Search This Blog

Loading...

Monday, November 28, 2011

Rebah ditembak di pekan Danok

ALOR SETAR: Seorang lelaki rakyat Malaysia nyaris maut selepas ditembak ketika meletakkan keretanya berhampiran dengan sebuah pusat karaoke di pekan pekan Danok, Thailand.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi Jumaat lalu itu dan mangsa dikenali sebagai Iskandar Abd Hamid, 52, berasal dari Perlis.


Menurutnya, mangsa dihantar ke hospital kerajaan di Haytai oleh rakannya yang turut berada di tempat kejadian dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Mangsa ditembak di bahagian bahu oleh suspek yang tidak dikenali. Mangsa tidak tahu sama ada suspek menaiki kenderaan atau tidak kerana kejadian itu berlaku terlalu pantas.


“Ketika kejadian itu, mangsa bersama dua rakannya hendak meletakkan keretanya berhampiran dengan pusat karaoke di pekan ini. Apabila mangsa dan rakannya keluar dari kereta, dia terus ditembak secara tiba-tiba menyebabkan mangsa rebah,” katanya, semalam.


Beliau berkata, laporan polis sudah dibuat mengenai kejadian itu di Balai Polis Danok dan kes berkenaan sedang disiasat.

“Keadaan mangsa kini stabil dan sudah menjalani pembedahan di hospital berkenaan sejurus selepas dimasukkan ke hospital.


“Mangsa boleh bercakap tetapi masih lemah. Doktor menasihatkan mangsa supaya mendapatkan rawatan di hospital berkenaan dua atau tiga hari lagi sehingga keadaannya sembuh.

“Pejabat konsulat juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa di Perlis,” katanya.


Mohd Aini berkata, kawan-kawan mangsa yang berada di situ juga tidak mengetahui suspek yang menembak mangsa kerana kejadian terlalu pantas.


“Kes ini sudah diserahkan Polis Danok dan mereka sedang menyiasat punca kejadian,” katanya.


Pada 30 Oktober lalu, seorang lelaki rakyat Malaysia cedera parah akibat ditikam di dada dan belakang badannya oleh seorang lelaki dipercayai penduduk tempatan di Danok, Thailand, dipercayai angkara cemburu.


Difahamkan, perkenalan mangsa dengan seorang gadis berusia 20-an menimbulkan rasa cemburu kepada suspek yang mendakwa dirinya sebagai teman lelaki wanita berkenaan.


Akibatnya, mangsa dikenali sebagai Mohd Kamal Pram Abdul Ghulam Hazrat, 30, ditikam dua kali selepas berlaku pertengkaran antara mereka dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam.


Mangsa masih ditempatkan di Hospital Nagarind, Hatyai (HNH) kerana keadaannya masih belum pulih.

myMetro | Rebah ditembak di pekan Danok:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment