Search This Blog

Tuesday, December 27, 2011

Mayat ditemui tersorok celah pokok pembahagi jalan


KUALA LUMPUR 26 Dis. - Orang ramai yang melalui Jalan Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki yang terbaring di celahan pokok hiasan di atas pembahagi jalan di kawasan itu hari ini.

Mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui pukul 9.55 pagi ini dan agak tersorok daripada pandangan orang ramai walaupun kedudukan pembahagi jalan itu hanya kira-kira 50 meter dari Flat Pandan Indah.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Md. Nazri Zawawi, identiti lelaki itu belum dikenal pasti kerana tiada pengenalan diri ditemui.

Bagaimanapun, katanya, terdapat kesan kecederaan di beberapa bahagian badan iaitu di kaki dan dahi mangsa, malah paha kanan lelaki itu juga patah.

"Selain itu, belakang mangsa juga mempunyai kesan seretan kereta dan beberapa luka lain.

"Kita juga sedang mengesan sama ada mangsa telah dilanggar lari atau mayatnya dicampak di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, siasatan awal mendapati lelaki itu disahkan warga tempatan berdasarkan suntikan BCG di lengan mangsa.

"Mayat itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat dan keputusannya akan diketahui esok," jelasnya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment