Search This Blog

Saturday, October 29, 2011

PDRM pernah lumpuhkan kartel dadah Mexico



KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan cubaan kartel dadah dari Mexico yang terkenal sebagai sindiket paling berbahaya di dunia untuk menubuhkan makmal dadah terbesar di negara ini iaitu di Johor.
Aktiviti pengedaran dadah antarabangsa itu berjaya dikesan dan dibanteras oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekali gus menghalang Malaysia daripada menjadi negara pengeluar dadah.
Bekas Timbalan Pengarah 1 JSJN, Datuk Othman Harun berkata, kejayaan itu dilakarkan pada tahun 2008 dan ia merupakan satu kejayaan penting dalam usaha mengekang pihak luar menjadikan negara ini sebagai hab dadah antarabangsa.
"Setiap tahun terdapat makmal dadah diserbu, namun makmal dadah mega yang cuba diwujudkan kartel dadah Mexico itu paling berjaya kita banteras kerana ia mampu merosakkan negara dalam tempoh singkat.
"Berdasarkan serbuan dan siasatan, makmal dadah yang cuba diwujudkan itu dianggarkan mampu menghasilkan sebanyak 500 hingga 600 kilogram dadah jenis syabu sehari," katanya di Mes Pegawai Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan tugas sebagai Timbalan Pengarah 1 JSJN kepada Ketua Penolong Pengarah Risikan dan Operasi JSJN, Datuk Haris Wong Abdullah.
Othman yang berkhidmat dalam PDRM sejak 36 tahun lalu merupakan pengawai polis paling senior akan bersara wajib mulai esok pada usia 58 tahun.
Majlis penyerahan tugas itu disaksikan oleh Pengarah JSJN, Datuk Noor Rashid Ibrahim.
Tiga tahun lalu, PDRM menahan tiga beradik warga Mexico di sebuah kilang memproses dadah di Johor yang melibatkan rampasan dadah bernilai RM44 juta.
Othman dalam pada itu berkata, pelbagai pihak ketika ini perlu memberi perhatian serius termasuk membanteras kegiatan penyeludupan di semua pintu masuk negara.
"Sebahagian besar dadah dibawa masuk melalui pintu sempadan dan jika ia dapat dihalang, penagih dadah dijangka akan berkurangan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment