Search This Blog

Wednesday, November 30, 2011

Tujuh sekeluarga nyaris lemas


SUNGAI SIPUT 29 Nov. – Tujuh sekeluarga termasuk dua warga emas melalui detik-detik mencemaskan apabila rumah mereka dilanda banjir sehingga paras dada di Felda Lasah di sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam ketika keluarga itu baru hendak tidur sebelum bekalan elektrik tiba-tiba terpadam.

Pemilik rumah itu, Hazri Said, 77, berkata, sebaik sahaja membuka pintu rumah untuk meninjau punca bekalan elektrik terputus, air tiba-tiba menderu-deru masuk ke dalam rumah sehingga mencapai paras dada.

“Dalam keadaan kelam kabut, saya segera membantu isteri saya, Raayah Pandak Bidin, 77, kerana dia kurang sihat, manakala anak saya, Ahmad Fadzil, 50, dan menantu, Rohana Abdul Rahman, 41, berusaha menyelamatkan tiga anak mereka yang masih kecil.

“Selepas sejam, anggota bomba datang membantu mengeluarkan anak, menantu serta tiga cucu saya menggunakan tali. Saya dan isteri pula naik perahu milik jiran yang dipinjam oleh bomba,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hazri berkata, kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk pernah menimpa rumahnya yang terletak di kawasan rendah.

Katanya, hanya dua buah rumah di situ termasuk rumahnya yang dinaiki air dalam kejadian malam tadi.

“Habis semua perabot dan barangan elektrik di dalam rumah rosak. Saya anggarkan kerugian lebih RM20,000,” katanya.

Sementara itu, Rohana memberitahu, dia sekeluarga tinggal di Kuala Kangsar tetapi pulang ke kampung untuk melawat ibu bapa mertuanya semalam.

“Selepas menghantar emak ke klinik semalam, kami bermalam di sini tetapi tidak sangka pula jadi begini,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment