Search This Blog

Saturday, October 29, 2011

Lelaki lintas landasan maut dilanggar komuter



KAJANG – Polis menemui mayat seorang lelaki di landasan keretapi di Jalan Reko, dekat sini dipercayai dilanggar komuter dari perjalanan menuju ke Seremban tengah malam semalam.

Mangsa, Abdul Halim Gopel Abdullah, 51, ditemui mati oleh anggota polis selepas menerima laporan daripada pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 11.48 malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, mangsa dipercayai melintas landasan berkenaan untuk menyeberangi ke Reko Sentral sebelum dilanggar komuter yang dalam perjalanan menuju ke Seremban.

“Akibat perlanggaran berkenaan, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.

“Mayat mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori di hantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui selepas majlis pemakaian pingat dan penganugerahan sijil kepada pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian berasingan, tindakan tiga anggota peronda MPV polis yang memeriksa sebuah lori di kawasan belakang stesen minyak Esso Sungai Chua, dekat sini kira-kira jam 3 pagi Ahad lalu berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang disamun ketika dalam perjalanan menghantar muatan papan ‘playwood’ yang bernilai kira-kira RM200,000 dari Melaka ke Kajang.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas lori berkenaan tiga lelaki yang berada dalam lori berkenaan bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis bagaimanapun seorang dari mereka berjaya diberkas polis.

“Hasil pemeriksaan polis menemui seorang lelaki berusia 30-an yang merupakan pemandu asal lori berkenaan dalam keadaan lemah serta tangan, kaki dan mulut terikat dan mengalami kecederaan dipercayai dipukul tiga lelaki berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil maklumat awal polis percaya tiga lelaki berkenaan bertindak menyamun mangsa di Melaka dan membawanya menuju ke Kajang untuk dijual kepada pembeli.

“Kes ini diserahkan kepada polis Melaka untuk siasatan lanjut dan kita juga berusaha mengesan dua lagi rakan suspek yang berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan”, katanya.

Mengulas mengenai program berkenaan, seramai 75 pegawai dan anggota menerima sijil penghargaan dan pemakaian pingat yang terdiri daripada pangkat Inspektor, Sub Inspektor dan Koperal.

“Seramai 75 pegawai dan anggota polis menerima pemakaian pingat dan penganugerahan sijil yang terdiri daripada lima Inspektor, empat Subinspektor dan 66 koperal.

“Kita harap melalui penganugerahan ini komitmen untuk melaksanakan tugas akan terus meningkat,” katanya.

No comments:

Post a Comment