Search This Blog

Monday, October 24, 2011

Hotel tak bayar hutang RM1.9 juta

KANGAR: Barangan milik sebuah hotel terkenal di negeri ini, dirampas selepas pengurusannya didakwa gagal melunaskan hutang berjumlah RM1.9 juta kepada syarikat pembekal Fine Margin Sdn Bhd (Fine Margin), kelmarin.

Pengarah Urusan Fine Margin, Mohamed Azwan Nazli melalui peguamnya, Roshidah Osman berkata, pihaknya merampas sebahagian barangan hotel berkenaan bagi mematuhi persetujuan dengan bekas syarikat yang menguruskan hotel itu selepas mediasi oleh Mahkamah Tinggi, di sini, pada 13 Oktober lalu yang dipersetujui kedua-dua pihak.


Menurutnya, syarikatnya membekalkan kira-kira 80 peratus barangan kepada hotel itu bernilai RM1.9 juta sejak setahun lalu, tetapi bayaran langsung tidak pernah dijelaskan.

"Fine Margin akan mengambil barangan yang digunakan untuk bilik penginapan hotel itu sebelum dijual sebagai barangan terpakai.


"Sebelum ini, kami sudah beberapa kali menghantar notis meminta tunggakan hutang diselesaikan, namun mereka meminta diberi masa.


"Namun, selepas diberi tempoh, mereka masih gagal menjelaskan hutang hingga syarikat baru dilantik menguruskan hotel itu," katanya.

Pada masa ini, sebuah syarikat baru dilantik menguruskan hotel berkenaan sejak 14 Ogos lalu selepas pengurusan lama tidak mampu menguruskan hotel terbabit kerana kerugian.


Katanya, dia terkejut bagaimana syarikat itu boleh memenangi tender pengurusan hotel itu walaupun rekod menunjukkan semua projek membabitkan syarikat itu mengalami kerugian atau ditutup.

myMetro | Hotel tak bayar hutang RM1.9 juta:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment