Pengawal curi kabel

TELUK INTAN - Harapkan pagar, pagar makan padi. Itu perumpamaan yang tepat buat seorang pengawal keselamatan di sebuah Klinik Kesihatan Teluk Intan, di sini, apabila mencuri kabel penebat kilat di tempat kerjanya sendiri.

Namun perbuatannya memakan diri sendiri apabila seorang pekerja klinik itu yang berada di kuarters terlihat suspek sedang memotong kabel penebat kilat di bahagian belakang pusat kesihatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, lelaki berusia 31 tahun itu baru dua bulan bekerja di klinik terbabit dan telah membuat perbuatan mencuri di antara jam 8 hingga 10 malam, Sabtu lalu.

Menurutnya, saksi yang melihat kejadian memberitahu polis, dia terlihat suspek membawa sebuah tangga dan sebilah gergaji kecil sebelum menuju ke bahagian belakang klinik.

“Curiga dengan perbuatan suspek, saksi terus memerhati tindakan pengawal keselamatan ini.

“Saksi yang juga pekerja Klinik Kesihatan Teluk Intan mendapati suspek memotong wayar penebat kilat dengan peralatannya yang dibawa,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Hilir Perak, di sini, semalam.

Menurutnya, secara kebetulan setelah siap memotong kabel penebat itu, suspek ternampak saksi di kuarters klinik dan merayu saksi supaya tidak menghubungi polis.

“Tidak mengendahkan rayuan suspek, saksi terus menghubungi polis bagi melaporkan kejadian tersebut.

“Kerana bimbang dicekup polis, pengawal keselamatan itu bersembunyi di dalam sebuah bilik suis utama penghawa dingin di tempatnya bekerja sebelum ditahan anggota saya, Sabtu lalu,” katanya.

Kok Liang berkata, pengawal keselamatan itu dibawa ke IPD untuk tindakan selanjutnya dan pihaknya juga menjalankan ujian air kencing terhadap suspek dan didapati ia positif dadah.

Katanya, barang-barang bukti termasuk wayar kabel penebat kilat yang dipotong oleh suspek sepanjang 1.83 meter itu bernilai sekitar RM200 mengikut harga pasaran semasa.

“Kini, lelaki itu ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes di siasatan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan,” katanya.