jual kereta hantu

KUANTAN - Seorang ejen jualan langsung dihukum penjara 26 bulan dan dua sebatan selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas dua tuduhan menipu membabitkan penjualan sebuah kereta mewah jenis Toyota Camry yang didakwa barang rampasan Kastam, April tahun lalu.

Hukuman penjara ke atas, Choo Tuck Fatt, 33 dari Taman Kota Cheras, Batu 9, Selangor itu berjalan dari tarikh dia dituduh 19 November lalu.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara 12 bulan dengan satu sebatan manakala 14 bulan penjara dengan satu sebatan bagi tuduhan kedua bagaimanapun kedua-dua hukuman yang diputuskan Majistret Nurul-naim Abdullah itu berjalan serentak.

Tertuduh yang diwakili peguam, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wahidah Zainal Abidin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 60 tahun sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan sekeping cek berjumlah RM 35,500 sebagai bayaran untuk mendapatkan sebuah kereta jenis Toyota Camry 2.4 yang didakwa barang rampasan Kastam.

Bagaimanapun mangsa terpaksa berputih mata apabila kereta yang dijanjikan tidak wujud dan gagal diserahkan sehingga ke hari ini.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar Jalan Bukit Ubi antara jam 8 pagi hingga 8 malam 21 April tahun lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperdaya mangsa yang sama hingga mendorong lelaki itu menyerahkan cek RM12, 500 sebagai bayaran tambahan untuk tujuan tersebut.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di lokasi sama antara jam 8 pagi hingga 8 malam 24 April tahun lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda.

Syed Azimal dalam mitigasinya merayu supaya tertuduh dikenakan hukuman penjara dan sebatan yang minima memandangkan anak guamnya itu berada dalam tahanan reman sejak dia ditahan pada 19 Oktober tahun lalu.

Menurutnya, selama berada di penjara, tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.

“Tertuduh juga tiada rekod kesalahan lampau dan pengakuan bersalahnya hari ini (semalam) menjimatkan masa dan kos mahkamah,” katanya.

Wahidah bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran kepada tertuduh memandangkan jumlah kerugian yang ditanggung mangsa agak besar.