Search This Blog

Tuesday, November 22, 2011

Nazri minta polis siasat segera kes wanita dibelasah bapa saudara

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, meminta supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung aduan seorang wanita dipukul bapa saudaranya, minggu lalu.

Katanya, beliau sudah mengarahkan setiausahanya untuk berhubung dengan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh, mengenai laporan yang dibuat sebelum ini dan menjalankan siasatan serta-merta.
"Saya amat berdukacita kerana dalam tahun 2011, perkara sebegini boleh berlaku. Ini menunjukkan bahawa lelaki yang buat perkara itu cukup rendah akal budinya.
"Mana boleh kita lakukan perbuatan yang begitu teruk terhadap wanita," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan risalah "Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak" di Stesen KL Sentral di sini, hari ini.

Selain beliau, kempen itu turut disertai lebih 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), pembangkang dan Bebas, yang bersama-sama mengedarkan 200 risalah berkaitan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

Mohamed Nazri juga mengingatkan masyarakat di negara ini supaya lebih bersikap prihatin terhadap gejala keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

"Di Malaysia, kita masih ada pemikiran iaitu 'jangan jaga tepi kain orang' di mana saya rasa ia salah sekiranya melibatkan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Kita perlu jadikan ia masalah kita dan lebih prihatin," katanya.
Sementara itu, wanita berkenaan, Wan Nur Arzrin Abd Rahman, 29, hadir sendiri di majlis ini apabila mengetahuinya melalui akhbar dan sempat bertemu dengan Mohamed Nazri dan menceritakan kejadian yang menimpanya ketika berada di Jakarta, Indonesia.

Dalam kejadian 12 November lalu, beliau mendakwa bapa saudaranya memukul beliau dalam lif selepas berlaku perbalahan kecil ketika mereka sekeluarga selesai menghadiri majlis pertunangan sepupunya di Bogor, Indonesia.

Akibat kejadian itu, beliau mendakwa mengalami cedera teruk dengan lengan kanannya patah dan urat saraf menjadi lemah.

"Saya mungkin perlu masa kira-kira tiga bulan untuk pulih semula. Saya tidak sangka perkara ini boleh berlaku hanya bermula dari perkara kecil dan saya dipukul teruk.

"Apa yang saya kesalkan, masih belum ada tindakan walaupun aduan sudah dibuat di Jakarta dan juga sejurus tiba di KLIA (Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Sepang) pada 13 November.

"Tapi saya berharap selepas jaminan yang dibuat oleh Datuk Seri (Mohamed Nazri) perkara ini akan diberi perhatian," kata Wan Nur Arzrin, seorang peniaga," katanya. - BERNAMA
Berita Harian Online | Nazri minta polis siasat segera kes wanita dibelasah bapa saudara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment