Search This Blog

Friday, November 25, 2011

Lapan Ditahan Kes Larikan Treler


JOHOR BAHARU: Polis menahan lapan orang yang dipercayai terbabit dalam kes melarikan dua treler berisi muatan biji plastik bernilai lebih RM167,000 di Jalan Gunung Pulai, Kulaijaya, dua minggu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata semua suspek termasuk dua wanita yang berumur antara 27 dan 56 tahun itu ditahan di kawasan perindustrian Senai dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

"Polis menjejaki mereka sebaik menerima laporan pada 12.30 malam, 11 November lepas dari seorang lelaki rakyat Indonesia yang menyatakan disamun tiga lelaki di sebuah bengkel.

"Lelaki itu mendakwa telah diikat dan suspek melarikan dua treler berisi muatan biji plastik bernilai RM167,348," katanya kepada pemberita, di sini Jumaat.

Katanya polis juga menemui barangan yang disamun termasuk satu kepala lori, dua treler dan 77 guni berisi biji plastik yang digunakan dalam pembuatan barangan plastik, serta wang tunai RM6,800.

Kesemua mereka yang tidak mempunyai rekod jenayah kini direman sehingga 30 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya menambah polis juga sedang mengesan tiga lagi individu bagi membantu siasatan.

Mereka ialah A.Devendran atau 'Jagen', 27, beralamat di 55, Jalan Nilam 10, Taman Datuk Yahya Saban, Ulu Tiram; Teo Lee Bak yang juga dikenali sebagai 'Uncle' atau 'Allen', 51, beralamat di 81, Jalan Riang 4, Taman Gembira, di sini, dan Pang Young Woei atau 'John' atau 'Awei', 33, beralamat di 10-M Kampung Paya Pulai, Segamat.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata polis menahan empat lelaki Myanmar yang dipercayai terlibat dalam satu kes pembunuhan, susulan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki warga Myanmar dan Nepal, di Taman Senai Baru, Senai, di sini, dua hari lepas.

Katanya pergaduhan itu berlaku kira-kira pukul 11.45 malam dan menyebabkan seorang lelaki warga Myanmar mendapat kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Katanya keempat-empat lelaki berumur 21 dan 30 tahun itu direman sehingga 30 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

mStar Online : Lapan Ditahan Kes Larikan Treler:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment