Search This Blog

Saturday, December 10, 2011

Pemandu, kelindan nyaris maut lori tangki terbakar

Utusan Malaysia Online - Selatan:


JELEBU 9 Dis. - Seorang pemandu dan kelindan nyaris maut selepas lori tangki membawa muatan minyak diesel dipandunya terbabas sebelum terbakar di Kilometer 17 Kampung Ulu Klawang, Kuala Klawang dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.15 pagi itu, Suhaimi Salim, 35, yang menetap di Taman Uda Jaya, Ampang, Selangor cedera di kaki kiri dan menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dekat sini.
Kelindan lori berkenaan, Ahmad Shahdydy Adnan, 29, yang beralamat di Bukit Pelandok, Port Dickson dekat sini, pula melecur di tangan kanan serta pinggang dan kini dirawat di Hospital Jelebu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Stapa Yusof memberitahu, lori tangki berkenaan yang dipercayai dari Port Dickson dalam perjalanan menuju ke sebuah stesen minyak di Kuala Klawang.
"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri lalu terbalik di bawah tebing dan terbakar.
"Sebuah kereta Proton Saga yang secara kebetulan diletakkan di lokasi kejadian turut hangus terbakar akibat rempuhan lori berkenaan.
"Pemandu dan kelindan berkenaan namun sempat menyelamatkan diri dengan bertindak terjun dari lori apabila api marak," katanya di sini, hari ini.
Jelas Stapa, kedua-dua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan pihak polis masih lagi menyiasat mengenai punca kejadian berkenaan.

No comments:

Post a Comment