Banjir landa dua kampung

SUNGAI SIPUT (U) – Dalam masa beberapa minit sahaja, dua kampung bersebelahan telah dilanda banjir menyebabkan keseluruhan 21 rumah dinaiki air dalam kejadian yang berlaku di sini, pada malam kelmarin.

Hujan lebat yang turun bermula jam 8 malam telah menyebabkan 17 rumah di Kampung Makmor dan empat rumah lagi di Felda Lasah menerima kesan langsung apabila air banjir naik sehingga melebihi paras satu meter.

Kebanyakan mangsa yang ditemui mengatakan kejadian pada kali ini merupakan kejadian paling buruk pernah melanda kedua-dua kampung buat masa ini.

Selain kerosakan perkakas serta kelengkapan rumah, terdapat juga di kalangan penduduk yang terlibat turut mengalami kerugian hasil ternakan dan perusahaan mereka.
Kejadian paling teruk

ROHANA Meor Harun, 47 dan keluarganya merupakan salah sebuah keluarga yang menerima kesan paling buruk akibat banjir yang melanda Kampung Makmor.

Rohana berkata, rumah pusaka yang didiami keluarganya sering dinaiki air setiap kali banjir melanda semenjak dua tahun kebelakangan ini.

“Kejadian pada kali ini merupakan kejadian paling teruk pernah saya dan keluarga alami yang mana air banjir naik dengan cepat sehingga melepasi paras kepala orang dewasa.

“Kami tidak sempat menyelamatkan sebarang perkakas rumah serta harta benda, dan ketika keluar daripada rumah untuk menyelamatkan diri, air telah mencecah paras leher orang dewasa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, semua perkakas rumah termasuk barangan elektrik dalam rumahnya mengalami kerosakan dan usaha membersihkan sisa banjir akan memakan masa.

Rohana menganggarkan rumah kediamannya sekeluarga telah dilanda banjir sebanyak lima kali sepanjang dua tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, Mohd Firdaus Mohd Shaari, 26 yang juga seorang pengusaha ternakan ayam mengalami kerugian sebanyak RM2,000 akibat banjir yang melanda Kampung Makmor.

Katanya, selain kerosakan beberapa reban ayam di belakang rumahnya, banyak ayam ternakannya mati setelah ditenggelami air.

“Air banjir naik dengan begitu cepat dan saya tidak dapat menyelamatkan ayam ternakan menyebabkan kira-kira 30 ekor ayam termasuk ayam belanda mati,” katanya.
Laluan terputus

Ketua Kampung Makmor, Meor Mahdari Kulop Baharum memaklumkan, selain rumah penduduk ditenggelami air, laluan jalan kampung sejauh 200 meter turut terputus akibat dinaiki air.

Beliau berkata, beberapa buah keluarga yang menjadi mangsa banjir terpaksa dipindahkan dan menumpang sementara di rumah saudara mara atau jiran dalam kejadian itu.

“Hujan lebat turun selama lebih kurang dua jam dan kita bersyukur kerana banyak pihak yang turun padang untuk membantu menyelamatkan mangsa banjir.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Tanah dan Daerah Sungai Siput, pemimpin masyarakat serta
semua pihak yang menghulur bantuan,” katanya.

Menurut beliau, usaha menyelamat mangsa banjir selesai sepenuhnya pada jam 4 pagi, semalam, sementara kerja-kerja membersih rumah dilaksanakan pada keesokan hari.

Katanya, semua mangsa terlibat menerima sumbangan berupa barangan makanan daripada Yayasan Bina Upaya Darul Redzuan (YBUDR), disampaikan oleh Pegawai Khas Adun
Lintang, Jaafar Karim di dewan kampung itu, semalam.

Hadir sama, Penghulu Mukim Sungai Siput, Mohd Abd Rahman dan Penyelaras BN Parlimen Sungai Siput, R Ganesan mewakili Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang).
Pada masa yang sama, Mayang turut menghulurkan sumbangan RM200 untuk setiap mangsa banjir bagi kegunaan membeli barangan keperluan.

Tanah runtuh

Salah satu daripada empat buah rumah yang dilanda banjir di Felda Lasah turut menerima kesan runtuhan tanah yang berlaku di belakang rumah berkenaan.

Mangsa, Ahmad Nazri Mohammad, 53 memaklumakan kejadian tanah runtuh itu berlaku pada kira-kira jam 10 malam menyebabkan tanah bersama lumpur dan air banjir masuk ke dalam rumahnya dari bahagian belakang.

“Kejadian itu meninggalkan kesan yang sangat teruk dalam rumah termasuk banyak barangan rosak. Namun saya bernasib baik kerana rumah saya tidak runtuh dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang lagi penduduk Felda Lasah, Hazri Said, 75 menyifatkan kejadian banjir pada malam kelmarin seumpama tsunami kecil apabila air naik mendadak dalam keadaan arus deras.

Hazri berkata, dia sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara kerana air memenuhi kawasan rumah hingga paras leher dan menganggarkan kerugian yang dialami sebanyak RM10,000.