Search This Blog

Tuesday, December 27, 2011

Lemas dibawa arus deras

PEKAN: Keghairahan empat sekeluarga menjaring ikan pada musim ombak besar ketika ini di Pantai Air Leleh, Kampung Serandu, dekat sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas dibawa arus deras, kelmarin.

Mangsa, Zairolazri Zainuddin, 23, yang tidak pandai berenang bersama abang ipar dan dua anak saudaranya turun ke laut jam 2 petang sebelum tenggelam selepas lebih sejam menangkap ikan. Abang ipar mangsa, Mohd Rawi Madali, 46, berkata, dia tidak menyedari bila mangsa turun ke laut sebelum dibawa arus deras kerana sebelum kejadian, dia berada di darat memegang tali jaring. Menurutnya, ketika kejadian ombak agak besar dan mereka melepaskan jaring ke laut sejauh 50 meter dari persisiran pantai sebelum menariknya semula.


“Sebelum kejadian, saya beberapa kali mengingatkan arwah jangan turun ke laut kerana saya tahu dia tidak pandai berenang selain ombak besar ketika itu.

“Namun mungkin disebabkan terlalu ghairah menarik jaring, arwah secara tidak sengaja turun ke laut sebelum dipukul ombak dan tenggelam dibawa arus deras,” katanya yang tinggal di Kuala Pahang.


Mohd Rawi berkata, dia cuba membantu mangsa yang tenggelam dan hampir lemas apabila dipukul ombak besar sebelum berenang ke pantai dan pengsan.


Katanya, tindakan pantas mengarahkan dua anaknya, Mohd Hafiz, 20, dan Mohd Shafiq, 16, melepaskan tali jaring yang dipegang menyelamatkan mereka daripada lemas.

“Saya tidak menyangka keinginan arwah mengikut kami selepas beberapa jam singgah di rumah saya bersama isterinya, Norfarawahida Mohd Madali, 22, berakhir tragedi yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila.


Sementara itu, adik mangsa, Zairid Azmir Zainuddin, 21, berkata, abangnya tidak pandai berenang dan tidak menyangka dia mengikut keluarga iparnya ke laut menjaring ikan.

“Saya pelik kerana sebelum kejadian, abang tidak singgah di rumah kami di Felda Chini Timur 1 ketika pulang mengambil isterinya di Felda Chini 2, sebaliknya terus ke rumah iparnya di Kuala Pahang.


“Selalunya arwah menghubungi kami sekeluarga dan singgah ke rumah jika pulang bercuti kerana dia kini bekerja di kilang elektronik di Muar, Johor sejak lebih setahun lalu,” katanya.


Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Amran Sidek berkata, gerakan mencari mangsa disertai 95 unit skuba bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Rela, Majlis Daerah Pekan, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung serta penduduk setempat.


“Kami mendapat bantuan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan mayat mangsa ditemui penduduk kampung yang sama-sama menyertai gerakan mencari jam 1 pagi, semalam.


“Saya menasihatkan pihak yang bercadang melakukan aktiviti di laut menangguhkan rancangan itu berikutan ombak besar dan angin kencang,” katanya.

myMetro | Lemas dibawa arus deras:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment