terbakar

KUALA LUMPUR - Tindakan pantas seorang kanak-kanak memecah tingkap bilik sebelum meminta tolong dalam satu kebakaran­ di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ceri Cempaka, Lembah Pantai, di sini menyelamatkannya daripada menjadi korban kejadian itu.

Nur Alissa Saiful Amir, 10, sedang tidur di ruang tamu terjaga sebaik merasa bahang daripada api yang dipercayai bermula dari bahagian dapur rumahnya, di sini.

Kanak-kanak itu yang pada mulanya terperangkap terus berlari ke bilik utama dan bertindak memecahkan tingkap untuk menjerit meminta tolong.

Jiran berhampiran yang menyedari kejadian itu bergegas ke rumah Nur Alissa dan membawa keluar kanak-kanak berkenaan.

Alissa berkata, dia terkejut dan takut dengan situasi itu kerana asap sudah memenuhi ruang laluan untuk dia keluar.

“Ketika di dalam bilik, saya ambil selimut dan balut badan saya sebelum diselamatkan jiran-jiran yang memecahkan pintu rumah dan membawa saya keluar,” katanya.

Sementara itu, ibu Nur Alissa, Normala Abdul Kayem, 40, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja keluar rumah untuk berniaga.

“Saya keluar dalam jam 7 pagi sebelum suami saya pergi kerja dan menerima panggilan 45 minit kemudian memaklumkan rumah saya terbakar.

“Ketika itu, saya hanya memikirkan anak yang sedang tidur, ketika kejadian, dua lagi anak ada bersama saya, mujur semua selamat,” katanya.

Normala yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, dia kerugian hampir RM25,000 apabila bahagian dapur musnah sama sekali.

“Sebelum ini gerai saya di Bukit Kerinchi pernah terbakar, sekarang ini, rumah pula. Saya harap dapat pindah ke unit baru,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Hamid Daud ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.54 pagi.

“Daripada apa yang diberitahu kanak-kanak berkenaan, dia nampak api dari dapur masak, jadi berkemungkinan api dapur gas yang tidak ditutup menjadi punca kebakaran,” katanya.