KUALA NERANG - Cubaan seorang wanita Thailand untuk menyeludup keluar 580 liter minyak diesel dengan menggunakan sebuah kereta gagal setelah ditumpaskan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Gubir
pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, ASP Chang Kut Choy berkata wanita berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi di Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Durian Burung, Padang Terap dekat sini untuk pemeriksaan.

Katanya ketika ditahan wanita terbabit cuba melarikan diri namun gagal setelah ditahan semula oleh pihak tentera yang bertugas.

Katanya pihak tentera telah melakukan intipan selama beberapa hari terhadap wanita itu yang setiap hari keluar masuk ke negara ini dengan menggunakan kereta yang sama.

Difahamkan wanita itu terbabit dengan satu sindiket yang sebelum ini menggunakan kenderaan jenis pikap untuk menyeludup minyak diesel tetapi mereka menggunakan kereta bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Tinjauan mendapati dalam kereta terbabit diletakkan tangki tambahan pada tempat duduk belakang dan di bahagian but belakang dalam keadaan terbuka.

Kes tersebut diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.