Search This Blog

Sunday, November 13, 2011

Syarikat edar DVD filem animasi cetak rompak didenda RM2.39j


KUALA LUMPUR 12 Nov. - Sebuah syarikat swasta di Pandan Perdana, Ampang dekat sini didenda RM2.39 juta iaitu tertinggi pernah direkodkan sepanjang tahun ini, setelah disabitkan bersalah atas tuduhan mengeluar dan mengedar 1,195 unit cakera digital video (DVD) pelbagai filem animasi Jepun tanpa kebenaran sah semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen (Bahagian Harta Intelek) di sini, Hasbi Hassan mengenakan denda RM2,000 bagi setiap salinan langgaran yang dimiliki syarikat terbabit yang berjumlah RM2.39 juta.

Syarikat berkenaan disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 41(1)(i) akta yang sama.

Ia memperuntukkan denda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap salinan langgaran yang dimiliki atau penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan berkata, syarikat itu didakwa 24 Mac 2008 atas tuduhan memiliki 1,195 unit salinan langgaran dalam bentuk DVD bernilai RM120,000.

Beliau berkata, semua DVD cetak rompak itu ditemui semasa serbuan dijalankan oleh pegawai penguat kuasa KPDNKK setelah menerima aduan daripada syarikat pengedar sah yang tidak pernah memberi hak pengedaran kepada syarikat terbabit untuk memasarkan filem-filem animasi tersebut ke pasaran.

"Selepas setahun perbicaraan terhadap kes itu dijalankan, semalam, Hakim Mahkamah Sesyen (bahagian Harta Intelek) menjatuhkan denda RM2.39 juta terhadap syarikat berkenaan.

"Hukuman berat dikenakan itu adalah sejajar dengan matlamat KPDNKK Wilayah Persekutuan dalam memerangi kegiatan pengilangan atau penjualan DVD cetak rompak di pasaran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi menjejaki sindiket atau syarikat swasta berlesen yang mengeluarkan DVD cetak rompak akan terus dipergiatkan bagi memastikan masalah itu dapat dibendung pada masa hadapan.Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment