagi mengumpul maklumat berhubung kes,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor, semalam.

Tun Hisan berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan terlalu banyak maklumat kerana bimbang mengganggu siasatan.

Dalam kejadian 22 Disember lalu, Rozana ditemui oleh orang awam dalam keadaan nyawa-nyawa ikan serta berlumuran darah dalam premis sewanya, sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun mangsa yang masih bujang itu, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dan bedah siasat menunjukkan terdapat 15 kesan tikaman di belakang badan mangsa serta kesan kecederaan di beberapa bahagian anggota badan lain seperti siku, lengan, peha, tepi rusuk kanan dan jari.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tun Hisan mengesahkan jantina pemilik rangka serta tengkorak manusia yang ditemui di tapak projek membaik pulih cerun runtuh di Kilometer 4.28, Jalan Ampang ke Hulu Langat pada 19 Disember lalu adalah lelaki.

“Identiti mangsa kita belum tahu tapi jantina serta umur sudah dikenal pasti berdasarkan bentuk tubuh serta giginya.

“Mangsa juga merupakan penghidap penyakit ‘down syndrome’ dan berusia 20-an. Siasatan menunjukkan dia mati dibunuh lebih dua minggu ketika mayatnya ditemui,” katanya.

No comments:

Post a Comment