KUCHING - Industri pembalakan di Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi dalam kemalangan perindustrian iaitu 5,351 kes pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri, Dasuki Mohd Heak berkata, industri itu mencatatkan peratus tertinggi bagi 1,000 pekerja sungguhpun jumlah kes paling tinggi dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah industri pembuatan.

“Beberapa kes masih disiasat oleh DOSH kerana kesukaran menghampiri kawasan tempat kerja dalam industri pembalakan,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Borneo mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kedua oleh pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye di sini, semalam.

Daripada jumlah kes itu, beliau berkata, Sibu mencatatkan jumlah kemalangan perindustrian paling tinggi 1,424 kes diikuti Kuching, 1,368 pada tahun lalu.

“Setakat ini 20 kes dibawa ke mahkamah dan dikenakan kompaun berjumlah RM89,000. Bagi jumlah kes di seluruh negara pada tahun lalu, industri pembuatan mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 17,573 diikuti perkhidmatan (11,270), perdagangan (9,437) dan pembinaan (4,667) tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Lam Thye pula berkata, statistik Kementerian Sumber Manusia menunjukkan pengurangan yang banyak dalam kemalangan perindustrian lebih 52.7 peratus dalam tempoh 10 tahun, iaitu 75,386 pada 2000 menurun 35,616 pada tahun lepas, terutamanya selepas Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan diperkenalkan pada 1994.

“Sungguhpun ada penurunan dalam purata jumlah kemalangan perindustrian dari lapan bagi 1,000 pekerja pada 2000 kepada 4.8 bagi 1,000 pekerja tahun lepas, kita mestilah mencapai tanda aras negara maju yang hanya satu atau dua kemalangan bagi 1,000 pekerja,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia mestilah terus mengadakan pendekatan strategi baru bagi memenuhi cabaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Menurutnya, tahun lalu sahaja, kemalangan dilaporkan 22,040 sementara 35,603 kemalangan perindustrian dilaporkan kepada Perkeso, yang membayar RM1,678,160,051 kepada 351,433 penerima di seluruh negara.