Search This Blog

Wednesday, November 23, 2011

Tak selalu jumpa ayah

KUALA LUMPUR: “Kesibukan kerja menghalang saya berjumpa ayah buat kali terakhir sejak beberapa hari lalu dan berita kemalangan awal pagi tadi (semalam) sangat mengejutkan saya,” kata Syazli Md Nor, 27, anak kepada Allahyarham Sarjan Md Nor Shukor, 57, yang maut dalam kemalangan langgar lari, pagi semalam.

Dalam kejadian langgar lari jam 6.40 pagi itu, mangsa menunggang motosikal bersendirian dipercayai dilanggar di persimpangan Jalan Syed Putra berhampiran pusat beli-belah Mid Valley, ketika dalam perjalanan untuk ke tempat kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.


Menurut Syazli, walaupun tinggal serumah bersama arwah ayah, kesibukan tugas masing-masing menyebabkan mereka jarang berjumpa.

“Antara pesanan terakhir yang saya masih ingat ketika berbual dengannya beberapa hari lalu ialah supaya menjaga emak serta keluarga jika apa-apa terjadi kepadanya satu masa nanti.


“Arwah ayah turut mengingatkan saya supaya sentiasa berwaspada berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan membabitkan apa saja perkara sama ada penting atau tidak,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamiul Ehsa, di sini.


Isteri Allahyarham, Noriyati Yaakob, 54, ketika ditemui berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang sikap aneh sebelum kejadian malah mereka berbual seperti biasa malam sebelum kejadian (kelmarin). “Saya tak sangka suami meninggalkan kami begitu cepat namun kami sekeluarga reda kerana Tuhan lebih menyayanginya.

“Jenazah arwah yang sudah disembahyangkan di Masjid Jamiul Ehsa, di sini akan dikebumikan di kampung saya di Batu 10, Labu, Negeri Sembilan lewat petang ini (semalam),” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, mengesahkan kematian mangsa akibat kejadian langgar lari dan meminta saksi kemalangan itu supaya tampil memberi maklumat kepada polis.

“Kami akan cuba meneliti kamera litar tertutup (cctv) di kawasan berhampiran kemalangan untuk mengesan kenderaan yang melanggar mangsa.


“Saya bagi pihak polis Kuala Lumpur mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan turut bersedih dengan pemergian arwah,” katanya di sini, semalam.

myMetro | Tak selalu jumpa ayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment