Search This Blog

Loading...

Saturday, December 31, 2011

Gempar 9 kepala babi di masjid



JOHOR BAHRU 30 Dis. - Jemaah Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya di sini gempar dengan penemuan sembilan kepala babi yang diletakkan di dua lokasi di masjid itu dalam tempoh 48 jam.
Pengerusinya, Kassim Darim, 62, berkata, dalam kejadian pertama kira-kira pukul 5 petang semalam, empat kepala babi ditemui di pagar belakang masjid itu oleh penduduk yang melalui kawasan tersebut.
Beliau berkata, dalam kejadian kedua kira-kira pukul 5 pagi tadi, lima lagi kepala haiwan berkenaan ditemui di pekarangan luar pintu masuk masjid oleh jemaah yang ingin menunaikan solat subuh.
"Kesemua kepala babi itu dibungkus dalam beg plastik disedari oleh jemaah yang curiga dengan bau busuk bungkusan tersebut.
"Ini merupakan kejadian pertama berlaku di masjid ini. Setakat ini, kami tidak tahu motif perbuatan ini dan pihak yang bertanggungjawab melakukannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Berikutan itu, menurut Kassim, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Desa Cemerlang.
"Tindakan ini amat menyinggung perasaan umat Islam dan menyentuh sensitiviti agama. Saya sangat dukacita dengan kejadian seumpama ini," ujarnya.
Susulan kejadian itu, satu perhimpunan secara aman diadakan di pekarangan masjid berkenaan selepas solat Jumaat melibatkan kira-kira 100 orang termasuk badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), Majlis Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor (Gabung), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan Islamiah dan Dakwah (Pekida).
Sementara itu, Presiden PPPMM, Abdul Rahman Mahadi berkata, tindakan biadab dan kurang ajar itu menunjukkan masih ada segelintir pihak yang tidak sensitif terhadap masyarakat majmuk selepas beberapa siri perlakuan serupa di seluruh negara sebelum ini.
"Perbuatan ini mencabar kesucian Islam dan tidak boleh dipandang ringan pihak berkuasa. Kita minta Kementerian Dalam Negeri ambil tindakan supaya perbuatan menghina agama Islam ini tidak berterusan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat perkara tersebut secara menyeluruh.
"Pasukan khas sudahpun ditubuhkan dan kita akan cari mereka yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut sampai dapat. Semua pihak diharap bersabar dan jangan membuat andaian dan spekulasi serta bertindak di luar batas undang-undang," ujarnya.
Dalam Pada itu, Ahli Parlimen Tebrau, Teng Boon Soon menyifatkan perbuatan meletakkan sembilan kepala babi di masjid berkenaan sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu menimbulkan sensitiviti agama dan perkauman.
Beliau berkata, kepimpinan tertinggi masyarakat dan agama di negeri ini sepakat mengecam tindakan tersebut yang tidak dapat diterima langsung.
"Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff juga sudah mengambil perhatian dan akan mengambil tindakan sewajarnya. Kita juga akan mengatur pertemuan untuk mendapatkan penjelasan sebenar," katanya pada sesi pertemuan dengan media dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment