Search This Blog

Wednesday, November 23, 2011

RM21.16 juta barang tiruan, cetak rompak dirampas



ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan hadiah kepada johan Pertandingan Kreatif Lukisan Cat Air GGCR 2011, Azimuddin Abd. Manaf pada majlis penutup program Rakan Gerak Gempur Cetak Rompak di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya, semalam.


CYBERJAYA 22 Nov. - Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 647 kes disiasat berhubung kesalahan cetak rompak dan barang-barang tiruan dengan nilai rampasan berjumlah RM21.16 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 490 melibatkan kes cetak rompak (RM10.13 juta) dan 157 kes lagi melibatkan barangan tiruan dengan rampasan RM11.13 juta.

Beliau berkata, statistik menunjukkan terdapat penurunan kes berbanding tahun lalu iaitu 3,571 kes cetak rompak dan barang-barang tiruan dengan nilai rampasan RM48.8 juta.

"Penurunan siasatan kedua-dua kes disebabkan keberkesanan hasil operasi yang dijalankan bahagian penguat kuasa dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

"Pelbagai kempen yang dianjurkan oleh kementerian juga telah menampakkan hasil dalam menyedarkan masyarakat agar memilih barangan yang tulen untuk kegunaan seharian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri menutup Program Gerak Gempur Cetak Rompak peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) di Universiti Limkokwing.

Program Rakan Gerak Gempur Cetak Rompak peringkat IPT bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran di kalangan pelajar agar lebih peka terhadap tanggungjawab sosial setiap individu dalam membanteras kegiatan cetak rompak dan penjualan barangan tiruan daripada terus berleluasa.

Menurut Ismail Sabri, kejayaan mengekang kegiatan cetak rompak dan barangan tiruan itu juga hasil serbuan dan pengawasan ketat yang dilakukan di 100 buah kawasan panas yang telah dikenal pasti menjadi pusat operasi cetak rompak dan barangan tiruan.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment