Jalan Rosak

JOHOR BAHRU - Pen­duduk Kampung Wadihana, di sini, gempar apabila cuti hujung minggu mereka dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat, kira-kira jam 7.15 pagi, semalam.

Kejadian yang berlaku di Jalan Mohamad Taib itu dipercayai disebabkan tekanan yang tinggi dari saluran paip air di bawah laluan sehingga menyebabkan letupan.

Letupan itu mengakibatkan permukaan jalan merekah dan sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan iaitu kurang satu meter dari kawasan itu berganjak beberapa meter serta mengalami kerosakan kecil.

Seorang penduduk, Syed Najib Syed Yassin, 46, berkata, ketika kejadian, dia bersama keluarganya dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat ketika baru hendak bersarapan.

“Bunyi kuat macam bom! Dentuman itu sekali sahaja dan tiada gegaran atau sebagainya. Sebaik letupan itu, saya meluru keluar dan melihat jalan raya ini sudah pecah.

“Saya rasa ia disebabkan tekanan yang kuat dari bawah jalan ini menyebabkan ia pecah, kerana sejak semalam rumah kami terputus bekalan air,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, sejak jam 3 petang kelmarin, penduduk di situ terputus bekalan air kerana kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan berdekatan kawasan itu.

Sementara itu, pemilik kereta terbabit, Ismail Abdullah, 55, berkata, dia meletakkan keretanya di bahu jalan terbabit sejak ia dibeli setahun lalu.

“Pada mulanya bila mendengar letupan itu, saya sangka pokok tumbang, tetapi apabila keluar rumah, saya dapati jalan yang meletup dan tempiasnya terkena kereta saya,” katanya.

Pemuda Umno kampung terbabit, Abdul Halim Hashim bersyukur kerana tiada kecederaan dilaporkan dan bernasib baik, kejadian berlaku pada hujung minggu.

“Jika hari kebiasaan, lokasi letupan ini menjadi tempat perkumpulan pelajar sekolah menunggu bas.

“Kita harap pihak bertanggungjawab segera mem­perbaiki struktur jalan ini dan memastikan insiden yang sama tidak berulang memandangkan ia laluan alternatif bagi penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAJ, Jamaluddin Jamil mengakui pihaknya melakukan kerja penyelenggaraan di kawasan itu sejak beberapa hari lalu dan letupan yang berlaku berpunca dari penutup paip yang terbuka.

Menurutnya, kejadian berlaku disebabkan angin yang keluar dari penutup berkenaan yang meningkatkan paras tekanan udara sehingga menyebabkan letupan.

“Ini adalah kejadian pertama dan siasatan akan dilakukan, kita berharap penduduk tidak berasa bimbang.