Ayam ‘banjir’ dipindahkan

PENGKALAN KUBOR – Ratusan ekor ayam milik seorang warga emas yang terperangkap dalam banjir, terpaksa dipindahkan dengan bot apabila Kampung Kuala Jambu ditenggelami air, kelmarin.

Warga emas tersebut, Mat Yusof Saamah, 60, terpaksa memindahkan ayam itu dengan segera kerana dikhuatiri lima reban ayamnya itu akan tenggelam ketika paras Sungai Golok melepasi paras amaran.

Menurutnya, kerja–kerja memindahkan ayamnya ke tempat selamat adalah perkara biasa setiap kali kampungnya dilanda banjir.

“Beginilah situasi musim banjir, ketika orang lain sibuk menyelamatkan harta benda daripada dihanyutkan air bah, saya pula berulang alik mengangkut ayam dengan bot.

“Hari ini (kelmarin) saya berjaya memindahkan 720 ekor ayam yang sudah cukup umur dan boleh dijual bila–bila masa ini,” katanya.

Mat Yusof berkata, kesemua reban miliknya di kampung berkenaan menempatkan 6,500 ekor ayam dan perlu berwaspada paras air kerana dikhuatiri rebannya tenggelam nanti.

“Kesemua baki ayam berkenaan akan dipindahkan dalam masa terdekat, kalau air banjir semakin surut alhamdulillah, tidak perlulah saya bersusah payah memindahkannya.

“Tetapi sekiranya air banjir naik mendadak, kesemua ayam saya itu perlu dipindahkan dengan segera,” katanya.

Mat Yusof memaklumkan dia tidak mahu kerugian besar yang pernah dialaminya pada tahun 2004 berulang lagi apabila ayamnya mati terperangkap dalam banjir.

“Masa itu air naik dengan cepat tanpa sempat saya menyelamatkan ayam-ayam tersebut, dengan kerugian dianggarkan lebih RM16,000,” katanya.