Search This Blog

Sunday, November 20, 2011

5 gadis tetap sertai Miss Borneo





KUCHING 19 Nov. – Walaupun sudah diberi kaunseling oleh pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) semalam, lima peserta Miss Borneo 2011 yang beragama Islam tetap meneruskan penyertaan dalam pertandingan ratu cantik itu di sini, malam tadi.

Kesemua mereka memakai pakaian berwarna-warni dan menjolok mata yang mendedahkan paha dan pangkal dada pada majlis pembukaan pertandingan itu.

Gadis terlibat ialah Melatie Mellisa, 22; Adira Kamil, 23; Sharifah Nadzirah Wan Hamid, 23; Roszainah Suhaili, 21, dan Natasha Nur Amarina Mohamad Kaie, 21.

Natasha Nur Amarina memenangi tempat keempat dalam pertandingan berkenaan yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Adira pula memenangi tempat kelima dengan hadiah RM500 manakala Sharifah Nadzirah pula dinobatkan sebagai Ratu Cantik Personaliti yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Gadis itu turut memenangi anugerah Ratu Cantik Popular sekali gus membolehkannya menerima Samsung galaxy Tab 10.1 yang ditaja oleh Celcom.

Mereka yang berpakaian menjolok mata dalam gambar promosi acara itu yang disiarkan sebuah akhbar tempatan sejak seminggu lalu menimbulkan perasaan kurang senang umat Islam di negeri ini.

Kesemua gadis itu diberi peluang untuk membuat penjelasan terhadap penglibatan masing-masing dalam pertandingan tersebut sebelum diberi kaunseling oleh pegawai JAIS, pagi semalam.

Pengarah JAIS, Abang Shamsuddim Abang Seruji ketika diminta mengulas penyertaan lima gadis itu kecewa kerana mereka yang diberi kaunseling selama sejam pagi semalam tetap meneruskan saingan pada pertandingan itu.

Kata beliau, pihaknya berharap menerusi kaunseling itu akan ada sekurang-kurangnya seorang daripada lima peserta terbabit menarik diri, namun perkara itu tidak berlaku.

“Kami kecewa apabila mendapati lima peserta Islam itu masih menyertai pertandingan ratu cantik itu meskipun sudah diberi nasihat untuk mereka menarik diri. Bagaimanapun, JAIS akan sentiasa melakukan pemantauan terhadap pertandingan-pertandingan seumpama ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment